FOLLOWERS

Bab 7



Tiba di bawah, kelihatan Mak Yam sedang menumis ramuan untuk menggoreng mihun dan seperti biasa aku mula bergerak lincah membantu menyusun cawan dan pinggan untuk menghidang sarapan.


“Daun bawang yang Mak Yam potong panjang-panjang ni nak buat apa?” Soalku kehairanan apabila melihat daun bawang yang dipotong sepanjang jari telunjuk dan disusun cantik di dalam piring.


“Oooo... itu makanan Fir. Dia kalau makan mihun goreng mesti ulamnya timun dengan daun bawang. Dia tu kalau makan daun bawang macam anak kambing makan rumput.” Cerita Mak Yam mengundang kerutan di dahiku.


Siapa yang Mak Yam cerita ni? Lelaki tadi tu ke? Kenapa Mak Yam macam tahu semua perihal dia dan bagaimana lelaki tersebut tiba-tiba boleh muncul di dalam keluarga ni? Selama aku bertandang ke sini sebelum ini, tidak pernah sekali pun aku nampak kelibatnya.


“Dia tu, siapa sebenarnya Mak Yam?” tercetus soalan tersebut dari bibirku.


“Siapa?” Mak Yak menyoal kembali. Wajahnya kehairanan memandangku.


“Lelaki yang tadi tu.”


“Eh! Fea tak tahu ke? Zura tak cakap?” Mak Yam seperti terkejut.


“Cakap apa Mak Yam?” soalku, makin keliru.


“Laaa... itulah abang pada Zura, si Zhafir yang kerja kat luar negara tu. Dah seminggu dia balik sini, Zura tak cakap ke?”


Oh! itu ke abang Zura? Seketika aku cuba mengingati tetapi rasanya Zura tidak pernah beritahu tentang kepulangan abangnya tetapi dia ada menyebut tentang lelaki yang menjadi pujaannya itu sudah kembali ke Malaysia. Ah! mungkin dia terlupa tentang abangnya kerana begitu teruja untuk memperkenalkan aku pada lelaki yang dianggap istimewa itu.


“Mak Yam lupa, Fea tak pernah jumpa dia sebelum ni kan?” Mak Yam menyambung kata.


“Tak pernah Mak Yam.” ujarnya, sebenarnya jawapan itu kurang tepat kerana aku pernah menemuinya sebelum ini. Cuma bezanya aku tidak tahu siapa dia dan apa namanya.


“Masa Fea mula-mula datang sini dulu, dia ada di Swirtzeland. Belajar dan lepas tu terus kerja kat sana. Ada la sesekali dia balik tapi selalunya sekejap aje.” cerita Mak Yam.


"Dia....tinggal di sini ke Mak Yam?" apalah punya soalan aku tanya. Tapi, mana tahu kalau-kalau sudah beristeri dan tinggal berasingan.


“Mana lagi dia nak tinggal. Tapi dengar kata, kali ni dia balik terus. Mungkin tak pergi lagi ke Swiss tu.” Cerita Mak Yam lagi


Oh! maksudnya, aku akan terus bertemu dengannya jika aku ke sini selepas hari ini? Kalut sungguh!

Sambil berfikir mencari jalan untuk mengelak dari lelaki kerek itu, tanganku tetap lincah menolong Mak Yam apa yang patut.


Sedang leka menyusun roti dan telur separuh masak di atas piring, kedengaran ada seseorang menapak masuk ke dapur. Mulanya, aku tidak menghiraukan kehadiran tersebut tetapi, tatkala orang itu melintas di depanku untuk duduk di bar chair bersama segelas fresh oren di tangan, tanganku terus terhenti bergerak. Ah! Dia lagi.


Entah kenapa aku tiba-tiba jadi tak tentu arah apatah lagi bila melihat sorotan mata lelaki itu yang memandang ke arahku. Ya Allah! Kenapa dengan aku ni?


"Hai! Mak Yam, ada pembantu baru nampak?" Lelaki yang bernama Zhafir itu bersuara dengan senyuman nipis terukir di bibir. Kurang asam! Dia boleh cakap aku orang gaji pulak!


"Senanglah Mak Yam sekarang ya, ada assistant." Dia berkata lagi sambil meneguk fresh oren dengan rakus sekali.

Mak Yam hanya tersengih menyambut kata-kata itu. Aku diam tidak bersuara. Melihatkan senyuman serta bicaranya menjadikan urat sarafku kejang tiba-tiba.

Buat-buat selamba, aku meneruskan kerja sambil menunduk. Dari ekor mata aku lihat dia bagai sedang memerhatikan tingkahku.

"Ehem..." tiba-tiba suara seseorang berdehem hampir di belakangku. Akibat terperanjat, sudu kecil yang ada di tanganku terlepas dari pegangan dan jatuh ke bawah meja.


Spontan aku menoleh pandang dan saat itu, ketawa Ikmal sudah meletus menggamatkan suasana. Isk! Geram sungguh aku tengok dia ni, tak habis-habis buat kacau. Sepupu Zura yang sudah dianggap anak sendiri oleh keluarga ini memang suka sangat menyakat aku dan kadangkala boleh buat aku jadi rimas. Bila aku datang sini aje, dia memang suka ‘menyemak’ sama.


Bersama rasa geram yang membuku di dada, aku membongkok mengambil kembali sudu yang jatuh tadi. Rasa macam nak aje aku sumbat sudu tersebut ke dalam mulutnya yang masih ketawa-ketawa itu. Biar dia mati tercekik di situ.


"Buat apa tu?" soalnya perlahan setelah ketawanya reda.


"Tengah main congkak. Nak join ke?" aku bersenda.


"Hah! Congkak? Eee.. Tak naklah, berhantu!" balasnya membuatkan aku tersenyum lucu.

Dia lantas duduk di depanku dan menarik bekas sudu tatkala aku sedang menyusun sudu-sudu di dalamnya.


"Isk!" aku ketap bibir sambil membuntangkan mata ke arahnya tetapi dia hanya menyengih.


"Mal! Kacau anak dara buat kerja." sergah Mak Yam.


"Alaaaa..Mak Yam ni, tak sporting langsung tau." balasnya dan kembali menolak bekas tersebut ke arahku.


"Sporting! Mortine! Mak Yam tak peduli. Kamu tu dah ada awek, jangan nak menggatal pulak." bidas Mak Yam pedas.


Aku senyum saja mendengar dia 'dibasuh' oleh Mak Yam. Selalunya memang begitu, dia suka bertelagah dengan Mak Yam dan bahan gaduhnya mestilah aku.


“Eleh! Mak Yam jeleslah tu.” Balas Ikmal sambil mencebik.


“Tak kuasa nak jeleskan kamu.” Bidas Mak Yam sambil melangkah menghampiri kami.


"Mak Yam...Fea, masak apa yang wangi sangat ni?" Suara mesra umi tiba-tiba menyapa ketika aku sedang menaburkan daun bawang ke atas mihun goreng di dalam mangkuk kaca.


"Eh! Mal dan Fir pun ada.” Umi bersuara lagi sebaik terlihat Ikmal dan Zhafir turut berada di ruang dapur tersebut.


“Mal ni mesti kacau anak dara umi buat kerja." Umi mengusik sambil menepuk bahu Ikmal yang masih melangut di depanku.


"Anak dara umi ke ni?" Dia bertanya pura-pura terkejut.


"Patutlaaaa….," ayatnya tergantung di situ. Dia sudah menyengih ke arah umi dan kemudiannya menoleh ke arahku sambil mengenyitkan sebelah matanya. Buntang mataku memandangnya, tidak faham dengan maksud yang ingin disampaikan melalui ayat yang tergantung itu.


“Ada-ada aje la kamu ni Mal. Dah! Pergi sana, jangan kacau anak dara buat kerja.” Umi ‘menghalau’ nya sambil sekali lagi menepuk bahunya perlahan.


“Alaaa…umi ni kedekut pulak. Macam la orang nak culik anak dara dia.” Balas Ikmal sambil bangkit dan berlalu ke arah Zhafir yang masih duduk di bar chair tanpa sepatah kata.


“Daddy mana mi, tak nampak pun kereta dia?” Soal Ikmal. Dia ni memang jenis mesra alam. Semuanya nak ditanya. Lagi satu, dia ni macam tak ada rumah sendiri. Melangut aje dekat sini. Umi Zura dah jadi macam umi dia. Kata Zura, dia manja dengan keluarga ini kerana dia anak tunggal dan mamanya meninggal semenjak umurnya lima tahun.


“Pagi-pagi dah keluar. Biasalah, pukul bola kecil yang sebiji tu kat tengah padang. Entah apa yang bestnya.” Jawapan umi kedengaran lucu di telingaku. Betul juga kata umi tu, apa yang bestnya berpanas di tengah padang memukul sebiji bola?




Biarlah gambar bercerita....


Awal-awal lagi dah dapat kek yang comel ni untuk hadiah Birtday hari ni


Bebudak office belanja kek birthday. Terima kasih buat semua...

Baru lepas makan, nasi briani yang dimasak khas untuk aku sempena Birthday. Tak sempat nak amik gambar.

Ni pokok yang ada atas meja aku di dan di dalamnya ada ikan 5 ekor, juga hadiah dari bebudak office.

Comel-comel ikannya, warna peach..


Ni ikan yang aku sayang, warna dia kebiruan, sangat garang, juga ada atas meja kerja...(Kalaulah big bos datang dan masuk bilik pejabat aku, mahunya dia tanya, "Ni kedai jual ikan atau jual pokok?").. mati aku nak jawab nanti.



Bab 5 & 6

Hujung minggu itu, aku ke rumah Zura, seorang lagi teman akrabku yang juga pernah menjadi roomateku di kolej Aminudin Baki UKM dulu. Keluarganya mengadakan majlis hari jadi untuk anak buahnya dan aku dijemput untuk bersama-sama meraikannya.


Habis waktu kerja, Zura sudah menungguku dengan Honda Civicnya. Dua hari aku bercuti, moga-moga Madam Wong tak mengamuk apabila aku mula bertugas kembali.


“Kenapa muka kau macam nyonya baru habis jual sayur aje?” selamba soalannya seselamba wajahnya ketika itu.


“Penat, beb!” Aku sudah tersandar ke belakang. Penat yang terasa bagai melumpuhkan tulang temulangku.

Aku dah cakap dulu....Kau ingat senang ke nak buat dua benda dalam satu masa? Berhenti jer kerja tu, tumpukan pada belajar dulu.” kata-katanya membuatkan aku kembali menegakkan badan.

"Kalau tak kerja aku nak korek duit dari mana? Ingat duit tu boleh gugur dari langit ke?" bidasku mengundang gelaknya.


“Kan aku dah cakap, aku boleh bantu kau. Tapi kau sombong, bagi duit pun tak nak ambik, ujarnya membuatkan aku menarik nafas panjang.


Sudah acap kali dia berkata begitu dan bantuannya dah tak terkira dek jari. Terkadang aku berusaha untuk menolak kerana aku tidak ingin 'mencemarkan' ikatan persahabatan ini. Aku menjadi sahabatnya bukan kerana dia punya segala-galanya tetapi aku ingin dia tahu bahawa aku jujur dalam persahabatan ini. Nilai persahabatan ini tidak terukur dengan harta duniawi.


Zura memang dilahirkan di dalam ‘dulang emas’ dan pastinya tidak pernah merasa jerit petir sebuah kehidupan. Cuma mungkin, dia pernah tersilap langkah dan terpesong arah tetapi nasib baiklah cepat tersedar dari kesilapan.

“Aku bukan sombong tapi aku tak nak terhutang. Kau pun dah banyak bantu aku, tak terbalas rasanya. Sudah berkali-kali aku jelaskan padanya berkaitan perkara ini tetapi Zura tetap juga tidak mahu menerima alasanku.


“Kawan apa kalau tak boleh bantu kawan?” Zura membidas.


Entahlah! Hari ke hari aku semakin penat dan lelah, terkejar-kejar menguruskan hal duniawi sedang masa yang berbaki untuk aku hidup entah berapa lama lagi. Tiba-tiba aku teringat kata-kata ibu, ‘usahlah dikejar harta dunia yang hanya dipinjamkan Tuhan untuk kita.’ Persoalannya, bolehkah diampunkan jika aku yang terkejar-kejar ini bukan berniat mengejar harta duniawi tetapi sekadar ingin mencari sumber rezeki untuk mengisi dada dengan ilmu yang berguna?


Bab 6




Seawal pagi, aku sudah bersiap turun ke bawah. Setiap kali berada di sini, aku akan menolong Mak Yam menyediakan sarapan pagi. Adat menumpang, aku harus pandai membawa diri, itulah pesanan ibu yang melekat kuat dikotak fikiranku.


Sebelum turun ke bawah, aku capai mug kotor yang terletak di atas meja kecil yang tedapat di bilik tersebut untuk dibawa turun bersama. Ini mesti kerja si Zura, minum tak tahu nak basuh. Anak dara pemalas, aku mengomel di dalam hati sambil berlalu keluar.

Ketika tiba di bawah, kelihatan lampu dapur sudah terpasang. Aku pasti Mak Yam sudah bangun dan sedang menyiapkan sarapan pagi. Namun, sebaik memasuki ruang dapur, tiada sesiapapun yang berada di situ. Hanya kelihatan kuali besar tertenggek di atas dapur dan mee hoon yang telah direndam sedang ditoskan airnya di tepi sinki.


“Mak Yam!!”


“Ooo!! mak engkau.” Aku melatah kerana terperanjat mendengar jeritan yang kuat memanggil nama Mak Yam. Mug yang terpegang di tangan pula terlepas dari pegangan dan terus jatuh ke lantai. Bunyi dentumannya yang pecah berterabur di lantai membuatkan aku tergamam di situ.


Ya.. Allah! Turun naik dadaku tatkala melihat lembaga manusia yang berdiri di situ memandangku tidak berkelip. Mungkin dia juga terkejut dan tergamam melihat kejadian tersebut.

Dia? Aku pejam celik kelopak mata, takut-takut waktu itu aku masih bermimpi atau mungkin yang ada di depanku ini ialah jelmaan hantu di pagi hari. Rambut paras bahu yang dilepaskan bebas itu makin membuatkan aku keliru. Apa pula yang dia buat pagi-pagi buta di rumah besar ini?


Tidak! Aku tidak bermimpi dan di depanku ini memang manusia yang sama. Ya! Memang dialah orangnya, lelaki yang aku temui di parking KLCC dan sekali lagi datang bersama teman wanitanya ke kedai Gift For You tempoh hari dan teman wanitanya yang digelar Lilian ‘cantik tetapi perangai tak serupa orang' itu telah mengutuk gubahan bunga Lilian.

Ya! Aku tak mungkin lupa, bukan sebab perangai teman wanitanya tetapi kerana senyumannya yang buatkan mataku tak ingin bergerak dari memandang ulas bibirnya yang seksi itu. Isk! Bunyinya macam gatal aje. Jangan nak berangan Fea, kalau kita ini hanya helang yang hitam, usahlah bermimpi untuk menjadi merak kayangan. Suara hatiku berbisik perlahan


“Kenapa ni?” Fea... Fir, kenapa sampai pecah-pecah mug ni?” Mak Yam tiba-tiba muncul dengan membawa bersamanya segenggam daun kangkung. Pastinya tadi dia pergi mengutip kangkung tersebut di kebun mini belakang rumah.


“Entah! saya panggil Mak Yam aje, dia dah terkejut macam terdengar suara pocong melolong.” Lelaki itu terus menjawab dengan bersahaja. Ewah! Sedapnya bahasa, pocong melolong ya!


“Ya laaaa…. Kamu dengan rambut panjang gitu dah rupa macam hantu. Mana si Fea ni tak terkejut,” bidas Mak Yam membuatkan aku tersenyum lucu sambil menunduk untuk mengutip serpihan kaca yang bersepah di lantai


“Eh! Mak Yam, rambut cari makan ni. Ada pulak cakap macam hantu.” dia tidak berpuas hati.


“Sudah! Mari Mak Yam bersihkan kacanya. Pergi keluar dulu, kan kena kaki berdarah pulak nanti.” Mak Yam bertindak pantas mengambil penyapu dan penyeduk sampah untuk membersihkan serpihan kaca tersebut.


Kesian Mak Yam, satu kerja pula nak membersihkan lantai tersebut. Ini semua hantu pocong tu punya pasal. Kenapalah setiap kali kami bertemu, ada saja benda yang tidak kena berlaku?


Tidak tahu berbuat apa-apa, aku hanya berdiri di situ melihat Mak Yam melakukan kerja-kerja membersih dan ‘hantu pocong’ tu juga masih lagi tidak berganjak dari situ tetapi dia bukan memerhatikan Mak Yam sebaliknya sedang melirik pandang ke arahku.


“Ya Allah! Yang kamu berdua berdiri terpacak kat situ tu buat apa? Pergi keluar dulu, Mak Yam nak sapu dapur ni dulu. Kan ada yang berdarah kaki terpijak kaca ni.” Mak Yam sudah membebel marah melihat tingkah kami berdua.


Tanpa lengah, aku mula mengatur langkah keluar dari ruang dapur dan lelaki itu pula mengikut saja langkahku dari belakang.


“Ehem! Cantik rambut.” dia berdehem mengusik.

Spontan tanganku bergerak meraba kepala. Ya, Allah! Aku tak bertudung ke? Tanpa lengah, aku mengatur langkah panjang naik ke atas semula. Tak guna betul, aku mengutuk diri sendiri. Entah macamana boleh terlupa dan terkantoi pula dengan mamat ‘hantu pocong’ tu. Siapa dia sebenarnya?


Melangkah ke bilik, aku lihat Zura masih terbungkam atas katil. Dia ni dah sembahyang subuh ke belum? Aku cuba mengejutkan dia tetapi makin dikejut, makin dia mengerekok dalam selimut. Sejak di zaman kampus dulu, aku akan menjadi teman setia mengejutkan dia untuk menunaikan solat.


“Hoi! Subuh dah nak pergi. Kau jangan ikutkan sangat hasutan setan tu.” Makin kuat aku menggoncang tubuhnya.


“Apa niii....” Zura bagai mamai membuka sedikit kelopak mata.


“Subuh!” sergahku sambil menarik selimut yang menutupi tubuhnya. Dalam mamai dia bangkit menuju ke bilik air dan aku bergerak ke arah ‘sliding door’ untuk menyedut udara segar di pagi hari.


Sebaik saja berdiri di situ, mataku terpandang pula kelibat lelaki tersebut yang lengkap berpakaian sukan sedang berjalan ke arah pintu pagar. Pasti dia ingin keluar berjoging, patutlah badannya tegap, aku berbisik di dalam hati. Siapa sebenarnya dia ni? Ah! mungkin salah seorang saudara mara Zura yang datang ke sini untuk menghadiri majlis hari jadi tersebut.

Ketika aku ralit memerhatikannya, tiba-tiba dia mendongak ke atas tepat memandang ke arahku. Alamak! Kantoi lagi. Waktu itu, aku sudah tidak tahu lagi bagaimana untuk bersembunyi. Jikalah dia berada dekat pasti boleh melihat wajahku yang memerah menahan rasa malu.


Dari jauh aku lihat dia tersenyum dan mengangkat tangan melambai ke arahku. Gatal! Getus hatiku dan berpusing untuk masuk semula ke dalam. Ketika itu, Zura baru saja melangkah keluar dari bilik air.


“Apa hal kau ni, macam kucing hilang anak aje ke hulur ke hilir?” Zura menyergah.


“Kau tu! Jangan bermimpi waktu sembahyang, kan doa qunut entah ke mana.” Aku menjegilkan mata ke arahnya sebelum mencapai tudung untuk turun sekali lagi ke bawah.



Raya 2010

Raya tahun ni aku cuti awal dan balik kampung lebih awal dari semua orang. Pertama kalinya dan tak pernah aku buat bertolak dari KL pukul 6.00 petang dan berbuka puasa di dalam kereta dalam kesesakan lalulintas di MRR2...huhuhu...

Sampai rumah mak lebih kurang pukul 3.00 pagi, terus sahur dan tidur. Dua hari puasa kat kampung rasa macam nak beli dan makan semua kuih-muih yang memang tak ada di KL. Tapi, hubby aku lagi teruk, dia sanggup memandu ke Pasir Mas dan beratur panjang semata-mata nak beli akok depan pejabat Risda yang famous tu...hahaha... melampau betul.

Lebih melampau bila dia angkut mak aku sekali, sampai orang tua tu tak sempat nak buat ketupat. Sudahnya, beras pulut yang dah direndam jadi tapai beras.....

Raya tahun ni, aku rasa syahdu sangat. Bermula dari kakiku menjejak rumah tempat kelahiranku di daerah Rantau Ranjang. Lepas tu, aku dapat duit raya yang boleh tahan banyaknya. Sebenarnya, duit tu adalah duit hasil kebun getah peninggalan arwah ayah untuk anak-anaknya. Yerlah, sekarang nikan getah mahal harganya dan hasilnya pastilah juga lumayan.

Saat memegang duit tersebut, aku teringat arwah ayah. Lebih sepuluh tahun dia pergi, banyak peninggalannya dapat membantu anak-anak tetapi aku sebagai anak, apa yang aku buat untuk dia di alam sana? Aku jadi insaf tiba-tiba dan air mataku bergenang di tubir mata.

Lepas sembahyang raya, aku ajak hubby ke kubur. Walau agak jauh dari machang nak ke rantau panjang dan kemungkinan sangkut dengan jam, aku tawakkal aje. Tapi nasib baik juga pagi tu jalan lengang, mungkin orang masih di rumah menjamu selera kerana selalunya bila raya, highway tersebut memang sesak teruk.

Aku bersihkan kuburnya dan sedekahkan bacaan yasin untuknya. Semoga dia tenang bersemadi di sana dan rohnya sentiasa ditempatkan bersama orang-orang yang soleh..Amin..



Bergambar kenangan bersama keluarga yang ada di pagi raya tersebut.

Tahun ni, tema coklat keemasan

Ni pelamin yang adik aku sendiri buat buat untuk adik yang lagi satu bertunang raya kedua


Selamat Bertunang