FOLLOWERS

HKC - Bab 10

Malam itu, Zhafran datang mencariku. Wajahnya biasa-biasa saja dan aku langsung tidak mengesyaki apa-apa. Apabila dia mengajak untuk keluar minum, aku mengikut tanpa banyak bicara kerana sudah agak lama sebenarnya kami tidak bertemu, duduk dan minum berdua seperti selalunya.

Mulanya, aku ingin bercerita tentang Hijaz tetapi mengingati kata-kata ustaz itu yang ingin aku melupakan dan menganggap dia tidak pernah meluahkan apa-apa, aku tidak jadi untuk membuka cerita.

Petang tadi, aku sudah diasak oleh Fatin dengan pelbagai soalan. Dia benar-benar curiga kenapa Hijaz tiba-tiba ingin berbicara denganku. Yalah! Dia kan suka gila dekat abang ustaz tu sampaikan sanggup berpaling tadah dari boyfriend kalau si Hijaz tu nakkan dia. Mestilah dia nak tahu sangat-sangat topik apa yang dibicarakan oleh Hijaz padaku. Tetapi, kerana ingin menjaga air muka lelaki itu dan mengingati permintaannya, aku terpaksa menipu. Tipu sunat!

“Tak ada apa, dia nak tanya pasal Zhafran.” Jawapanku membuatkan Fatin terdiam sejenak bagai berfikir.

“Mereka kan sebilik. Apa ke halnya tanya kau, macam serius aje?” Dia cuba mengorek. Begitulah Fatin, selagi jawapanku tidak memuaskan hatinya, dia akan terus bertanya.

“Alaaa… dia tanya kenapa Zhafran sekarang jarang balik bilik. Dia bimbang kalau Zhafran terasa hati dengan dia.” Aku mereka cerita. Entah bagaimana idea itu tiba-tiba boleh muncul di mindaku.

“Ha’ah! Aku pun dah lama tak nampak dia datang cari kau.”

“Sibuklah tu.” Aku sengaja berkata begitu bertujuan menyedapkan hati sendiri sedang sudah terlalu lama aku sendiri tidak mengerti kenapa dia boleh berubah begitu. Sudah terlalu lama aku memendam rasa hati ini sehinggakan aku sudah tidak mampu untuk menampungnya lagi.

“Ada yang sampaikan pada aku tadi, mereka nampak kau berdua-duaan dengan Abang Hijaz. Yalah! Dia tu kan ustaz, tak pernah duduk berdua-duaan dengan perempuan begitu. Mestilah nampak pelik bila orang tengok.” Ujar Fatin.

“Mmmm… gossip dan manusia memang tak boleh dipisahkan. Baik lagi jadi kera di hutan, tak ada yang nak peduli pun.” aku jadi cuak tiba-tiba mendengar cerita Fatin. Cepat benar dan cekap sungguh mereka ni menyampaikan berita.

“Eh! jadi kera pun kena jaga tata susila juga. Kalau masuk kampung, orang akan kata ‘macam kera masuk kampung’ atau, ‘macam kera sumbang’.” Fatin sudah merapu dan kami sama-sama ketawa. Sudahnya topik Hijaz hilang begitu saja.

“Aku tanya sikit boleh?” soalan Zhafran mengembalikan aku dari lamunan. Ah! Rupanya aku sedang duduk bertentangan dengan Zhafran di sebuah kafe sambil mengadap minuman.

Aku pandang dia dengan kening berkerut. Soalannya kedengaran pelik di telingaku.

“Sejak bila nak tanya kena minta izin dulu ni?” Aku menyengih. Pandangannya redup terarah ke wajahku. Entah kenapa, aku rasakan situasi sekarang ini janggal sekali antara kami.

“Betul ke kau suka aku?” dia menyoal lagi dan aku terus pandang dia dengan rasa pelik yang berganda.

“Suka? Memang la aku suka kau, kalau tak aku takdenya nak kawan dengan kau.” Balasku, mengerutkan kening sekali lagi.

“Maksud aku, suka yang lain. Atau dengan kata lain, kau cintakan aku.” Ucapnya, terus merentap jantungku. Terasa darah di tubuhku berhenti mengalir dengan tiba-tiba.

“Kau mengarut apa ni?” Aku jadi tidak senang duduk. Inilah saat yang aku rasa paling tidak selesa berbicara dengan dia sepanjang kami kenal. Kenapa hari ini aku harus menempuhi situasi-situasi yang boleh membuatkan aku dapat sakit jantung?

“Hijaz yang cakap. Baik kau mengaku.” Dia menekanku, ingin aku mengakuinya. Serta merta aku teringatkan Hijaz dan rasa kesal datang menghenyak. Aku cuba menutup semua cerita tentang dia tetapi dia pula begitu mudah membuka ceritaku. Tetapi, silapnya mungkin di pihakku kerana tidak memberi amaran pada dia agar jangan bercerita apa-apa pada Zhafran. Pun begitu, semuanya sudah terlambat.

“Betulkan? Kau cintakan aku.” Zhafran berbisik perlahan, aku jadi kaku dan beku di tempat duduk, bak ketulan ais yang baru dikeluarkan dari bekasnya.

“I love you too.” Dia berbisik lagi meremangkan bulu tengkukku. Terasa hatiku bagai ingin melompat keluar bersama rasa bahagia yang menerpa datang.

Pantas aku pandang ke anak matanya, mencari kejujuran dari ucapannya itu. Namun cuma sesaat, ketawanya tiba-tiba pecah berderai.

Ah! Dia main-main rupanya. Aku hampir-hampir mempercayainya tetapi keadaan masih menyelamatkan rahsia hatiku. Lalu, rasa bahagia terus ditarik pergi berganti dengan rasa terkilan yang teramat sangat. Mungkinkah ucapan keramat itu hanya layak dijadikan bahan ketawa untuk dia ucapkan padaku?

“Kenapa kau diam?” soalnya setelah ketawanya reda.

Aku masih dalam keadaan terkilan, jadi tidak pandai lagi untuk berbalas cakap seperti selalunya.

“Tak ada apa-apa.” Perlahan aku menjawab sambil menyedut minuman yang masih banyak bersisa untuk melindungi galau di hati.

“Kot yer pun kau nak lari dari lelaki, tak payah la mengaku kau cintakan aku atau aku cintakan kau. Kesian si Hijaz tu. Dia betul-betul suka kau." Ujar Zhafran.

Aku pandang dia. ‘Kalau Hijaz betul-betul suka aku, kenapa kau tak boleh suka aku?’ Soalan tersebut hanya mampu terluah di hatiku.

"Hijaz tu... Lelaki baik, atau mungkin yang terbaik pernah aku kenal. Dia banyak mengajar aku menjadi 'manusia'. Dialah tempat aku merujuk tentang hal-hal agama. Dia akan menjadi imam setiap kali kami sembahyang berjemaah." Ujarnya lagi dan berhenti sejenak.

"Kalau kau inginkan lelaki yang boleh membimbing kau dunia dan akhirat, dialah orang yang paling tepat. Kalau kau pilih dia, insyaalah…. kau akan selamat dunia akhirat" sambungnya dan memandang tepat ke wajahku.

“Alasan?”

“Cinta tak perlukan alasan.” Pantas saja dia menjawab.

“Aku tahu itu, cuma aku tak tahu kenapa kau kata aku akan selamat dunia akhirat jika pilih dia?”

“Dia lelaki yang bertanggungjawab dan dia juga lelaki beriman. Aku percaya dia akan jaga dan bimbing kau dengan sempurna.” Zhafran tidak putus-putus mempromosi roomatenya itu namun, aku sedikitpun tidak termakan dek kata-katanya.

"Kau sedikitpun tak terusik mendengar cerita aku tentang dia?" soalnya dengan kening berkerut. Redup pandangan memanah hingga ke hatiku. Renungan itulah yang sering membuatkan aku cair macam ais dicurahkan air mendidih.

Aku mengeleng perlahan. Semua cerita itu telah aku tahu lama dulu. Tetapi entah kenapa sekeping hatiku tidak pernah ada sebarang getaran untuk lelaki yang dilabelkan dengan gelaran ustaz itu? Mungkin aku ini bukan perempuan baik-baik maka, Tuhan letakkan setebal-tebal tirai untuk memisahkan hati kami.

"Sah! Memang hati kau diperbuat daripada sejenis bahan pepejal yang kalis bunyi dan tahan calar." dia ketawa perlahan di hujung kata-katanya.

Aku hanya senyum cuma. Kau silap Zhaf. Hati aku tak tahan calar kerana saat ini pun, ia sedang tercalar dek kata-katamu.

Persada Aksara TV1- Segmen Dari Rak Buku


Hari ni, ada rakaman untuk program Persada Aksara di TV1 kat rumah aku. Ini untuk promo buku Harga Sebuah Cinta dalam segmen Dari Rak Buku. Berpeluh juga laa.. baru aku tahu susahnya berlakon.

Segmennya hanya untuk tayangan 5 minit kata penerbitnya tetapi rakamannya ambil masa lebih satu jam. Fuh! entah berapa kali ulang benda yang sama. Macam2 yang tak kena, suara slow sangat la, mata tak tengok kamera la, badan goyang-goyang la... pendek kata susah giler.

Yang tak tahan tu, kena lakon semula, waktu menulis, tengah baca novel, tengah cari ilham, tengah belek2 buku di rak..eeee... pape ntah, malu giler. Ramai yang tengok pulak tu.
Entah macam mana la rupa aku bila keluar nanti, mesti kelakar sebab gabra..hahahah...


Muka lepas di make-up oleh mereka..huhuhu

Nampak garang giler

Diaorg tengah setting kamera

Habis semua gambar yang bergantung kat rumah tu diambilnya.


Ni waktu mereka minta ambil buku yang lain2


Waktu tengah buat aksi sedang relaks sambil membaca novel sendiri..hahaha..lawak giler


Ni pula tengah buat aksi mencari ilham sambil menaip novel....poyo jer..hahaha


Rak buku kat umah aku yang dah penuh tu pun dirakam. Aku kena berdiri kat situ, wat2 tengok & belek novel2 tu

Bergambar selepas selesai

HKC - Bab 9

Seminggu selepas peristiwa itu, aku bertembung dengan Hijaz ketika dalam perjalanan pulang ke kolej bersama Fatin. Hari itu, dia dengan beraninya menyapaku membuatkan aku dan Fatin saling berpandangan sesama sendiri, terkejut dengan keberaniannya.

“Boleh kita berbicara sekejap?” ujarnya penuh berani. Sekali lagi aku dan Fatin saling berpandangan kerana tidak pasti kepada siapa sebenarnya kata-kata itu ditujukan.

“Saya ingin berbicara dengan Lya.” Dia menjawab, seolah faham apa yang sedang bermain di fikiran kami.

“Aku balik dulu.” Fatin terus bersuara sebelum menyiku lenganku dan berlalu pergi. Aku ingin mengikut langkahnya tetapi entah kenapa kakiku terasa berat untuk diangkat apatah lagi, rasa seperti tidak sopan pula jika aku meninggalkan lelaki ini begitu saja kerana dia begitu sopan menyapaku dan memohon untuk berbicara denganku.

“Boleh kita ke sana sekejap?” pintanya, sambil menunjuk ke arah bangku yang terdapat tidak jauh dari situ.

Tanpa suara aku mendahului langkah menuju ke arah yang ditunjukkan. Tempat itu tempat terbuka dan tidak ada apa yang perlu aku bimbangkan. Lagipun, lelaki yang berstatus ustaz macam dia tidak mungkin akan berani melakukan perkara-perkara yang diluar jangkaan.

Tiba di bangku tersebut, aku terus duduk. Dia duduk berdepan denganku. Matanya hanya seketika memandangku sebelum membuang pandang ke arah lain, pastilah dia sedang cuba untuk menjaga matanya walaupun bertemu begini juga sudah boleh mengundang dosa.

“Saya tak pernah mengajak seorang wanita, berbicara dan duduk berdua begini. Inilah pertama kali saya lakukan.” Dia memulakan bicara dan entah kenapa pembuka bicaranya sudah mampu menjadikan hatiku berdebar.

“Saya yakin, Lya dengar apa yang saya dan Zhafran bicarakan di Library hari tu.” Dia berkata-kata lagi sedang aku masih mencari ke mana hilangnya suaraku.

“Lya?” kali ini, dia memandang tepat ke anak mataku dan aku mengangguk tanda mengiakan.

“Saya tak mahu buat Lya tertanya-tanya atau menuduh yang bukan-bukan. Hari ini saya ingin berterus terang….” Dia terhenti di situ dan sekali lagi memandang ke anak mataku.

“Saya memang sukakan Lya.” Pengakuannya membuatkan aku hampir ingin terlompat bangun. Buat seketika, kami saling berbalas pandang. Saat yang sama, aku cuba memahami rentak hati sendiri. Dia memang lelaki sempurna, rupa paras yang putih bersih dan badan yang tinggi tegap tetapi kenapa hatiku seakan beku dan kaku? Kenapa langsung tiada getaran saat telingaku mendengar luahan hatinya?

Di kolej itu siapa yang tidak kenal dia. Mendengar suaranya yang mengalun doa saja boleh buat kita terkaku di tempat duduk, bagai meletakkan kepala di bawah aliran air dari pergunungan, sejuk dan mendamaikan. Ramai siswi jatuh cinta dengan hanya mendengar suaranya yang lunak itu. Kata Fatin, kalau dia menyanyi boleh kalah Maher Zain, penyanyi timur tengah yang sangat popular dengan lagu The Rest of My Life itu.

Ah! Fatin, kalaulah aku boleh jatuh cinta pada dia. Kalaulah aku boleh memujuk hatiku untuk menerima dia. Tetapi, jatuh cinta bukan boleh kita rancang. Ia kadangkala amat menyakitkan.

“Mmmmm….. Lya ingin berterima kasih sebab… sebab… oh! Ya, Lya nak panggil apa erk?” aku jadi sopan tiba-tiba. Yalah! Bercakap dengan ustaz pastilah tutur juga harus dijaga.

Dia tersenyum mendengar suaraku yang tergagap-gagap itu. Memang benar, aku tidak tahu bagaimana untuk memanggil dia. Ramai siswi memanggilnya Abang Hijaz tetapi sebab aku ini lebih suka ber ‘aku kau’ dengan Zhafran dan dia adalah roomate Zhafran, maka aku jadi canggung untuk memanggil dia abang.

“Terpulang. Abang pun boleh, Hijaz pun boleh.” Jawabnya, masih mengukir senyuman. Manis sekali.

“Abang Hijaz.” Spontan bibirnya menyebut namanya begitu dan dia senyum lagi.

“Terlebih dahulu, Lya nak minta maaf kalau apa yang Lya nak katakan ni mungkin akan menyakitkan hati abang.” Panjang pula mukaddimah aku.

Sebenarnya, aku sedang mencari-cari ayat yang sesuai untuk menolak tanpa melukakan hati dia. Kenapa ya, aku sangat takut melukakan hati orang sedangkan orang lain begitu senang mengguris hatiku dengan luka yang cukup dalam?

“Lya dengan Zhafran. Sebenarnya, kami…. Memang ada hubungan istimewa. Saya memang cintakan dia.” Aku cuba menipu. Entah itu benar-benar satu penipuan atau ia sememangnya benar belaka kerana aku sendiri sedang keliru dengan rasa hatiku.
Hijaz senyum lagi mendengar penjelasanku.

“Saya memang dah agak tapi, Zhafran sering menafikan bila saya bertanya.” Nadanya mendatar saja, mungkin dia sedang berusaha keras untuk menyembunyikan rasa kecewa.

“Kalau benar begitu, abang tak akan mendesak dan anggap saja apa yang abang luahkan itu tidak pernah Lya dengar.” Mendengar suaranya, rasa kasihan tiba-tiba datang menjengah.

Bolehkah aku tarik balik penolakan itu? ‘Lya, Hijaz bukan perlukan belas kasihanmu tetapi dia perlukan cinta yang tulus dari hati. Lya, kalau kau pilih dia, insyaalah kau selamat dunia dan akhirat.’ Suara hatiku berterusan menghasut. Tetapi, wahai hati… bolehkah kita hidup sebumbung, tidur sebantal dan berkongsi jiwa dengan hanya berteraskan rasa kasihan?

Aduhai! Aku tiba-tiba sudah menjadi manusia yang tidak normal, bersoal jawab dengan hati
sendiri di tengah-tengah tempat terbuka begini.

“Dulu, ketika kami mula-mula menjadi roomate, dia pernah beritahu abang, dia tolak tawaran ke US dibawah tajaan Petronas kerana tidak ingin tinggalkan Lya. Dia tak mahu putus sahabat dengan Lya. Katanya, ke mana pun dia pergi, dia tak akan temui teman seumpama Lya. Waktu tu abang terfikir, masih adakah dua insan yang bergelar lelaki dan perempuan akan membuat pengorbanan sebesar itu hanya kerana sebuah persahabatan? Rasanya, agak mustahil.” Jelas Hijaz sambil membuang pandang.

Ya! aku tak pernah lupa tentang itu. Tatkala Zhafran memberitahu yang dia akan ke US untuk menyambung pengajian, aku sudah merasa kehilangannya walau ketika itu dia masih berada di depanku. Aku tiada kawan rapat selain dia dan saat itu aku rasa ingin menangis tetapi dia hanya ketawa-ketawa melihat reaksiku yang begitu, seolah dia sangat gembira untuk meninggalkanku.
‘Kalau kau pergi, kita putus kawan.’ Itulah yang aku luahkan saat fikiranku dikuasai kemarahan dan kesedihan sebelum berlari meninggalkan dia yang terpinga di situ. Selepas hari itu, aku cuba mengelak untuk bertemu dengannya sehinggalah aku diberitahu dia menolak tawaran tersebut dan memohon ke UM.

‘Aku masih nak berkawan dengan kau.’ Itulah jawapannya yang mengejutkan aku apabila aku bertanya kenapa dia tidak ke US sebaliknya hanya ke UM. Setahu aku, papanya mengamuk sakan kerana dia menolak tawaran istimewa tersebut tanpa sebarang alasan. Yalah! Takkan dia nak cakap dengan papanya yang aku warning dia ‘putus kawan’ kalau dia ke sana. Mahunya papa dia tembak aku dengan senapang patah, tak ke mati muda aku nanti. Pandai-pandai aje sekat anak teruna orang untuk belajar ke luar negara.

“Dia pernah kata, Lya satu dalam seribu.” Hijaz berkata-kata lagi memanggil aku untuk memandangnya. Dia senyum sebelum meminta diri untuk beredar dan tinggallah aku di situ sendirian mengutip kenangan masa silam.

Zhafran kalau dia sakit, bukan mamanya yang dia cari tetapi akulah tempat dia mengadu. Pernah suatu malam dia demam teruk dan menghubungiku untuk meminta panadol. Tanpa berfikir dua kali, aku terus mencapai panadol dalam first aid kit di rumah dan mengheret tangan ibu ke rumahnya. Ketika tiba di depan pintu rumahnya, aku hampir menjerit melihat mama dan papanya ada di rumah. Ingatkan dia tinggal sendirian.

Pernah satu kali dia jatuh motor dan akulah orang pertama juga yang dia hubungi. Waktu itu aku masih di berada di perut bas dalam perjalanan pulang dari sekolah.

“Teruk ke?” soalku penuh bimbang tatkala dia menyampaikan berita tersebut.

“Tak adalah teruk sangat, lutut aje luka sikit.”

“Aku dalam bas lagi ni. Nanti sampai rumah aku datang tengok.” Janjiku padanya. Wah! macamlah aku ni doktor yang boleh merawat lukanya. Tetapi memang benar, dia memang menunggu aku di depan rumahnya untuk membersihkan dan membalut lututnya yang sedikit tercalar itu. Manja sungguh!

HKC - Bab 8

Sehari sebelum majlis menyambut menantu, kami semua sibuk membuat persediaan. Zhafran dan papanya juga turut datang untuk membantu. Ketika itulah, aku ‘terpaksa’ memperkenalkan Nurin kepadanya.

Selepas perkenalan yang singkat itu, aku perasan Zhafran asyik sekali memandang tingkah Nurin yang lemah gemalai itu. Entahlah, aku tidak pasti sama ada sifat Nurin memang semulajadi begitu atau sengaja dibuat-buat kerana kadangkala aku lihat dia agak kasar bila sendirian dan akan berubah tingkah seratus peratus tatkala berdepan dengan orang terutama sekali lelaki.

Sepanjang tempoh kesibukan itu dan sehingga majlis berlangsung, aku naik mual melihat Nurin yang tergedik-gedik mengendeng Zhafran.

“Abang Zhaf nak air tak?” soalnya sambil menghulurkan segelas air kepada Zhafran.

Abang Zhaf? Uwek! Aku rasa ingin termuntahkan segala isi perut di situ juga. Geli aku mendengarnya.

Zhafran pula hanya senyum sambil menyambut huluran Nurin. Waktu itu, Zhafran sedang menolong Abang Mie dan isterinya, Kak Zie memasang pelamin di anjung rumah manakala aku pula sibuk memberi komen. Aku memang kenal Kak Zie sebab dia anak sepupu abah dan kekadang bila tiba musim cuti, dia sering juga mengajak aku menolongnya memasang pelamin di rumah pelanggan.

Tingkah gedik Nurin bukan hanya berhenti di situ. Sepanjang tempoh sibuk sahinggalah majlis selesai, dia asyik mencari Zhafran. Dia seakan sudah tidak punya rasa malu bergelak ketawa dengan lentok manjanya di tengah-tengah khalayak ramai. Yang membuatkan aku makin menyampah apabila Zhafran pula sibuk melayannya.

Ah! Aku jadi pelik dengan lelaki itu. Selalunya dia memang tidak suka dengan perempuan gedik begitu tetapi dengan Nurin, dia boleh melayan tanpa menoleh kiri dan kanan. Dia juga seakan lupa tentang kewujudanku dan lupa bahawa di sini ialah rumahku.

Melihat tingkah Zhafran mengundang curiga di hatiku. Tak mungkin dia boleh ‘tersuka’ pada Nurin kerana setahu aku, dia memang tidak berkenan perempuan tidak bertudung. Nurin itu tidak bertudung dan rambutnya diwarnakan perang. Pakaiannya juga boleh tahan, kekadang boleh buat mata aku sakit bila memandangnya.

Kecurigaanku tidak hanya terhenti sebaik berakhirnya majlis tetapi ianya berterusan sehingga kami kembali ke kampus. Bermulanya semester, Zhafran sudah jarang mencariku. Mulanya, aku cuba berfikiran positif dengan menganggap dia mungkin sibuk kerana ini merupakan semester terakhirnya tetapi semakin hari, aku perasan dia seakan lain. Bila sesekali kami minum bersama, dia lebih banyak mengelamun dari ‘bertekak’ denganku seperti selalunya.

Aku jadi sedih dengan sikapnya itu tetapi aku tidak tahu pada siapa untuk diluahkan rasa hati ini. Pada Fatin? Tidak mungkin kerana Fatin hanya tahu aku dan Zhafran sekadar sahabat atau ‘teman tapi mesra’ walau sekarang ini kami tidak lagi semsra dulu.

Rasa sedihku makin berganda tatkala aku terdengar dialog perbualannya. Waktu itu, aku baru meletakkan beg di tempat menyimpan barang di lobi library. Hari itu, Fatin keluar dengan boyfriendnya dan aku jadi malas untuk balik ke bilik.

Sebelum masuk ke dalam library, aku menapak ke tempat menjual minuman untuk membasahkan tekak. Tiba-tiba aku ternampak sesusuk tubuh yang membelakangiku sedang duduk sambil minum bersama seseorang yang mungkin juga aku kenali. Ya! itu Zhafran dan juga roomatenya, Hijaz Al-Fattah.

Aku menuju ke arah mereka tetapi sebelum sempat menyapa, bicara Hijaz menghentikan langkahku.

“Kalau kau langsung tak ada perasaan pada dia, kau lepaskan dia. Beri dia ruang untuk kenal lelaki lain yang mungkin lebih baik dari dia terus bersama kau.” Suara Hijaz memanggil aku berfikir, mungkinkah ‘dia’ yang dimaksudkan itu ialah aku?

“Hey! Apa kau cakap ni? Aku tak faham. Aku tak pernah ikat dia. Aku tak kisah kalau dia nak bercinta dengan sesiapa pun.” suara Zhafran meningkah perlahan.

“Macamana dia nak bercinta kalau kau asyik duk himpit dia aje. Lelaki lain tengok pun naik takut. Yer lah, mana tahu tengah2 tackle tiba-tiba penumbuk menyingggah muka.” Ujar Hijaz dan tergelak kecil.

“Heh! Kau ni, ada ke situ pulak. Aku kawan dengan dia dah lama, tak pernah pun aku tengok ada lelaki yang minat dia.” Balas Zhafran sambil menyiku lengan Hijaz. Saat itu aku hampir pasti bahawa ‘dia’ yang menjadi topik bicara mereka berdua itu ialah aku.

“Macamana kau nak nampak, kau dah konker dia.” Selar Hijaz. Nadanya bersahaja sekali tetapi kenapa ya, dia begitu beria-ia ‘menyebelahi’ku?

Please la kawan, aku tak pernah halang dia. Kami Cuma kawan…just friend okey.” Zhafran mengeluarkan kenyataan dengan menekankan perkataan friend dan saat mendengarnya, hatiku menangis dalam diam.

“Mana tau satu hari nanti tuhan terbalikkan hati kau, dari kawan jadi kekasih.” Hijaz bagai ingin menduga.

“Yerk! Loya aku dengar. Tak mungkin dan tak akan pernah mungkin.”

Sungguh… aku rasa bagai tidak berdaya untuk melangkah. Begitu rendah sekali

pandangan Zhafran terhadapku sehinggakan, untuk menganggap aku ini kekasih adalah meloyakan.

Air jernih tiba-tiba saja bergenang di kelopak mataku. Sakitnya rasa, peritnya mencengkam hingga ke jiwa.

Anyway, aku rasa tak ada yang buruknya tentang Lya tu. Yang mahal pada dia ialah sepasang matanya. Dia sangat manis bila tersenyum.” Hijaz memujiku dan aku terkejut mendengar segala pujiannya. Masa bila pulak ustaz ni perhatikan aku?

“Wah! Mana kau tahu semua tu? Kau selalu perhatikan dia yer?” Zhafran juga terkejut. Dia sudah berpaling merenung Hijaz.

“Jangan-jangan….” Bicara Zhafran mati di situ.

“Kau suka dia.” Dia membuat tekaan dengan jari telunjuk menunjuk ke arah Hijaz.

“Lelaki buta jer yang tak suka dia.” Balas Hijaz selamba. Nadanya tenang-tenang saja sedang aku yang mendengar bagai ingin terjerit di situ.

“Hah! Apa kau cakap? Cuba ulang sekali lagi.” Zhafran seakan tidak berpuas hati, mungkin dia rasa tersindir dengan kata-kata Hijaz itu.

“Aku cakap hanya lelaki buta aje yang tak suka dia.” Ulang Hijaz, masih bernada sama, tenang sambil menggigit karipap di tangan.

“Maksudnya,kau kata aku buta atau…. kau memang suka dia?”

“Yes!” Jawapan Hijaz seiring dengan gelak besar Zhafran. Entah apa yang lucunya aku tidak mengerti.

“Eh! Lya, panjang pun umur kau.” Suara Zhafran yang terjerit kecil memeranjatkan aku. Hijaz yang berpaling kelihatan terperanjat memandangku.

Aku lemparkan senyuman bagi menutup galau di hati. Entah bagaimana spontan aku mendapat idea, mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket jeans dan melekatkan ke telinga, berpura-pura menjawab panggilan yang konon-kononnya telefon itu aku vibratekan.

Sambil menjawab salam yang kononnya datang dari pemanggil, aku mengangkat tangan ke arah mereka sebelum berpusing dan berlalu pergi dengan telefon masih melekat di telinga.

“Lya!” Suara jeritan Zhafran aku buat-buat tidak mendengarnya dan berjalan pantas mengambil kembali beg yang aku letakkan tadi sebelum berlalu pergi dari situ.

Majlis kahwin


Sepanjang hujung bulan Feb dan awal mac 2011 ini, aku tersangatlah sibuk dengan pelbagai aktiviti. Salah satunya ialah majlis perkahwinan adik aku yang last sekali.

Lebih membuatkan aku sibuk apabila majlis di rumah perempuan dibuat di KL dan rumah aku menjadi port untuk family berkumpul. Penuh la satu rumah dengan adik beradik dan ipar duai.

26 Feb 2011(Malam) - Majlis akad nikah di rumah perempuan

Bergambar selepas majlis akad nikah

27 Feb 2011(tghari) - Berarak ke rumah perempuan untuk majlis persandingan. Tema : Merah

Tiga adik aku. Yang tengah tu bawah dari aku, lepas tu yang perempuan dan last sekali yang kahwin tu.
Hubby dengan anak buah - teringin nak dapat anak perempuan tapi tak dapat, anak buah jadi anak angkat. Namanya Aleya Antasya tapi digelar duyung krn ibunya suka tengok cerita Dysebel masa mengandung.

Bergambar selepas majlis bersanding di rumah pihak perempuan.

Pelamin di pihak perempuan - Tema : Merah putih

Persalinan kedua - Semua persalinan adalah sponsored by D'Ina Pengantin(adik perempuan aku punya Butik.)

Make-up juga sponsored - Mak Andam yg kuat membebel.


Mak Andam yang keletihan, tertidur sementara menunggu juru kamera ambil gambar pengantin.

05 Mac 2011 - Pihak perempuan bertandang ke rumah kami(majlis menyambut menantu)

Pun ada pelamin juga - sebabnya, semua sponsored by D'Ina Pengantin.

Tema : Purple - Kami adik beradik dan ipar duai pakai baju serupa, sponsored juga.

Bergambar lagi - Sesi bergambar selepas majlis

Pengantin lama pun sibuk nak bergambar juga...hahaha

HKC - Bab 7

Sepanjang bercuti, aku sibuk menolong along membuat persediaan untuk hari perkahwinannya. Namun, dalam kesibukan itu, aku masih sempat menghimpun rasa kecil hati. Ya! aku benar-benar rasa kecil hati. Sejak Nurin tinggal bersama kami, perhatian ibu sudah semakin berkurangan untukku. Banyak perkara yang aku harus berkongsi dengan Nurin termasuklah barangan peribadiku.

“Bu, siapa yang masuk bilik Lya? Novel Lya, macam ada yang kurang.” Soalku pada ibu setelah aku perasan susunan novel-novelku di dalam kabinet di bilik ada yang lompong menandakan satu dua naskahnya telah ditarik keluar dari susunan tersebut.

“Oh! Lupa nak cakap. Rin pinjam beberapa buah novel Lya. Bosan tak ada apa nak buat, jadi Rin cuba cari bahan untuk dibaca.” Nurin yang entah dari mana datang tiba-tiba menyampuk.

Ibu hanya tersenyum ke arahnya sedang aku sudah tidak mampu untuk bermanis muka. Pantang bagi aku orang lain mengusik barangan peribadiku tanpa meminta keizinan terlebih dahulu lebih-lebih lagi kalau koleksi novel-novelku.

Ibu memang tahu aku tidak suka meminjamkan novelku pada sesiapa pun. Pernah saudara maraku yang lain datang dan meminta untuk meminjam Novel Jaja & Din karya penulis kesayanganku, Noor Suraya yang aku tertinggalkan di atas kabinet TV, ibu terus melarang dan meminta mereka bertanya kepadaku sendiri. Tapi, kenapa bila dengan Nurin ibu tidak pula berkata begitu? Kenapa dengan Nurin semuanya boleh?

Masa mula-mula balik bercuti dan diperkenalkan pada Nurin, aku cuba menyematkan dalam hati agar menerima dia sebagai sebahagian dari keluargaku tetapi entah kenapa hatiku bagai enggan mendengarnya.

Beberapa hari berada di rumah, aku lihat bilik Nurin sangat bersepah. Rumah kami ada lima bilik dan bilik yang dikhaskan untuk tetamu telah rasminya ibu bagi pada Nurin. Bilik yang kecil itu memang digunakan untuk menyimpan barang-barang lama. Lagi tiga ialah bilik aku, along dan juga ibu. Aku terus bertanya ibu kenapa bilik tu bersepah, takkan Nurin tak pandai nak kemas bilik sendiri. Setahu aku, ibu memang pantang kalau rumah atau bilik bersepah.

“Alaaa… dia masih baru di sini, masih dalam proses menyesuaikan diri.” Jawapan ibu membuatkan aku terdiam. Ada kena mengena ke menyesuaikan diri dengan keadaan bilik yang kita huni? Kalaulah bilik aku begitu, mahunya pagi sampai ke petang ibu tak berhenti membebel.

Sejak itu, tahulah aku, segala yang berkaitan dengan Nurin semuanya baik di mata ibu. Sejak hari itu juga, ada banyak benda yang harus aku kongsi dengan Nurin termasuklah cadar kesayanganku yang kini sudah terhampar di katil tempat tidur Nurin dan entah apa-apa lagi yang tak sanggup aku ceritakan. Sehingga ke satu tahap, aku rasakan kasih ibu terhadapku makin berkurangan dan instinctku berkata, Nurin akan merampas banyak benda yang berada di genggamanku tidak lama lagi. Hatiku berkata, dia akan melukakan aku suatu hari nanti.

Aku berlalu untuk ke bilik bagi menenangkan hati sendiri. Tatkala lalu di depan pintu biliknya yang dibiarkan terbuka itu, mataku tertancap pada novel milikku yang dibiarkan berselerak di atas katil dan salah satu darinya diletakkan telangkup dalam keadaan terbuka. Aku urut dada menahan sabar. Sungguh tidak tahu menjaga harta orang, aku sendiripun tidak pernah berbuat begitu. Tidak nampakkah dia semua buku dan novelku berbalut cantik?

Pantas aku masuk ke biliknya dan memunggut semuanya dan mengusung masuk kembali ke bilikku. Kalaulah kabinet aku yang bercermin cantik ini boleh dikunci, aku memang sudah menguncinya. Buku-buku, walau ia senaskah novel merupakan ilmu yang harus kita jaga sebaiknya. Itu yang aku pegang sejak dulu. Apa yang tertulis di dalam sesebuah buku adalah ilmu dan bila disebut tentang ilmu, kita harus menghormatinya, tidak boleh diletak ditempak kaki berpijak apatah lagi untuk melangkahnya.

Kerana peristiwa itu aku ‘berperang’ dengan ibu. Sebenarnya, Nurin yang mulakan. Dia menyindir dan menuduh aku kedekut di depan ibu. Dia melaporkan pada ibu, aku masuk ke biliknya dan ‘merampas’ novel yang dia pinjam.

“Takkan dia nak pinjam baca pun tak boleh. Lya ni nak cari pasal ke apa?” ibu memarahiku dan aku jadi sedih tiba-tiba. Ya! ibu memang telah berubah. Ibu tidak pernah menuduhku begitu kerana selama ini, aku memang tidak suka mencari pasal walau dengan sesiapa sekali pun.

Aku terus menelefon Zhafran dan mengajak dia keluar tetapi dia pula tiada di rumah, pulang ke kampung neneknya di Johor. Aku lupa, sebenarnya dia ada memaklumkan pemergiannya dua hari lepas.

“Penting ke? Kalau penting, aku balik KL sekarang.” Soalan Zhafran itu makin membuatkan aku sedih.

“Tak! Tak penting pun. Macamana kampung? Nenek kau sihat?” Aku cuba menukar topik bicara.

“Suara kau macam orang sedih. Aku balik sekarang ya.” Zhafran tidak menjawab soalanku sebaliknya masih ingin tahu tentang diriku.

Tidak semena-mena setitis air mataku gugur saat aku mengedipkan mata. Hanya kerana mendengar suaraku yang sedih, dia sanggup memandu pulang dari Johor ke KL. Betapa dia sangat perihatin terhadapku malah aku rasakan keperihatinannya melebihi sensitiviti ibuku terhadap anaknya sendiri.

“Tak! Aku okey. Saja nak dengar suara kau.” Aku pura-pura gelak tetapi ternyata Zhafran lebih bijak.

“Kau tak boleh menipu aku Lya, I know you.” Dia cuba memerangkapku.

“Betul! Aku….”

“Suara kau sudah cukup untuk memberitahu aku apa yang ada di hati kau tanpa perlu aku melihat wajah kau.” Dia memintas. Aku jadi terdiam.

Ya! dia kenal aku lama dan dia sentiasa tahu apa yang ada di hatiku kecuali rahsia yang satu itu. Rahsia di mana hanya aku yang tahu. Rahsia sebuah rasa yang kini seakan bertukar statusnya dari persahabatan menjadi suka. Benar… aku suka dia sungguh-sungguh. ‘Lya, suka itu bukan cinta tetapi suka itu salah satu jalur-jalur yang boleh membelit dan mengheret kita menuju ke satu daerah yang bernama cinta.’

“Eh! aku nak putuskan talian ni. Along call aku, lupa pulak aku ada janji dengan dia nak pergi beli barang pengantin.” Aku mencipta alasan dan sebelum sempat dia membalas, aku sudah memutuskan talian

Nafas yang panjang aku tarik. Saat yang sama aku teringatkan along dan tanpa lengah aku menghubunginya untuk mengajak dia keluar. Kebetulan, dia memang sudah berjanji dengan tunangnya, Kak Hana untuk keluar membeli belah barang-barang persiapan akhir perkahwinan mereka.

Melihat wajahku yang murung, along terus bertanya dan aku tidak teragak-agak meluahkan segala rasa hati yang tersimpan sejak sekian lama. Aku memang rapat dengan along walaupun kami jarang bertemu. Dia sangat memahami persis abah. Bertuah sungguh Kak Hana dapat memilikinya.

“Entahlah! Lya pun tak tahu kenapa. Macam semuanya tak kena.” aku lepaskan keluhan berat di akhir ceritaku.

“Jangan banyak mengeluh, Tuhan tak suka hambanya yang banyak berkeluh kesah.” Nasihat along dan aku diam menyedut minuman.

“Mungkin selama ni Lya tak pernah berkongsi apa-apa dengan orang lain, maka Lya rasa tergugat. Cuba Lya fikir bagaimana orang yang punya adik-beradik yang ramai dan terpaksa berkongsi segalanya beramai-ramai.” Lembut suara along masuk ke telingaku.

“Cuba Lya buka hati untuk terima dia sebagai sebahagian dari keluarga kita. Dia tu bukannya orang lain, sepupu Lya juga kan?”

Aku masih diam, begitu juga dengan Kak Hana. Bakal kakak iparku itu lebih banyak mendengar sejak dari tadi. Sejak diperkenalkan oleh along beberapa bulan yang lalu, aku memang suka dia. Dia Lebih banyak tersenyum dari berbicara dan lemah lembut orangnya, itulah bidadari pilihan along. Bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah St John Bukit Nanas, berkulit sawo matang dan bertubuh tinggi lampai, sesuailah dengan along yang tidak kurang handsomenya.

“Lagi pun, dia tu kan anak yatim. Besar pahalanya menggembirakan hati anak-anak yatim.” Sambung along lagi.

“Eleh! Dia bukannya budak-budak lagi. Dah layak jadi mak budak pun.” cebikku.

Along senyum sambil mengeleng kepala. Kak Hana juga turut tersenyum melihat tingkahku.

“Sama juga dengan Lya kan? Kalau kahwin, dah boleh jadi mak budak.” Aku pula yang terkena.

“Apa Lya pulak?” badanku sudah menegak, tidak suka along memanjangkan topik tersebut.

“Yer la, dah layak jadi mak budak pun perangai masih macam budak-budak.” Along gelak-gelak melihat reaksiku.

“Mana adaaa….” Aku terus memukul lengannya.

“Cepat-cepatlah kahwin. Nanti along suruh Zhafran terus masuk meminang sebaik dia habis belajar semester depan.”

“Heh! Apa pulak Zhafran?” aku sudah membulatkan mataku, terkejut apabila along membabitkan nama lelaki itu. Memang seluruh keluarga kami tahu tahap mana rapatnya aku dengan Zhafran tetapi setakat hari ini, tiada sesiapa pun yang berani bertanya tentang soal nikah kahwin.

“Habis tu, kalau bukan Zhafran siapa lagi?” along pula membulatkan matanya padaku.

“Siapa apa pulak? Lya mana ada siapa-siapa.” Aku mula memuncung, tidak suka along memanjangkan cerita tersebut.

“Zhafran tu siapa?”

“Kawanlah!”

“Mmmm.. yer la kawan. Orang tu sampai tolak tawaran ke luar negeri semata-mata tak nak berjauhan dari kawan dia ni. Sebabnya, kawan dia ni tak berapa pandai macam orang tu.” along menyindir, membuka cerita lama.

“Along cakap apa ni? Tak fahamlah!” aku pura-pura tidak faham.

“Eleh! Kura-kura beli saham, pura-pura tak faham. Macamlah along tak tahu.”

Aku gelak kuat mendengar peribahasa along yang entah apa-apa itu. Entah mana dia belajar dan entah bagaimana dia tahu cerita tersebut sedang selama ini aku anggap semua itu hanya aku dan Zhafran yang tahu.

Dulu, Zhafran pernah menolak tawaran ke asrama penuh kerana tidak ingin berpisah dengan keluarganya dan sekali lagi dia menolak tawaran ke luar negara yang mendapat tajaan dari petronas. Waktu itu, papanya mengamuk sakan tetapi dia tetap berkeras dengan keputusannya. Bila aku tanya, jawapannya amat mengejutkan, ‘aku pilih UM sebab nak belajar sama-sama dengan kau. Sebab kau kata kau tak berapa pandai dan tak mungkin mendapat tempat ke luar negara. So, kau juga harus memohon untuk ke UM.’ Itulah jawapannya dan kerana itu, aku jadi terikat dan terpaksa menjadikan UM sebagai pilihan utamaku ketika mengisi borang UPU.