FOLLOWERS

Getaran di Hati...

Melangkah ke sekolah esoknya, aku jadi resah tidak menentu. Malu dan segan datang bertindih rasa. Kenapalah aku betindak menghubungi Razak Ashraf malam tadi sedangkan sebelum ini aku begitu sombong menolak salam perkenalan yan dihulurkannya? Entah di mana ingin kuletakkan muka ini bila berdepan dengan lelaki itu nanti.
Di hati kecilku berharap agar hari ini dia menjadi manusia yang hilang seluruh ingatan sekali gus melupakan apa yang berlaku malam tadi. Tetapi, mana mungkin semua itu akan berlaku kerana dari kejauhan aku sudah melihat dia yang masih seperti manusia normal seperti hari-hari sebelumnya. Dia yang sampai lebih awal kelihatan sedang berbual dengan rakan-rakan sekelas kami.
Semakin mendekati kelas, langkahku makin perlahan. Terasa bagai ada seketul batu yang amat berat terikat di kakiku saat itu. Sebaik tiba di muka pintu, dadaku mula di serbu rasa debar yang maha hebat. Lirikan mata Razak Ashraf yang bagai menyapa ketibaanku menjadikan rentak jantungku bertukar rancak. Dari ekor mata, aku perasan pandangannya tidak lepas dari memandangku membuatkan langkah kakiku jadi canggung dan bersimpang siur.
Sepanjang hari itu, aku jadi serba tidak kena. Terasa sepasang mata Razak Ashraf yang duduk di barisan belakang asyik memerhati tingkahku. Walau tanpa melihatnya, aku dapat merasakan semua itu.
Apa yang diajar oleh cikgu sepanjang hari itu bagai tidak mampu menembusi mindaku. Nadia yang duduk di sebelah sudah mula perasan perubahanku.
“Kau ada masalah ke?” Dia menyoalku ketika ada waktu senggang.
Aku hanya menyengih ke arahnya sambil mengeleng. Minta-mintalah dia tidak bertanya lanjut. Terasa suaraku berat sekali untuk keluar hari itu. Selalunya akulah yang paling kecoh sekali di dalam kelas.
“Habis tu, termenung jer dari pagi.” Nadia bagai tidak berpuas hati.
Sebelum sempat aku membuka mulut untuk memberi jawapan, tiba-tiba aku perasaa ada seseorang berdiri di sebelahku.
“Pinjam pemadam kejap.” Suara Razak Ashraf walau pun perlahah sudah cukup untuk membuatkan aku tersentak. Kehadirannya di situ bagai satu kuasa ajaib mengalirkan arus memasuki tubuhku tanpa perlu bersetuhan anatar satu sama lain.
“Weh! pinjam pemadam kejap.” Sekali lagi dia mengulang kata apabila melihat aku hanya memandangnya tidak berkelip.
Entah bagaimana tiba-tiba saja timbul idea nakal di kepalaku. Pemadam yang sebesar gedabak dari pensel case aku keluarkan dan pantas aku potong pemadam tersebut menjadi empat. Kemudiannya aku letakkan kesemuanya ke atas meja.
“Pilih nak yang mana?” ucapku tanpa memandangnya. Mataku terus tertancap pada kepingan pemadam di atas meja.
Dia gelak perlahan melihat kenakalanku. Tanpa aku menduga, jemarinya mengambil semua keempat-empat bahagian pemadam tersebut dan berlalu ke tempat duduknya.
“Weh! ambil satu cukup laaa...” aku menjerit perlahan namun dia terus saja melangkah pergi.
Aku pantas bergerak bangun mengekorinya sehingga ke tempat duduknya. Dia duduk dengan wajah selamba. Kedua jemarinya digenggam dan ditunjukkan ke arahku.
“Pilihlah! Kalau yang kau pilih tu ada tiga ketul, kau boleh ambil tapi kalau yang kau pilih ada satu, kau ambil satu, aku ambil tiga.” Dia pula memberiku pilihan.
“Eh! mana boleh?” Spontan aku terjerit kecil. Dia ketawa melihat reaksiku.
“Cepat pilih!” Dia mendesak dalam tawanya.

Eh! ini dah lebih. Aku punya pemadam, dia pulak yang bagai tuan punya. Namun, dalam tidak puas hati itu, aku memilih juga salah satu genggaman tangannya. Sebaik dia membuka jemarinya, hanya ada satu pemadam di situ dan dia tergelak lagi.
“Eeeee...” Aku mula geram dan spontan tanganku memegang jemarinya yang masih menggenggam tiga lagi bahagian pemadam tersebut.
Saat yang sama tangannya sudah bertindak menyambar jemariku. Buat seketika jemari kami saling bertaut menjadikan aku kalut tidak menentu.
Aku cepat-cepat menarik jemariku dari genggamannya. Dia bagai tergamam melihat ke wajahku yang tentunya sudah bertukar warna.
“Sorryyy....” Ucapnya perlahan sebelum aku melangkah laju menuju kembali ke tempat dudukku. Banyak mata yang memandang tingkah kami waktu itu menjadikan wajahku tebal beberapa inci.
Seketika kemudian, Razak Ashraf datang kembali ke mejaku dan memulangkan kesemua pemadam yang diambilnya tadi.
“Thanks.” Hanya sepatah itu saja yang diucapkannya tetapi kenapa hatiku bagai disuntik ubat bius?
Senyuman yang dihulurkannya sebelum berlalu pergi buatkan mataku bagai tidak ingin berkelip untuk beberapa ketika. Baru hari ini aku parasan adanya sebiji tahi lalat yang melekat di atas bibirnya, menambah perisa pada senyumannya. Ah! sudah gilakan aku?
“Weh! kau ada apa-apa ke dengan si Ash tu?” Soalan Nadia yang berlainan nada itu hampir membuatkan aku tercekik liur sendiri. Ada apa-apa? Apa yang ada pada dia yang mampu membutkan dada dan hatiku bergetaran tidak menentu?

No comments: