FOLLOWERS

Prolog yang sudah bertukar...hehehe

Diatas sebab-sebab tertentu, cerita ini terpaksa aku tukar prolognya. Selain Prolog, tajuknya juga sudah bertukar. Bukan SAC tetapi telah ditetapkan menjadi HSC. Apa itu HSC nanti aku akan ceritakan kemudia. Apa pun, aku suka tajuk tu sebab ianya juga tajuk pilihanku.

Untuk pengetahuan semua, terutama sekali untuk DLa, maaf kerana cerita ni terpaksa saya hentikan pada bab 16 saja kerana ia sedang diedit(hampir siap semuanya) dan akan berada di pasaran tidak lama lagi...

Pun begitu, aku nak cakap awal-awal. Pada sesapa yang rasa cerita ni tak best, tolong jangan beli. Kalau dah 'ter'beli, tak payah baca tapi kalau dah 'ter'baca, tolong jangan kutuk. Kalau terasa nak buka mulut juga, tolong beri pandangan membina agar 'penulis kecilan' seperti aku ini boleh memperbaiki kelemahan diri.

Chewah! buku belum keluar dah siap bersyarat yer Cik Nab, macamlah ko tu Diva siap syarat segala..heheheh..

Apa pun, aku nak pohon maaf kalau nanti cerita ni tak menepati citarasa atau tidak seperti yang diharapkan. Aku memang sedar diri malah sentiasa tahu mana tahap aku berada. Adanya aku atau tidak ada bukan ada orang peduli pun...huhuhu (sambil menenyeh mata yg tiba-tiba terasa gatal.)

Dah, tak mau merepek lagi... ikutilah prolognya



PROLOG


Sakitnya hati! Aku tentang sinar matanya dengan pandangan ‘membunuh’. Wajahnya seperti selalu, nampak bersahaja walau dalam apa jua keadaan sekali pun. Malah, dia masih boleh tersenyum lebar walau aku sedang menunjukkan rasa marah. Mungkinkah dia jenis manusia yang begitu atau aku yang tidak tahu bagaimana untuk melepaskan kemarahan?

“Jika tiada pilihan lain, tidak bermaksud I harus memilih you.” Tegasku penuh rasa geram.

Dia angkat kedua kening seperti menyoalku dalam bisu sama ada benar atau tidak kenyataanku itu. Ya Allah! Aku rasa seperti ingin saja patah-patahkan leher dia.

Tatkala melihat aku hanya diam membisu, dia lemparkan sebuah senyuman. Nampak manis tetapi amat menyakitkan. Apa motif dia sebenarnya? Kenapa tiba-tiba saja aku rasakan semua orang sedang cuba mendapatkan aku untuk tujuan yang berbeza?

“Rasanya, you tak ada pilihan lain.” Mudah sekali ayat yang keluar dari bibirnya dan aku, sudah tidak tahu bagaimana untuk mengawal rasa. Sebelum aku bertindak di luar batasan fikiran, ada baiknya aku pergi meninggalkan dia.

Arrrgggg…. Hatiku menjerit kuat. Aku ingin segera mencari Arman dan mengadu padanya tentang semua ini. Namun, sesaat hatiku tersedar, patutkah aku memberitahu dia sedang aku sendiri tahu ianya pasti makin merumitkan keadaan?

“Arman itu hanya layak untuk Zura. Rasanya, you tak mungkin sanggup mengkhianati sahabat sendirikan?” soalan berupa ugutan itu bagai membunuhku dalam diam.

Sanggupkah aku mengkhianati sahabat sendiri? Jika tidak, bolehkah aku melepaskan Arman pergi dari hati dengan mudah? Jika boleh, itu bermaksud cinta yang wujud di hatiku ini hanyalah sebuah rasa yang tidak mempunyai apa-apa makna.

Ah! Sukarnya meleraikan sebuah perasaan jika pengikatnya adalah cinta. Sukarnya meleraikan sebuah janji jika ia melibatkan soal hati. Janjiku padanya, hatiku tidak pernah mungkin akan berubah dan sehingga detik ini, ia tetap tidak berubah.

"Bila saya kata cinta, ia bermakna selamanya saya akan menyintai awak dan benci tidak mungkin akan wujud untuk menggantikan tempatnya." itulah yang pernah Arman ucapkan padaku tetapi, mungkinkah ianya akan kekal begitu jika aku memilih jalan yang bersimpang?

Zhafir?

Mungkin tidak!

Kalaupun aku harus mati, untuk menerima dia rasanya tidak mungkin. Tapi, itu hanya kata hatiku, bukan lakaran takdir yang tertulis. Bagaimana kalau takdir mengharuskan aku memilih dia?

Akan wujudkah lagi cinta lain setelah semuanya sudah aku serahkan pada Arman? Sebenarnya, berapa banyak cinta yang boleh dimuatkan di ruang hati untuk sepanjang tempoh hayat yang TUHAN pinjamkan pada kita?


Hari ini...

Semalam aku mimpi, kereta WQK 2008 aku tu hilang kena curi..Uwwaaaa... nangis aku dalam mimpi(apa maknanya tu?). Janganlah betul-betul hilang.

Pagi-pagi buta adik aku beritahu motor dia hilang kena curi malam tadi. Hah! terkejut beruk aku. Kalau sesapa yang terambik tu, tolonglah pulangkan. Kesian adik aku tu. Walau pun dia ada kereta, motor tu pun penting gak, banyak jasanya. Kalau memang orang tu niat nak curi, moga-moga dia diberikan hidayah oleh Allah s.w.t agar cepat-cepat insaf.

Masuk kerja hari ni, aku lambat sikit... sikit jer tau (amalkanlah selalu). Masa nak masuk parking, aku hulurkan season pass. Di sebabkan mesin pengimbas tu rosak, budak yang jaga parking tu terpaksa buat manual. Bila dia tengok pass tu, terus dia tanya company aku dengan muka dan suara yang terperanjatnya, macam tak percaya pun ada.

Aku dah cuak tengok dia. Tau laaa... bos bos aje yang boleh pakai season pass, special boleh park kat 3rd floor. Apa muka aku ni takde gaya untuk jadi bos ke? Kalau takde, agaknya layak untuk jadi apa? Secretary?..Ahak!

Sebelum dia buka palang tu, aku senyum gak kat dia walau tak puas hati dia seakan pandang rendah pada aku. Senyum tu kan sedekah....

Tengahari, bila aku keluar dari surau untuk solat zohor, ada dua staff tu terkejut tengok aku dan kemudian dia gelak-gelak. Aku tanya dia kenapa? Dia kata, dia dah betulkan kasut aku, pusing mengadap pintu keluar agar senang untuk aku pakai....alahai! ada juga yang baik hati begitu. Tapi kadang-kadang aku fikir juga, kenapa semua orang macam baik sangat dengan aku?

Ketika berjalan nak masuk ke office, ada pula staff tegur aku. Katanya, tadi dia nampak seseorang yang muka sebiji macam aku....Betul ke?

Kenapa hari ini banyak sangat peristiwa yang pelik berlaku....

Dan hari ni juga, aku dapat tahu novel aku yang terbaru sudah ditetapkan tajuk...lalala... happy sebab tajuk tu pun aku suka...HSC bukan SAC...

Bab 17

Aku merasa sedikit selesa apabila mengetahui Zhafir tiada di rumah keesokan harinya. Seperti selalunya apabila tiada lelaki di rumah tersebut, aku hanya menyimpul rambut dan menyepitnya tinggi. Berseluar track botton bersama t’shirt longgar. Zura sering ketawakan aku, macam orang dalam pantang katanya. Ah! malas aku melayannya.

Hari itu kak long juga datang bersama anak-anaknya. Seperti biasa, aku kembali menjadi ‘kanak-kanak ribena’ tatkala melayan mereka bermain apatah lagi bila diajak berlawan permainan gamebox.

Kebiasaan apabila aku berlawan dengan Qabil, Qaisara dan Qistina akan menjadi penyokong setiaku.

Sedang terjerit-jerit kerana teruja dengan permainan tersebut, tiba-tiba aku terperasan ada seseorang tercegat memerhatikan gelagat kami.

“Pak Ngah! Jomlah tolong Boy. Usu Fea neh! Pandai gila dia main.” Jeritan Qabil mengejutkan aku dan sepantas itu juga aku mendongak memandang ke arah lembaga yang sedang berdiri di sebelahnya.

Ikmal! Alamak, Zhafir pun ada sama. Apa aku nak buat ni? Macamana dia tiba-tiba boleh ada di rumah ni? Bukankah dia ke Melaka bersama kekasih hatinya? Orang ke hantu ni?

Aku jadi salah tingkah. Terasa malu tatkala melihat diri sendiri yang bagaikan orang baru baik dari demam itu. Apakah tindakan sewajarnya yang harus aku ambil? Takkan nak terus duduk di sini dengan kepala tak bertudung begini? Tapi, takkanlah pula nak terus bangkit berdiri dan lari naik ke atas?

“Usu Fea, Cepatlah!” Jeritan Qabil sekali lagi mengejutkan aku.

Aku yang terleka seketika mula tersedar dan kembali bersemangat berlawan. Suasana makin gamat apabila Qaisara dan Qistina terjerit-jerit memberi sokongan.

Tanpa aku menduga, Ikmal tiba-tiba mengambil tempat di sebelah Qabil dan sepantas kilat controler di tangan budak itu sudah beralih ke tangannya. Melihat keadaan itu, aku jadi kaku di tempat duduk.

Qabil pantas beralih ke belakang menjadikan dudukku selari dengan duduk Ikmal, secara langsung lutut kami hampir berlaga tatkala dia melebarkan sila duduknya.

“Cepatlah! Pandang abang buat apa?” giat Ikmal membuatkan aku yang terpaku memandangnya cepat-cepat mengalihkan pandangan ke arah skrin Tv di depan kami.

“You nampak santai bila berpakain begini.” Ikmal berbisik perlahan membuatkan jari jemariku yang sedang memegang controler terus menjadi kaku.

"Santai yang cantik!" bisiknya lagi membuatkan controler yang kupegang hampir telucut dari pegangan.

“Boy tolong jap, Usu Fea nak naik atas.”

“Alaaaa....lawanlah dulu usuuuu.... Pak Ngah pun pandai macam Usu Fea jugak.” Qabil membuatkan aku serba salah. Mana Zura pergi ni? Kak long dan umi memang dah keluar sekejap tadi.

“Hei! Angah, bila sampai?” Zura muncul tiba-tiba bagai diseru-seru. Di tangannya terpegang sebiji mangkuk, entah apa pula yang dimakannya.

“Baru jap tadi.” Ikmal menjawab tanpa menoleh. Matanya masih terpaku pada kaca TV.

“Kata pergi Melaka?.” Soal Zura lantas duduk di sofa berdekatan.

“Tak jadi.” Balas Ikmal tanpa memandang Zura. Matanya terpacak pada kaca TV permainan tersebut.

“Eh! Cepatlah, apa yang dimenungkan?” Ikmal menyergahku perlahan sambil menoleh pandang melihat wajahku yang masam-masam kelat itu. Senyumnya buat aku gelabah tak menentu. Kenapa dengan aku ni?

“Weh! Mainan budak-budak tu bagilah budak-budak main. Kau orang dah tua bangka dah, tak sesuaiii....” Zura mengutuk selamba.

“Yelah! Boy tolong sambung neh! Usu nak pergi tandas jap.” Terus saja aku letakkan controler tersebut ke tangan Qabil dan bangkit melangkah naik ke bilik.

Lama juga aku mundar mandir di bilik seorang diri. Apa aku nak buat? Takkan nak berkurung dalam bilik ni sedangkan semua orang ada kat bawah. Apa kata mereka kalau aku hanya berkurung dalam bilik ni?

Ah! turun ajelah. Buang semua rasa tak selesa tu, buat muka selamba aje. Aku bermonolog sendiri, lantas mencapai tudung dan menyarungkan ke kepala sebelum turun ke bawah.

Ikmal dan Zhafir sudah tidak kelihatan ketika aku turun. Qabil sedang berlawan dengan Qaisara manakala Zura pula sedang enak mengunyah semangkuk rojak buah.

“Weh! Makan sorang-sorang.” Aku menyergah sebaik melabuhkan punggung di sisinya.
Dia terus menghulurkan mangkuk rojak tersebut ke arahku tetapi aku cepat-cepat mengeleng. Makan rojak yang pedas itu mahunya sakit perut sampai ke malam.

Zura bangkit menuju ke dapur dan sesaat selepas itu, Zhafir pula muncul di situ. Pakaiannya dah bertukar santai, berseluar Khaki jenama Camel bersama t’shirt berjenama sama.

Dia dengan selambanya melabuhkan punggungnya di sofa betul-betul berdepan dengannku. Isk! sebesar-besar ruang dalam rumah ni, kenapa di situ juga yang dia nak duduk. Tanpa sedar, aku pandang wajahnya yang selamba itu dan dia terus menentang pandanganku.

"Tau la I ni handsome tapi, janganlah pandang sampai tak berkelip. Kesian mata tu."

"Hah!" ternganga mulutku mendengar kata-katanya. Kelihatan dia sedang menyimpan senyum.
Di hati aku mendongkol geram. Perasan sungguh! Kalau handsome pun tapi kerek semacam jer buat apa? Sakitkan mata dan hati saja. Eh! Betul ke dia ni handsome? Eeee.... Janganlah hatiku ni jadi buta, tak handsome pun kata handsome.

Tapi, secara jujurnya, dia memang kacak. Dari segi rupa paras, dia lebik kacak berbanding Arman dan juga Ikmal. Dia punya aura yang kuat untuk menarik wanita terpaku memandangnya. Tetapi, dari segi peel perangai, dia bukanlah kategori lelaki yang boleh buat hatiku jatuh suka.

Bab 15

Entah kenapa hari ni aku jadi tersangatlah rajin. Pertama kali ada dua N3 dalam satu hari. Wow! ini sudah bagus..hahhaha..

Cerita ni diberi nama Fea&Fir oleh DLa.... (Nak tahu siapa DLa? dia pengikut setia cerita ni, betul tak DLa ? Aku hanya kenal nama dia DLa, itu saja)

Okey! berbalik pada cerita ni, mulanya aku beri ia tajuk Tercipta untukku tetapi setelah menyiapkan ceritanya, tajuk tersebut bertukar menjadi SANDAINYA ADA CINTA. Kalau tidak diubah oleh pihak penerbitan, maka ia akan terbit dengan tajuk tersebut.

Ikutilah kisah seterusnya......

Baru berkumpul untuk minum petang, kak long pula datang bersama anak-anaknya memeriahkan suasana. Buat seketika, rasa segan dan tidak selesa dengan kewujudan Zhafir hilang terus tatkala melayan kerenah Qistina dan Qaisara.

Melihat keletah mereka merupakan satu perkara yang paling seronok buatku. Mungkin kerana aku tidak punya adik-beradik yang lain dan keluargaku juga tidak besar, maka aku cukup bahagia bila dapat melayan dan ‘bergomol’ dengan mereka.

Lain pula dengan Zura. Dia memang jenis yang ‘sejuk beku’atau dengan kata lainnya, tak ada perasaan. Dia memang tidak suka melayan kanak-kanak. Di atas sebab itu jugalah anak-anak buahnya jarang sekali mendekatinya untuk bermesra.

Selesai melayan mereka berdua, Qabil pula mengajak aku menemaninya menyiapkan kerja sekolah. Tanpa banyak soalan, aku terus bangkit mengekorinya ke ruang tamu kedua rumah tersebut.

Seketika menolong Qabil membina ayat untuk pelajaran Bahasa Melayunya, kak long datang menyertai kami. Mengikut kak long, anak pertamanya itu memang bijak dalam matematik tetapi sangat lemah dalam Bahasa Melayu.

Sedang leka bersama Qabil sambil bercerita dengan kak long, Ikmal tiba-tiba muncul di situ dan terus melabuhkan punggung di sofa bersebelahan kak long. Qaisara yang bertenggek di ribaan kak long terus saja beralih ‘platform’ ke ribaan Ikmal.

Dari pemerhatianku, anak-anak kak long juga begitu manja dengan Ikmal lebih-lebih lagi Qaisara. Qistina pula lebih manja dengan neneknya. Semenjak dari mula-mula tiba tadi dia mengekor aje ke mana neneknya pergi.

“Kamu tak keluar dengan Nisha ke Mal?” Kedengaran suara kak long menegur Ikmal.

“Malaslah kak long , bosan!” Ikmal menjawab perlahan.

“Eh.. eh…belum apa-apa dah bosan? Esok-esok bila dah kahwin macam mana?” tempelak kak long

“Bila masa Mal cakap nak kahwin dengan dia?” Bersahaja sekali suara Ikmal membalas kata-kata kak long.

“Kamu ni biar betul Mal? Dah heret dia ke hulu ke hilir, boleh cakap tak nak kahwin pulak. Jangan main-mainkan perasaan orang Mal, nanti satu hari tuhan balas balik baru kamu tahu langit tu tinggi ke rendahnya.” Kak long sudah mula membebel panjang membuatkan Ikmal terus terdiam.

Aku yang duduk di tengah-tengah ruang itu hanya mendengar sambil menumpukan perhatian pada Qabil. Buat seketika keadaan menjadi sunyi dan sepi tetapi aku tahu ruang itu telah diambil Ikmal untuk meneliti diriku. Mata menggodanya itu sedang merenung ke arahku.

Tidak selesa dengan keadaan itu, aku bangkit untuk ke dapur mencari air menghilangkan haus yang tiba-tiba saja terasa di tekak. Jika boleh aku ingin terus melarikan diri jauh dari pandangan mata lelaki bernama Ikmal itu.

Sebaik saja tiba di ruang dapur, kakiku yang kebas kerana duduk bersila terlalu lama tiba-tiba saja terasa kejang saat terpijak ke lantai. Tanpa dapat mengimbangi badan, aku terus saja tersungkur di situ. Mak Yam yang kebetulannya berada di ruang dapur itu menjerit kuat kerana terperanjat melihatkan aku yang tiba-tiba rebah ke lantai.

Sesaat selepas itu, kak long dan Ikmal sudah berlari datang menjenguk ke dapur. Waktu itu, Mak Yam sedang menolong aku untuk bangkit.

“Kenapa ni Mak Yam?” Ikmal terlebih dulu bertanya dan tanpa menunggu jawapan Mak Yam, dia sudah bertindak menarik tangan dan tubuhku bersama-sama membantu Mak Yam mendudukkan aku.

“Kenapa?” Zhafir yang baru tiba pantas bertanya.

“Entah! Mak Yam pun tak tahu. Tiba-tiba aje dia jatuh.” Jawapan Mak Yam memanggil semua mata memandang ke wajahku.

Kesakitan yang sedang aku alami di pergelangan kaki dan juga jemari tangan akibat terjatuh sebentar tadi membuatkan aku kehilangan suara untuk menjelaskan pada mereka. Jemari tangan kananku terasa sakit bila digerakkan. Mungkin kerana waktu terjatuh tadi, aku menahan menggunakan jemari tersebut.

Aku cuba untuk bangkit tetapi terduduk kembali kerana kesakitan yang teramat di kaki kanan. Terasa ingin menangis tetapi aku malu pada semua yang ada di situ. Kalaulah hanya aku dan Mak Yam, memang aku sudah menangis di situ. Zura pula ada di biliknya waktu itu dan pastinya dia tidak mendengar kekecohan yang berlaku.

Tanpa suara, tiba-tiba Zhafir bertindak mengendong tubuhku. Terkejut, jantungku bagai ingin tercabut dari tangkainya. Ingin menjerit tetapi suaraku pula bagai tidak ingin keluar.

“Yeh!! Usu Fea naik dukung Pak Lang?” Qaisara sudah bersorak girang membuatkan wajahku merona kemerahan. Malunya aku hanya tuhan saja yang tahu waktu itu.

“Hish! tak baik cakap gitu. Usu Fea tengah sakit tu,” marah kak long sambil menepuk bahu Qaisara. Anak-anak kak long semuanya memanggil aku usu seperti mana gelaran yang digunakan untuk Zura.

Baru saja Zhafir mendudukkan aku ke sofa, umi yang baru datang dari arah belakang rumah terus menerpa ke arahku.

“Kenapa ni?”

“Jatuh kat dapur tadi.” Kak long menjawab bagi pihakku

“Mari sini abang tengok tangannya.” Tanpa isyarat, Ikmal sudah menarik tanganku dan buat seketika berlaku adengan tarik menarik. Hendak melarang, aku terasa tidak berdaya mengeluarkan suara tetapi untuk membenarkan dia memegang tanganku, terasa hati tidak merelakannnya.

“Eh! kenapa kau?” Zura yang baru muncul sudah menjerit terperanjat melihat semua orang mengerumuniku.

“Kaki aku tiba-tiba aje cramp masa nak ke dapur tadi.” Baru kali ini aku berjaya mengeluarkan suara bercerita.

“Tengok.” Zura sudah mencangkung dan terus menarik kakiku tanpa amaran.

“Auwww! Sakitlah.!” Aku terjerit kesakitan. Dia ni memang la, main redah aje sesuka hati dia.

“Hish! kamu ni, orang tengah sakit main tarik-tarik pulak.” Marah umi lalu menepuk bahu Zura.

“Pergi ambikkan minyak gamat. Biar umi urutkan,” arahnya pada Zura sambil melabuhkan punggung di hujung sofa dan meminta kak long mengangkat kakiku ke atas ribaannya.

Saat itu, aku terasa ingin menangis. Kasih umi bagai meresap masuk hingga ke hatiku. Urutan umi mengingatkan aku pada lembutnya jemari ibu memicit lengan dan kakiku saat aku mengadu kelenguhan. Oh! Aku jadi tersangat rindu pada ibu.

Pengalaman Menarik

Aku cuba nak jadi rajin meng'update' blog ni walaupun sebenarnya aku tersangatlah malasnya. Ari ni aku nak cerita pasal balik kampung hari tu. Cerita ni tak menarik pun tapi aku tetap nak story gak.

Pertama kali aku balik kampung malam raya, selalunya dua hari sebelum raya aku dah tercongok kat kampung. Kerana itu, pertama kali dlm sejarah aku terperangkap dlm kesesakan lalulintas tahap katak terjun lombong(betul ke perumpamaan ni?)

Kalaulah tak igt esoknya nak raya, harus aku cari mana2 hotel di Lipis then tidur kat situ satu malam. Walaupun bukan aku yang memandu (aku duk belakang jadi mem besar) tapi rasa macam nak keluar jer dari kereta then sound semua orang "Woi! nape semua pakat dok balik kampung last minute nei! wat jemm jalan jer." Maunya tak marah, tak gerak langsung. Dah la dlm terowong dekat karak tu ada accident, dekat raub, lipis pun kena, dekat Gua musang lagi, Kuala krai pun sama, tengah-tengah hutan pun kekadang langsung tak gerak. Isk! orang kelantan ni kalau time raya, sanggup apa saja asalkan dapat beraya kat kampung.

11 jam beb! mahu tak sakit otak. Selalunya 6 jam jer. Walaupun aku tidur jer kat belakang, tapi rasa masa yang berlalu tu tersangatlah panjangnya.

Itu cerita masa balik. Alkisahnya, dua minggu sebelum raya, aku pun ada balik kampung. Nak dijadikan cerita, adik aku ni meroyan ajak aku pergi MUNDOK (betul ke ejaannya?)..sape yang tak tahu mana tempat tu, sila buka peta dunia, selak bahagian selatan Thai, dekat-dekat dengan Golok.

Naik perahu tambangnya seringgit jer

Takut weh! sebabnya aku tak pandai berenang dan arusnya pula tersangatlah laju


Lepas tu, balik raya ari tu, aku pergi lagi. Adik aku la, pepagi buta kejut aku nak pergi sana. Macam jakun jer.Bila cerita kat orang kampung, diaorang gelak aje sebab mundok tu tempat mereka pergi minum pagi jer. Murah lagi sedap.(Amboi! minum pagi kat luar negeri tuh!)

Bukan tak pernah pergi, masa sekolah dulu penah juga pergi golok secara haram (tak buat border pass - naik perahu jer) masa tu, pergi mundok tambang baru 50 sen. Sekarang ni dah naik seringgit.

Ramainya orang mak datukkk... sampai nak kena beratur tunggu naik perahu. Nak jalan pun langggar orang sana sini. Barangnya memanglah murah, bukan murah tapi tersangatlah murah sebab itu, walaupun masuk ke sana secara haram (boleh dikira haram la sebab tak ada cop passport bagai) orang berpusu-pusu pergi. Walaupun air sungai naik tahap tak nampak anak tangga, orang masih sanggup menggadai nayawa pergi termasuklah aku, tak ke bangang namanya.


Contohnya, aku beli skirt labuh kat KL harga RM 29.90, (tu pun beli kat gerai masa ada Thai fair kat komplek tempat aku kerja) tapi aku beli benda yang sama, material yang sama kat Mundok sana hanya RM14.00, jauh benar bezanya. Ada ke jeans kanak2 harga RM2.90, aku garu kepala tengok.

Ada tu makanan banyak yang pelik-pelik yang tak pernah aku lihat dan makan. Yang paling pelik, ada jual air minuman dalam pasu. Lepas minum, pasu tersebut boleh buat balik. Harganya RM3.00. Tapi aku tak berani nak beli sebab takut tak bersih.


Pasunya pelbagai bentuk dan ada lima jenis air

Sesapa yang teringin nak pergi, bolehlah misscall aku, boleh wat rombongan ke sana..hahaha...

Bab 14

Hujung minggu itu Zura tiba-tiba muncul di rumahku dan mengajak aku bermalam minggu di rumahnya. Sudah agak lama kami tidak bertemu dan hanya berhubung melalui telefon. Aku faham dengan kesibukannya yang kini menyandang jawatan pengurus ke ewangan di syarikat milik daddynya.

Dia ada juga menawarkan aku bekerja di syarikat tersebut tetapi aku masih menimbang tara tawarannya kerana masalah pengangkutan untuk ke tempat kerja. Dia juga mengajak aku tinggal di rumahnya dan berulang alik ke tempat kerja bersamanya tetapi rasanya aku tidak mungkin akan meninggalkan Aleeya begitu saja.

Ketika kereta Honda Civicnya memasuki perkarangan rumah besar milik keluarganya, pandanganku menyapa sebuah BMW baru 7-series hitam metalic yang tidak pernah aku lihat sebelum ini terparkir di laman rumah tersebut. Tanpa sedar aku melepaskan keluhan kecil. Saat itu, baru aku teringat tentang lelaki kerek itu. Ah! Pasti keselesaanku akan terganggu.

“Kau selalu cakap Tuhan tak suka orang yang berkeluh kesah tapi aku tengok sejak tadi kau asyik buat benda yang Tuhan tak suka tu.” Pedas sindiran Zura menyucuk anak telingaku. Benar...aku memang tahu itu. Orang yang berkeluh kesah adalah orang yang tidak tahu bersyukur. Subhanallah!

“Kereta siapa tu?” Aku pura-pura tidak tahu.

“Kereta abang akulah tu….” Jawab Zura. Dia memang memanggil abangnya itu dengan panggilan alang.

Jawapannya kedengaran mudah tetapi ianya tidak semudah yang aku rasakan saat ini. Kewujudan Zhafir di rumah besar itu membuatkan aku tidak lagi selesa seperti selalunya.

“Apasal kau gelisah semacam jer ni?” Zura menyoalku dengan kening berkerut.

"Aku...seganlah dengan abang kau tu." Luahku padanya.

Zura merenungku dengan wajah kehairanan dan aku mula menggaru kepala yang tiba-tiba terasa gatal.

"Kau nak segan apa?" Soalannya membuatkan aku terdiam. Kenapa aku nak segan pulak?

"Alaaa.....abang aku tu okey. Cuma dia tu berat mulut sikit. Kau buat tak tahu ajelah, habis cerita." Ujar Zura.

Aku terasa serba salah. Buat pertama kalinya aku terasa tidak aman melepak di rumah besar ini.

"Kau janganlah buat muka lempeng kau tu. Aabang aku tu okeyyyy....lagi pun, dia jarang lekat kat rumah. Kalau ada di rumah pun mesti membuta. " sungguh-sungguh dia meyakinkan aku tentang abangnya itu.

Sudahnya, aku pujuk hati agar membuang segala rasa yang tidak selesa itu apatah lagi bayangan Zhafir langsung tidak kelihatan ketika kakiku melangkah masuk ke rumah itu. Mungkin membuta di biliknya seperti yang dikatakan Zura.

Sepanjang petang itu aku hanya berbual dengan Mak Yam sambil menolong dia mengoyak daun pisang untuk dibuat kuih. Katanya, nak buat tepung bungkus untuk hidangan minum petang. Katanya lagi, Zhafir memang suka kuih tu yang memang jarang sekali dijual kalau bukan bulan ramadhan. Mmmmm..nama lelaki itu juga yang disebutnya.

Dari mengoyak daun pisang hinggalah proses membungkus, semuanya Mak Yam turunkan ilmunya. Sedang terkial-kial menyudahkan bungkusan terakhir manakala Mak Yam sudah bangkit menuju ke sinki, Zhafir pula tiba-tiba muncul di ruang dapur itu dan dengan selambanya duduk di depanku, di kerusi tempat Mak Yam duduk seketika tadi.
Buat sesaat mataku terpaku melihat penampilan yang baru itu. Rambutnya sudah dipotong pendek dan wajahnya nampak bersih dari sebarang jambang. Sungguh kacak apatah lagi mukanya kelihatan segar seperti orang baru lepas mandi.

“You tak kerja kat tempat tu lagi ke?” Dia terus meluahkan soalan mengejutkan aku.

Bercerita tentang kerja, rasa sedih tiba-tiba. Wajahnya aku renung seketika. Matanya yang menggoda itu memandangku menunggu jawapan.

“Tak.” Aku menjawab sepatah dan kembali meneruskan kerja menyusun kuih yang telah siap dibungkus itu ke dalam periuk pengukus.

“Kenapa?” Soalnya lagi.
Aku pandang lagi ke wajahnya. Ingin aku jeritkan padanya bahawa aku telah diberhentikan kerja tetapi sabarku masih menebal. Soalannya aku biarkan sepi tanpa jawapan.

Tanpa mempedulikan renungannya, aku bangkit melangkah ke sinki untuk membersihkan tangan dan kembali semula ke meja membersihkan sisa-sisa daun pisang yang masih tinggal. Ikutkan hati mahu saja aku tinggalkan semuanya bersepah di situ dan terus naik ke bilik, namun perbuatan itu pastinya tidak elok untuk diriku sendiri.

“Belum boleh kukus lagi ke Mak Yam?” Aku bertanyakan Mak Yam tanpa mempedulikan renungan tajam Zhafir yang berada di depanku.

“Sekejap lagi, airnya belum mendidih.” Jawab Mak Yam yang sedang berdiri di tepi dapur memerhatikan air yang dimasaknya.

“Kenapa tak kerja lagi?” Sekali lagi dia mengemukakan soalannya, mungkin tidak berpuas hati selagi aku tidak menjelaskan padanya.

Sekali lagi aku pandang wajahnya. Sebelum sempat aku membuka mulut untuk menjerkahnya, kelihatan Zura sudah melenggang masuk ke dapur. Mmmm.. selamat dia hari ini.

Seketika kemudian, kelihatan umi yang cantik berbaju kurung sutera sulam warna kuning cair malangkah masuk. Pastinya dia baru pulang dari majlis amalnya.

“Eh! umi dah balik?” Zura terjerit kecil. Tanpa segan silu, dia terus bergesel di bahu umi.

“Eh! umi dah balik!” tiba-tiba saja kedengaran suara Ikmal yang entah dari mana datangnya mencebik ke arah Zura

“Dah tua bangka pun masih menempel bawah ketiak umi,” ejeknya sengaja mengundang marah Zura.

“Suka hati oranglah. Apa angah sibuk?” Tingkah Zura.

“Bukan sibuk tapi, berbulu mata angah tengok," balas Ikmal lantas melabuhkan punggung di sebelah Zhafir.

Umi hanya mampu mengeleng melihat telatah mereka manakala aku pula cuba menahan rawan di hati. Segala yang terhidang di depan mata bagai menggamit aku ke saat lampau. Melihat Zura dan angahnya bagai melihat aku bersama Arman bertelagah manja dan ibu menjadi perantaranya.

Tidak ingin leka dan hanyut dalam perasaan, aku menyibukkan diri menolong Mak Yam membancuh air untuk minum petang. Kata Mak Yam, kuih traditional ini lebih sedap jika di makan bersama secawan kopi. Mmmm... nampaknya aku kenalah lupakan kesedapan itu kerana kopi akan membolehkan migrainku datang secara tiba-tiba dan pastilah aku akan terbaring seharian kerananya.

“Fea bawa air ke depan dulu ya Mak Yam?” Aku bersuara sebaik selesai membancuh kopi. Zura sudah bersedia dengan dulang yang telah tersusun cawan di atasnya manakala umi sudah pun berlalu ke bilik untuk menukar pakaian.

“Mmmm... mesti best air kopi ni.” Ikmal memuji sambil menjelingku yang sedang menuang air kopi ke cawan. Dia yang sudah duduk di meja yang tersedia di anjung rumah itu bagai tidak sabar untuk meneguk minuman tersebut.

“Apa yang bestnya? Pahit adalah.” Zura meningkah. Dia memang pantang mendengar suara Ikmal, ada saja hujah lelaki itu yang dipatahkannya.

“Mana ada pahit, manis macam orang yang buatnya,” ujar Ikmal lagi setelah meneguk kopi di cawannya.

Sekilas aku menjelingnya. Dia yang sedang memandangku tersenyum meleret. Manakala Zhafir yang juga turut berada di situ hanya bertindak sebagai pemerhati drama tanpa tajuk itu.

Bab 12 & 13

Rasa letih yang melingkari tubuh membuatkan aku terus tertidur hingga ke malam. Sedar saja dari lena, kelihatan Aleeya sedang duduk di meja study yang terletak di tepi tingkap bilik kami. Di meja itulah tempat aku membaca dan juga termenung.

Dengan malas, aku bangkit duduk bersila mengadap ke arahnya yang sedang membelek-belek kertas yang berterabur di atas meja. Entah sudah berapa lama dia pulang dari kerja. ‘Tidur mati’ membuatkan aku tidak sedar bila masanya dia masuk ke bilik.

“Dah lama kau balik?” Soalku sambil menenyeh mata yang masih terasa mengantuk.
Dia diam tidak menjawab. Matanya kelihatan ralit meneliti sehelai kertas yang terpegang di tangannya. Sesaat aku tersedar, pastinya dia sedang meneliti baris-baris puisi duka yang aku coretkan pada kertas tersebut. Dan.... pasti juga dia sedang melihat nama Arman yang bercontengan di sekeliling puisi tersebut.

“Lelaki yang bernama Arman ni, pastinya terlalu istimewa di hati kau.” Dia mula bersuara memberi komen melalui apa yang dilihatnya dan aku hanya tergaru-garu kepala tanpa mampu menyusun ayat yang sesuai untuk membalasnya.

Tanpa amaran, aku bergerak menarik kertas di tangannya dan melipat-lipat menjadi sebuah kapal terbang kertas. Seketika aku belek-belek ‘kapal terbang’ tersebut sebelum membalingnya ke udara dan jatuh di atas katil.

Aleeya tergelak kecil melihat tingkahku. Kertas tersebut diambil dan dibuka semula lalu di lekatkan ke dinding menggunakan loytape. Marker pen yang terletak di atas meja dicapai dan jemarinya mula melukiskan bentuk hati yang telah retak pada puisi tersebut. Di bahagian bawahnya, dia mula mencoretkan sesuatu

‘Yang retak pastinya akan terbelah. Yang terbelah pastinya sudah tidak berguna lagi. Yang tidak berguna itu harus dilepaskan pergi jauh dari fikiran dan yang jauh itu seharusnya dilupakan terus.’

Kali ini aku pula yang tergelak kecil membaca coretannya. Dia ni memang sentiasa ada idea untuk memgenakan aku.

“Kau tak kerja ke?” Soalan Aleeya mengundang pelbagai rasa kembali menyelinap ke hatiku. Lantas, aku mengeluh panjang.
Aleeya yang melihat reaksiku terus berkerut kening.

“Kenapa?” soalnya kemudian.

“Aku dah diberhentikan.”
Aleeya termenung mendengar penjelasanku. Matanya menghulurkan pandangan simpati. Buat kesekian kalinya, aku terasa ingin menangis.

“Aku tak tahu macamana, mungkin aku kena tangguh study lagi.” Luahku sambil menahan sebak. Sebenarnya, itulah yang aku fikirkan sesaat selepas ‘dihalau’ oleh Madam Wong. Aku sebenarnya sudah tidak punya sebarang simpanan untuk survive apatah untuk menanggung kos pengajian.

“Fea…..” Aleeya sudah datang dekat padaku.

“Kau tak payahlah tangguh study. Cuma tinggal beberapa bulan saja lagikan?” Pujuk Aleeya.

“Aku dah tak daya lagi Leeya…..aku redha dengan takdir yang ditentukan.”

“Itu bukan redha namanya tapi menyerah.” Tingkah Aleeya.
Aku diam menekur. Mungkin benar kata Aleeya, aku sebenarnya bukan redha tetapi menyerah kalah sedang masih banyak pilihan yang aku ada. Tertutup satu peluang bukan bermakna peluang yang lain tidak ada.

“Fea…” Aleeya sudah memeluk bahuku.

“Aku ada sikit simpanan. Aku akan tanggung kau sampai kau habis. Kau teruskanlah study kau tu dan bila kau dah dapat kerja nanti, kau bayarlah ansur-ansur.”
Aku panggung kepala memandang ke wajahnya. Terkejut mendengar kesanggupan yang tidak terduga itu.

“Tapi…”

“Kau boleh memilih untuk menyerah atau berjuang untuk menang.” Aleeya terus memotong bicaraku.

Tiba-tiba aku terasa ingin menangis dan memeluknya. Baru semalam aku sudah meminjam bahunya saat menangisi kehilangan ibu tetapi saat ini, aku juga terasa ingin meminjamkan bahunya untuk menangisi kebaikan yang dihulurkan.

“Terima kasih Aleeya. Kau terlalu baik bagi insan yang tidak punya apa-apa seperti aku ni,” ucapku perlahan.

“Janganlah cakap macam tu, sedih aku dengar.” Ujar Aleeya membuatkan aku tersenyum menutup rasa sedih yang sedang berkelana di jiwa.

Bab 13


Aku bukan hanya berhutang wang ringgit terhadap Aleeya malah lebih dari itu. Sehabis belajar, Aleeya jugalah yang menolong aku mendapatkan kerja di syarikat tempat dia bekerja dan aku tidak perlu bersusah payah untuk berulang alik kerana boleh saja menumpangnya.

“Kau kerja dulu buat sementara. Nanti dah dapat yang sesuai kau berhentilah.” Berkali-kali Aleeya mengulangi ayat yang sama ketika aku mengikutnya pada hari pertama melaporkan diri.

Wah! aku bagai tidak percaya sebegitu mudah untuk mendapat kerja sedangkan ramai yang mendakwa terlalu sukar mencari pekerjaan malah graduan yang menganggur begitu membimbangkan sejak kebelakangan ini.

ARHA INDAH adalah sebuah agensi pengiklanan yang baru ingin bertapak. Sebagai Pegawai Sumber Manusia, Aleeya memainkan peranan penting dalam membuka jalan aku masuk ke situ sebagai kerani untuk sementara mendapat peluang yang lebih baik. Itu pun kalau ada.

Hari pertama melaporkan diri, Aleeya merupakan orang yang paling sibuk memperkenalkan aku pada semua kakitangan di situ. Pantang jumpa orang, dia akan memperkenalkan aku sebagai pekerja baru.

Duduk di kerusi yang di hadang partition berwarna kelabu setinggi lebih kurang 4 kaki itu, aku meninjau kiri dan kanan. Banyak kertas memo yang bertampalan di situ menyemakkan mata memandang. Banyak juga kertas-kertas yang bercontengan bersepah di dalam laci yang belum sempat aku kemas.

Mengikut Aleeya, kerani tersebut baru saja meletak jawatan sebulan yang lepas dan aku diambil untuk menyambung tugas-tugasnya di bahagian pentadbiran.
Seketika duduk termenung di situ, tiba-tiba ada seseorang menjengah dari balik partition.

“Nah! Masa minum tadi I teringatkan you.” Hairil, yang bekerja sebagai despatch di situ menghulurkan aku sebungkus teh tarik bersama sebuah senyuman manis. Dia ni memang cepat mesra dan tersangatlah mesra alam dengan semua kakitangan di sini. Apa yang aku tahu, semua orang sukakan dia kerana keramahannya.

“Amboi Ril, untuk Fea aje? Aku punya mana?” Tiba-tiba Dora menyampuk. Sebagai Kerani di bahagian Admin, Dora banyak berurusan dengan Hairil.

“Kau punya?” Hairil buat-buat muka terperanjat. Aku tersenyum gelihati melihat gelagatnya.

“Oh! Baru aku ingat, ada kat kedai mamak. Kalau nak, pergi la beli sendiri.” Dia ketawa kuat.

“Ooo… Fea kau ingat, aku ni kau tak ingat!” Dora sudah menyinsing lengan baju.

“Ingat kau buat apa? Buat menyemak kepala otak aku aje.” Balas Hairil sakarstik, bersedia untuk berlari sebelum Dora yang kuat mencubit itu mengetip lengannya.
Aku yang masih duduk di kerusi hanya mengeleng melihat gelagat mereka yang sudah berkejaran hingga ke pintu keluar.

Sedang menuangkan teh tarik yang diberikan oleh Hairil ke dalam cawan, ada pula seseorang datang menjengah mengejutkan aku.

Encik Razif, salah seorang orang penting di situ yang baru aku kenali menghulurkan sebuah senyuman tatkala melihat wajah terperanjatku.

“Takpe… you relaks dulu Fea. Bila dah mula tugas nanti, you takkan ada masa pun nak termenung.” ujarnya masih dengan senyuman menghiasi bibir.

Belum sempat aku membalas bicaranya, ada suara lain pula menyapa Encik Razif dari belakangnya.

“Weh! Zif, sini pun you?” Cik Tiara yang berpangkat Assistant Manager di situ sudah pun tercegat di tepi Encik Razif.

“Hah! I baru nak pergi cari you.” balas Encik Razif.
Seketika selepas itu telingaku hanya mendengar mereka bercerita tentang kerja. Aku hanya mendiamkan diri di tempat duduk, tidak ingin mencampuri urusan mereka.

“Eh! , you dah kenal dengan orang baru?” Tiba-tiba kedengaran suara Encik Razif menyoal.

“Siapa?” Cik Tiara menyoal kembali.” Serentak dengan itu, kelihatan wajah badrul dan menjenguk ke arahku.

“Oh! dah kenal.” Ucapnya pada Encik Razif dan kemudiannya berjalan seiringan dengan lelaki itu, mungkin menuju ke biliknya tetapi berhenti seketika di depan mejaku.

“Fea! Tolong buatkan kami minuman. You nak minum apa Zif?” Soalnya pada Encik Razif.
Aku yang sedang mengemas kertas yang berselerak di meja terperanjat mendengar permintaannya. Buat air termasuk dalam tugasanku ke? Aleeya tak pernah cakap pun? Aku bersoal sendiri.

Seketika Encik Razif hanya memandangku dengan wajah serba salah dan kemudiannya menghulurkan senyuman.

“No, thanks.” Ucapnya pada Cik Tiara.

“Buatkan I Nescafe, hantar ke bilik I yer.” Angkuh dia memberi arahan dan terus menarik Encik Razif mengikut langkahnya.

Beberapa saat aku tarik nafas panjang. Melihat lagak perempuan itu walau baru beberapa jam mengenalinya buatkan perutku sebu tanpa sebab. Patutlah Aleeya berpesan padaku tadi, jangan pedulikan perempuan itu kerana dia memang selalu ‘lebih sudu dari kuah’. Mulanya aku tidak faham dengan maksud yang ingin di sampaikan Aleeya tetapi saat ini aku mula mengerti.

Bab 11

Sebaik melangkah ke tempat kerja petang itu, suara nyaring Madam Wong ‘menghalau’ aku dari kedainya memeranjatkan aku. Alasannya hanya satu, dia sudah menggugurkan namaku dari senarai pekerjanya.

“You sudah berapa lama tara datang? Suka-suka hati datang, suka-suka hati tara datang.” Suaranya melengking kuat.

“Sorryyy..... Madam, saya ada masalah sikit.” Perlahan aku memohon maaf.

“You ingat sini welfare punya tempat ka? You ada masalah, itu you punya pasal.” Sekali lagi dia menengkingku dan terus menghalau aku keluar tanpa belas. Waktu itu, Lilian dan Maggy serta seorang pekerja baru hanya mampu memandang ‘taukenya’ yang bagaikan dirasuk itu. Kalaulah Danny ada waktu itu, pastinya dia akan menolongku dan memujuk mummynya tetapi mengikut Lilian, lelaki itu kini sedang berada di Cameron Highland untuk urusan pembelian bunga di sana.

“You ingat ini kedai nenek you punya ka? Sesuka hati datang kerja, sesuka hati mau cuti. Lagi baik you terus tak payah kerja.” Bisa kata-katanya membuatkan aku tersentak. Buat seketika aku memandangnya tanpa suara.

Memang aku orang miskin tetapi aku tetap jua manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Kalaulah keluargaku kaya dan berharta, tidak perlulah aku bersusah payah begini.

Tanpa sedar, air jernih mula bergenang di tubir mata. Tidak mahu memanjangkan cerita, aku menapak keluar dengan rasa hati yang berbaur pelbagai rencah. Semua ini cukup menyakitkan membuatkan hatiku menangis dalam diam.

Ah! Tuhan sedang mengujiku lagi. Mungkin dia sedang menyediakan aku sesuatu yang
lebih baik dari apa yang aku harapkan saat ini. Aku ingin sentiasa bersangka baik apatah lagi terhadap Dia Yang Esa.

Menghilangkan rasa yang berkelana di hati, seharian itu aku merayau-rayau mengikut langkah kaki, menaiki komuter hingga ke Rawang dan berpatah balik ke Kuala Lumpur. Di KL Central, aku menaiki Putra hingga ke KLCC dan merayau-rayau di sana sehingga kaki naik lenguh. Penat berjalan, aku duduk di bangku yang disediakan di komplek tersebut. Tanpa sedar air mataku gugur ke pipi lalu aku menyekanya perlahan.

"Ibu... kenapa tinggalkan Fea begini?"
Sesaat berteleku, aku tersedar dari kealpaan. Sebenarnya, bukan di sini aku harus berada tetapi di atas sejadah mengadap Ilahi. Ujian adalah untuk dua perkara iaitu menyucikan dosa dan menaikkan darjat di sisiNya dan andainya kesedihan ini merupakan satu ujian untuk menjauhkan aku dari neraka, alangkah indahnya sebuah kesulitan.

‘Ya Allah! Tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikan mudah. Sedang yang susah Engkau jadikan mudah, apabila Engkau menghendakinya. Ya Allah! Aku mengharapkan rahmat-Mu. Oleh kerana itu, jangan Engkau biarkan aku tanpa pertolongan dan rahmat-Mu. Perbaikilah seluruh urusanku, tiada Tuhan selain Engkau.’ Aku terus memanjat doa agar dipermudahkan segala jalan dan dihilangkan segala kesedihan.

Tanpa menunggu lebih lama, aku bangkit untuk pulang. Belum sempat kakiku mengatur langkah, pandanganku menyapa seraut wajah yang tidak pernah luput dari ingatan.

Arman! Hatiku menjerit kuat. Tekakku jadi kering tiba-tiba. Namun, Cuma seketika apabila bayangannya hilang di sebalik tubuh manusia yang ramai memenuhi ruang tersebut.

Ya Allah! Kenapa semakin hari aku semakin kerap mengingati dia. Mungkinkah dia juga sedang mengingati aku atau dia sebenarnya telah membuang aku jauh dari hatinya?

“Boleh tak kalau saya tanya satu soalan?” soalku suatu hari.
Dia hulurkan senyuman sambil mengangguk sebagai isyarat mengizinkan aku untuk bertanya.

“Saya ni tak cantik pun, tapi kenapa awak pilih saya.” Itulah persoalan yang sering memburu langkahku dan jawapannya tidak pernah aku temui.

“Kenapa tanya?” Soalnya tanpa menjawab soalanku.

“Pelik!”

Dia tergelak mendengar jawapan balasku. Aku terpaku memandang wajahnya. Sungguh…. Aku bagai ingin menghentikan waktu agar telingaku boleh mendengar suaranya yang ketawa begitu dan mataku boleh terus menatap seraut wajahnya yang kacak itu.

“Cinta tu memang pelik tapi saya tak perlu jadi pelik untuk jatuh cinta.” Ujarnya dihujung gelak.

“Yer laaa…. awakkan boleh pilih yang lebih cantik dari saya.” Tukasku, masih belum berpuas hati dengan jawapannya.

Aku ini hanya perempuan biasa-biasa yang tidak ada apa-apa istimewanya. Jika nak dibandingkan dengan dia yang segak dan kacak itu, seperti gagak duduk berganding dengan merak. Dia boleh saja memilih mana-mana perempuan yang jauh lebih cantik dariku.

“Bukan saya yang pilih tapi hati saya yang pilih.” Balasnya sambil merenung ke wajahku membuatkan aku tertunduk memandang rumput di kaki.

“Cantiknya seseorang wanita tu bukan pada parasnya tapi pada hatinya.” Sambungnya lagi.

“Dan kalau awak nak tahu……awak dah cukup cantik di hati saya.” Pengakuannya membuatkan aku terdiam kehilangan kata.

Oh! kenangan, kenapa masih ingin datang bertamu? Kenapa hati ini tidak pernah mampu melepaskan dia pergi sedang hakikatnya dia sudah melangkah jauh dari hidupku.