FOLLOWERS

Prolog CBM & CDH

** Seperti yang aku janjikan, ini prolog untuk CBM dan CDH. Kalau nak tahu CDH tu apa, boleh jenguk tajuk kat sebelah kiri ni. Nak tahu gak, mana satu yang dapat undian lebih tinggi. Nak tahu gak, mana satu yang ramai orang nak baca dulu.**



Prolog - CBM


Lambat! Aku memang betul-betul dah terlambat untuk ke dewan kuliah pagi itu. Semuanya gara-gara Adora yang mengajak bersembang hingga ke dinihari. Sudahnya, terlajak tidur sampai subuh pun dah jadi subuh gajah. Tak guna punya housemate!

Dari pintu apartment, aku berlari anak menuju ke lif. Harap-harap tak perlu tunggu lama. Lif ni pun kadang-kadang buat hal juga. Sepuluh kali tekan butang turun pun tak juga berhenti. Silap-silap kena naik dulu ke atas hingga tingkat sembilan belas sebelum turun semula ke lobi.

Nasib baiklah hari ini tidak bermasalah. Sebaik tiba di depan lif, pintu terus saja terbuka. Namun, apabila melihat hanya seorang lelaki yang berada di dalam lif tersebut, aku jadi ragu-ragu untuk masuk.

'Duduk di negara orang ni, kena sentiasa berhati-hati. Lebih-lebih lagi, kita ni perempuan. Jangan mudah terpedaya. Kalau boleh, cuba elakkan berjalan sendirian. Orang lelaki ni, bukan kira tempat. Kekadang tu, dalam lif pun mereka boleh ambil kesempatan.' omelan Adora terus saja menerjah masuk ke mindaku menjadikan aku terus memaku kaki di situ.

Lelaki yang di dalam lif tersebut memandangku dengan kening berkerut. Tangannya tidak lepas dari menekan butang agar lif tersebut terus terbuka. Melihatkan renungan matanya, aku jadi gelabah tiba-tiba. Belum sempat akalku berfikir, kakiku terlebih dahulu bergerak pantas melangkah masuk.

Sebaik dua tapak kakiku berada di dalam lif tersebut, pintu terus tertutup. Cepat-cepat aku bergerak ke arah penjuru sebelah kiri.

Sekilas aku menjeling ke arah penjuru kanan di mana berdirinya lelaki tersebut. Saat mata kami saling bertaut, hatiku bagai disambar pancaran kilat. Ada getaran muncul di situ.

Kacak! Walau pun tanpa senyuman, hanya sebelah kening terangkat memandangku, sudah cukup untuk membuatkan seluruh wilayah hatiku jadi kucar kacir tidak menentu.

Pun begitu, debaran itu jadi bercampur aduk dengan rasa takut tatkala aku perasan dia berterusan memandangku.

"Ooo.. Mak kau mampus!." Spontan aku melatah kerana terkejut apabila lif yang bergerak turun tiba-tiba terhenti di tingkat empat dan suasana menjadi gelap.

"Isk!..Eee... Hantu betullah lif ni," Spontan juga bibirku membebel sendiri, seolah hanya aku saja yang berada di ruang tersebut.

Gelap suasananya makin membuatkan aku naik seram. Telefon bimbit di tangan aku tekan-tekan agar cahayanya dapat membantu kornea mataku untuk melihat sebarang gerakan.

Dari samar cahaya tersebut, aku perasan lelaki yang sedang berdiri di hujung sana sedang tersenyum sendiri.

"Eh! Tak siuman ke dalam darurat macam ni pun nak senyum-senyum." Aku mengomel perlahan tetapi rasanya masih mampu di dengar oleh lelaki tersebut.

Ah! peduli apa. Dia mesti tak faham apa aku cakap. Di sini bukannya Malaysia tapi United Kindom. Tengok muka dan ketinggiannya macam bukan orang Malaysia, ada sikit iras-iras pelakon korea yang selalu Adora tonton tetapi aku tak tahu namanya.

"Kalau I kata ya, memang I tak siuman, maksudnya sekarang I boleh peluk you lah kan?" dia bersuara tiba-tiba saat aku sedang mengumpat di dalam hati tentang dirinya.

Terkejut! jantungku bagai ingin melompat keluar saat itu juga. Mataku terus membulat memandangnya dan kakiku terus berundur ke belakang sehingga rapat ke dinding lif.

