FOLLOWERS

Segalanya Mungkin

Sehabis waktu sekolah, kami sama-sama beriring menuju ke ‘port’ melepak. Medan bacaan yang dibina untuk murid-murid berehat sambil mentelaah sudah seakan menjadi tempat melepak aku dan Razak Ashraf serta kawan-kawan yang lain.
Sementara menunggu waktu perjumpaan kelab petang itu, kami duduk-duduk sambil bersembang kosong. Nadia sudah menghilang entah ke mana. Penat dan bosan membuatkan aku hampir-hampir saja melelapkan mata apatah lagi dengan cuaca yang agak panas terik itu.
Tanpa mempedulikan Razak Ashraf yang berada di depan, aku melentokkan kepala ke meja beralaskan beg sekolah sambil menguap beberapa kali.
“Kau bila menguap dan nganga mulut besar-besar macam tu buruk benar rupanya.” Selamba saja dia mengutukku membuatkan kepalaku yang sudah terlentok kembali tegak. Mata yang terasa kuyu terus saja luas terbuka. Tak guna punya boyfriend, mengutuk aje kerjanya. Boyfriend? Bolehkah dia digelar sebagai boyfriend aku sedang kami tidak pernah declare begitu?
“Mulut aku, aku punya sukalah.” Aku membalas kutukannya.
“Tapi, aku pun suka dengan mulut kau.” Dia sudah mula merapu dan spontan saja kakiku terus menyepak kakinya di bawah meja tempat kami duduk itu.
“Auchh!! Sakitlah!” Dia menjerit kesakitan dengan wajah terperanjat, mungkin tidak menyangka tindakan spontanku itu. Melihat wajahnya yang begitu, aku melepas tawa kuat.
Berdepan dengan Razak Ashraf aku tidak pernah tahu rasa malu. Bersamanya aku bebas menjadi diriku yang sebenar dan aku tidak perlu berpura-pura menjadi wanita ayu untuk menarik perhatiannya. Dia menyukaiku kerana aku adalah aku, bukan ingin menjadikan aku sebagai orang lain mengikut citarasanya.
“Kau ni nampak je manja tapi kalau bab menyepak kaki dan mencubit, betul-betul berutal.” bebelnya sambil menggosok betis sendiri.
“Kau cakap lagi benda yang bukan-bukan, buat perangai macam hantu kalau nak tengok aku naik hantu.”
“Takpe....kalau kau naik hantu, aku naik flight. Rasa-rasanya, hantu boleh tak kejar flight yang tengah terbang tu?”
Kali ini jemariku bergerak pula mencubit lengannya. Geram betul aku dengan perangainya yang suka main-main dan tak pernah serius itu.
“Aduhhhhh....isshhhh.... sakit siot.” Mukanya berkerut seribu manahan sakit. Jemarinya berpindah pula menggosok lengan bekas cubitanku. Aku tersenyum lucu melihat gelagatnya.
“Kau ni suka betul dera aku. Nanti aku nak telefon teledera buat aduanlah.” Lawaknya mengundang tawaku dan buat seketika ketawa kami beradu bersama.
“Atau pun..... balik nanti aku nak cakap dengan mak aku, anak dia selalu kena dera dengan bakal menantu dia.” Kali ini gurauannya membuatkan wajahku berubah rona. Tiba-tiba aku jadi malu dan segan. Rapatnya hubungan kami sehingga satu sekolah menggelarkan couple yang secocok tetapi hakikatnya kami tidak sekali pun berbicara soal hati dan perasaan. Lantas, bila sesekali dia bergurau sesuatu yang menjurus ke arah itu, aku jadi hilang perkataan untuk membalasnya.

No comments: