FOLLOWERS

YANG BERNAMA CINTA - Bab 4

Seawal pagi sesudah subuh Hani sudah berkemas untuk kembali ke Kuala Lumpur. Sesuatu yang belum pernah dia lakukan sebelum ini tatkala pulang bercuti tetapi terpaksa dia lakukan hanya kerana ingin mengelak dari bersua muka dengan lelaki tersebut.
        “Macamlah Kuala Lumpur tu nak lari.” Puan Faridah membebel sambil mengekor belakang si anak yang menjinjing beg pakaian menuju ke kereta. Tangannya pula menjinjing recyle bag yang penuh dengan pelbagai makanan untuk dibekalkan pada Hani.
        “Orang ada kerja sikit la mak.” Itu hanya sekadar alasan. Kebenarannya, hanya dia dan Tuhan saja yang tahu. Sungguh, dia memang tak mahu bersua dengan lelaki itu lagi. Cukuplah pertemuan semalam. Itupun sudah membuatkan dia sukar melelapkan mata.
        “Masak lemak ikan keli tu, sampai sana terus hangatkan.  Kalau tak, nanti basi,” pesan Puan Faridah sambil menghulurkan ‘bekalan’ di tangannya setelah Hani melatkkan beg pakai ke dalam bonet kereta.
        “Apa ni mak, berat sangat.” Hani mengintai ke dalam bag.
        “Macam-macamlah. Timun, cili, kacang….”
        “Mak ni… macamlah Kuala Lumpur tu kurang makanan.” Hani sudah tergelak mendengar emaknya menyebut satu persatu apa yang dibekalkan.
        Setiap kali dia pulang, tak pernah tak ada ‘bekal makanan’ yang dibekalkan. Paling-paling tak ada, sambal ikan bilis pun dibungkusnya. Mak tak tahu yang anak dia ni jarang sangat makan di rumah. Yang selalu menghabiskan semua bekal tu ialah Yatie dan juga Ina, rakan serumahnya.
        Sedang Hani sibuk menyusun barang-barang yang bersepah di bonet keretanya, telinganya menangkap suara orang bercakap-cakap. Pantas dia mendongak dan tidak jauh dari situ kelihatan dua lembaga manusia berbaju melayu dan berkain pelikat bersama songkok di kepala sedang melangkah makin menghampirinya.
        Hani terus tahan nafas. Nak lari, memang dah tak sempat kerana mereka berdua itu sudah terperasan akan dirinya. Lagi pun, kalau dia lari sudah tentu emaknya yang masih berdiri di situ akan menjadi pelik. Sudahnya, dia buat-buat sibukkan diri mengemas lagi bonet keretanya.
        “Awalnya kak, takkan dah nak bertolak kut?” Azrul menegur.
        Seorang lagi yang berjalan seiring dengan adiknya itu turut berhenti dan berdiri di tepi kereta. Mata tepat menuntas ke arahnya.
        “Ha’ah. Kuala Lumpur tu kalau akak takde, cuacanya jadi jerebu.” Hani balas dengan seloroh.
        “Pooorrrahhh!!!  Bukan Kuala Lumpur tu selalu jerebu sebab akak yang menyemak kat sana ke?” balas Azrul, kembali mengenakan Hani.  Mereka berdua memang selalu begitu, saling mengena antara satu sama lain.
        Sebelum sempat Hani membalas, kelihatan Penghulu Haji Kassim berjalan seiring dengan ayahnya dan di belakang mereka berdua ialah Makcik Bibah yang masih berbungkus telekong. Pastinya juga baru pulang dari berjemaah subuh di surau.
        Selalunya emaknya juga akan pergi bersama tetapi disebabkan ‘penyakit perempuan’, terpaksalah duduk di rumah. Dia tak usah cakap, memang malas bangkit pagi untuk ke surau yang hanya beberapa langkah dari rumah.
        “Dah nak balik Kuala Lumpur ke Hani? Sekejap sangat baliknya.” Tegur  Makcik Bibah, ibu pada lelaki yang masih terpacak tidak jauh dari situ.
        Eh! Kenapa dia masih terpacak kat sini? Tak Nampak jalan balik ke rumah ke? Tapi serius, Hazril di dalam pakaian baju melayu sangat kacak. Berkali-kali dia melarang mata agar jangan memandang tetapi memang mata ni tak ada telinga. Asyik menjeling mencuri pandang.
        “Ada hal sikit makcik.” Sopan Hani menjawab sambil menghulurkan tangan menyalami Makcik Bibah tanda hormat.
        Mulanya Hani ingat salam biasa-biasa seperti selalu tetapi kali ini dia terkejut apabila Makcik Bibah dengan selamban memaut bahunya rapat dan melagakan pipi.
        Oh! Spontan matanya terpandang Hazril yang kelihatan sedang tersenyum melihat kemesraan itu.
        “Hati-hati memandu,” pesan Makcik Bibah.
        Hani hanya mengangguk. Rasa macam Makcik Bibah tu dah bertukar jadi mak dia. Parah sungguh.
        Kemudian, emak dan Makcik Bibah berjalan seiring ke pintu rumah. Kata emak, dia nak bagi bekas yang digunakan  Makcik Bibah mengirim makanan semalam. Emak ni pun satu, tak habis-habis dengan bekas plastik tu.
        Serentak itu juga, Penghulu Haji Kassim meminta diri untuk pulang dan ayah pula melangkah masuk ke dalam rumah. Tinggallah Hazril, Azrul dan juga dia yang berdiri seperti tiga bucu segitiga.
        “Abang nak cakap dengan akak ke?” Azrul tiba-tiba bersuara saat Hani sudah tidak tahu untuk berbuat apa-apa.
        Hazril sengih dan mengangguk perlahan. Azrul senyum sebelum menjeling sekilas ke wajah si kakak yang sudah berwajah blur.
        “Jangan dekat sangat bang. Akak ni ganas sikit. Hati-hati dengan kaki dia, suka menyepak orang tu.” Azrul gelak sambil melangkah laju meninggalkan mereka berdua sebelum Hani bertindak mengetuk kepalanya.
        Bulat mata Hani memandang langkah Azrul. Sempat lagi mengenakan orang. Dengus Hani sebelum berpaling pada Hazril yang sedang menyimpan tawa, berdiri dengan kedua tangan menyeluk saku baju melayunya.
        Berduaan begitu, Hani rasa seperti badannya seram sejuk. Udara pagi yang dingin menambahkan lagi rasa tidak enak itu. Melihat wajah Hazril, segera ingatannya mengimbau kenangan lama yang cukup memalukan dan mukanya jadi merah. Rasa seperti mukanya sedang tertampal masker yang tebal.
        Tolonglah! Pergi dari sini. Hani berdoa dalam hati sambil menyibukkan diri mengemas bonet keretanya yang sudah sedia kemas.
        “Kenapa awal sangat nak balik KL?” suara Hazril seperti desiran angin menyinggah ke telinganya.
        “Hah?” Hani seperti orang terkejut. Pantas dia berpaling memandang Hazril yang masih tidak berganjak, lebih kurang lima langkah dari tempat dia berdiri.
        Hazril senyum.
        Aduhhhh… Hani rasa seperti jantungnya jatuh tergolek ke tanah. Nafasnya seperti tersekat. Dia perlukan bantuan pernafasan untuk kembali normal seperti tadi. Kenapa ya, mata dan hatinya tidak pernah nampak Hazril itu buruk di mana-mana walau sudah jenuh dia menanam benih kebencian?
        “Kenapa bila bercakap dengan aku selalunya kau ada masalah pendengaran?” Selamba Hazril mengenakan Hani. 
        Sejak di zaman sekolah, dia perhatikan Hani akan menggelabah dan tidak pernah focus apabila bercakap dengannya. Selalu mesti nak kena ulang baru faham. Tapi peliknya, dengan orang lain elok saja.
        “Oooo… sebab suara kau tu, telinga aku tak boleh terima. Tak tahu kenapa,” balas Hani.
        Wah! Hani sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh jadi sebegitu berani membalas kata-kata Hazril dengan cara kurang sopan.
        Tapi, kalau difikirkan balik, untuk apa dia nak sopan atau control ayu dengan lelaki ini sedangkan dia sudah tahu walau mukanya dipakaikan topeng Anjelina jolie sekalipun, dia tidak mungkin mampu memikat Hazril.
        Jadi, lebih baik dia jadi diri sendiri dari mengawal diri berpura-pura jadi orang baik-baik sedangkan dia sebenarnya bukanlah baik sangat pun.
        Hazril gelak dan Hani rasa anak telinga seperti meminta izin untuk menjenguk keluar. Alahai… kenapa suara ketawanya kedengaran sungguh sedap? Kalaulah macam ni, nampaknya dia perlu beli kapas banyak-banyak sebelum balik kampung untuk tujuan menyumbat telinga.
        Lagi, dia juga kena beli cermin mata tiga dimensi agar matanya nampak Hazril panjang dan lebar. Taklah kacak macam sekarang. Pakai baju melayu dengan kain pelikat pun matanya asyik nak memandang.
        “Tadi aku tanya, kenapa kau nak balik KL cepat sangat.” Hazril ulang dengar soalannya sambil senyum.
        “Aku ada hal sikit.” Pendek saja jawapan Hani. Dia ingin melangkah masuk untuk mengelak dari Hazril tetapi kenapa kakinya bagai dipateri ke bumi?
        Mata Hazril berterusan menatap sekujur tubuh Hani yang kaku berdiri. Entah kenapa, dia nampak Hani hari ini sangat berbeza. Bukan baru kenal malah sejak kecil mereka berjiran.
        Namun, selama ini dia tidak pernah berminat untuk rapat dengan Hani kerana baginya, Hani gadis polos dan pendiam, tiada yang menarik pun untuk dijadikan teman istimewa.
        Tetapi berbeza pula dengan semalam dan hari ini.  Semalam, saat matanya melihat Hani tanpa tudung dengan rambut  panjang mengurai,  matanya terus terpaku. Dadanya jadi bergetar, seolah hatinya sudah ditarik keluar.
        Dan saat ini, melihat Hani berbaju kurung kain kapas dan bertudung, matanya terlupa untuk berkelip. Sungguh manis. Tiba-tiba ada keinginan untuk lebih dekat dengan gadis ini.
        “Kenapa bila bercakap kau tak pernah nak pandang muka aku?”
        Hani pantas panggung kepala. Sesaat pandangan mereka beradu sebelum Hani kembali mengalihkan pandangannya.
        “Bagi aku no telefon kau.”
        “Hah!” sekali lagi Hani panggung kepala. Bukan tidak dengar tetapi dia tidak percaya Hazril boleh meminta nombor telefonnya.
        “Sejak tadi dah berapa banyak kau keluarkan perkataan hah! Tu?” selar Hazril
        “Bagi nombor telefon.” Sekali lagi Hazril mengulang. Dia sudah mengeluarkan telefon bimbit dari poket baju melayunya.
        Amboi! Pergi surau pun bawa telefon bagai.
        “Nak buat apa?”  soal Hani
        Hazril pandang Hani dengan kening berkerut.
        “Agak-agak kau, nombor telefon tu boleh buat apa? Buat masak gulai campur tempoyak boleh tak?”
        Hani buntang mata sambil ketap bibir. Kalau Azrul, memang betis sudah kena sepak atau kepala sudah kena ketuk. Tapi, agak-agaknya kalau dia ketuk kepala HAzrul ni, kira halal tak?
        “Kak! Mak tanya nak tempoyak tak?” tiba-tiba kedengaran suara Azrul melaung dari depan pintu rumah.
        Serentak pandangan mereka terarah pada Azrul dan kemudian saling memandang satu sama lain. Kebetulan yang sangat unik.
        “Boleh jugak,” balas Hani
        “Teringin rasanya nak makan masak gulai tempoyak nombor telefon,” sambung Hani lagi dalam nada yang perlahan agar hanya dia dan Hazril saja yang dengar.
        Terus terletus tawa hazril. Dia suka. Bukan suka masak gulai tempoyak nombor telefon tapi suka cara Hani menjawab kata-katanya. Nakal dan selamba. Itu yang dia suka.
        Buat seketika, Hani terpaku di situ. Melihat Hazril yang sedang ketawa, bagai melihat pemandangan indah di depan mata.  Kening yang lebat, matanya yang hampir tertutup tatkala ketawa, hidungnya yang terletak dan bibirnya yang seksi, semuanya buat Hani rasa sesak nafas tanpa sebab. Rasa yang pernah dia bungkus dan buang dulu hadir kembali menyusup ke hatinya.
        Dulu...suatu ketika dulu, dia jatuh suka dengan lelaki ini hanya kerana mendengar tawanya. Mungkinkah hari ini dia harus menanggung beban yang sama? Tersiksa kerana menyimpan suka pada lelaki yang langsung tidak memandangnya.  Sangat-sangat sakit.
Tidak! Dia tidak mahu lagi merasai semua itu. Dia harus mencari sejenis kain yang kalis segala bunyi untuk membalut hatinya sekali lagi.

YANG BERNAMA CINTA - BAB 3

Pulang dari rumah Liza, Hani lihat emaknya sudahpun berada di rumah, sedang duduk-duduk di sofa ruang rehat keluarga. Pastinya Azrul yang pergi menyampaikan berita pada emak tentang kepulangnya dan tentu emak sedang menantinya.
        "Kenapa tak balik nak cakap?"
        "Eh! Silap. Kenapa tak cakap nak balik?" Puan Faridah seakan melatah sambil menyambut salam anak daranya yang seorang itu.
        Hani ketawa. Azrul yang ada disebelah emaknya juga turut ketawa.
         “Orang balik sekejap jer mak. Esok dah pergi.”
        “Laaaaa....buat penat memandu jer?”
        "Cuti hari minggu jer mak." Hani berbohong. Punggung dilabuhkan ke sofa berdepan dengan emaknya.
        Sebenarnya, dia memang cuti panjang untuk menghabiskan baki cuti tahunan yang akan expired bulan depan. Tetapi, berita kepulangan lelaki itu telah membuatkan dia terpaksa mengubah perancangan asal.
        Mulanya, dia memang berniat untuk menghabiskan waktu cuti di kampung bersama keluarga. Namun, ketika di rumah Liza tadi, dia telah membuat keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur secepat mungkin. Paling lewat pun, esok pagi dia harus bergerak keluar.
        "Elok juga kamu balik. Mak ada benda sikit nak bincang dengan kamu,” ujar Puan Faridah.
        Hani pandang wajah tua emaknya. Dia faham benar, kalau emaknya sudah mengeluarkan kata-kata begitu dengan nada yang serius, adalah sesuatu yang penting hendak disuarakan.
        “Bincang apa mak?”
        “Kawan mak, merisik kamu untuk  jadikan menantu.”
        Hani kerut kening. Ini bukan kali pertama malah cudah acap kali dan sudah banyak kali juga dia menolak. Dia tidak tahu kenapa tetapi hatinya belum terbuka untuk berumah tangga. Waktu adiknya berkahwin dulu, ramai juga orang kampung mengata dia anak dara tak laku, sebab itulah adiknya langkah bendul.
        “Macamana?” Puan Faridah mendesak apabila melihat anak pertamanya itu hanya diam tanpa sepatah kata.
        "Kawan mak yang mana satu ni? Kalau sekampung orang tak nak." Cepat saja Hani membuat keputusan.
        Kalau lelaki Kampung Pasir itu kebanyakannya memang dia kenal dan boleh dikatakan kesemuanya dia tidak berkenan. Siapa yang mahu kalau kerja mereka hanya melepak dan mengusik anak dara orang?
        Selebihnya, menghabiskan harta mak bapak yang tak seberapa. Kalau ada pun yang merantau dan bekerja di ibu kota, semuanya menyombong dan berlagak. Macam bagus sangat!
        "Apa salahnya kalau sekampung. Senang sikit kalau raya tak payah nak susah-susah buat giliran."
        "Ish! Mak ni, itu yang dia fikirkan. Raya lambat lagilah makkkk."
        "Eh! Lambat atau cepat, kena tempuh juga kan."
        "Ish! Tak maulah mak. Nanti kalau gaduh, orang lari balik sini, sekejap aje dia dah sampai nak jemput orang bawa balik."
        "Laaa... Ke situ pulak. Jadinya kamu ni kalau kahwin memang dah niat nak bergaduhlah ya?" bidas Puan Faridah. Matanya membulat memandang Hani.
        "Takdelah macam tu. Mak pun tahu anak mak ni manja dan kuat merajuk. Takut nanti kalau ada apa-apa yang tak kena, orang lari balik umah mak aje." Hani menyengih. Logik ke alasan dia tu?
        “Siapa orang tu mak?” Hani menyambung kata, bertanya tentang gerangan orangnya. Teringin juga dia tahu siapalah yang rabun mata ingin jadikan dia yang tak ada rupa dan selekeh itu sebagai calon menantu.
        “Dah kamu tak nak, tak payahlah tahu. Nanti mak cakap dengan dia kamu tak berminat nak berlaki.” Puan Faridah pantas bangkit. Dia sedikit kecewa tetapi seperti biasa dia juga tidak ingin memaksa. Dia tahu Hani akan menurut jika dia berkeras tetapi itu bukan caranya. Dia lebih suka memberi peluang kepada anak-anak membuat pilihan sendiri.


HANI SURAYA bangkit dari tidur apabila perutnya terasa lapar. Kebiasaanya memang begitu bila pulang ke kampung. Dia akan tidur beberapa jam bagi menghilangkan letih kerana memandu sendirian tanpa henti dari Kuala Lumpur ke Kuantan.
        Kakinya laju menonong ke dapur tanpa menoleh kiri kanan. Tekak yang haus kerana cuaca agak panas ditambah perutnya yang sudah berkeroncong lagu heavy mental, dia dah tak nampak benda lain.
        Melihat jug yang dipenuhi air sanquick, dia pantas menuang ke dalam gelas. Tanpa duduk, air tersebut digogok rakus.
        "Haniiii!!." Suara emak yang agak kuat mengalahkan pembesar suara di surau berdekatan  memanggil Hani untuk menoleh.
        Saat matanya terpandang ada manusia lain selain emak dan juga Azrul yang ada di ruang rehat keluarga yang bersambung dengan ruang makan itu, air sanquick yang belum sempat melepasi kerongkong terus tersembur keluar.
        "Hah! Kan dah tersedak. Isk! Tak senonoh betul anak dara ni. Dah la minum sambil berdiri." Emak mula membebel tapi bukan bebelan itu yang membuatkan Hani gelabah. Wajah lelaki yang tenang dengan segaris senyum terukir di bibir itu yang membuatkan jantungnya bagai ingin luruh ke lantai. Betul kata Liza, dia makin kacak. Malah lebih kacak dari apa yang dibayangkan oleh akalnya.
        "Tengoklah  Ril. Kawan kamu tu dari kecil sampailah dan besar panjang, perangai gelojohnya tak pernah berubah."
        Hazril ketawa perlahan menyambut bebelann Puan Faridah sedang Hani pula sudah terasa tubuhnya bagai membahang.
        Kenapa dia rasa begitu? Pertamanya dia dimalukan emak di depan 'seseorang' yang pernah dia suka dan pernah juga dia benci. Keduanya, dia  yang memalukan diri sendiri dengan perangai yang tidak senonoh dan ketiganya, dia hanya memakai tuala melepasi lutut bersama T'shirt sendat berlengan pendek.
        Rambut? Oh! Tatkala dia sedar rambutnya dibiarkan lepas bebas, cepat-cepat dia mencapai kain yang terdampar di atas meja makan dan disauk ke kepalanya. Kakinya pantas berlari masuk ke ruang dapur.
        Punggungnya dilabuhkan pada anak tangga. Saat itulah  hidungnya tiba-tiba tercium bau yang kurang enak. Rupa-rupanya kain yang tersangkut di kepalanya itu adalah kain pengelap meja. Cepat-cepat dia menanggalkan kain tersebut dan dibaling ke tepi dinding. Cis!
        Duduk di tangga, Hani pegang dada sendiri. Kenapa tiba-tiba dia rasa berdebar saat matanya terpandang lelaki itu? Bukankah segala rasa suka yang bertebaran di hatinya sudah dibungkus dan di tanam kemas?
        Seketika duduk di situ, perutnya sesekejap terasa sakit. Teringat yang ‘masa’nya sudah hampir tiba dan dia tidak mempunyai sebarang bekal untuk persediaan, pantas dia bergerak ke bilik air untuk mandi.
        Dia harus ke kedai runcit Che Senah untuk membeli ‘bekalan’. Mana tahu kut malam nanti ‘benda’ tu keluar tanpa amaran, mana nak cari ‘bahan’ untuk tampalan.
        Setelah selesai mandi dan bersolat, Hani keluar melalui pintu utama di bahagian atas untuk mengelak dari bertembung dengan ‘lelaki itu.’
        “Saya balik ni dah tak pergi lagi makcik. Cari kerja kat Malaysia jer. Kesian ibu yang duk memujuk suruh balik.” Suara Hazril jelas kedengaran tatkala Hani melangkah menuruni tangga kerana kedudukan sofa di mana tempat lelaki itu duduk memang hampir dengan pintu utama walaupun terlindung.
        Hani mencebik. Kononnya balik kerana ibu walhal kerana Nurlily. Kata Liza, minah perasan bagus itu juga telang pulang dari Australia.
        “Aku rasa Hazril tu balik sebab si jembalang tanah tu pun dah balik. Aku terserempak dengan minah tu kat pekan minggu lepas. Jalannya melentik macam orang patah pinggang. Perasan vougelah tu konon. Masa tu aku nampak dia dengan  Zura dan Lyana. Agaknya celebrate kepulangan minah tu la kot. Tapi, mereka tak nampak aku.” Cerita Liza yang panjang berjela tu dicerna oleh mindanya. Jembalang tanah tu adalah gelaran yang Liza berikan pada Nurlily.
        Huh! Manisnya mulut depan mak aku. Porrraaaahhhhh!!! Hani menyeranah di dalam hati.
        Melangkah menghampiri kereta, Hani seperti ingin menjerit apabila melihat tayar di sebelah depan sudah kemek.
        Aduhhhhh....ni yang dia paling lemah. Dia memang tak pandai tukar tayar kereta. Seingat dia, semenjak membeli kereta alhamdulillah belum pernah lagi dia menghadapi kesulitan tayar pancit. Inilah kali pertama dan dikira sangat bernasib baik kerana tayar tersebut pancit di depan rumah.
        Mahu tak mahu dia terpaksa juga memanggil Azrul untuk meminta tolong. Nak tak nak dia terpaksa juga pergi ke kedai Che Su. Dia tidak mahu menggunakan motor kerana kedai Che Su letaknya bersebelahan dengan kedai runcit Pak Din di mana tempat anak-anak muda kampung itu melepak. Segan kerana nanti dia akan menjadi tumpuan mata-mata nakal yang suka usha anak dara naik motor.
        Namun begitu, yang muncul di depan pintu bukan hanya Azrul tetapi Hazril turut menjenguk.
        ‘Menyibuk aje!’ Hani membebel di dalam hati.
        “Kenapa kak?”
        “Tayar kereta akak pancit. Tolong tukarkan boleh?” pinta Hani dengan muka minta simpati.
        “Isk! Orang perempuan ni tahu bawa kereta aje, tukar tayar tak tahu,” bidas Azrul.
        “Nak tolong ke tak? Kalau tak nak tolong jangan cerita banyak!.” Hani mula berang. Entah kenapa, melihat wajah ‘lelaki itu’ darahnya cepat saja menderu naik. Sudahnya, Azrul yang menjadi sasaran.
        “Yerlah! Yerlah!” Azrul sauk selipar jepun dan bergerak menuju ke kereta da Hani mengekor dari belakang.
        Tidak disangka, rupanya Hazril juga turut mengikut mereka ke kereta membuatkan Hani tidak senang duduk.
        Very lucky car. Pancit pun depan rumah.” Hazril bersuara perlahan namun masih mampu didengar oleh telinga Hani.
        “Kereta sayang tuan ni kalau macam gini bang.” Azrul menyampuk dan gelak.
        Hazril turut gelak. Matanya mengerling sekilas ke wajah Hani yang mencuka. Cantik! Kenapa tiba-tiba hatinya terasa berdebar? Dari tadi, saat pertama kali dia melihat wajah wanita ini setelah sepuluh tahun tidak bersua muka, jantungnya bagai terhenti berdenyut.
        Sedetik, ada satu rasa menjalar bersama aliran darahnya menuju ke otak. Kenapa saat ini dia melihat segalanya yang ada pada wanita ini cantik sekali? Berpuluh tahun mereka kenal, bertahun-tahun menjadi teman sepermainan dan sejak lahir mereka berjiran, dia tidak pernah nampak apa-apa yang luar biasa pada wanita ini. Selain dari selekeh dan pendiam, tidak ada apa pun tentang Hani yang menarik minatnya.
        Pun begitu, saat ini, dia nampak Hani Suraya seperti jelmaan bidadari yang diturunkan dari langit. Sudah jatuh cintakah dia?
         “Orang perempuan ni bang, cakap aje besar. Tapi, sudahnya perlukan orang lelaki juga.” Azrul bersuara sambil meletakkan beg bungkusan berisi segala peralatan untuk membuka skru tayar.
        "Eh! Ikhlas ke tak ni? Kalau tak ikhlas tak payah buat. Akak telefon mekanik jer."
        "Ikhlas kak!" Azrul menyengih. Hazril pula sudah mencangkung untuk membantu Azrul.
        Melihatkan itu, Hani mengatur langkah masuk ke dalam rumah. Hatinya terasa sebal tatkala melihat lelaki itu. Ia mengingatkan Hani pada kisah lama. Kisah yang sehingga kini membuatkan mukanya terasa tebal berinci-inci.
        Sementara menunggu Azrul menukar tayar, Hani sempat lagi menjamu perutnya dengan kuih muih yang terhidang di atas meja. Entah dari mana dia malas nak bertanya. Waktu itu, emak ada di belakang rumah.
        “Dah siap kak.” Azrul menjerit dari muka pintu sambil membersihkan tangan pada paip yang terdapat di situ.
        Ketika Hani melangkah keluar, Azrul sudahpun masuk ke dalam rumah. Sangkanya, Hazril sudah pulang tetapi sangkaanya meleset kerana lelaki itu masih berada di situ. Kali ini, sedang bersandar pada pintu keretanya di sebelah pemandu sambil berpeluk tubuh.
        Tatkala matanya bertembung dengan anak mata coklat gelap milik Hazril, dadanya terasa bergelombang. Sekian lama, rasa itu tak pernah hilang. Setiap kali memandang mata yang menggoda itu, dia sepuluh kali tergoda tanpa perlu Hazril menggodanya.
        BerTshirt putih lengan pendek menampakkan lengannya yang berketul dan warna putih t’shirt itu menyerlahkan bentuk tubuhnya yang tegap. Seksi!
        Wahai hati, tolong tetapkan pendirian. Bukankah lelaki ini orang yang paling kau benci sepanjang zaman?
        "Boleh sandar tempat lain tak? Aku nak guna kereta." Hani bersuara dalam usaha mahu mengalihkan tumpuan mata dan hatinya.
        "Azrul cakap kau kerja KL. Kerja apa?" Hazril balas dengan soalan.
        "Kerja biasa-biasa jer. Jadi kuli orang," jawab Hani dengan wajah bosan. Kenapa nak menyibuk hal orang?
        "Kalau duk KL mampu pakai CRV, bukan lagi biasa-biasa tetapi dah luar biasa." Agak sinis statement yang Hazril keluarkan namun nada dan wajahnya biasa-biasa saja.
        "Tak kiralah luar biasa atau luar alam. Janji rezeki halal," balas Hani
        "Can you pleaseee..." dia memberi isyarat agar Hazril ke tepi untuk memberi ruang dia membuka pintu kereta.
        "Nak pergi mana?" Hazril masih statik di situ, masih bersandar di pintu kereta Hani.
        "Kedai Che Senah." Pendek jawapan Hani. Rasa rimasnya sudah sampai peringkat ke tujuh. Dia jadi curiga, Hazril ni pergi US belajar apa? Takkan jadi ejen CIA kot?
        "Boleh tepi sikit tak?"
        "Kenapa bila tengok aku jer muka kau  masam macam asam keping?" Hazril menyoal soalan yang melencong jauh dari topik.
        Hani terasa angin panas sudah berhembus keluar dari telinga dan lubang hidungnya. Sementalah cuaca petang yang agak panas menambah lagi suhu kepanasan emosinya.
        “Haniiii...” Suara emak tiba-tiba menjerit namanya sebelum sempat dia bertukar menjadi naga menyembur Hazril. Serentak dengan itu, wajah emak muncul di jendela yang betul betul di atas tempat dia memarkir kereta.
        "Eh! Ril, makcik ingatkan dah balik. Nak bagi bekas yang hantar kuih dengan lauk tadi.”
        Hazril sudah bergerak dan berpusing mengadap ke arah emak yang berdiri di jendela.
        "Tak kisah makcik. Lainkali pun takpe.” Manis sungguh  mulut Hazril menjawab.
        “Yerlah! Cakap dengan ibu terima kasih ya.” Emak juga begitu mesra melayan Hazril. Menyampah pula Hani tengok.
        "Kenapa mak panggil orang?” Hani mencelah, naik berbulu melihat kemesraan emaknya dengan lelaki ini.
        “Azrul kata kamu nak ke kedai. Tolong mak beli asam keping.”
        "Nak berapa kilo?" Hani pantas bertanya. Baru sekejap tadi Hazril mengumpamakan dia dengan asam keping.
        "Nak buat apa sampai berkilo. Kalau nak masak kamu sekali pun, Empat lima ringgit dah cukup. Mak nak masak lemak ikan keli jer," balas Puan Faridah Selamba.
        "Kalau nak masak orang tak payah letak asam mak, sebab dah cukup masam dah pun." Hani jeling Hazril sambil membuka pintu kereta.
        “Nanti orang belikan. Nak apa-apa lagi tak?”
        “Itu jer.”
        Tanpa memandang Hazril yang masih berdiri di situ, Hani terus menghidupkan enjin kereta dan mengundur ke belakang.
Manakala Hazril pula tetap di situ sehingga kereta Hani menghilang dari pandangan. Apa sudah jadi sebenarnya? Hazril tanya diri sendiri.

YANG BERNAMA CINTA - BAB 2

AZRUL yang memerhati kakaknya terkaku lama di tengah ruang tamu rumah makin jadi pelik.
        "Akak marah ke?" Soalan Azrul mencantas lamunan Hani.
        "Mmm... aarr.. Hajar tak balik ke?" Hani mengubah topik. Tergagap-gagap dia membetulkan suara. Hajar yang dimaksudkan itu ialah adiknya yang sorang lagi selain Azrul.
        "Dah lama tak balik kak." Ada nada kecewa dari suara Azrul tetapi Hani diamkan saja.
        Mereka hanya bertiga beradik. Hajar itu adik di bawahnya dan Azrul paling bongsu. Seingat Hani, sejak berkahwin setahun yang lepas dan tinggal bersama suaminya di Cherating, hanya sekali Hajar pulang. Itu pun sendirian tanpa suami. Walhal Cherating ke Kuantan tu bukan jauh sangat pun. Ada masalahkah adiknya itu?
        Inilah yang paling dibimbangkan. Hajar itu memang sangat degil dan keras hati. Bila dilarang agar jangan berkahwin sebelum menamatkan pengajian, diugutnya emak dan ayah. Katanya akan ber  kahwin lari kalau kami semua membantah. Bila diberi kebenaran, alih-alih terus berhenti belajar sekerat jalan.
        "Kak! Nak pergi tak?" Soalan Azrul menamatkan cerita Hajar di minda Hani.
        "Pergi mana?"
        Azrul tidak menjawab sebaliknya hanya memuncungkan mulut ke arah rumah penghulu Haji Kassim.
        Menjawab soalan Azrul, Hani hanya mengeleng kepala.  Sejak peristiwa dimalukan di sekolah dulu, perkara pertama yang akan dia lakukan ialah mengelak dari bersua muka dengan lelaki bernama Hazril itu.
        Azrul angkat bahu dan Hani pula meneruskan langkah melalui ruang dapur untuk naik ke bilik. Rumah kampung, bilik dan ruang tamu di bina lebih tinggi dari ruang dapur dan perlu memanjat beberapa anak tangga yang menghubungkan antara ruang-ruang tersebut.
        Setelah meletakkan beg ke atas katil, Hani pantas menukar baju dan bergegas turun. Setiap kali pulang ke kampung, orang yang akan dicari selain emak dan ayah ialah Liza, teman rapat yang sejak kecil bermain pondok-pondok bersama. Sejak kecil sehinggalah dewasa, Liza satu-satunya teman sehidup semati yang sentiasa ada di kala susah dan senangnya.
        “Kamu dengan si Liza tu dan macam kembar tak seiras lain mak lain bapak.” Itulah yang sering diulang emak bila setiap hari dia hanya akan melekat di rumah Liza. Rumah keluarga Liza dah rupa macam rumah sendiri.
        Setelah bekerja di Kuala Lumpur manakala Liza pula berkahwin dan menetap di kampung  tersebut, di rumah Liza juga dia akan melekat sepanjang hari bila sesekali pulang.
        Jarak rumahnya ke rumah Liza tidaklah jauh sangat, hanya berbeza lorong saja. Malas memandu kereta kerana lorong ke rumah Liza agak sempit, Hani rembat motor Azrul. Selalu kalau pulang ke kampung, dia lebih suka bawa motor sambil menghirup udara yang segar dan nyaman.
        "Hafezzzzz!!!" Suara nyaring Liza menjerit nama anaknya sudah kedengaran sebaik Hani memarkir motor di laman.
        Hani tarik-tarik cuping telinganya. Sejak anak dara sehinggalah sudah menjadi mak budak, suara Liza tetap sama, nyaring dan menyengat. Kalau menjerit, anak telinga boleh berjoget-joget. Itu belum lagi dengar dia membebel atau bergaduh. Ish! Tak sanggup nak cerita. Kalau tengah marah, macam-macam perkataan akan keluar dari mulut lasernya.
        “Assalamualaikummmmm....”
        Hanya seketika menunggu, wajah Liza sudah terpacul di muka pintu.
        "Weh! Bila kau balik?"
        "Dua hari lepas." Hani menyengih, sengaja main-main.
        "Siotlah kau. Dah dua hari balik baru nak cari aku."
        Hani gelak sambil mengelak tatkala tangan Liza cuba menepuknya. Dah nak mula la tu. Liza kalau bercakap tak sah kalau tangan tak gerak sama.
        “Aku baru sampailah!!” tegas Hani sambil melangkah masuk ke rumah Liza.
        Tak payah berjemput, dia memang suka buat rumah Liza macam rumah sendiri lebih-lebih lagi dia memang tahu abang Amir, si suami sahabatnya itu memang tiada di rumah waktu siang begini.
        “Eh? Kau balik ni sebab kenduri sambut si Hazril tu ke?” Soalan Liza menghentikan langkah Hani. Buat seketika mereka saling berpandangan.
        Sorry, aku lupa kau alergik dengar nama mamat tu.” Liza jadi teragak-agak.
        Hani hanya diam. Memang dia sangat sensitif  bila mendengar nama Hazril disebut. Tak payah tengok orangnya, namanya saja sudah boleh menyebabkan hormon adrenalin dalam badannya meningkat secara mendadak.
        “Kau okey ke tak ni? Ke, kau ada rasa nak meroyan?” Liza melawak tetapi Hani tetap tidak terasa ingin ketawa. Dia celaru sebenarnya. Kepulangan Hazril berkemungkinan besar akan membuka ruang untuk mereka kembali bersua muka setelah sekian lama.
        Sepanjang lelaki itu di luar negara, dia sudah terasa cukup tenang. Kini, sebaik mendengar khabar lelaki itu telah kembali ke tanah air, hatinya jadi bergelandangan. Sudah sepuluh tahun berlalu, rasa malunya tak pernah hilang. Peristiwa tersebut mencetus banyak fenomena terutamanya kemarahan dari Nurlily.
        Kenangan itu datang menjengah minda…
        “Weh! Aku nak cakap sikit pasal gambar Hazril yang kau simpan tu.” Nurlily and the gang yang muncul tiba-tiba terus menolak bahunya.
        Waktu itu, Hani sedang menghabiskan waktu rehat di belakang bangunan sekolah bersama Liza, tiga hari selepas peristiwa dia dimalukan oleh Hazril.
        “Eh! Nurlily, kot yer pon nak bercakap, tolong sopan sikit. Bagi salam dulu ke apa. Ni main tolak-tolak bahu orang ni apa kes?” Liza pantas bangkit berdiri.
        “Kau diam! Aku tak cakap dengan kau!.” Jari telunjuk Nurlily terus menghala ke arah Liza.
        Wajah Nurlily menyinga. Dia tengah panas hati mendengar gosip yang digembar gemburkan antara Hani dan Hazril. Kononnya budak selekeh yang bernama Hani Suraya itu sukakan Hazril, walha semua orang sudah tahu bahawa lelaki itu adalah kekasih hatinya.
        “Kalau aku tak nak diam, kau nak buat apa?.” Liza sengaja mencabar. Dengan minah perasan bagus ni memang tak boleh nak berdiam diri dan mengalah.
        Hani yang juga turut berdiri mencuit tangan Liza agar sahabatnya itu bertenang. Wajah Nurlily yang seperti singa tengah kelaparan itu dipandang sekilas sebelum beralih kepada tiga lagi konco-konconya yang berdiri di kiri kanan wanita itu.
        “Kau ni tak faham bahasa melayu ke?” Nurlily mula naik angin. Marahnya pada Hani sedikit sebanyak berpindah pada Liza.
        Dia ke situ mencari Hani untuk meminta penjelasan tentang cerita gambar yang diedit itu. Mendengar cerita tersebut, dia tidak senang duduk apatah lagi apabila mengetahui yang perempuan selekeh ini adalah rakan sekampung Hazril.
        Paling menyakitkan hati apabila Hazril langsung tidak bercerita padanya. Itu bermakna Hazril tidak kisah. Setahu dia, lelaki itu memang tidak suka orang menyimpan gambarnya apatah lagi merakam secara curi-curi. Dia sendiri pun tidak pernah ada gambar Hazril sama ada gambar sendirian atau berdua. Hazril itu jenis yang alergik pada kamera.
        “Kau pandai cakap Jerman ke? Kalau pandai, bahasa Jerman lagi aku boleh faham.” Liza sengaja main-main.
        “Eh! aku tak ada masa nak melawak okey!”  balas Nurlily.
        “Bila masa aku cakap aku melawak? Kau tengok muka aku tengah buat lawak ke?” Liza sudah selangkah ke depan.
        Hani pula bertindak menarik tangan sahabatnya itu agar tidak menghampiri Nurlily. Bimbang juga jika berlaku pergaduhan. Sekarang ni mereka di dalam kawasan sekolah. Kalau bergaduh, silap-silap kena tindakan disiplin.
        “Wei! Kau tu tak ada kena mengena dalam cerita ni. So, tak payah nak lebih-lebih.” Salah seorang geng Nurlily yang Hani kenal bernama Zura mencelah.
        “Eh! Zura. Kau pun tak ada kena mengena dalam cerita ni. So, tak payah nak menyampuk.” Liza membidas.
        “Weh! Takkan sebut nama Hazril aje kau dah hilang suara.”  Sergahan Liza menamatkan terus kisah silam yang mendatangi minda Hani. Dia garu kepala. Bukan hilang suara tetapi dia tiada mood untuk berkata-kata.
        Benar... apa saja yang berkaitan dengan lelaki yang bernama Hazril Redza itu boleh membuatkan moodnya berputar 180 darjah.
        “Bukan macam tuuu…” Hani menafikan. Punggung dilabuh ke kerusi di meja makan. Tudung saji di atas meja diangkat. Lagak macam rumah sendiri.
        “Kalau aku cakap, kau jangan marah ya.” Liza pula labuhkan punggung berdepan dengan Hani. Niat memanggil si anak untuk mandi ditangguhkan dulu.
        Mendongak memandang Liza, Hani angkat kening.
        “Hazril…” Liza hentikan di situ. Mahu melihat reaksi si sahabat.
        Hani tenung Liza dengan mata mengecil. Separuh hatinya mahu Liza tidak meneruskan bicaranya tetapi separuh hatinya ingin tahu apa yang Liza mahu sampaikan berkaitan lelaki itu.
        “Kenapa dengan dia?” soal Hani. Untuk menyebut nama Hazril, lidahnya terasa keras, seperti hatinya yang mengeras selepas dimalukan oleh lelaki itu.
        “Dia makin kacak. Lebih kacak dari dulu dan nampak matang. Walau usianya sama dengan kita. Mungkin pengalaman hidup yang lebih luas di negara orang.”
        Hani hanya diam. Tidak mahu mengulas lanjut. Sedikit sebanyak hatinya jadi terusik. Sekacak mana pun Hazril, dia hanya mampu memandang. Tapi, jika boleh dia tidak mahu memandang lelaki itu lagi kerana dia tahu, parut luka di hatinya pasti akan berdarah kembali.