FOLLOWERS

CBM - Special

Nazurah tolak kepalaku.
"Kau ni kayu ke batu? Dah berbulan duduk sebumbung, tak pernah jadi apa-apa lagi. Tak ada perasaan ke kau?"

"Eh! Perempuan, aku ni gadis sunti yang suci murni tau! Kalau dia sebagai lelaki berlagak macam kayu jati yang keras tu, takkan aku nak tergedik-gedik macam perempuan sengal nak menggoda dia." aku meliut lintukkan badan

"Apa salahnya. Dia tu laki kau, bukan berdosa pun. Isteri goda suami atau isteri yang mulakan dulu bukan lagi sesuatu yang peliklah beb! Kita sekarang bukan di zaman batu."

"Isk! Eeee... Geli aku. Kau ingat aku ni macam Tengku Farah tu ke? Kalau kau minta aku pilih kena sumpah jadi mengkarung atau jadi penggoda, aku lagi sanggup jadi mengkarung tau tak." aku buat gaya geli geleman.

Nazurah ketawa kuat mendengar omelanku. Tetapi, tawanya berhenti tiba-tiba.

"Kau fikir tak apa yang aku fikir?"soalnya dengan mata membulat.
"Fikir apa?"
"Adakah kemungkinan laki kau tu tak minat perempuan?"
"Maksud kau?"
"Lu pikirlah sendiri..." Nazurah tiru gaya Nabil.
Aku terdiam memikir. Ah! tak mungkin. Di UK dulu, diakan ada awek. Yang duk bergesel dengan Riana tu, bukan ke suka namanya. Selain suka, ia juga boleh dipanggil nafsu.
"Tak mungkin kot." jawabku perlahan.
"Tapi, siapa tahu, kalau apa yang kita fikirkan tidak mungkin itu adalah satu kenyataan yang menjijikkan." Provok Nazurah.

Oh! Aku jadi buntu tiba-tiba. Dunia akhir zaman, pelbagai yang tidak mungkin menjadi kebiasaan.

"Kalau kau nak tahu kebenaranya, cuma ada satu jalan."

Aku pandang Nazurah dengan fikiran yang sudah menjadi blur.

"Kau pakai seksi-seksi kat rumah dan tengok reaksi dia." usul Nazurah.
"Gila kau! Kalau dia ngap aku macam macamana?" aku terjerit kecil.
"Kau redha ajelah. Diakan laki kau."Nazurah ketawa kuat.
"Lepas tu terus kau ajak dia pergi honeymoon."
Hampeh!, aku tumbuk bahu Nazurah sebelum melangkah ke dapur.

Pulangnya Nazurah, aku perah otak untuk berfikir. Puas berfikir, akhirnya aku bersetuju dengan juga untuk mengikut idea gila Nazurah.

Malam itu, Zaril ada di rumah dan inilah masa yang sesuai untuk aku menjalan misi. Gaun bertali halus warna hitam separas lutut yang yang ada dalam simpanan aku sarung ke tubuh. Melihat ke cermin, aku senyum sendiri.

Bukan tidak biasa memakai pakaian seksi begini. Zaril pun memang sudah biasa tengok waktu di UK dulu. Tapi, setelah balik ke Malaysia dan setelah tinggal serumah, aku tak pernah lagi sarung pakain sebegini. Tak nak ambil risiko.

Keluar dari bilik dan turun ke bawah, aku lihat Zaril sedang tekun mengadap laptopnya di ruang tamu. Teragak-agak aku melangkah menghampirinya tetapi dia masih tekun dengan kerja-kerjanya. Seperti biasa, kalau sudah mengadap laptop, dia tidak akan peduli apa yang berlaku di sekelilingnya. Agaknya, kalau harimau mengaum di sebelah pun mungkin dia tak akan sedar.

Untuk menarik perhatiannya, aku capai remote Astro yang terletak betul-betul di sebelah laptopnya dan menutup siaran Berita Bernama yang terpasang. Saat itulah baru dia mendongak memandangku.

"Tak tengok, buat apa pasang. Rugikan elektrik jer," ujarku tanpa rasa bersalah. Dia tidak membalas sebaliknya berterusan memandangku dari atas ke bawah.

"Kenapa? Ada yang tak kena ke?" aku menyoal sambil membelek-belek dress yang kupakai dengan gaya bersahaja sedangkan tubuhku sudah hampir kejang menahan gigil. Melihat sinar matanya saja, degupan jantungku sudah berubah rentak apatah lagi bila memikirkan apa yang sedang berada di kepalanya.

"You ni sihat ke tak?" dia bertanya tiba-tiba.

"Sihat. Kenapa? You nampak I macam orang tak sihat ke?" soalku kembali.

"You tak takut ke pakai macam ni depan I?" dia bertanya lagi, melencong jauh dari topik yang sedang kami dibicarakan.

"Kenapa? You boleh bertukar jadi hantu ke kalau nampak I pakai macam ni?" aku sengaja mempermainkannya.

Dia senyum segaris sambil mengeleng perlahan. Pandangannya sudah kembali ke skrin laptopnya sementara tangannya sudah bergerak memegang tetikus di atas meja. Melihat situasi itu, aku terus berpusing dan melangkah ke arah dapur.

Sambil melangkah, otakku turut sama bergerak. Mungkinkah tekaan Nazurah betul belaka? Jika tidak, kenapa dia seolah tidak berminat melihat aku yang seksi ini? Atau... Mungkinkah aku tidak cukup seksi untuk menarik minatnya? Ah! Aku jadi buntu tiba-tiba.

Berada di dapur, aku hilang fokus. Entah apa sebenarnya yang ingin aku buat masuk ke situ. Hanya mundar mandir di depan sinki tanpa mampu berfikir untuk berbuat apa-apa. Sudahnya, aku ambil gelas di atas rak dan bergerak ke arah peti ais mengambil jus oren tropicana twister.

Baru separuh gelas terisi jus tersebut, kelihatan Zaril melangkah masuk ke ruang tersebut. Bersahaja langkahnya datang menghampiriku yang sudah kehilangan tingkah. Belum sempat berbuat apa-apa, dia sudah berdiri hampir di depanku.

Mengelak debaran di hati, selangkah aku berundur ke belakang. Namun, dia pula melangkah mendekatkan jarak. Makin aku mengundur, dia dengan penuh beraninya mara mendekatiku sehinggalah langkahku mati akibat tersekat di kabinet dapur.

"You nak apa ni?" teragak-agak aku menyoalnya.

"I tak perlu jadi hantu untuk takutkan you kan?" dia senyum lebar.

Tersedar dari kealpaan, aku lekatkan jemariku ke dadanya dan menolak badannya yang sudah condong ke arahku agar sedikit menjauh.

"I tak takut pun." Aku angkat dua jari gaya peace bersama senyuman dengan kepala yang sedikit senget ke kiri sebelum meloloskan diri melangkah laju meninggalkan dia di situ.

Keluar dari ruang dapur, aku berlari anak naik ke atas. Sungguh! Peristiwa tadi betul- betul buatkan aku naik ngeri. Sumpah aku takkan buat lagi aksi-aksi menggoda begini.

Baru saja ingin merebahkan badan setelah menukar pakaian, tiba-tiba pintu bilikku dibuka dari luar tanpa mengetuknya terlebih dahulu. Terkejut, aku pantas bangkit dari pembaringan.

Zaril yang muncul di muka pintu dan melangkah masuk tanpa dipelawa membuatkan mataku membulat besar.

"You nak apa malam-malam buta masuk bilik I ni?" soalku kalut.

"I rasa macam nak tidur berteman malam ni."

Mendengar ayatnya, aku terus terlompat turun dari katil. Namun, Zaril pula dengan selambanya merebahkan badannya ke atas tilam empuk milikku. Eee.. Geram sungguh aku melihat reaksinya.

"Kenapa tercegat aje kat situ?" dia menyoal.

"Jangan cakap dengan I you takut pulak." sambungnya.

"Eh! Tak. I cuma takutkan hantu dengan binatang buas aje." Aku pandang ke wajahnya yang masih selamba baring menelentang dengan kedua tangan bersilang menjadi lapik kepalanya.

"You bukan dari dua spesis tersebutkan?" soalku dengan kening terangkat, sengaja mempermainkannya.

Dia gelak kuat mendengar soalanku.

"Ah! Enaknya." dia bergolek-golek kiri dan kanan, gaya macam orang tak pernah jumpa tilam walhal tilam di biliknya lagi empuk dari tilamku.

"You tak nak tidur lagi ke?" soalnya, memandangku yang masih tercegat kehilangan tingkah.

"Jangan takut, I takkan bertukar jadi dua spesis yang you sebut tu." dia simpan senyum.
Geram!! geram dan geram. Bukan hanya geram pada dia tapi geram juga pada diri sendiri yang memulakan drama. Ego yang aku junjung pula memerangkap diri sendiri.

Bahagia Tetap Milik Kita (Zahim & Tasya)

Mendengar suara riuh rendah Zahim terjerit-jerit bersama anak-anak daranya di bahagian tepi rumah, aku terus mengatur langkah untuk keluar melalui pintu sebelah tepi sebaik meletak beg tangan dan beg kerjaku di sofa.

Sebaik ternampak kelibatku, Zahim yang sedang mengajar Qistina berenang terus melambai tangan. Anak kedua kami itu baru saja berusia dua tahu sudah diajar berenang setiap kali dia punya masa terluang.

“Okey! jom naik, mama dah balik.” jerit Zahim pada Qaisara yang terkedek-kedek berenang menggunakan pelampung.

Qaisara itu anak pertama kami yang kini sudah berusia enam tahun. Aku senyum bahagia melihat mereka. Begitulah Zahim setiap petang. Semenjak firma guamannya berkembang maju, dia banyak meluangkan masa bersama keluarga. Setiap hari dia akan pulang ke rumah lebih awal dariku.

Zahim naik ke atas sambil mendukung Qistina dan aku pantas mencapai tuala, bersedia untuk menyambut anak kecil itu yang terkekeh ketawa digeletek papanya.

Sambil menyerahkan anak itu kepadaku, sempat lagi Zahim menghadiahkan ciuman ringkas di pipiku.

“Isk! Basah la...” aku tolak tubuhnya tetapi dia dengan bersahaja memelukku, sengaja ingin mengusik.

“Abanggg!!!” Aku terjerit kuat sambil melepaskan diri dari pautannya.

“Alaaa… nantikan nak mandi juga. Jomlah! Abang ajar sayang berenang pula.”

“Isk! Tak kuasa. Abang bukannya nak mengajar, nak buat tak senonoh ada la.”

Zahim ketawa lepas mendengar omelanku. Sudah bertahun kami tinggal di rumah agam itu dan selama itulah kolam renang tu ada di situ. Namun, sehingga detik ini aku masih lagi tidak pandai berenang. Pernah beberapa kali Zahim menawarkan diri untuk mengajar tetapi apabila turun ke kolam, benda yang bukan-bukan pula dibuatnya.


**********

Selesai memakaikan Qistina baju, aku menjenguk ke dapur untuk membantu Mak Timah, pembantu rumahku menyediakan makan malam kami. Setelah segalanya siap, aku menapak pula naik ke bilik untuk mandi.

Keluar dari bilik air, Zahim sudahpun berada di bilik tersebut dengan hanya bertuala melilit pinggan, sengaja menayang badannya yang tegap itu.

“Laaa.. dah siap mandi ke?”

“Yer la, kenapa?”

“Ingat nak ajak mandi sama.” Dia menyengih gatal.

“Tak usah nak menggatal siang buta ni!” Aku jegilkan mata ke arahnya.

“Nak menggatal dengan isteri tak kira siang buta atau malam celik sayang ooii.”

Dia melangkah menhampiriku dan aku pula sudah mula berundur ke belakang.

"Abang jangan nak buat perangai. Tasya tengah penat ni."

Zahim tidak menghiraukan amaranku sebaliknya dia makin menghampiri sehingga aku sudah tersekat di didnding, tidak boleh berundur lagi. Dia bertindak mencempong tubuhku dan melangkah ke sofa.

Kemudian dia letakkan aku di situ penuh hati-hati sebelum dia sendiri duduk di sebelahku.

kedua kakiku diangkat ke atas meja kopi yang terdapat di situ. tubuhku pula ditolak agar bersandar ke belakang sofa. Melihat tingkahnya yang begitu, aku mula terfikir macam-macam. Zahim ni kadang-kadang sukar untuk dijangka tindakannya.

Dia juga duduk bersandar sepertiku. Jemariku digenggam erat dan kepalanya disandar ke belakang. Matanya dipejamkan rapat dan dia terus diam dalam keadaan yang begitu.

"Bang, kenapa?" Aku jadi hairan.

"Laaa... kata penat? Rehatlah sekejap, abang temankan."

oh! aku jadi terharu. untuk berehat pun, dia sanggup temankan aku begini.

"Abang pergilah mandi.Tasya okey jer."

"Abang nak Tasya tahu, abang sanggup temankan Tasya dalam keadaan apa sekali untuk seumur hidup abang." Dia bersuara tanpa membuka matanya dan jua tanpa melepaskan genggaman tangannya pada jemariku.

Dan, dia buat aku makin terharu....


***********

Turun ke bawah , aku melangkah ke dapur. Ketika melintasi bilik Qaisara yang terladah pintunya, mataku terus terbuntang luas.

Ya Allah! Berseleraknya bilik anak dara ni.

“Qaisara!!!!” suara tarzan terus saja terkeluar menjerit nama anakku itu.

“Qaisara!!!” Sekali lagi aku terjerit kuat apabila jeritan pertamaku tidak bersahut.

“Ya! Mama.” Qaisara muncul bersama Ipad di tangannya. Tanpa amaran aku terus merampas Ipad tersebut.

“Berapa kali mama kata jangan suka sepahkan bilik? Sara dah besar tau! Kenapa bila guna sesuatu tu tak boleh nak letak balik ke tempat asal? Tengok! Katil pun berselerak dengan macam-macam benda. Sampai bila Sara nak belajar bertanggungjawab ni? Kan mama selalu cakap tempat tinggal kita mesti sentiasa kemas. Kalau diri saja kemas tapi bilik tidur bersepak macam tongkang pecah pun tak guna.” Panjang lebar aku membebel. Qaisara hanya terkebil-kebil memandnagku. Mukanya sudah masam mencuka dan bibirnya sudah memuncung macam itik serati.

“Selagi Sara tak kemas bilik, mama tak bagi Ipad ni.” Aku mengugut.

“Apa yang kecoh sampai ke atas pun boleh dengar ni? Mama tengah berlatih berlakon teater ke Sara?” suara Zahim yang tiba-tiba muncul di situ kedengaran menampar telingaku.

“Hah! Banyaklah abang punya berlatih. Tengok bilik anak dara abang ni, bersepah sana sini. Umur dah besar panjang tapi mainan masih berselerak atas lantai. Dah banyak kali ajar pun tak ikut-ikut juga. Mana Tasya tak geram.”

“Ni ha, benda alah ni yang dia kelek sana sini. Abang la ni, suka manjakan anak, umpan dengan benda-benda macam ni.” Aku tunjukkan Ipad di tangan. Rasa geramku sudah berpindah pada Zahim pula.

Zahim hanya senyum. tangannya bergerak menggosok kepalaku. Dia selalu begitu disaat anginku naik meninggi.

Ipad ditanganku diambil dan langkahnya diatur mendekati anak daranya yang sedang memuncung di birai katil.

Dia kemudiannya duduk mencangkung sambil dan memegang lutut Qaisara.

“Sayang simpan dulu Ipad ni yer. Dengar cakap mama, kemas bilik dulu. Lepas tu kita makan. Siap makan nanti boleh main lagi. Okey?”

Mendengar bicara papanya, Qaisara pantas mengangguk setuju dan pantas dia bergerak mengemas barang mainannya. Mudah sungguh! kadangkala aku jadi kagum dengan suamiku itu. Dia suami yang baik dan bapa yang sangat penyayang. Terasa aku ini tidak cukup sempurna untuk dia.

"Pa, mama tu tak sayang Sara yer?" soalan yang keluar dari bibir Qaisara membuatkan langkah kakiku yang ingin menuju ke dapur terus terhenti.

"Kenapa sayang cakap macam tu?" Suara Zahim kedengaran bertanya.

"Sebab mama selalu marah Sara." Jawapan Qaisara membuatkan aku terkedu.

"Mama bukan marah, Mama hanya menegur. Itu semua kan untuk kebaikan Sara juga. Mana ada ibu yang tak sayangkan anaknya." penjelasan Zahim membuatkan air mataku bergenang.

Ya! mana ada ibu yang tidak sayangkan anaknya kerana anak itu adalah anugerah termahal dari ILAHI. Dan mungkin anak itulah yang akan menyelamatkan kita daripada dihumban ke neraka di akhirat kelak.



************

Zahim pandang aku lama. Dari sejak di meja makan sehinggalah aku masuk ke bilik ini, aku perasan matanya bagai tidak lepas memerhatikan tingkahku.

“Kenapa abang pandang Tasya semacam jer?” soalku sambil merangkak naik ke atas katil untuk memindahkan Qistina yang terlena di situ ke atas katil kecilnya.

“Biar abang angkat.” Zahim menegah dan dia terus bertindak mengangkat anak itu. Setiap malam, memang itulah kerjanya, menidurkan anak-anak dan boleh dikatakan segala yang berkaitan dengan anak-anak, dia yang uruskan. Mungkin sebab itu, anak-anak lebih manja dengan dia berbanding denganku.

Selepas meletakkan Qistina di katilnya, Zahim bergerak ke arahku yang sudah duduk belunjur sambil bersandar di kepala katil.

“Penat?” soalnya sambil memicit-micit bahuku.

“Mmmm..…” hanya itu yang keluar dari bibirku dengan mata yang sudah terpejam, menghayati nikmatnya urutan tangan dia.

“Abang tengok sayang sekarang ni dah lain macam.” Kata-kata Zahim membuatkan mataku kembali terbuka dan badanku terus menegak.

“Lain macamana?”

“Dah banyak berubah, bercakap pun kurang. Dengan anak-anak pun makin garang. Sayang ada masalah ke?”

Aku mengeleng sambil pandang ke wajah Zahim. Betul ke aku dah banyak berubah?

Zahim genggam jemariku. Sebelah lagi tangannya menggosok-gosok tanganku, perlakuan biasa apabila dia cuba untuk berbicara sesuatu yang berkemungkinan akan menyentuh hatiku.

“Abang takut kalau Tasya tak lagi rasa bahagia hidup dengan abang. Kalau Tasya rasa tak suka atau tak setuju dengan abang, Tasya tolong cakap terus terang. Abang tak nak disebabkan abang, Tasya lepaskan geram pada anak-anak.”

“Abang…” aku termati kata. Adakah kerana aku marahkan Qaisara dan anak itu mengadu aku selalu marahkan dia menyebabkan suamiku beranggapan begitu? Oh! Aku dah tak tahu nak cakap apa.

“Tasya tak pernah tak rasa bahagia hidup bersama abang walaupun sesaat. Sepatutnya Tasya yang perlu tanya soalan tu sebabnya Tasya ni yang tak cukup sempurna untuk abang.Tasya takut apa yang Tasya buat tak cukup untuk beri bahagia pada abang.” Ucapku, perlahan sekali. Aku jadi tersentuh dengan bicara sendiri. Benar… terasa aku ni tak cukup sempurna untuk dia yang serba serbinya lengkap.

Dia punya pakej yang menarik sebagai lelaki idaman semua wanita. Hatinya penuh dengan kasih sayang sebagai suami dan juga bapa pada anak-anak. Apa lagi yang seorang wanita sepertiku perlukan selain itu?

Zahim paut tubuhku rapat padanya. Kepalaku diusap perlahan.

“Tasya dah cukup sempurna buat abang. Cukup hanya Tasya ada depan mata abang, sudah memberi bahagia di hati abang.” Zahim berhenti di situ dan nafasnya ditarik panjang.

“Cuma kalau boleh, abang minta Tasya lebihkan sikit masa untuk anak-anak. Duit boleh dicari bila-bila masa tapi waktu anak-anak membesar, hanya sekali untuk seumur hidup. Kita tak boleh nak putar masa untuk lihat berkali-kali. Rugi sebagai ibu bapa kalau kita terlepas peluang untuk melihat anak-anak membesar depan mata.”

Kata-kata Zahim membuatkan aku terngadah. Rupanya tanpa sedar, Zahim telah melihat aku sudah meletakkan keluarga ditempat kedua. Dia yang sibuk dengan business pon masih punya banyak waktu untuk anak-anak. Sedang aku? Terlalu sibuk sehingga langsung tidak punya masa untuk anak-anak. Sehingga anak-anak lebih manja dengan papanya berbanding aku ibu yang melahirkan.

Ah! bagaimana aku boleh jadi lupa diri? Terlalu leka dengan kebaikan suami. TUHAN, terima kasih kerana menyedarkan aku sebelum terlambat.

“Tasya janji, Tasya akan cuba. Kalau tak boleh juga, Tasya akan berhenti sebagaimana yang abang mahu. Tasya janji akan sentiasa ada bila abang perlukan Tasya untuk jadi teman.”

“Mmmm…macam nilah isteri abang. Kalau boleh abang nak Tasya sentiasa temani abang tak kira waktu. Teman abang uruskan anak-anak, teman abang bila tiba waktu tidur, teman abang bila waktu makan dan teman abang juga waktu maaandiiii….” Perlahan saja perkataan akhir itu keluar dari bibirnya.

Aku pantas menoleh pandang dan dia senyum senget.

“Mandi pun nak berteman. Itu dah kira lebih!”

“Tak! Kadang-kadang abang rasa takut nak mandi sorang-sorang.” Dia menyengih.

“Takut apa? Hantu? Tasya rasa, hantu pun takut kat abang.”

Mata Zahim terus membulat mendengar bicaraku. Sebelum sempat aku melarikan diri, dia sudah memaut pinggangku.

“Nak kenakan abang yer….” Dia menggeletek pinggangku sehingga aku terjerit-jerit. Ah! Rasa bahagia ini biarlah kekal menjadi milik kami.



Bersambung......


P/S : Bila senang-senang nanti baru sambung yer...