FOLLOWERS

Cinta Bergelora...

Deringan telefon yng tersadai di tepi telinga mengejutkan aku yang baru saja terlena. Huh! dah pukul satu pagi baru teringat nak telefon? Aku mendengus marah, bukan hanya kerana tidur terganggu tetapi kemarahan itu bercampur aduk dengan penantian yang sudah melewati lebih tiga jam.
“Hello!” keras aku menjawab panggilannya.
“Hai! Sayang.” Bersahaja sekali suaranya. Tiada langsung rasa bersalah, seolah membiarkan aku menunggunya selama lebih tiga jam itu adalah satu perkara yang menyeronokkan.
“Hah! Nak apa neh!? Tengah malam buta call orang.” Suaraku masih bernada keras. Saat itu, marahku sudah menghampiri garisan maksima.
“Eh! kenapa nak marah-marah ni? Baru pukul satu, bukannya tak biasa.” Nada selambanya makin menaikkan darahku.
“Memang saya biasa tidur lambat tapi, tidur lambat saya sebab study, bukan buat kerja tak berfaedah merewang sana sini macam awak.” Semburku dalam senafas.
“Wei! Yang awak nak naik darah tak tentu pasal ni kenapa?” Suaranya sudah meninggi sama dengan nada suaraku tadi.
“Saya keluar makan dengan kekawan, takkan itu pun awak nak kecoh. Gelabah betullah awak ni. Janganlah buat saya rimas.” Ayatnya yang terakhir itu bagai panahan petir membakar hangus hatiku yang sekeping itu.
“Oh! Okey... baru saya tahu rupanya saya ni merimaskan awak. Orait, Mungkin awak tak nak terikat dan saya pun tak nak ikat awak. Mulai saat ini, awak bebas buat hal sendiri. Kita bawa haluan masing-masing.”
“Kat....” hanya itu yang aku dengar sebelum talian aku putuskan dan telefon aku tutup terus.
Dadaku terasa berombak kuat. Sudah terlalu banyak ruang yang aku berikan tetapi jika itu pun dikata merimaskan, hanya ini jalan yang terbaik untuk kami. Aku cuba merubah diri untuk memahami dia. Aku tutup dua telinga dari mendengar bicara manusia sekeliling tentang keburukannya dan aku cuba menarik dia agar tidak terus hanyut dalam dunia penuh kepuraan tetapi jika itu dianggap merimaskan, apa lagi yang boleh aku buat?
Bukan mudah malah terlalu memeritkan untuk mengikis namanya dari fikiran apatah lagi untuk membuang dia terus keluar dari hati nurani. Sehingga ke pagi aku tidak mampu melelapkan mata.
Kecil hati...memang hati kecilku menjadi semakin kecil dengan kata-katanya sehinggakan aku malas lagi untuk mengaktifkan telefon bimbit. Telingaku ini juga seakan tidak ingin lagi mendengar suaranya yang menyakitkan itu.

Lebih tiga hari aku menutup talian dan selama itulah juga aku tidak mendengar suaranya. Ketika kembali mengaktifkan telefon bimbit, aku tidak mampu menipu diri sendiri yang sekeping hatiku ini mengharapkan ada pesanan ringkas yang dihantar olehnya untuk memujuk seperti selalu tetapi untuk kesekian kalinya, dia langsung tidak mengirimkan aku sebarang pesanan. Maknanya, dia memang benar-benar menerima kata-kataku itu dan pastinya dia sudah menganggap antara kami sudah tiada sebarang ikatan lagi.

Arrrrghhh...aku ingin menjerit tetapi suaraku hanya tersangkut di kerongkong. Tiba-tiba aku terasa hidup ini kosong dan malap, bagai bumi yang telah kehilangan cahaya mentarinya. Pada dasarnya bibirku sendiri yang meminta agar hubungan kami ditamatkan di sini tetapi hakikatnya, hatiku tidak pernah menginginkan begitu.

Sepanjang hari aku jadi resah tidak menentu. Apa yang aku buat terasa serba tidak kena. Skrin telefon yang kehitaman itu aku renung lama. Tiba-tiba, ada cahaya bersinar menukar warna gelap skrip tersebut menjadi terang menandakan adanya pesanan ringkas masuk ke talian.

‘Sayang... seronokkan hidup tanpa saya.
Tak payah gaduh-gaduh. Tak ada orang
nak marah-marah, tak ada orang nak
membebelkan awak. Ya! Saya pun seronok
tapi, saya tak boleh tipu diri sendiri ....
saya tak mampu lupakan awak, saya sayang
awak sangat2 dan saya tak nak hilang awak.’


Membaca pesanan itu, hatiku jadi tersentuh. Terasa kelopak mataku mula bergenang air jernih. Benar.... aku juga tak mampu melupakan dia. Seluruh cinta yang ada di hatiku sudah diambil olehnya.
Aku tidak membalas sebaliknya hanya mengulang baca pesanan tersebut dengan hati penuh dengan pelbagai rasa. Beberapa detik kemudian, ada lagi pesanan ringkas masuk ke telefonku.

‘Sayang....saya ada benda nak cakap dengan awk.
nanti awak balas balik mesej saya ni yer...’


Keningku spontan berkerut sebaik membaca pesanan tersebut. Apa benda yang dia nak cakap ni? Sekilas aku toleh ke arah jam yang melekat di dinding rumah. Jarumnya sudah menunjukkan hampir jam 3.30 pagi, sudah menghampiri ke dinihari. Apa dia buat di waktu-waktu begini tak tidur lagi? Tanpa sedar jemariku bergerak membalas mesejnya.

‘Hah! Nak cakap ape?’

Seketika saja, dia sudah membalas kembali.

‘Saya happy sangat hari ni.’

Pendek saja jawapannya membuatkan aku tertanya-tanya sendiri. Rasa marah dan sengketa yang tercipta terus saja terhapus oleh rasa ingin tahu yang membuak-buak itu.

‘Happy sebab apa?’

Aku bertanya lagi dan dia mengambil masa yang sedikit lama untuk menjawabnya membuatkan hatiku terasa tidak sabar untuk mengetahuinya.

‘Happy sebab awak balas mesej saya....
Muuuuah!!!.. lama tak kiss awak..hahaha’


Ya Allah! Hidup-hidup aku tertipu. Dia ni memang boleh buat aku jadi sakit mental dengan tiba-tiba. Selepas dari itu, bertubi-tubi pesanan ringkasnya masuk ke telefonku.

‘Ya Allah! Saya rindu awak sangat2,
Hidup saya tiba-tiba rasa kosong,
Saya memang tak mampu hidup tanpa
awak sayang....’


‘Semalam saya jumpa awak dalam mimpi
Tapi awak tak perasan saya....huhuhu.. sedihnya.’


‘Sayang...kenapa saya call awak tak nak jawab?
Saya call awak sekarang erk?’

Baru saja aku habis membaca mesej yang terakhir itu, panggilan darinya sudah menembusi talian telefonku. Lama juga aku biarkan ia berdering sebelum menyambutnya.
“Hai! Sayang.... awak okey ke ni?” Suaranya yang gemersik dan sedikit sengau itu sudah mampu meluruhkan beban kerinduan yang bergantungan di hatiku.
“Okeyyyy...” perlahan dan meleret suaraku menjawab soalannya.
“Awak marah saya lagi?” Dia bertanya, lembut nada memujuk. Sekeping hatiku yang kosong dan sunyi seketika tadi mula dipenuhi irama indah yang begitu mengasyikkan.
“Marah! Marah sangat-sangat. Rasa macam nak cekik aje leher awak.”
Dia terus ketawa mendengar jawapanku dan ketawanya bagai air dari pergunungan menyejukkan hatiku. Ya Tuhan.... apa sebenarnya kuasa yang dia ada sehingga aku tidak mampu untuk pergi jauh dari dirinya?

No comments: