FOLLOWERS

Cantiknya Wanita


Allah berfirman:

"Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia
diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku
membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia;
namun, harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan."


"Aku memberikannya kekuatan dari dalam
untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan
yang seringkali datang dari anak-anaknya."


"Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap
tegar ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh
keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa
mengeluh."


"Aku memberinya kepekaan untuk mencintai
anak-anaknya dalam setiap keadaan, bahkan ketika
anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya."


"Aku memberinya kekuatan untuk mendukung
suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan
tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya."


"Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui
bahwa seorang suami yang baik takkan pernah
menyakiti isterinya, tetapi kadang menguji
kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada
disisi suaminya tanpa ragu."


"Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk
dititiskan. Ini adalah khusus miliknya untuk
digunakan bilapun ia perlukan."


"Kecantikan seorang wanita bukanlah
dari pakaian yang dikenakannya, susuk yang ia
tampilkan, atau bagaimana ia menyisir
rambutnya.Kecantikan seorang wanita harus
dilihat dari matanya, kerana itulah pintu hatinya,
tempat dimana cinta itu ada."

Cuti..Cuti...N3 terakhir

Seawal jam 10.30 pagi, kami sudah sampai ke Machang. Mmm...sungguh nyaman udara kampung. Pokok getah yang baru berpucuk daunnya kelihatan menghijau di belakang rumah mak aku.

Lihatlah gambar di sebelah. Dedaun yang menghijau sejuk mata memandang. Waktu aku ambil gambar ni, mak aku ada kat hujung kebun sana, meredah kebun getah untuk mengutip pucuk paku untuk dibuat kerabu pucuk paku kerana anaknya (akulah tu) suka benar makan kerabu pucuk paku versi kelantan. Kasih ibu...air tangan ibu.... memang tiada tandingannya. Dia masak apa pun mesti sedap di tekak kita.

Kebetulan pula, hari jumaat esoknya kakak aku mengadakan jamuan makan untuk cukur jambul anaknya yang baru berusia 35 hari. Kakak tu berlainan mak tetapi kami memang rapat sebab pernah tinggal serumah sewaktu arwah ayah masih ada.
Sepetang berada di kampung kelahiranku itu, rupanya banyak yang sudah berubah. Baru aku tahu, di kampung itu sudah terbina sekolah menengah. Zaman aku sekolah dulu, hanya ada sekolah rendah sahaja dan aku terpaksa tinggal menyewa di pekan Pasir Mas seawal usia 13tahun untuk bersekolah menengah.

Aku sempat meninjau ke sana dan merakamkan gambar untuk kenangan. Orang kampung yang ada di kedai kopi berhampiran meninjau-ninjau kehairan melihat aku yang macam wartawan sedang ambil gambar sekolah yang tertutup itu.


Hari sabtu esoknya, adik aku mengajak ke Kota Bharu untuk makan tengahari. Dia nak belanja makan 'nasi budu' yang famous di dekat Istana Lama. Mak aii, jauhnya makan tengahari, dari Machang ke KB ambil masa kurang lebih setengah jam.


Makan kat sini memang murah. Bayangkan satu meja untuk enam orang makan apa saja sampai kenyang cuma rm35 sahaja. Tempatnya memang sentiasa penuh sesak dengan pengunjung. Tempatnya pun sangat cantik dan menarik.

Kiri kanannya pula ada gerai kraf tangan yang sangat murah harganya. Adik aku kata, aku dah macam pelancong asing yang tak pernah datang ke Kelantan. Betul, aku ni nama aje kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang tu tapi setahun cuma dua atau tiga kali saja pulang ke sana. Itu pun musim raya dan tak akan jejak kaki ke KB sebab jalan memang sesak gila.

Lepas makan, adik aku mengajak pula ke pantai PCB(Pantai Cahaya Bulan)yang tidak jauh dari situ. Aku pernah ke sana tetapi rasanya berpuluh tahun yang lalu, zaman sekolah dulu. Kini banyak yang dah berubah.
Pantainya tak secantik Pantai Batu Burok tapi meriah dengan jualan Wau dan pengunjung yang sedang melepak di gerai-gerai berhampiran



Pulang dari pantai, sempat lagi kami menyinggah di kedai batik tepi-tepi jalan. Lama juga memilih-milih sampai mata pun naik rabun. Abang aku dah mengeleng-ngeleng kepala. Betullah macam tak pernah sampai ke Kelantan walhal asal usul memang orang Kelantan...hehehee...aku gelak aje, abang dan adik aku mengutuk-ngutuk aku.

Cuti..Cuti.. hari kedua

Dari Kemaman, seawal jam 8 pagi kami bertolak ke Kuala Trengganu. Kami memang dah booking hotel awal-awal sebab musim cuti sekolah memang susah nak dapat hotel kat KT tu.

Masa check in, aku suruh hubby tanya ada wifi ke tak. Nak tahu apa staff dia cakap?
"Wifi ada tapi kena bayar, satu jam rm10."
Aku nga hubby saling berpandangan. Kat KL, kedai mamak pun ada wifi free. Kat rumah aku ada wifi prepaid, rm10 boleh online sampai 12 jam.

Aku terus cakap nga hubby tak nak duduk situ. Hotelnya Grand tapi...mmmm...,malas nak cakap.

Hubby aku terus bersoal jawab nga reception tu. Dengan muka tak malunya aku suruh hubby aku cancel dan ambil balik deposit. Dengan wajah sombong dan berlagaknya, perempuan reception tu cakap "tak ada masalah."

Kami terus blah dan cari hotel lain. Akhirnya pilihan terakhir, duduk kat Permai Inn. Boleh tahan la... dekat aje dengan pantai Batu Burok.







SEPETANG DI PANTAI BATU BUROK

Aku dah lama tak kena angin laut. Petang yang indah itu, kami lepak kat Pantai Batu Burok. Cantik sungguh pemandangannya dan meriah dengan orang ramai yang tengah main layang-layang.









Esok, kami akan bertolak ke Kelantan..(Kampung akulah tu). Mak aku dah beberapa kali telefon dan mulai esok hingga minggu depan, aku bertapa kat kampung. Perhatian! kat sana tak ada internet dan aku akan offline sehingga minggu depan.

Jumpa lagi.

Cuti..Cuti...Cuti...

Sekolah mula cuti, aku pun cuti sama... yehaaa!!! Hari ni, awal pagi lagi kami dah keluar dari kesibukan kota KL. Sampai Kemamam lebih kurang pukul 12.00 tgh, terus check ini hotel kat pekan tu.


Baru check in, duduk kejap hilangkan penat


Cuaca di sini redup aje. Kejap hujan dan kejap berhenti. Oleh yang demikian, kami lepak aje kat hotel untuk hilangkan penat.



Hubby tengah tengok internet & yang besar tu tengah main PS2


Esok kami akan bergerak ke Kuala Trengganu. Janji dengan Fatin Nabila, nak jumpa dia di sana. Insyaalah, kalau tak ada aral melintang, kami akan bertemu buat pertama kalinya di bumi kelahiran dia. Selalunya hanya bersms dan chating saja, tak sabar nak bersua muka.


Rumah Baru.

Salam semua....

Aku baru belajar menghias rumah dan ini rumah baruku tapi, masih belum siap sepenuhnya. Ada masa nanti aku hias lagi.

Terima kasih untuk Bikash kerana sudi mengajar aku yang susah nak faham ni..hehehe

Untuk Kak Sarnia juga, terima kasih sebab dia yang mulakan dulu.

.

Maulidul Rasul



Selamat menyambut Maulidul Rasul buat semua umat islam di seluruh dunia.


Nabi Muhammad telah diputerakan di Mekah, Arab Saudi pada hari Isnin, 12 Rabiulawal (20 April 571M). Ibu baginda, iaitu Aminah binti Wahb, adalah anak perempuan kepada Wahb bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah. Ayahnya, Abdullah, ialah anak kepada Abdul Muthalib. Keturunannya bersusur galur dari Ismail, anak kepada Ibrahim kira-kira dalam keturunan keempat puluh.

Ayahnya telah meninggal sebelum kelahiran baginda. Sementara ibunya meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya seorang anak yatim. Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda telah dipelihara oleh seorang ibu angkat(ibu susu:-wanita yang menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Sa'adiah di kampung halamannya di pergunungan selama beberapa tahun.

Dalam tahun-tahun itu, baginda telah dibawa ke Mekah untuk mengunjungi ibunya. Setelah ibunya meninggal, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Muthalib. Apabila datuknya meninggal, baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika inilah baginda sering kali membantu mengembala kambing-kambing bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani bapa saudaranya dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria).

Ketika berusia kira-kira 25 tahun, ayah saudara baginda menyarankan baginda untuk bekerja dengan kafilah (rombongan perniagaan) yang dimiliki oleh seorang janda yang bernama Khadijah. Baginda diterima bekerja dan bertanggungjawab terhadap pelayaran ke Syam (Syria). Baginda mengelolakan urusniaga itu dengan penuh bijaksana dan pulang dengan keuntungan luar biasa.

Khadijah begitu tertarik dengan kejujuran dan watak peribadinya yang mendorong beliau untuk menawarkan diri untuk mengahwini baginda. Baginda menerima lamarannya dan perkahwinan mereka adalah bahagia. Mereka dikurniakan 7 orang anak (3 lelaki dan 4 perempuan) tetapi ketiga-tiga anak lelaki mereka, Qasim, Abdullah dan Ibrahim meninggal semasa kecil. Manakala anak perempuan baginda ialah Ruqayyah, Zainab, Ummu Kalsum dan Fatimah az-Zahra. Khadijah merupakan satu-satunya isterinya sehinggalah beliau meninggal pada usia 51 tahun.



.

Kegawatan Ekonomi Global....

Aku bukan pakar Ekonomi dan tidak layak untuk bercerita perihal Ekonomi tetapi, aku nak 'perasan pandai' dan nak bercerita tentang Kegawatan Ekonomi Global buat pertama kalinya dalam blog aku ni.

Ini cerita benar, bukan cerita rekaan. Sepanjang menjadi seorang pekerja, aku tak pernah menghadapi saat-saat kritikal seperti hari ini.

Mulanya aku anggap ini hanyalah bersifat sementara dan tidak akan menjejaskan banyak perkara tetapi melihat ramainya orang di luar sana yang telah diberhentikan kerja dan datang mencari kerja, aku mula mengerti bahawa masalah ini memang global, bukan hanya pada sesetengah syarikat saja.

Hari ini, apabila ada seorang pekerja yang telah berhenti kerja dua bulan lepas datang mencariku dan merayu dengan titisan air mata agar aku menolongnya mendapatkan kerja, aku jadi ingin menangis sama.

Hari ini juga aku belajar sesuatu, 'Apa yang sedang berada di dalam genggaman, jangan sesekali dilepaskan andai kita belum pasti apa yang akan menanti kita di depan sana.'


.

Bab 4...

Malam itu, Nyza sibuk mengajak aku ke Perpustakaan Universiti. Entah apa mimpinya tiba-tiba saja ingin study di sana sedangkan selama ini kami lebih selesa membaca sambil berbaring di dalam bilik. Sudah tersampuk agaknya.

Memanjat anak tangga perpustakaan, aku sudah separuh lelah. Bertahun menghuni kampus ini, boleh dikira dengan jari berapa kali lantai di sini aku pijak. Jika bukan kerana Nyza yang beria-ia mengajak, sumpah aku lebih rela duduk di katil sambil melunjurkan kaki. Sudahlah petang tadi penat memikirkan kerenah si Syamir, malam ini dengan kerenah minah ni pulak. Kalau tak diikutkan, macam-macam pula dia mengungkit. Keluar dengan Syamir bolehlah.....Dia ajak tak mahulah......Naik bingit telinga aku mendengarnya.

“Ini yang aku malas nak datang, panjat tangga pun rasa macam baru lepas lari seratus meter.” Aku mengomel sendiri ketika kami tiba di pintu utama perpustakaan tersebut.

“Eleh! Naik tangga sikit dah lelah. Orang yang berpenyakit asma pun tak lelah macam kau,” tempelak Nyza. Ikutkan hati mahu saja aku pelangkung kepalanya yang macam sudah tak betul itu.

Melewati meja-meja di dalam perpustakaan tersebut, semua orang begitu asyik sekali merenung buku. Ada juga pasangan yang sedang bertentang mata antara satu sama lain. Ada juga yang asyik berbalas senyum sesama pasangan. Pendek kata, banyak ragam boleh kita lihat di sini. Fungsi sebenar perpustakaan telah disalahguna secara sengaja.

Setengah jam duduk di kerusi mengadap Nyza, bontotku sudah naik lenguh. Bagaimana pelajar lain boleh duduk sampai berjam-jam di sini? Kepala menjadi gatal tiba-tiba bila perasaan bosan sudah mula menguasai jiwa. Memberi isyarat tangan pada Nyza, aku bangkit menuju ke rak buku.

Terjumpa buku motivasi bertajuk Menenangkan Keresahan Hati, aku menjadi leka buat seketika di tepi rak tersebut. Sedang asyik membaca di situ, tiba-tiba aku terasa ada seseorang berdiri di sebelahku.

“Dya!” Perlahan dia menyebut namaku. Mendengar suaranya, jantungku tiba-tiba berubah rentak. Darah di seluruh tubuh bagai terhenti mengalir. Wajahnya kutenung seketika sebelum berpusing untuk melangkah pergi.

“Tunggu dulu Dya." Dia menahan dan pantas sekali tangannya menyambar lenganku membuatkan langkahku terhenti. Terpaku mataku pada pegangan tangannya. Begitu berani tindakannya menaikkan amarahku. Terasa ingin sekali lagi aku menampar pipinya seperti yang pernah berlaku suatu ketika dulu.

“Jangan sesekali awak berani menyentuh saya. Biarpun berlapik baju, saya tidak pernah menghalalkannya,” tegasku, masih merenung pegangan tangannya.

“Sorry!” Pantas dia memohon maaf dan melepaskan tanganku.
"Saya cuma nak minta maaf di atas apa yang pernah berlaku antara kita dulu," luahnya dengan pandangan tepat menatap ke wajahku.



.

Penyakit Rohani

SOMBONG

Bagaimanakah yang dikatakan sombong itu? Adakah seseorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap itu boleh dikategorikan sebagai sombong? Atau adakah seseorang yang hanya bercakap ketika perlu dan tidak suka mencampuri urusan orang lain itu juga boleh dianggap sombong?

Tidak! Sombong yang dimaksudkan dengan penyakit rohani ini ialah membesarkan diri dan meremehkan orang lain. Maksudnya dia merasakan dirinya lebih baik dari orang lain dari semua segi.

Sombong adalah sejenis penyakit rohani yang di larang dalam islam seperti
sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya ada terdapat kesombongan sebesar biji zarrah" (H.R. MUSLIM)

Orang yang bersifat sombong tidak mahu bertolak ansur dengan orang lain malah lebih cenderung menginjak-injak hak orang lain. Jika sombong yang melampau, besar kemungkinan akan mengaku diri sebagai Tuhan.

Sejarah islam telah tercatat bahawa Firaun mengaku dirinya Tuhan kerasa sifat sombongnya. Iblis juga telah dicap sebagai kafir dan dijanjikan kekal di dalam neraka jahanam kerana kesombongannya yang tidak mahu sujud kepada Adam, kerana menganggap dirinya lebih hebat daripada Adam. Qarun juga terkubur ditelan tanah kerana kesombongannya yang tidak mahu mengeluarkan zakat apabila diperintahkan oleh Nabi Musa.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Ada tiga manusia yang tidak dipedulikan oleh Allah dan tidak dilihat-Nya pada hari kiamat dan bagi mereka seksa yang amat pedih. Pertama ialah orang tua yang berzina, kedua raja yang berdusta dan ketiga orang miskin yang sombong."

Bagaimana cara menghindari sifat sombong :

Secara teorinya, perbanyakkanlah membaca Al-Quran dan Hadis berkaitan kesombongan dan secara praktikalnya, perbanyakkan bergaul dengan orang-orang yang tawadduk(rendah diri) hatinya.

Harus juga sentiasa memikirkan hakikat kewujudan diri kita. Apakah yang hendak disombongkan dalam diri kita ini sedangkan kejadian kita hanyalah dari benda hina dan kotor.


.