FOLLOWERS

SELIMUT MALAM bab 5

SEDANG sibuk dengan sesi lawatan outlet baru di IOI City Mall, iPhonenya bergegar. Panggilan dari Haidar. Pantas Dania melarikan diri keluar dari ‘rombongan lawatan’ mencari sudut yang agak terpencil.

        “You kat mana?” Terus diterjah soalan sebaik panggilan dijawab.
        Haih! teringat lagu Taufik Batisah – Awak Kat Mana yang dia bincang dengan Hijaz di dalam kereta tadi. Terus bibir Dania menarik senyum.

        “IOI City.”
        “Buat apa?” Soalan Haidar kali ini memang buat Dania rasa nak ketuk kepala orang.
        “Haidar... sekarang kan waktu kerja. Haruslah buat kerja.” Dania simpan rasa geram. Kadang-kadang, dia perlu banyak mengumpul sabar bila berdepan dengan Haidar. Bukan sedikit tapi banyak sangat-sangat.

        “Kenapa tak cakap?”
        Ya Allah! Tak habis lagi ke?
        “I ingat you tahu. Kan Tan Sri dah sebut dalam meeting semalam, hari ni dia nak ke sini. Pagi tadi tak nampak you masuk office, I ingat you terus ke sini.”

        Kedengaran Haidar lepaskan keluhan di hujung sana. Entah apa yang difikirkannya. Menghilangkan diri, tak masuk office, lepas tu nak soal siasat orang pula.
        “You pergi dengan siapa? I nampak kereta you ada kat car park.”
        Kali ini, Dania terus terdiam. Nak cakap yang benar atau menipu? Kalau sebut nama Hijaz, dia pasti akan banyak lagi soalan keluar dari mulut Haidar.

        “Dania?”
        “Haidar... you datanglah. Tadi pun Tan Sri tanya kenapa you tak datang.” Dania ubah topik. Tidak mahu diasak dengan soalan yang dia ragu-ragu untuk memberi jawapan. Bukan sebab tak tahu jawapannya tapi mahu menjaga hati Haidar.
        Tengoklah, betapa kalau melibatkan soal hati, Dania masih ingin menjaganya walau hatinya remuk Haidar kerjakan.
        “You naik kereta siapa, Dania?” Makin tegas, Haidar tidak berpuas hati selagi tiada jawapan untuk soalannya. Itulah Haidar yang Dania kenal. Haidar yang akan dapatkan apa yang dimahukannya.

        “Hijaz.” Akhirnya jawapan yang benar Dania berikan. Sejak dulu, menipu dengan Haidar hanya akan membawa padah.
        Diam. Haidar terus terdiam buat beberapa ketika.
        “Kenapa tak call I? Tunggu pergi dengan I?” Tegang suara Haidar di hujung sana.
        Kan dah cakap. Sebut nama Hijaz, akan muncul banyak soalan dari bibir Haidar. Yang Dania tak tahan, soalannya cukup mudah tetapi untuk memberi jawapannya teramatlah payah.

        “Haidar... you lupa ke I tak boleh ganggu kalau you tak ada kat office? Itu syarat you Haidar, bukan syarat I.” Dania pusing alasan.
        Yang benar, dia memang sengaja tidak mahu menghubungi Haidar. Sejak Maya Laila muncul dalam hidup Haidar, dia cuba untuk menjarakkan diri dari lelaki itu. Belajar untuk sendirian sebagai persediaan.

        “Lagi pun, you tak mahu orang tahu kan? Sekarang ni ramai yang syak I ada sugar daddy sebab pakai kereta yang you bagi tu. Jangan sampai orang tahu kebenarannya.” Dania sambung alasan.
        “You tunggu sana sampai I datang.” Hanya itu, sebelum Haidar putuskan talian.
        Dania pandang skrin telefon yang sudah gelap sebelum menggeleng perlahan. Haidar dengan perangainya, dia sudah masak. Sama ada soal kerja atau pun soal peribadi, tetap begitu. Yang Haidar tahu hanyalah hatinya. Hati orang lain belakang cerita.

        Menyertai kumpulan lawatan semula, fokus Dania lari berterabur. Entahlah! Sejak dia terlibat dengan Haidar, rasa prestasi kerja menjunam jatuh. Hijaz pernah sekali menegur dan dia kena beringat supaya tidak ditegur untuk kali kedua.

        Habis sesi lawatan dan setelah Tan Sri beredar, Hijaz mengajak untuk minum. Mulanya, Dania menolak sebab takut Haidar tiba. Tapi setelah didesak, Dania ikut juga.  Tak jauh, masih dalam kompleks yang sama di Lower Ground. Sekadar minum teh.
        “Nampak dari luar kompleks macam tak ada orang. Tapi, dalamnya ramai je.” Hijaz pandang sekeliling.

        Dania turut memandang. Betul kata Hijaz. Orang merata tempat. Makan atau berjalan, shopping dan tak kurang juga yang window shopping.
        “Trip ke Milan bila?”
        “Belum confirm.” Dania picit pelipis. Banyak yang dia plan jadi tergendala. Entah apa yang disibukkan dia sendiri kurang pasti.

        “Ikut plan bila?” Hijaz bersoal lagi. Pelik melihat Dania yang sejak akhir-akhir ini macam agak slow. Selalunya aktif semacam. Kalau jam belum mencecah lapan malam, ada je di pejabat. Tapi sejak kebelakangan ini, sentiasa balik awal. Ada masalah kah dia?
        Next month.”
        ‘Tapi, macam kena tukar plan.’ Dania sambung dalam hati.

        Banyak yang telah berubah. Kalau sebelum ini dia boleh saja ke mana-mana tanpa perlu memikirkan tentang keizinan sesiapa. Setiap tahun ada saja trip company ke oversea dan  dia tak pernah ketinggalan. Sekarang ni, nak gerak ke mana pun kena beritahu dan mintak izin dulu.
        “Kalau dah confirm, please let me know. I ingat nak join tapi kena check jadual dulu.”
        Dania diam. No komen. Lagi pun, itu trip company untuk team merchandising melihat pasaran luar. He’s the boss. Haruslah boleh ikut kalau nak pergi.
        “Ehemmm...” Dehaman seseorang memanggil Dania kalihkan pandangan.
        “Eh! Haidar. Kau muncul dari mana ni? Uncle dari tadi cari kau.” Hijaz menegur. Uncle yang Hijaz maksudnya itu ialah Tan Sri Faris, papa Haidar merangkap bapa saudara Hijaz.
        Tanpa menjawab soalan, tanpa dipelawa, Haidar terus saja tarik kerusi dan duduk.
        Cantik sungguh perangai!

        Dania jeling si suami yang mencuka. Sahih mood tak berapa nak elok.
        “Aku dah call tadi.” Masih dengan wajah kelat, Haidar menjawab.
        “Minum?” Hijaz berbasa basi.
        Thanks. But, no.” Haidar angkat tangan.
        “Aku cari Dania.”

        Hijaz terus pandang Dania. Dan Dania pandang Haidar sebelum gigi dikacip tanda geram dengan sikap terus terang Haidar. Tak agak-agak sungguh!
        “Encik Haidar...”
        “I nak you ikut I jumpa seseorang.” Bicara Dania terus dipotong Haidar. Tahu yang Dania mahu membantah, Haidar terus ambil jalan pintas dan bangkit berdiri.
        Jumpa seseorang itu hanyalah cerita kosong. Yang sebenarnya, dia tidak senang bila melihat tautan mata Dania dan Hijaz. Seolah ada sesuatu yang sedang disembunyikan. Sungguh, dia tak suka.

        “Jom!” Haidar bangkit berdiri.
        Dania serba salah.
        “Nanti aku hantar dia balik ke office.” Kali ini bicara dituju pada Hijaz. Senang sungguh jadi bos, main cakap saja, orang mesti kena ikut.
        Melihat Dania yang masih teragak-agak, Haidar tunjukkan tangan isyarat ‘Ladies first’ agar Dania bangkit dan jalan dulu.

        “Jaz, thanks.” Dania tunjuk pada cawan teh di atas meja, berbasa basi sebelum bangkit berdiri. Rasa bersalah pula meninggalkan lelaki itu minum sendirian.
        Hijaz angguk.
        See you tomorrow.”
        Dania atur langkah. Haidar jalan di sebelah, senyap tanpa suara. Tatkala berdiri di escalator untuk naik ke atas, baru dia berpusing memandang orang sebelah.
        Next time kalau nak minum, jangan berdua dengan dia.” Nada arahan, Haidar mengeluarkan suara dan itulah Haidar yang Dania kenal. Arahan dan amaran, dua perkara yang sudah sebati dengan dirinya.

        Dania diam. Tidak membantah dan tidak juga bersetuju. Mengenali Haidar, kalau makin dijawab arahannya, makin banyak lagi yang akan keluar. Jalan terbaik, diam dan dengar.
        Diamnya Dania buat Haidar tak senang hati. Dia tak suka keadaan ini. Tak suka bila melihat Dania tersenyum mesra bersama Hijaz. Tak suka bila Dania seolah tidak pedulikan dirinya.

        Tapi... kenapa mesti ada rasa itu kalau dia memang sudah tahu antara dia dan Dania hanya untuk sementara waktu?
        Haidar tarik nafas. Terus melangkah memandu arah menuju ke car park. Remote ditekan dan pintu kereta untuk Dania dibuka.

        “Nak pergi mana ni?” Dania akhirnya bersuara setelah kereta bergerak keluar dari kawasan car park.
        Senyap.
        “Haidar?”
        “Tengok wayang.” Sepatah Haidar menjawab. Sebenarnya, dia pun tak tahu nak bawa Dania ke mana. Yang pasti, mahu bawa Dania jauh dari semua orang.
        “You tak takut orang nampak ke?” Dania berpusing badan menghadap si pemandu. Tak terjangka fikiran dengan jawapan Haidar.

        “Dalam panggung tu gelap, orang tak nampak.”
        “Itu I tahu, tapi luar panggung tu terang.”
        Haidar berpaling sekilas.
        “You bercakap sepatah lagi, I buat wayang dengan you tepi jalan ni.” Nada amaran Haidar berikan.
        Dania geleng kepala. Bercakap dengan Haidar memang tak pernah menang. Sudahnya dia hanya diam sehingga kereta Haidar masuk ke Alamanda.

         

SELIMUT MALAM bab 4

             
SEKEPING cek di atas meja Dania tenung lama. Travel claim bulan lepas yang baru diterimanya pagi tadi. Bukan jumlah atau nama yang tertulis menjadi tumpuan matanya saat ini tetapi tandatangan di bawahnya.
        Ya! Itu tandatangan Haidar Hakim Tan Sri Faris Qadri. Dia kenal sangat-sangat.
        Tiba-tiba, apa yang berlaku berbulan lalu meresap ke minda. Meracun ke hati. Saat di mana dia begitu tegas menolak Haidar.

        Seratus ribu yang tertulis pada sekeping cek yang dihulur Haidar yang tertulis namanya buat dia terpinga-pinga.
        Untuk apa? Wajahnya mendongak, memandang orang yang menghulurkan cek tersebut.
        Haidar Hakim, baru enam bulan dilantik menjadi orang penting di syarikat ini. Baru enam bulan mereka kenal, hanya berhubung atas dasar kerja. Tak lebih dari itu.
        Persoalannya, apa tujuan Haidar tiba-tiba berikan cek tersebut padanya? Kening diangkat sebagai isyarat bertanya.

        “Untuk I dapatkan you sebagai teman.” Tanpa senyum, Haidar ketuk-ketuk jari pada permukaan meja.
        Kali ini keningnya berkerut pula bersama isyarat reaksi agar Haidar ulang semula ayat yang disebut kerana kurang jelas. Tapi yang sebenarnya, dia seperti tidak percaya dengan apa yang didengar.

        “I want you.” Ringkas saja ayat Haidar tapi sudah mampu buat urat di kepalanya berselirat dan jaluran mindanya tersimpul. Ini pertama kali dia mendengar ayat itu keluar dari bibir Haidar.
        “I nak you.” Haidar ulang ayat yang sama tapi dalam versi yang berbeza. Apa Haidar ingat dia ini anak kambing di dalam kandang yang boleh ditunding-tunding jari untuk memilih?

        “You boleh cashkan cek tu bila-bila masa.”
        Sekali lagi dia pandang cek di atas meja. Kali ini, jari telunjuknya ditekan dan cek tersebut ditolak ke arah Haidar yang sedang duduk berpeluk tubuh di kerusi empuknya. Dia dipanggil Haidar masuk ke situ atas urusan kerja tetapi lain pula yang Haidar beri.
        Sorry encik. I tak berminat.” Dia bangkit berdiri.

        “Kerja I cari product yang sesuai untuk company pasarkan. Tapi, I tak jual orang. Atau lebih tepat lagi, I tak jual diri.” Badan berpusing dan melangkah untuk keluar.
        “Dania Iman.”
        Langkahnya terhenti.
        Beberapa detik saja, tubuh tegap Haidar sudah berdiri tegak di depannya. Berkemeja putih, lengan baju berlipat hingga ke siku menampakkan lengannya yang sasa.
        Haih! tak boleh tengok. Nanti ada rasa lain pula yang menyelinap. Pandangan terus diangkat.

        “I tukar tawaran.” Mata Haidar tepat ke matanya.
        Lama sebelum Haidar berdeham beberapa kali.
        “Jadi isteri I.”
        Dia terus hilang reaksi. Apa yang dia alami itu, macam drama melayu yang tak ada perkataan logik. Tanpa sebaris ayat cinta, tiba-tiba diajak jadi isteri.
        Dia pandang Haidar dengan mata mengecil.

        Nampak waras. Cuma tawaran Haidar saja yang tak waras. Jadinya, dia perlu buktikan pada Haidar yang dia adalah perempuan waras.
        Tapi... mengenali Haidar selama enam bulan ini, dia yakin hidupnya takkan tenang selepas ini. Jadinya, dia kena siap sedia.

        Sebabnya :
        1. Haidar jenis yang tak akan undur ke belakang. Kalau mulutnya kata nak, orang lain tak boleh kata tidak.
        2. Magnet Haidar sangat kuat menarik. Ion dalam tubuh dia memang sentiasa terpedaya.
        3. Aura Haidar sering buat dia goyah. Pertahanan yang kuat pun, kemungkinan akan terkoyak.
        4. Iman dia tak kuat mana pun. Takut nanti dia yang jatuh tersungkur di kaki Haidar.
        Okey! Dia perlu alat kalis dengar supaya suara ‘jantan’ Haidar tidak mampu masuk ke telinganya. Dia perlukan kanta 6D, supaya wajah tampan Haidar akan bertukar menjadi sebaliknya. Dan yang penting, dia perlu selimut tebal untuk mengelak godaan Haidar.

        “Tawaran tu juga I tak berminat.” Dia mengelak ke kiri dan menapak ke pintu meninggalkan Haidar yang masih berdiri tegak di situ.
        Huh! Dania lepaskan keluhan kasar. Itu cerita beberapa bulan yang lepas. Cerita di mana dia yakin Haidar takkan mampu menembusi egonya.

        Tapi cerita hari ini, dia sudah jatuh tersungkur. Cerita hari ini, dia sedang tercari-cari dahan untuk berpaut. Kerana jika dia gagal mendapat sokongan, bimbang dia tak mampu untuk bangun berdiri.

        “Dania?” Suara seseorang mengejutkan Dania dari lamunan. Pantas dia mendongak.
        Mata bertaut dengan si empunya suara. Ini bukan khayalan tapi ini kenyataan di depan mata. Sepasang mata hitam bersinar sedang merenungnya dengan pandangan redup.
        Hijaz Al-Hadi, sedang berdiri di muka pintu bilik pejabatnya. Senyum Hijaz melatari pandangan. Kacak! Ada rupa, ada kerjaya yang bagus dan yang penting ilmu agama yang tinggi.

        Tapi sayangnya, hatinya tidak mampu memilih. Yang datang secara tiba-tiba dan terus membuatkan kakinya terikat ialah Haidar, lelaki yang di dadanya hanya ada satu keinginan.
        “Jangan cakap I tak ketuk pintu. Banyak kali ketuk you tak menyahut.” Hijaz bersuara.
        Jejaka idaman Malaya yang dia kenal sejak menjejakkan kaki ke syarikat ini. Sepupu Haidar tetapi perangainya jauh berbeza dari lelaki itu. Berpangkat General Manager tetapi sangat mesra dengan pekerja bawahannya.

        Sorry... tak dengar tadi.” Dania paksa senyum sambil bangkit berdiri, menghormati ‘tetamu’ yang muncul di bilik perjabatnya.
        “Menungkan apa?” Hijaz melangkah masuk tanpa dijemput.
        Dania menggeleng dan senyum lagi. Cek di atas meja diambil dan disimpan ke dalam laci. Nanti-nantilah baru bank in.

        “Jom!” Suara mengajak tapi punggung berlabuh ke kerusi.
        Jam di tangan Dania kilas sesaat. Hari ni harus ke IOI City Mall Putrajaya. Tan Sri Faris mahu ke sana, untuk lawatan ke outlet baru.

        Carpool ke? Nanti balik...”
        “I hantar you balik.” Hijaz memintas.
        Sebenarnya, itu satu kerja gila. Dari Putrajaya nak ke pejabat semula di jalan Tun Razak memanglah satu kerja gila.  Apatah lagi rumahnya di Cheras. Tapi, demi Dania, dia sanggup saja. Hanya alasan beginilah yang membolehkan dia berduaan dengan Dania. Lainnya, Dania cukup liat.
        “Tak menyusahkan you ke?”
        Hijaz senyum.
        “I kumpul ‘susah’ tu untuk I redeem kemudian.”

        Dania kalih pandang dan pura-pura sibuk mengemas meja. Pura-pura tidak mendengar apa yang Hijaz ucapkan. Bicara Hijaz tatkala berdua begini seringkali penuh makna tersirat. Dia bukan bebal untuk menilai.

        Di mata Dania, Hijaz itu tiada cacat celanya tetapi hatinya saja yang sering main kejar-kejar lari merata tempat. Sebab itu, sepanjang bekerjasama dengan Hijaz selama tiga tahun, dia sering mengelak jika lelaki ini mula berbicara soal yang lain selain kerja.
Tapi sejak kebelakangan ini, Hijaz nampaknya makin serius dan dia jadi makin bimbang. Untuk dia, lelaki baik-baik seperti Hijaz pastilah lebih layak dengan wanita yang lebih baik dari dirinya. Lagi pun, takkan Hijaz mahu menerima ‘sisa’ sepupu sendiri?

SELIMUT MALAM bab 3

TERSEDAR dari lena, Haidar tiada di sebelah. Mata yang masih kabur Dania tenyeh perlahan sebelum bangkit.
        Pijama dilantai diambil dan disarung ke tubuh sebelum melangkah keluar bilik. Dua pagi, mana pula Haidar pergi? Takkan keluar tanpa beritahu? Hatinya tertanya sendiri.
        Melangkah keluar, rupanya si suami elok berbaring di sofa sambil tangan memicit-micit remote game X-Box.

        Dania geleng kepala. Hobi Haidar yang satu itu memang tak boleh nak cakap apa. Tapi, satu yang dia perasan, Haidar hanya akan habiskan masa dengan permainan tersebut apabila stres. Cuma sekarang ini, dia kurang pasti Haidar stres sebab apa. Adakah sebab soalan yang dia tanya tadi atau ada perkara lain?

        “Haidar...” Dania menegur. Haidar sedang leka, pastinya tidak sedar dia wujud di situ.
        Haidar toleh sekilas sebelum bangkit bertongkat siku pada hand rest sofa. Tangannya melambai mengisyaratkan Dania datang kepadanya.
        “Sini...” sebelah kakinya dijatuhkan dan meminta Dania duduk di ribaannya. Itu perkara biasa berlaku antara mereka.

        “Pukul berapa you main game ni?” Seperti biasa, Dania memang tak tahu duduk. Paha Haidar dijadikan bantal tempat dia baring. Haidar memang suka memanjakannya begitu. Dan dia akan setia menemani Haidar bermain game sampai puas.
        “Lepas you pejam mata.” Haidar menjawab sambil mata masih fokus pada skrin TV di depan. Tangan masih galak menekan remote game.

        “You streskan apa sebenarnya, Haidar?”
        Soalan yang keluar dari bibir Dania buat jemari Haidar terhenti menekan butang di remote. Matanya terus jatuh pada wajah Dania yang baring di celah pahanya.
        Nafas ditarik panjang sebelum tunduk melekatkan bibirnya di pipi si isteri. Lama. Haruman yang disedut terasa mengkhayalkan.

        Dania pusingkan wajah ke atas, setelah bibir Haidar tidak lagi melekat di pipinya. Mata Haidar ditentang.
        Tanpa amaran, sekali lagi Haidar berikan ciuman ringkas. Tapi kali ini di bibir pula. Bibir yang sering buat dia tergoda bila memandangnya.

        “You selesa dengan I?” soal Haidar nada berbisik.
        Tangan Dania terus memaut leher si suami. Bagaimana dia nak kata tak selesa sedang Haidar sediakan ruang yang luas untuk dia bersenang lenang?
        Haidar... hati Dania berbisik perlahan. Ada getaran di situ, tapi getaran sebuah perpisahan. Terasa mahu menjerit, tapi dayanya tidak ada.

        Dania lepaskan pautan dan cuba untuk bangkit.
        “Nak ke mana?” Haidar bagai tidak mahu melepaskan. Dua bulan yang indah. Sejujurnya dia tak pernah mengharap semua ini berlaku. Tapi, indahnya setiap sentuhan Dania buat dia berada di persimpangan.
        “Bilik air.” Tangan Haidar ditolak.

        Itu hanyalah alasan. Dia tidak mahu terus hanyut. Berbantalkan lengan Haidar, tidurnya memang selesa. ‘berselimutkan’ tubuh sasa Haidar, lenanya lebih selesa.
        Tetapi yang tidak selesanya ialah hati yang di dalam. Rasanya seperti sedang menunggu hukuman mati, cuma tarikhnya yang belum pasti.

        Lantas, apa yang dia suka dan selesa selama ini harus dijauhkan. Dia suka untuk sentiasa dekat dengan Haidar tetapi detik ini, dia perlu belajar untuk jauhkan diri dari lelaki ini.
        Sebelum ini, dia suka bila Haidar ingin bermesra dengannya tetapi saat ini, dia rasa seperti manusia hipokrit. Berpura-pura!

        Tidak ke bilik air sebaliknya hanya masuk ke bilik dan berdiri di tepi dinding cermin sambil menyelak sedikit langsir. Bilik mereka separuh dindingnya cermin dan boleh nampak seluruh bandar Kuala Lumpur.
        Dania tebarkan pandangan. Cahaya bergemerlapan tetapi kenapa hatinya terasa kelam? Dia dongak ke atas. Wajah Haidar memenuhi ruang mata. Pantas dia menggeleng lemah.
        Nafas ditarik panjang. Kembali mengingati sebuah permulaan. Kerana satu perkataan suka, dia buat kerja gila. Kerana satu perkataan suka, dia pilih jalan mudah untuk menyelesaikan masalah. Walau hakikatnya, dia masih ada pilihan lain untuk mengelak.
        “Menyesal?” Hati sendiri bertanya.

        Dia geleng kepala. Cumanya dia risau. Risau jika dia benar-benar tidak mampu bertahan dan jatuh tersungkur. Hubungan atas dasar saling memerlukan ini tidak dibenarkan ada rasa cinta. Itu syarat Haidar dan dia bodoh-bodoh setuju. Egonya kata dia takkan sukakan lelaki itu. Egonya kata dia boleh bertahan.

        Tapi hari ini, dia harus akui yang dia telah melanggar syarat. Dia gagal mempertahankan egonya.
        Nafas disedut. Perlahan dan panjang sekali. Tiba-tiba lengannya disentuh. Reflek dari sentuhan tersebut, dia terus berpusing.
        “Terkejut?” Haidar angkat kening.
        Dania telan liur. Macam dejavu. Episod begini pernah berlaku. Di kota London, di hari pertama dia bergelar isteri pada lelaki ini.

        “Bermula malam ini, you kena biasakan diri dengan setiap sentuhan I.” Telunjuk Haidar menyentuh lengannya yang terdedah.  Dilarikan atas dan bawah seakan menggoda.
        “Kalau yang tadi tu, namanya sentuhan menyapa.” Haidar berkata-kata lagi.
        Kemudian, jemari milik Haidar naik ke bahunya pula buatkan romanya meremang.
        “Kalau yang sekarang ni, sentuhan menduga.” Haidar senyum senget sedang dia sudah hampir kejung seluruh badan. Sarafnya bagai mengeras.

        “Kejap lagi, I akan tunjuk you sentuhan menggoda.” Senyum Haidar makin lebar.
        “Encik.....”
        “I tambah syarat.” Haidar memintas sebelum sempat dia memulakan ayat.
        Diam menanti, dia dongakkan wajah. Memandang wajah Haidar, dia mati kata. Entah kenapa, sejak kebelakangan ini, suaranya sangat takut untuk keluar tatkala berdepan dengan lelaki ini.
        Haidar bagai ada kuasa ghaib yang mampu menelan seluruh keberaniannya. Mampu melenyapkan semua sikap membantahnya.
        “Pada bila-bila masa dan di mana saja, you kena buang perkataan encik di depan nama I.” Satu arahan dari Haidar, bukan satu pertanyaan. Jadinya, pilihan lain memang tak ada untuk dia pilih.

        Haidar tiba-tiba merapat membuatkan dia terpaksa berundur ke belakang. Hanya beberapa langkah, belakangnya melekat pada dinding.
        “Haidar...” Tangannya terus melekat di dada Haidar apabila dia sudah diperangkap oleh kedua tangan lelaki itu.

        Tiba-tiba jemari Haidar melekat di pipinya buat dia sekali lagi terkejut dengan tindakan tak terjangka itu. Sejuk telapak tangan Haidar buat romanya sekali lagi meremang.
        “Jangan takut. I tak boleh telan orang.” Nada sudah berbisik tapi beriring ketawa kecil.
        Serentak itu, sekali lagi bibir Haidar singgah di pipinya sebelum turun ke leher yang terdedah.

        Oh! Jantung, sila bertahan dengan ujian ini.
        “Dania!” Namanya dipanggil. Pipinya ditepuk perlahan. Berkali-kali
        “Hey! You pandang apa?” Suara Haidar bergema buat Dania tersedar.
        Kepala ditoleh kiri dan kanan. Dia di rumah. Bukan di hotel yang Haidar tempah khas untuk perkahwinan mereka tempoh hari.

        “Dania... I baru beberapa hari tak jumpa you tapi kenapa I rasa you sangat pelik malam ni?”
        Tidak menjawab soalan Haidar, Dania rapatkan badannya ke badan sang suami. Tangan masih di sisi tetapi kepala jatuh ke bahu Haidar. Minta dipeluk sebenarnya tetapi tangan bagai tidak daya untuk diangkat.

        “Dah pukul tiga pagi Dania. Dan....”
        “I cuma nak minta peluk saja. Tak lebih dari itu.” Dania memintas. Tapi, suaranya hanya senada.
        Seperti awal tadi, Haidar hanya menurut tapi kepala digeleng perlahan. Pelik dengan perlakuan si isteri.


        Mata Dania pejam rapat. Kalau dia harus berdiri begini sampai pagi, dia sanggup jika hanya bersama Haidar. Percayalah, yang dia ada sekarang cuma alasan untuk bahagia. Selebihnya, hanya garis-garis duka.

SELIMUT MALAM bab 2

LAMA Dania termanggu, duduk bersila di birai katil, sehingga tiba-tiba dia terasa ada percikan air menampar wajahnya.

        Pantas pandangan didongak. Kelihatan Haidar sudah berdiri di depannya bersama senyuman. Badan berbalut bathrobe dan sebelah tangan sibuk mengeringkan rambut.
        Dania buat muka geram. Haidar memang suka bergurau begitu. Memercikkan air di rambutnya dan selalunya dia akan menjerit geram.

        “Menung jauh sangat.” Tuala di tangan Haidar baling ke dalam bakul.
        Dania ketap bibir.
        Haidar henyakkan punggung di sebelah. Tubuh si isteri dipaut. Mahu melepaskan rindu. Tiga hari tidak bertemu, dadanya terasa sesak. Tapi, pergerakannya terhenti apabila tubuhnya ditolak Dania.

        “Haidar...”
        Haidar angkat kening. Isyarat bertanya.
        “You... jumpa... dia?” Teragak-agak soalan tersebut keluar dari bibir Dania. Dia tahu, mengikut syarat, dia tak berhak untuk bertanya. Tapi hatinya ingin sangat pengakuan jujur dari sang suami.

        Beberapa detik Haidar diam sebelum mengangguk perlahan.
        “Dia...”
        “Boleh tak kalau kita tak bercakap tentang orang lain?” Haidar memintas, mematikan bicara Dania.
        Tubuh Dania dipaut sekali lagi dari sisi. Rapat ke tubuhnya.

        “Dania...” Bibir melekat di pipi si isteri. Mata dipejam rapat, mahu menikmati waktu-waktu keemasan bersama orang yang dirindui. Tapi, apabila sekali lagi Dania menolak tubuhnya, Haidar jadi hilang sabar.
        “Kenapa Dania?” Matanya mencari wajah Dania yang nampak gelisah.
        “I... nak tahu...”
        Sekali lagi Haidar angkat kening.
        Dania berjeda. Merangka ayat. Payah untuk dikeluarkan tapi dia ingin sangat tahu.
        “Masa you ‘bersama’ I, you pernah tak bayangkan dia?” Nah! Terkeluar juga soalan tersebut. Sesuatu yang dia ingin tahu sejak nama Maya Laila muncul antara mereka.
        Tapi, tatkala melihat wajah Haidar yang berubah, Dania rasa kerongkongnya tersumbat. Liur terasa sukar untuk ditelan.

        Tanpa menjawab, Haidar bangkit dan melangkah ke meja solek.
        Dania turut berdiri, memandang tingkah Haidar dari jauh. Sikat di atas meja solek Haidar ambil dan rambutnya yang kusut disikat rapi sebelum meletakkan kembali sikat tersebut dengan kasar.
        Marahkah dia?

        Lama. Haidar hanya berdiri di depan meja solek. Mata memandang cermin tapi Dania tahu Haidar sedang memandangnya dari pantulan cermin tersebut.
        Bersama tarikan nafas yang panjang, Dania melangkah menghampiri sang suami yang hanya tegak di situ. Mengenali Haidar, dia tahu kalau diam begitu maknanya si suami sedang marah tetapi tidak terluah.
        “Haidar...” Tubuh Haidar dipeluk dari belakang.
        Entah kenapa, dia sering kalah dengan lelaki ini walau sebenarnya dia tak ingin jadi lemah. Setiap kali ada ketegangan, dialah yang akan mengalah. Sesuatu yang dia sendiri tidak faham kenapa. Padahal, dia bukan orang yang begitu.
        “Kalau you marah pasal soalan tu, I’m sorry.” Dania telan liur.
        “Tapi... I cuma nak tahu yang jujur.”

        “Dania.” Haidar renggangkan pelukan dan berpusing.
        Mata bertentang. Lama. Sebelum tangan Haidar naik singgah di pipi si isteri.
        “Pernah tak I sebut nama perempuan lain waktu atas katil dengan you?” Haidar pulangkan soalan.

        Teragak-agak, Dania menggeleng. Memang kenyataannya dia tak pernah dengar. Tapi, mana dia tahu yang di dalam hati Haidar?
        “Kalau tak pernah, kenapa tiba-tiba malam ni timbulkan soalan begini? Kenapa tidak di hari pertama you serahkan tubuh you pada I dulu?”
        Dania terpana. Kenapa malam ni? Sedang dia tahu apa asasnya hubungan mereka sejak awal lagi. Yang pasti, dia sendiri tiada jawapannya.

        “Mungkin sebab you tak sudi nak layan I malam ni, maka you timbulkan soalan sebegitu.” Haidar buat andaian sendiri.
        Dania pantas menggeleng. Lengan Haidar dipegang.
        “Bukan...” Ayatnya hanya mati di situ. Tidak tahu mahu menyusun kata untuk menafikan tanggapan Haidar.
        “Kalau I nak, I boleh dapatkan kat luar sana, Dania. Tapi I tetap juga pulang cari you.”
        Dania kemam bibir. Tapi suatu hari nanti, I tahu you tak akan datang cari I lagi, Haidar. Itu perjanjiannya dan sekarang I sudah dapat merasakan detik-detik kehilangan itu.
        “Haidar... I nak you peluk I.” Matanya tiba-tiba bergenang.

        “Sekarang!”
        Apa yang disuruh, Haidar lakukan juga walau hati masih terasa. Tubuh Dania ditarik rapat ke tubuhnya. Hangat tubuh itu, hangat rasa yang hadir, buat dia lupa masalah di sekeliling. Masalah yang tiba-tiba muncul, menggangu emosinya.

        ‘Haidar... I nak hati you.’ Bicara itu hanya terluah di hati Dania. Andai boleh dia meminta begitu dan Haidar sanggup berikan, dia tidak ingin minta apa-apa lagi.
        Haidar pejam mata. Jasad yang bersatu buat dia mampu mendengar degup jantung Dania. Detak irama yang sama dengan jantungnya buat dia rasa selesa. Tapi, kenapa harus ada rasa itu jika tiada cinta antara mereka?

        Benarkah cintanya hanya satu dan hanya ada nama itu? Benarkah nama Dania tak pernah wujud dalam hatinya walau hanya untuk sedetik cuma?
        Jika benar, kenapa sejak pertama kali melihat Dania, getaran hatinya makin hari makin lari tempo?

        ‘Ah! Ini ini hanyalah sementara. Mengahwini Dania tidak termaktub dalam diari hidupnya. Hanya secara kebetulan Dania hadir saat ada ruang yang lompong antara dia dan Maya.’
        Haidar pujuk hati sendiri walau hakikatnya dia tahu, hatinya yang satu itu tidak pernah mahu mendengar kata.

        Kerana istilah tidak mendengar kata itulah dia dan Dania bersatu. Yang sebenarnya, dia memang tidak mahu tapi hati yang menggesa. Sudahnya, dia ikutkan juga kata hati yang satu, melamar dan memerangkap Dania dalam perkahwinan ini.