FOLLOWERS

Pengorbanan Seorang Ibu...

Semalam aku sembang2 dengan salah seorang pekerja yang tengah sarat menunggu waktu bersalin tetapi masih kuat lagi datang kerja. Kalau ikut tarikh jangkanya dah over dan katanya, kalau lagi 3 hari tak keluar juga, dia kena terus ke hospital untuk dipaksa keluar. Dalam gurauan aku katakan padanya, “Cuba-cubalah tanya ‘dia’ kenapa tak nak keluar, mesti dia alasan tertentu.” Staff tu terus gelakkan aku.

Bila teringat kembali saat melahirkan, rasa ngeri sampai sekarang. Ada orang yang senang sangat bersalin, sakit sekejap terus saja keluar. Tapi aku ni jenis yang susah sangat bab-bab mengandung dan bersalin ni.

Waktu mengandung, macam-macam penyakit datang, gigi semua longgar-longgar sampai tak boleh mengunyah dan batuk berbulan-bulan tak elok.waktu bersalin pula sakit sampai 12 jam pun tak nak keluar-keluar juga. Sebab itu, dua-dua pun keluar ikut ‘tingkap’, kena operation. Sakitnya berbulan-bulan tak hilang. Yang kedua tu pula ada G6PD, keluar masuk hospital dah jadi perkara biasa sampai aku pula yang koma sekejap sebab turun darah banyak sangat.

Tapi, sakit yang terasa itulah sebenarnya nikmat menjadi seorang perempuan kerana setiap kali melahirkan, Tuhan dah janjikan pahala yang banyak untuk setiap urat yang terputus itu. Kesakitan itu juga akan mengingatkan kita betapa besarnya pengorbanan seorang ibu, sanggup bersabung nyawa hanya untuk melahirkan kita dan membesarkan kita menjadi ‘manusia’

Sebab itu, kalau anak-anak melawan cakap atau degil, aku rasa macam sedih sangat. Aku dulu tak pernah melawan cakap mak malah sampai sekarang pun, kalau tak setuju dengan apa yang mak buat, aku diam aje. Paling tidak pun, cuba slow talk dengan dia.

Sebab itu juga kalau ada orang yang menyakiti anak kita tanpa sebab, rasa macam sakit sangat hati ni.

Lagi Renungan Untuk Semua....

LIMA PERKARA YANG MESTI DISEGERAKAN

Dari Hatim Al-Asom :

"Terburu-buru itu termasuk sifat syaitan, kecuali pada lima tempat" , maka ia termasuk sunnah Rasulullah SAW

1) Memberi makan tetamu, bila ia datang berkunjung.
2) Menyiapkan perkuburan mayat bila telah mati.
3) Mengahwinkan anak perempuan, bila cukup umur.
4) Membayar hutang, bila telah sampai masanya.
5) Bertaubat dari dosa, bila ia telah melakukannya.


LIMA PESANAN DARI SYAIKH AL-BALKHI

"Ambil olehmu lima perkara kemudian amalkan :

1) Sembahlah Allah sebanyak keperluanmu kepadaNya.
2) Ambil apa-apa dari dunia menurut keperluan selama umurmu didalamnya.
3) Lakukan maksiat kepada Allah, menurut kemampuanmu memikul azabNya.
4) Persiapkan bekal didunia untuk selama kamu tinggal didalam kubur.
5) Beramallah untuk syurga, menurut lamanya masa yang kamu inginkan untuk tinggal didalamnya."

Bab 3.....

Pulang ke kolej malam itu, telingaku panas dengan sindiran pedas Nyza dan sesekali Anim juga sibuk menyampuk.

"Nasihat orang tak mahu dengar. Buatnya di bawa kau ke tempat sunyi dan rogol lepas tu bunuh, macamana?"

"Hish! Celupar betul mulut kau. Takkanlah dia sejahat tu." Aku marah dengan keceluparan mulutnya.

“Banyak cerita yang tak elok aku dengar tentang dia Dya. Kalau kau tanya aku, seratus peratus aku tak setuju kau baik dengan dia.”

"Apa yang buruk sangat si Syamir tu di mata kau. Tak ada yang peliknya tentang lelaki tu. Dia pegang tangan aku pun tak pernah, takkanlah nak buat benda-benda tak senonoh tu." Aku cuba membela Syamir.

Mana mungkin aku mempercayai bisik bicara orang sekeliling sedangkan selama kami bersahabat dia tidak pernah menunjukkan ciri-ciri lelaki jahat. Sahabatku ini pastinya sudah terpengaruh dengan kata orang-orang di sekelilingnya tanpa cuba mengenali lelaki itu terlebih dahulu.

Hidupku sering di kelilingi lelaki-lelaki yang pelbagai rupa dan sifatnya menjadikan aku trauma untuk dekat dengan kaum itu. Mengenali Syamir, hatiku berbisik bahawa dia tidak sama seperti abangku yang hidup bertopengkan manusia itu. Dia juga tidak sama seperti ayahku yang kejam dan paling penting dia tidak sama dengan Zarif yang aku benci itu.

“Zaman kelahiran kita berbeza dengan mereka. Mana mungkin pemikiran dan pemahaman mampu selari biarpun darah di tubuh kita sama dengan darah yang mengalir di tubuh mereka. Jangan biarkan buruk sangka mengelilingi pemikiran kita.” Itulah nasihat Syamir tatkala aku meluahkan rasa hati kerana menjadi anak yang tidak pernah elok di mata bapa sendiri.

Mana mungkin aku mampu menuduh Syamir sebagai lelaki yang tidak baik kerana selama bersahabat, dia sering menjadi pendorong untuk aku kekal menjadi manusia yang punya jati diri dan pertimbangan rohani.

Mengukir Bahagia....

Jumaat 19 Feb 09, dalam sibuk membuat persiapan dan debar menanti kedatangan bos besar yang dijadualkan datang ke tempat kerjaku petang itu, aku dikhabarkan dengan berita gembira. Alhamdulillah....MB sudah masuk ke cetakan kedua selepas lebih kurang tujuh bulan berada di pasaran.
Ketika bertemu Kak Wan dan Gee(editor MB) dua hari lepas, mereka menyatakan banyak komen positif yang diterima tentang MB dan alhamdulillah... komen positif juga aku terima oleh editorku(Gee) tentang skrip kedua yang telah diluluskan oleh panel penilai.

Imbas kembali cerita lama...

Ketika aku mula menggarap MB, memang cukup payah. Ketika itu hanya merangkak-rangkak menggunakan pc lama. Apabila ada idea ketika di luar rumah, aku akan mencoretkannya pada buku nota yang sentiasa ada di dalam beg tangan(ramai yang tanya kenapa aku suka bawa beg tangan besar - sebabnya terjawab hari ini.)

Aku sentiasa sampai ke tempat kerja satu jam lebih awal dan masa setengah jam aku ambil untuk duduk di meja sebuah kedai yang belum dibuka untuk mencoretkan apa yang terlintas di fikiran. Setengah jam lagi aku ambil untuk minum di kedai mamak bersama rakan kerja yang lain(kedai mamak Hameed kat Metro Plaza - mamak kat situ dah arif dgn perangai aku, lambat hantar pesanan mesti mulut aku bising dan bila dia datang office aku nak minta tukar duit, aku lagi sekali bising...hikhikhik).

Waktu rehat, aku memang tak suka keluar melilau sana sini. Kekadang tu minta orang tolong bungkus makanan dan terkadang naik lif beli makanan kat foodcourt. Lepas tu jalan masuk office kembali macam lipas kudung. Sambil makan dan sumbat telinga dgn mp3, aku merangka-rangka ayat untuk dicoretkan ke atas kertas selepas selesai makan. Kalau tak ada idea atau ada buku yang best keluar, aku akan makan sambil mentelaah buku sampai bos aku menegur "you boleh kenyang ke makan sambil baca?"..hehehe... aku gelak aje lepas tu buat-buat sembang dengan dia.

Balik rumah, lepas anak-anak semua tidur aku akan masukkan 'nota-nota' ke dalam PC. Kekadang tu sampai pukul empat pagi baru aku tidur dan semua rutin itu berulang selama lebih dua tahun sehinggalah MB siap. Waktu tu tak silap aku tahun 2006.
Lepas dah siap, aku pula tak cukup kekuatan untuk menghantar skrip tersebut dan aku perap aje kat dalam almari baju. Nak tahu? Aku sembunyikannya kat bawah lipatan kain dalam almari sebab tak nak sesiapa tahu. Masa tu, hubby aku pun tak tahu aku telah siapkan sebuah manuskrip.

Masuk 2007, aku tekad hantar skrip tersebut ke alaf. Lebih kurang dua bulan, alaf panggil aku menghadiri kursus novelis dan memulangkan skrip MB untuk di ubah beberapa bab yang telah terbiasa ada dalam novel2 cinta.

Aku ambil masa lebih kurang 6 bln utk mengubahnya dan waktu itu aku selang selikan dgn menulis manuskrip kedua. Siap mengubahnya, aku hantar kembali tetapi ketika skrip keduaku telah siap sepenuhnya, aku masih belum mendapat maklumbalas tentang MB.
Waktu tu, aku tidak berputus asa menapak lagi ke alaf untuk menghantar skrip kedua untuk dinilai.

Penghujung 2007, aku hampir berputus asa. Waktu tu aku dah pandai beremel-emel dan bercampur dengan penulis lain serta blogger. Bosan menunggu, aku cuba pula menghangtar dua skrip tersebut ke penerbitan lain melalui email. Alhamdulillah, dua minggu saja aku sudah mendapat maklumbalas dan memilih MB untuk diterbitkan dan meminta aku hadir ke syarikat mereka untuk berbincang lebih lanjut. Dengan perasaan gembira, aku cuba menghubungi alaf untuk menarik balik skrip MB tetapi jawapan alaf membuatkan aku serba salah. Kata mereka, alaf telah memilih MB dan akan menerbitkan MB untuk karya pertamaku. Bincang kiri dan kanan, akhirnya aku memilih alaf untuk bernaung walau aku terpaksa menunggu lagi untuk diterbitkan.

Kenangan manis:

Selepas 2 bln MB berada di pasaran, aku menapak ke pejabat alaf untuk beli buku sendiri (sebab member2 aku minta diskaun lebih - hampeh! punya kawan). Waktu tu, adalah beberapa orang berpangkat makcik juga datang untuk membeli novel. Bila aku tengok MB tak ada kat rak buku, aku kecoh tanya Kak Wan, "Mana novel MB, tak nampak pun?" Kak Wan kata dah habis kat rak, belum replenish lagi. Pastu ada seorang makcik tu menyampuk tanya Kak Wan, "MB tu bukankah cerita Zahim dengan Tasya?" Kak Wan terus pandang aku dan senyum-senyum. "Dah baca ke?" tanya Kak Wan. Makcik tu terus memuji melambung tinggi sampai naik kembang hidung aku...dia kata dia nangis sampai merah-merah mata. Aku nga Kak Wan saling berpandangan.
"Tak tengok ke gambar penulis dia?" Tanya Kak Wan lagi. Makcik tu terkedip-kedip pandang Kak Wan. "Kalau nak tahu, nilah penulis dia?" Kak Wan terus kenalkan aku pada makcik tu. Nak tahu apa reaksinya? Makcik tu terus peluk aku. Terkejut beruk jugalah aku waktu tu. Nasib baiklah orang tak ramai. Pastu dia terus bercerita dengan aku pasal novel, entah apa-apa lagilah aku tak ingat dah...

Alhamdulillah.... segala usaha gigih itu telah membuahkan hasil dan berbayar setimpal dengan kepayahannya. Kini, banyak perkara telah berubah.

Antaranya :

1. Aku sering terlewat ke tempat kerja sebab selepas siapkan anak-anak ke sekolah, aku sempat lagi mencuri masa mengadap laptop(hadiah dari hubby sempena birthday aku yg ke 29 - cuba teka berapa umur aku sekarang dan berapa umur laptop kesayanganku?)

2. Aku tak guna buku nota lagi sebab aku dah ada PDA(hadiah hubby aku sempena perkahwinan kami ke 10 - cuba teka berapa umur aku ketika menjadi isteri orang dan berapa usia PDA kesayanganku)

3. Aku dah tak larat nak tidur sampai pukul 4 pagi. Paling lewat pun pukul 2 dan aku tengah pening kepala sekarang ni kerana skrip yang aku hantar tahun 2006 yang aku ambil kembali untuk diubah sudah menjadi kelam kelibut tanpa penghujungnya. Entah-entah lepas tahun ni, tak tahu berapa tahun aku perlukan untuk menyiapkan satu m'skrip...huhuhu...

4. Aku banyak habiskan masa dengan melayari internet dan upload lagu kerana kat rumah aku boleh dapat FREE wireless...hehehe... (lagu terbaru yang aku suka -Rawan nyanyian Azharina)

5. Aku tak perlu tunggu anak-anak tidur dulu sebelum menaip sebab aku dah umpan mereka dengan PS2. Mereka tak kacau aku lagi dan mereka juga sudah faham bahawa uminya seorang penulis yang akan berubah menjadi manusia tak betul bila tengah menghayati m'skrip.(tapi hubby aku dah warning, kalau pelajaran anak2 menurun, dia akan buang game tu ke tong sampah - kejam betul!)


Maaf! sebab aku dah melalut entah ke mana. Sebenarnya aku hanya nak cerita pasal MB yang dah masuk cetakan kedua tapi dah meleret sampai kisah suka dan duka....

Renungan Bersama...

PESANAN UNTUK PEREMPUAN


1. Perempuan yang cantik tanpa peribadi yang mulia macam kaca yang bersinar tapi tak ada nilai.

2. Kalau lelaki yang memuji seorang perempuan itu atas dasar rupa paras, itu nafsu semata-mata.

3. Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah. (Riwayat Muslim).

4. Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaaan berhias bukan untuk suami nya dan muhrimnya adalah seumpama gelap gelita di hari kiamat, tiada nur baginya. (Riwayat Tarmizi)


PESANAN UNTUK LELAKI

"Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang ananah, yang mananah,dan yang hananah,dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang baraqah dan yang syadaqah".

1. Wanita Ananah: banyak mengeluh dan mengadu, dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.

2. Wanita Mananah: suka membangkit-bangkit tentang sesuatu terhadap suami.
Wanita ini sering mengatakan 'aku buat tu keranamu'.

3. Wanita Hananah: menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang
dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

4. Wanita Hadaqah: melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu
menyatakan keinginannya utk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk
membelinya.

5. Wanita Baraqah: ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan
menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali
sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

6. Wanita Syadaqah: banyak cakap, tidak menentu lagi bising.

Cerita Seram.....Satu N3 Yang Agak Panjang

Suatu malam, aku memandu sendirian pulang dari rumah seorang kawan yang letaknya nun di hujung perumahan dekat penjara kajang. Hujan renyai-renyai menjadikan aku seram sejuk sejuk seluruh badan. Dek kerana rasa seram itu, aku kuatkan pemain CD yang ketika itu tengah putarkan lagu ayat-ayat cinta. Agaknya lagu tu yang berhantu atau tempat tu yang memang kawasan berhantu.

Tiba di rumah, aku disambut oleh Haikal, anakku yang kecil tu. Dia buat terkejutkan aku sembunyi di balik pintu. Oleh kerana waktu dah lewat malam dan esoknya anak-anak bersekolah, aku cepat2 arahkan mereka tidur. Dua beradik tu memang kalau aku tak ada mereka susah nak tidur, nak berteman dulu sebelum tidur.

Dalam keadaan yang sangat penat kerana pergi rumah kawan tu untuk acara masak memasak bagi majlis makan2 esoknya, aku terlupa nak cuci kaki dan tangan (orang tua pesan kalau pulang dari tempat yang kita tak pernah pergi, cuci kaki dulu) aku terus temankan mereka tidur.

Lepas mereka tidur, seperti biasa aku berpindah ke bilik sendiri. Tanpa mandi, aku terus aje terlelap(perangai tak senonoh kalau aku tengah letih). Hubby aku memang dah faham, kalau aku letih dia kena buat hal sendiri.

Tengah malam lebih kuram jam 3 pagi, aku dikejutkan oleh suara Haikal yang menjerit bagai orang histeria. Aku dan hubby terus terlompat turun dari katil. Haikal pula sudah berlari menonong keluar dari biliknya dan menjerit2 bagai orang dalam ketakutan. Waktu tu, bulu romaku tegak berdiri, bagai ternampak sesuatu yang ganjil.

Beberapa ketika aku peluk dia dan cuba sedarkan dia yang masih menjerit2 itu. Lepas tu dia menangis dengan muka yang pucat. Bila aku tanya dia kata dia nampak hantu nak cekik dia. Aku kata dia mengigau tapi dia kata tak. Aku bawa mereka dua beradik untuk tidur berhimpit empat orang di atas satu katil di bilikku. Tapi sampai ke pagi dia tak tidur dan dia juga tak membenarkan aku tidur.

Esoknya dia sudah jadi penakut, mengekor ke mana saja aku atau hubby pergi, pegang aje hujung baju atau kain yang aku pakai. Sewaktu aku masuk ke biliknya untuk bersiap ke tempat kerja, dia terus beritahu aku “kat situ ar adik nampak hantu tu berdiri. Hitam dan tinggi tapi adik tak nampak muka. Dia buat macam ni kat leher adik.” Lancar aje dia berkata sambil menggayakan dua tangan yang ingin mencekik orang.

Dengar aje itu, aku dah seram sejuk. Tetiba aje bulu romaku tegak berdiri apatah lagi hubby dan anak yang besar tu dah keluar, tinggal aku berdua aje dengan dia dalam rumah. Terasa-rasa ‘makhluk tu’ ada kat situ. Cepat2 aje aku bersiap dan keluar dari rumah.

Sejak malam tu, dua mereka beradik sudah berpindah bilik masuk ke bilikku dan empat orang berhimpit tidur sekatil. Sejak malam itu juga, boleh dikatakan selang semalam dia akan menjerit di tengah malam dan jeritannya itu lain dari jeritan biasa. Ia boleh buat aku meremang bulu roma.

Dah macam-macam tempat aku pergi, sampai ke Darul Syifa pun ia tetap berulang dan berulang. Terkadang di tengah malam dan terkadang di subuh pagi. Aku pula bagaikan trauma mendengar jeritannya. Rasa macam tak boleh tidur sebab duk ternanti-nanti bilakah dia akan menjerit apatah lagi kalau dia menjerit memang betul-betul di tepi telinga aku.
Macam-macam usaha kami buat sampai nak panggil orang surau datang sembahyang hajat kat rumah tapi waktu tu kami dah sibuk nak balik kampung. Dalam perjalanan balik kampung, aku terkejut apabila tiba-tiba dia menjerit ketika tengah tidur. Waktu tu memang dah pagi buta. Masa tu, aku terfikir juga, ‘makhluk tu’ ikut aku balik kampung ke?

Waktu di kampung, kakak ipar aku bawa kami jumpa satu pakcik untuk tengok2kan anak aku ni. Pakcik tu dia memang pandai bab2 macam ni. Aku hanya cakap perihal anak aku tapi dia dah boleh cerita ‘makhluk tu’ rupa macam mana. Ceritanya macam cerita anak aku. Katanya ‘makhluk tu’ kurus dan tinggi, hitam dan rambut kerinting, meninggal dalam keadaan yang tak elok dan rohnya tersesat untuk ‘ke sana’. Betul atau tidak, wallahualam..... aku Cuma cakap apa yang dia kata.

Katanya lagi ‘benda tu’ duk bergantung kat anak aku sebab anak aku ni lemah sikit. Perjanjian sejak azali memang begitu, siapa yang lemah memang milik dia. Sehingga saat itu pun, ‘benda tu’ ada kat sebelah anak aku. Waktu tu, seram juga aku dengar.

Lepas dia dah ubat dan ‘tangkap benda tu’ dan lepas kami dah balik ke Kuala Lumpur semula, memang anak aku dah pulih walau masih lagi takut-takut kalau tak ada orang dalam rumah. Tapi yang penting dia tak menjerit-jerit lagi di waktu malam.

Lama dah rasanya aku boleh tidur lena walau pun masih berhimpit empat orang di atas satu katil tapi tiba-tiba dua malam lepas ianya berulang lagi. Aku baru nak terlelap tetapi aku dengar dia macam bercakap-cakap sendirian di tepi telingaku sebab dia tidur peluk aku. Tiba-tiba dia menjerit bagai histeria dan menangis. Hubby aku yang duk tengah tengok TV cepat-cepat masuk bilik. Dia masih menangis dengan muka yang sudha berubah pucat. Dalam menangis tu dia kata ada pontianak gigi tajam duduk kat tepi hujung katil nak gigit dia. Aduhhhh...pontianak pula, hari tu dia kata hantu tinggi.

Aku terkedu kat atas katil, sampai ke pagi tak dapat tidur. Tension betul aku sekarang ni. Aku bising gak kat hubby sebab pulang rumah tengah-tengah malam. Kalau rumah sewa memang aku dah pindah dari sini tapi masalahnya rumah sendiri.

Sabar dan Syukur

Dua hari bercuti sakit, aku dikejutkan dengan berita yang kurang enak untuk didengar setelah kembali memulakan kerja. Salah seorang pekerja yang aku harapkan terpaksa berhenti kerja secara mengejut kerana dipukul oleh tunangnya menggunakan helmet dan disaksikan oleh beberapa pekerja lain. Alasannya kerana cemburu. Dengarnya macam tak masuk akal tetapi apa yang aku dengar itulah yang sering terjadi. Peliknya, wanita itu masih mampu bertahan dan sabar.....

Bersabar dengan ujian dan bersyukur dengan nikmat Allah s.w.t adalah dua perkara yang paling penting dalam hidup. Namun, kedua-duanya bukanlah satu anugerah yang datang bergolek dengan begitu mudah.

Kenapa ia tidak mudah?

Kerana kita harus menyusunnya satu persatu, mengutipnya dari pengalaman hidup dan mengikatnya menjadi benteng di dada kita. Untuk membina benteng bukan cukup sehari dua malah bertahun lamanya dan ia juga bergantung pada seketul daging yang bergelar hati di badan kita.

Ada orang yang masih muda belia tetapi sabarnya setinggi langit tetapi ada orang yang umurnya sudah melewati separuh abad tetapi barannya sukar dikawal. Kerana itu berlakunya penderaan, bukan tidak sayang tetapi telah hilang kesabarannya.

Kenapa terjadi begini sedang masa yang panjang memberi mereka banyak peluang menyusun kesabaran?

Kerana mereka tidak melihat kehidupan dengan mata hati, tidak pernah bersyukur dengan nikmat yang diberi. Rugilah bagi mereka yang melihat hidup ini dengan hanya menggunakan dua mata yang diberi sedang hati dan akal dibiarkan tidak berfungsi....

Bab 2....

Benci! Itulah rasa yang berselerak di hatiku waktu ini. Kunjungan Abang Ari yang berulang kali melawatku di sini mengumpul kembali rasa benci dan sakit hati yang telah sekian lama tersimpan untuknya. Dia bagai tidak mengerti bahawa aku ini muhrimnya dan permintaanya hampir-hampir membuatkan aku jatuh pitam.

“Dya dah makan?” soalnya membuka bicara. Kedatangannya tidak pernah aku alukan tetapi tidak juga aku sanggup menghalaunya.
Tanpa suara aku hanya mengangguk perlahan. Entahlah.....aku tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan yang wujud tatkala berdepan dengan lelaki ini. Dia abang kandungku tetapi dia juga telah merosakkan masa depanku.

“Jom! Temankan abang makan,” ajaknya lalu mencapai jemariku. Pantas aku mengelak dan berundur sedikit ke belakang.

“Dya ada kelas sekejap lagi.” Aku memberi alasan.
Dia diam sejenak, bagai berfikir. Matanya yang rakus menelanjani seluruh tubuhku cukup merimaskan. Kerana pasti aku selamat di sini, rasa bimbang dan takut berlari pergi.

“Kalau macam tu malam nanti abang datang jemput Dya. Kita keluar makan dan singgah rumah abang sekejap. Sebelum tengah malam abang hantar Dya pulang,” ujarnya.
Dia tinggal di sini? Di mana rumahnya? Kenapa tinggal di sini? Kenapa tidak bekerja dengan syarikat ayah di Melaka? Pelbagai persoalan muncul di mindaku.

“Abang kerja kat Shah Alam, Syarikat kawan ayah,” jelasnya bagai mengerti kekeliruan di benakku.

“Dya tak nak. Abang jangan datang sini lagi.” Aku menolak dan ingin melangkah pergi tetapi dia cepat menyambar tanganku.

"Janganlah macam ni, Dya," dia cuba memujuk. Cuak betul aku melihat tingkahnya. Tangan yang dipegangnya cuba kutarik kembali.

“Lepaskan Dya bang.” Aku meronta apabila dia tidak ingin melepaskannya.

“Sekejap aje Dya, Pleaseeee......Abang rindu sangat dengan Dya. Dah lama sangat kita tak bersama. Malam nanti abang jemput Dya ya?” Dia merayu pula, membuatkan aku seakan rasa ingin termuntah. Bila masanya aku rela ‘bersama’ dengannya?

“Kahwinlah bang. Jangan macam ni, Dya tak sanggup bang. Tolonglah....Jangan libatkan Dya lagi.” Kali ini aku pula yang merayu, masih berusaha melepaskan tanganku yang masih dipegangnya.

“Abang tak nak orang lain Dya. Abang nak Dya juga. Dya tinggal dengan abang dan abang akan jaga Dya. Habis belajar Dya tak perlu kerja, abang tanggung hidup Dya.”
Mendengar permintaannya, aku terasa ingin pitam. Hilang akalkah dia? Aku ini muhrimnya, mana mungkin untuk tinggal dan tidur seranjang dengannya? Dengan kata lain jadi isterinya? Dari rupa paras, dia tiada cacat cela di mana-mana. Dia mampu mendapatkan pasangan hidup yang jauh lebih cantik dariku. Honda City yang dipakainya pun sudah cukup untuk meraih perhatian ramai wanita di kota ini. Apa sebenarnya yang dia pandang padaku?

“Selalu bila Abang handsome kau tu datang, muka kau mesti macam tempeyek lemau,” kutuk Nyza ketika aku baru melangkah masuk ke biliknya.

“Gaduhlah tu, aaabanggg....konon, cakaplah buah hati.” Anim yang juga berada di situ pula menyampuk dengan cebikan di bibir.
Benar....Sejak dari pertama kali aku menyatakan bahawa lelaki itu adalah abangku, mereka tidak pernah mahu mempercayainya. Bagaimana untuk dijelaskan bahawa lelaki itu adalah abangku sedarah dan sedaging, bukan abang yang diangkat untuk dijadikan teman?

"Budak sekolah rendah bolehlah kau tipu. Takkan abang sampai bertarik dan berpegang tangan," selar Nyza pula.

"Eh! Diakan muhrim aku, tak berdosa kalau bersentuhan. Bukan macam orang tu, naik motor dengan buah hati peluk-peluk sampai tak cukup tangan, tak kira waktu asyik kumpul dosa,” tempelakku sengaja menyindir Anim. Nyza sudah tergelak-gelak.

“Kau mengata aku ya?” Anim yang terasa mengetap bibir memandangku.

“Eh! Kau terasa ke? Tak tahu pulak kau makan cili.” Selamba aku mengenakannya.

“Tak apa...Aku nak tengok kau dengan Syamir macam mana. Kalau pun tangan tak sanggup berdosa, mata dan telinga? Sama juga kumpul dosa kan?” Dia sudah mula melibatkan nama Syamir.
Bercerita tentang lelaki itu, aku malas mengulas lanjut. Biarlah mereka dengan tanggapan masing-masing, yang penting antara aku dan lelaki itu hanyalah sekadar sahabat sesama pelajar, tiada kurang atau pun lebihnya.

Sakit....

Aku tengah sakit...batuk, selsema, sakit tekak, sakit kepala, demam dan macam-macam sakit lagi datang serentak, sampai nak bangun pun tak larat. Jarang-jarang sekali sakit macam ni, bila dah sakit tu rasa teruk sangat. Masa tu aku mula terfikir betapa nikmatnya masa sihat yang Tuhan berikan.

Mulanya doktor panel nak bagi Mc suruh aku balik berehat tapi aku sombong kata tak nak sebab masa tu banyak kerja nak kena settle. Esoknya dalam larat tak larat aku angkat kaki juga ke pejabat sampai hubby aku bising-bising, kerja sampai mati pun tak habis katanya.

Setengah hari dah tak tahan aku cabut aje balik. Betul juga cakap hubby aku tu, kerja sampai bila pun tak habis. Kalau aku tak ada, business tetap juga berjalan macam biasa, bukan kena tutup dan tunggu aku sihat dulu baru buka.

Kerana itu,aku minta aje MC dua hari. Duduk rumah berehat secukupnya. Bila jejak kaki ke pejabat, aku dah tak tahu macamana nak rehat.

Saat-saat kesakitan begini aku teringatkan satu hadis yang berbunyi:

Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain: Hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu, masa mudamu sebelum masa tuamu dan masa kayamu sebelum faqirmu. (Hadis Riwayat Imam Ahmad didalam Musnadnya dari Ibn Abbas)

Aduhhh.... dalam kesakitan ini juga aku lihat pelbagai kekalutan berlaku di Perak. Apa yang nak direbutkan andai semua yang ada di depan kita itu hanyalah pinjaman dari Ilahi? Kenapa harus berperang sesama islam semata-mata untuk memberi untung kepada agama dan bangsa lain? kenapa kita tidak boleh memaafkan apa yang telah berlalu dan bersatu kembali membentuk negara islam yang aman dan makmur? Tidak cukupkah pengajaran di bumi Gaza dan penderitaan rakyatnya yang terpaksa menjadi pelarian di bumi sendiri?

Mahukah kita menjadi seperti mereka? Cukup kuatkah kita untuk menghadapi kesulitan sebegitu? Cukup kuat atau tidak, kalau kita terus berpecah belah begini, masanya tidak lama....kita pasti akan jadi pelarian di bumi sendiri. Tepuk dada, tanyalah hati..... jawapannya ada di situ.