FOLLOWERS

Lagi Carta Terlaris di Alaf21..

Terlaris Di Alaf21 minggu ini


Mmm... minggu lalu MB dan BK masuk carta alaf, minggu ni giliran HSC pula. Alhamdulillah... Harap-harap semua yang beli tu terhibur dan berpuas hati walau ada beberapa part tersilap ejaan.

Sebelum publish, risau sangat-sangat. Risau dengan reaksi pembaca sebab novel ni yang paling susah dan paling lama nak mencapai titik akhir. Proses editing juga tergesa-gesa dan ada beberapa penambahan di saat-saat akhir kerana tak cukup muka surat. Masa tu memang meroyan la... tapi nasib baik idea datang.

Kalau sesiapa yang dah baca, Part yang Zhafir panggil Fea masuk office... Sms dari Arman... Part kat atas buai masa di rumah keluarga Zhafir...semuanya idea di saat akhir...huhuhu....
Harap-harap semuanya terhibur....











Cenderahati....

Pada sesiapa yang belum tahu tentang karnival karangkraf tu, aku nak war-warkan di sini.

Karnival tu akan bermula pada 28-30 Jan 2011 ni dan insyaalah aku akan berada di sana pada petang 29hb(sabtu) dari pukul 2-6 ptg.

Istimewa untuk anda yang sudi membeli HSC di sana nanti, ada cenderahati yang tak seberapa khas untuk anda.*Siapa cepat dia dapat*

Penanda buku yang aku reka dan buat sendiri. Walau tak cantik tapi bolehlah menanda buku yang anda baca.

Pen atau sarung pen yang dikait dari manik. Ini aku beli masa pegi Sarawak hari tu.


Jumpa di sana nanti, Insyaalah....


Harga Sebuah Cinta



Baru pagi ni pergi amik kat alaf21, masih panas lagi. Dah lama lihat covernya tapi bila pegang dalam bentuk novel, rasa teruja sangat-sangat. Yang tak bestnya, nak kena baca lagi sekali untuk 2nd editing..Uwaaaa... sapa nak tolong editkan ni, aku tak larat dah nak baca untuk kali entah ke berapa.

Birthday Qaisara - Norhayati Brahim

Dalam kesibukan yang semakin menghambat, aku sempat memenuhi undangan majlis hari jadi anak Kak Yati (NB KARA) - Qaisara yang cumel tu...alahai, kalaulah aku ada anak perempuan se comel tu.....

Terima kasih buat Kak Yati dan Kak Su yang menjemput, siap bersms bagai dan terima kasih yang tak terhingga untuk hadiah yang diberi... tak pernah dibuat dek orang, kita pergi majlis harijadi tapi kita yang dapat hadiah...hehehe..

Kata Kak Yati, semuanya ada 11 orang yang sambut hari jadi pada buan januari termasuklah anak pertama aku dan kesemuanya mendapat hadiah... terima kasih sekali lagi...


Beberapa orang birthday girls and birthday boy yang sambut hari jadi dalam bulan januari ( aku saja jer menyelit sebab nak ambil gambar)


Teta(Qaisara) tengah potong kek..Lilin pula tiup ramai2


Sempat bergambar bersama tuan rumah (Kak Yati) yang sangat humble orangnya.

Ni pula kak nOOr yang tak pernah aku tak jumpa dia pada setiap kali majlis berkaitan novel.... dia sempat pesan suruh aku tunggu dia datang pada Karnival karangkraf nanti dan sempat lagi dia gurau2 kata nak bawa sepanduk tulis nama aku menyatakan sokongannya..... gelak besar aku..

Terlaris Alaf21 Minggu Ini...

Terkejut dan tak sangka melihat novel MB dan BK masih mendapat tempat di hati pembaca dan termasuk dalam top 10 terlaris minggu ni yang di tampal kat wall FB Alaf21....

Terima kasih yang tak terhingga buat semua...


Aku Masih Di sini

Aku masih di sini
Berkalam di hati
Bermadah sendiri
Berteriak sepi
Sesepi syahdu tirai malam
Bertemankan bebintang seri
Dan sang rambulan pun seakan mengerti
Tiap kata lirikan sang pujangga diri
Yang berbisik meluah rasa
Tercalit di tirai mimpi
Terlukis di kamar hati
Rindu ini tak bisa kugapainya lagi
Walau terlalu ingin aku menyentuhnya
Namun kenangan itu ku rasa makin berlari
Jauh meninggalkan aku di sini
Dan kasih yang terkumpul di perdu hati
Untuk siapa harus aku alihkan
Sedang yang terbisik di setiap denyut nadi
Hanya kamu...dan hanya kamu...


Masih ingat puisi ni? Puisi yang pernah satu ketika dulu aku tampal di blog ni. Puisi yang aku cipta ketika mendengar lagi Shahir -Kebahagian Dalam Perpisahan. Puisi yang asalnya hanyalah bait-bait kata merapu ketika aku sedang kehilangan idea untuk menaip dan bait-bait kata merapu itu aku tulis ketika berchating di FB bersama seorang teman, lalu... dia main-main balas dengan kata puitis juga. Maka, dari situ aku gabungkan menjadi sebuah puisi.

Nak tahu kenapa aku kembali bercerita tentang puisi ini? Sebabnya, nanti anda akan temui pusi ini di dalam HSC....

Karnival Karangkraf 2011

Buat semua, insyaalah aku akan berada di gerai Karnival Karangkraf 2011 pada 29 Jan 2011 (sebelah petang) untuk sesi tantadangan dan ramah mesra.

Sesapa yang terasa nak kenal-kenal dengan HF, boleh la ke sana (ada ke orang yang nak kenal dengan aku? * tanya diri sendiri)

DLa.. aku tak kira kalau orang lain xnak kenal dengan aku tapi ko mesti pegi sebab dekat dengan rumah ko kan? Kalau ko tak pergi, kontrak batal..hahahaa...

HSC : Trailer...(6)

Setelah segalanya selesai, umi meminta Zhafir menghantarku pulang tetapi aku berkeras untuk kembali ke tempat kerja kerana waktu kerja masih lagi bersisa.
Aku melangkah laju menuju ke arah lif untuk ke car park. Zhafir yang tertinggal di belakang memanggil namaku tetapi aku hanya menoleh sekilas dan kembali meneruskan langkah tanpa mempedulikan dia yang sedang cuba menyaingi langkahku.

“Fea!” Dia memanggil lagi ketika langkahnya sudah selari dengan langkahku.
Tanpa memandangnya, aku terus menghentikan langkah manakala dia pula sudah terlajak ke depan.

“Eh! Kenapa berhenti? Ada lampu merah ke kat sini?” bersahaja suaranya sambil mengundur ke belakang untuk kembali seiring denganku.

“Kenapa?” Serius aku bertanya tanpa memandang wajahnya.

Tanpa menjawab soalanku, dia menoleh kiri dan kanan seolah sedang mencari seseorang di sekitar kawasan itu.

“You bercakap dengan I ke?” Dia pura-pura bertanya sedangkan dia sebenarnya tahu aku memang sedang bebicara dengannya.

“Tak! Dengan hantu.” Balasku geram dan terus mengatur langkah meninggalkan dia yang masih berdiri di situ.
Saat itu, tahap geramku bagai sudah sampai ke ubun-ubun kepala tetapi nasib baiklah hatiku masih tekun bertasbih kalimah Allah memohon kesabaran.

Masuk ke dalam lif pula, hanya kami berdua saja di ruang yang sempit itu. Dia berterusan memandangku tanpa sepatah kata menjadikan aku salah tingkah. Apa hal pula dengan mamat ni? Janganlah dia jadi gila buat benda-benda yang diluar jangkaan. Aku terus berdoa di dalam hati dan terus berharap agar ada manusia lain yang menekan butang untuk sama-sama menaiki lif tersebut.

Sedang lif bergerak, dia tiba-tiba datang menghampiriku yang sedang menyandarkan diri ke dinding lif. Saat itu, aku terasa ingin menjerit memohon pertolongan tetapi tak mungkin akan ada manusia lain yang mampu mendengarnya.

Aku cuba untuk bergerak ke tepi apabila dia betul-betul berada hampir di depanku tetapi sebelah tangannya bertindak menekan ke dinding dan terus memerangkap aku di sudut penjuru ruang yang sempit itu.

"Heh! you jangan nak buat kerja gila." Suaraku sedikit terjerit kerana rasa marah yang terbit akibat perbuatan biadapnya. Tanganku cepat saja memukul lengannya yang menyekatku itu sekuat hati tetapi dia hanya tersenyum melihat wajah gelabahku.
Betul-betul melampau! Hatiku menjerit kuat. Terasa ingin saja aku menelannya hidup-hidup, biar dia terus mati lemas di dalam perutku. Semakin hari aku semakin pening dengan kerenah lelaki ini.

Sebaik lif berhenti di level G dan pintunya terbuka perlahan, aku terus menolak lengannya dan melangkah keluar dari situ tanpa menunggu walau sesaat.

"I rasa, you memang dah gila." aku melepaskan amarah dalam suara yang masih terkawal tatkala kami berdua di dalam keretanya.

Dia senyum manis. Jemarinya cuba menyentuh tanganku tetapi aku cepat melarikannya. Jika dia fikir dia boleh memegangku sesuka hatinya, dia memang silap besar.

"I tak perlu jadi gila untuk kahwin dengan you kan?" dia ketawa perlahan.

"Tapi... kalau pun I harus jadi gila untuk bersama you, I sanggup jadi orang gila itu." dia kenyit mata, menggoda tetapi suhu hatiku bagai sudah melebihi tahap mendidih.

Bagaimana aku tiba-tiba boleh terlibat dengan lelaki yang 'kurang siuman' ini?
Mungkinkah kerana sifatku yang sering berlembut dan tidak pandai berkata tidak ini telah menjadikan aku mangsa keadaan?

Sebaik kereta Zhafir tiba di depan bangunan pejabat, aku terus melangkah keluar dan menghempas kuat daun pintu. Kalau boleh biar pintu keretanya terus tercabut. Biar dia tahu tinggi mana tahap geramku terhadap apa yang telah dia lakukan.

“Dari mana?” teguran dari suara yang cukup aku kenali memeranjatkan aku. Langkahku terus terhenti di situ, di ruang laluan utama menuju ke lobi menunggu lif.

Arman datang menghampiriku, berdiri di depanku. Di tangannya terbimbit briefcase menandakan dia baru ingin masuk ke pejabat hari itu.

“Dari mana?” Sekali lagi dia bertanyakan soalan yang sama setelah aku tidak memberi reaksi pada soalannya tadi. Wajahnya sukar untuk aku tafsirkan gambarannya tetapi aku pasti dia sedang cuba menahan rasa.

"Jumpa umi." ringkas jawapanku. Entah kenapa, aku jadi bimbang jika dia tahu apa yang sedang berlaku antara aku dan Zhafir saat ini.

"Tapi kenapa saya nampak Zhafir yang hantar awak?” Soalan yang bernada cemburu itu membuatkan tekakku tiba-tiba terasa kering. Dari mana dia tahu Zhafir yang menghantarku? Mungkinkah dia nampak aku turun dari kereta Zhafir tadi?

"Umi dan Zhafir." aku membetulkan jawapan sambil perlahan meneruskan langkah menuju ke arah lif.

"Tapi kenapa saya tak nampak umi ada bersama?" Soalnya lagi sambil mengekoriku.

"Umi dah balik dulu...." sebelum sempat aku menghabiskan ayat, telefon bimbitku menjerit nyaring.

Nombor Zhafir yang tertera di situ mengundang rasa tidak enak di hatiku namun tetap juga aku menekan butang hijau sambil melekatkan telefon ke telinga. Tanpa suara ucapan salam, aku hanya diam mendengar.

"Lupa nak pesan…. tolong sampaikan pada Arman, dia tak boleh kacau you lagi bila you dah jadi tunang I nanti." hanya itu pesanannya tanpa ucapan salam dan talian terus diputuskan juga tanpa ucapan penamat.

Spontan pandanganku menyapa wajah Arman yang sedang berdiri memandangku di depan pintu lif. Sungguh… aku sudah tidak tahu bagaimana untuk melepaskan diri dari lelaki itu dan aku jua tidak tahu bagaimana untuk menyelak tirai yang sedang mengelilingi aku bersama Arman.

HSC - Trailer (5)

"Awak cintakan dia?" soalan Arman buatkan aku terkedu.

Cintakah aku pada Zhafir? Cintakah namanya andai setiap kali jantung berdenyut, hati terdetik menyebut namanya?

Sebenarnya, berapa banyak cinta yang boleh dimuatkan pada sekeping hati untuk sepanjang tempoh hayat yang Tuhan berikan pada kita? Jika jawapannya lebih dari satu, makan jawapanku adalah Ya! tapi... jika jawapannya hanyalah satu, jawapanku ialah tidak tahu! kerana aku memang tidak tahu apa yang aku rasa waktu ini....(Fea)