FOLLOWERS

HKC - Trailer 4

Selepas hari itu, panggilan Zhafran tidak lagi aku jawab. Setiap pesanannya juga tidak aku balas. Apabila dia datang ke kolej juga aku tidak turun.

Namun, bukan Zhafran namanya kalau dia cepat berputus asa. Suatu petang, keluar dewan kuliah saja dia sudah menunggu di depan pintu. Aduhhh... Aku boleh jadi gila kalau lama-lama begini.

Fatin yang jalan beriring denganku sudah memberi isyarat agar dia berlalu terlebih dahulu. Belum sempat menghalang, dia sudah melangkah pergi. Jadi, aku sudah tiada cara lain untuk mengelak.

“Kenapa aku call banyak kali kau tak angkat? Kau ke mana?” dia terus menyoalku sebaik Fatin menjauh.

“Adaaa..” Mendatar suaraku menjawab.

“Habis, kenapa tak jawab?” soalnya lagi. Sebelah tangannya diangkat bercekak pinggang.

Aku diam tidak menjawab. Dia renung wajahku dengan kening berkerut dan mata yang mengecil.

“Ada apa-apa berlaku yang aku tak tahu?” asaknya dan aku mengeleng laju.

Renungannya menjadikan aku gelisah.B eg yang tersandang di bahu aku lurutkan dan bawa ke depan untuk di peluk.

“Jangan menipu aku.” Rasa tidak percaya jelas terpancar di wajahnya.

“Aku tak menipu.” Aku menafikan walau hakikat sebenarnya memang aku sedang menipu.

“Tapi, mata kau sedang berkata-kata yang sebaliknya.”

Aku tarik nafas panjang. Bagaimana untuk membohonginya sedang dia seperti punya kuasa luar biasa, mampu melihat apa yang ada di hatiku dengan hanya memandang ke anak mataku.

“Baliklah Zhaf, jangan cari aku lagi atau jangan call aku lagi.” Akhirnya, itu yang aku putuskan.

“Tapi kenapa? Apa salah aku?” Zhafran tidak berpuas hati. Dia makin merapatiku membuatkan aku terpaksa berundur beberapa langkah ke belakang.

“Kau fikir sendiri.” Ujarku.

“Aku dah puas berfikir tetapi jawapannya tetap aku tak jumpa.” Tukasnya pantas.

“Aku nak balik kolej. Lepas hari ni kau jangan datang cari aku lagi.” Aku mula mengatur langkah untuk mengelak dari dia tetapi dia cepat menyambar tanganku.

“Hey!” Aku terjerit kecil kerana terperanjat sambil berusaha melepaskan pegangan yang kejap di lenganku.

“Kau harus jawab soalan aku dulu.” Dia tidak ingin melepaskan. Inilah sikapnya yang paling aku geram, suka memaksa!

“Lepas tangan aku dulu.” Aku masih berusaha menarik tanganku dan menahan rasa sabar.

“Aku takkan lepas selagi kau tak jawab.” Dia mengugut seperti selalunya.

“Zhaf, baik kau lepas. Kalau Nurin nampak macam-macam pula cerita yang akan timbul nanti, banyak buruk dari baiknya.” Aku sudah tiada pilihan lain, terpaksa menggunakan nama Nurin agar dia melepaskan tanganku. Malu rasanya apabila ada yang menuntas pandang ke arah kami dengan wajah kehairanan.

“Aku tak peduli tentang dia, yang aku peduli sekarang ialah kau. Kenapa kau nak jauhkan diri dari aku?”

“Kau juga yang mahukan begitu. Dulu, kau juga yang kata Nurin tak mahu kita rapat.” Aku meningkah marah. Rasa sabarku sudah hampir hilang semuanya.

“Itu dulu…”

“Apa bezanya dengan sekarang?” pintasku, mencerlung memandangnya.

“Nurin ada datang jumpa kau?” dia menyoalku pula.

“Baik kau lepaskan aku.” Buat kesekian kalinya aku meminta dia melepaskan pegangannya yang makin kejap di pergelangan tanganku tanpa menjawab soalannya.

“Kau jawab aku dulu. Nurin ada datang jumpa kau?” sekali lagi diulang tanya soalan yang sama.

Aku diam berfikir. Haruskah aku mengiakan atau terus menyembunyikan kebenaran? Sudahnya, aku tetap mengunci mulut.

“Dia cakap apa dengan kau?” soalnya lagi separuh mendesak, seolah telah dapat menduga kenapa aku berubah drastik.

“Lepaslah!” aku sudah menjerit kuat. Tidak selesa apabila diugut, didesak dan di perlakukan begitu.

“Kau jawab aku dulu. Dia cakap apa dengan kau?” Dia masih tidak ingin melepaskan, tetap berkeras memaksaku memberitahunya.

“Dia suruh aku jauhkan diri dari kau, jangan berhubung dengan kau dan jangan ganggu kau. Kalau dia tahu kita masih berhubung, dia akan ceritakan pada ibu dan aku tahu, ceritanya pasti akan memburukkan aku.” Akhirnya, aku luahkan jua amaran Nurin terhadapku. Seharusnya, itulah yang perlu aku lakukan sejak tadi kerana aku sendiri tahu Zhafran itu jenis manusia yang bagaimana. Selagi dia tidak berpuas hati atau mendapatkan apa yang dia inginkan, selagi itulah dia akan terus memaksa dan mendesak

Zhafran diam. Gerahamnya kelihatan bergerak-gerak petanda dia sedang menahan rasa marah.

“Baliklah Zhaf. Aku…”

“Kau tahu aku takkan biarkan sesiapa pun menyakitkan kau." dia tatap ke anak mataku.

"Takkan ada sesiapa pun boleh sakitkan kau.” tekannya, penuh yakin.

“Kecuali kau!” tingkahku, menentang pandangannya. Ya! hanya dia yang boleh menyakitkan hatiku. Tak perlu dengan kata-kata, cukup dengan perbuatan saja dia sudah terlalu menyakitkan.

“Kenapa kau cakap begitu?” dahinya berkerut petanda tidak mengerti maksudku.

“Sebab kau memang sudah lama menyakitkan aku.” Jawabku pantas. Dia mengeluh berat.

“Ikut aku.” Dia memaksa aku mengikut langkahnya.

“Hey!” hanya itu yang sempat keluar dari mulutku kerana aku sudah sibuk menumpukan perhatian pada kakiku yang terpaksa bergerak pantas mengikut langkahnya.

Dia mengheret aku ke keretanya yang terparkir berhampiran situ, memaksa aku masuk ke dalamnya sebelum dia bergerak ke tempat memandu dan membawa aku ‘lari’ dari dunia kampus.

“Zhaf, sampai bila kau nak siksa aku begini?” aku menyoalnya setelah agak lama kami hanya berdiam diri. Tidak kusangka, soalanku telah membuatkan dia memberhentikan keretanya secara mengejut di bahu jalan.

Dia kemudiannya menanggalkan tali pinggang keledar dan berpusing mengadapku. Wajahnya nampak kusut, seperti sedang menanggung beban yang cukup berat.

“Aku siksa kau ke selama ni? Aku buat apa sampai kau rasa tersiksa Lya?” lembut dia menyoalku. Nafasku jadi tertahan. Tiada perkataan untuk aku luahkan untuk menjawab soalannya.

“Lya…” dia memanggilku dan kemudiannya diam membuang pandang.

“Apa yang aku mesej kau malam tu memang benar….” Dia berhenti di situ dan menarik nafas yang cukup panjang.

“Aku memang tak boleh hidup tanpa kau.” Penghabis bicaranya buatkan aku jadi sukar untuk menarik nafas.

Saat itu, usah diceritakan apa yang berterabur di dadaku. Seolah ruang yang besar itu tidak mencukupi untuk menampung apa yang aku rasa. Ingin menangis tetapi air mata begitu degil tidak mahu mengalir. Ingin marah tetapi suara pula tidak berupaya melantum keluar.

“Kalau kau tak boleh hidup tanpa aku, kenapa kau pilih Nurin?” tiba-tiba saja bibirku melontarkan soalan yang langsung tidak terjangka oleh mindaku. Mungkinkah itu soalan dari hati? Benarkah bibir juga boleh berkompromi dengan hati tanpa mengambil kira apa kata minda?

“Jika aku tidak memilih Nurin, adakah mungkin aku boleh memilih kau?” soalan balasnya bagi menjawab soalanku benar-benar membuatkan aku hilang semua perkataan untuk diluahkan. Memilih aku itu bermaksud apa? Sebagai teman hidup atau sebagai sahabat seumur hidup?

“Kenapa kau diam?” dia menyoalku lagi setelah lama aku hanya mendiamkan diri.

Aku mengeleng dan melarikan wajah dari tatapannya sambil menahan hati yang sedang dipagut rasa hiba. Kalaupun aku kata dia boleh memilihku, masa yang sudah berlalu itu tidak mungkin mampu diputar kembali. Jadi, apa perlunya aku bersuara jika ianya akan menyakitkan hati sendiri.

HKC -Trailer 3

Sepanjang beberapa hari di kampung kelahiran Fatin yang terletak berhampiran pantai Batu Buruk itu, hatiku jadi tenang. Rumahnya di kelilingi pokok-pokok rendang. Depan rumahnya terdapat pangkin yang diperbuat daripada buluh dan selesa untuk duduk-duduk sambil minum.

Setiap petang aku akan bertenggek di atas pangkin tersebut sambil menikmati udara yang bertiup segar. Bunyi ombak yang jelas kedengaran menjadi halwa telinga yang cukup menghiburkan. Suasana sebegitu melupakan aku pada semua permasalahan yang melanda.

Namun begitu, ianya hanyalah bersifat sementara kerana kemunculan Zhafran di hari pertunangan Fatin telah mengucar kacirkan kembali seluruh perasaanku. Tidak kusangka, Zhafran itu teman sepejabat Fakrul, kekasih hati yang kini sudah bergelar tunangan Fatin dan turut menyertai rombongan peminangan tersebut.

Apa yang lebih mengejutkan aku, Hijaz juga turut serta di dalam rombongan tersebut. Baru hari ini aku tahu, rupanya mereka ini adalah sahabat.

Kalau dulu-dulu, tuan empunya diri tidak boleh muncul di hari pertunangan tetapi sudah jadi berbeza di zaman kini. Tuan empunya diri juga turut hadir, malah si teruna dan dara pula sibuk bergambar bersama mengalahkan majlis bersanding.

Dalam kesibukan mereka bergambar dan aku menjadi penonton setia, Hijaz tiba-tiba datang menghampiriku.

“Lya..” Dia menegur.
“Oh! Abang… Lya tak tahu pun abang kenal dengan Fakrul.” Aku cuba bermanis muka dan dia tersenyum menyambut kataku. Makin segak, itulah yang dapat aku simpulkan tatkala melihatnya secara dekat.

“Lya apa khabar?”

“Baik bang. Abang dah makan ke?”

“Mmmm…” bicaranya mati di situ dan pandangannya terarah ke belakangku. Pantas aku berpaling dan kelihatan Zhafran sudah berada hampir dengan kami.

“Lya…” Zhafran menegur dan aku hanya senyum bersama anggukkan kepala menjawab tegurannya.

“Kalau abang belum makan, Lya boleh temankan.” Aku sengaja melunakkan suara menawarkan diri untuk menemani Hijaz walau sebenarnya aku tahu dia memang sudah selesai menjamu selera. Entah kenapa aku terpanggil untuk berkelakuan begitu, mungkin sengaja untuk menunjuk pada Zhafran.

“Abang dah makan tadi tapi…”

“Jaz, boleh aku cakap dengan Lya sekejap?” Zhafran memintas, sekali lagi menghentikan bicara Hijaz.

“Kenapa nak cakap dengan aku kena minta izin dari abang Hijaz pulak? Cakap ajelah, bukan kena bayar pun.” agak kasar aku menjawab bagi pihak Hijaz membuatkan Zhafran terdiam sejenak. Tajam renungannya menikam wajahku sebelum dia melepaskan nafas berat.

“Kita cakap kat luar sekejap, kat sini orang ramai.” Dia pantas menarik lengan bajuku sebelum sempat aku berbuat apa-apa. Lagaknya seperti orang yang tidak berpuas hati.

“Isk! Lepaslah.” Aku meradang sambil merentap lenganku dari tarikannya setelah kami jauh dari kumpulan orang ramai.

“Apa hal kau ni?” sergahku penuh rasa geram. Dia ni memang la, suka buat sesuatu tanpa memikirkan perasaan orang lain.

“Bukan main lagi kau yer dengan Hijaz, ber’abang’ bagai.” sinis dan terkandung nada cemburu pada suaranya.

“Kenapa? Menyalahi undang-undang ke kalau aku panggil dia abang?” sengaja aku ingin menduganya.

“Tak!!” bentaknya seakan melepaskan rasa marah.

“So, Apa kau peduli? Suka aku laaaa… bukan ke kau sendiri yang suruh aku buka pintu hati dan terima dia? Aku tengah cuba la ni. Mana tahu, hari bersejarah Fatin menjadi detik bersejarah untuk hati aku jatuh cinta pada dia.” Panjang lebar aku meluahkan. Dia seakan terpaku mendengar kata-kataku.

Sengaja! Aku memang sengaja berkata begitu untuk menyakiti hatinya tetapi kenapa pula hatiku yang terasa bagai dihiris halus?

Trailer 2

Ok.. ini aku tampalkan sikit babak ttg Hareez sbb ada yg tak tahu wujudnya watak lelaki kerek ni.

*******************************************

Zapppp! Dadaku bagai dipanah petir tatkala lelaki tersebut membuka cermin mata hitam yang dipakainya dan melangkah ke arahku. Aku sudah dapat mengagak siapa dia tetapi hatiku bagai enggan mengakuinya. Dia lebih kacak dari apa yang aku bayangkan.

“Are you Lyana Amira?” dia menyoal dengan lagak angkuh.
Aku pejam celik kedua mata sambil memandanya atas dan bawah tanpa menjawab soalannya. Dia yang seperti tidak senang dengan tingkahku berdehem beberapa kali.

"Ya! Saya Lyana Amira." aku menjawab akhirnya dengan pandangan masih meneliti dirinya.

“Ikut I sekejap.” Tanpa amaran dia terus menarik tanganku.
“Eh, eh! Apa ni?” Aku terjerit kecil kerana terperanjat.
“Hey…Hey!, kau nak bawa aku ke mana ni?” Aku cuba meronta untuk melepaskan pegangannya di lenganku namun tidak berjaya.

Dia terus membuka pintu keretanya dan mendorongku masuk ke dalam. Pintu terus terkunci sebelum sempat aku membukanya. Dia kemudiannya bergerak ke tempat duduk pemandu dan masuk ke dalam.

Kereta sudah mengundur ke belakang dan meluncur laju ke jalan raya sebelum sempat aku berbuat apa-apa. Segala yang berlaku begitu pantas sekali sehingga aku rasakan hanya sekali berkelip, aku sudah dibawa lari. Dah la aku tak bawa apa-apa, hendaknya dia tinggalkan aku di tepi jalan, sah sah aku kena jadi pengemis sebelum dapat pulang semula ke kolej.

“Heh! Kau ni siapa sebenarnya? Kau nak culik aku buat apa? Keluarga aku bukan orang kaya, tak ada duit untuk bayar tebusan.” aku jadi curiga tiba-tiba. Siapa dia ni sebenarnya? Kenapa lagaknya macam nak menculik aje? Dadaku jadi berdebar tiba-tiba. Rasa takut datang menerpa. Pantas aku berpusing mengadapnya.

"Kau ni siapa sebenarnya? Kau nak culik aku ke apa?" terjahku kasar.

Dia menoleh sekilas "Kalau setakat perempuan macam kau, upah sejuta pun aku tak ingin nak culik. Tak memberi faedah apa pun."

"Hah! jahatnya mulut kau. Kalau tak memberi faedah, kau larikan aku ni buat apa?" aku menjerit marah. Pantas saja stering keretanya aku goncang kuat sehingga dia terjerit dan menekan break kecemasan sebelum membelok masuk ke kawasan lapang di depan dewan Canselor.

Dia mendengus geram manakala aku pula sudah membuntang mata memandangnya. Kurang asam punya manusia. Dia boleh umpamakan aku dengan duit sejuta. Yang sadisnya, dia tak nak pulak duit sejuta tu kalau perempuan yang disuruh dia culik itu adalah aku. Tak ke menyakitkan hati.

Buat seketika kami saling bertingkah melalui pandangan sebelum dia sekali lagi mendengus kuat dan menyandarkan tubuhnya ke belakang dengan pandangan lurus ke depan.

“Aku… Hareez Daniel.” dia mengakui akhirnya dan entah kenapa aku melepaskan nafas lega. Sekurang-kurangnya aku tahu bahawa aku tidak diculik dan akan selamat di dalam kereta ini.

“Yes! Aku Hareez Daniel yang ‘dipaksa’ untuk berkahwin dengan kau.”

“Dipaksa?” keningku berkerut memadangnya. Zaman sekarang ni, ada lagi ke istilah paksa dalam sebuah perkahwinan? Aku seperti tidak ingin mempercayainya.

“Ya! dipaksa oleh keluarga aku untuk menerima kau sedangkan aku rasa, mati hidup semula pun aku tak mungkin akan terima kau.” Angkuh sekali lagak dan gaya percakapannya buatkan aku menyumpah di dalam hati.

Dia pandang ke arahku dengan juring matanya. Sungguh Sarkastik. Apa dia fikir aku ni nak sangat kahwin dengan dia? Sekali dia tak nak, sejuta kali aku tak hingin.

“Aku jadi hairan, kenapa mama aku beria-ia nakkan kau sebagai menantu. Untuk aku, kau tak ada pun ciri-ciri wanita yang layak untuk menjadi isteri sempurna.”

Hah! Ini satu penghinaan yang tidak mampu diterima oleh akalku. Tiba-tiba hatiku jadi panas bagai dipanggang di atas bara api.

“Jadi! Kau culik aku ni semata-mata nak menghina aku, begitu?” soalku, geram.

Dia angkat kedua belah bahunya tanpa menoleh ke arahku. Serasa nak aje aku tendang dia masuk ke dalam longkang.

“Aku hanya nak kau tahu, aku takkan terima usul mama dan takkan kahwin dengan kau walau apa pun yang akan terjadi. Rasanya, lagi baik aku tak berkahwin seumur hidup dari berkahwin dengan kau.” Satu lagi penghinaan yang cukup untuk mencarik sekeping hatiku. Biarpun aku ini tidak secantik dan seayu wanita melayu terakhir yang lemah gemalai, aku jua punya hati dan perasaan. Tidakkah dia tahu tentang itu?

Pantas aku berpusing ke arahnya, merenung dia dengan mata yang mengecil sambil menahan nafas.

“Kau tahu tak? Kalau aku diberi dua pilihan, kahwin dengan kau atau mati di tali gantung, aku lagi rela memilih tali gantung dari menjadi isteri kau.” Ujarku memanggil dia menoleh ke arahku. Buat seketika, dia bagai tergamam memandangku.

“Rasanya, itu sudah cukup jelas untuk menceritakan apa yang ada di hati aku dan orang terpelajar seperti kau seharusnya faham maksudnya.” Sambungku lagi dan dia masih seperti tadi, memandangku bagai tidak percaya. Mungkin dia tidak menyangka aku akan berkata begitu. Mungkin juga dia menyangka aku akan menangis dan memujuknya. Ah! Lelaki angkuh sepertinya tidak harus diberi muka walau hanya untuk secebis rasa.

Cuti....

Cuti sekolah, cuti kerja dan balik kampung tapi duduk kampung bukannya boleh rehat kerana balik ke sana di atas urusan bisnes keluarga...aduhhh..penatnya.

4 hari di kampung, macam pendek sangat. Tak sempat ke mana-mana. Lagi pun, jalan sesak teruk. Entah dari mana datangnya kereta,orang pun ramai betul. Agaknya, cuti sekolah aje orang mesti balik kampung. (Bukan raya jer ke orang balik kampung?)

Dari kampung, kami masuk ke Kuala Betis, kawasan penempatan orang asli. Dari situ, kami terus ke Cameron Highland dan singgah di sana.






Sepanjang jalan pulang, teringat pula kisah Fea dalam HSC. dah lama rasanya tak selongkar kisah hati Fea. Semalam, ada yang bertanya melalui FB 'Tak nak sambung kisah Arman ke?'

Mmmm.. susahnya nak jawab. Dalam kepala memang ada cuma jalan penyudahnya terasa sukar. Teringin juga melakar kisah hati seorang lelaki yang betul-betul kecewa apabila orang yang dia sayangi tiba-tiba berkahwin dengan sahabat baiknya sendiri.

Nantilah, kalau diberi ilham, insyaalah... Arman akan muncul kembali sebagai hero kerana asalnya cerita HSC tu, Arman ialah heronya tetapi telah ditukar di saat-saat akhirnya di atas sebab-sebab tertentu.

HKC? tunggulah.... bila ke versi cetak? aku sendiri tiada jawapannya kerana sekarang ini ia masih di tangan penerbit. Doakanlah moga prosesnya berjalan lancar...