FOLLOWERS

Sentuh Hati Dia - Prolog

DATANG jumpa si teman asalnya nak bincang hal bisnes tapi topik lain pula yang keluar. Taufik kalau diberi peluang bercakap, memang semua dia harung satu kali.

Dari topik kawan-kawan, masuk ke topik adiknya yang kini dikatakan sedang rapat dengan seseorang yang dia tak suka. Macam-macam cerita.

“Apa kata kau aje yang pinang adik aku tu.” Ayat terakhir yang keluar dari bibir Taufik membuatkan badan Haraz spontan menegak.

Pinang adik Taufik yang nama Humaira tu? Otaknya terus berlari laju. Mencerna maklumat si empunya diri yang dimaksudkan. Cantik manis tapi garangnya yang amat.

“Adik kau tu, pandang aku pun macam nak telan orang! Tak berani aku.”

“Alah! kata kasanova tersohor. Takkan nak tackle adik aku yang biasa-biasa tu pun tak berani,” provok Taufik.

“Itu dulu. Sekarang aku dah bersara.” Haraz geleng kepala. Kasanova tersohor tu, gelaran dulu-dulu. Sekarang tak lagi.

“Atau kau masih ada hati dengan Arissa?” Taufik angkat-angkat kening. Sengaja nak korek isi hati si teman.

Bukan dia tak tahu apa yang berlaku. Haraz  pernah jadi manusia serabai kerana kecewa dengan awek yang bernama Arissa tu.

Kemudian, tiba-tiba saja berubah. Muka yang dulu jadi regular customer kelab-kelab mewah, kini dah jadi pengunjung tetap masjid.

“Sudah-sudah la tu bro. Orang tu pun dah beranak pinak dah.”

“Aku dah tak ingat dia laaaa...” rendah suara Haraz.

Sejujurnya, dia memang dah lupa pun kisah lama. Cuma, dia tak mahu terjebak dengan mana-mana perempuan sebelum tiba seruan untuk berkahwin. Takut godaan kerana godaan paling dasyat untuk lelaki adalah perempuan.

“Kalau dah tak ingat. Buktikan.”

“Kau nak aku bukti apa ni?”

“Tackle adik aku sampai dapat. Aku teringinlah nak ada adik ipar macam kau.” Taufik gelak.

“Kau memang seorang abang yang gila. Kalau aku jadi adik ipar kau, takut dengan aku sekali turut gila. Dah la adik kau tu garang semacam.” Haraz bangkit berdiri.

“Kau buktikan yang kau tak gila. Pikat adik aku sampai dapat!”

Haraz geleng kepala. Taufik ni memanglah dah gila. Sebab tak suka adiknya berkawan dengan mamat yang terkenal dengan perangai playboy zaman sekolah dulu, dia pula yang nak dijadikan galang ganti.

Mana tahu orang tu dah berubah? Hidayah itu kan milik DIA. Bila-bila masa saja manusia boleh berubah.

ASALKAN DIA BAHAGIA - Bab 5

         
             BUKA mata pagi itu, pandanganku menyapa wajah Haris, sedang baring bertongkat situ memandang tepat ke wajahku. Tanpa senyum, tanpa riak apa-apa, seolah sedang jauh termenung.
       
Aku selak comforter, pandang diri sendiri. Masih lengkap berbaju. Kemudian aku pandang dia, pun sama, masih lengkap berbaju seperti semalam.

        “I tak buat apa-apa malam tadi. Peluk jer, tahu you penat. I pun penat.” Selamba dia bersuara dan tersenyum senget seolah tahu apa yang sedang aku fikirkan.

        “Dah pukul berapa ni?” Aku alih topik.

        “Enam.” Sepatah dia menjawab.

        Sebelum sempat aku bangkit, tangannya tiba-tiba melekat ke atas perutku.

        Aku pandang dia dan pandang tangan dia yang elok landing di perutku. Tapi, dia buat tak faham dengan pandanganku.

        Mula-mula aku cuba berlembut, tolak tangan dia perlahan tapi sekali lagi dia letak tangannya di tempat yang sama sebelum sempat aku bangkit. Kali ini, bukan letak saja, tapi merayap naik ke atas.

        “Isk!” Aku tolak kasar tangan dia dan cepat-cepat bangkit. Tak boleh jadi kalau begini. Kang subuh entah ke mana, aku pula yang jadi mangsa.

        Aku capai tuala dan melangkah ke arah bilik air. Tapi, terlebih dahulu Haris memintas dan menghadang di depan pintu.

        “Tolong tepi sikit boleh tak?” Aku rempuh dia dan melangkah 
masuk ke dalam bilik air. Tapi sebelum sempat aku tutup pintu, dia sudah menahan dari luar.
       
“Kenapa kasar sangat ni?” soalnya dan ikut masuk. Pintu ditutup, tidak kuat dan tidak juga perlahan.

        Errkk... pagi-pagi buta berdua dalam bilik air. Ini tak boleh jadi.
     
   Tiba-tiba tangannya mengepung tubuhku di dinding dan pergerakanku jadi terbatas.
     
   “Patutnya isteri bangkit pagi beri salam dan bagi morning kiss kat suami. You pulak, tepis-tepis tangan suami.” Suaranya lembut, bukan nada marah tapi kenapa aku rasa seperti terpukul?

        “I tak ada mood nak bagi you morning kiss bagai.”

        “Kenapa?” Haris kerus kening. Kedua tangan masih mengepung tubuhku

        “You tipu I.” Aku merengus geram.

        “Tipu apa?”

        “Tak terus terang yang you dah ada isteri.” Nafasku tiba-tiba jadi tersekat.

        Haris gelak-gelak mendengar kata-kataku buatkan dadaku makin bergelora. Apa dia ingat nikah kahwin dan bermadu ni satu perkara main-main?

        Walau kami berkahwin bukan atas dasar cinta, sebagai isteri pasti akan terluka bila suami membuat pengakuan begitu di malam pertama perkahwinan.

        “Tak berterus terang dengan tipu adalah dua perkara yang berbeza sayang,” ucap Haris. Tanpa amaran, pipiku menjadi sasaran bibirnya.

        “Isk!” Aku tolak tubuh dia dan buka pintu.

        “Keluarlah! Dah lambat nak solat ni.” Aku gunakan alasan solat agar dia mengalah.

        Dan benar, dia mengalah. Melangkah keluar dari bilik air bila aku menolak tubuhnya sehingga keluar dari pintu.
      
  Aku memang kenal Haris lama tapi kami tak rapat. Jadinya, aku tak tahu sisi dirinya yang sebenarnya. Yang aku tahu, dia ada ramai girlfriend sejak dari zaman sekolah lagi.

        Tak sempat nak kenal hati budi, tup-tup dah disuruh kahwin dan Haris pula macam tak menyempat nak kami diikat dalam ikatan perkahwinan.

        Terfikir juga, mungkinkah dia mahu percepatkan perkahwinan kami untuk menutup perkahwinan rahsianya?
         
       
         
LEPAS solat subuh berjemaah, Haris ajak aku tidur balik tapi aku malas nak layan.
      
  “You tidurlah. I nak turun.”
      
  “Pagi lagi, tak ada orang lagi kat bawah tu.” Haris mahu mencapai tanganku tapi aku mengelak.
     
   “Tak ada orang pun takpe, I nak ambil angin.” Aku beri alasan. Tak ada hati sebenarnya nak duduk dekat dengan dia. Dahlah kahwin macam kahwin koboi, tak ada cintan cintun. Tambah pula dia mengaku dah ada isteri lain. Remuk redam hati yang sekeping ini.
      
  “Teman I tidur kejap. Lepas tu you nak turun, turunlah. I nak peluk jer, tak buat apa-apa.” Kali ni tanganku sudah dicapai dan ditarik ke katil.
   
    ‘Huh! Betul-betul macam hitler. Nak orang ikut cakap dia aje.’ Aku mengomel dalam hati. Nak cakap depan-depan, takut pula Hitler naik angin.
    
    Sudahnya, aku ikutkan saja, baring tapi membelakanginya. Dia tak cakap banyak, baring dan peluk aku dari belakang. Wajahnya terasa melekat di belakang kepalaku dan nafasnya disedut dalam.
     
   Mulanya, aku rasa semacam. Ada debar singgah di dada. Takut kalau-kalau Haris tiba-tiba buat perangai nak tuntut hak di bagi buta. Tapi, dia hanya diam. Nafasnya saja yang kedengaran menderu.
      
  “Mmm... penat sungguh.” Hanya itu yang aku dengar sebelum dia diam tak berkutik.
     
   Lama begitu, aku alihkan tangannya. Ternyata dia sudah terlena. Sedetik aku tenung wajahnya. Dalam tidur pun dia nampak kacak, inikan pula bila dalam jaga. Mata hitamnya yang sedikit kelabu itu, sangat menggoda dan boleh menggoyah iman kalau ditenung lama-lama.
    
    Sebelum bergerak turun ke bawah, aku kunci jam dan letak tepi telinga Haris. Sebabnya, aku malas dah nak naik atas kejut dia bila tiba waktu sarapan.
    
    Melangkah turun, aku bertembung dengan umi yang baru mahu melangkah ke dapur. Umi terus paut bahuku dan bertanya tentang anak lelaki kesayangannya.       

“Tidur balik lepas solat subuh umi.”
   
     “Kalau letih, begitulah gayanya.” Umi melangkah ke arah dapur dan aku mengekor dari belakang.
    
    Di dapur, ada dua orang gaji sedang sibuk menyediakan sarapan. Mak Wan, wanita separuh abad yang sudah lama berkhidmat di dalam keluarga tersebut. Aku memang kenal dia sebab selalu bertemu bila aku dan keluarg berkunjung ke situ. Seorang lagi pembantu baru dari Jawa Barat, Kak Tutie.
     
  “Dira kena banyak bersabar sikit dengan Ris tu. Dia memang suka mengarah itu ini tapi kalau kena gaya, dia boleh ikut saja apa yang Dira cakap.” Umi memulakan sesi suai kenal anak lelaki kesayangannya.
     
   Mmm.. aku tak cakap apa. Diam mendengar. Kenyataan yang pertama tu aku dah nampak sikit-sikit tapi kenyataan yang kedua tu, belum tahu lagi.
    
    Kalau tak silap pemahaman aku, maknanya aku harus cari rentak supaya kena dengan gaya agar Haris boleh ikut apa saja cakap aku.
    
    Umi bercerita lagi perihal Haris, kesukaan dan kegemaran lelaki itu. Haris tak suka sarapan berat-berat. Cukup dengan secawan nescafe dan sekeping roti. Tak cerewet dalam memilih makanan. Kalau dah lapar, telur goreng kicap pun dia tak kisah. Minuman kegemarannya memanglah nescafe. Itu memang aku tahu sejak dulu.
     
   Sedang umi sibuk bercerita tentang Haris, tiba-tiba perbualan kami terganggu dengan kemunculan seseorang yang memang sangat aku kenal.
    
    “Morning umiii..” suaranya nada manja, tapi seperti mengada-ngada pula di telingaku.
    
    Terus dipeluk tubuh mertuaku, kononnya mesra.
     
   “Morninggg... awalnya bangun. Malam tadi kata penat?”
     
   Aku kerut kening. Tidur sini ke perempuan ni?
    
    “Pergi duduk dulu, tunggu Mak Wan hidang sarapan.” Umi balas pelukannya. Memang nampak kemesraan mereka.
    
   “Ris mana?” soalnya, pandang umi dan kemudiannya menjeling ke arahku. Tapi, aku buat-buat tak dengar soalannya.
     
   Pagi-pagi tanya suami orang. Apa kes?
    
    “Kat atas lagi.” Umi yang tolong jawab.
   
     “Ada apa-apa yang Fida boleh tolong?”
  
      Uwekk! Aku rasa macam nak termuntah mendengar suara ala-ala perempuan melayu terakhir itu. Nasib baik belum sarapan pagi.
    
    Macamlah aku tak kenal siapa dia. Satu sekolah dan kadangkala sekelas, perangainya kalah mawas kat atas pokok. Tapi kalau depan Haris, penari ulik mayang pun kalah. Plastik!
     
   Malas nak dengar dan tengok gaya plastik perempuan yang aku tak suka merangkap sepupu Haris itu, Aku terus ke ruang makan, menatang sedulang air yang sudah siap dibancuh Mak Wan.
   
     Baru meletakkan dulang ke atas meja, tiba-tiba terasa bahuku ditujah kasar.
  
      “Kau ingat kau kahwin dengan Haris kau dah jadi mem besar dalam rumah ni?” Suara Afida dan aku tahu jari siapa yang tujah bahuku.
    
    Aku berpaling dan senyum segaris.
     
   “Kalau aku nak jadi mem besar pun, kau peduli apa?” Aku ajuk cakap Ustaz Azhar Idrus.
    
    “Heh! Kau tak payah bermimpi di siang hari. Yang patut jadi mem dalam rumah ni ialah aku, bukan kau! .” Dia terus ketawa.
   
     Eh! Dah rupa macam orang gila pulak aku tengok. Bercakap dan ketawa sendiri.
     
   “Morning!” tiba-tiba Haris muncul dan ketawa Afida terhenti.
     
   “Risssss...” dia terus mendapatkan Haris dan memaut lengan suamiku.
  
      Amboi! Ini dah lebih.
    
    “Dari jauh dah dengar you ketawa, Happy pagi-pagi ni, ada berita gembira ke?” Haris angkat kening pandang Afida di sebelahnya.
   
     Aku yang melihat terasa mual tiba-tiba. Afida tu dah memang ternyata miang tapi Haris pula takkan tak pandai nak tolak pautan perempuan tu atau tarik lengan sendiri? Depan isteri kot.
  
      “Gembira laaa.. sembang dengan isteri you. Kan Dira?” Afida buat suara manja.
    
    Ouh! Plastik!!!! Aku terus blah ke dapur. Tak kuasa nak tengok rupa plastik melentok macam terkena panas itu.
     
   Masuk ke dapur, umi dan Mak Wan pula sudah bersedia untuk ke ruang makan bersama hidangan di tangan. Aku turut membantu membawa apa yang patut.
    
    Kelihatan Haris sudah mengambil tempat di meja makan. Kemudian, dia tarik kerusi di sebelah kanannya dan pandang aku. Baru aku mahu melangkah, Afida sudah pun duduk di situ.
    
    Eh! Langkahku terus terhenti dan aku terus saja tarik kerusi di mana tempat langkahku mati. Tak pernah lalui keadaan begini, jadinya aku kekok dan serba tak kena.
   
     Saat yang sama papa mertuaku muncul dan terus mengambil tempat di sebelah umi. Meja tersebut ada enam kerusi. Maksudnya masih ada satu tempat kosong di sebelahku dan juga sebelah Haris.
   
     Haris macam tak kisah aku duduk jauh dari dia. Jadinya, kenapa aku pula yang nak kisah?
    
    Memanglah mula-mula tu aku tak kisah. Tapi bila lihat Afida yang gedik membantu Haris menuang nescafe ke cawan, aku mula tak sedap hati. Aku atau Afida sebenarnya isteri Haris?
    
    Isteri? Jantungku terus berdetak laju bila sebut perkataan tu. Aku dongakkan wajah dan saat yang sama Haris juga memandang ke arahku.
    
    “You nak kaya atau Nutella?” Afida menyoal buat Haris kalihkan pandangan.

       Di tangannya sudah terpegang sekeping roti, sedang di atas meja ada lagi hidangan lain, macam tahu saja Haris suka makan roti untuk sarapan.
   
     “Kaya.” Sepatah Haris menjawab dan Afida dengan lincahnya ‘menjalankan tugas’.
   
     Aku? Hanya mampu memandang drama korea tanpa skrip di depan mata.
     
   Sebaik roti beralih tangan, Afida pandang aku dengan ekor mata. Dii bibirnya terukir senyuman sinis buatkan dadaku mula diasak sebal.
    
    Siapakah Afida sebenarnya di sisi Haris? Sekadar sepupu atau lebih dari itu? Atau.. mungkinkah isteri yang disebut Haris itu ialah Afida?
   
     Aku pandang umi tapi nampak umi bersahaja melayan papa bersarapan. Seolah perkara begini sudah terlalu biasa dalam keluarga ini.
   
     Kalau benar apa yang aku fikirkan, adakah umi tahu tentang ini? Atau, mungkinkah Haris gunakan aku untuk menutup kisahnya bersama Afida?
         
         

         

ASALKAN DIA BAHAGIA - Bab 4

         
            SELESAI segalanya, aku duduk merehatkan badan di dapur.  Penat! Majlisnya walau tergesa-gesa, sangatlah meriah sehingga rahangku naik lenguh untuk tersenyum setiap masa pada tetamu yang hadir.
     
   “Pergilah naik atas rehat Dira. Muka tu dah letih sangat umi tengok.”
      
  Mataku yang kuyu kembali segar mendengar suara umi menegur.
    
    “Yalah. Dira naik dulu ya, umi.” Aku bangkit meminta diri.

       Kaki terus melangkah keluar dari ruang dapur tapi tidak pula menuju ke atas. Entah kenapa gatal saja mahu menjenguk ke luar.

       Dari muka pintu utama, kelihatan ada lagi tetamu yang terdiri di kalangan kaum kerabat masih melepak di bawah khemah. Tapi, tidak kelihatan pula Haris di situ.

        Aku atur langkah menjenguk ke pintu sebelah kanan pula. Banglo ni, gila punya besar. Kalau main sorok-sorok pun, satu hari takkan jumpa.

      Berdiri di pintu menuju ke taman mini, telingaku terdengar suara orang bercakap-cakap. Perlahan aku menghampiri untuk mendengar. Macam suara papa mertuaku.
   
     “Perkahwinan bukan sekadar untuk seronok-seronok. Perkahwinan adalah satu tanggungjawab.” Memang suara papa mertuaku.
    
    Melalui celahan daun pintu, aku lihat papa mertuaku sedang berdiri selari dengan Haris yang berdiri berpeluk tubuh. Haris Aryan yang kini sudah berstatus suami pada seorang  Adira Imani.
  
      “Selepas ni papa nak Ris tumpukan pada syarikat dan rumah tangga. No more enjoy dan perempuan sana sini.”
   
     “Pa... kawan saja tak salah kan?” Haris menjawab.
  
      “Memang tak salah. Tapi kalau berdua antara lelaki dan perempuan itu, orang ketiga ialah syaitan dan janji syaitan ialah akan sentiasa menghasut anak adam sehingga tersesat. Papa bimbang jika Ris tersilap langkah. Nafsu lelaki walaupun satu, kuatnya mengalahkan sembilan nafsu perempuan.”
  
      “Insya Allah tak, pa.”
      
  “Yang akan membuatkan seseorang lelaki itu kuat dan berjaya dalam hidup ialah perempuan dan yang mampu membinasakan lelaki dalam sekelip mata juga perempuan.  Dira itu walaupun keturunannya kita tidak tahu, papa yakin dia perempuan baik-baik yang mampu menjadi isteri yang menyenangkan suami. Jaga dia selayaknya.”

        “Baik, pa.”
    
    Cuma itu yang aku dengar sebelum langkah aku undur ke belakang. Sebabnya, dadaku tiba-tiba jadi sebak mendengar bicara bapa mertuaku. Benar, keturunanku tidak diketahui. Jadinya, aku harus bersyukur kerana masih ada manusia yang sanggup ‘mengambil’ aku menjadi sebahagian dari keluarga mereka di saat ibu dan bapaku sendiri membuangku macam sampah.
   
     Kerana itu juga, aku harus jadi manusia yang sedar diri. Walau pun mungkin Haris mengahwiniku bukan kerana cinta, cukuplah dia sanggup menjagaku dengan baik.
    
    Aku terima Haris dan menolak desakan Abang Ikmal agar aku berkahwin dengan dia juga atas alasan yang sama. Aku anak yang tidak tahu asal usul. Cukuplah keluarga mama dan abah membela dan mencurahkan kasih sayang selama aku hidup di bumi Tuhan ini. Tidak sanggup pula aku melukakan hati mama dan abah untuk membatalkan semuanya dan berkahwin dengan abang sendiri. Ianya pasti akan menjadi sejarah yang melukakan dalam keluarga.

      Sambil menyeka air jernih yang gugur jua ke pipi, aku atur langkah laju naik ke atas. Cepat-cepat mandi dan tukar pakaian sebelum bersolat isyak.
     
   Selesai saja solat, pintu bilik di kuat dari luar dan Haris muncul di situ. Masih berbaju melayu dan bersongkok di kepala, Haris melangkah masuk.
    
    “Kenapa solat tak tunggu I?” soal Haris.
     
   “You tak cakap, mana nak tahu.”
   
     Haris ngeleng kepala mendengar jawapanku. Langkah diatur melencong ke arahku yang sedang  melipat marhana.
   
     “Wahai isteri tersayang. Dah jadi suami isteri, seeloknya solat berjemaah. I bukan saja nak jadi imam you dalam rumah tangga tapi nak jadi imam you ketika solat juga.”
    
    Aku telan liur mendengar kata-kata Haris. Indah dan nyaman tapi, adakah hakikat sebenar perkahwinan kami seindah ayat yang diucapkan tadi?
    
    “Mari duduk sini, I nak cakap sikit.” Haris tarik tanganku menuju ke katil. Saat itu, rasa debar sudah mula berlegar di dada. Serius saja bunyinya.

       Haris duduk di birai katil dan menarik aku agar duduk sama seiring dengan duduknya. Kemudian, dia berpusing dan menarik sebelah kaki bersila menghadap ke arahku. Jemariku dicapai dan digenggam erat.
   
     “I nak terus terang.” Bicara Haris menarik aku mendongak ke wajahnya menanti ayat seterusnya.
   
     “I sebenarnya dah ada isteri.”
   
    “Hah??”
   
    Aku terkebil-kebil memandangnya, cuba mencerna apa yang telah diucapkan.
   
     “You...” aku tak pandai lagi untuk meneruskan kata tapi aku yakin Haris faham apa yang mahu aku tanyakan.
  
      Haris angguk kepala dan aku rasa seperti langit yang tujuh jatuh menghempas kepalaku, menghancurkan semuanya. Tiba-tiba aku terasa mahu menangis. Takdir apakah ini?
   
     “Kalau dah ada isteri, kenapa kahwin lagi dengan I?” aku tahan tangis.
  
      “Sebab I nak you.” Mudah jawapannya semudah apa yang telah dia lakukan sebelum ini untuk mendapatkanku.
  
      “I tak suka lelaki tamak. Lebih-lebih lagi dalam soal beristeri lebih.”
  
      Haris gelak. Entah apa yang lucunya. Rasanya aku tak buat lawak dan nada aku juga bukan nada melawak tapi nada marah.
  
      “Untuk dapatkan you, I harus jadi tamak.” Haris terus bangkit, mencapai tuala dan berlalu ke bilik air meninggalkan aku yang sudah bergenang air jernih mengaburi mata.
    
    Haris.. apa sebenarnya yang you nak cuba lakukan? Dendam apakah yang mahu you lunaskan?
      
  Menyeka air mata yang sudah turun ke pipi, aku melangkah ke balkoni, termenung sambil menenangkan hati di situ. Menyesal? Sudah tidak berguna lagi untuk disesalkan apa yang terjadi.
   
     Baru saja aku sematkan dalam hati, jika Haris boleh menerimaku dan menjagaku dengan baik, akan kusemai benih cinta untuk dia tapi belum apa-apa lagi, dia sudah membunuhnya dengan kejam.
    
    “Jom tidur.” Suara yang tiba-tiba kedengaran hampir di belakangku buatkan badanku menegak dan mengeras.
  
      Sesaat kemudian, terasa bagai ada haba menghangatkan udara. Belum sempat berbuat apa-apa, tangan Haris sudah melingkar di pinggang dan melekat di perutku.
  
      “Kalaupun kita kahwin bukan atas dasar cinta, tak semestinya kita tak boleh tidur bersama kan? Tanggungjawab tetap tanggungjawab.” Suara itu berbisik perlahan hampir di tepi telinga buatkan bulu roma di tubuhku tegak berdiri.
   
     Kemudian, terasa dagu mendarat di bahu kananku dan hembusan nafas menampar cuping telinga.
   
     Oh! Ke mana hilangnya semua udara? Kenapa sukar sangat untuk menyedut nafas?

       Haris pusing tubuhku menghadap ke arahnya. Kedua pipiku dipegang dan wajahku yang menunduk di dongakkan. Tanpa amaran, satu kucupan diberikan di dahi, satu lagi di pipi kiri dan kemudian beralih ke pipi kanan. Saat bibirnya mahu mendarat di bibirku, Aku pusingkan wajah dan menolak dadanya agar menjauh.

        Pantas langkah aku atur menuju ke katil. Tak perlu tunggu dia ajak tidur, baik aku tidur sendiri. Dah ada isteri, tak payahlah nak beria macam tak pernah beristeri.
    
    Aku rebahkan tubuh ke tilam dan tarik comforter menutup sehingga ke muka. Beberapa ketika kemudian, lampu tertutup. Sudah tentulah kerja Haris.

       Aku tahan nafas saat terasa tilam di sebelah bergerak tanda Haris turut naik ke atas katil yang sama. Yalah, takkan dia nak tidur di sofa seperti dalam cerita novel tu kan?
    
    Aku pusingkan badan membelakanginya. Tiba-tiba comforter yang menutup kepalaku diselak hingga ke bawah. Aku tarik semula naik ke atas tetapi Haris tarik pula turun ke bawah hingga ke pinggang. Beberapa kali main tarik atas bawah, akhirnya aku mengalah, diam dan bekukan diri.
    
    Tiba-tiba jemari Haris singgah di lenganku yang terdedah. Tapi, aku masih bekukan diri. Tapi, saat jemarinya menjalar dari lengan naik ke bahu, aku tepis tangannya kasar.
     
   Saat itu, kedengaran dia tergelak perlahan.
    
    Kemudian, terasa Haris merapatkan tubuhnya dan sebelah tangan sudah melingkar di pinggangku. Sebelah lagi tangan mengangkat kepalaku dan diletakkan ke atas lengannya.

       Aku ingin mengensot untuk menjauh tetapi pelukannya yang kuat itu membataskan segalanya.

        “Malam ni I bagi peluang you layan perasaan. Tapi malam esok, you kena layan I.” Bisik Haris perlahan di tepi telingaku.
    
    Dan... air jernih yang sejak tadi kutahan, gugur lagi.

         

ASALKAN DIA BAHAGIA - Bab 3

         
            ABANG IKMAL berterusan mendesakku agar berterus terang dengan mama dan abah tapi aku tak mahu. Sejak petang semalam, seboleh mungkin aku cuba mengelak dari bertembung dengan dia.
   
     Bila aku buat tak layan panggilannya, dia ketuk pula pintu bilik.
     
   “Dira...” suaranya sayu sebaik aku membuka pintu bilik.
      
  “Abang.... Dira tak boleh bagi abang masuk. Tak manis.” Aku kecilkan bukaan pintu. Hanya muat-mat tubuh aku saja berdiri di tengah ruang yang terbuka itu.
  
    “Turun bawah, atau kita keluar sekejap?”
   
   Aku mengeleng laju.
     
   “Dira, pleaseee...” Abang Ikmal mula merayu buatkan aku serba salah.
     
   Benar, aku sayangkan dia. Tapi, untuk bersetuju dengan cadangan dia, aku tak sanggup. Aku lebih rela menghadap muka Haris setiap hari dari menghadap muka dia sebagai suami.
     
   Sungguh...aku tak sanggup. Sebab dia sudah kuanggap sebagai abang sendiri.
      
  Untuk mengubah semua rasa yang sudah sedia wujud itu sangatlah payah dari menanam benih cinta yang baru terhadap Haris. Jadinya, pilihan aku ialah Haris. Titik!
     
   “Abang balik dari jauh, demi untuk Dira. Please...Kita bincang dulu?”
     
   Akhirnya aku akur. Mengikut langkahnya turun ke bawah dan kali ini kami ke bahagian belakang banglo tersebut di mana terdapatnya gazebo kecil untuk keluarga beristirehat.
     
   “Dira...” Abang Ikmal memulakan bicara sebaik kami duduk berdepan.
   
      “Abang nak Dira tahu yang abang sayang Dira sangat-sangat.”
    
    “Tapi kenapa abang tak nak baik Malaysia? Abang nak tunggu Dira keluar dari rumah ni dulu baru nak balik kan?”
    
    Dadaku tiba-tiba jadi sebak bila teringat kata-kata mama. Dengan cara mengahwiniku, aku akan keluar dari rumah ini dan Abang Ikmal boleh balik tinggal di sini. Sadis sungguh cara aku dihalau.
     
   “Dira dah salah faham. Mama pun sama.”
      
  “Tak! Dira memang faham sangat-sangat. Patutlah bila Dira tanya, abang selalu beralasan.” Aku bagai membentak. Rasa yang menujah di dada buat aku hampir hilang kawalan.
     
   Siapa yang tak sedih bila keluarga yang selama ini memberi sepenuh kasih sayang tiba-tiba berniat untuk ‘menghalau’ kita dari rumah tempat kita berteduh.
   
     Benar... keluarga ini yang telah ‘mengutip’ aku dan memberi perlindungan di saat ibu dan bapaku sendiri sudah membuangku. Tapi, adakah kerana itu, aku layak diperlakukan begini? Dihalau dengan cara yang halus.
    
    “Dira...” Abang Ikmal memanggil. Aku tidak memandnagnya kerana saat itu air jernih sudah bergenang di kelopak mataku.
     
   “Abang cintakan Dira sejak dulu. Sejak Dira masih remaja. Tapi, abang tak nak ganggu Dira sebab kita masih belajar.”
     
   Kali ini bicara Abang Ikmal berjaya menarik aku untuk mendongak memandang ke wajahnya. Nampak ketelusan di wajahnya.
    
    Dan... kali ini aku rasa mahu menangis untuk rasa cinta yang dia luahkan. Sebabnya, aku sayangkan dia tapi aku tak mampu nak balas rasa itu.
    
    “Lepas abang habis belajar, abang tak balik Malaysia sebab abang bimbang abang tak mampu kawal diri. Kita halal untuk berkahwin Dira. Tinggal sebumbung, abang bimbang nafsu menguasai fikiran.”
     
   Dua titis air mataku mengalir ke pipi dan aku seka dengan hujung jari.
       
“Abang cuma nak tunggu dua tahu lagi, sehingga Dira habis belajar dan abang akan pulang minta mama satukan kita. Tapi...” Abang Ikmal hentikan bicaranya di situ.
     
   “Mama dah salah faham.” Satu keluhan berat keluar dari bibir Abang Ikmal.
   
     “Silap abang juga sebab tak berterus terang. Pusing-pusing cerita bila mama desak abang balik ke malaysia.”
     
   “Abang...” Aku mati kata.
      
  “Abang cintakan Dira, percayalah.” Suara Abang Ikmal seperti orang yang sangat berharap. Renungan seperti tembus dari mataku sampai ke belakang kepala.
      
  Tiba-tiba...
     
   “Hah! Kat sini rupanya kamu berdua.” Suara mama yang sedang melangkah ke arah kami mengejutkan aku dan Abang Ikmal. Serentak kami berpaling.
     
   Mama terus mengambil tempat di sebelahku.
     
   “Mama dari mana?” Aku berbasa basi. Mata cuba aku sembunyikan dari pandangan mama kerana bimbang dia dapat mengesan yang aku menangis. Nanti panjang pula ceritanya.
     
   “Jumpa wedding planner dengan Datin Maria. Dah settle semua, pandai Dira pilih warna?”
      
  “Pilih Warna?” Aku kerut kening. Bila masa aku pilih? Aku tak tahu apa-apa pun.
      
  “Ha’ah. Krim dan Gold. Datin Maria kata, Haris beritahu dia Dira pilih warna tu. Cantik, mama dah tengok contohnya. Nampak mewah dan sesuai dengan kamu berdua.” Mama gengam erat tanganku.
     
   Aku pandang wajah ceria mama dan kemudia wajah sugul Abang Ikmal.
   
     Haris.... apa lagi yang kau aturkan dan menjadikan nama aku sebagai alasan?
      
  “Oh! Sebelum terlupa. Datin Maria pesan esok petang lepas habis kelas dia jemput Dira untuk fitting baju pengantin.” 
      
  Aku jadi sesak nafas tiba-tiba. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Tapi, demi melihat wajah bahagia mama, aku pujuk hati sendiri. Untuk mama dan untuk keluarga ini, aku korbankan segalanya. Asalkan mereka bahagia, aku sanggup pejam mata.
     
   “Mama gembira sangat-sangat. Datin Maria tu baik dan mama percaya Dira akan bahagia menjadi sebahagian dari keluarga mereka.”
     
   Aku senyum dalam tangis mendengar harapan mama. Datin Maria itu baik, itu memang betul sebab aku kenal wanita itu lama. Keluarga kami rapat sejak sekian lama. Setap kali aku ke rumah mereka, layanan Datin maria tak pernah tak menyenangkan hatiku. Setiap bicara dan riak di wajahnya penuh keikhlasan dan kasih sayang.
      
  Tapi, kebaikan ibu mertua saja tidak mencukupi untuk memberi bahagia dalam sebuah rumahtangga. Kalau Datin Maria saja yang baik, anaknya perangai macam hantu, takkan aku nak berdiri tegak macam hantu pocong memerhati apa saja yang berlaku di depan mata?
       
Mama bercerita lagi tentang perancangan perkahwinanku dan mulutku terkunci terus.
      
  “Ma...” Abang Ikmal mencelah. Aku pandang dia dan geleng kepala.
    
    ‘Jangan abang! Jangan lenyapkan kegembiraan di wajah mama. Sebagai anak, biarlah kita berkorban.’ Itu yang aku sampaikan melalui pandangan mata.
       
“Mama dah carikan adik calon yang sesuai. Untuk abang, takde ke?”
    
    Aku lepaskan nafas lega mendengar soalan Abang Ikmal yang melencong jauh dari jangkaanku.
   
     “Eh! Nak suruh mama carikan juga ke? Ingatkan abang dah ada calon.” Mama ketawa dihujung bicaranya. Nampak sangat gembira dan aku pujuk hati untuk turut merasai kegembiraan orang yang aku sangat-sangat sayangi ini.
    
    Mama buka cerita tentang calon menantu pilihan untuk Abang Ikmal dan aku minta diri untuk naik ke atas. Bersama langkah kaki, aku berdoa semoga Abang Ikmal kekal merahsiakan perasaannya terhadapku. Kekal menjadi anak yang sentiasa menggembirakan hati orang tua kerana itu adalah dituntut dalam agama.
     
   Masuk ke bilik, telefon bimbitku yang terdampar di atas katil berdering minta diangkat. Belum sempat aku menjawab, deringan terhenti.
      
  15 miss call? Dari Haris? Ada perkara mustahak ke sampai telefon aku banyak kali ni?
    
    Belum sempat aku menghubunginya, sekali lagi telefon berdering panggilan dari dia.
     
   “Assalamualaikum...” aku lebih dulu beri salam.
     
   Senyap.
    
    “Haris? You ke atau hantu yang telefon ni? Kalau hantu, I nak letak.” Aku jadi geram bila dia berterusan diam.
     
   “You nampak tak berapa banyak miss call?”
     
   “You belum jawab salam I.” Aku saja nak main-mainkan dia. 100 kali miss call pun, aku peduli apa.
     
   “I dah jawab dalam hati.”
     
   “Okey! Ada apa?” malas nak panjang cerita, aku terus tanya tujuan dia menelefon sampai 15 kali.
      
  “Kenapa I call banyak kali tak angkat?”
     
   “I kat bawah tadi, telefon kat atas.”
   
     “Kenapa tinggalkan telefon? Kalau ada kecemesan macam mana?”
    
    Eh! Haris ni tahu ke tak dia sedang bercakap dengan siapa? Aku masih belum jadi isteri dia, dah macam-macam.
    
    “Haris.. kalau you nak tahu, I ni bukan jenis yang gantung telefon kat leher. Kalau ada kecemasan, banyak lagi cara lain nak cari I.” Aku bagi sebijik. Geram punya pasal.
   
     Kedengaran dia hela nafas kuat.
   
     “You nak apa telefon I ni? Kalau setakat nak tanya kenapa I tak kelek telefon ke hulu ke hilir, I dah jawab tadi.” Rasa menyampah pula tiba-tiba datang mempengaruhi emosi.
   
     “Boleh tak kalau you cakap elok-elok dengan I?” suaranya biasa-biasa saya tetapi entah kenapa aku rasa tersindir. Nak cakap baik-baik dengan orang macam dia, susah sikit.
    
    “Okey! Haris sayang... you telefon I ni kenapa?” Aku buat suara ala-ala perempuan gedik dan kedengaran suara ketawa di hujung sana.
      
  Aku jauhkan telefon dari telinga. Tangan naik memegang dada sendiri. Kenapa tiba-tiba ada debar saat mendengar tawa itu?
      
  “Haris tu serius sentiasa. Tapi bila dia senyum dan ketawa, melting habis.” Teringat kata-kata seorang teman sekelas waktu di zaman sekolah dulu.
     
   Memang sejak di alam sekolah, lelaki yang bernama Haris ni menjadi kegilaan ramai kerana identitinya yang begitu. Serius tetapi ada daya tarikan yang tersendiri.
   
     “Dira sayang... esok petang umi akan jemput you untuk fitting baju. Jangan ke mana-mana.”
    
    “Telefon I berbelas kali, nak cakap itu aje?” Aku mencebik. Kalau hanya nak cakap itu, baik tak payah. Sebab aku dah tahu awal lagi.
   
     “Lagi satu....” Haris hentikan bicaranya tergantung begitu.
  
      “Apa?”
    

    “I nak dengar suara you.” Talian terus diputuskan tanpa ucap salam.

       Aku terus terkedu. Suara aku, tak merdu pun. Tapi, kenapa dia nak dengar?
  
      Tiba-tiba hatiku terasa lain. Wajah dia, ada di mana-mana melekat di dinding bilik. Tapi, aku harus sedar diri, Haris itu bagai merak kayangan dan aku ini enggang di rimba. Mana nak setanding duduk bersama. 
   
     Aku pejam mata. Tiba-tiba telefon di tangan bergegar menandakan ada pesanan ringkas masuk.
             
            Haris bukanlah calon yang sesuai
            untuk Dira. Percayalah....
            Abang tak nak Dira terluka nanti.
         
        Pesanan dari Abang Ikmal aku baca dengan perlbagai rasa menejah ke hati. Kalau Haris bukan calon yang sesuai, siapa pula yang sesuai? Abang Ikmal?
Antara mereka berdua, aku sanggup pilih Haris. Ini satu pengorbanan untuk orang-orang yang aku sayang.
                   
            Dira pilih dia, demi mama dan keluarga.
         
        Aku tekan send dan talian terus aku matikan. Biar Abang Ikmal tahu, aku pilih Haris bukan sebab diri sendiri tapi sebab aku sayangkan keluarga ini.