FOLLOWERS

YANG LUAR BIASA

Part 1


  
          Yang luar biasanya hari itu, tatkala matanya terpandangkan Zhariz yang baru melangkah masuk ke ruang tamu, hatinya terus dilanda debar. Peristiwa menggetarkan naluri di pagi tersebut menjengah sanubari.
          Ah! Dia hanya seorang abang. Anggap saja khilaf lelaki yang sentiasa diiring nafsu pada setiap langkahnya.
          “Nak ke mana?” soal Zhariz. Atas bawah matanya menelek Arissa.
          “Keluar.” Ringkas saja Arissa menjawab dan terus melangkah ke dapur.
Cari  sarapan lagi bagus dari menjadi tatapan mata lelaki itu. Serius, seram giler.
          “Ke mana?” kedengaran lagi suara itu dari arah belakang.
          “Jumpa kawan.”
          “Lelaki ke perempuan?”
          Arissa hentikan langkah di tengah laluan ke dapur dan toleh pandang ke belakang. Dia.. lelaki yang sudah papa anggap seperti anak sendiri, yang sudah seperti ahli keluarga di rumah ini, berdiri hampir di belakangnya.
          Arissa pusing mengadap Zhariz dan undur selangkah ke belakang. Kenapa tiba-tiba saja lelaki ini mahu mengambil tahu tentang dirinya? Lebih 24 tahun hidup dan selama itu juga dia sudah terbiasa dengan lelaki ini. Keluar masuk rumah sudah seperti keluarga sendiri. Tapi, selama ini, dia seperti halimunan.  Ada, tapi seperti tak pernah wujud.
          “Kalau perempuan kenapa? Kalau lelaki kenapa?”
Zhariz angkat kening, sekali lagi mata lelaki itu menelek Arissa atas dan bawah.
"Boleh tak cuba pakai sopan sikit?" Nadanya lembut tetapi ayatnya boleh buat telinga Arissa panas dan berasap.
Sekilas Arissa telek diri sendiri. Baby T biru bersama skirt pendek paras lutut juga berwarna biru.
Apa yang tak kena? Ini kan pakaian yang biasa dia pakai. Selama ni tak ada pulak yang menegur, kenapa tetiba hari ni mulut lelaki ini ringan menegur?
          "Orang tak beli guna duit abang. Suka hati laaa..." Arissa jeling sekilas sebelum mencebik dan ingin meneruskan langkah ke dapur.
"Memang tak guna duit abang tapi, abang tak suka tengok sesuatu yang tak sepatutnya abang tengok."
Sekali lagi langkah Arissa terbantut. Apa ke pelik benar ayat Zhariz ni? Bukan ke selama ini dia biasa pakai begini malah lebih pendek dari ini pun sudah biasa.
"My dear brother in-law-to-be.... orang tak suruh abang tengok pun. Tu... bakal isteri abang kat atas tu, selalupun shortsleeve jer, abang ada tegur?”
“Abang tegur Risa sebab abang ambil berat. Tak boleh?”
“Darlinggg… you dah sampai ke?” Suara jeritan dari atas membantutkan suara Arissa untuk membalas.
Senyap.
“Darlingggg… Suara you ke tu?” terdengar lagi jeritan dari tingkat atas banglo mewah itu.
“I dah lama sampai.” Suara Zhariz membalas tetapi matanya melekat pada si gadis di depannya.
Arissa julingkan mata ke atas dan terus melangkah ke dapur. Peti sejuk dibuka dan Peel Fresh Marigold perisa oren dikeluarkan. Langkah diatur menuju ke kabinet dapur untuk mendapatkan mug yang tersusun cantik di situ.
“Rissaaa…”
“Abang nak minum?” Arissa memintas, buat-buat macam tak ada apa-apa yang pernah berlaku antara mereka.
“Darlinggg….” Ryana sudah muncul di ruang tersebut. Seperti biasa, dengan skirt pendek dan ketat menampakkan bentuk pinggulnya. T’shirt putih jenama polo yang melekat kemas di badannya menampakkan seluruh isi dalam. Mmm..dah la pakai bra merah, baju pulak putih. Sendiri fikir laaaa….
Arissa jeling Zhariz yang menoleh ke arah Ryana. Huh! Suka la tu. Kalau dah namanya lelaki, terhidang depan mata, janganlah nak hipokrit kata tak suka.
“Kak! Nak ke mana?” Arissa beramah mesra. Hairan pula apabila melihat si kakak menarik bagasi sederhana kecil bersamanya.
“Dubai.”
“Dubai?” Arissa kerut kening.
“Bukan semalam baru balik ke? Hari ni pergi lagi?” soalnya. Baru semalam kakaknya tiba dari Australia, hari ni nak ke Dubai pula?
“Eh! Aku tak kacau kau kan? So! Tolong jangan kacau hidup aku boleh tak?”
Arissa angkat kepala. Mata Zhariz merangkap tunang si kakak jatuh ke wajahnya. Riak wajah lelaki itu seperti mahu memujuk dan memohon maaf bagi pihak si tunang atas kekasaran bahasa.
Ah! Dia tak hairan pun. Sudah terbiasa kena begitu. Dia dan Ryana hanya berdua beradik tapi sejak kecil memang tak pernah ngam. Dia memang selalu mengalah, tetapi si kakak macam tak pernah puas
Bisness keluarga langsung tak nak ambil tahu, sibuk mengejar glamor dunia modelling. Haih!
Kadangkala dia terfikir papanya tak adil. Si kakak boleh buat apa saja yang disukainya tapi dia, terpaksa mengikut aturan keluarga. Belajar juga mengikut jurusan yang papa pilih.
 “Dah, jom!”
Lugagge di tangan Ryana beralih ke tangan Zhariz dan mereka melangkah seiring keluar dari ruang dapur tersebut.
Fuh! Arissa lepaskan nafas lega. Duduk dilabuhkan ke kerusi. Peel Fresh orange yang dituang separuh mug dibawa ke bulut.
“Kalau nak keluar, tolong tukar pakai  sopan sikit.”
Buuurrrrr….
Habis tersembur minuman yang baru masuk ke mulut Arissa tatkala terdengar suara tersebut betul-betul di tepi telinganya. Bila masa pula mamat ni masuk semula? Mana perginya si kakak tadi?
“Apa masalah abang sebenarnya ni?” Suara Arissa keras tetapi masih perlahan, bimbang juga jika sampai ke telinga Ryana.
“Abang tak suka!”
Huh! Dari tadi, itu yang diulangnya.
“Abang suka atau tak, itu tak ada kena mengena dengan orang.”
“Boleh tak jangan degil?”
“Kalau orang nak degil juga?” Arissa tayang muka sarkastik.
“Mulut jaga.” Balas Zhariz geram. Wajahnya sudah didekatkan ke wajah Arissa. Kuat melawan betul!
“Heh!” Arissa tekup mulut sendiri sambil melarikan wajah ke belakang. Apa kes dia ni? Buang tabiat ke? Pelik sungguh perangainya.
“Abang jaga mulut abang tu dulu,” balas Arissa.
Sungguh, dia pelik dengan sikap abang sepupunya ini. Sebelum ini, tak ada pula begini. Dia seperti tak pernah wujud. Yang sering menjadi perhatian Zhariz dan kedua keluarga mereka adalah kakaknya, Ryana Nabila.
Ryana dan Zhariz lambang kemegahan keluarga mereka. Disatukan atas dasar tidak mahu harta mereka beralih pada orang lain. Dia sendiri tak tahu antara kakaknya dan Zhariz wujud istilah cinta atau tidak tetapi yang dia tahu, mereka berdua boleh terima antara satu sama lain. Siap bersayang dan berdarling bagai lagi.
“Ingat pesan abang.”
Zhariz terus berlalu.

Eh! Main ingat-ingat pulak. Tak kuasa la nak ingat.

SATU LAFAZ CINTA

Prolog


LANGKAH Hani Aleesya terhenti tatkala beberapa orang pelajar wanita menghadang perjalanannya. Hari itu dia sendirian tanpa Liza Wati. Sahabatnya itu tidak hadir ke sekolah kerana diserang cirit birit.
            “Ada apa?” Entah pada siapa ditujukan soalan tersebut tetapi satu persatu wajah yang pelbagai reaksi di depannya diteliti dengan kening berkerut.Siapa yang tidak kenal dengan Fareena Dato Othman and The Geng di sekolah ni? Tetapi persoalannya, kenapa Fareena tiba-tiba menghadang langkahnya dengan wajah seribu kebencian.
            “Aku tak mahu cerita banyak dan tak minat nak cakap banyak kali. Aku nak kau dengar baik-baik.” Fareena hentikan bicaranya di situ. Wajahnya di dekatkan ke wajah Hani sehingga gadis itu terpaksa melarikan kepalanya ke belakang.
            “Redza tu hak milik kekal aku dan kau jangan sesekali bermimpi untuk merampasnya. Apa saja yang berkaitan dengan dia tidak layak sama sekali untuk kau puja termasuklah gambarnya.” Nada perlahan tetapi penuh dengan amaran keuar dari bibir mungil Fareena.
Saat itu, Hani terasa wajahnya sudah tidak berdarah. Secepat inikah berita tersebar? Rasanya, baru petang semalam dia dimalukan di depan  rakan sekelas 5A1 oleh Redza Ashraf dan hari ini, Fareena and The Geng sudah mengetahuinya. Dia percaya, kalau beberapa wajah di depannya ini sudah tahu, bermakna seluruh pelajar sekolah ini juga pastinya sudah tahu. Sungguh memalukan.
Sekali lagi Hani memanggung kepala memandang empat lagi wajah lain yang bersama Fareena itu. Semuanya tersenyum sinis dan berbisik sesama sendiri.
“Far, aku rasa baik kau beli cermin besar-besar bagi budak ni. Biar dia cermin diri dia dulu sebelum bermimpi nak ada hati pada Redza. Mungkin lepas tengok cermin tu dia akan jadi sedar diri.” Saranan salah seorang dari teman Fareena yang berada di situ disambut oleh semua orang termasuklah Fareena dengan gelak besar.
Sungguh! Saat itu dia rasa terhina sekali. Buruk sangatkah dia sehingga harus diberi cermin untuk menilik diri sendiri? Dia seperti ingin mencari Redza dan memakinya cukup-cukup.  Kalau bukan kerana lelaki itu, pastinya semua orang tidak akan tahu.
Memang Redza itu sangat kacak dan menjadi pujaan segelintir besar pelajar di sekolah ini. Memang juga Fareena itu cantik dan  dikatakan sangat sepadan dengan Redza. Sementalah dia sering dilihat ke mana saja berdua bersama lelaki itu. Tetapi, kalau semua yang cantik pasangannya adalah yang kacak, bagaimana pula dengan yang kurang cantik sepertinya?

Ah! Memang dia sedar diri. Dia tidak langsung berniat untuk merampas Redza dari Fareena. Hatinya saja yang sudah terlanjur jatuh suka dan sering memuja. Namun, mulai saat ini, dia akan cuba menanam benih benci untuk lelaki itu. 

YANG LUAR BIASA

PROLOG

Yang luar biasa pagi itu, tatkala mata terbuka, perutnya terasa memberat seperti ditindih sesuatu. Dalam mamai, tangan cuba meraba. Tersentuh sesuatu yang berbulu halus seperti lengan.
          Hah! Berbulu? Mata terus terbuka luas. Otak masih lagging tapi telinga seperti terdengar dengkuran halus. Pantas kepala tertoleh ke arah datangnnya dengkuran tersebut.
          “Arrgghhh!!!!!” Arissa terjerit kuat dan spontan tubuhnya bangkit duduk menegak. Saat yang sama, orang yang berdengkur di sebelah turut bangkit.
          “Rissa…”
          “A..pa.. abang buat kat sini?” Tangan dia sudah Arissa tolak jauh-jauh. Serius, geli giler. Macam pegang ulat bulu pun ada.
          “Semalam Rissa demam, abang temankan.”
          Teman? Sampai ke bilik begini? Sampai tidur sekatil? Ambil kesempatan ke apa?
          Yang dia ingat, dia demam sejak semalam dan malam tadi adalah kemuncaknya sehingga dia langsung tidak berdaya untuk membuka mata. Dan malam tadi juga, lelaki ‘utusan’ daddy ini datang melawatnya.
          Arissa pandang wajah lelaki yang sudah terduduk di lantai dengan siku bertongkat di tilam. Kacak! Itu memang tidak dinafikan. Anak buah kesayangan daddy yang menjadi orang kepercayaan. Apa taknya, semua urusan dia di rantau orang ini, Zhariz yang uruskan termasuk datang melawat dia setiap tiga bulan sekali.
          “Rissa…are you okey?”
          Arissa raba dahi sendiri yang terasa sejuk. Okey! Ada cool fever tertepek di situ. Tentu Zhariz yang lekatkan.
          “Demam lagi ke?” tiba-tiba tangan Zhariz naik mahu menyentuh dahinya. Tindakan refleksi, kepala dia terus bergerak ke belakang dan tangannya spontan naik memegang lengan lelaki itu.
          Mata bertentang mata, hati tiba-tiba dilanda semilir. Tangan bersentuh mengalirkan arus.
          Entah berapa lama dan entah bila Zhariz bergerak duduk di depannya, yang dia sedar desah nafas lelaki itu sudah dekat di depan wajahnya.
          Arissa pejam mata, seolah merelakan apa yang bakal berlaku. Tapi, saat bibir saling bertemu, ada suara datang menyeru.
          ‘Jangan bermain api Arissa, dia itu bakal abang iparmu. Jangan berajakan nafsu, kelak musnah seluruh jiwa dan ragamu.’
Spontan tubuh yang sudah hampir merebahkan dia ke tilam itu ditolak kuat.
“Rissaaa…. Abang…”

“Abang kejiii!!!” Arissa terus menjerit. Bibir yang sudah tercemar digosok dengan lengan sendiri.