FOLLOWERS

Aku Masih Di Sini



Aku masih di sini
Berkalam di hati
Bermadah sendiri
Berteriak sepi
Sesepi syahdu tirai malam
Bertemankan bebintang seri
Dan sang rambulan pun seakan mengerti
Tiap kata lirikan sang pujangga diri
Yang berbisik meluah rasa
Tercalit di tirai mimpi
Terlukis di kamar hati
Rindu ini tak bisa kugapainya lagi
Walau terlalu ingin aku menyentuhnya
Namun kenangan itu kurasa makin berlari
Jauh meninggalkan aku di sini
Dan kasih yang terkumpul di perdu hati
Untuk siapa harus aku alihkan
Sedang yang terbisik di setiap denyut nadi
Hanya kamu...dan hanya kamu...

Hari Ibu...

Salam buat semua..

Aku macam ingat-ingat lupa tentang kewujudan blog ni.... sampai nak log in pon dah lupa passwordnya...isk! sadis sungguh sejak ada Facebook ni..

Hari ni aku ingin bercerita tentang kisah sempena hari ibu yang bakal tiba dua hari lagi.

Gambar di bawah ni adalah hadiah hari ibu yang aku dapat dari seorang anak petag tadi.


Jika di lihat, bunga tersebut hanya biasa-biasa tetapi ia jadi istimewa kerana hadiah dari seorang anak untuk ibunya.

Apa yang membuatkan aku tiba-tiba jadi sebak apabila dia kata dia gunakan semua duit belanja dia hari ini untuk membeli hadiah tersebut. Bagai tidak percaya tetapi itulah kenyataannya apabila dia sanggup berlapar hanya untuk menghadiahkan aku bunga tersebut sedangkan selama ini dia memang 'hantu makan' yang tidak boleh tahan lapar.

Yang membuatkan aku menitiskan air mata apabila teringat dua hari lepas, dia pernah meminta duit RM10 ringgit untuk hari jumaat ini kerana ingin membeli hadiah untuk hari ibu tetapi aku buat-buat tak dengar sebab masa tu aku tengah sibuk kemas meja makan. Bila dia mendesak, aku terus naik angin suruh dia diam. Saat ini, rasa bersalah itu sedang bergayut di hatiku. Apalah sangat duit sebanyak itu dengan niat ikhlasnya... dan saat ini juga aku menaip bersama titisan air mata terharu...

Dia kata lagi, dia guna duit belanja campur duit untuk bayar keahlian pengakap yang aku berikan pada dia pagi tadi. Dia minta maaf sebab guna duit tu dan dia janji akan kumpul duit sendiri untuk bayar yuran tu... apa lagi yang boleh aku kata selain dari tahan air mata...

Lepas bagi hadiah tu, dia tanya aku "Umi tak suka ke dapat hadiah tu?"

Aku jawab "Suka... terima kasih banyak-banyak."

Dia tanya lagi " Tapi kenapa umi tak senyum, macam tak suka aje."

Aku terus tepuk bahu dia dan suruh dia mandi. Sebenarnya dia tak tahu, aku bukan tak senyum sebab tak suka tetapi aku sudah tidak mampu untuk senyum kerana sebak dan terharu...

Adik dia kata "Atai tak beli hadiah untuk umi sebab duit belanja Atai dah habis buat belanja."

Dia jawab apa....

"Atai... kalau tak bagi hadiah pun tak pe, kau bagi peluk jer. Sekarang kau peluk umi."

Aku terus menangis sebab masa kecil dulu aku tak pernah pun buat ibu aku begitu. Saat ini, aku rasa macam nak berlari balik kampung peluk mak....