Kembali ke bilik pejabat, kelihatan Zhafran sedang duduk di kerusiku sambil menggoyang-goyang kerusi tersebut kiri dan kanan. Lagaknya macam duduk di kerusi dalam pejabat sendiri.
"Sejak bila pindah office ni?" aku bersuara sinis, tercegat di depan pintu sambil berpeluk tubuh memandangnya.
Dia hanya menyengih dan bangkit memberi laluan untuk aku duduk sebelum bergerak ke kerusi depan mejaku dan duduk di situ tanpa dijemput.
Apa lagi yang boleh aku buat selain duduk.Dia pula hanya diam memerhati, menilik aku atas dan bawah seperti selalunya.
“Kenapa aku rasakan makin lama kau makin seksi?” Di bersuara tiba-tiba menghentikan pergerakanku. Serta merta aku menilik diri sendiri. Apa yang seksinya? Kalau pakai blouse labuh melepasi punggung dengan skirt labuh meleret ke lantaipun dikatakan seksi, apa pula pakaian yang harus aku pakai?
“Kau tak payah nak pakai seksi-seksi untuk tunjuk pada orang yang kau tu cantik. Untuk aku, kau balut tubuh kau dengan guni pun aku tetap tahu kau cantik,” ujarnya lagi.
"Kalau setakat datang sini nak merapu, baik lagi kau balik office kau buat kerja sendiri. Ada juga faedahnya," tukasku geram.
Dia bertongkat dagu di meja dan merenungku lama.
"Aku tak boleh fokus dalam kerja kalau tak tengok muka kau. So, aku perlu tengok muka kau sekurang-kurangnya dua hari sekali untuk ambil semangat." Dia bersuara bersama senyuman mekar di bibir.
"Kau tak usah nak jual minyak dengan aku? Tak laku!" aku mencebik.
"Eh! Betullah, jual minyak apa pulak," tekannya untuk meyakinkanku.
"Aku ada dengar satu teori. Kata orang, kalau kita ingatkan seseorang, ambil gambar orang tu, koyak dan rendam dalam air kemudian minum air tu. Nescaya otak kita dah tak serabut ingatkan orang tu sebab wajah dia dah masuk dalam perut." Aku saja buat cerita merapu sebab dah naik berbulu anak telinga mendengar dia bermain kata.
Dia gelak kuat, seolah sedang menyaksikan rancangan raja lawak.
"Kau nak tak kalau aku bagi gambar aku, kau cuba buat macam tu? Tak perlulah kau datang sini lagi dan ganggu aku?" soalan bercampur sindiran aku ajukan padanya.
Dia diam tidak membalas tetapi mata tepat memanah wajahku. Lama dia begitu sebelum bangkit bediri.
"Aku tak nak gambar kau tapi, aku nak hati kau." Dia terus berlalu meninggalkan aku dengan kata-kata yang menyentap naluri.
Ah! Zhafran, tahukah kau bahawa aku sudah lama kehilangan hati? Bagaimana mungkin untuk aku memberinya kerana aku sendiri tidak tahu di mana hatiku berada waktu ini. Kalaulah aku punya banyak hati,tidak perlulah aku hidup dihimpit sengsara begini.