FOLLOWERS

Bab 12 & 13

Rasa letih yang melingkari tubuh membuatkan aku terus tertidur hingga ke malam. Sedar saja dari lena, kelihatan Aleeya sedang duduk di meja study yang terletak di tepi tingkap bilik kami. Di meja itulah tempat aku membaca dan juga termenung.

Dengan malas, aku bangkit duduk bersila mengadap ke arahnya yang sedang membelek-belek kertas yang berterabur di atas meja. Entah sudah berapa lama dia pulang dari kerja. ‘Tidur mati’ membuatkan aku tidak sedar bila masanya dia masuk ke bilik.

“Dah lama kau balik?” Soalku sambil menenyeh mata yang masih terasa mengantuk.
Dia diam tidak menjawab. Matanya kelihatan ralit meneliti sehelai kertas yang terpegang di tangannya. Sesaat aku tersedar, pastinya dia sedang meneliti baris-baris puisi duka yang aku coretkan pada kertas tersebut. Dan.... pasti juga dia sedang melihat nama Arman yang bercontengan di sekeliling puisi tersebut.

“Lelaki yang bernama Arman ni, pastinya terlalu istimewa di hati kau.” Dia mula bersuara memberi komen melalui apa yang dilihatnya dan aku hanya tergaru-garu kepala tanpa mampu menyusun ayat yang sesuai untuk membalasnya.

Tanpa amaran, aku bergerak menarik kertas di tangannya dan melipat-lipat menjadi sebuah kapal terbang kertas. Seketika aku belek-belek ‘kapal terbang’ tersebut sebelum membalingnya ke udara dan jatuh di atas katil.

Aleeya tergelak kecil melihat tingkahku. Kertas tersebut diambil dan dibuka semula lalu di lekatkan ke dinding menggunakan loytape. Marker pen yang terletak di atas meja dicapai dan jemarinya mula melukiskan bentuk hati yang telah retak pada puisi tersebut. Di bahagian bawahnya, dia mula mencoretkan sesuatu

‘Yang retak pastinya akan terbelah. Yang terbelah pastinya sudah tidak berguna lagi. Yang tidak berguna itu harus dilepaskan pergi jauh dari fikiran dan yang jauh itu seharusnya dilupakan terus.’

Kali ini aku pula yang tergelak kecil membaca coretannya. Dia ni memang sentiasa ada idea untuk memgenakan aku.

“Kau tak kerja ke?” Soalan Aleeya mengundang pelbagai rasa kembali menyelinap ke hatiku. Lantas, aku mengeluh panjang.
Aleeya yang melihat reaksiku terus berkerut kening.

“Kenapa?” soalnya kemudian.

“Aku dah diberhentikan.”
Aleeya termenung mendengar penjelasanku. Matanya menghulurkan pandangan simpati. Buat kesekian kalinya, aku terasa ingin menangis.

“Aku tak tahu macamana, mungkin aku kena tangguh study lagi.” Luahku sambil menahan sebak. Sebenarnya, itulah yang aku fikirkan sesaat selepas ‘dihalau’ oleh Madam Wong. Aku sebenarnya sudah tidak punya sebarang simpanan untuk survive apatah untuk menanggung kos pengajian.

“Fea…..” Aleeya sudah datang dekat padaku.

“Kau tak payahlah tangguh study. Cuma tinggal beberapa bulan saja lagikan?” Pujuk Aleeya.

“Aku dah tak daya lagi Leeya…..aku redha dengan takdir yang ditentukan.”

“Itu bukan redha namanya tapi menyerah.” Tingkah Aleeya.
Aku diam menekur. Mungkin benar kata Aleeya, aku sebenarnya bukan redha tetapi menyerah kalah sedang masih banyak pilihan yang aku ada. Tertutup satu peluang bukan bermakna peluang yang lain tidak ada.

“Fea…” Aleeya sudah memeluk bahuku.

“Aku ada sikit simpanan. Aku akan tanggung kau sampai kau habis. Kau teruskanlah study kau tu dan bila kau dah dapat kerja nanti, kau bayarlah ansur-ansur.”
Aku panggung kepala memandang ke wajahnya. Terkejut mendengar kesanggupan yang tidak terduga itu.

“Tapi…”

“Kau boleh memilih untuk menyerah atau berjuang untuk menang.” Aleeya terus memotong bicaraku.

Tiba-tiba aku terasa ingin menangis dan memeluknya. Baru semalam aku sudah meminjam bahunya saat menangisi kehilangan ibu tetapi saat ini, aku juga terasa ingin meminjamkan bahunya untuk menangisi kebaikan yang dihulurkan.

“Terima kasih Aleeya. Kau terlalu baik bagi insan yang tidak punya apa-apa seperti aku ni,” ucapku perlahan.

“Janganlah cakap macam tu, sedih aku dengar.” Ujar Aleeya membuatkan aku tersenyum menutup rasa sedih yang sedang berkelana di jiwa.

Bab 13


Aku bukan hanya berhutang wang ringgit terhadap Aleeya malah lebih dari itu. Sehabis belajar, Aleeya jugalah yang menolong aku mendapatkan kerja di syarikat tempat dia bekerja dan aku tidak perlu bersusah payah untuk berulang alik kerana boleh saja menumpangnya.

“Kau kerja dulu buat sementara. Nanti dah dapat yang sesuai kau berhentilah.” Berkali-kali Aleeya mengulangi ayat yang sama ketika aku mengikutnya pada hari pertama melaporkan diri.

Wah! aku bagai tidak percaya sebegitu mudah untuk mendapat kerja sedangkan ramai yang mendakwa terlalu sukar mencari pekerjaan malah graduan yang menganggur begitu membimbangkan sejak kebelakangan ini.

ARHA INDAH adalah sebuah agensi pengiklanan yang baru ingin bertapak. Sebagai Pegawai Sumber Manusia, Aleeya memainkan peranan penting dalam membuka jalan aku masuk ke situ sebagai kerani untuk sementara mendapat peluang yang lebih baik. Itu pun kalau ada.

Hari pertama melaporkan diri, Aleeya merupakan orang yang paling sibuk memperkenalkan aku pada semua kakitangan di situ. Pantang jumpa orang, dia akan memperkenalkan aku sebagai pekerja baru.

Duduk di kerusi yang di hadang partition berwarna kelabu setinggi lebih kurang 4 kaki itu, aku meninjau kiri dan kanan. Banyak kertas memo yang bertampalan di situ menyemakkan mata memandang. Banyak juga kertas-kertas yang bercontengan bersepah di dalam laci yang belum sempat aku kemas.

Mengikut Aleeya, kerani tersebut baru saja meletak jawatan sebulan yang lepas dan aku diambil untuk menyambung tugas-tugasnya di bahagian pentadbiran.
Seketika duduk termenung di situ, tiba-tiba ada seseorang menjengah dari balik partition.

“Nah! Masa minum tadi I teringatkan you.” Hairil, yang bekerja sebagai despatch di situ menghulurkan aku sebungkus teh tarik bersama sebuah senyuman manis. Dia ni memang cepat mesra dan tersangatlah mesra alam dengan semua kakitangan di sini. Apa yang aku tahu, semua orang sukakan dia kerana keramahannya.

“Amboi Ril, untuk Fea aje? Aku punya mana?” Tiba-tiba Dora menyampuk. Sebagai Kerani di bahagian Admin, Dora banyak berurusan dengan Hairil.

“Kau punya?” Hairil buat-buat muka terperanjat. Aku tersenyum gelihati melihat gelagatnya.

“Oh! Baru aku ingat, ada kat kedai mamak. Kalau nak, pergi la beli sendiri.” Dia ketawa kuat.

“Ooo… Fea kau ingat, aku ni kau tak ingat!” Dora sudah menyinsing lengan baju.

“Ingat kau buat apa? Buat menyemak kepala otak aku aje.” Balas Hairil sakarstik, bersedia untuk berlari sebelum Dora yang kuat mencubit itu mengetip lengannya.
Aku yang masih duduk di kerusi hanya mengeleng melihat gelagat mereka yang sudah berkejaran hingga ke pintu keluar.

Sedang menuangkan teh tarik yang diberikan oleh Hairil ke dalam cawan, ada pula seseorang datang menjengah mengejutkan aku.

Encik Razif, salah seorang orang penting di situ yang baru aku kenali menghulurkan sebuah senyuman tatkala melihat wajah terperanjatku.

“Takpe… you relaks dulu Fea. Bila dah mula tugas nanti, you takkan ada masa pun nak termenung.” ujarnya masih dengan senyuman menghiasi bibir.

Belum sempat aku membalas bicaranya, ada suara lain pula menyapa Encik Razif dari belakangnya.

“Weh! Zif, sini pun you?” Cik Tiara yang berpangkat Assistant Manager di situ sudah pun tercegat di tepi Encik Razif.

“Hah! I baru nak pergi cari you.” balas Encik Razif.
Seketika selepas itu telingaku hanya mendengar mereka bercerita tentang kerja. Aku hanya mendiamkan diri di tempat duduk, tidak ingin mencampuri urusan mereka.

“Eh! , you dah kenal dengan orang baru?” Tiba-tiba kedengaran suara Encik Razif menyoal.

“Siapa?” Cik Tiara menyoal kembali.” Serentak dengan itu, kelihatan wajah badrul dan menjenguk ke arahku.

“Oh! dah kenal.” Ucapnya pada Encik Razif dan kemudiannya berjalan seiringan dengan lelaki itu, mungkin menuju ke biliknya tetapi berhenti seketika di depan mejaku.

“Fea! Tolong buatkan kami minuman. You nak minum apa Zif?” Soalnya pada Encik Razif.
Aku yang sedang mengemas kertas yang berselerak di meja terperanjat mendengar permintaannya. Buat air termasuk dalam tugasanku ke? Aleeya tak pernah cakap pun? Aku bersoal sendiri.

Seketika Encik Razif hanya memandangku dengan wajah serba salah dan kemudiannya menghulurkan senyuman.

“No, thanks.” Ucapnya pada Cik Tiara.

“Buatkan I Nescafe, hantar ke bilik I yer.” Angkuh dia memberi arahan dan terus menarik Encik Razif mengikut langkahnya.

Beberapa saat aku tarik nafas panjang. Melihat lagak perempuan itu walau baru beberapa jam mengenalinya buatkan perutku sebu tanpa sebab. Patutlah Aleeya berpesan padaku tadi, jangan pedulikan perempuan itu kerana dia memang selalu ‘lebih sudu dari kuah’. Mulanya aku tidak faham dengan maksud yang ingin di sampaikan Aleeya tetapi saat ini aku mula mengerti.

No comments: