FOLLOWERS

Lagi kisah Katrina Anis...

Aku betul-betul sakit hati. Sakit yang teramat sehinggakan seluruh semangatku bagai telah hilang semuanya. Kalau bukan kerana mesyuarat penting yang harus aku hadiri hari ini, pastinya waktu ini aku masih melingkar di atas katil. Semuanya gara-gara Razak Ashraf.
Arrrggghh!!! Aku terasa ingin menjerit. Kalau boleh aku membenci, dialah orang pertama yang ingin aku benci. Tetapi, setiap kali aku cuba untuk membencinya, setiap kali itu juga rasa sayang makin bertambah dan melimpah ruah.
Mungkinkah benar kata orang, bila kita menyayangi seseorang, bermakna kita sudah melerakan hati kita disakiti dan dilukai? Rasanya inilah perkara paling bodoh yang berlaku dalam hidupku, disakiti dan dilukai berkali-kali tetapi hati masih tetap menyayangi.
“Hoi! Termenung panjang nampak? Boyfriend kena kebas orang ke?” Mulut celupar Mira menyergahku tanpa salam.
“Mulut jangan celupar, kan ada yang makan penampar hari ni?”
“Amboi! garangnya. Ni mesti si Ashraf tu buat hal lagi.” Tekaan Mira tepat mengena sasaran.
“Enkau kalau pasal Ashraf, angin sepoi-sepoi bahasa pun boleh bertukar jadi ribut taufan dalam sekelip mata. Yang aku pelik tu, tak serik-serik juga.” Selamba dia menempelakku.
“Jomlah! Kita pergi makan, lagi baik dari duduk melayan emosi kau yang tak menentu tu.” Dia sudah bertindak menarik tanganku untuk berdiri. Tanpa banyak bicara, aku turutkan saja ajakannya apatah lagi perutku juga sudah berlagu irama keroncong.
Baru saja melangkah melepasi pintu utama pejabat, Razak Ashraf sudah tercegat berdiri disitu, bagai jaga yang sedang menjaga pintu pulak lagaknya.
Tanpa mempedulikan kehadirannya, aku terus mengatur langkah. Namun, dia bertindak menyambar tanganku.
“Kalau nak berperang, tolong pergi jauh dari tempat awam. Nanti aku tak mengaku kawan.” Mira menyindir sebelum berlalu meninggalkan kami berdua di situ.
“Lepaslah!” Aku membentak kasar sambil menarik kembali tanganku yang di genggamnya.
“Aku call kau banyak kali, kenapa off phone?” Dia terus menyoalku dengan pandangan tepat ke wajahku.
“Aku punya phone, suka akulah nak off atau nak on.” Kasar bahasaku menjawab soalannya. Saat ini, dia memang layak dilayan begitu.
Dia mengeluh perlahan, menarik nafas panjang dan merenungku lama, renungan yang mampu mengganggu gugat jiwa wanitaku.
“Apa lagi yang tak kena niiii?” Lembut suaranya bertanya. Suaranya yang sebegitulah yang sering membuatkan aku lemah dan lemas ditenggelami perasaan sendiri.
“Kau tak perlu tanya aku soalan bodoh tu, sebab….. kau sendiri tahu jawapannya.” Kata-kataku membuatkan dia terpinga-pinga seketika. Keningnya berkerut memikirkan sesuatu.
Ah! Dia memang pandai berpura-pura. Sudah berkali-kali aku katakan bahawa aku tidak ingin lagi dia mempunyai apa-apa kaitan dengan ‘perempuan perosak’ itu, dia tetap tidak ingin mengerti hatiku. Kerana perempuan itu, kami pernah terpisah bertahun lamanya. Kini, apabila kasih kami bertaut kembali, perempuan itu muncul kembali bagai parasit yang sedang menghancurkan segalanya secara perlahan-lahan.
“Sayanggg….”
“Kau sayang aku ke?” Pantas aku memotong bicaranya.
“Kalau kau sayang aku, kau takkan keluar dengan perempuan gedik tu.” Marahku mula berapi-rapi. Memikirkan perempuan itu sudah cukup membuatkan bara di hatiku marak menyala apatah lagi tatakala melihat mereka berdua duduk semeja di hotel bertaraf lima bintang malam tadi.
“Ooo… Pasal Dania la niiii…..” Dia seakan baru mengerti punca kemarahanku saat ini.
“Come on la sayang…. Aku kan ada urusan business dengan dia. Business tak kenal perempuan tu gedik atau alim.” Jawapan selambanya makin menaikkan darahku. Pantas aku bergerak laju meninggalkan dia di situ.
“Kat!” Dia menjerit memanggil namaku.
“Katrina Anis!!! Dia mengejarku dan sekali lagi sempat menyambar tanganku membuatkan langkahku terhenti dan berpusing mengadapnya.
“Okey! Okey! Kalau aku melukakan kau, aku minta maaf tapi aku tak pernah berniat begitu.” Dia bagai ingin memujuk.
“Waktu kau mencurangi aku dulu pun, kau juga tak pernah berniat begitu kan?” Semburku dengan rasa geram yang bergumpal di dada. Entah kenapa, kalau hal-hal yang berkaitan perempuan itu, darahku cepat saja menyirap ke muka.
“Kau nak tahu satu perkara tak?” Suaraku masih bernada geram.
“Kalaulah sekeping hati aku ni boleh dilihat, kesan calar dan parut lukanya sudah terlalu banyak terukir di situ kerana kau. Dan..... satu perkara yang harus kau ingat, jika sekali lagi kau cabut keluar perasaan yang ada di hati aku ni, akan aku kuburkan semuanya....waktu tu, kau hanya mampu melihat nisannya saja.” Turun naik dadaku melepaskan apa yang terbuku di hati namun, dia hanya mempamerkan wajah selamba.
“Tapi sayang.... batu nisan tu biarlah batu nisan yang cantik yer, supaya bila aku lihat benda alah tu, aku akan teringat kau sebab kaulah wanita tercantik di mata aku.” Dia masih boleh berlawak di saat api kemarahan sedang marak membakar hatiku. Itulah Razak Ashraf, lelaki yang tidak pernah mampu aku keluarkan dari ruang hatiku ini.
Sepantas kilat jemariku sudah melekat di lengannya dan satu cubitan kejam aku hadiahkan padanya.
“Aduhhh!! Aduhhh..sakit yang...sakitttt!!!” Dia menjerit kesakitan.
“I’m serious.” Tegasku dalam usaha menahan ketawa.
“Okey! Okey! Sorry!. Sumpah sayang....aku takkan buat sesuatu yang akan menyakitkan hati kau. Datanglah bidadari syurga keliling aku pun, aku tetap sayang kau sorang aje.”
Ah! manis betul janji setianya. Kalaulah kemanisannya itu boleh dirasai, pastinya semua semut akan datang menghurungnya. Namun, bolehkah dipercayai janji manis dari bibir seorang lelaki? Tepuk dada, tanyalah hati.

No comments: