FOLLOWERS

KASIH ITU CINTA - BAb 1

MEMANDANG Dya yang dari tadi tidak mempedulikan kehadirannya di dalam bilik itu, Zarif sedut nafas dalam-dalam. Perkahwinan ini memang kehendak hatinya. Ijab dan kabul ini memang telah lama dia doakan, sejak jemari Dya ‘singgah’ di pipinya berpuluh tahun dulu. Sejak itu, dia sentiasa berdoa, agar Tuhan temukan kembali dia dengan pemilik mata indah ini. Dan ternyata, doanya dimakbulkan.
            Tapi dia tahu, perkahwinan ini bukan kehendak hati Dya. Dia juga tahu persetujuan Dya dipenuhi rasa keterpaksaan. Pun begitu, dia amat berharap, keterpaksaan akan bertukar menjadi sebaliknya
            “Kenapa pandang saya macam tu?” Suara Dya tiba-tiba menyergah. Dari cermin solek, si isteri sudah melabuhkan punggung di katil.
            Zarif senyum dan kepala digeleng perlahan. Langkahnya diatur menghampiri si isteri.
            “Garang betul bercakap dengan suami. Patutlah staf awak cakap awak ni garang macam harimau.” Dia bersuara dengan leretan senyuman di bibir sambil berdiri tegak berhampiran katil. Sebelah tangannya memeluk tubuh manakala sebelah lagi meraba-raba dagunya yang berlekuk.
            “Siapa cakap saya garang?” Dya melenting tiba-tiba. Tapi bibir Zarif masih dengan senyuman. Itu yang dia mahu sebenarnya. Mahu menarik suara si isteri keluar dari kerongkong. Kalau bukan dengan cara provokasi, Dya seperti manusia bisu.
            “Maria selalu cakap...”
            “Hah! Percaya sangatlah cakap dia tu!” Dya pantas memintas. Muka sudah memerah. Marah!
            “Baguslah! Dia pun memang tergila-gilakan awak. Patutnya awak kahwin dengan dia, bukan dengan saya,” sambungnya lagi. Dari duduk Dya bangkit berdiri dan dada bidang si suami ditolak kasar sehingga terundur beberapa langkah.
            Pun begitu, senyum Zarif makin melebar. Dia sudah nampak jalan untuk menjentik hati beku seorang Dya.
            “Kalau awak setuju bermadu dengan Maria, saya tak kisah. Kita kan kahwin sebab keluarga, apa salahnya saya kahwin lagi satu dengan orang yang betul-betul nakkan saya?” Sengaja mahu melonjakkan lagi hormon Adrenalin si isteri. Maria yang menjadi topik perbualan mereka itu adalah rakan sekerja Dya. Dia kenal pun sebab gadir itu selalu mengunjungi klinik tempat dia bertugas.  
            “Pergilah kahwin dengan sesiapa saja yang awak suka! Saya tak heran pun.” Tona suara Dya sudah berubah.
            Tiba-tiba Zarif meletuskan tawa.
            “Cakap tak heran, tapi muka macam orang marah aje,” selarnya dalam tawa yang masih bersisa.
            Tanpa diduga, tangan Dya terus mencapai frame gambar yang terletak di atas meja sisi katil.
            “Whoa! Whoa! Jangan baling! Nanti semua orang kat luar sana ingat kita berperang.”  Zarif pantas bertindak merampas frame tersebut sebelum sempat ia menjadi objek balingan. Kalau tidak, sahih bengkak kepala.
            “Gambar ni merupakan harta yang paling saya sayang. Awak pukul saya tak apa, tapi gambar ni tolonglah jangan apa-apakan,” ujar Zarif sebelum meletakkan kembali gambar tersebut ke tempat asal.
            Selangkah Dya bergerak, Zarif bertindak memaut pinggang si isteri dan satu ciuman di lekatkan ke pipi. Sudah lama dia idamkan pipi mulus itu.
            “Hmm... wangi,” senda Zarif.
            “Lepaslah!” Dya membentak marah sambil meronta mahu melepaskan diri. Namun, Zarif makin mengeratkan pelukannya, sengaja mahu menaikkan kemarahan si isteri.
            “Lepassss!!!” Kali ini Dya sudah terjerit kuat. Tangannya menolak tubuh Zarif. Kuat!  Sehingga pautan di pinggangnya terlerai.
            “I hate you!” Kali ni suara Dya sudah merendah. Air matanya pula yang seakan mahu melimpah. Entah kenapa, perlakuan Zarif buat Dya rasa semua lelaki adalah sama.
            “Esok awak tolong hantar saya balik ke rumah sewa saya. Awak buat hal awak, saya buat hal saya.”
            Zarif terus terdiam, memandang si isteri tanpa suara.
            “Kalau awak nak kahwin lain pun saya tak kisah. Yang pasti, saya tak boleh hidup dengan awak. Tengok muka awak pun saya dah benci apatah lagi untuk bersama awak,” sambung Dya lagi.
            Mata dialih mendongak ke atas. Nafas disedut panjang. Cara Dya luahkan kata benci itu buat hatinya terguris. Ada ke lelaki yang malang seperti dia? Di hari pertama perkahwina isteri sudah berkali-kali berkata benci dan berkali juga meminta agar dia berkahwin lain? Rasanya, hanya dia satu-satunya lelaki itu.

            Tak mahu memanjang pertelingkahan, Zarif atur langkah ke bilik air untuk mandi dan berwuduk. Tadi, ketika dia masuk ke bilik, Dya baru selesai menunaikan solat isyak, bersolat sendiri tanpa menunggu dia.

            Keluar dari bilik air, Zarif lihat si isteri sudah berbaring di sofa, berselimut sehingga ke kepala. Pantas kepalanya mengeleng beberapa kali. Tungguhlah, dia selesaikan urusan dengan YANG ESA dulu. Tahulah apa dia nak buat.

            Seusai solat Isyak dan bermunajat pada Ilahi, Zarif atur langkah ke sofa di mana Dya elok terbaring di situ. Punggung terus dilabuhkan di bahagian kaki si isteri, sengaja menghimpit.

            Tepat dugaannya, selimut yang menutup seluruh kepala terus terselak. Zarif simpan gelak, buat-buat muka bersahaja dengan pandangan terarah ke kaca TV.

            “Banyak-banyak tempat, kat sini jugak awak nak menyelit!” Dya bingkas duduk. Memandang tajam ke arah si suami di sebelah yang masih menayang muka bersahaja.

            “Tempat tidur kat katil sayang, sini tempat duduk tengok TV.” Suara Zarif selamba membalas, seselamba wajahnya waktu itu.

            Dari kaca TV yang terpasang, wajahnya ditoleh sekilas dan senyum diukir. Muka si isteri tak perlu diceritakan, macam singa nak membahang mangsa. Garang sungguh!

            “Tidurlah kat atas katil. Saya nak tengok TV sekejap.” Suaranya dilembutkan, nada memujuk.

            Tanpa suara, Dya akur.  Bangkit berdiri dan selimut ditarik kasar sebingga Zarif hampir terjatuh.

            Melihat tingkah kasar si isteri, Zarif mengeleng berkali-kali. ‘Dah la garang, ganas pulak tu.’

            Macam manalah dia boleh terjatuh suka? Walhal sebelum bertemu Dya lama dulu, hatinya hanya menginginkan yang lemah gemalai.

            Tapi, tingkah Dya yang pelik, buat dia mahu lebih mengenali. Diam seorang Dya, buat hatinya makin teruja. Dan kasar seorang Dya, buat dia tekad untuk melembutkan.


            Sejak dulu, sejak lama dulu, dia memang sudah tahu. Dya yang pendiam tetapi sentiasa bertingkah kasar bila ada yang mengusik. Tapi, hatinya yang tiba-tiba berubah mahukan yang pelik-pelik. Jadinya, terpaksalah tanggung sendiri.

KASIH ITU CINTA - PROLOG

Ke kiri si gadis melangkah, maka ke kirilah juga Zarif menghadang. Ke kanan si dia mengelak, maka ke kanan juga Zarif melangkah.
Sudahnya, sang gadis tegak berdiri merenungnya dengan renungan tajam penuh amarah. Tapi peliknya, makin tajam renungan mata itu, makin hati Zarif bagai dipalu-palu.
“Kau nak apa sebenarnya ni?”
“Nak kau, boleh?” Zarif angkat-angkat kening. Mata cantik Dya ditenung penuh minat.

Kalau kau berjaya keluarkan suara dia yang mahal tu dan usik hati beku dia, kau boleh dianggap hebat. Sebabnya… perempuan yang bernama Ardyana tu, suaranya sangat-sangat mahal. Matanya yang cantik tu tak pernah nak pandang kaum lelaki.’

Teringat kembali kata-kata Hasif, ketua pengawas yang boleh dikatakan otai di sekoah Sri Iskandar 2 itu. Tapi yang sebenarnya, bukan sebab cabaran Hasif dia ‘mengejar’ Dya. Hatinya yang tiba-tiba jatuh tergolek tatkala pertama kali melihat bening mata wanita ini yang membuatkan dia terkejar-kejar.
Cuma yang menjadikan dia sangat geram, Dya seperti wanita yang tak punya perasaan. Lelaki sekacak dia pun tak dipandang. Seluruh skil mengayat perempuan sudah dibentangkan tetapi langsung tak berkesan. Sudahnya, dia guna cara ‘jahat’. Sentiasa mencari peluang untuk menyakitkan hati seorang Dya.
“Kenapa kau suka jadi kera sumbang?” asak Zarif lagi, dalam usaha memancing suara Dya.
“Boleh tak buat hal sendiri?” Dya tahan sabar.

Zarif pula rasa tercabar dengan ketenangan yang terpamer di wajah Dya.
“Jangan sombong Dya. Sebab kau tu bukanlah cantik mana pun nak menyombong dengan orang.”
Dya genggam jemari sendiri. Sabarlah wahai hati.
“Aku bukan nak menyibuk hal kau tapi aku menyampah tengok perempuan sombong macam kau.  Kalau cantik tu takpe jugak, ini tidak.....bagi free pun rasanya aku tak terliur…..
Pang!!! 
Satu tamparan singgah di pipi kiri Zarif sebelum sempat dia menghabiskan ayatnya.
Sengaja! Memang dia sengaja mahu menyakitkan hati Dya dalam usaha mengundang suara si gadis dan juga mahu menarik perhatian. Tapi, lain pula yang dia dapat.
Zarif gosok pipi sendiri. Hilang kata-kata buat beberapa detik. Tapi, saat dia mahu bersuara kembali, Dya telah pun pergi.
Kenapa pipinya yang ditampar tetapi hatinya pula yang melompat keluar?
Zarif pegang pula dada sendiri. Nasib baik jantungnya masih di tempat asal dan tetap berfungsi.

‘Dya, kau tahu tak apa yang telah kau buat pada aku? Hati aku hanya sekeping, tapi kau dah curi dan bawa pergi.’




*** INI KISAH INSPIRASI DAN KESINAMBUNGAN NOVEL BEBUNGA KASIH*** 

Bab 9 - YANG BERNAMA CINTA




Hani rasa semput. Dulu.... Hazril selalu buat dia sesak nafas dengan aksi mesranya bersama Nadia. Kini, setelah dia mampu mengikis segala rasa yang merasuk di hati terhadap lelaki itu, Hazril muncul lagi dan kali ini munculnya dengan perangai yang sangat pelik.
Tolonglah! Jangan dilibatkan lagi hatinya dengan sesuatu yang sangat menyakitkan. Tolong jangan diuji lagi sekeping hatinya yang sangat rapuh ini.
Belum sempat nafasnya kembali teratur, pesanan ringkas yang masuk ke telefon bimbitnya  buatkan Hani rasa macam nak pitam. En Syed Al-Kashah, GM dari Head Office dalam perjalanan ke situ untuk lawatan mengejut.
Aduhai! Ini lagi sorang manusia yang boleh buat dia naik semput. Kalau datang, bukan hal kerja yang dibincangnya. Selalunya akan melalut entah ke mana-mana.
Enam tahun bekerja di situ, dia memang kenal sangat dengan Syed Al-Kashah, anak kepada tuan punya Sutera Group yang mempunyai rangkaian pasaraya di seluruh Malaysia. Seorang duda kacak bergaya yang punya banyak skandal dengan pekerja wanita di merata tempat. Dan, salah seorang yang dijadikan gosip skandal dengan lelaki tersebut adalah dirinya sendiri.
Oh! Hani, silalah jauhkan dirimu dari lelaki buaya tembaga bersalut emas  macam lelaki itu. Sangat-sangat bahaya untuk diri sendiri.
"You tak apalah, boleh senang-senang goyang kaki sebab big boss sayang." Itulah ayat yang selalu Hani dengar bila berkumpul di bilik meeting di Ibu Pejabat.
Huh! Ayat yang buatkan dia rasa macam nak terajang orang. Ingat dia makan gaji buta ke duduk goyang kaki. Kerja macam nak mati, boleh lagi orang cakap macam gitu.

            'Cosmetic Dept'

Pesanan ringkas diterima lagi mengembalikan Hani dari ingatan kenangan lama. Pesanannya memang selalu ringkas, sekadar memberitahu lokasi dan mahu tak mahu Hani terpaksa juga melangkah mencari lelaki itu.
"Hai!" Syed Al-Kashah menyapa dulu sebaik Hani tiba. Pandanganya meneliti Hani atas dan bawah.
"Hai. Lama sampai?" Hani berbasa basi.
"Just walk around." balas Syed Al-Kashah dengan pandangannya masih tidak berganjak dari meneliti Hani.
"Why?" Hani kerut kening melihat tingkah lelaki berpangkat General Manager itu.
"I,m curious...."
"Why?" Soalan yang sama keluar dari bibir Hani. Pelik dengan bicara lelaki yang masih menelitinya atas dan bawah itu.
“You nampak berbeza. Rasanya baru tiga bulan I tak jumpa you kan?."
“Apa yang bezanya?" Hani telek diri sendiri. Blouse Polo putih belang pink, seluar slack hitam dan tudung pink berbunga hitam. Ini memang pakaian biasa dia datang kerja.
"Look gorgeous....." Syed Al-Kashah sengih gaya kasanova. Memang kacak! Mungkin sebab itulah ramai yang selalu memuji.
Tapi bagi Hani dia tak hairan dengan semua itu termasuklah pujian sebegitu. Setiap kali datang ke situ, mulut Syed Al-Kashah memang sentiasa manis. Agaknya, gula pun tak semanis ayat-ayat pujian yang keluar dari bibir lelaki itu.
"You makan apa yer, makin hari makin cantik." Syed Al-Kashah seakan berbisik, merapatkan wajahnya ke arah Hani.
Isk! Dia ni, nak jual minyak tak agak-agak langsung. Tempat terbuka macam ni pun suka buat aksi lepas laku.
"I makan orang tau. So, jangan dekat." Hani senyum sambil bergerak sedikit menjauh.
“Wow! Kalau you, I tak kisah jadi mangsa kena kunyah.” 
Oh! Pleaseeeee... jangan dilayan Hani, takut ulat bulu naik daun. Bila dah sampai ke tahap tu, susah nak uruskan nanti.
So, any comment?” Hani pantas mengubah topik, bertanya soal kerja. Selalunya, Syed Al-Kashah akan memberi komen apa yang dia rasa perlu diperbaiki setiap kali membuat lawatan rasmi ke situ.
Nothing!” Syed Al-Kashah ngeleng kepala. Susah sungguh nak ‘makan’  gadis manis di depannya ini. Entah kenapa, makin hari dia rasakan penyakit di hatinya makin merebak. Semakin hari nama dan wajah Hani makin menguasai wilayah hatinya.
Selalunya, kalau ke cawangan lain, dia akan pergi bersama PA dan juga Assistantnya tetapi kalau ke cawangan ini, dia sengaja datang sendirian. Senang untuk dia menjalankan misinya mengayat Hani tanpa sebarang gangguan.
Nothing?” Hani inginkan kepastian.
“Mmmm....All area looked neat and tidy and more better from my last visit.” Syed Al-Kashah angguk kepala.
“Okey!” Hani senyum meleret.
“Oh! Sebelum I lupa.” Tiba-tiba Syed Al-Kashah petik jari.
Come...” Dengan selambanya dia menarik tangan Hani mengikut langkahnya.
Eh! Apa ni? Hani rasa macam nak menjerit kerana terperanjat. Tak pernah-pernah lelaki ini buat benda diluar jangkaan begini. Salah makan ubat ke dia hari ini?
Saat yang sama mata Hani tiba-tiba  terpandangkan  Hazril yang sedang ketawa gembira bersama Maria Hanim. Tak tahu kenapa, melihat panorama itu hatinya jadi hangat dengan pelbagai rasa.
Sejak awal lagi dia sudah nampak yang Management Trainee bernama Maria Hanim itu suka menarik perhatian Hazril dan kerana itu dia jadi tidak suka pada wanita itu. Kenapa perlu ada rasa sebegitu dia sendiri kurang pasti? Yang pasti dia memang betul-betul kurang selesa.
“Okey you berdiri sini dan tengok promotion area sana.” Syed Al-Kashah memberi arahan. Waktu itu, mereka berdiri berhampiran dengan tempat Hazril bersama Maria Hanim bergelak ketawa tadi.
Hani kerut kening tanda tidak faham. Selebihnya dia sedang gugup. Tak tahu sebab apa tetapi yang pasti hatinya sedang  bergelora melihat adengan mesra Hazril bersama Maria Hanim. Lagi satu sebab, wangian maskulin yang dipakai Syed Al-Kashah betul-betul buatkan dia hilang fokus apatah lagi bila lelaki itu bertingkah mesra dan berdiri begitu hampir dengannya.
My Dear....” Sambil mengeleng kepala, sekali lagi Syed-Kashah mencapai tangan Hanu dan ditunjukkan ke arah yang dimaksudkannya. Mereka kini berdiri selari dengan tangan kanan Hani di pegang Syed Al-Kashah dan dihalakan ke satu arah.
Tanpa mereka sedari tingkah mereka diperhatikan dan orang yang betul-betul sakit hati melihat kemesraan itu ialah Hazril. Kalau boleh, dia nak aje lipat-lipat si Syed Al-Kashah tu masuk dalam paper beg. Nampaknya, halangan untuk dia dapatkan Hani bukan sembarangan orang. Patutlah Hani macam tak sudi pandang dia walaupun sebelah mata.



MELEPASKAN lelah setelah kepulangan Syed Al-Kashah, Hani duduk di kerusi dalam pejabatnya dengan kepala bersandar ke belakang dengan mata terpejam. Tak tahu nak cerita bagaimana tetapi berdepan dengan Syed Al-Kashah, dia rasa lelah tanpa perlu berlari laju.
“Siapa lelaki tu?” Suara seseorang yang bergema di dalam bilik pejabatnya buatkan mata Hani spontan terbuka dan duduknya terus menegak.
Hazril? Bila masa pula mamat  ni masuk ke sini? Kenapa telinganya tak dengar pintu dibuka? Atau, sebab otaknya sedang berlari sana sini, telinganya juga jadi pekak dan tuli?
“Lelaki mana pulak ni?” Hani kecilkan mata memandang Hazril yang bersandar di belakang pintu sambil berpeluk tubuh.
“Bermersa dan berpegang tangan depan khalayak ramai, masih nak tanya siapa? Tak malu ke jadi perempuan murah macam tu?” Hazril terus keluarkan ayat pedas membuatkan Hani pantas bangkit berdiri.
“Hey! Kalau kau masuk pejabat aku dengan tujuan untuk menghina, baik kau keluar sekarang!” Telunjuk Hani lurus menunjuk ke arah pintu. Dadanya turun naik menahan rasa marah yang tiba-tiba memuncak.
Ayat pedas Hazril buatkan telinga Hani terasa berasap. Agaknya cili yang digunakan oleh Hazril bukan cili biasa-biasa tetapi cili kampung yang boleh kebaskan lidah bila tergigitnya.
Hazril senyum. Langsung tak takut dengan kemarahan yang ditunjukkan Hani. Malah, dia makin mara menghampiri wanita tersebut. Bos tak bos, apa dia nak kisah.
“Kau keluar sekarang!!!” Hani separuh menjerit, melangkah menuju ke arah pintu dengan tujuan membuka daun pintu tersebut untuk Hazril keluar.
Namun, belum sempat melepasi Hazril yang sudah berdiri di depan meja, lengannya dipaut membuatkan langkahnya terhenti.
Berusaha melepaskan tangan dari genggaman Hazril, pandangan mata saling bertingkh. Hazril dengan wajah bersahajanya manakala Hani dengan wajah berangnya.
“Awak marah macam mana pun saya memang tak takut. Tapi, awak perlu takut bila saya marah.” Hazril rapatkan wajahnya ke wajah Hani. Penuh berani.
“Sebabnya...bila saya marah, awak tak boleh nak jangka apa yang mampu saya buat,” sambung Hazril nada berbisik tetapi bercampur amaran.
“Apa hak kau nak marah aku?” Hani mencabar.
“Lepaslah!!!!” Separuh menjerit Hani rentap tangannya tetapi pegangan Hazril terlalu kuat.
Buat seketika mata mereka saling bertingkah. Ada rasa pelik menjalar dari mata turun ke hati dan rasa itu bertukar menjadi getaran menggegarkan hati mereka. Buat seketika, Hani rasa seperti urat sarafnya kejang dan dia langsung tidak mampu bergerak.
Sedetik masa bergerak, seinci Hazril mendekat sehingga kedudukan mereka menjadi sangat rapat.
“Hazrilllll...” Hani menahan dada Hazril dengan tangan kirinya.
Oh! Debar di hatinya bagai menggegarkan otaknya sekali. Godaan Hazril sangat dasyat sehingga dia hampir tewas. Nasib baik lagi waktu lunch dan hanya tinggal dia dan Hazril saja di pejabat tersebut.
“Awak rasa apa yang saya rasa Hani?” Soal Hazril lembut dan kedengaran sangat menggoda di telinga Hani.
Hani pejam mata sambil tahan nafas. Tangannya masih mencuba untuk lepas dari pegangan Hazril.
“Tolong lepaskan tangan aku dulu. Nanti kalau orang nampak tak elok. Dah la berdua aje dalam pejabat ni.” Hani cuba berdiplomasi. Dia mula sedar kekerasan tidak mampu menanggani kerenah lelaki di depannya ini.
Hazril lepaskan nafas panjang. Perlahan pegangannya di tangan Hani dilonggarkan. Suara Hani yang lembut begitu buatkan dia kalah.
Hani gosok lengannya yang terasa perit. Hazril ni tulang besi ke apa. Rasa macam nak patah tangannya.
“Sakit ke?” Tanpa amaran Hazril capai jemari Hani dan butang lengan kemeja Hani dibuka juga tanpa amaran.
Perlahan jemarinya menggosok pergelangan tangan Hani yang berbekas merah akibat cengkamannya.
Hani yang melihat tingkah keperihatinan Hazril terus gamam di situ. Tak sempat berfikir untuk bertindak apa-apa.
Sorry.... saya tak bermaksud nak sakitkan awak,” ucap Hazril penuh nada kesal sambil jemarinya masih menggosok di tempat yang berbekas itu.
Matanya memaut mata Hani. Dan...Hani rasa dia jatuh cinta sekali lagi. Ini bukan kali kedua, malah dia sendiri tidak ingat kali ke berapa hatinya jatuh tergolek kerana lelaki  ini.

Kalau dulu, dengan hanya mendengar tawa dan melihat senyum manis Hazril dia boleh jatuh cinta berkali-kali, inikan pula bila Hazril beringkah romantik begini. Rasanya,  kalau Hazril sering begini, jangka hayat jantungnya akan menjadi makin pendek.

LIMITED EDITION




Nampak tak?

Inilah cover cerita terbaru saya, ASALKAN DIA BAHAGIA. Bersama penulis Idea Kreatif, Syeena Hamdan dengan cerita LANGIT BIRU YANG SAMA. Dua cerita di dalam satu naskah.


Ini merupakan Limited Edition yang akan diprint mengikut jumlah yang order sahaja. Tidak dijual di kedai buku melainkan secara online melalui ejen yang dilantik sahaja.

Order telah dibuka pada 27hb Sept 2014 dan akan ditutup pada 15 Okt 2014. Penghantaran akan dibuat pada 28 Okt 2014. Siapa yang nak beli, harus beli dalam tempoh order buka. Bila dah tutup, tak boleh lagi dah dan tak akan ada lagi sebab tak akan reprint.

Harga buku RM27 + postage RM6 ( semenanjung) dan RM30 + RM10(Sabah/Sarawak)

Anda boleh berhuhung dengan ejen di bawah untuk pesanan. Boleh PM di FB:

Liza Wati 
Sarinah Aini
Yatie Pyan
Ayu Dzulkarnain
Mazlinda Zainul Abidin
Tie Tinie


Sinopsis :

        ASALKAN DIA BAHAGIA
         
            Dunia ini bukan hanya untuk kita dan hidup ini, bukan hanya untuk ketawa gembira.
            Payahnya menjadi seorang Adira Imani apabila bahagia yang dia ada seakan tiba-tiba
            ditarik pergi.
            Payahnya menjadi seorang Haris Aryan apabila setiap kebaikannya sering disalah erti.
            Payahnya menjadi seorang Ikmal Reza apabila setiap yang dia mahu tak pernah mampu
            dimiliki.
            Lebih payah lagi apabila cinta yang wujud di hati, harus disimpan sendiri.


LANGIT BIRU YANG SAMA

Peliknya cinta bila kita sendiri tidak tahu bagaimana ia boleh tiba-tiba ada.
Sakitnya rasa apabila kita tahu orang yang kita suka sebenarnya tidak layak untuk kita cinta.
Ainun sedar, dia bukan siapa-siapa. Walau Alzam kata ‘kita’ memandang langit yang sama, tapi bumi yang kita pijak ada bezanya.
Tapi, Alzam ada caranya yang tersendiri bagaimana untuk menjadikan Ainun hak miliknya.


          

Sentuh Hati Dia - Prolog

DATANG jumpa si teman asalnya nak bincang hal bisnes tapi topik lain pula yang keluar. Taufik kalau diberi peluang bercakap, memang semua dia harung satu kali.

Dari topik kawan-kawan, masuk ke topik adiknya yang kini dikatakan sedang rapat dengan seseorang yang dia tak suka. Macam-macam cerita.

“Apa kata kau aje yang pinang adik aku tu.” Ayat terakhir yang keluar dari bibir Taufik membuatkan badan Haraz spontan menegak.

Pinang adik Taufik yang nama Humaira tu? Otaknya terus berlari laju. Mencerna maklumat si empunya diri yang dimaksudkan. Cantik manis tapi garangnya yang amat.

“Adik kau tu, pandang aku pun macam nak telan orang! Tak berani aku.”

“Alah! kata kasanova tersohor. Takkan nak tackle adik aku yang biasa-biasa tu pun tak berani,” provok Taufik.

“Itu dulu. Sekarang aku dah bersara.” Haraz geleng kepala. Kasanova tersohor tu, gelaran dulu-dulu. Sekarang tak lagi.

“Atau kau masih ada hati dengan Arissa?” Taufik angkat-angkat kening. Sengaja nak korek isi hati si teman.

Bukan dia tak tahu apa yang berlaku. Haraz  pernah jadi manusia serabai kerana kecewa dengan awek yang bernama Arissa tu.

Kemudian, tiba-tiba saja berubah. Muka yang dulu jadi regular customer kelab-kelab mewah, kini dah jadi pengunjung tetap masjid.

“Sudah-sudah la tu bro. Orang tu pun dah beranak pinak dah.”

“Aku dah tak ingat dia laaaa...” rendah suara Haraz.

Sejujurnya, dia memang dah lupa pun kisah lama. Cuma, dia tak mahu terjebak dengan mana-mana perempuan sebelum tiba seruan untuk berkahwin. Takut godaan kerana godaan paling dasyat untuk lelaki adalah perempuan.

“Kalau dah tak ingat. Buktikan.”

“Kau nak aku bukti apa ni?”

“Tackle adik aku sampai dapat. Aku teringinlah nak ada adik ipar macam kau.” Taufik gelak.

“Kau memang seorang abang yang gila. Kalau aku jadi adik ipar kau, takut dengan aku sekali turut gila. Dah la adik kau tu garang semacam.” Haraz bangkit berdiri.

“Kau buktikan yang kau tak gila. Pikat adik aku sampai dapat!”

Haraz geleng kepala. Taufik ni memanglah dah gila. Sebab tak suka adiknya berkawan dengan mamat yang terkenal dengan perangai playboy zaman sekolah dulu, dia pula yang nak dijadikan galang ganti.

Mana tahu orang tu dah berubah? Hidayah itu kan milik DIA. Bila-bila masa saja manusia boleh berubah.