FOLLOWERS

Pergi Tanpa Alasan V2015 - Bab 70

TERKEJUT! Mati terus pergerakan Rihana. Bukan sebab dia tidak menyangka Hakim mampu mencarinya tapi sebab sebegitu cepat masa itu tiba.
        Ya! Belum sampai dua minggu dia di sini, Hakim sudah muncul.
        “Encik nak cari bos ke?” sapa Rihana, formal. Berlagak biasa-biasa sedang debar di hatinya sudah mula menggila. Panahan mata Hakim buat darahnya menderu laju. Sejak dulu, mata itu tak pernah gagal menghantar getaran ke hatinya
        “I tak cari bos.” Senada jawapan Hakim. Mata masih tajam menikam seraut wajah milik Rihana. Wajah cantik yang sering buat gelora di dadanya mengganas.
        Rihana angkat wajah.
        “I cari you.”
        Satu keluhan keluar dari bibir Rihana. Terasa sejarah akan berulang.
        “I cuma minta masa, Rin. I tak minta you pergi dari I bersama puteri.”
        “Hakim, I tengah kerja.” Rihana pandang kiri kanan. Tak selesa bila soal keluarga disuarakan Hakim dalam nada yang mampu didengar oleh orang lain. Nasib baik masih awal pagi, ramai yang masih ‘bermimpi’.
        “Berhenti kerja!” Tegas Hakim memberi arahan.
        Tawa halus keluar dari bibir Rihana. Ketawa yang dibuat-buat.
        “Maaf, Hakim. I perlu duit untuk hidup.”
        “Tak cukup lagi ke apa yang I bagi?” Hakim memintas. Terkejut dengan jawapan Rihana. Adakah selama ini apa yang dia berikan pada Rihana tidak mencukupi?
        “I tak mahu usik duit you. Sebagaimana I janji takkan usik hidup you dan semua hal yang berkaitan dengan you.”
        Ya! Janji pada hati sendiri, dia tak akan sesekali usik hidup Hakim. Tentang ikatan antara mereka, dia serahkan pada Hakim untuk tentukan. Saat ini, dia sudah ajar hati untuk reda dengan ketentuan Ilahi. Mungkin saja Hakim hanya dipinjamkan untuk seketika waktu.
        Mendengar kata-kata Rihana, satu keluhan berat keluar dari bibir Hakim. Rihana sudah salah faham.
        Tiada cara lain. Tanpa amaran, tangan Rihana ditarik.
        “Ikut I. We need to talk.”
        “Hakim!!!” Rihana terjerit tatkala badannya terdorong akibat ditarik.
        “What’s going on here?” Suara yang menegur menghentikan pergerakan keduanya.
        “Hakim?” Dua lelaki yang tiba-tiba muncul serentak menyebut nama Hakim.
        Mata saling bertentang. Kalau boleh digambarkan, api kemarahan yang keluar dari mata milik Hakim pasti mampu membakar seluruh isi pejabat tersebut.
        “Kau memang kawan tak guna, Riz. Kau sembunyikan isteri aku tapi pura-pura kata tak tahu,” sembur Hakim.
        “Kalau kau bukan kawan aku, rasanya aku dah tanam kau hidup-hidup, Riz.”
        “Kalau bukan sebab perkataan kawan tu, aku dah hasut Rihana minta fasakh...”
        Buk!
        “Hakim!” Rihana terus terjerit saat penumbuk Hakim singgah di muka big boss STAR ACE, syarikat di mana dia baru dua minggu memulakan kerja.
        Saat itu, semua isi pejabat yang tadinya masih ‘bermimpi’ terus bangun. Semua mata sudah tertumpu ke arah lokasi penggambaran drama sebabak tersebut. Di depan meja PA yang terletak di depan bilik bos.
        Ridzwan senyum sambil tangan mengurut pipi sendiri yang terasa kebas. Bukan dia tidak berani untuk membalas. Menghalau Hakim dari sini pun dia boleh buat kerana ini adalah bangunan miliknya. Tapi, atas nama persahabatan, dia tolak tepi rasa sakit dan marah.
        “Walau aku dah kahwin, kau jangan lupa kuota aku masih ada tiga.”
        Sekali lagi Hakim angkat tangan tapi Rihana cepat saja menjadi benteng, berdiri di tengah-tengah antara Hakim dan Ridzwan.
        “You pukul I, Hakim. Lepaskan marah tu pada I. Dia atau sesiapa saja tak bersalah dalam hal ni.” Rihana bersuara.
        “Kalau kau anak jantan, lepaskan dia. Jangan layan dia macam perempuan tak ada harga.” Ridzwan tidak mahu mengalah. Geramnya pada Hakim tak pernah ada perkataan surut. Cerita tentang Rihana yang didengar dari mulut Liza buat dia terfikir yang jahat-jahat saja.
        “Sebab yang namanya Rihana ni sampai bila-bila pun sangat berharga di mata aku.”
        Riz, please...” Rihana berpaling. Suara sudah merayu simpati. Tidak mahu Ridzwan terus memarakkan api di hati Hakim.
        Mengenali Hakim, dia yakin banyak buruk daripada baiknya meluahkan ayat berbaur cabaran begitu. Dia yakin Hakim takkan begitu mudah melepaskan dia. Dan kalaupun Hakim sanggup berbuat begitu, dia takkan mungkin sanggup mengkhianati nilai persahabatannya dengan Lizawati. Tak mungkin dia sanggup merampas kasih Ridzwan dari sahabatnya itu.
        “Encik Iqbal, saya minta diri keluar sekejap.” Rihana pandang bosnya merangkap  pengurus di situ yang sejak tadi hanya berdiri di sebelah Ridzwan.
        Walau syarikat ini milik Ridzwan dan lelaki inilah yang membantunya mendapatkan kerja di sini, dia harus mendapat keizinan Tuan Iqbal kerana lelaki itu yang ditugaskan sebagai ketua di situ.
        Sebaik melihat anggukkan daripada Tuan Iqbal, Rihana bergegas mendapatkan beg tangan dan berlalu mendahului Hakim keluar dari pintu pejabat.
        Tatkala pintu tertutup rapat, tangan Hakim pantas memaut lengan Rihana agar mengikut langkahnya menuju ke kereta.
        “Masuk!” Hakim memberi arahan sebaik pintu keretanya di sebelah penumpang dibuka. Namun, Rihana keras berdiri di situ.
        “Kat sini pun cukup. Tak ada orang. Tak perlu nak pergi jauh-jauh.” Tangan Rihana naik berpeluk tubuh.
        Hakim lurut rambut sendiri. Sabar, itu yang dia bisikkan ke hati.
        “Rin....” Suara Hakim merendah. Mata tunak memandang si isteri. Rindunya tak terhitung. Tingginya boleh mencecah tujuh lapisan langit biru.
        Please...”  Dia bersuara lagi bila melihat Rihana masih diam dan kaku. Kali ini dia sudah tidak malu untuk merayu.
        Walau dia marah dengan tindakan Rihana, dia tetap mahu letakkan semua salah di bahunya. Kalau tentang Rihana, dia memang tidak mampu untuk marah. Katalah dia apa saja, Rihana itu adalah wanita istimewa yang akan sentiasa ada di tempat teratas di hatinya.
        Melihat Rihana yang masih kaku, tangan Hakim menekan ke kereta, memerangkap tubuh si isteri di tengah antara kereta dan tubuhnya.
        “Dah tiga minggu I tak jumpa you, Rin. Kalau I peluk dan cium you kat sini, jangan menjerit dan jangan salahkan I.” Hakim guna cara mengugut, makin merapatkan kedudukan mereka. Wajah ditundukkan.
        Rihana telan liur. Spontan telapak tangan naik melekat ke dada Hakim, menahan tubuh sasa itu dari menghimpit tubuhnya.
        “Okey! I masuk.” Cepat saja dia mengalah dan menepis lengan Hakim sebelum masuk ke dalam Range Rover Sport milik lelaki itu. Kereta baru yang Hakim beli ketika dia masih dalam pantang dulu.
        Kata Hakim, kereta ni hadiah untuk dia tapi dia belum sempat nak merasa, muncul kisah duka.
        Ya! Kisah duka yang buatkan dia menjadi pelarian. Kisah duka yang sangat menyakitkan.

3 comments:

rossarazak said...

Salam...
Kak hani... Saya nak versi 2015 ni... Ada lagi ke?

azinee said...

Sya pon nak versi ni..ade lagi ke

Anonymous said...

Ada lg ke novel ni..saya nak...yg preloved pun ok