FOLLOWERS

Kasih Terus Bertaut (Zarif & Dya)

Sementara menunggu Zarif datang, aku menyemak payroll summary di atas meja. Setelah memujuk rayu dengan kata-kata manis bermadu, akhirnya Zarif membenarkan aku bekerja kembali. Itu pun, dia tetapkan syarat. Aku hanya boleh bekerja di syarikat temannya dan dia jugalah yang menguruskan permohonan kerjaku.

“Dya... tak keluar makan lagi ke?” Bosku merangkap teman Zarif sewaktu belajar dulu menegur.

Aku pandang jam di tangan. Haih! Zarif ni, janji nak datang makan tengahari bersama. Dah lewat setengah jam.

“Belum lagi Encik Adam, You dah makan ke?”

“Isk! Berapa kali nak cakap ni. Tak payahlah nak berencik-encik. Zarif tu bukan orang lain dengan I.”
Aku hanya menyengih.

“Jom! Saya belanja awak makan. Ada hal sikit saya nak bincang.”
Aku teragak-agak. Bimbang juga kalau tiba-tiba Zarif muncul.

“Jomlah!” dia sudah bangkit berdiri.
“Sekejap.”

Aku angkat telefon untuk menghubungi Zarif tetapi tidak berangkat. Beberapa kali mencuba pun tetap sama, talian tidak berangkat.

Sebuah keluhan berat terlepas jua dari bibirku. Ini bukan pertama kali malah sudah berkali-kali. Bukan aku tidak cuba memahami tugasnya sebagai seorang doktor pakar tetapi ada sesuatu yang sering merasuk di hati. Setiap kali dia memungkiri janji, nama Dr Asyikin sering melintas di minda. Sehingga kini, nama wanita tersebut sering membuatkan hatiku libang libu tidak menentu. Mereka pernah punya sejarah dan kini bekerja di bawah satu bumbung apatah lagi Asyikin itu masih belum berkahwin sehingga hari ini. Ada yang berkata dia menunggu suamiku, jadi isteri kedua pun dia sanggup. Oh!

**************


“Makan dengan siapa tadi?” Zarif bertanya. Lain benar nada suaranya.
“Dengan Adam.”
“Dah tak ada orang lain ke kat office tu selain dia untuk diajak teman makan?” suara Zarif tiba-tiba saja meninggi.

“Yang abang nak marah-marah ni kenapa?”
“Abang tak marah tapi abang tak suka.”
“Bang, dia tu bukannya orang lain, teman abang juga.”
“Yes! Dia teman abang tapi, dia tu lelaki kan? Duda pulak tu.”

“Apa kena mengena status dia pulak ni?” Aku jadi tak puas hati bila tiba-tiba Zarif mula membangkitkan soal status temannya itu apatah lagi dalam suara yang terkandung nada cemburu.

Apa ke halnya tiba-tiba nak cemburukan Adam sedang dulu dia beria-ia puji temannya itu baik dan dia sangat percayakan lelaki itu.

“Patutnya, Dya yang marah abang sebab selalu mungkir janji. Ni, dah jadi terbalik. Tak pasal-pasal nak marah orang.” Aku bergumam.

“Berapa kali nak cakap abang tak marah cuma abang tak suka. Dan.. berapa kali abang nak cakap, tadi tu abang ada kes kecemasan, berkurung dalam bilik pembedahan. Bukan abang sengaja nak mungkir janji. Kan abang dah call lepas tu? Dah berapa lama kita kahwin, takkan tak faham-faham kerja abang?”

“Oh! Dya saja yang nak faham abang? Tapi abang?” suaraku mula meninggi.

“Apa yang abang tak faham? Dya bosan duduk rumah, abang bagi Dya kerja. Apa lagi yang Dya nak?” suara Zarif pula naik lebih tinggi dari suaraku.

Terkejut, aku terus terpaku.

“Dya tak nak apa-apa. Dya Cuma nak abang.” Suaraku terus merendah. Air mataku mula bergenang. Sungguh... aku tak inginkan apa-apa. Cukuplah hanya dia ada di sisiku.

“Dya....”Zarif seakan tersedar.

Aku terus berlalu. Tidak mahu cerita pendek menjadi berjela dan tidak mahu hidup kami yang indah-indah dicemari pergaduhan.


*********

Malam itu aku hanya duduk berpeluk tubuh di sofa sambil menonton TV. Entah apa rancangan yang aku tonton kerana paparannya tidak mampu menembusi mindaku.

Sejak petang tadi, aku bisukan mulut dari bersuara. Makan malam kami juga jadi kaku dan suram. Zarif seperti ingin berkata-kata tetapi mungkin dia bimbang anginku akan naik mendadak.

Seketika Zarif datang berdiri di depanku namun aku buat-buat tidak endah. Lantas, dia melabuhkan punggung di sebelahku. Jemariku yang bertaut kiri dan kanan di paut perlahan. Aku cuba menepis tetapi dia berkeras sehinggalah aku tidak berdaya untuk menolak. Pantas saja jemarinya menyulam erat jemariku. Kasihnya terasa mengalir melalui tautan jemari kami terus menyejukkan hatiku. Benarkah dosa akan berguguran jika suami isteri bertaut tangan dengan penuh kasih sayang?

“I’m sorrry,” ucapnya lalu mengucup jemariku.

“Kalau abang lukakan hati Dya, abang minta maaf.”

Tiba-tiba aku terasa ingin menangis. Setiap kali berlaku salah faham, Zarif akan sentiasa merendah diri memohon maaf. Ya! Akulah manusia ego yang tidak pernah ingin mengalah walau dengan suami sendiri.

“Abang bukan marah Dya. Tapi abang tak suka Dya keluar dengan lelaki lain yang bukan muhrim. Kalau bertiga abang tak kisah.”

“Tapi, Adam tu kan kawan abang juga.” Aku bersuara perlahan sambil menahan tangis.

“Abang tahu tapi abang juga tahu dia suka Dya.”

Aku pantas berpaling. Tidak percaya dengan kata-kata Zarif.

“Naim yang cakap dengan abang.” Jelas Zarif

“Mana Naim tahu?” serta merta wajah tenang Naim yang juga sahabat Adam dan Zarif datang menerjah minda.

“Dia tu kan selalu ke mana-mana dengan Adam. Pernah sekali Adam terlepas cakap yang dia tiba-tiba jatuh suka pada Dya dan dia sering cemburu melihat kebahagiaan kita.”
Aku hilang perkataan untuk bersuara. Serta merta perbualan kami ketika makan tengahari tadi datang menerjah minda.

‘Saya cemburu dengan Zarif.’
‘Kenapa pulak?’
Astaghafirullahalazimmmm.....
Aku pandang Zarif. Lama.

“Bang... sampai bila-bila pun di hati Dya hanya ada abang. Sampai bila-bila pun Dya hanya nak abang jadi teman hidup Dya dunia dan akhirat.”
Zarif paut tubuhku ke dalam pelukannya.

“Insyaalah, abang akan setia di sisi Dya dunia dan akhirat.”
Bibirnya melekat di ubun-ubunku sebelum bergerak ke dahi, hidung dan seterunya bibir. Benar, hidup bersamanya sudah membolehkan aku memiliki segalanya dan aku tidak ingin apa-apa lagi.


***********


“Kau tak mampu berikan zuriat pada Zarif. Jadi, kau kena izinkan Zarif mengahwini aku untuk menyambung keturunannya.” Suara Asyikin di hujung talian bagai panahan petir menyambar seluruh tubuhku.

“Siapa kata aku tak mampu berikan Zarif zuriat?”

Asyikin ketawa kuat.

“Dah berapa lama kau kahwin dengan dia? Kalau kau tak mandul, sekarang kau dah ada 3 4 anak.”

Aku mati kata. Benar, usia perkahwinan kami sudah mencecah lebih lima tahun tetapi tanda-tanda untuk aku hamil langsung tidak kelihatan. Benarkah apa yang didakwa Asyikin? Tak mungkin aku mandul sebab aku pernah mengandung suatu ketika dulu. Tapi, mungkinkah kesan dari hentakan kuat yang menyebabkan aku keguguran dulu itu boleh mengakibatkan aku mandul? Kalau betul, kenapa doktor tidak pernah memberitahuku? Atau, doktor yang merawatku telah memberitahu semua ini pada Zarif?

“Zarif selalu meluahkan rasa hatinya pada aku. Dia teringin nak punya anak.” Sambung Asyikin lagi membuatkan hatiku jadi luluh. Mereka kerja sebumbung dan tidak mustahil semua ini satu kebenaran.

Sampainya hati Zarif. Kenapa dia tidak pernah luahkan semua ini padaku? Bukan aku tidak pernah meluahkan rasa bimbangku padanya tetapi dia seperti tidak kisah. Rupanya, dia sudah ada tempat untuk meluahkan keluh kesahnya.

“Kalau kau sayang Zarif, kau kena izinkan dia kahwin dengan aku. Selama ni Zarif hanya berpura-pura bahagia. Dia sebenarnya tak sampai hati nak minta izin dari kau sebab takut kau terluka.” Asyikin menyambung kata.

“Dia faham aku dan aku juga faham hati dia. Kalau kau izin, rasanya kita boleh hidup sebagai sebuah keluarga. Tapi, kalau kau tak sanggup, kau boleh minta dia lepaskan kau. Itu yang terbaik untuk kebahagiaan dia.”

Tanpa sedar, air mataku gugur menyentuh pipi. Sanggupkah aku melepaskan Zarif. Bisakah aku tanpa dia?


*******

“Bang....”
“Mmmmm....”
Aku pandang Zarif yang tekun menatap Ipadnya sambil bersandar di kepala katil, sama seperti posisi dudukku. Mungkin kerana aku hanya diam, dia menoleh pandang. Keningnya dinaikkan. Novel di tangan aku letakkan penanda sebelum menutupnya.

“Kalaulah ditakdirkan Lya tak boleh bagi abang zuriat, abang akan terfikir untuk kahwin lain tak?”

“Rezeki Tuhan kita tak tahu bila DIA akan berikan. So, sabar adalah jalan terbaik. Kalau ditetapkan ‘rezeki’ itu tidak ada untuk kita, terima dan redha. Yang penting, kita bahagia.”

“Jadi?”
“Kita hidup berdua jerlah.” Mudah saja jawapannya.
“Kalau Dya kata Dya izinkan abang kahwin lain, siapa yang abang pilih?”

“Merepek apa ni?” Zarif pantas menoleh pandang. Ipadnya diletak di sisi.

“Dya tak merepek bang. Dya sayangkan abang. Dya nak abang bahagia kerana bahagianya abang, maka bahagialah juga Dya.”

Zarif pandang tepat ke wajahku.

“Bahagianya abang apabila Dya ada di depan mata abang.”
Zarif terus membaringkan kepalanyanya di ribaku dan aku elus rambutnya penuh kasih.

“Tapi, Dya tak mampu beri zuriat pada abang.”

“Siapa yang cakap?”

“Dah berapa lama kita kahwin?”

“Masa bukan ukuran dan... abang belum puas lagi hidup berdua dengan Dya. Abang belum puas lagi nak honeymoon dengan Dya.”

Dia ambil jemariku dan lekatkan ke dadanya. Aku jadi syahdu tiba-tiba tetapi selagi aku tidak meluahkan apa yang telah lama terbuku di dada, selagi itulah aku tidak mampu bertenang.

“Abang kahwinlah dengan Asyikin. Dya izinkan.”
Keizinanku membuatkan Zarif pantas bangkit dari pembaringan. Dia membuka sila mengadap ke arahku.

“Kenapa cakap yang bukan-bukan ni?”
“Betul, Dya izinkan. Abang kahwinlah kerana mungkin dengan cara itu abang boeh mendapatkan zuriat.”

“Berapa kali abang nak cakap...”

“Dya ikhlas.” Aku memintas membuatkan Zarif terdiam.

“Dah habis fikir?”

Soalan Zarif yang tiba-tiba itu membuatkan aku terkedu. Kecurigaan terus datang menerpa. Mungkin benar kata Asyikin, Zarif hanya ingin menjaga hatiku.

“Abang tanya, Dya dah habis fikir ke?” Zarif mengulang tanya tetapi aku pula bagai kehilangan suara.

“Kalau hati belum cukup kuat, jangan sesekali bercakap sesuatu yang akan merobek hati sendiri.”

“Tapi Asyikin cakap...”

“Dya percaya cakap Asyikin atau cakap abang?”
Zarif memintas. Aku terus terkedu.

“Abang...” akhirnya terkeluar juga suaraku. Bila berlaku kekeliruan, lihatlah dengan hati dan renunglah dengan akal. Sekarang, hati dan akalku kata, Zarif sayangkan aku dan dia sedang berkata yang benar.

Zarif genggam jemariku dan buat seketika mata kami saling beradu.

“Kecurigaan terlalu murah bagi manusia yang tidak berpegangan dan kepercayaan tu amat berharga untuk dimusnahkan. Jadi, tolonglah jangan sesekali benarkan rasa curiga masuk ke hati kita dan tolonglah pegang rasa percaya antara kita sampai bila-bila.”
Lembut suara Zarif menjadikan aku sesak nafas. Air jernih mula meminta izin untuk mengalir keluar dari kelopak mata.

“Dya sayang abang dan Dya cuma nak abang bahagia.” Aku terus benamkan wajahku ke dadanya dan air mataku tumpah jua.

“Siapa kata sekarang abang tak bahagia? Cukup hanya ada Dya, abang tak perlukan apa-apa lagi untuk bahagia.”

“Kalau ditakdirkan kita tidak punya rezeki untuk ada anak, cukuplah kita hidup berdua. Abang tak mampu nak janjikan segunung intan permata tapi abang janji akan sentiasa ada di sini untuk Dya dan akan sentiasa menjaga Dya hingga ke nafas terakhir abang, insyaalah.”

Zarif renggangkan tubuhku dari pelukannya. Kedua pipiku di pegang dan air mata yang melekat di situ disapu perlahan.

“Kalau Tuhan izinkan abang menjadi penghuni syurganya di akhirat kelak dan kalau DIA memberi pilihan untuk abang pilih seorang hambaNYA untuk mengikut abang, orang pertama yang abang pilih ialah Dya kerana abang bukan hanya ingin hidup dengan Dya setakat di dunia yang indah ini tetapi di akhirat juga.”

Sekali lagi air mataku gugur ke pipi dan sekali lagi dadanya menjadi tempat untuk aku sembunyikan wajah. Sungguh....aku bahagia hidup bersamanya. TUHAN, jangan kau ambil rasa ini sehingga ke nafas terakhir kami.


P/S : Cerita pendek ni khas buat Niz Nudra yang msj saya tadi bertanya tentang sambungan BK, juga buat N or yang tetiba email saya memberi kata semangat, buat Nani di Ireland yang juga tetiba mengutuskan email memberi peransang, buat Alida dan Kak Mizan yang tidak jemu menjadi teman di alam maya dan juga buat semua yang sudi membaca, moga terhibur. Maaf kalau kurang manis sebab ini hanya sekadar suka suka sementara mencari idea...:))

Jangan Pernah Melupakan

Dya kerut kening. Otaknya cuba mencerna nama yang disebut Nyza.
“Makhluk dari planet mana tu? Aku tak pernah dengar pun nama dia kat sekolah kita ni?”
“Isk! Kau ni, kalau aku kata macam katak bawah tempurung kau marah aku. Geram jer aku nak ketuk kepala kau dengan tempurung kelapa yang mak aku kumpul kat belakang rumah tu.”
“Eh! Apa kes kepala aku yang kau geramkan? Apa nama yang kau sebut tadi?”
“Syed Zarif Hafizi .” Tekan Nyza.
“Oh! Kenapa dengan mamat tu?”
“Kau kenal dia tak?”
“Tak!”
Terus saja kelapa Dya menjadi tujahan telunjuk Nyza. Geram sungguh dia pada temannya yang sorang itu. Lagaknya macam kenal tapi rupanya tak kenal.
“Apa ni main kasar. Nak cerita guna mulut jer la, jangan guna tangan kaki bagai.” Dya tepuk lengan Nyza.
“Mamat tu bukan sekolah sini tapi sekolah jiran kita yang terkenal seantero pekan Pasir Panjang ni. Dia tu pun terkenal kat sekolah tu. Wakil sekolah dalam pelbagai acara sukan. Keturunan Syed yang terkenal dan orang kaya kat pekan ni.”
“Oooo.. jadinya?”
“Dia ni ada awek dan awek dia pun kira famos juga seantero sekolah tu.”
“So? Apa kena mengena kau atau aku dengan cerita ni?”
“Awek dia tu ada tanya kawan aku pasal kau.”
“Hah! Tanya aku kenapa? Aku bukan kenal mereka dan keluarga mereka pun.”
“Katanya, boybfriend dia yang nama Zarif tu ada sebut pasal kau. So, dia nak kenal kau ni macamana orangnya yang boleh menarik perhatian lelaki kacak BF dia tu.”
Dya sudah terlopong. Nama orang tu pun dia tak pernah dengar, inikan pula orangnya. Isk! Tak masuk akal. Silap orang kut.

**************

Kalau bukan sebab Nyza merupakan salah seorang pemain dalam perlawanan hoki wanita antara sekolah sekolah itu, Dya memang malas untuk mengikut rombongan penyokong sekolah mereka ke sebuah sekolah di Bandar Kuantan untuk memberi sokongan. Ulangkaji kat rumah lagi bagus.
Duduk di tengah padang berpanas dan berpeluh rasa macam orang bodoh. Dia memang tak minat hoki, kalau bola jaring boleh juga.
Melihat teman-teman sekolah tak kira lelaki mahupun perempuan terjerit terlolong, dia hanya mampu mengeleng kepala. Ada yang bertudung labuh, tapi terkinja kinja dan terjerit jerit macam orang tak siuman. Isk! Tak senonoh betul.
“Hai!” tiba-tiba telinganya seperti terdengar orang menegur. Pantas dia menoleh ke belakang.
Kelihatan seorang lelaki bersama kayu hoki di tangan berdiri berhampiran situ. Mungkin juga seorang pemain sebab dia memakai jersi warna merah. Entah sekolah mana dia tak tahu sebab banyak sangat sekolah yang berhimpun di sini.
“Buat apa datang tengok perlawanan kalau hanya duduk diam kat tepi padang?”
“Awak bercakap dengan saya ke?” soal Dya, memandang lelaki tersebut dengan pandangan pelik.
“Takkan saya bercakap dengan kayu hoki kot.” Lelaki tersebut gelak perlahan. Dan saat itulah Dya rasa seperti hatinya ditarik keluar. Entah dari mana munculnya lelaki ini? Segak dan kacak sekali. Mungkinkah bidadara dari syurga?
Tanpa amaran, lelaki tersebut melabuhkan punggung di sebelah Dya.
“Awak ni sangat lain dari semua orang.”
Dya toleh ke kiri. Pandangannya bertembung lagi dengan mata coklat lelaki tersebut. Buat seketika dia bagai terpukau.
“Saya Zarif, sekolah SSD1. Awak Ardyana kan?”
Zarif? SSD1? Dya terus terkaku.
‘Mamat tu bersekolah kat sekolah yang terkenal seantero pekan ni.’ Bicara Nyza menjelma di minda. Orang yang sama ke?
“Rif! Game dah nak start.” Tiba-tiba terdengar suara jeritan memanggil lelaki tersebut. Serentak mereka berdua mengalihkan pandangan ke arah suara tersebut.
“Saya pergi dulu.” Lelaki tersebut bangkit berdiri.
“Mungkin awak tak kenal saya tapi saya sangat-sangat kenal awak. Sebab...” dia hentikan seketika bicaranya di situ.
“Awak menyebabkan organ dalaman saya terkurang satu.” Dia terus berlalu pergi meninggalkan Dya yang blur seperti orang yang kebodohan berdiri di situ.

***********

“Hoi!”
“Weh! Kau ni langsung takde adab sopan tau. Tegur orang main hoi! hoi! aje. Lempang laju laju baru tahu.” Marah sungguh Dya dengan perlakuan Nyza yang macam perempuan terlebih hormon jantan tu.
“Cerita sensasi. Aku dengar banyak mulut bercerita kau duduk rapat-rapat dengan mamat Handsome tu tadi, betul ke?”
“Mamat mana pulak ni? Dari kau start main tadi sampailah sekarang ni aku tak bergerak-gerak. Kat sinilah aku duduk.”
“Syed Zarif Hafizi...” Nyza jadi teragak-agak dengan tiba-tiba.
“Ada ke dia datang duduk sebelah kau ke tadi, sebelum game mula?”
“Tadi....” Dya mati kata. Itu ke Syed Zarif Hafizi?
“Jadi, betullah!!” Nyza sudah terjerit. Dia pula yang terlebih teruja.
Belum sempat Dya membuka mulut, tiba-tiba ada beberapa orang perempuan datang berdiri di depan mereka yang sedang duduk di tepi padang permainan yang luas itu.
“Oooo.. inilah rupanya Ardyana?” salah seorang dari mereka bersuara. Tangannya bercekak pinggang dan bibirnya mencebik menyampah. Wajahnya nampak kemerahan, mungkin baru lepas bermain kerana dia memakai jersi sekolah.
“Kalau setakat muka macam ni, tak usahlah nak bermimpi untuk rapat dengan boyfriend aku. Usahkan nak duduk atau berdiri sama tinggi, jadi alas kaki Zarif pun belum tentu layak.” Usai mengeluarkan kata-kata penghinaan tersebut, dia terus berlalu dan beberapa orang ‘ekornya’ juga ikut sama melangkah pergi.
Sekali lagi Dya seperti orang kebodohan. Tak tahu hujung pangkal tiba-tiba diserang dengan panah beracun.

*************

Masa berlalu dan semuanya bagai dibawa mengikut peredarannya. Sehabis peperiksaan SPM, tibalah hari perpisahan. Sangka Dya, semua yang pernah berlaku itu hanyalah sebuah mimpi yang tidak akan berulang kembali tetapi sangkaannya meleset. Di hari terakhir persekolahan, dia didatangi seorang lelaki yang menitipkannya sepucuk surat. Dengan wajah yang blur, jemari Dya perlahan-lahan membuka sampul surat tersebut.

Suatu pagi yang indah, saya tiba-tiba ternampak seorang gadis berbaju sekolah sedang melangkah perlahan sambil menundukkan wajah. Dia hanya sendirian. Langkahnya cukup teratur dan wajahnya hanya menekur bumi. Saat itu, saya teringat kata-kata mama, ‘perempuan yang baik, apabila berjalan wajahnya sentiasa tunduk ke bawah.’ Jadi, hati saya terus terdetik bahawa gadis tersebut pastilah perempuan baik-baik. Sejak hari itu, saya tercari-cari siapa sebenarnya gadis itu. Sejak hari itu juga, hati saya seperti tidak mahu duduk diam di tempatnya, asyik melangkah keluar mencari sang gadis.

Kali kedua melihat gadis yang sama, dia kelihatan duduk sendirian di tepi padang sambil menonton perlawanan hoki. Di tengah jerit pekik penonton, dia hanya diam memeluk lutut. Saat itu, saya yakin dengan kata-kata mama, gadis baik-baik tidak akan mendedahkan auratnya sesuka hati dan bagi seorang wanita, suara itu juga adalah aurat yang perlu dijaga.
Jiwa saya tiba-tiba meronta untuk menghampirinya. Ternyata, masa amat cemburu kerana hanya seketika saya sempat berbicara dengannya. Serasa, itulah kenangan paling manis pernah berlaku sepanjang saya hidup di muka bumi ini dan saya tidak ingin kemanisan itu hilang begitu saja.

Rasanya saya tidak perlu jelaskan siapa gadis yang saya sebut itu kerana awak pastinya telah tahu. Kerana gadis tersebut telah menyebabkan hati saya tidak ingin kembali ke tempat asalnya dan kerana gadis tersebut adalah awak, saya berharap awak sudi menjaga hati saya sebagaimana awak menjaga hati sendiri.

Saya akan pergi untuk memenuhi ilmu di dada tetapi perginya saya bukan untuk tidak kembali ke sini lagi. Apabila saya kembali nanti, saya akan menuntut sebuah jawapan. Ya atau tidak.....

Zarif Hafizi...

Syahdu, terasa dua titis air mata gugur membasahi surat penuh simbolik tersebut. Saat itu, Dya tahu di hatinya telah melekat sekeping lagi hati empunya Zarif Hafizi.
‘Zarif... walau seribu tahun masa yang kau ambil, aku akan setia menunggu di sini. Tidak perlu menunggu suatu hari nanti untuk menuntut sebuah jawapan kerana hari ini pun hati ini sudah berkata ya.’

********

“Sampai bila kau nak tunggu?”
“Sampai bila-bila Nyza.”
“Kalau dia tak kembali?”
“Dia akan kembali, aku yakin dengan suara hati sendiri.” Dya menunduk. Sebenarnya, keyakinan dia sudah tinggal sisa-sisa.
“Aku tak fahamlah! Tak pernah bercinta, tak pernah berjumpa, tup tup kau kata kau tunggu Zarif. Kau jangan terasa kalau aku kata kau ni dah gila.”
Dya senyum sambil menyimpan hiba. Memang dia sudah gila. Sesiapa yang tahu kisah ini juga pasti akan kata dia gila. Tak pernah bercinta, tak pernah bertemu dan tak pernah berhubung walau sebaris ayat dalam tempoh selama lebih sepuluh tahun, dia masih mengharap Zarif akan pulang menuntut jawapan yang telah lama dia simpan. Tanpa apa-apa tali ikatan, Cuma berpegang pada sepucuk surat yang tertulis nama lelaki itu. Ah! Gila sungguh.
“Ibu kau pun dah sibuk tanya aku sama ada kau pernah kecewa bercinta ke sebelum ni.” Tambah Nyza lagi.
Ya! Bukan hanya Nyza yang bising dan bimbang tetapi keluarga dia juga. Apa tidaknya, sudah berpuluh rombongan peminangan yang datang tetapi dia terus menolak mentah mentah tanpa alasan.


*******

“Aku dengar dia sudah kembali.”
Wajah Nyza terus dicari oleh sepasang mata Dya
“Dia sudah jadi doktor pakar di Hospital Kuantan. Tapi...” Nyza matikan bicaranya di situ. Wajah Dya dipandang penuh simpati.
“Tapi apa Nyza?”
“Khabarnya dia dah bertunang dan akan berkahwin dengan Asyikin, perempuan yang pernah hina kau dulu atau lebih tepat lagi kekasih dia masa sekolah dulu.”
Patah seribu. Itulah yang terjadi pada hati Dya saat mendengar perkhabaran yang disampaikan Nyza. Sungguh.... dia tidak menyangka penantiannya selama lebih sepuluh tahun hanyalah satu kerja yang sia-sia. Sejak habis sekolah hinggalah ke universiti dan kini sudah bekerja, tidak ada yang lain di hatinya kecuali lelaki itu. Walau tanpa sebaris berita, dia tetap menunggu dan menunggu.
“Kau lupakanlah dia Dya. Kita ni hanya pipit, tak sepadan untuk terbang bersama enggang.”
“Aku tahu Nyza. Aku sedar tentang itu.” Balas Dya perlahan. Dia jadi sedar diri. Ya! Dia hanya orang biasa-biasa, mana boleh duduk atau berdiri sama tinggi dengan golongan bertaraf syed seperti Zarif itu.
Tapi, bisakah dia tanpa menyebut nama Zarif sedang selama berpuluh tahun ini, nama itulah yang menemani hari-harinya? Aneh sungguh rasa cinta itu.


************


Jasadnya masih bernyawa tetapi jiwanya seperti sudah mati. Hidupnya hanyalah untuk memenuhi tuntutan putaran alam.
“Dya... ibu nak ingatkan, pihak lelaki dah tetapkan tarikhnya bulan depan. Mereka nak buat majlis tunang dan akad nikah serentak. Majlis sandingnya seminggu selepas itu.” Beritahu ibu suata petang ketika dia pulang ke kampung.
Dya hanya mampu melepaskan nafas panjang. Apa lagi yang boleh dia lakukan kerana dia sendiri yang menyerahkan segalanya pada ibu dan ayah.
‘Bu, lepas ni kalau ada sesiapa masuk meminang Dya ibu terima aje. Dya tak nak tahu siapa dan bagaimana. Cuma beritahu Dya bila tarikh tunang dan nikahnya saja.’ Itulah pesanan Dya setelah dia berfikir secara rasional. Tak guna menunggu bulan bergolek jatuh kerana hakikatnya bulan tak mungkin akan bergerak gugur ke bumi.
Petang yang sama juga, ketika Dya sedang duduk di pangkin depan rumah ibu, kelihatan sebuah kereta BMW X6 berhenti di laman rumah. Keluar dari kereta tersebut ialah lelaki yang amat dia kenali. Walau hanya sekali bertemu dalam tempoh sepanjang hayatnya di muka bumi ini, mata dan mindanya tidak pernah lupa akan seraut wajah itu.
Makin segak dengan kematangan yang kian terserlah, itu yang dia nampak pada lelaki tersebut. Kelmarin dan hari-hari yang lepas dia sangat-sangat mengharapkan kehadiran lelaki tersebut tetapi tidak lagi untuk hari ini.
“Dya....”
“Kenapa datang?”
“Nak jumpa awak.”
“Baliklah!”
“Tapi kenapa?”
Soalan tersebut tidak dijawab. DYa terus bangkit untuk beredar.
“Dya...”
“Balikkk!!!!” Dya terus menjerit kuat. Zarif jadi kaku dan tergamam.
“Dan.... jangan sesekali berani tunjukkan muka awak pada saya lagi.” Dya terus melangkah
“Oh ya!” langkahnya terhenti di muka pintu rumah.
“Sebelum awak pergi, tolong ambil kembali organ dalaman yang awak tumpangkan pada saya kerana ruangnya sudah terlalu sempit untuk menyimpan sesuatu yang tidak berharga.”
Langkah diteruskan bersama dua titis air mata merentasi pipi.


************

“Ibu tak tahu apa yang berlaku antara kamu berdua. Ibu cuma ikut cakap Dya supaya terima saja sesiapa yang masuk meminang.”
Zarif pandang Dya yang dari tadi hanya memandang jemari sendiri. Di ruang tamu rumah keluarga Dya dan bersaksikan ibu kandung Dya, dia inginkan penjelasan dan ingin menjelaskan segalanya.
“Masa rombongan tu saya tak datang tapi mama kata semuanya berjalan lancar. Majlisnya bulan depan dan saya datang ni nak minta izin untuk ajak Dya pilih cincin.”
“Saya tak nak!” Dya terus bangkit berdiri.
“Biar saya habis bercakap dulu Dya.” Zarif memintas.
“Makcik, saya sangat-sangat menyintai anak makcik sejak dulu hinggalah sekarang dan insyaalah rasa itu takkan berubah sampai bila-bila. Dari mula-mula saya kenal dia, saya hanya inginkan dia untuk menemani hidup saya. Dialah cinta pertama dan terakhir saya. Cuma mungkin sebelum ini takdir bagai tidak memihak kepada saya kerana percaturan keluarga. Sebab itu saya hanya berdiam diri dan tidak berani mengikat janji lebih awal kerana bimbang akan melukakan hati anak makcik. Tetapi sekarang, saya sudah berjaya menyelesaikan semuanya dan sekarang, saya hanya ingin hidup bersama Dya.”
Zarif berhenti seketika dan Dya sudah seperti kekurangan udara untuk menarik nafas.
“Makcik tolong izinkan saya menjaga anak makcik untuk sepanjang hayat yang tuhan berikan. Saya tak punya apa-apa untuk dicagarkan. Yang saya ada hanyalah sekeping hati dan sebuah cinta. Itu pun kalau anak makcik sudi menerimanya.”
Air jernih tiba-tiba bergenang di tubir mata Dya. Kalaulah dia lupa halal dan haram, pasti dia sudah berlari memeluk tubuh tegap lelaki tersebut. Sungguh.... dia hanya ingin Zarif menjadi teman hidupnya kerana tanpa Zarif dia seperti manusia tanpa cinta.

*******

Hanya sekali lafaz, dia sudah sah bergelar isteri kepada Syed Zarif Hafizi Hanafi. Pada majlis yang serba ringkas itu, Asyikin muncul dengan wajah bengis bak singa baru melahirkan anak.
“Kau jangan ingat kau telah berjaya bila Zarif memilih kau. Aku akan pastikan rumah tangga kau tak aman dan takkan bahagia. Kau rampas dia dari aku dan aku pasti akan merampasnya kembali!” itulah amaran yang dilontarkan Asyikin pada majlis tersebut. Ketika itu dia hanya sendirian tanpa Zarif di sisi kerana suaminya itu meminta diri seketika untuk ke tandas.
Dia percaya, bahagia itu manis dan untuk mendapatkan kemanisan itu, dia perlu telebih dahulu menelan kepahitan.
“Kenapa termenung kat sini ni, mmmm?”
Terasa tangan Zarif sudah melingkar di pinggangnya. Hangat nafas Zarif menampar cuping telinganya membuatkan Dya menggeliat kegelian.
Badan Dya dipusing mengadap ke arahnya. Buat seketika mata mereka saling bertatapan menyesuaikan rentak irama yang sedang bergendang di hati.
Gerak perlahan, wajah Zarif makin mendekat ke wajah Dya. Tanpa suara, bibir mereka bertaut lama, melepaskan rindu yang dipendam lebih sepuluh tahun lamanya.
Sungguh... kalau masa mampu dihentikan, dia ingin sekali menghentikan masa yang berdetik itu buat selamanya. Biar rasa bahagia itu terus kekal menjadi miliknya. Benarlah kata orang, kita harus menelan pahitnya pengorbanan kerana bahagia itu sangat manis.
“Abang dah lama geram dengan bibir awak ni.” Bisik Zarif perlahan selepas terlerai rindu dendam.
Dya hanya menunduk malu. Segan dengan sifat terus terang Zarif.
“Jom!”
“Pergi mana?”
“Tidur.”
“Hah!” Dya pandang jam di dinding. Baru pukul 6.00 petang. Pandangannya beralih pada Zarif.
“Jam tu silap ke?” Dya bertanya blur dan Zarif terus menghamburkan tawa.
“Gurau sikit dah sentap.” Hidung Dya dicuit.
“Turun bawahlah sayang. Mama dengan papa dah nak gerak balik.”
“Oooo...” Dya lepaskan nafas lega.
Zarif senyum.
“Tak payah nak lepaskan nafas panjang macam tu. Malam nanti tak ada excuse yer.”
Langkah Dya terus mati tetapi bibir Zarif mula tersenyum nakal. Matanya dikenyitkan sebelum menarik tangan Dya untuk keluar.


***********


Sedar pagi itu, benda pertama yang dilihat Dya ketika membuka mata ialah wajah kacak Zarif yang tersenyum lawa. Entah bila masanya Zarif bangkit, sedar saja dia lihat suaminya itu sedang baring mengereng ke arahnya dengan tangan bertongkat siku memanggung kepala.
“Assalamualaikum sayang...”
“Waalaikumssalam... nape tak kejut saya? Dah pukul berapa ni?
“Awal lagi, baru pukul 5.20.”
“Kenapa bangkit awal sangat?”
“Saja nak tengok isteri abang waktu tidur. Cantik sangat!”
“Mmmm....” mata Dya kembali tertutup. Sebenarnya dia masih terlalu mengantuk dan apa yang keluar dari bibir Zarif hanya sempat menyapa telinganya, tidak sampai ke otak untuk dicernakan.
“Suara awak yang begini seksi sungguh, buat abang tergoda.
Mata Dya kembali terbuka mendengar bisikan Zarif. Waktu itu, wajah Zarif sudah mengampiri wajahnya. Belum sempat berbuat apa-apa, tubuhnya sudah ditarik dan dipeluk erat.
“Nak bangkit untuk subuh awal lagi. Izinkan abang yer...”
Zarif meminta izin. Aduhhh....mata yang mengantuk tadi terus jadi segar bugar.


********

Keluar dari bilik air, Dya hanya bertuala. Rasanya tidaklah seseksi mana sebab tualanya besar dan labuh hingga ke buku lali. Kepalanya juga berbalut tuala.
Zarif yang sedang leka dengan IPad di tangan menjeling sekilas melihat isterinya. Sekali tengok terasa tidak puas, matanya terpanggil untuk melihat kali kedua. Tak mengapa, sesuatu yang halal dan boleh dilihat walau untuk berapa kali yang dia mahu.
Saat itu, terdetik idea nakal di kepalanya untuk mengusik isterinya.
“Sayang, sini kejap.”
Tanpa banyak soal dan tidak mengesyaki apa-apa, Dya terus melangkah ke arah Zarif yang seperti ingin menunjukkan sesuatu di IPadnya.
Baru saja dia menunduk untuk melihat apa yang sedang suaminya lihat, tangan Zarif terus menarik tuala yang melilit di dadanya.
“Auuuwwww!!!!” Kuat jeritan Dya menggamatkan suasana bilik. Nasib baik tidak terlucut terus, sempat lagi jemarinya menahan tuala dari melurut jatuh.
“Abang!!!!!” Dya terjerit-jerit lagi apabila Zarif sekali lagi menarik-narik tuala yang dipegangnya.
Dya berlari anak sementara Zarif sudah mengejarnya dari belakang. Baru sekali pusing mengelilingi katil kedengaran pintu bilik diketuk kuat.
“Zarif!!! Dya!!!!” suara mama menjerit di luar bilik. Mereka saling berpandangan.
“Kenapa Dya terjerit-jerit?” soalan mamanya terus menerjah sebaik Zarif membuka pintu. Dya pula bersembunyi di belakangnya.
“Errrkkk...tak ada apa-apa ma. Kami gurau-gurau jer.” Zarif teragak-agak.
“Isk! Gurau macam budak bawah umur. Satu taman perumahan pun boleh dengar suara kamu berdua.” Mama terus berlalu.
Sekali lagi mereka saling berpandangan menekup mulup menahan gelak.
“Awak la ni, suara kalahkan pontianak terkejut.”
“Eh! Abang tu yang suka kacau saya.”
“Habis, kalau tak kacau isteri sendiri, nak kacau siapa.”
Tubuh Dya yang masih berbalut tuala di paut rapat. Entah kenapa, berada di satu ruang yang sama dengan isterinya itu buatkan gelora di jiwanya sentiasa berombak dan bekocak. Kalau boleh, dia ingin Dya terus berada di dalam pelukannya sampai bila-bila.


P/S : Pengalam hidup seseorang tetiba datang menjamah minda tatkala Mizan Osman menyeru Idea. Jadi, aku garapkan sebuah cerita pendek ini untuk tatapan pembaca yang rindukan Dya dan Dr Zarif kerana kisah mereka sebenarnya banyak cerita benar yang aku kumpul dan cantum menjadi sebuah naskah. Harap terhibur.