FOLLOWERS

YANG BERNAMA CINTA - Bab 5

Sudah lebih empat bulan, Hani tidak pernah lagi pulang ke kampung. Bukan dia tidak rindu apatah lagi bila emaknya menelefon dan memberitahu buah rambutan di belakang rumah sudah masak ranum, hatinya menggedik ingin pulang.
        Selalunya, bila setiap kali musim rambutan, pndok kecil di belakang rumah akan menjadi tempat dia bertenggek sambil mengunyah buah rambutan. Mangsa yang jadi tukang panjat pokoknya ialah tak lain dan tak bukan mestilah adiknya si Azrul.
        Mengingati semua itu, Hani telan liur. Pun begitu, dia terpaksa tahan hati kerana buat waktu ini, perkara pertama yang ingin dia lakukan ialah mengelak dari bertemu dengan lelaki itu.
        Tapi sampai bila? Spontan kepala Hani terngeleng beberapa kali. Dia sendiri tidak pasti berapa lama harus menjadi pelarian dari kampung halaman sendiri.
        Hani pejam mata. Kalau boleh, dia tidak mahu memikirkan apa-apa tetapi setiap detik dan ketika, bila menyentuh tentang kampung halaman dan cerita di zaman remaja, hatinya jadi ngilu.
        Ah! Malas nak fikir, tidur lagi baik. Lantas Hani rebahkan badan ke tilam.
        Belum sempat matanya terpejam, ada ketukan di pintu bilik berserta dengan suara Lily, teman rapat merangkap rakan serumah memanggil namanya.
        “Weh! Telefon kau ni dari tadi menjerit. Bingit teling aku.” Lily melangkah masuk bersama Samsung Note3 bercover puteh di tangan.
        Alahai! Dia terlupa. Tadi tengah layan FB di ruang tamu, lepas tu tengok TV dan terus masuk bilik. Patut la dari tadi macam tak ada bunyi notification FB dan WhatsApp.
        “Telefon suka sepah sana sini. Kalau murah takpe juga. Kang terpijak macam mana?” Lily sambung dengan bebelan.
         “Kalau kau pijak, kaulah ganti.” Hani menyengih.
        “Cis! Kalau duit boleh turun melayang dari langit takpe juga,” balas Lily sebelum melenggang keluar.
        Hani gelak. Dalam waktu yang sama, telefonnya berdering lagi. Seronok gelakkan Lily, dia terlupa untuk melihat gerangan pemanggil. Terus saja panggilan tersebut dijawab.
        “Hello.”
        “Dah tidur ke?” Soalan dari pemanggil buatkan Hani terus memandang skrin telefon. Di situ tertera nombor yang tidak dikenali.
        Siapa? Hatinya tertanya sendiri.
        “Awak ni siapa? Suka hati tanya orang dah tidur ke belum?” Keras suara Hani membalas.
        “Haniiii...”
        Zasssss!!! Jantung Hani bagai dipancung dan putus dari tangkainya. Baru dia perasan dengan suara itu.
        “Mana kau dapat nombor aku ni?” Pantas Hani menyoal. Seingatnya, dia memang tak pernah berikan nombornya pada lelaki itu.
        “Tadi elok aje berawak dengan saya, sekarang beraku pulak.” Suara di hujung sana tergelak perlahan.
        Mendengar tawa itu, dada Hani terus dilanda debar.
        “Mana kau dapat nombor aku ni Hazril?” soalan yang sama diajukan sekali lagi apabila yang pertama tidak berjawab.
        “Aku jampi, potong limau purut dalam mangkuk yang ada air. Boleh nampak nombor telefon kau dengan muka kau sekali. Sambil-sambil tu, aku jampi kau sekali,” jelas Hazril masih beriring tawa.
        “Tak lawak, okey!” balas Hani pantas.
        Pun begitu, dia jadi pelik kenapa tiba-tiba Hazril boleh bergurau begitu.
        “Aku ada cakap aku melawak ke tadi?” Soalan balas Hazril buatkan Hani mati kata.
        “Kau nak apa ni?” Suara Hani makin keras. Mood geram mula terbit dari celahan hatinya.
        “Saja nak dengar suara kau yang lunak merdu ni.” Ada saja jawapan Hazril yang boleh buatkan dada Hani makin berombak.
        Hani pegang dada sendiri. Dia memang pantang kalau dipermainkan begini lebih-lebih lagi orang itu adalah orang yang sangat dia kenali.
        “Kalau kau telefon sekadar nak main-main, aku tak ada masa nak layan. Aku nak tidur, esok aku kerja.”
        “Okey! Good night. Sweet dream. Kita jumpa esok. Assalamualaikummmm…”
        Terus saja talian ditamatkan. Sebegitu mudah? Hani seperti tidak percaya. Telefon di tangannya dipandang lama.
        Beberapa detik berlalu, ketika matanya masih melekat di skrin telefon, ada lagi panggilan masuk tetapi kali ini dari nombor rumah di kampung.
        “Kak! Abang Hazril ada telefon kau tak?” Azrul terus bertanya sebaik salamnya bersambut.
        Hani terus terdiam. Teka-tekinya berjawab dengan soalan Azrul.
        “Oh! Kaulah yang bagi nombor akak yer?”
        “Dah dia mintak, orang bagi laaa.” Senang Azrul menjawab.
        “Eh! Kalau dia mintak akak, kau pun bagilah?” Geram pada Hazril sebentar tadi berpindah pada Azrul pula.
        “Lagi bagus. Bolehlah berabang iparkan Abang Hazril yang kacak lagi berharta tu.” Azrul gelak jahat.
        “Siotlah kau ni.” Hani dah tak tahu nak cakap apa.
        “Mak ada kirim buah rambutan pada Abang Hazril untuk kau,” ujar Azrul.
        “Hah!” Terkejut, Hani jadi blur sekejap.
         “Kenapa kirim pada dia? Akak kan duk KL.” Perlahan dia bersuara, seolah bercakap ada diri sendiri. Apa ke peliknya mak ni.
        “Yerlah. Abang Hazril pun dah kerja kat KL. Dia kata rumah sewa dia dekat aje dengan rumah kau kak,” balas Azrul.
        “Hah!” sekali lagi Hani terkejut dengan kenyataan yang keluar dari mulut Azrul.
        Kerja kat KL? Bila? Di mana? Satu persatu tanda soal muncul di kepala Hani.
        “Kau ni dari tadi hah! Hah! kenapa?”
        “Mmmm… eerkk.. banyak-banyak negeri kat Malaysia ni, kenapa KL juga yang dia pergi cari kerja?” Hani jadi tak keruan. Dia sendiri tak tahu apa yang dia cakap.
        “Laaaa……soalan kau ni kak, macam soalan nak minta disekeh. Suka hati dia la nak cari kerja kat mana pun. Lainlah kalau KL tu kau punya kak,” bidas Azrul tepat terkena ke muka Hani.
        “Amboiii..mulut! tak agak-agak.”
        Azrul gelak kuat.
        “Okeylah kak. Mak kirim salam. Jangan lupa ambil buah tu dari Abang Hazril. Ingat tau! ambil buah jer, jangan ‘ambil’ hati dia sekali. Nanti tak boleh tidur malam, asyik nak jenguk orang depan rumah.” Sekali lagi Azrul gelak jahat.
        “Assalamualaikummmm..” Azrul terus bagi salam dan memutuskan talian sebelum sempat Hani naik angin.
        Memang kurang asam punya adik! ‘Ambil’ hati? Oh! Mana dia mampu untuk ‘ambil’ hati Hazril kerana hati dia sendiri pun sudah Hazril curi sejak lama dulu. Dan sampai sekarang tak tahu mana lelaki itu letak, hilang tanpa jejak.