FOLLOWERS

Banjir Kilat

Dua hari lepas, Kajang dilanda banjir kilat. Ianya sudah berkali-kali berlaku tetapi ini merupakan kali ketiga yang terburuk setakat ini. Air sungai yang melimpah begitu pantas sekali mengalir masuk ke dalam kompleks membeli-belah sehingga ke paras lutut dan merosakkan banyak harta benda. Paling teruk apabila pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan mereka di tempat parking LG komplek tidak sempat menyelamatkan kenderaan masing-masing kerana air naik terlalu pantas.

Jam lebih kurang 6.30 petang. Kelihatan banyak motosikal sudah terbalik dan ditenggelami air.


Lebih kurang 20 minit kemudian air semakin melimpah dan kenderaan sudah menjadi bersimpang siur, tidak pedulikan lagi tentang jalan sehala.


Keadaan di dalam bangunan komplek membeli-belah. Semua pekerja bertindak menyelamatkan apa yang sempat diselamatkan.


Keadaan selepas air surut. Ramai pekerja bertungkus lumus membersihkan sisa sampah yang dihanyutkan air deras.


Kenderaan sedang ditarik keluar dari tempat parking keesokan harinya.

Honda CRV yang ditenggelami air dan terpaksa ditarik keluar.

Persoalannya, sampai bilakah semua ini akan berterusan? Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan untuk menyelesai masalah ini?

4 Pengantin

Cuti seminggu aku balik kampung sebab dua orang adik sepupu aku kahwin sekali gus. Asalnya mereka ini adik sepupu tetapi sebab ayah mereka kahwin dengan mak aku atau istilah pendeknya 'ganti tikar', maka jadilah mereka sebagai adik beradik tiri aku. Di bawah ini adalah gambar mereka berempat ketika majlis menyambut menantu di rumah kami. Yang dua lelaki tulah adik2 aku. Nampak sepadan tak?

Di bawah ni pula aku sempat bergambar kenangan bersama mak aku dan adik2 seayah. Cuba teka yang mana satu aku...hikhikhik..kena pakai tudung, nampak baik aje. Tapi hubby aku cakap, pakai tudung pun ok gak. Anak aku pula sempat tanya, kenapa mata umi nampak kuning? Hish! sebab baju warna kuning ke atau sebab tudung tu?

Di sini aku bukan nak cerita pasal pengantin tetapi nak cakap pasal set pelamin yang di reka sendiri oleh satu2nya adik perempuan aku.
Percaya tak, dia sendiri yang beli kain, jahit dan sendiri panjat untuk pasang? Ok tak? Semua set pelamin tu hak milik dia. Permulaan ni kami buat untuk adik beradik dan saudara mara. Akan datang tak tahu lagi.
Habis cerita pelamin, kisah bilik pengantin pula. Dua minggu sebelum balik kampung, adik aku dah telefon bagi tahu "bilik pengantin mak tunggu mu kelik". Hampeh betul, ingatkan balik kampung boleh relaks dan cari idea buat skrip, rupa-rupanya dah ada kerja menanti. Nak tahu sebab apa? Sebenarnya, aku pun ada buat set bilik pengantin.


Percaya tak, set merah tu aku sendiri yang reka, gubah dan jahit? Percaya tak, aku sendiri yang terpaksa panjat dan pasang sebab semua orang sibuk dengan tugas masing-masing..huhuhu... pukul 4 pagi baru boleh tidur, sampai demam sebab sakit badan.
Warna biru tu pula aku jahit juga tapi adik perempuan aku yang punya sebab dia belikan kainnya. Bilik itu pula dia yang panjat dan pasang, aku tolong tengok aje. Pendek kata, aku dgn adik aku walau pun perempuan memang boleh memanjat sebab kami dari kecil memang suka panjat pokok jambu batu kat belakang rumah.
Majlis hari tu memang besar-besaran, potong lembu satu ekor, sampai naik muak makan daging. Gambar di bawah ni, kepala lembu yang telah di potong dan orang kampung sedang bergotong royong memotong dagingnya.

Majlis diserikan dengan pelbagai acara. Paling meriah acara boxing(tinju) di depan pengantin. Ada juga acara silat gayung kanak-kanak dan dewasa. Semua gambar tak sempat lagi aku upload. Bila dah dapat nanti aku posting kat sini. Di hati sempat juga berbisik, masa aku dulu2 mana ada semua ni..huhuhu...sedih jugak.
Di bawah ni pula gambar yang sempat aku rakam hari tu. Tak banyak sebab sibuk duk tolong apa yang patut kat dapur. Kiranya hari tu aku jadi macam2, 'all in one'. Hari sebelum majlis, jadi tukang pelamin. Pagi2 lagi jadi tukang masak, goreng mihun sampai 10 paket untuk jamu orang ramai yang datang menolong. Tengahari jadi mak andam, touch-up apa yang patut dan petang pula jadi tukang kemas pinggan mangkuk. Sudahnya, malam itu aku tidur bagai orang mati, kalau gemba bumi pun rasanya aku tak sedar sebab dah terlampau letih.



Rahsia Hati Si Kecil






Suatu malam ketika aku sedang menidurkan dua putraku, tiba-tiba si adik yang berusia 6 tahun bangkit duduk bersila mengadapku.
“Umi... esok-esok kalau adik dah besar, umi jadi tua ya?” Soalannya buat aku termanggu seketika. Tak terfikir dia akan bertanya soalan sebegitu.
“Ya.” Sepatah aku menjawab.
“Habis, kalau umi tua, macamana umi nak kerja? Kita macamana?” Si abang pula menyampuk.
“Kalau umi dah tua, abang dengan adik pula yang kerja, umi dengan papa duduk rumah.” Aku menjawab.
“Kalau abang kerja, siapa nak jaga umi? Dah tua mesti tak boleh jalan. Abang pergi kerja mesti lambat balik” soal si abang bertalu-talu. Si adik masih bersila mengadapku yang sedang berbaring.
Dalam samar cahaya bulan aku lihat dia seakan sedang memikirkan sesuatu. Sebelum sempat aku memikirkan jawapan sesuai untuk soalan-soalan si abang, si adik terus bersuara dengan suara separuh tangis. “Adik tak nak umi tua sebab adik sayang umi.” Mendengar luahannya, aku terus menjadi sebak.
“Tak apa, abang ada. Abang akan jaga umi dan papa.” Si abang pula bersuara untuk menenangkan adiknya dan suaranya juga kedengaran sedang menahan sebak. Saat itu terasa kelopak mataku membahang panas.
“Kalau umi tua, adik masih boleh sayang umi,” pujukku kemudiannya dan terus memeluk si kecil agar baring di sebelahku. Seketika baring dia bangkit kembali.
“Nanti kalau umi tua adik tak boleh peluk umi sebab umi busuk,” luahnya lagi dengan suara yang sudah tertahan-tahan.
Aku hampir ketawa mendengar luahannya. “Takkkk... umi tak busuk walau pun umi dah tua.” Sekali lagi aku memeluknya.
“Kalau umi dah tua nanti mesti macam nenek ya? Mesti pakai serkup kepala hitam tu ya?” si abang pula bertanya. Sekali lagi aku hampir tergelak bila mengingatkan ibu mertuaku yang selalu memakai serkup kepala bewarna hitam itu.
“Nanti kalau abang besar, abang nak tinggal kat mana?” si abang pula bertanya.
“Abang carilah rumah lain. Rumah yang lebih besar dan cantik.” Aku menjawab.
“Tak nak! Abang nak tinggal sini jugak, tinggal dengan umi dan papa dan adik.” Pantas dia menjawab. Suaranya sudah sebak kembali. “Abang tak nak jauh dari umi.” Sambungnya lagi. Saat itu, aku tidak tahu bagaimana untuk membalas bicaranya. Rasa sebak yang berkumpul menyesakkan nafasku.
“Umi...adik tak nak umi tua.” Sekali lagi si kecil ulang ayat yang sama dalam suara yang sama menjadikan dadaku makin sebak dan aku tidak lagi mampu bersuara untuk menjawab atau memujuknya. Lantas aku pejamkan mataku berpura-pura tidur.
“Umiii...” si kecil terus memanggil sambil menunduk untuk melihat mataku.
“Umi dah tidurlah dik. Jangan kacau umi, umi mesti penat.” Si abang memujuk adiknya. Seketika semuanya diam.
“Dik, nanti kalau kita dah besar, umi dah tua, kita bangun pagi buat sarapan untuk umi ya? Kita sarapan sama dengan umi.” Si abang bersuara pada si adik.
“okey,” jawab si adik pendek. Terus air mata yang berkepung di kelopak menitis perlahan ke bantal. Banyak yang berkecamuk di hatiku sehingga malam itu aku tidak dapat memejamkan mata
1. Bagaimana budak yang sekecil itu boleh berfikir sejauh itu. Aku yang sudah bergelar ibu yang sentiasa sibuk dengan soal duniawi tidak terfikir apa yang akan berlaku untuk 20 tahun akan datang.
2. Dalam waktu yang semakin singkat untuk bersama anak-anak, tidak sedar rupanya anak-anak sudah semakin pandai biarpun usia mereka masih terlalu kecil.
3. Dalam waktu yang menuntut banyak perhatian, aku alpa dengan tanggungjawab sebagai ibu kepada anak-anak. Ada ketikanya saat letih menguasai diri, anak-anak nak bermanja pun boleh terkeluar suara yang meninggi dan adakalanya anak-anak merajuk kerana sering tidak punya masa untuk mereka. Pun begitu, kasih di hati yang mereka luahkan malam ini buatkan aku insaf sendiri. Mungkin tuhan ingin menyedarkan aku dari terus alpa dengan urusan duniawi......

Sambungan MB?


Semenjak Mengukir Bahagia (MB) berada di pasaran, ramai yang bagi pendapat, kalau Tasya tu dipadankan dengan Haris mesti lagi best. Huhuhu... aku pun tak pernah terfikir begitu. Jahat sangat ke Zahim tu? Tapi, tak semua manusia yang jahat itu akan kekal jahat dan tidak semua manusia yang baik itu akan kekal baik. Itu salah satu mesejnya...
Ada juga yang tanya bila nak buat sambungan. Hah! aku tak tahu nak jawab apa sebab masa mula-mula buat cerita tu lebih 5 tahun yang lepas, tak pernah terfikir untuk menyambungnya.
Semalam, ada lagi yang tanya tentang itu sebab dia cakap rasa macam cerita tu pendek sangat dan tak puas baca. Kalau sambung dan masukkan banyak lagi konflik, buat mereka berpisah dan Tasha kembali pada Haris, mesti best. Hish! kejam aje bunyinya. Rasanya aku tak sanggup nak buat.
Tapi..tak kurang juga yang tak puas hati dengan watak Nadia. Kata mereka, watak tu tak logik sebab orang yang bijak pandai dan berjaya dalam kerjaya takkan tak boleh handle masalah keluarga sendiri. Mmmm...mungkin itu pandangan masing-masing. Tapi persoalannya, adakah semua bijak pandai dan orang yang berjaya dalam kerjaya semuanya mampu menanggani masalah peribadi dengan cemerlang? Jawapan aku ialah tidak. Contohnya tidak perlulah aku berikan di sini tetapi cuba buka mata, tepuk dada dan tanyalah hati sendiri.
Apa pun, aku berharap agar MB mampu diterima baik oleh pembaca kerana aku menulis juga adalah untuk tujuan kebaikan.....








Pest Buku PWTC part 2

Sempat bergambar kenangan dengan salah seorang penggemar novel



Maaf sebab mengambil masa yang lama untuk posting peristiwa di PWTC hari tu. Entah kenapa semenjak dua menjak ni terasa macam tak cukup masa. Adakah masa yang semakin pendek atau aku yang tak pandai menghargai masa?
Mulanya, bila tengok nama-nama yang berganding dengan aku ke pesta tu, rasa macam kecut perut. Apa tak nya, semuanya nama-nama besar dalam bidang penulisan walaupun orangnya kecil-kecil. Aku ni pula, orang yang baru nak belajar merangkak. Tapi, bila berada bersama mereka, perasaan itu terus hilang sebab mereka ni memang peramah dan aku yang terlebih peramah ni memanglah sesuaiiii....
Pada mulanya ingat tak ada orang kenal tapi ada juga penggemar novel yang menegur dan minta bergambar. Pesta tu taklah berapa meriah sebab booth pun tak banyak macam Pesta Antarabangsa tetapi untuk ‘orang baru’ seperti aku ni, ianya cukup bermakna. Walaupun pengunjung nampak tak ramai tetapi gerai Alaf 21 tetap diserbu peminat-peminat novel sampai bersesak-sesak dan terlangggar-langgar kerusi yang aku duduk.
Untuk sesiapa yang terlibat hari tu, terutama sekali Kak Wan, Kak Meen, Damya, Leez, Fira dan sesiapa yang tidak tersebut namanya di sini, terima kasih...terima kasih ... terima kasih, hanya itu yang mampu aku ucapkan.....







Pesta Buku Malaysia di PWTC

Temui aku dan beberapa novelis Alaf21 yang lain di Pesta Buku Malaysia bertempat di PWTC pada hari Ahad (3 ogos 08).

Meen Zulaikha .................Hani Fazuha


Damya ......................Adida Adriana

PUTRAfm - Edisi ke 2

Tengah menunggu di luar Konti Putrafm sebelum ke udara


Bersama DJ Ed sejurus selepas ke udara


Sewaktu dibawa memasuki Konti Putrafm oleh DJ Edriana atau Ed, debar di hati tetap ada walaupun tidak sehebat debaran ketika melangkah ke Studio WW Astro Awani hari tu. Mungkin kali ni, aku telah berjaya mengajar hatiku agar sentiasa bertenang dalam menghadapi apa jua yang mendatang kerana apabila melibatkan diri dalam bidang ini, aku harus bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran terutamanya kritikan.
Sebelum ke udara, aku berpeluang beramah mesra dengan Ed dan juga pembantunya, Su. Dengan itu, aku tidak merasa kekok untuk bercerita apabila ke udara. Mula-mula tu terfikir juga, masa satu jam terlalu panjang tetapi pada hari tersebut, rasa macam tak cukup pulak satu jam tu. Maklum saja, dari cerita buku MB meleret-leret kepada cerita zaman dulu-dulu di mana aku juga pernah menjadi penghuni kampus tersebut selama tiga tahun...huhuhu...kalau bercerita nakalnya zaman bergelar siswi dulu, memang satu hari pun tak cukup.
Apa pun, satu jam tu memang kenangan terindah dalam hidupku. Terima kasih yang tak terhingga untuk semua yang terlibat kerana membuka jalan untuk aku merasai apa yang tidak pernah aku impikan sebelum ini.