FOLLOWERS

HSC Trailer

Sementara menunggu HSC yg masih tak keluar-keluar lagi, aku bagilah sikit lagi Trailer khas untuk DLa dan membernya, aimie....

*******
‘Maafkan saya, Arman. Maafkan saya atas segalanya. Kalau saya boleh memilih, saya pasti akan pilih awak sebab saya tahu hati ini hanya akan bahagia bila bersama awak’.
Tiba-tiba hatiku terasa ingin memberontak. Mahu saja aku mengajaknya lari jauh dari sini. Namun, tegakah aku melakukan itu sedang segalanya sudah dirancang baik oleh Zhafir? Tegakan aku melukakan hati semua orang hanya kerana ingin menurut kata hatiku?

Tidak tahu mahu berfikir apa-apa, aku bangkit lantas keluar dari bilik pejabatku meninggalkannya yang masih mematung di kerusi. Dengan langkah longlai, aku pergi mencari Aleeya.

“FEA... rasanya, kau masih ada waktu. Cubalah bawa berbincang dengan Zhafir, mungkin dia memahami.” Itulah kata-kata nasihat Aleeya yang membuatkan aku berfikir berulang kali. Masih adakah peluang untukku berbincang dan membatalkan segalanya?

Ah! Tidak mungkin Zhafir mahu membatalkannya hanya untuk memberi peluang kepada hatiku dan hati Arman bersatu apatah lagi motifnya melamarku juga bersebab agar Arman terus kekal bersama Zura. Mungkin juga aku mampu membuat dia berasa cuak untuk meneruskan perkahwinan ini.

Tiba-tiba aku mendapat satu akal. Aku harus menjadi wanita luar biasa yang mampu menimbulkan rasa tidak suka di hati Zhafir sekali gus melupakan niatnya untuk mengahwiniku. Ya! Aku sudah tahu apa yang harus aku lakukan.

BUAT kali ketiga dalam sejarah, aku menghubungi Zhafir. Memang aku ingat, ini merupakan kali ketiga aku menghubunginya sepanjang tempoh aku mengenalinya. Kali pertama, ketika aku mahu menyatakan persetujuanku menerima lamarannya, kali kedua ketika aku ingin meminta pertolongan daripadanya tentang cuti tahunanku dan ini merupakan kali yang ketiga. Selainnya, dia yang banyak menghubungiku.

“Boleh kita jumpa?” Aku terus bertanya sebaik dia menjawab salamku.

“Rindu ke?” Selamba sahaja dia menyoalku kembali tanpa memberi jawapan pada persoalanku.

Rindu? Mengigaukah dia? Mungkinkah ada perkataan rindu pada hati yang tidak pernah wujud rasa cinta?

“You rasa macam tu ke?” Aku kembalikan soalan itu kepadanya dan tawanya meletus kuat.

“I rasa tak, kot?” jawabnya di hujung tawa. Terasa lucu pula dengan jawapannya tetapi aku tiada daya walau hanya untuk tersenyum.

“So, boleh tak?” Aku kembali kepada persoalan sebenar tujuan aku menghubunginya.

“Kalau I kata tak boleh?” Jawapannya juga berupa satu soalan yang seakan sengaja untuk mendugaku.

“Okey. Tak ada paksaan.” Ringkas jawapanku.
Kedengaran tawa halusnya di hujung talian. “Okey. Bagi I half an hour, I datang jemput you.” Keputusannya jauh melencong daripada apa yang kufikirkan.

“Tak payah susah-susah. You beritahu aje mana tempat yang senang untuk you pergi, I akan ke sana.”

“Half an hour from now, I’ll pick you up. Just wait there!” tegasnya lebih berupa arahan. Aku tahu, apabila dia sudah mengeluarkan kata-kata begitu dengan nada yang begitu, bermakna aku tidak berpeluang untuk membantah lagi. Mungkinkah manusia yang sudah biasa jadi bos besar sikapnya begitu? Hampir setiap kata-katanya berbentuk arahan yang tidak boleh dibantah sama sekali.

Namun begitu, di sebalik sifatnya yang suka memberi arahan, ada sesuatu yang harus aku puji pada dirinya. Dia jenis manusia yang menepati janji. Bila berjanji, dia akan pasti datang mengikut waktunya.

SEPERTI janji-janjinya yang terdahulu, hari itu juga dia datang tepat pada masanya, selepas setengah jam dari tempoh kami menamatkan perbualan. Entah bagaimana dia merancang masanya tetapi sering kali dia akan tepat pada waktunya.

Dia menghadiahkanku senyuman sebaik aku menghampiri-nya yang sedang berdiri di sisi keretanya. Rutinnya apabila datang menjemputku, dia akan turun membukakan pintu kereta untukku. Itu lagi satu keistimewaan yang ada padanya, dia tahu cara untuk menghargai wanita.

“Ke mana kita?” soalnya sambil memasang tali pinggang keledar.

“Ke mana saja tempat yang boleh dibawa berbicang dengan tenang,” sahutku. Dia mengangguk dan terus memandu.

Tidak jauh perjalanan kami, dari Serdang dia terus ke Hotel Equatorial dan kami berdua makan malam di situ.

“Sebelum kita kahwin, I ada beberapa permintaan lagi daripada you.” Aku tidak membuang masa lagi, terus membuka bicara setelah pelayan yang mengambil pesanan beredar pergi.

Seperti biasa, dia angkat kedua belah keningnya sebagai isyarat agar aku meneruskan bicara, manakala dia pula akan terus teliti mendengar.

“Hantarannya, I nak sebiji kereta dan sebuah rumah.” Terus sahaja aku meluahkan permintaan ‘gila’ tersebut yang memang sudah terencana di fikiran sejak siang tadi.

“Okey!” Tanpa ragu-ragu dia memberikan persetujuannya.
Aku pula yang terkejut mendengar jawapannya. Terdiam sekejap aku di tempat duduk. Perlahan-lahan aku menelan liur memandangnya. Semudah itukah? Kenapa dia langsung tidak terperanjat dengan permintaanku? Kenapa wajahnya begitu bersahaja sekali?

“Betul ke ni?” tanyaku mahukan kepastian.

“Yeap! You nak kereta apa?” Masih bersahaja, dia menyoalku kembali seolah-olah permintaan itu begitu mudah sekali untuknya, semudah membeli kuih untuk sarapan pagi! Argh! Aku pula yang jadi tertekan dengan reaksinya itu.

Aku membisukan diri seketika, tidak tahu untuk menjawab soalannya kerana sememangnya aku tidak menyangka reaksinya yang begini. Fikiranku ligat berputar mencari-cari nama kereta yang wajar disebut bagi menjawab pertanyaannya.

“Toyota Caldina.” Beberapa saat selepas itu bibirku lancar menuturkan jawapan sejurus sepasang mataku terpandangkan sebuah Toyota Caldina berwarna white pearl memasuki parkir hotel tersebut. Kebetulan, kami sedang duduk di tepi cermin dan boleh melihat dengan jelas keadaan di luar sana.

“Caldina? Are you sure?” Kedua-dua keningnya hampir bertaut apabila dahinya dikerutkan begitu. Mungkin tidak percaya dengan permintaanku.

Aku naik hairan melihat reaksinya. Tadi kata okey sahaja. Tapi kenapa sekarang dia seperti tidak percaya pula? Mahal sangatkah permintaanku itu? Hatiku tertanya-tanya sendiri.

“Caldina aje? Tak nak minta Merc atau BMW?”
Hah! Kali ini aku lebih terperanjat. Dia ni perli aku ke? Aku pandang wajahnya. Lama.

******
Ok.. takat ni dulu...
Soalan cepu mas, klu korang la, dpt peluang macam ni, kereta apa yang korang mintak?

Harga Sebuah Cinta -Trionovel Dec 2010




Bercerita tentang tajuk, novel pertama dulu aku beri tajuk MUNGKIR BAHAGIA tapi telah ditukar menjadi MENGUKIR BAHAGIA. Ok la tu sebab hampir-hampir sama

Yang kedua pula aku beri tajuk JANGAN ADA BENCI dan pilihan kedua MASIH AKU TERASA tetapi telah ditukar jauh dari jangkauan menjadi BEBUNGA KASIH. Apa nak buat, terima jer lah.

Pun begitu, yang ketiga ni paling banyak kali bertukar tajuk..hahahaa..
Sebelum siap aku beri tajuk TERCIPTA UNTUKKU. Dah siap aku tukar jadi SEANDAINYA ADA CINTA. Tapi masa aku hantar skrip, aku hantar dengan tajuk HARGA SEBUAH CINTA....then sementara menunggu tu, aku tukar lagi jadi tajuk SEANDAINYA ADA CINTA tetapi akhirnya HARGA SEBUAH CINTA menjadi pilihan.

Yang paling aku happy ialah covernya, ia juga merupakan idea aku sendiri... Thanks buat semua yang terlibat

HSC : Trailer...

SEPANJANG majlis, aku mengekori sahaja ke mana Zhafir pergi. Bukan tidak ingin berenggang dengannya tetapi aku sebenarnya ingin lari daripada bayangan Arman.

“Kalaulah kita berdua pengantin dalam majlis ni, alangkah indahnya dunia.” Bisikan Arman ketika kami duduk bersebelahan di meja makan membuat aku tersentak.

Bukan setakat itu, apa yang membuatkan aku lebih takut apabila dia dengan bersahaja menggenggam tanganku di bawah meja. Bagai terkena renjatan arus elektrik, aku tergamam sendiri dan kaku di situ. Sebaik menoleh, dia menghulurkan senyuman, memanggil hatiku agar berpatah kembali.

Benar... aku tidak mampu melupakan dirinya dan aku juga tidak tahu bagaimana nanti hidup tanpa dia. Namun, aku harus juga akur pada kehendak takdir. Di antara aku dan dia, ada Zura. Aku tidak mungkin akan tegar merampas kekasih sahabatku sendiri dan aku juga tidak sanggup memutuskan hubungan di antara seorang anak dengan ibunya.

“Fea...” Suara Arman yang kedengaran begitu hampir di belakangku ternyata mengejutkan. Baru aku sedar, waktu itu hanya aku sendirian di sudut terlindung itu. Seketika tadi, Zhafir bersamaku tetapi entah bila masanya dia meninggalkanku sendirian di situ.

“Cuba awak tengok sana.” Arman menuding ke satu arah di mana Zhafir sedang bercerita dengan seorang gadis tinggi lampai berambut perang. Wajahnya tidak jelas kerana dia membelakangiku tetapi wajah Zhafir kelihatan sangat serius.

“Itulah Jessica, kekasih Zhafir yang ingin dia kahwini dulu,” tutur Arman sedikit mengejutkanku. Tiba-tiba, hatiku berubah, berlainan rasa. Ah, cemburukah itu? Tapi untuk apa sedang di hatiku tidak pernah wujud nama dia.

“Fea...” Arman menyebut namaku sekali lagi.

“Tolonglah Fea, berikan peluang pada diri kita.” Dia merayu tanpa kujangka. Sebak bertandang serta-merta di dadaku.

“Tinggal lagi seminggu saja... peluang tu dah tertutup rapat untuk dibuka kembali.” Perlahan-lahan aku menetapkan keputusan sambil menatap sepasang matanya. Jika inilah peluang terakhirku untuk melihat redup sinar matanya, akan kusimpan keindahan ini jauh ke lubuk hatiku.

“Kalau awak nak, seminggu tu dah cukup panjang untuk membatalkannya,” balas Arman, seakan-akan cukup mudah baginya.

Aku menggeleng lemah, enggan memikirkan buat kali kedua. “Jalan kita dah jauh bersimpang. Untuk berpatah balik, saya dah penat sangat.”

“Kenapa Fea, kenapa begini sudahnya?”
Entahlah. Aku juga tidak tahu kenapa sukar sekali untuk kami berdua menggapai bahagia. Hanya mampu mengintainya dari kejauhan kerana ada sejuta tangan sedang menghalang kami merapatinya.

“Awak terimalah Zura. Dia terlalu mengharapkan awak. Dia terlalu baik untuk disakiti hatinya.”

“Saya tak boleh...”


Buku ni ada di tangan aku tepat jam 12.00 tengahari. Belek-belek sekejap lepas tu aku letak tepi sebab waktu tu tengah kerja, busy wat meeting report.
Keluar lunch pukul dua, sempat la aku baca sikit sambil makan. Mmmm... makin baca, makin tak boleh nak lepas tapi aku kena simpan dulu sebab nak sambung kerja.

Balik rumah, kena masak dan makan malam dulu. Lepas tu, tepat pukul 9.30 malam, aku kembali 'mentelaah' sampailah habis pukul 1.30 pagi....(Kalau buku tu aku tak letak tepi dan tak tangguhkan pembacaan dan aku boleh habiskan dalam satu malam dan sanggup tidur lambat sebab membacanya dan sanggup pula tolak tepi manuskrip aku yang sedang menunggu, maknanya buku tu memang best!)
Jadi, sesiapa yang belum beli dan belum baca, pergilah kedai, beli dan baca. Confirm tak menghampakan.

Ceritanya :
Kali ini Kak Sarnia memulakan kisahnya dengan prolog tentang kisah lampau tentang kedua orang tua Fik atau lebih tepat lagi bapa saudara kepada Ayu Rihana. (Siapa Fik kepada Ayu Rihana, anda kena baca sendiri)

Bab 1 terus pada cerita Syamil yang tiba-tiba terpandang anak jirannya di sebuah kafe. Syamil ni anak Tan Sri yang selalu keluar paper sebab bercinta dengan model terkenal. Ayu Rihana ni pula adalah anak Datok yang sangat sopan santum dan berjiran dengan Syamil. Mereka ni saling tak pernah peduli satu sama lain atau dengan kata lain tak pernah menegur.

Keadaan berubah apabila Syamil ni asyik terbayangkan muka si Ayu tu dan konflik makin rumit apabila hubungan Ayu dgn Fik mendapat tentangan mamanya diatas sbb2 tertentu.

Syamil ingin berubah dan memilih Ayu utk mnjadi suri hidupnya dan terus meminta kedua orang tuanya pergi meminang tanpa bertemu atau bercakap dengan Ayu sendiri. Dia memang sudah benar-benar jatuh cinta dengan perwatakan Ayu yang lembut tu.
Ayu pula, terpaksa menerimanya di atas sebab patuh pada orng tua.

Lepas dah kahwin,mereka bahagia sekejap aje tapi Syamil jadi pemabuk semula. Dia terpaksa menurut kemahuan model tu sebab diugut. Dia memang sangat cintakan Ayu tapi bila mabuk, tanpa sedar dia memukul Ayu.Sedihnya.. Bab yang aku sedih bila Syamil tu terbangun tengah malam dia tengok Ayu di atas sejadah dan sedang berdoa untuk dia.

Yang kelakar tu, mereka ni nikah gantung dulu dan dihalang untuk bersama selama sebulan sebelum majlis berlangsung. Si Syamil ni dah tak tahan, malam pertama aje dia dah panjat tembok batu dan pokok jambu air sebelah bilik Ayu, masuk melalui tingkap dan curi-curi tidur dengan isteri untuk malam pertama mereka.

Selama sebulan tu, selalulah jadi macam tu. Kes pecah apabila mereka sama-sama panjat bumbung turun dari bilik Ayu dan lari ke apartment yang Syamil beli tengah malam buta semata-mata nak tidur bersama. Macam kahwin sembunyi-sembunyi pulak gayanya.

Apa pun, aku memang terhibur dengan cerita ni.

HSC : Trailer...

Fana & Wern... ni khas utk awk

Pagi Isnin itu, sebaik melepasi pintu utama pejabat, pandanganku menyapa kelibat Zura yang sedang berborak bersama tiga orang lelaki di ruang legar berhampiran dengan kaunter penyambut tetamu.

“Fea!” Zura terjerit memanggil namaku sebaik melihat aku masuk. Pantas dia bergerak mendekatiku. Serentak dengan itu, tiga pasang mata yang sedang bercerita dengannya menoleh pandang ke arahku.

Aku memandang sekilas pada ketiga-tiga lelaki yang berbual-bual bersama Zura tadi, tetapi aku tersentak saat pandanganku menyinggah pada salah seorang daripada mereka. Dadaku bergetar hebat.

Arman! Kenapa mataku seakan ternampak bayangan Arman? Benarkah salah seorang daripada mereka itu ialah Arman? Benar-kah lelaki yang lengkap bersut coklat yang sedang berdiri di tengah-tengah Ikmal dan Zhafir itu Arman?

“Jom! Aku kenalkan dengan ‘dia’” Zura berbisik perlahan padaku sambil menarik tanganku menghampiri tiga lelaki tersebut.

“Arm, kenalkan... best friend I, Fea... Hanisofea.” Tatkala Zura memperkenalkan kami, aku terasa ingin rebah di situ juga. Ya! Memang dialah Arman. Lelaki yang pernah mengajar-ku tentang makna cinta yang di dalamnya penuh dengan keindah-an.

“Fea... ni Arman.” Zura memperkenalkan lelaki itu kepadaku pula tanpa menyedari riak wajahku yang sudah berubah.

“Yang selalu aku cerita kat kau tu,” sambungnya lagi bagai berbisik di telingaku.

Zura tersenyum bahagia menyebut nama lelaki itu manakala aku pula... bagai sedang dibakar api marak yang me-rentungkan hati dan seluruh perasaanku. Kenapa ada pertemuan yang sebegini kejam?

“Hai!” Hanya itu yang mampu keluar dari bibirku sebagai cara menyapa orang yang baru diperkenalkan kepadaku. Sedang hakikatnya, aku lebih lama mengenalinya.

Arman tidak membalas, sekadar mengangguk berbahasa isyarat tetapi aku tahu, dia sebenarnya sudah mati kata-kata dengan pertemuan ini. Ya! Siapa sangka, kami akan dipertemukan semula di sini dalam suasana begini.

Duduk di meja kerja, aku jadi tidak tahu mahu berbuat apa. Kenapa harus dia yang menjadi pujaan Zura? Kenapa harus Zura yang menjadi pilihannya? Aku mula tertanya-tanya diri sendiri.

“Kalaupun bumi ini terbelah menjadi dua, cinta saya tetap bertaut satu dan yang satu itu hanya untuk awak.” Mengingatkan janji manisnya suatu ketika dahulu, hatiku jadi sakit dan pedih. Kesakitan itu bagai membunuh seluruh perasaanku. Bertahun lamanya aku mengubat luka itu dan kini, dia kembali muncul menggores parut lama.

Aku tidak dapat menahan perasan. Kelopak mataku sudah membahang panas. Air jernih bergenang mengaburi pandangan. Dadaku berkocak hebat menahan rasa. Ada sesuatu yang masih tersimpan di situ. Sesuatu yang tidak mampu aku luahkan sehingga ke saat ini.

Simpulan cinta yang dia ikat di hatiku masih kemas di situ. Janji manisnya untuk terus hidup bersamaku masih kuingat hingga ke hari ni. Cuma dia mungkin sudah melupakan segalanya.

Oh, Tuhan... andai dia bukan tercipta untukku, kau dorongkan jalan untukku menghapuskan rasa itu dan namanya dari hatiku. Tapi, andai dia memang KAU cipta untukku, kau tunjukkanlah aku jalannya dan hikmah-MU.


**************************

Malas bertelagah untuk perkara yang remeh-temeh, aku turutkan juga kemahuannya. Lagipun, tidaklah susah mana pun, cuma buat pesanan dan makan.

“Boleh tak I tanya satu soalan?” Tiba-tiba saja otakku mencerna satu kemusykilan.

Seperti biasa, dia angkat kening.

“Kenapa I? Sedangkan you boleh dapat yang jauh lebih baik dari I.” Itulah persoalan yang acap kali berlegar-legar di benakku dan hanya dia yang mampu menjawabnya.

Apa yang aku tahu, dia pernah bercinta tetapi pilihannya itu ditentang keluarga. Semenjak itu, dia tidak pernah serius dengan mana-mana perempuan. Tapi, tak mungkin dalam tempoh itu dia langsung tidak ada pengganti? Atau di hatinya masih tersimpan nama perempuan itu sebagaimana hatiku menyimpan nama Arman?

“Sebab I tak jumpa yang lebih baik daripada you.” Mudah sahaja dia menjawab. Tenang riaknya menimbulkan rasa cemburu di hatiku.

“Alasannya?”

“Sebab you satu-satunya perempuan yang pandang I de-ngan rasa geram tetapi masih sopan melontarkan perkataan.”

Wah! Dia tahu apa yang ada di hatiku tetapi mustahil hanya kerana alasan itu sahaja? Tidak logik sungguh!

“You satu-satunya perempuan yang tak pandang duit I,” tambahnya lagi tanpa sempat aku bertanya.

“Eh, you banyak duit ke?” sinisku dan dia melepaskan tawanya.

“Setahu I, yang banyak duit tu daddy you kan?” Aku se-ngaja mengeluarkan kata-kata pedas sebegitu dengan niat agar dia berasa sakit hati.

“Betullah tu.” Dia tergelak lagi dan peliknya, reaksinya itu membuatkan aku pula yang sakit hati.

“Apa lagi?”

“You satu-satunya perempuan yang boleh buat hati I yang sejuk beku ni hangat membara dan you satu-satunya yang boleh buat I tak tidur malam.” Ayat terakhirnya itu kedengaran sedikit pelik di telingaku.

“Apa kena-mengena tidur malam you dengan I?” Aku bertanya lurus.

Dia senyum sambil memandang tepat ke wajahku.

“Betul-betul nak tahu ni?” soalnya kembali.

Aku terdiam. Angguk tidak, geleng pun tidak. Hendak tahu ke tidak?

“Sebab I rasa macam nak you ada di sebelah I bila I nak tidur dan...”

“Okey, cukup!” Aku cantas bicaranya kerana tidak sanggup untuk mendengar lebih lanjut.

Dia melepaskan tawa menjadikan aku geram sendiri. Tajam jelinganku menikam wajahnya yang masih ketawa itu.

Disaat Aku Menyintaimu

Mengapa kau pergi
Mengapa kau pergi
Di saat aku mulai menyintaimu
Berharap engkau jadi kekasih hatiku
Malah kau pergi jauh dari hidupku

****
Menyendiri lagi
Menyendiri lagi
Disaat kau tinggalkan diriku pergi
Tak pernah ada yang menghiasi hariku
Di saat daku terbangun dari tidurku

Aku inginkan dirimu
Datang dan temui aku
Kan ku katakan padamu
Aku sangat mencintai dirimu
Aku inginkan dirimu
Datang dan temui aku
Kan ku katakan padamu
Aku sangat mencinta

****
Semoga engkau kan mengerti
Tentang perasaan ini
Maaf Ku telah terbuai
Akan indahnya cinta
Maaf sungguh ku tak bisa
Untuk kembali padamu
Maaf ku telah terbuai
Akan indahnya cinta

Hati Bertanya...

Kalau cinta itu buta, kenapa pula yang celik boleh 'terperangkap' di dalamnya?

Andai Syurga itu indah, kenapa masih ramai di antara kita yang 'memilih' untuk ke neraka?

Jika kasih itu suci, kenapa ada yang harus menderita kerananya?

Dunia ini hanya pinjaman tapi, kenapa masih ada yang mengaku 'milik' Tuhan itu adalah haknya?

Malu itu 'pakaian' iman tapi, kenapa terlalu ramai yang sanggup membuangnya ?

MAHA 2010

Hari ni aku cuti. Pepagi buta lepas sarapan, bawa anak2 pergi MAHA 2010. Dekat jer, tak sampai 10 minit bawa kereta dari rumah.

Belum pukul 10 pagi, kereta dah beratur nak masuk parking. Ramainya orang ya Rabbi...

Tengoklah panjangnya Q nak naik bas. (ada disediakan bas & tren)

Tengoklah ramainya manusia

Pintu masuk jer, nampak buah nangka gergasi... Besar giler

Bahagian perikanan. Cantik sungguh Arowana tu, regenya pun cantik jugak


Dunia Lintah, binatang yang paling aku geli

Tengok gambar pun aku dah geli tahap cipan



Masa nak balik. Orang dah makin ramai. Sib baik aku pagi2 dah sampai. Dari pukul 10 pagi hingga pukul 2 petang, tak habis lagi jalan ke semua tempat. Sempat borong macam-macam makanan. Kalau sempat, rasa nak pergi lagi