FOLLOWERS

Pergi Tanpa Alasan - Bab 7

RIHANA  tatap cermin di depan. Tanpa alat solek warna warni, tanpa gincu merah delima, tanpa celak tercalit di mata, wajahnya tetap nampak cantik berseri.
        Anugerah Ilahi yang jarang sekali orang lain perolehi dan sepatutnya dia gunakan untuk kebaikan diri, bukan untuk memuaskan nafsu yang menguasai hati.
         
            “Beza manusia dengan binatang ialah akal. Dengan akal itulah Tuhan suruh kita berfikir baik dan buruk sesuatu tindakan. Kalau yang buruk pun kita anggap baik, tak guna Tuhan beri akal. Tak ada bezanya dengan binatang.”
         
        Teringat kata-kata Yatie waktu di kampung tempoh hari.
        Ya! Dia diberi akal untuk membezakan buruk dan baik. Kenapa tak gunakan akal tersebut? Nak kata akalnya tidak berfungsi, dia boleh pula lulus dengan cemerlang dalam pengajian.
        Rihana geleng kepala. Tak ditemui jawapan pada persoalan tersebut.
        Melangkah ke almari, tudung-tudung yang tergantung dibelek satu persatu. Lebih dua puluh helai semuanya dan ia dikumpul ketika di kampung tempoh hari. Ketika dia terfikir untuk berhijrah ke arah kebaikan.
        Hari ini dia akan memulakan kerja. Banyak permohonan kerja yang dihantar tetapi cuma satu yang berjaya. Tidak mahu berlama menjadi penganggur dan berterusan menyusahkan keluarga, dia terus terima.
        “Kerja apa saja pun tak kisah, asal rezekinya halal.” Itu komen ayahnya ketika dia nyatakan kerjanya ini cuma sebagai PA saja. Gaji pun tak banyak mana.
        Selesai mengenakan tudung, dia bergegas keluar. Tidak mahu lambat di hari pertama. Kondominium mewah Parkview KLCC itu disewa sendirian selepas pemergian Rozi. Selepas ini, dia tidak tahu masih mampu atau tidak untuk menyewa tempat itu dengan gajinya yang tidak seberapa ini.
        Tiba di Menara Citibank Jalan Ampang, Rihana tarik nafas panjang-panjang dan berdoa di dalam hati agar langkahnya hari ini diberkati dan kekal selamanya.
        Sebaik menutup pintu kereta, dia melangkah laju kerana bimbang akan terlambat. Saat itulah kereta BMW sport warna kelabu hampir melanggarnya, nasib baik lagi pemandunya sempat menekan brek kecemasan.
        Terasa nyawanya hampir melayang. Wajahnya pucat tanpa darah. Dia hanya berdiri di situ tanpa mampu berbuat apa-apa.
        Tatkala melihat wajah pemandu yang keluar dari dalam kereta tersebut, wajah Rihana yang pucat tadi serta merta diserbu darah merah. Dia pantas berpaling dan ingin kembali masuk ke dalam kereta. Dia akan berpura-pura tertinggal barang.
        Pun begitu, baru saja pintu keretanya dikuak, ia kembali tertutup akibat daripada tolakan tangan lelaki tersebut.
        Rihana tidak berani berpaling. Hanya berdiri mematung diri di situ. Liurnya terasa kering dan dadanya terasa sempit.
        “Buat apa kat sini pagi buta? Jumpa ‘pelanggan’?” soal lelaki tersebut. Lelaki yang memang sangat Rihana kenal. Siapa lagi kalau bukan Hakim Mukhriz bin Datuk Adam Hakimi.
        Rihana angkat kepala. Hakim senyum dengan kening terangkat, satu kebiasaan yang sering Rihana lihat.
        ‘Tenang Rihana, jangan mudah menggelabah,’ bisik hatinya sendiri.
        “Do we know each other?” soal Rihana, lagak tenang sedang hatinya sudah seperti diletakkan di atas roller coaster.
        Hakim gelak kuat, seolah Rihana buat cerita lawak versi Maharaja Lawak.
        “Rin...Rin...” Hakim geleng kepala. Rin adalah nama manja yang dia panggil walaupun Rihana tidak suka. Dia suka dengan nama pendek itu.
        “Orang yang pernah I peluk siang malam, tak mungkin I tak kenal.” Hakim dekatkan wajahnya ke wajah Rihana membuatkan gadis itu melarikan wajahnya ke belakang.
        Gadis? Masih gadiskah perempuan yang bernama Rihana ini? Entahlah! Dia sendiri kurang pasti sebab sepanjang kenal dengan Rihana, dia masih belum berkesempatan untuk meniduri perempuan ini. Dia masih belum diberi kesempatan untuk ‘merasai’ tubuh putih gebu wanita ini.
        “You balut tubuh you dengan kain kapan sekali pun, I tak mungkin tak kenal you,” bisik Hakim dekat ke telinga Rihana.
        Bulat mata Rihana mendengar ayat kurang sopan Hakim. Langkahnya terundur ke belakang untuk menjauhkan badannya dengan badan sasa lelaki itu.
        “You pakai macam ni supaya orang tak kenal you ke?” soal Hakim sinis sambil menilik Rihana atas bawah.
        Mmmm... sopan sekali namun tetap nampak seksi di matanya. Walau dalam baju, dia mampu membayangkan bentuk tubuh Rihana. Putih gebu tanpa segaris pun parut. Peliknya, dari hujung kaki sampai hujung rambut, yang menarik minatnya ialah dua biji tahi lalat yang terletak cantik di bahu kiri Rihana.
        Hakim sedut nafas dalam-dalam. Rihana merupakan satu-satunya wanita yang sangat susah untuk dia bawa hingga ke atas katil. Satu-satunya perempuan yang hanya mampu dia pandang dan peluk jika bertemu. Walau dibawa ke hotel, Rihana punya syarat ketat. Tak boleh lebih-lebih. Sungguh dia tidak berpuas hati.
        Ketika dia sedang cuba untuk mengubah pandangannya terhadap Rihana, wanita ini terus menghilang. Dia diberitahu bahawa Rihana berhenti kerja secara mengejut. Puas juga dia mencari. Tidak disangka pula pagi ini pencariannya berakhir. Tidak disangka juga wanita yang dia cari-cari ini sudah berubah alim begini. Tetapi dia percaya Rihana sedang menyamar dengan tujuan tertentu.
        Sejak Rihana menghilang tanpa khabar, kepercayaannya pada wanita ini juga turut hilang. Mungkin betul hipotesisnya, tak ada bezanya GRO dan pelacur. Rihana hanya menggunakan dia untuk kemewahan. Dia yang bodoh tidak mengambil kesempatan yang terbuka depan mata. Konon nak tunggu Rihana menyerah dengan sendiri.
        “Ikut I.” Hakim sambar lengan Rihana.
        “Hey! Lepas!!!” Rihana menjerit.
        “I bayar tiga kali ganda. Batalkan janji you dengan ‘pelanggan’ hari ni,” ujar Hakim penuh yakin.
        “I dah tak buat benda-benda macam tu.” Rihana berterus terang.
        Pergerakan Hakim terus terhenti. Wajah takut-takut Rihana dipandang tajam. Betul ke apa yang Rihana cakap? Atau Rihana sebenarnya ingin lari darinya?
        “Tolong lepaskan tangan I, please!” pinta Rihana dengan nada tegas tapi masih terasa aura takut-takutnya. Dalam ramai-ramai pelanggan yang pernah dia ‘temani’ Hakim adalah satu-satunya lelaki yang paling sukar dia kawal. Lelaki ini sangat panjang akalnya sehingga dia hampir-hampir tewas menyerah diri. Nasib baik lagi sempat berfikir waras.
        “I bukan kenal you sejam dua Rin. You nak berapa ribu? Sepuluh? Dua puluh? I bagi cek sekarang. You pilih saja mana-mana hotel yang you suka. Hanya untuk satu hari. I rindu sangat-sangat, please...” Senafas Hakim bersuara.
        I just want to spend some time with you. Not more than that, I promise!” Hakim angkat tangan tanda bersumpah. Bagi janji penuh bergula. Itu perkara biasa buat lelaki kasanova sepertinya. Janji kemahuannya tertunai.
        Sungguh! Dia rindu sangat-sangat. Rindu dengan segalanya tentang Rihana.
        Dia sendiri tidak tahu kenapa dia tak mampu buang Rihana dari mindanya? Walhal sebelum ini, semua perempuan yang singgah dalam hidupnya tak ubah  seperti lampin pakai buang. Dah pakai, buang saja. Tak boleh nak cuci lagi. Cuma dengan Rihana ni, dia belum dapat-dapat lagi, macam mana nak buang.
        “Sorry Hakim, I dah tak buat kerja-kerja tu semua. Tolong lepaskan tangan I. Dah lambat I nak masuk kerja ni.” Rihana kerling jam di tangan kanan. Tinggal lagi sepuluh minit untuk dia melapor diri.
        “You kerja kat sini ke?” Hakim bagai terkejut
        “Tak!” Rihana cuba berbohong.
        Dia tidak mahu Hakim tahu dimana dia bekerja. Hakim tentu kenal ramai tuan punya syarikat dan tidak mustahil Hakim juga kenal dengan bos tempat dia mula bekerja hari ini. Jika Hakim tahu, ia sangat bahaya kerana Hakim sangat berpengaruh dalam dunia perniagaan. Itu yang dia tahu dari Ray, bekas bosnya dulu.
        “Habis tu, you buat apa kat sini sebenarnya?” Hakim cuba berlembut. Mungkin saja cara kasar tak mampu buat Rihana mengikut.
        Rihana diam, mencari akal untuk berbohong. Apa dia perlu cakap supaya Hakim percaya?
        “Kalau you nak kerja, mari kerja dengan I. Jadi PA I. Berapa saja gaji yang you nak, I sanggup bayar.” Hakim bersuara memberi tawaran sebelum Rihana membuka mulut bercakap bohong.
        Rihana menggeleng. Bekerja dengan Hakim? Baik lagi dia jadi tukang sapu atau tukang jaga tandas.  Terjebak dengan Hakim akan berkemungkinan membuka jalan ke arah dosa. Aura Hakim sangat kuat, berbeza sekali dengan lelaki-lelaki lain yang pernah dia temani dan dia bukanlah terlalu kebal untuk bertahan.
        Keengganan Rihana buatkan Hakim rasa tercabar dan dicabar. Spontan tangannya bergerak pantas menolak Rihana rapat ke pintu kereta sebelum akalnya sempat berfungsi. Tubuh Rihana dihimpit sehingga dadanya dan dada Rihana bertemu rapat.
        “Hakimmm!!!!” Rihana terjerit kuat. Dia tidak bersedia dengan tindakan Hakim yang agak ganas itu.
        “You nak ikut I ke hotel atau nak kat sini saja? Pilih, dalam kereta I atau dalam kereta you?” Hakim berbisik perlahan, sengaja mengugut. Wajahnya sudah begitu hampir ke wajah Rihana.
        Rihana paling wajah ke sisi apabila nafas Hakim terasa panas menampar wajahnya. Saat itulah dia ternampak seorang pengawal keselamatan sedang membuat rondaan.
        Tanpa lengah, dia tolak tubuh Hakim dan menjerit sekuat hati meminta pertolongan.
Hakim yang terkejut dengan situasi yang tidak dijangka itu terus berundur melangkah ke keretanya. Hatinya tiba-tiba jadi panas dan dia makin nekad, hujan atau ribut, petir atau gempa bumi, Rihana harus melutut di kakinya

Pergi Tanpa Alasan V2015 - Bab 6

MASIH terbayang di ruang mata Rihana saat jasad Rozi terbaring tidak bergerak. Masih jelas diingatannya saat jasad si teman itu dikafankan di bilik pengurusan jenazah HKL.
        Ya! Dia turut berada di situ, melihat semuanya. Melalui saat getir berperang dengan perasaan sendirian tanpa mampu meluahkan pada sesiapa.
         
        ‘Bila kita mati, yang kita bawa ke sana hanyalah kain putih. Harta dan pangkat semua dah tak bermakna.’
         
        Kata-kata ustazah yang menguruskan jenazah saat mengkafankan jasad Rozi sehingga ke detik ini berputar di tepi telinganya. Rozi disahkan meningggal akibat serangan jantung.
        Pemergian Rozi bagai membawa sekali seluruh semangatnya pergi. Menyedarkan dia bahawa dunia ini hanyalah pinjaman semata-mata.
        “Hana!!!”
        “Hanaaaa!!” Suara yang memanggilnya mengejutkan Rihana yang khayal dalam dunia sendiri.
        “Aku punyalah dari tadi pot pet pot pet. Kau berkhayal rupanya. Mesti tak dengar apa aku cakap.”
        Rihana hulur senyum pada si sahabat di depannya. Yatie, teman sekampung yang sangat akrab dengannya sejak dari zaman kanak-kanak sehinggalah saat ini.
        “Aku nampak kau lain sikit. Banyak termenung. Kau ada masalah ke?”
        Kepala pantas digelengkan menjawab soalan Yatie. Dia memang banyak masalah tapi tak tahu dari mana  mahu dimulakan.
        Sudah seminggu, dia di kampung. Sudah seminggu dia mengambil keputusan untuk meninggalkan semuanya di kota besar Kuala Lumpur dan pulang ke kampung.
        Dia mahu mencari tenang yang sejak akhir-akhir ini sangat payah singgah di hatinya. Dia mahu bermuhasabah diri, merenung masa lalu untuk membaiki masa hadapan.
        Sekarang ni, dia sedang melepak di anjung rumah Yatie, mencari teman untuk bersembang. Rumah keluarga Yatie dan keluarganya hanya berbeza lorong. Kalau merentas ikut semak, tak adalah jauh mana.
        “Aku tahu kau ada masalah.” Yatie meneka.
        Memandang wajah si teman, Rihana tarik nafas panjang. Mahu meluahkan sesak yang menghimpit di dada tapi malu bagai bercermin di muka.
        “Kau mungkin lupa, aku ni pendengar yang baik. Dulu-dulu kan aku bercita-cita nak jadi pakar motivasi macam Dato Dr Fadhilah Kamsah tu.” Yatie gelak di hujung bicaranya.
        Rihana juga turut gelak. Terkenang saat remaja dulu-dulu. Mereka saling berlumba untuk mencapai impian masing-masing. Yatie dengan pakar motivasi dan dia pula bercita-cita mahu menjadi doktor pakar bedah. Sudahnya, semua entah ke mana.
        “Naaa...” Suara Yatie bertukar nada.
        “Aku yakin kau ada masalah. Kalau bukan sekarang, bila kau dah sedia nanti, kau carilah aku. Telinga aku sentiasa ada untuk kau.”
        Mendengar itu, Rihana tiba-tiba jadi syahdu.
        “Tie... aku…sebenarnya..” Suaranya teragak-agak.
        “Ada banyak yang nak aku luahkan tapi aku rasa malu.”
        “Malu?” Yatie berkerut kening.
        “Dengan aku pun nak malu?”
        Rihana angguk sambil sedut nafas. Kali ini lebih panjang
        “Aku dah jauh tersasar dari landasan, Tie. Paling teruk, aku dah lama tak kenal tikar sejadah. Dah lama tak solat lima waktu...”
        “Astaghafirullahalazim...” Panjang istighfar Yatie mendengar luahan si teman.
        Dan bermulalah cerita selanjutnya dari bibir Rihana. Cerita penuh dosa yang dia sendiri tidak tahu akan terampunkah jika dia memohon keampunan. Pemergian Rozi yang secara tiba-tiba menginsafkan dia. Mengingatkan dia yang kematian tidak boleh ditangguhkan.
        Dua hari selepas kematian Rozi, dia didatangi mimpi ngeri. Tubuhnya dijilat api yang marak dan dia nampak kedua ibu bapanya sedang memandang dari jauh.
        Lantas, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung.
        “Taubatlah, Hana. Minta keampunan-Nya. Allah SWT tu maha pengampun jika hamba-Nya mahu berubah ke jalan yang diredai-Nya,” nasihat Yatie satu persatu. Dia tak pernah menyangka sampai sejauh itu Rihana tersasar.
        Dia ingat hanya aurat saja yang tidak dijaga. Masa sekolah dulu, Rihana memang bertudung. Tapi selepas habis belajar dan bekerja, dia nampak tudung si temannya ini telah hilang entah ke mana.
        “Kau takkan berubah kalau kau sendiri tidak berusaha untuk berubah, Hana. Jangan sampai terlewat.”
        “Takkan kau nak salahkan mak ayah kau kalau di akhirat nanti kau dihumban ke neraka sedangkan kau sebenarnya cukup segala ilmu?” Pedas kata-kata Yatie menusuk hingga ke ulu hati. Namun, Rihana akui kebenaran kata-kata tersebut.
Walau menjadi penghuni kampung, dia tahu ilmu di dada Yatie bukan cetek. Graduan dari USM. Mengambil keputusan untuk terus tinggal di kampung apabila ayahnya dijemput Ilahi tahun lepas, bertujuan untuk menemani emaknya yang sudah berusia

Pergi Tanpa Alasan V2015 - Bab 70

TERKEJUT! Mati terus pergerakan Rihana. Bukan sebab dia tidak menyangka Hakim mampu mencarinya tapi sebab sebegitu cepat masa itu tiba.
        Ya! Belum sampai dua minggu dia di sini, Hakim sudah muncul.
        “Encik nak cari bos ke?” sapa Rihana, formal. Berlagak biasa-biasa sedang debar di hatinya sudah mula menggila. Panahan mata Hakim buat darahnya menderu laju. Sejak dulu, mata itu tak pernah gagal menghantar getaran ke hatinya
        “I tak cari bos.” Senada jawapan Hakim. Mata masih tajam menikam seraut wajah milik Rihana. Wajah cantik yang sering buat gelora di dadanya mengganas.
        Rihana angkat wajah.
        “I cari you.”
        Satu keluhan keluar dari bibir Rihana. Terasa sejarah akan berulang.
        “I cuma minta masa, Rin. I tak minta you pergi dari I bersama puteri.”
        “Hakim, I tengah kerja.” Rihana pandang kiri kanan. Tak selesa bila soal keluarga disuarakan Hakim dalam nada yang mampu didengar oleh orang lain. Nasib baik masih awal pagi, ramai yang masih ‘bermimpi’.
        “Berhenti kerja!” Tegas Hakim memberi arahan.
        Tawa halus keluar dari bibir Rihana. Ketawa yang dibuat-buat.
        “Maaf, Hakim. I perlu duit untuk hidup.”
        “Tak cukup lagi ke apa yang I bagi?” Hakim memintas. Terkejut dengan jawapan Rihana. Adakah selama ini apa yang dia berikan pada Rihana tidak mencukupi?
        “I tak mahu usik duit you. Sebagaimana I janji takkan usik hidup you dan semua hal yang berkaitan dengan you.”
        Ya! Janji pada hati sendiri, dia tak akan sesekali usik hidup Hakim. Tentang ikatan antara mereka, dia serahkan pada Hakim untuk tentukan. Saat ini, dia sudah ajar hati untuk reda dengan ketentuan Ilahi. Mungkin saja Hakim hanya dipinjamkan untuk seketika waktu.
        Mendengar kata-kata Rihana, satu keluhan berat keluar dari bibir Hakim. Rihana sudah salah faham.
        Tiada cara lain. Tanpa amaran, tangan Rihana ditarik.
        “Ikut I. We need to talk.”
        “Hakim!!!” Rihana terjerit tatkala badannya terdorong akibat ditarik.
        “What’s going on here?” Suara yang menegur menghentikan pergerakan keduanya.
        “Hakim?” Dua lelaki yang tiba-tiba muncul serentak menyebut nama Hakim.
        Mata saling bertentang. Kalau boleh digambarkan, api kemarahan yang keluar dari mata milik Hakim pasti mampu membakar seluruh isi pejabat tersebut.
        “Kau memang kawan tak guna, Riz. Kau sembunyikan isteri aku tapi pura-pura kata tak tahu,” sembur Hakim.
        “Kalau kau bukan kawan aku, rasanya aku dah tanam kau hidup-hidup, Riz.”
        “Kalau bukan sebab perkataan kawan tu, aku dah hasut Rihana minta fasakh...”
        Buk!
        “Hakim!” Rihana terus terjerit saat penumbuk Hakim singgah di muka big boss STAR ACE, syarikat di mana dia baru dua minggu memulakan kerja.
        Saat itu, semua isi pejabat yang tadinya masih ‘bermimpi’ terus bangun. Semua mata sudah tertumpu ke arah lokasi penggambaran drama sebabak tersebut. Di depan meja PA yang terletak di depan bilik bos.
        Ridzwan senyum sambil tangan mengurut pipi sendiri yang terasa kebas. Bukan dia tidak berani untuk membalas. Menghalau Hakim dari sini pun dia boleh buat kerana ini adalah bangunan miliknya. Tapi, atas nama persahabatan, dia tolak tepi rasa sakit dan marah.
        “Walau aku dah kahwin, kau jangan lupa kuota aku masih ada tiga.”
        Sekali lagi Hakim angkat tangan tapi Rihana cepat saja menjadi benteng, berdiri di tengah-tengah antara Hakim dan Ridzwan.
        “You pukul I, Hakim. Lepaskan marah tu pada I. Dia atau sesiapa saja tak bersalah dalam hal ni.” Rihana bersuara.
        “Kalau kau anak jantan, lepaskan dia. Jangan layan dia macam perempuan tak ada harga.” Ridzwan tidak mahu mengalah. Geramnya pada Hakim tak pernah ada perkataan surut. Cerita tentang Rihana yang didengar dari mulut Liza buat dia terfikir yang jahat-jahat saja.
        “Sebab yang namanya Rihana ni sampai bila-bila pun sangat berharga di mata aku.”
        Riz, please...” Rihana berpaling. Suara sudah merayu simpati. Tidak mahu Ridzwan terus memarakkan api di hati Hakim.
        Mengenali Hakim, dia yakin banyak buruk daripada baiknya meluahkan ayat berbaur cabaran begitu. Dia yakin Hakim takkan begitu mudah melepaskan dia. Dan kalaupun Hakim sanggup berbuat begitu, dia takkan mungkin sanggup mengkhianati nilai persahabatannya dengan Lizawati. Tak mungkin dia sanggup merampas kasih Ridzwan dari sahabatnya itu.
        “Encik Iqbal, saya minta diri keluar sekejap.” Rihana pandang bosnya merangkap  pengurus di situ yang sejak tadi hanya berdiri di sebelah Ridzwan.
        Walau syarikat ini milik Ridzwan dan lelaki inilah yang membantunya mendapatkan kerja di sini, dia harus mendapat keizinan Tuan Iqbal kerana lelaki itu yang ditugaskan sebagai ketua di situ.
        Sebaik melihat anggukkan daripada Tuan Iqbal, Rihana bergegas mendapatkan beg tangan dan berlalu mendahului Hakim keluar dari pintu pejabat.
        Tatkala pintu tertutup rapat, tangan Hakim pantas memaut lengan Rihana agar mengikut langkahnya menuju ke kereta.
        “Masuk!” Hakim memberi arahan sebaik pintu keretanya di sebelah penumpang dibuka. Namun, Rihana keras berdiri di situ.
        “Kat sini pun cukup. Tak ada orang. Tak perlu nak pergi jauh-jauh.” Tangan Rihana naik berpeluk tubuh.
        Hakim lurut rambut sendiri. Sabar, itu yang dia bisikkan ke hati.
        “Rin....” Suara Hakim merendah. Mata tunak memandang si isteri. Rindunya tak terhitung. Tingginya boleh mencecah tujuh lapisan langit biru.
        Please...”  Dia bersuara lagi bila melihat Rihana masih diam dan kaku. Kali ini dia sudah tidak malu untuk merayu.
        Walau dia marah dengan tindakan Rihana, dia tetap mahu letakkan semua salah di bahunya. Kalau tentang Rihana, dia memang tidak mampu untuk marah. Katalah dia apa saja, Rihana itu adalah wanita istimewa yang akan sentiasa ada di tempat teratas di hatinya.
        Melihat Rihana yang masih kaku, tangan Hakim menekan ke kereta, memerangkap tubuh si isteri di tengah antara kereta dan tubuhnya.
        “Dah tiga minggu I tak jumpa you, Rin. Kalau I peluk dan cium you kat sini, jangan menjerit dan jangan salahkan I.” Hakim guna cara mengugut, makin merapatkan kedudukan mereka. Wajah ditundukkan.
        Rihana telan liur. Spontan telapak tangan naik melekat ke dada Hakim, menahan tubuh sasa itu dari menghimpit tubuhnya.
        “Okey! I masuk.” Cepat saja dia mengalah dan menepis lengan Hakim sebelum masuk ke dalam Range Rover Sport milik lelaki itu. Kereta baru yang Hakim beli ketika dia masih dalam pantang dulu.
        Kata Hakim, kereta ni hadiah untuk dia tapi dia belum sempat nak merasa, muncul kisah duka.
        Ya! Kisah duka yang buatkan dia menjadi pelarian. Kisah duka yang sangat menyakitkan.

Pergi Tanp Alasan V2015 - Bab 5

HARI ini, Rihana rasa berat hati untuk memenuhi permintaan Rozi agar menggantikan temannya itu untuk menemani Datuk Kamal di kelab.
        “Aku rasa macam tak berapa sihat. Nak balik cepat.” Rozi sandarkan badan ke sofa. Wajah pucat si teman buatkan dia angguk tanda setuju. Kesian pula.
        “Aku dah janji malam ni nak ikut dia lepas habis kerja nanti. Kang cancel dia bising pulak. Kau tahulah orang tua tak sedar diri tu.”
        “Okeylah.  Aku ganti. Kau pergilah balik sekarang.” Rihana akur akhirnya. Lagi pun, sekarang ni Hakim tak ada di Malaysia. Ke Jepun selama dua minggu.
        Dia pun bukan tak kenal Datuk Kamal tu. Si tua miang keladi. Kalau datang ke kelab, suka mabuk-mabuk. Dah tu, tangan pula suka meraba sana sini.
        Thanks.” Rozi bangkit dan terus melangkah pergi.
        Rihana lepaskan keluhan. Kalau tak kesiankan si teman, sumpah dia tak sanggup. Pernah sekali dia terkena dengan lelaki tua tersebut. Tangan merayap ke dadanya. Apabila dia mengelak dan cuba untuk menjauh, bajunya pula yang disentap sampai terkoyak. Memang tak bertamadun punya jantan.
        “Aku balik dulu.” Rozi melintas bersama beg tangan di tangan.
        Rihana hanya memandang. Terkadang dia nampak Rozi macam pelik sikit kebelakangan ini. Tak aktif dan sering termenung. Kekadang suka bercakap yang bukan-bukan. Muka selalu nampak pucat dan keletihan.
        Adakah? Hati Rihana terdetik sesuatu.
        Tak mungkin! Tapi tak juga mustahil kerana HIV tak mengenal mangsa. Lebih-lebih lagi bagi yang suka mengamalkan seks bebas. Dia tahu, Rozi selalu cerita, kalau escort mana-mana pelanggan sehingga ke bilik hotel, temannya itu akan berikan perkhidmatan seks sekali.
        Setakat hari ini, dia belum pernah lakukan seperti apa yang Rozi lakukan. Setakat hari ini, lelaki yang berjaya mengheret dia sampai ke bilik hotel hanyalah Hakim. Tapi, setakat hari ini dia masih mampu mengawal lelaki itu.
        Lama juga dia termenung memikirkan hal Rozi sehingga ada yang datang menyampaikan pesan daripada Datuk Kamal. Lelaki itu sudah menunggu dengan pemandunya di depan kelab.
        “Hi, darling!” Datuk Kamal menegur gaya miang tatkala Rihana meloloskan diri masuk ke dalam kereta lelaki itu. Sesaat dia rasa bagai mahu termuntah.
        “Jalan!” Arahan diberi pada pemandu dan kereta terus meluncur laju.
        “I rasa sungguh bertuah malam ni sebab you sudi teman I.” Tanpa amaran tangan Datuk Kamal singgah di paha Rihana.
        Masih diam, Rihana tahan nafas. Mata menjeling tangan lelaki tua di sebelah yang elok saja mendarat di atas pahanya.
        “Awalnya I memang berhajatkan you. Tapi you jual mahal sangat. Asyik mengelak aje bila I dekat.” Datuk Kamal mengensot, makin merapatkan kedudukan.
        Kereta yang dipandu oleh pemandu peribadi Datuk Kamal sangat perlahan walau jalan di Bandaraya Kuala Lumpur ini sudah agak lengang.
        “Kita nak ke mana ni, Datuk?” Rihana mengensot makin ke tepi dan berpusing ke arah Datuk Kamal.
        “Istana Hotel. You teman I jumpa rakan bisnes dari Singapore dulu, lepas tu...” Datuk Kamal condongkan badan ke arah Rihana.
        “Kita masuk bilik. I dah booking satu malam untuk kita...”
        “Datuk…” Rihana memintas.
        “Rasanya sampai habis urusan bisnes Datuk, tolong hantar I balik. I tak buat kerja-kerja sampai ke bilik.”
        “Alaaa, macam tak biasa. Macam I tak tahu you selalu teman Hakim,” balas Datuk Kamal.
        “You nak I bayar lebih dari Hakim bayar you pun I boleh bagi. Takkan satu malam pun nak berkira.”
        Rihana ketap bibir tahan rasa. Kalau agak-agak dia lempang lelaki tua ni, kena saman ke tak?
        Dalam Rihana sedang cuba mengawal diri agar tidak bertindak di luar jangkaan, kereta sudah memasuki kawasan parkir dan berhenti di tempat yang agak tersorok.
        “Jom!” Datuk Kamal paut lengan Rihana, mengajak untuk keluar. Namun, Rihana masih tidak berganjak.
        Pemandu peribadi Datuk Kamal sudah turun dan membukakan pintu untuk bosnya tetapi disebabkan Rihana macam enggan keluar, Datuk Kamal juga masih tidak keluar. Pintu ditarik dan ditutup kembali.
        “Kenapa?” soal Datuk Kamal apabila melihat Rihana masih beku di tempat duduk.
        “Maaf, Datuk. I rasa I tak jadi ikut Datuk. I minta diri. Nanti I cari teksi untuk balik.” Rihana mahu membuka pintu untuk keluar. Entah kenapa dia rasa tak sedap hati.
        Namun, belum sempat bergerak, tangannya direntap sehingga pintu kereta tertutup kembali. Belum sempat berbuat apa-apa, Datuk Kamal sudah menerkamnya membuatkan dia terperosok tepi pintu.
        Sekelip mata Datuk Kamal sudah menindih tubuh Rihana sehingga wanita itu terjerit kuat.
        “Jangan buat hal dengan I, sayang...” Bibir Datuk Kamal pantas saja menggomol wajah Rihana, ganas dan rakus. Sudah terbiasa dengan gadis yang suka menolak pada awalnya tetapi terkulai juga selepas diasak.
        Rihana terjerit meminta tolong. Dengan harapan pemandu peribadi lelaki tersebut membantunya tetapi bayang pun tiada. Agaknya sudah terbiasa dengan tabiat bosnya.
        Jeritan dan penolakan Rihana yang agresif makin menaikkan nafsu Datuk Kamal. Makin rakus tindakannya. Tangan cepat saja merentap dress yang Rihana pakai sehingga terkoyak di bahu.
        Tindakan Datuk Kamal betul-betul menaikkan amarah Rihana. Tiada cara lain melainkan dia terpaksa menggunakan ilmu mempertahan diri yang dipelajarinya. Saat Datuk Kamal makin khayal mahu mencumbui di bahagian dadanya yang sudah terdedah, Rihana kumpul tenaga memberi tendangan padu sehingga lelaki tua itu jatuh tersepit di bawah tempat kaki berpijak.
        Rihana terus bangkit dan melompat turun dari kereta mewah tersebut. Tanpa menoleh ke belakang, dia berlari laju keluar dari kawasan parkir tersebut. Bajunya yang terkoyak di bahagian bahu dipegang kejap.
        Nasibnya baik apabila dia mudah saja mendapatkan teksi walau ketika itu sudah agak lewat.
        Bersandar di dalam teksi, Rihana sedut nafas yang terasa hilang dek perbuatan Datuk Kamal tadi. Sungguh, dia tak menyangka akan melalui situasi seburuk begini.
        Sesampai di kondo, Rihana terus mengetuk pintu bilik Rozi. Mahu mengadu tentang apa yang berlaku. Nampak lampu masih terpasang, pasti temannya itu masih belum tidur.
        “Rozi!” Beberapa kali menjerit nama si teman dan mengetuk pintu bilik namun, tiada sahutan.
        Tombol terus dipusing. Tidak berkunci. Rihana terus melangkah masuk. Tapi, bayang Rozi tidak kelihatan.
        Telinga cuba dipasang kalau-kalau ada kedengaran bunyi air di bilik mandi. Namun, senyap sunyi.
        “Gee!!! Ooo, Rozi!!!” Rihana terjerit lagi.
        Saat itu telinganya terdengar pintu bilik air bagai diketuk dari dalam. Tidak kuat dan tidak perlahan.
        Sedetik, Rihana terkaku. Tiba-tiba saja terlintas perkara yang tidak elok di kepalanya. Terus dia meluru ke arah bilik air tersebut.
        Pintu tidak berkunci tetapi apabila ditolak, terasa berat bagai tersangkut sesuatu.
        “Tolonggg...” Telinga Rihana terdengar suara si teman lemah meminta tolong.
        Dengan sekuat tenaga, dia gunakan tubuh untuk menolak pintu tersebut. Tatkala berjaya meloloskan diri masuk ke dalam, kelihatan Rozi terduduk di lantai bilik air dengan sebelah tangan memegang dada dan sebelah tangan lagi memegang mangkuk tandas.
        “Ya Allah! Rozi!” Rihana terus terjerit dan menerpa ke arah temannya yang sudah tidak ditutupi pakaian. Hanya sehelai tuala melekat di punggungnya. Mungkin terlondeh ketika jatuh terduduk.
        “Tolong aku...” Tangan Rozi yang sedang memegang mangkuk tandas  berpindah memaut lengan Rihana yang sudah bertindak memangku temannya itu. Tuala Rihana tarik menutupi tubuh si teman yang terdedah.
        “Gee, kenapa dengan kau?” Rihana menggigil menahan tangis. Sudahlah tadi dia baru melalui situasi yang menakutkan. Belum habis debar di dada, dia disajikan pula dengan situasi yang mengejutkan begini.
        “Gee!” Rihana  tepuk-tepuk pipi Rozi yang nampak macam orang terkena sawan dengan nafas tercungap .
        Dengan sisa tenaga yang ada, Rihana bangkit sambil memapah dan mengheret si teman  keluar dari bilik air.
        “H..a..n..a....t..o..l..o..n..g....a..k..u...” Perlahan dan payah sekali Rozi bersuara. Saat yang sama matanya terbelalak ke atas.
        “Rozi! Ingat Tuhan, Gee...” Belum habis ayat Rihana, mata si teman tertutup dan tangan jatuh terkulai.
        “Geeee!!!!”  Kuat jeritan Rihana bergema di seluruh ruang.
        “Mengucap Gee...” Tubuh si teman dipaut dan dipeluk erat.
        Dan... tangisnya pecah bersama jasad yang kaku.
        Ingat Tuhan...
        Ingat Tuhan...
        Ingat Tuhan...
        ‘Kenapa dalam keadaan getir begini baru mahu mengingati Tuhan?’  Satu suara bagi menjeritkan soalan tersebut.
Rihana terus kaku

Pergi Tanpa Alasan V2015 - Bab 4

RIHANA bergegas ke pintu. Long Dress  bertali halus warna merah hati yang dipakainya beralun mengikut gerakkan langkahnya.
        Sihat dari demam saja, Hakim sudah mengajak dia keluar.
        “Wow!  Kau nampak stunning.” Rozi yang muncul dari arah dapur terjerit nada teruja. Malam ni mereka memang tak ke kelab. Rozi yang baru sampai dari kampung masih bercuti.
        “Ni yang Hakim bagi tu, kan?” Kepoh Rozi bertanya.
        Rihana hanya mengangguk, mengiyakan soalan si teman. Memang baju itu pemberian Hakim. Bukan saja baju, boleh dikatakan apa yang dia pakai hari ini semuanya pemberian Hakim. LV, Gucci, Prada dan sewaktu dengannya yang tersusun di dalam almari semuanya pemberian Hakim. Mengenali Hakim, hidupnya bertukar rentak. Dia mampu bermewah tanpa perlu bekerja keras.
        “Malam ni ke mana pula?”
        “Entah. Driver dia jemput kejap lagi.” Rihana sarung kasut bertumit tinggi  ke kaki.
        “Tak jauh kut. Katanya nak dinner,” jelas Rihana sebelum memberi isyarat agar si teman mengunci pintu seperti biasa.
        Dia sendiri pun tak tahu destinasi makan malam mereka. Selalunya luar dari KL. Tapi kalau datang angin tak betul Hakim, ada juga sampai ke Melaka, hanya untuk makan malam semata-mata.
        Kalau datang angin puting beliung, Hakim buat kerja gila tempah penerbangan ke Singapore hanya sekadar untuk makan malam. Pernah juga sehingga ke Jakarta.
        Memang setiap kali keluar mengikut ajakan Hakim, dia tak pernah tanya destinasinya. Entah kenapa, bersama Hakim dia rasa selamat. Kalau dia tanya pun, jawapan Hakim hanya senyum. Agaknya, orang bisnes memang begitu, semua benda adalah P & C.
        Turun ke bawah, kereta sudah menunggu dan dia terus dibawa oleh pemandu Hakim, orang yang sama yang selalu datang menjemputnya.
        Tiba di tempat yang dituju, baru Rihana tahu lokasinya ialah Hotel Palace Of The Golden Horses. Turun dari kereta di lobi hotel, dia disapa oleh pekerja hotel dan ditunjukkan arah hingga ke jeti tepi tasik di kawasan hotel tersebut.
        Oh! Makan malam atas bot mewah. Setiap kali bertemu, Memang itulah yang selalu Hakim lakukan. Akan ada kejutan indah. Lantas, bagaimana dia tidak terus melekat.
        “Walau malam ni bulan sangat indah, I tetap nampak you lagi indah dari bulan.” Hakim dengan pick up linenya memang tak boleh dipisahkan.
        Rihana cuma senyum menyambut tangan Hakim yang dihulurkan untuk membawa dia duduk.
        Makan malam berdua di tengah tasik buatan dengan pemandangan yang indah, Rihana rasa dunia ini hanya mereka berdua yang punya.
        Sehabis makan malam, dia dibawa ke Presidential Suite yang sudah Hakim tempah dari awal.
        Come.” Hakim tarik tangannya masuk.
        I have something for you.” Pintu ditutup rapat.
        Hakim terus bergerak ke katil dan melabuhkan punggung di situ. Ditarik Rihana rapat berdiri di depannya.
        Sebuah kotak baldu kecil Hakim keluarkan dari poket seluar dan dibuka di depan Rihana. Sebentuk cincin dengan kilauan berlian menyapa pandangan.
        “Suka?” sua Hakim ke arah si gadis.
        Rihana senyum, cuba mengawal rasa gembira agar tidak nampak keterlaluan di mata Hakim yang dia suka cincin tersebut. Sangat-sangat cantik.
        Belum sempat Rihana bersuara, Hakim sudah pun bertindak memaut jemarinya dan sekelip mata cincin tersebut sudah tersarung ke jari manis miliknya. Apa yang dia rasa waktu itu, tak mampu dihuraikan dengan kata-kata.
        “Duduk sini.” Hakim tarik Rihana duduk di sebelahnya. Tubuh ramping itu dipeluk dari sisi. Dagunya disangkut ke bahu Rihana yang terdedah.
        Mmmm... wangian Rihana buat gelora lelakinya bergelombang tiba-tiba.
        “Errrkk... Hakim, let me...” Rihana leraikan pelukan Hakim dan menunjuk arah ke bilik air.
        Dia rimas dengan solekan menampal muka. Tabiatnya apabila masuk ke rumah atau bilik, dia akan membersihkan wajahnya. Rimas dengan bedak asas yang menempel di muka. Satu bonus apabila bersama Hakim kerana lelaki itu juga tidak suka dia bersolek tebal. Hakim lebih suka wajahnya yang cantik asli.
        Hakim hanya mampu memandang lenggok Rihana menghilang ke bilik air sambil menggeleng. Rihana yang bijak. Rihana yang pandai mengelak. Rihana yang sentiasa tahu bagaimana untuk menyimpul gelora di dadanya dan Rihanalah satu-satunya perempuan yang mampu membuatkan detak jantungnya sentiasa berubah irama. Tetapi, Rihanalah juga satu-satunya perempuan yang sangat sukar untuk dia jerat.
        Keluar dari bilik air, wajah Rihana kelihatan segar. Itu yang dia suka pada Rihana. Walau tanpa secalit bedak asas, wajahnya nampak cantik dan berseri.
        Melihat Rihana yang sudah selesai mengelap wajah, Hakim gamit si gadis agar datang dekat padanya yang masih tidak berganjak duduk di katil.
        Akur dengan arahan Hakim, Rihana atur langkah mendekati lelaki itu.
        Pinggang ramping Rihana dipaut dan wajahnya di lekatkan ke perut yang masih berlapik baju. Nafasnya disedut dalam-dalam. Geloranya datang kembali tatkala jemari Rihana naik membelai rambutnya.
        Tanpa amaran Hakim tarik Rihana rebah ke katil bersamanya. Kali ini si gadis tidak membantah sebaliknya membiarkan apa saja yang dia lakukan.
        Rihana mula hanyut. Sentuhan bibir Hakim yang mendarat di bibirnya buat dia khayal.
        Dari bibir turun ke bawah. Dari berbalut baju hingga tertanggal semuanya.
        Namun, saat Hakim hampir-hampir berjaya menakluki, Rihana seolah tersedar daripada mimpi yang panjang. Tubuh Hakim ditolak kasar dan Rihana pantas bangkit. Baju yang sudah terdampar di lantai pantas dicapai.
        Rin, please...” Hakim merayu. Lengan Rihana yang cuba melarikan diri dipaut kemas.
        “Hakim...”
        “Please, Rin. Sekali saja. I’ll pay you two million ringgit, just for one night.” Hakim memintas, memberi tawaran yang cukup lumayan untuk Rihana serahkan mahkotanya.
        Tapi, tahukah Hakim bahawa nilai dirinya  tidak cukup dengan hanya duit sebanyak dua juta?
        No, untuk tawaran you! Ambil balik cincin ni.” Rihana menolak. Saat yang sama, dengan tangan masih memegang baju yang dilekatkan ke dada, Rihana lucutkan cincin di jari dan meletakkan ke tapak tangan Hakim.
        “Rihana!” Suara Hakim sedikit keras.
        “Ini hadiah dari I. Kalau you tak sudi, jangan pulangkan, buang saja ke longkang.” Hakim sedikit marah.
        Dia tidak pernah belikan hadiah yang semahal itu pada mana-mana perempuan yang pernah dia dampingi. Hanya Rihana satu-satunya wanita yang dia sanggup habiskan duit untuk belikan apa saja walaupun Rihana sendiri tidak pernah memintanya.
        I’m sorry.” ucap Rihana perlahan.
        Pelik tetapi benar. Suara Rihana yang begitu dengan hanya memohon maaf, hati Hakim yang panas terus jadi sejuk. Dia tarik tangan Rihana dan kembali menyarungkan cincin tersebut ke tempat tadi.
        “Kahwin dengan I, Rin?” Hakim melamar.
        Dia tahu itu idea gila dan dia tahu idea itu sudah pasti akan membuatkan papanya naik hantu. Apa taknya, baru minggu lepas keluarganya telah menetapkan tarikh pertunangannya bersama anak gadis Tan Sri Idham  yang akan berlangsung dua bulan dari sekarang. Sebuah hubungan berlandaskan bisnes. Situasi ‘menang-menang’ kata mereka.
        Tapi, dia memang tak boleh lepaskan Rihana dan dia yakin boleh uruskan jika ada permasalahan yang datang. Dia tahu bagaimana mahu menyorokkan Rihana dan menutup bersih semua perkara berkaitannya.
        Rihana terdiam. Jika dia terima lamaran Hakim, dia tentu akan hidup senang. Tak perlu lagi bergelumang dengan dosa dan tak perlu lagi bersusah payah layan lelaki lain selain Hakim. Tapi, dia tahu ianya sangat rumit.
        Dia bukan tidak tahu kisah hidup anak jutawan ini. Dia bukan tidak tahu Hakim akan bertunang. Jadi, kehadirannya nanti tentu akan membuatkan keadaan jadi kucar kacir.
        “Syaratnya, I tak mahu kahwin sembunyi- sembunyi dan you tak boleh jadi suami pada wanita lain selain dari I.” Rihana letakkan syarat walaupun dia tahu Hakim tidak mungkin akan memenuhi syarat tersebut.
        Kali ini Hakim pula yang terdiam. Jemarinya naik melurut rambut di kepala. Wajahnya nampak resah dan gelisah. Sudahlah jiwanya terseksa kerana malam ini dia gagal lagi. Rihana pula letakkan syarat yang rumit.
        “Mari I urut you. Biar kurang sikit stres.” Rihana memberi tawaran beriring sindiran kerana dia tahu syaratnya buatkan Hakim stres.
        Tanpa menunggu jawapan Hakim, Rihana tolak lelaki itu agar berbaring meniarap. Dia duduk bertenggek di birai katil. Pantas jemarinya bertindak seperti selalu, mengurut leher dan bahu lelaki itu.
        “Rin...”
        “Mmmm?”
        “Kalaulah I dapat bertemankan you setiap malam kan bagus,” ucap Hakim dengan mata yang sudah terpejam, menikmati urutan dari jemari Rihana.
        Benar, jari Rihana punya magis yang boleh membuatkan segala stresnya hilang melayang. Itulah yang dia suka sangat dengan Rihana.
Rihana diam. Tiba-tiba hatinya terdetik, sampai bilakan dia akan mencoret dosa sebegini? Benar, pintu taubat sentiasa terbuka tetapi detik kematiannya juga tidak menunggu kita