FOLLOWERS

SAKITNYA TUH DI SINI - Bab 2

         
       
DARI tadi dia hanya memerhati tingkah si suami yang sesekejap tersenyum dan sesekejap berkerut kening memandang skrin handphone. Sarapan di pinggan hanya sedikit terusik. Leka sungguh dengan telefon di tangan.
        
    Dari semalam hingga ke detik ini, dia cuba mencari ruang untuk menyampaikan berita gembira tentang kehamilannya tapi nampaknya, peluang yang dia ada sangat terhad.
Apa taknya, keluar pagi, tengah malam baru pulang.  Bila di rumah pula, si suami lebih banyak tumpukan pada skrin telefon dari memberi perhatian padanya.

        “Abang balik pukul berapa, semalam?” Aleeya memulakan bicara.

        “Hah?” Zariel angkat wajah. Terkejut mendengar soalan si isteri yang tiba-tiba. Cuba mencari riak pelik di wajah Aleeya namun, wajah mulus itu hanya biasa-biasa.

        Jadinya, dia anggap soalan itu adalah soalan perihatin seorang isteri.

        “Abang balik sayang dah tidur.” Jawapan lain yang diberi.

        “Kenapa tak kejut?” Aleeya berbasa basi. Sebabnya dia tahu, Kalau dikejutkan pun, bukan boleh buat apa. Nak bermesra jauh sekali.

        “Sayang tidur lena sangat.” Zariel bangkit.
        “Abang....” Panggilan Aleeya buat langkah Zariel terbantut.
        “Hari ni Leeya nak keluar.”

        “Okey.” Cuma itu jawapan Zariel sebelum berlalu naik ke atas.

        Sebegitu mudah? Aleeya telan liur. Memang dia sengaja umpan suaminya dengan ayat begitu. Mana tahu kut-kut Zariel akan bertanya lanjut dan sudi menemaninya keluar. Atau setidaknya Zariel akan bertanya keluar ke mana dan dengan siapa. Tapi, harapannya hanya tinggal harapan.

        Kenapa hatinya rasa dia bagai tidak lagi wujud di dalam dunia si suami? Dia rasa sendirian di dunia yang luas ini.

        “Abang keluar dulu.” Tiba-tiba satu ciuman singgah di pipinya dan matanya hanya mampu memandang langkah Zariel sehingga hilang dari pandangan.

        Hari sabtu, setahu dia pejabat Zariel tutup. Tapi entah sejak bila, setiap hari sabtu ada saja kerja yang mengharuskan si suaminya itu keluar rumah.

        Haruskah dia menyelak kamus curiga? Kata orang, simpan sedikit ruang di hati untuk dipacak tiang curiga, jangan semuanya diletakkan kata percaya kerana dalam kasih dan cintanya seorang lelaki, akan ada ketikanya tersasar dari landasan.

        Itu kata orang. Tapi kata hatinya? Dia tak mahu percaya yang kasih Zariel boleh berubah.

        Nafas dihela berkali-kali sebelum bangkit menuju ke bilik untuk bersiap.

        Tak lama selepas itu, kereta si teman sudah terpacak depan pagar rumahnya. Teman yang dia kenal sejak di zaman belajar sehinggalah ke alam bekerja. Walau dia sudah berkahwin dan Diana masih kekal bujang, hubungan mereka masih kekal seperti 
sebelumnya.

        “Laki kau tahu ke kau keluar dengan aku ni?” Diana menyoal sebaik keretanya bergerak di jalan raya.

        “Mmmm...” Hanya itu yang mampu Aleeya jawab. Takkan nak beritahu yang Zariel tak tanya pun dia nak keluar dengan siapa. Dan kalau sekarang ni dia tergerak hati untuk curang, keluar dengan lelaki, rasanya Zariel pun tak ambil peduli.

        “Dia ada kat rumah ke?” Diana menyoal lagi.
        “Keluar. Ke ofis katanya.”
        “Sabtu pun kerja?”

        Aleeya terus terdiam. Kalau Diana yang tak ada kena mengena dengan Zariel pun boleh bersoal begitu, apatah lagi dia sebagai isteri.

        “Leeyaaa....Kau dengan Zariel ada masalah ke?” Soalan Diana memanggil Aleeya berpaling, memandang sisi wajah si teman yang sedang memandu.

         “Kenapa kau tanya macam tu?” Aleeya rasa tak sedap hati. Pertanyaan Diana kedengaran sangat pelik di telinganya.

        “Aku nak cakap denga kau sesuatu tapi...” Bicara Diana terhenti di situ. Sekilas berpaling pada Aleeya yang sedang memandangnya.

        “Cakap apa?” Aleeya tidak sabar.
        Diana diam sejenak. Berfikir bagaimana ayat yang sesuai untuk meluahkan.

        “Aku nampak Zariel dengan perempuan yang sama beberapa kali...”

        “Kawan kerja dia kut.” Aleeya memintas. Berpura-pura tak terkesan dengan berita yang Diana sampaikan sedang hati yang di dalam sudah mula bergelombang.

        “Kawan kerja sampai berpegang tangan dan berpeluk bahu?”
        Dup! Jantung Aleeya bagai jatuh ke kaki. Dia tegak memadang ke depan, tidak berani menoleh pada Diana. Di hati dia berharap, apa yang terlafaz dari bibir Diana tadi hanyalah satu omongan kosong. Atau... Diana tersilap orang. Dia sangat berharap Diana tarik balik apa yang diucapkan tadi.

        “Aku bukan nak menghasut kau. Tapi, jangan jadi bodoh kerana cinta, Leeya.” Setepek ayat si teman bagai jatuh ke mukanya.

        Benarkan dia sudah menjadi manusia bodoh kerana cinta? Kalau benar begitu, ilmu yang dituntut sehingga ke menara gading rupanya tidak mampu menandingi satu perkataan bernama cinta.

        ‘Ya Allah! jika benar apa yang diperkatakan Diana, jika benar aku telah diperbodohkan, tunjukkan kebenarannya.’ Aleeya panjat doa dalam hati. 

        Selepas itu, masing-masing diam membisu sehingga tiba di KLCC. Destinasi pertama, repair iPhone dulu.

        Tapi, disebabkan terpaksa menunggu sehingga satu jam, Diana heret tangannya menuju ke Parkson. Memang itulah tujuannya ke KLCC, mahu beli pakaian dalam katanya. Macamlah tempat lain tak boleh beli.

        Penat berdiri menunggu Diana memilih dan mencuba, Aleeya melangkah ke arah tempat duduk yang disediakan untuk customer yang terletak di tengah laluan berdekatan kaunter kasut wanita.

        Duduk di situ sambil memerhati gelagak manusia, tiba-tiba dia terdengar suara yang amat dia kenali datang dari belakang tempat dia duduk.

        “Nak beli kasut ke?”
        Dia terus tergamam.

        Kejutan apakah ini? Bagaimana Zariel tahu dia ada di sini dan sedang memandang ke arah sepasang kasut yang cantik berhampiran tempat dia duduk.

        Kepalanya pantas berpusing, mahu segera bangkit tapi apa yang dia lihat buatkan pergerakannya terhenti.

        Zariel sedang memegang kasut wanita sambil ditelek oleh seorang perempuan berambut panjang dan tangan perempuan itu elok memaut lengan Zariel.

        Liur Aleeya tiba-tiba terasa kesat dan berpasir di kerongkong sendiri. Matanya tidak lepas memadang Zariel membantu perempuan tersebut mencuba kasut yang dipegang tadi.

        Rupanya, layanan Zariel yang istimewa begitu bukan hanya untuk dirinya seorang. Dan apa yang dia lihat itu cukup untuk membuatkan sekeping hatinya retak seribu.

        Terus matanya bergenang. Apa lagi yang mahu dia katakan pada hati untuk memujuk? Bolehkah dia kata yang perempuan itu rakan sekerja si suami? Dan bolehkah dia katakan yang di KLCC ni tempat kerja si suami?


        Itu namanya membodohkan diri sendiri. Benarlah kata orang, doa orang teraniaya tiada tapisan. Kerana saat ini, Tuhan telah makbulkan doanya, menunjukkan sebuah kebenaran.

SAKITNYA TUH DI SINI - Bab 1

         
        T
AK sengaja, matanya menjenguk skrin telefon si suami yang sejak tadi berbunyi dan tatkala membaca pesanan WhatsApp yang masuk, jantungnya terus berhenti berdenyut. Satu kejutan yang dia tak pernah jangka.
         
            ‘Sayang, malam ni you tidur sini ya, teman I. You berilah alasan pada wife you....”
         
        Aleeya telan liur. Tiba-tiba alirannya terasa kesat.
        Sayang?
        Tidur?
        Teman?
         
        Siapakah gerangan yang menghantar pesanan tersebut? Nak dibuka untuk melihat, dia tak tahu password. Yang dia perasan nama penghantar itu @Ina.
     
   Belum sempat akalnya mencerna, pintu bilik air dibuka dan si suami yang bertuala terikat di pinggang keluar dengan senyuman.

        Matanya lurus memandang Zariel. Tanpa kelip. Bukan sebab tergoda tapi, sebab dia seakan tidak percaya dengan persoalan yang menghujani hatinya.

        “Kenapa pandang abang macam tu?” Zariel menghampirinya dan satu ciuman singgah di pipinya.

        Entah kenapa saat itu dia jadi tidak pandai untuk membalas setiap perlakuan romastis Zariel. Hanya melihat tingkah sang suami yang sibuk membelek handphone di tangan.

        “Abang nak ke mana?” Akhirnya Aleeya bersuara juga setelah melihat si suami sibuk menyarungkan baju dan seluar. Pakaian seperti orang mahu keluar.

        Baru balik kerja. Sampai rumah pun dah lepas maghrib. Nampak macam nak keluar semula. Entah sejak bila Zariel menjadi terlalu sibuk begini. Mengalahkan orang berjawatan CEO yang bisnesnya juta-juta. Setahunya, Zariel hanyalah seorang Marketing Manager di sebuah syarikat bumiputera yang tidaklah besar mana bisnesnya.

        “Abang nak keluar jumpa kawan. Kalau abang lambat balik, sayang tidur dulu. Jangan tunggu abang.” Hanya itu alasan yang diberi sebelum satu lagi ciuman di lekatkan ke pipinya.

        Tapi entah kenapa Aleeya rasa ciuman itu satu kepura-puraan untuk menutup sebuah penipuan. Tiada lagi rasa yang sering menjetik hingga ke hati seperti hari-hari sebelumnya.

        Lebih setahun perkahwinan mereka, awal perkahwinan rasanya Zariel tidaklah sesibuk begini. Nak kata naik pangkat, tak pula dengar khabar.

        Tiba-tiba hatinya jadi tak sedap. Sibuk dengan kerjakah atau sibuk dengan benda lain?

        “Abang pergi dulu.”
        Dan, bersama pintu bilik yang tertutup, mata Aleeya turut tertutup.

        ‘Kalau abang lambat, tidur dulu.’ Pesanan itu berulang di minda. Dan dia memang ingat pesanan sebegitu sudah acapkali Zariel berikan tatkala si suaminya itu keluar malam seperti malam ini. Alasannya jumpa kawan.

        Betul ke jumpa kawan? Atau jumpa Ina? Minda bergerak lagi, mengingat sejak bilakan si suami mula pandai berjumpa ‘kawan’ waktu malam begini?

        Saat itu, mindanya membelek kembali hari-hari sebelumnya.

        Ya! sejak akhir-akhir ini Zariel sering keluar malam dengan alasan yang sama. Ada ketikanya subuh baru balik dan bersiap ke tempat kerja. Alasannya, tertidur rumah kawan selepas menonton bola di TV.

        Kerana satu perkataaan PERCAYA, dia tidak bertanya lanjut walau hatinya terdetik alasan tersebut sangatlah tidak logik. Tapi, dia cuba pujuk hati untuk bersangka baik dan fikir yang baik-baik.

        Aleeya bangkit. Mundar mandir mengukur keluasan bilik sebelum kakinya terpasak di lantai betul-betul di hujung katil. Mata jatuh pada cadar unggu corak bunga matahari yang kemas membalut katil.

        Mindanya terimbas hari-hari sebelumnya. Katil itu menjadi saksi betapa hangatnya hubungan mereka. Siang dan malam. Tapi, selepas dia keluar hospital kerana pembedahan appendiks, segalanya bagai sangat dingin.

        “Sayang tak sihat lagi. Biar badan betul-betul sihat dulu.” Hanya itu alasan Zariel ketika dia mengharapkan belaian.

        Ketika dia membuang rasa malu memulakan kemesraan kerana jika mahu mengharapkan Zariel, jauh panggang dari api. Dinginnya Zariel, bagai ada sesuatu yang tidak kena.

        Tapi, kerana terlalu percaya, dia butakan mata. Kerana terlalu sayang, dia bodohkan diri.

        Tiba-tiba hatinya terasa sakit. Tangan melekat pada perut sendiri. Niatnya untuk mengkhabarkan berita gembira hari ini terus 
terbantut.

            Lebih setahun perkahwinan mereka, berita inilah yang 
diharapkan dia dan Zariel. Tapi kenapa saat ini dia rasakan berita tersebut hadir pada waktu yang kurang tepat?

            Mata berkalih pada iPhone 6 plus di atas meja kecil tepi katil apabila terdengar gegaran. Telefon hadiah Zariel di hari jadinya enam bulan lepas sudah seminggu ‘bisu’. Ring tone dan semua notification tak berbunyi. Hanya vibrate saja yang berfungsi.

            “Abang sibuklah sayang. Apa kata sayang pergi sendiri.” Itulah jawapan Zariel bila dia ajak ke KLCC untuk repair. Telefon masih ada warranty, bukan boleh repair di kedai biasa. Kena ke service centre sana.

        Waktu itu, dia betul-betul terasa hati. Kenapa Zariel boleh berubah begitu drastik? Sedang di awal perkahwinan dulu, dia nak ke mana pun pasti si suami ahu mengekor. Katanya, sekarang zaman jenayah, bahaya perempuan jalan sendirian.

        Adakah zaman jenayah yang Zariel maksudkan itu sudah berakhir?

            Hati bertanya, apa sebenarnya yang sedang melanda rumahtangganya. Apa sebenarnya yang disibukkan suaminya? Tapi persoalan yang timbul, tak pernah ada jawapan.

            Nafas diarik dan dilepas kasar. IPhone dicapai. Ada WhatsApp dari Diana.
             
            Weh! jom teman aku ke KLCC esok.
         
        Satu kebetulan pula. Tak mengapalah. Zariel tidak mahu memenuhi permintaannya. Tapi Tuhan ada. DIA Maha Mendengar. Pastilah DIA mendengar  bisik hati hambanya ini. Mungkin DIA telah menghantar si teman itu untuk menemaninya.

Scandal Depan Rumah




Duduk termenung di anjung, lagu Tenda Biru bagai terdengar di mana-mana. Walhal, yang berkumandang di rumah berpagar tinggi depan sana ialah paluan kompang dengan irama Selamat Pengantin Baru.

“Saya akan tunggu sehingga kita habis belajar dan selepas itu kita beritahu keluarga kita.” Kata-kata Hasif bagai berulang di mindaku.

Tapi, belum habis belajar, belum sempat beritahu keluarga, dia sudah bersanding di pelamin.

“Saya cintakan awak, Aina.”

Dan ucapan itu, rasanya kalau aku kira sejak awal dia ungkapkan dan kalaulah ungkapan itu boleh diumpamakan batu bata untuk pembinaan, sudah boleh membina 25 tingkat bangunan.

Tapi hari ini, detik ini, Hasif memilih orang lain sebagai suri hidupnya. Alasannya, pilihan keluarga dan dia terpaksa.

Oh! Mudah sungguh. Memberi harapan pada aku, menanam benih cinta di hati aku, tapi bila dah tumbuh mekar, dibakar dengan api yang marak sehinga seluruh ruang yang ada dilanda jerebu yang teruk.

“Kau tenung pagar rumah orang tu, bukan boleh bertukar pengantin perempuannya jadi kau.” Suara seseorang datang dari sebelah kanan buatkan aku tersentak.

Kurang asam sungguh! Datang rumah orang tak bersalam, terus menerjah dengan kutukan. Siapa lagi kalau bukan Zahran, si jiran sebelah kanan rumah. Sejak zaman sekolah, sehinggalah kini mulutnya memang tak pernah ada penapis.

Aku bangkit dari duduk dan terus masuk ke rumah. Waktu ini, aku memang tak ada hati untuk bergaduh mahu pun bercakap dengan sesiapa waima dengan emak sekalipun.

Hati aku sedang merusuh. Jiwa aku sedang merana.


Saat itu, aku mula setuju dengan cadangan emak mahu berpindah keluar dari kampung ini. Emak mahu pulang ke tempat kelahirannya. Di sini, memang tempat tumpah darahku. Tapi, apalah gunanya aku terus di sini kalau hati yang di dalam berterusan mengalirkan darah merah.

Sakitnya Tuh Di sini - Prolog

       

 JANJI sebuah akad itu janji bersaksi. Janji yang bukan boleh dibuat main-main. Dan kerana rasa percaya, dia terima seorang Zariel Adham, bersetuju menjadi makmum lelaki itu walau perkenalan mereka terlalu singkat.
     
   “Janji... yang Leeya akan jadi isteri abang sampai bila-bila?” Itu yang Zariel bisikkan saat bibir si suami melekat di dahinya.

        Aleeya angguk perlahan. Mempatri janji kerana dia yakin dengan hatinya. Tapi, bolehkah dia yakin dengan hati Zariel?

        Tanpa amaran, sekali lagi bibir si suami melekat di pipinya.

        “Bro.. nak lebih-lebih tunggu malam. Dalam masjid ni.” Satu suara menegur memanggil Aleeya menoleh pandang.

        Mata memaut wajah lelaki yang sedang duduk tidak jauh dari  situ. Cuma sesaat, Aleeya kembali menunduk. Dia kenal dengan lelaki itu tapi lupa namanya. Kawan Zariel, lawyer kacak, itu kata hatinya.

        “Abaikan dia...” Zariel berbisik sebaik melihat wajah si isteri yang sudah memerah.

        Aleeya hanya menunduk malu. Ya! Dia masih segan. Malunya masih menebal. Mereka kenal tak lama. Bercinta pun bukan selalu berjumpa. Cinta mereka cinta jarak jauh. berhubung melalui whatsApp dan bercakap hanya sesekali bila ada hal penting sahaja.

        Lima bulan perkenalan, hati budi pun belum sempat diselusuri sampai ke dasar, Zariel suarakan hasrat mahu menyuntingnya.


        Dan.. kerana dia yakin dengan kata hati sendiri, dia terima Zariel tanpa syarat.