Dia faham bahasa melayu? Mungkinkah dia juga rakyat malaysia? Atau dari negara asia yang faham dan boleh bercakap melayu?

"Sebabnya, orang tak siuman tu boleh buat apa yang dia suka dan sekarang ni, I suka jer nak peluk you." dia mara selangkah merapatiku. Saat itu, lututku sudah menggigil ketakutan.

"You jangan nak buat kerja gila!" bentakku, cuba berlagak berani walau hakikatnya aku sedang ketakutan.

"Bukan ke gila dengan tak siuman tu maksudnya sama?" dia tergelak perlahan.

"You!...." bicaraku mati di situ apabila pintu lif terbuka tiba-tiba.

Tanpa bertangguh, aku terus membuka langkah yang panjang untuk keluar dari ruang tersebut. Kalaulah boleh melompat seperti acara lompat jauh, memang aku sudah melompat sejauh mungkin agar aku tidak lagi perlu melihat kelibat lelaki 'tak siuman' yang masih berdiri tegak di situ. Betul-betul buat aku sentap!




Prolog CDH




Lama Hareez duduk di situ, menyaksikan ombak yang begitu setia memukul pantai. Kalaulah ombak itu mampu membawa semua kesakitan yang sedang bermukim di hatinya pergi jauh ke tengah lautan, dia sanggup untuk terus duduk di situ sehingga semuanya dibawa pergi.

Sangkanya, dia boleh melupakan semuanya dan ketenangan akan ditemui di sini tetapi perkiraannya nyata silap sama sekali. Usahkan sebuah ketenangan, hatinya sendiri yang telah hilang itu pun tidak mampu dia cari.

“I minta maaf Reez. Keputusan ini I ambil bukan kerana marah tapi kerana cinta. Ya! I memang cintakan Zhafran, sejak dulu hinggalah ke saat ini dan insyaalah, kalau you tanya soalan yang sama selepas seribu tahun akan datang, jawapannya tetap sama, I tetap cintakan Zhafran.” Itulah pengakuan Lya yang telah berjaya merobek kejam sekeping hatinya.

Sudah puas dia memujuk, sudah puas dia berharap dan sudah puas juga dia berdoa tetapi Lya tetap jua memilih Zhafran. Dia terfikir sendiri, mungkinkah hatinya tidak cukup ikhlas sewaktu memanjat doa atau mungkin juga dia tidak cukup baik untuk TUHAN memakbulkan doanya? Tetapi, dia ingin sentiasa bersangka baik terhadap YANG ESA. Siapa tahu kalau doa-doanya sedang dikumpul dan akan dimakbulkan diakhirat nanti? Mana tahu, pasangannya di syurga kelak adalah bidadari yang lebih hebat dari Lya?

Tidak! Hatinya pantas membantah. Bariskanlah seribu bidadari di depan matanya, Lya juga akan tetap menjadi pilihan hatinya.

Ah! dia mengeluh lagi buat kesekian kalinya dan rasa sakit itu datang lagi mendera hatinya. Hari ini adalah hari di mana Lya akan sah menjadi milik Zhafran, adiknya sendiri dan sekaligus menutup terus peluang dia untuk memiliki Lya. Lantaran itu, dia menjadikan alasan kerja untuk lari ke bumi Kuantan dan saat ini, dia hanya duduk termenung di pantai Cherating menyaksikan ombak biru mencipta buih di tepi pantainya.

“Bang, aku tak nak bermusuh dengan kau hanya kerana seorang perempuan.” Bicara Zhafran beberapa hari yang lepas berlegar di kepalanya.

“Bercerita tentang Lya, semua perkara sudah tidak penting buat aku.” Hanya itu yang keluar dari bibirnya sebelum dia meninggalkan Zhafran yang terlopong memandang langkahnya.

Bagaimana dia ingin memujuk hati sendiri agar melepaskan Lya tanpa sebarang bantahan? Bagaimana dia ingin menanam rasa tidak sukanya pada Lya sedang dari sudut mana sekalipun, hatinya tetap menyukai Lya.

