FOLLOWERS

Bab 2

Kalaulah dunia ini mendatar, aku pasti sudah menempah tempat di penghujung garisannya. Biar jarak yang memisahkan akan melupakan aku pada segala yang menyakitkan itu.

“Ini gaji kamu bulan ini dan ini duit untuk kamu bawa anak kamu pergi jauh dari sini. Selepas hari ini, aku tak nak tengok muka dia lagi di sini dan di mana-mana dalam daerah ni.” Puan Syarifah Maznah bersuara tegas sambil menghulurkan segenggam duit ke arah ibu.

Terkejut dengan apa yang berlaku secara mendadak itu, ibu hanya mampu memandang dan tidak pula menyambut hulurannya tetapi dia segera mengambil tangan ibu dan meletakkan wang tersebut ke atasnya. Kemudiannya dia berpaling ke arahku.

“Jauhkan diri dari Arman dan juga rumah ini.” Tegas arahannya menyapa telingaku dan mengakhiri segalanya.

Selepas menuturkan arahan keras itu, dia terus berdiri di situ sambil berpeluk tubuh. Hanya isyarat matanya yang menunjukkan kami arah mana laluan untuk keluar dari rumah tersebut.

Saat itu, aku terasa ingin menjerit pada Arman agar menyelamatkan hubungan kami tetapi tarikan tangan ibu menghalang aku berbuat bergitu. Lantas, aku hanya mampu memandang wajah Arman yang berdiri bagai patung bernyawa menyaksikan pemergian kami.

Kenapa Arman? Kenapa tiada sedikitpun usahamu untuk menyelamatkan hubungan kita? Adakah aku ini langsung tidak bernilai di matamu?

“Awak adalah anugerah termanis yang pernah saya miliki.” Itulah bicara manisnya yang sering dibisikkan ke telingaku. Namun, segalanya hanyalah mainan kata-kata yang menghayutkan aku dari alam nyata.

Cukup menyakitkan. Dalam usia yang terlalu muda, aku sudah terjerat dengan cinta. Berkali-kali aku cuba meyakinkan hati bahawa itu hanyalah cinta monyet yang akan datang dan pergi bila saatnya telah tiba. Namun, hati enggan menerimanya.

Saat ini, setelah waktu meninggalkan usia remaja menjadikan aku sedewasa ini, hatiku masih lagi tidak jemu mengukir nama dia. Bolehkah itu digelar cinta monyet? Kata orang, kalau kita tidak mampu memiliki, ‘barang’ itu akan menjadi sangat berharga di hati kita sedangkan ia langsung tidak berharga pada pemiliknya. Benarkah begitu?

Jika difikirkan kembali semua kenangan indah bersamanya, aku hilang seluruh semangat. Namun begitu, kalau pun cinta dia bukan milik aku, tidak bermakna aku tidak layak untuk hidup.

"Hoi! Termenung!!" Aleeya menyergahku. Dia ni memang pantang tengok aku senang sikit.

"Apahal kau main sergah-sergah orang ni." Marahku dan kembali memejamkan mata dengan majalah wanita aku telangkupkan ke dada pula.

"Weh! Dah senja. Kot ya pun nak tidur, tunggulah lepas isyak. Kau tahu tak waktu-waktu macam ni banyak setan berkeliaran. Mana tahu tengah kau tidur tu ada yang tersesat masuk dalam badan kau. Tak pasal-pasal kena rasuk." Dia sudah merampas majalah di dadaku dan terus melabuhkan punggung di kerusi.

"Kalau aku kena rasuk, aku cari kau dan cekik leher kau." Aku sudah bangkit bersila sambil membulatkan mata. Bengang betul aku kalau ada orang kacau tengah-tengah layan perasaan begini.

Bab 1

Kubasuh luka semalam dengan harapan calarnya tidak menyakitkan. Kusingkir segala memori agar kedamaian muncul di ruang hati. Namun, harapan tetap tinggal harapan kerana luka itu terlalu menyakitkan. Memori semalam tetap jua menjalar di ruang fikiran.

"Feaaaa...." Arman memanggil namaku dan aku cukup senang mendengar suaranya memanggilku begitu.

"Janganlah macam ni. Say something please...?" Dia bersuara lagi dalam usaha memujukku namun aku hanya diam membisu.

Dia akan pergi meninggalkan aku sendirian di sini. Bagaimana untuk aku menghadapi hari-hari seterusnya tanpa dia di sisi? Lima tahun bukannya sekejap.


Tanpa sedar aku mengeluh berat. Aku terlalu menyayanginya. Tiada perkataan yang mampu diungkapkan untuk menghuraikan rasa sayang itu. Dialah lelaki pertama yang mengajar aku erti cinta dan kasih sayang.


Perkenalan kami bukan setahun dua malah sudah berpuluh tahun lamanya. Membesar bersama dan bermain bersama sehingga akhirnya tumbuh bibit-bibit cinta. Namun, cinta kami cinta yang tersembunyi. Cinta kami, mungkin juga akan banyak halangannya terutama sekali dari keluarganya.


“Awak sanggupkan, tunggu sehingga saya habis belajar?” soalnya lagi namun aku tetap diam membisu. Buaian besi yang menjadi tempat duduk kami di sudut belakang rumah besar itu terus berayun perlahan.


“Saya janji.... sehabis belajar, saya akan jadikan awak suri hidup saya.” Dia berjanji dengan sebelah tangan diangkat seperti orang yang sedang mengangkat sumpah.


Sesaat cuma, tiba-tiba aku lihat wajahnya terus berubah. Pandangannya tertancap ke satu arah dan pantas saja aku menoleh ke arah tersebut.


Melihat Puan Syarifah Maznah yang tercegat sambil berpeluk tubuh merenung tajam ke arah kami, jantungku terus saja berhenti berdenyut. Cepat-cepat aku bangkit dan melangkah turun dari buaian yang kami duduki.


Mana Diana ni? Hatiku tertanya sendiri sambil memanjangkan leher kiri dan kanan. Diana yang merupakan adik kepada Arman adalah sahabat akrabku. Sebentar tadi, dia yang mengajak aku untuk sama-sama menelaah pelajaran di sini tetapi tiba-tiba saja Arman muncul dan sebaik saja lelaki itu duduk di sebelahku, dia pula menghilang entah ke mana.


“Leha!!!” gema suara Puan Syarifah Maznah benar-benar mengejutkan aku. Terasa jantungku terus tercabut dari tangkainya. Entah kenapa, aku dapat rasakan ada sesuatu yang akan berlaku.


“Leha!!!!” dia menjerit lagi tetapi kali ini lebih kuat. Pandangannya tidak lepas dari menatap seraut wajahku.

Seketika kemudian aku lihat bayangan seseorang terkocoh-kocoh datang menghampiri kami dan aku lihat wajah itu, wajah yang terlalu besar ertinya di dalam hidupku, wajah manusia yang telah melahirkan dan membesarkan aku dengan penuh kasih sayang. Dialah ibuku, dialah pembantu rumah merangkap pengasuh kepada Syed Arman Hariz dan Syarifah Diana Nadia, anak kepada tuan punya rumah agam ini.


“Leha! Kamu ni tak pernah ajar anak untuk cermin diri sendiri ke?” soal Puan Syarifah Maznah sambil menjeling ke arahku dan soalan berbentuk sindirannya itu bagai sebilah pisau menggores sekeping hatiku.

Ibu terus menatap seraut wajahku. Dari sinar matanya aku tahu pasti dia sudah dapat mengagak semua ini akan berlaku. Mungkin sebab itu dia sering menasihati aku, cinta sesama manusia letakkan di tempat kedua dan cintai Allah s.w.t melebihi segalanya.


“Suruh anak kamu tu cermin diri dia dulu sebelum bermimpi untuk jadi menantu aku.”


“Mama!” Arman mencelah tetapi hanya berhenti di situ sebaik mamanya mengangkat sebelah tangan sebagai isyarat agar dia diam.


Saat ibu dihentikan perkhidmatannya dan kami dihalau keluar dari rumah besar itu bersama iringan kata-kata hinaan, Arman tetap juga diam.

Ah! Arman... Sebaris nama itu tidak pernah luput dari ingatanku. Kenapa? Kenapa sehingga ke detik ini, aku tidak pernah mampu membuang namanya dari hatiku? Sukar sekali untuk meleraikan sebuah perasaan jika pengikatnya adalah cinta.

Sampai bila harus aku jadi begini sedang Arman sendiri pastinya sudah melupakan diriku ini? Dia juga pastinya tidak pernah menginginkan aku lagi. Jika cinta di hatinya sekuat cinta yang wujud di hatiku, dia pastinya sudah lama mencariku.


"Arman?" suara Aleeya yang tiba-tiba bagai berbisik menyebut nama tersebut mengejutkan aku dari lamunan.

Pantas pandanganku tertoleh ke arahnya yang sedang duduk berhampiran denganku di ruang tamu rumah sewaan kami. Dia memandangku dengan wajah penuh kehairanan.

"Kau suka dia? Arman Dato' Aminudin?" Dia menyoalku dengan kedua kening berkerut hampir bertaut.


"Hish! Jangan nak mengarut." Aku cepat-cepat menafikan tekaannya sebaik terlintas wajah lelaki bernama Arman, pelajar ‘top ranking’ dalam senarai impian para siswi di kampus UKM itu.


Pandangan Aleeya bersilih ganti menatap wajahku dan kertas surat khabar yang berada di depanku. Buat sedetik aku jadi hairan dengan tingkahnya tetapi tatkala melihat coretan pada helaian surat khabar tersebut, aku mula faham. Nama Arman yang bercontengan di situ menjadikan aku malu sendiri.


Seketika tadi aku leka membuat teka silangkata manakala Aleeya pula sedang menonton siaran Astro Prima. Tidak sedar bilakah masanya fikiranku sudah tersasar arah menggerakkan jemariku mencoretkan nama tersebut.

Tanpa memandang Aleeya, aku koyakkan helaian tersebut dan mengepal-ngepalnya menjadi satu bebola kecil untuk di buang.


"Kau suka dia ke?" Tekan Aleeya lagi.


"Weh! Bercakap tu tolong pakai akal logik, jangan ikut sedap mulut." Sergahku dalam nada yang masih perlahan.

Mana mungkin aku boleh menyukai lelaki itu. Lagaknya bagai dialah lelaki melayu terhebat akhir zaman itu sudah cukup merimaskan aku. Aleeya sendiri tahu tentang itu.


"Habis tu, kau tulis nama dia penuh satu paper tu, apa ke jadahnya?" Aleeya masih ingin tahu.


"Kau ingat dia sorang aje ke nama Arman dalam dunia ni?" tingkahku.


"Well! Mana aku tahu. Kalau kau suka dia pun, apa salahnya. Dia pun okey what?" Aleeya bagai ingin ‘mempromosi’ lelaki itu sedangkan dia sendiri tahu aku memang anti lelaki sebegitu.


"Huh! Kalau pun hati aku ni 'ter' suka kat dia, aku akan berfikir berjuta kali dulu. Aku ulang sekali lagi....... Berjuta kali, bukan beratus atau beribu," tekanku membuatkan Aleeya tergelak kuat.

“Kalau dia yang 'ter'suka kat kau?" Dia masih ingin mendugaku.

Heh!Talking nonsence.” Balasku pantas. Mana mungkin itu akan terjadi kerana lelaki tersebut sudah punya teman wanita yang cantik jelita. Kalau pun terjadi, mana mungkin sama. Sejuta Arman sekali pun yang datang, takkan mungkin sama dengan Armanku.

Ah! Bolehkah dia dipanggil Armanku sedang sebenarnya aku tidak pernah memilikinya? Bolehkah aku mengaku dia milikku sedang dia sendiri tidak pernah menganggapnya begitu?

Tanpa sedar, aku mengeluh perlahan. Kenangan di zaman silam kembali berkelana di ruang ingatan.

Ibu mula bekerja di rumah besar itu ketika aku masih di dalam kandungan. Rumah besar itu sudah seakan menjadi rumah keduaku kerana Diana, satu-satunya adik Arman merupakan sahabat akrabku dan kami sering mengulangkaji bersama.

Ada ketikanya aku merasa cemburu melihat kemanjaan Arman terhadap ibuku. Macamlah dia tu anak ibu, itulah yang sering aku gaduhkan dengan Arman.


"Ibu masak apa?"


"Pembetulan! Ibu saya, bukan ibu awak."

Arman memandangku dengan ekor matanya. Bibirnya sedang menyimpan sebuah senyuman.

"Cemburu erk? Sebab ibu lebih sayang saya dari awak," usiknya sambil menyengih. Bulat mataku memandangnya sambil bercekak pinggang tanda geram.


"Tak usahlah cemburu sayang. Esok-esok ibu awak tu akan jadi ibu saya juga." Selamba dia berkata membuatkan wajahku serta-merta berubah rona.


Memang aku cemburu. Kalau bab-bab bermanja dengan ibu, dia memang lebih dari aku. Nak makan apa main sebut aje, ibu pasti akan memasaknya. Kalau aku, susahnya yang amat. 'Masak sendiri di rumah nanti! Anak perempuan mesti belajar masak. Nak kahwin nanti senang.' Itulah yang sering dibebelkan ibu. Huh! Sudahnya aku malas meminta apa-apa, makan aje apa yang ada.

Ah! semua itu hanyalah satu kenangan yang menyakitkan untuk dikenang. Mengingatinya, hatiku yang sekeping ini bagai berpecah menjadi serpihan kecil dan serpihan itu tidak mungkin mampu dicantum kembali.

Semua yang indah-indah itu telah berterbangan pergi. Segala impian yang aku bina telah dimusnahkan dengan kejam dan ianya telah berkubur tanpa nisan.

Bab 3

Entah apa mimpi Aleeya malam tadi, pepagi buta dia mengheret aku ke KLCC. Keluar masuk Parkson, mencuba pelbagai benda tapi satu apa pun tidak dibelinya.

“Eh! window shopping jelah.” Itulah jawapannya bila aku membebel.

“Window?” aku terjerit kecil.

“Kalaulah KLCC ni ada ‘window’, memang aku suruh kau terjun dari situ.” Aku bercekak pinggang tanda marah tapi dia hanya mengekek ketawa.

Pepagi buta dah menjelajah bangunan berkembar dua ni sampai tulang sendi kaki aku semua dah naik longgar, dia boleh cakap nak window shopping aje?

Sedang aku sibuk bebelkan Aleeya, tiba-tiba pandanganku menyapa wajah Ikmal. Ya! Mataku tidak menipu, lelaki itu ialah Ikmal dan perempuan cun lagi seksi yang sedang memaut mesra lengannya itu ialah Nisha, teman wanitanya.

Tanpa menunggu walau sesaat aku heret tangan dia untuk balik. Baru beberapa langkah, ada pula manusia yang menyapa. Isk! Rasa nak aje aku sumpah biar jadi bisu. Masa tu orang tengah naik angin, masa tu jugalah dia nak menegur.

Aleeya terus memperkenalkan lelaki yang menyapa itu sebagai teman sekampungnya. Melihatkan dia begitu teruja dengan pertemuan itu, aku meminta kunci kereta dan memberi isyarat untuk menunggu di keretanya.

Ketika menghampiri kawasan car park, aku lihat seorang lelaki sedang bersandar pada kereta Toyota Estima yang terparkir di sebelah Myvi milik Aleeya. Sebelah tangannya menyeluk kocek seluar dan yang sebelah lagi sedang menekan-nekan butang telefon bimbit.

Suasana yang agak sunyi ketika itu menghantar rasa takut ke hatiku. Mungkinkah dia ini penjahat yang sedang menunggu mangsa atau perogol bersiri yang juga sedang mencari mangsanya?

Tiba-tiba aku rasa ingin membuka langkah panjang untuk berundur ke belakang tetapi semuanya sudah terlambat apabila lelaki tersebut lebih awal menyedari kehadiranku di situ.
Padangannya tajam merenungku yang berdiri kaku di tengah-tengah laluan. Nasib baiklah waktu itu tiada kereta yang lalu, jika tidak pastinya aku sudah mati kena langgar.

“It’s your car?” soalan lelaki tersebut mengejutkan aku. Melayu atau forengner ni? Nampak seperti kacukan.

Pantas aku mengangguk tanpa suara. Melihatkan wajahnya yang kacak itu, mataku bagai terlupa untuk berkelip. Matanya cukup memukau. Rambutnya agak panjang tetapi diikat rapi. Dari gayanya, aku dapat rasakan bahawa lelaki ini bukan sebarangan orang dan tak mungkin dia seorang penjenayah.

“Bawa kereta ada lesen ke tidak ni?” Kasar bahasanya kedengaran menyakitkan anak telinga. Oh! Tahu cakap melayu rupanya dia. Harapkan rupa saja kacak tetapi budi bahasa langsung tak ada.

“Kenapa? Encik ni polis ke nak tanya lesen orang?” Aku sengaja ingin membakar hatinya.

“Parking kereta pun senget-senget, menyusahkan orang aje.” Dia mula marah-marah sambil melangkah dan berdiri pula di belakang keretanya. Lagaknya nampak kerek semacam aje.

Saat itu juga aku mula teringat kembali bagaimana Aleeya tergesa-gesa memarkir kereta di situ dan segera melompat keluar untuk ke tandas. Dia sudahpun melangkah laju saat aku mengomel tentang keretanya yang diparkir senget menghimpit kereta di sebelah dan menyukarkan aku untuk keluar.

Pastilah lelaki ini lebih sukar untuk masuk ke dalam keretanya kerana badannya lebih besar dari saiz badanku.

“Kalau parking pun tak tahu, baik tak payah bawa kereta, naik bas aje.” Dia menyindirku membuatkan darahku mendidih tiba-tiba tetapi aku pujuk hati agar bersabar kerana salah ini memang ternyata di pihak Aleeya.

“Encik, kalau bercakap guna bahasa yang cantik sikit boleh tak?” Balasku dengan suara selembut mungkin sambil menghulurkan sebuah senyuman dan cuba menahan rasa geram.

Dia bagai terpaku memandang ke wajahku. Apa yang membuatkan dia terpaku sebenarnya? Wajahku atau nada suaraku? Atau... mungkin juga senyumanku? Ah! Lelaki sekacak dia tidak akan ‘memandang’ apa-apa yang ada pada wanita biasa-biasa sepertiku ini.

Bercuti ke Kuching

Minggu lepas, aku ke Kuching bercuti bersama keluarga. Sebenarnya tiket ni aku booking dah lama, 17 orang semuanya.

Pergi pada 21 july dan balik 26 July, lebih kurang 6 hari 5 malam.

Seronok? Ramai yang tanya begitu bila aku pulang. Mmmm... tak tahu nak jawab macamana, bercuti memanglah seronok, tak payah fikir apa-apa pasal kerja. Apa yang paling seronoknya ialah beli belah...huhuu...

Melepak di LCCT sementara tunggu check in


Si nakal yang paling susah nak control, semuanya dia panjat.


Si kecil yang tak banyak ragam, berpanas atau bersejuk, tetap diam.


Family aku yang paling kecoh sekali atas flight sampai semua orang pandang...hahaha


Tiba di homestay terus masak nasi dan sementara tunggu nasi, masak maggi dulu sebab tersangatlah lapar. Flight delay dan perjalanan pula agak jauh.


Anak-anak tengah makan maggi

Melepak sementara menunggu nasi masak. Homestaynya cantik juga, rumah double story 4 bilik dan 3 bilik air siap dapur untuk masak dan aircond sekali.



Hari pertama pepagi buta pergi muzium

Lepas tu terus ke Taman Buaya


Lepak lepaskan penat di atas kolam ikan di Taman Buaya

Dari Taman Buaya terus ke Rumah Panjang. Ni bergambar kenangan di atas jambatan gantung penghubung antara dua rumah panjang.

Ni hasil kraftangan penduduk rumah panjang


Bergambar dengan adik aku


Singgah makan nasi ayam sebelum ke Taman Orang Utan. Nasi ayamnya boleh tahan dan lebih murah dari KL.

Jalan masuk ke hutan di mana tempat Orang Utan diberi makan.


Ni Orang Utan yang paling besar di sini yang diberi nama Ritchie. Dia ni kira Otai kat sini la... jarang sekali keluar tapi nasib kami baik sebab hari tu kebetulan dia keluar untuk makan

Dari rumah Orang Utan kami sempat ke Bandar Kuching dan bergambar kenangan di depan replika kucing.


Lepas tu sempat lagi singgah di pasar satok untuk beli ikan masin utk di masak malam tu.

Hari yang kedua kami hanya lepak di homestay sebab letih.


Hari ketiga pepagi buta kami bergerak ke Serikin untuk shopping. Memang tersangatlah murahnya dan harga boleh tawar menawar.

Baju pengantin yang kebanyakannya datang dari Bandung dan tersangatlah murahnya sehingga 5x ganda lebih murah dari KL dan adik akulah orang paling untung, borong sakan untuk butik pengantinnya (D'Ina Pengantin)


Dari Serikin kami pulang ke rumah untuk berehat dan petangnya kami bergerak pula ke kilang kek lapis sarawak

Sesi mencuba kek lapis. Sebenarnya ini bukan mencuba tetapi melantak sebab kami semua makan sampai kenyang sebelum memborong kek yang dijual.

Susahnya nak cari Budu di Kuching tapi akhirnya jumpa di dalam kedai Kek Lapis...hahaha..

Dari kilang kek lapis, kami lepak di Waterfront.

View di Waterfront, sangat-sangat cantik.


Sunset di Waterfront. Ada Cruise lagi.


Pemandangan di waktu malam

Shopping barangan kristal