Sungguh.... dia sendiri tidak mengerti bagaimana Lya itu begitu mudah masuk ke hatinya dan mencipta satu rasa indah yang tidak pernah dia rasai selama ini. Bukan dia tidak pernah bercinta malah pernah juga berkahwin dengan wanita pilihan hatinya. Tetapi, semua itu tidak sama dengan apa yang dia rasai tatkala mengenali Lya. Bukan juga dia tidak pernah kecewa malah lebih teruk apabila isterinya berlaku curang tetapi yang peliknya, kesakitan yang dia rasa tidaklah sesakit saat Lya membuat keputusan untuk mengahwini Zhafran.

Pada dasarnya, Lya itu bukanlah perempuan yang boleh dikategorikan sebagai cantik bergaya seperti bekas isterinya tetapi cantiknya Lya itu adalah pada hati dan tingkahnya. Dia memang nampak kasar tapi dalam kasarnya ada kelembutan yang tersendiri. Dia spontan dalam berbicara tapi ada kejujuran dari hatinya. Yang paling penting, makin dipandang makin terserlah kecantikannya.

‘Oh! Aku boleh jadi gila kalau berterusan begini’, Hareez menjerit sendiri tetapi jeritan itu hanya terdengar di sudut paling dalam di hatinya.




Fiesta Buku Karangkraf 2-4 Desember 2011



Okey, ini cerita tentang Fiesta Buku.

Karangkraf akan mengadakan fiesta buku bertempat di perkarangan karangkraf Shah Alam bermula dari 2 Dec hingg 4 dec ni.

Aku akan berada di sana pada 3 dec (Sabtu) dari pukul 2 petang hingga 5 petang.

So, datanglah beramai-ramai untuk memeriahkan Fiesta tersebut dan bolehlah kita beramah mesra.


Untuk pembaca yang membeli HKC pada hari tersebut, aku ada cenderahati istimewa. Siapa yang nak, datang cepat. Siapa cepat dia dapat sebab tak banyak yer.

Sembang-Sembang Buku





Bercerita tentang 4 buku di atas, saya sebagai penulis punya kenangan tersendiri dalam meloretkan setiap satu ceritanya.

Ada banyak part dan ayat-ayat simbolik yang saya cipta dan saya ingat sampai saat ini. Anda pula bagaimana? Di antara 4 naskah di atas, mana yang paling menyentuh hati anda? Apa ayat, madah atau dialog yang anda ingat tatkala menatap gambar covernya? Boleh tak berikan pandangan anda...

Contoh : Kata seseorang yang membaca HKC, page 61... 'Mungkin aku ini bukan perempuan baik-baik maka, TUHAN letakkan setebal-tebal tirai untuk memisahkan hati kami kerana... lelaki yang baik itu, hanya untuk perempuan yang baik-baik.'

HKC - Jangan Pernah Berubah

Sesiapa yang dah terima atau dah beli HKC, Bacalah sambil dengar lagu Jangan Pernah Berubah dan bayangkan Zhafran yang tengah sasau mencari Lya....huhuhu.



Biarkan waktu teruslah berputar
Mencintai kamu penuh rasa sabar
Meski sakit hati ini kau tinggalkan
ku ikhlas tuk bertahan

Cintaku padamu begitu besar
Namun kau tak pernah bisa merasakan
Meski sakit hati ini kau tinggal
Ku ikhlas tuk bertahan

Kau meninggalkanku tanpa perasaan
Daku jatuhkan air mata
Kekecewaanku sungguh tak berarah
biarkanku harus bertahan

Jangan pernah kau cuba untuk berubah
Tak relakan yang indah hilanglah sudah
Jangan pernah kau cuba untuk berubah
Tak relakan yang indah hilanglah sudah



HKC - Sudah dipasaran


Tak terkata... itulah yang aku rasa bila melihat dan menyentuh HKC. Covernya ada kelainan, gambar jeans tu kasar dan timbul, terasa seperti kita sentuh seluar jeans..

HKC dah pun berada di pasaran tapi ramai lagi yang komen kata susah nak cari. Takpe, sabar jer.. mungkin minggu depan akan sampai ke tempat anda.

Tapi ada ramai gak yang terus order melalui pos dan dengan rasa separuh malas, aku rajinkan juga diri untuk lakukan kerja-kerja pengeposan walaupun tersangatlah sibuk.


Yang order melalui pos terus dari aku. Ada yang dah terima. Siapakah yang terawal dapat pegang dan baca HKC? Siapa pula yang akan jadi orang pertama bagi komen tentang HKC?


Ni yang belum berbungkus. Ada juga yang order sekali dengan MB dan juga BK.


Gambar ni pula aku amik hari ni untuk promosi di sinar harian. Ramai yang tanya kenapa Mengukir Bahagia takde. Masa ni aku kat pejabat, stock MB tu takde tapi mereka (sinar harian) nak gambar cepat(jam tu call, jam tu juga suh email gambar terbaru)

Berkisah Tentang HKC

Sejak cover dan blurb HKC dipaparkan, ramai yang tanya

"Sebenarnya Lya tu pilih siapa erk? Zhafran atau Hareez?"

Aku tak jawab apa-apa, cuma senyum saja. Tunggulah, baca sendiri nanti.

Sebenarnya, bukan Lya yang memilih tetapi takdir yang telah menetapkan pilihannya macam ayat terakhir dalam blurb tu...

'Kadangkala, kuasa memilih bukan di tangan kita tetapi tidak semestinya kita harus mati saat takdir menetapkan pilihannya.'


Lya & Hareez....
**************
“I tanya you,” tekan Hareez, mencerlung pandangannya ke arahku.

“Kalau I kata tak, you boleh percaya ke? Atau kalau I kata ya, you nak buat apa?” aku mula bosan dengan tekanan darinya.

“Jawab soalan I Lya.” Dia tidak berpuas hati. Reaksinya seolah dia mempercayai setiap apa yang dikatakan sahabatnya itu.

“Apa gunanya jawapan I kalau rasa percaya you sudah tidak ada untuk I. Sebab… kalau you percaya I, you takkan tanya soalan bodoh tu.” Suaraku sudah sedikit meninggi. Hatiku tiba-tiba jadi sakit bak dihunus pedang samurai.

“I tak nak sesuatu yang tak sempurna.” Balasnya.

“Then, Kalau you rasa I ni tak sempurna, just leave me. I pun takkan mati kalau tak kahwin dengan you.” Aku pantas bangkit berdiri dengan kasar.

“Lya… I tanya you cara yang elok, kenapa you nak marah begini?” dia seperti terkejut melihat reaksiku.

“Kalau kesempurnaan yang you cari, I memang tak sempurna.” Suaraku kembali merendah.

Ya! Aku memang tidak sempurna dan aku tidak pernah mengharapkan kesempurnaan darinya kerana aku tahu setiap makhluk yang diciptakan Tuhan itu memang tidak sempurna.



Lya & Zhafran
*************
“Kenapa?” soal Zhafran setelah melihat tangisanku sedikit reda.

“Tak ada apa-apa. Saja aku nak menangis.” Ujarku sambil mengesat sisa air mata yang melekat di pipi. Sebuah senyuman tanpa perisa aku hulurkan padanya.

“Lya….” Dia duduk di sebelahku.

“Aku tahu ada sesuatu yang mengusik hati kau. Aku ingin sangat peluk kau dan mententeramkam hati kau tapi hukum tidak membenarkan. Sebab itu, aku minta sangat kau bersetuju agar kita boleh halalkan apa yang haram itu. Agar aku boleh sentiasa melindungi kau dan membahagiakan kau.” Ucapannya meresap masuk terus ke hati mengundang air mataku jatuh lagi menyentuh pipi.

Alangkah bagusnya kalau aku mampu lakukan. Alangkah bagusnya kalau…. Ah! usah diceritakan tentang ‘kalau’ kerana ianya akan menyakitkan hati sendiri.

“Tak apalah Zhaf. Yang haram tu biarlah tetap menjadi haram. Mungkin itu yang terbaik antara kita,”putusku akhirnya.
Dia menarik nafas panjang. Entahkan sudah berputus harap. Sejak akhir-akhir ini, dia sudah jarang mencariku dan tidak lagi mendesak.

“Boleh tak kau bawa aku jalan-jalan tanpa bercakap apa-apa tentang hati dan perasaan?” pintaku, menoleh ke arahnya yang duduk di sebelahku.

“Sekarang?” soalnya, inginkan kepastian.

Aku mengangguk perlahan.

“Tapi, kalau kau ada hal lain aku tak paksa.”

“Untuk kau, aku sanggup ke tepikan semua perkara.” Dia senyum dan senyuman itu aku rakamkan untuk dilekatkan ke dinding hati. Sebenarnya, setiap senyuman yang dia ukirkan padaku punya nilai yang cukup tinggi.