FOLLOWERS

Yang Dia Pilih - Bab 6

BUNTU! Dia tidak boleh menyiapkan cerita tentang lelaki yang bernama Hareez Daniel itu kerana ada beberapa maklumat yang dia lupa untuk bertanya. Ni semua lelaki tu punya pasal. Bila ditanya, jawapannya jauh melencong. Lebih-lebih lagi bila soalan berkaitan hal peribadi.
Sudahlah itu tugasan pertamanya yang perlu dibuat sendirian. Yanie, rakan sekerja yang sama team dengan dia pula bercuti balik kampung. Kalau tidak, bolehlah dia meminta tolong Yanie untuk menyelesaikan masalah tersebut. Yanie orang lama, tentu tahu bagaimana nak buat.
"Tia, story tentang si handsome Hareez tu dah siap ke belum?" lebar senyuman Puan Mariam saat menyebut perkataan handsome itu.
“Belum, Puan.” Pantas Fatia menjawab.
Handsome? Yerk!  terasa loya tekak dia mendengarnya. Nasib baik tak termuntah depan-depan Puan Mariam. Handsome ke? Entah! Dia tak sempat nak pandang lama-lama sebab dah terkantoi awal-awal. Lagi pun, dia memang bengang dengan mamat sengal tu yang ala-ala kasanova yang cuba menggoda. Nampak sangat gatal!
Dengan malas Fatia membuka e-mail kiriman Mazlan yang mengandungi lampiran gambar-gambar  ketika sesi photo shoot lelaki tersebut kelmarin. Tak banyak sebab lelaki yang 'perasan bagus' itu dah siang siang warning jangan shoot gambar dia banyak-banyak.
'Kalau gambar berdua dengan wartawan yang muka garang macam beruang terkena sawan ni, I sanggup. Seratus kali shoot pun boleh.'
Itulah ayat Hareez ketika sesi fotografi yang membuatkan Fatia rasa seperti nak pijak muka orang. Bicaranya yang beriring sengihan di bibir itu langsung tak kelakar di telinga Fatia tetapi disambut gelak tawa oleh team Mazlan. Geramnya! Ada ke muka cantik manis macam dia ni dikatakan seperti beruang terkena sawan?
Fatia print gambar-gambar tersebut, nak tengok dan telek sejauh mana handsomenya. Tenung di skrin komputer rasa macam berpinar biji mata.
Satu-persatu gambar tersebut diteliti. Lama matanya tertancap pada gambar yang diambil secara dekat. Ya! Handsome, Fatia terpaksa akui. Rasanya, orang rabun pun akan kata lelaki ni handsome. Tak payah nak teliti tempat lain, senyumnya saja boleh buat degup jantung berubah rentak. Tapi, itu tidak bermaksud hatinya jatuh suka. Lelaki gatal gaya kasanova begitu minta dijauhkan dari frekuensi getaran hatinya.
Gambar-gambar tersebut diletak ke atas meja. Baik siapkan ceritanya cepat-cepat sebelum Puan Mariam mengaum. Kalau mulut ketuanya dah berbunyi, takut pula bernanah anak telinga. Baru beberapa bulan kerja di sini, Fatia sudah cukup masak dengan perangai wanita itu. Kerja jangan suka lengah-lengah.
Sambil mengetuk-ngetuk permukaan meja, Fatia mencongak di kepala. Kalau dia main tulis saja, takut buta-buta kena marah. Setakat kena marah takpe lagi, kalau terus kena saman siapa yang susah?
Timbang dan tolak, campur dan bahagi, akhirnya Fatia angkat juga gagang telefon. Kalau bukan dia, nak suruh siapa yang menelefon? Takkan nak minta Puan Mariam kot, tak logik sungguh. Kecualilah kalau Puan Mariam tu kekasih hati lelaki tersebut.
Dua kali deringan, panggilan dijawab oleh receptionist kemudian talian disambung apabila Fatia menyebut nama lelaki tersebut. Rasa debarnya tiba-tiba mencanak sementara menunggu talian disambut. Pertama kali dia merasa ngeri untuk bercakap dengan seseorang di telefon.
Suara perempuan yang menyambut melegakan hati Fatia. Pasti setiusahanya yang bernama Tania itu. Kemudian, talian disambung lagi setelah detailnya diambil.
"Hareez speaking."
"Eerrrkkk..." Fatia terus jadi gagap tatkala mendengar suara lelaki tersebut. Sedikit garau tetapi sedap didengar oleh telinga. Betullah, lelaki ni macam ada ‘Saka’ yang boleh buatkan dia sering hilang kata-kata.
"Assalamualaikum Encik Hareez, I...."
"Waalaikumussalammmmm....." Hareez terus memintas, meleret dan panjang seolah menyambut salam seorang sahabat yang sudah lama tidak ditemui.
"Ya sayang, ada apa-apa yang boleh I bantu?"
"Encik! Berapa kali I nak ulang jangan panggil I begitu!!" Fatia terus terjerit. Rasa geram melencong kawalan suaranya.
"Panggil begitu??" Hareez tergelak dihujung talian. Hari ini dia sangat sibuk tetapi tatkala mendengar suara gemersik wartawan yang cantik itu, mood mengusiknya tiba-tiba saja datang.
"Begitu tu apa?" soal Hareez, saja main-main. Dapat dibayangkan wajah masam kelat wanita di hujung talian sana.
"Sayang!"
"Ouh! I memang dah tahu you sayang I." Hareez gelak lagi.
"Uwek! Kenapa I tiba-tiba rasa loya ni?" Fatia membalas. Sopannya langsung sudah hilang entah ke mana.
"Aik! I belum 'SENTUH' you lagi tau. Macamana you dah loya-loya ni?" balas Hareez pula dengan menekankan perkataan sentuh.
"Eeee.... Geramnyaaaaa.... Ya Allah! Kenapalah ada manusia yang sengal macam dia ni." Fatia tepuk-tepuk dahi sendiri. Kalaulah lelaki tu ada depan dia waktu ni, memang ada la yang kena hempuk kepala dengan ganggang telefon.
"Alaaa.. Sengal-sengal I pun you suka juga kan?"
"Eh! Tolong sikit yer. Kalau..."
"Cakap jer la terus terang yang you tu suka I." Hareez gelak-gelak lagi. Entah kenapa dia suka benar dengan reaksi wartawan tersebut, spontan dan langsung tak ada kontrol-kontrol. Kalau perempuan lain, tentu sekali sudah lemah gemalai kontrol ayu bila bercakap dengannya.
Fatia sedut nafas dalam-dalam. Bersama itu, dia tarik sebanyak mungkin kesabaran untuk dikumpul di ruang hati.
“Encik! Boleh tak kalau I nak dapatkan sedikit lagi maklumat?” Fatia terus ke  persoalan pokok tujuan dia menelefon lelaki itu.
“Encik ni dah berkeluarga ke belum yer?” terus saja dia bertanyakan soalan tanpa menunggu orang disebelah sana bersuara.
“Kalau I kata belum, you nak tak kahwin dengan I, jadi ‘keluarga’ I?” Hareez seperti membuat tawaran dalam jawapannya.
Hah! Buntang mata Fatia mendengar tawaran tersebut. Mudahnya.... macam sesi tawar menawar di pasar borong. Apa dia ingat aku ni ikan kembung yang boleh dibeli kilo ke? Eee.. geram sungguh! Orang tanya betul-betul, dia main-main pulak.
“Terima kasih jer la Encik, I belum GATAL lagi nak kahwin dengan encik,” balas Fatia dengan menekankan perkataan gatal. Apa dia ingat semua perempuan gatal dan miang bila diayat begitu?
“Oh! Tunggu gatal dulu baru boleh kahwin yer? Nantilah, I hantar sayur keladi suruh you makan. Lepas tu bila you rasa gatal, tentu you nak kahwin dengan I kan?” Hareez terus tergelak di hujung talian. Gelak yang betul-betul buat dia rasa hilang semua stres. Rupanya, dia masih mampu untuk ketawa dan tersenyum gembira.
Geram! Fatia terus tamatkan talian. Dia bimbang jika menunggu lebih lama akan ada ayat-ayat orang meroyan keluar dari bibirnya. Takut pula jika dianggap kurang siuman.
Arrrghhhh!!!... Tanpa sedar, bibirnya menjerit kecil. Nasib baiklah rakan-rakan pejabat yang duduk berdekatan semuanya telah keluar menyelesaikan tugasan masing-masing. Tensionnya dengan mamat sengal sorang ni hanya TUHAN saja yang tahu.
Geram yang sukar untuk surut, gambar Hareez yang terdampar didepannya di tarik. Marker pen warna hitam dicapai dan jemarinya terus bergerak-gerak menconteng wajah yang sedang tersenyum itu.
Mula-mula, dagunya menjadi sasaran. Janggut seperti kambing jantan dilukis di situ. Kemudian bergerak pula ke bahagian atas bibir. Misai Datok K dilukis pula di situ.
Selesai misai, tangannya bergerak pula ke kepala untuk melukis kopiah seperti yang dipakai oleh atok Upin dan Ipin. Belum sempat menjadi kopiah, gambar tersebut ditarik oleh seseorang.
Melihatkan Puan Mariam yang berdiri di depan meja bersama gambar yang dia conteng itu berada di tangan wanita itu, wajah Fatia terlopong dan badannya terus tegak mematung.
"Ni bukan ke gambar Hareez? Apa yang you buat ni Fatia?"
"Eerrkk... Tu gambar yang rosak Puan. Saja I conteng-conteng sambil cari ayat yang sesuai nak buat story." Spontan idea Fatia datang memberi alasan. Bohong sunat!
Puan Mariam terus menggeleng tapi sesaat selepas itu, bibirnya mengukir senyum sambil menatap gambar tersebut.
"Kalau tuannya tahu gambar dia diconteng begini, mahunya dia potong tangan you Fatia."
"Eerrr.. Kalau puan tak cakap, tentu dia tak tahukan? Tak mungkin I begitu bodoh nak pergi cakap kat dia." Fatia sengih sambil kerdipkan mata pada bosnya.
Puan Mariam menggeleng lagi. Setiap kali berbicara dengan Fatia, dia sering ingin tergelak. Fatia punya sesuatu yang tak ada pada stafnya yang lain. Sesuatu yang dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya. Yang pasti, apa yang Fatia buat tidak pernah tidak betul di matanya, tidak pernah dia tidak bersetuju dengan apa saja yang dikatakan Fatia.
Walau masih baru dan langsung tidak ada pengalaman dalam bidang kewartawanan, Fatia cepat belajar. Dia bijak dalam segala hal. Dia tahu bawa diri. Jadi, tidak hairan dalam masa yang singkat dia sudah menjadi kesayangan ramai.
"I tadi nak minta you siapkan cerita tentang Hareez ni cepat sikit sebab nak dimuatkan dalam keluaran bulan depan."
"Baik puan. I cuba siapkan seperti yang puan mahu,” janji Fatia.
Puan Mariam terus angguk kepala dan berlalu pergi. Sehingga bayang ketuanya itu hilang di sebalik partition, Fatia masih mematungkan diri di situ. Bagaimana nak siap kalau orang yang menjadi bahan dalam cerita tersebut macam ada masalah mental? Silap haribulan nanti, orang tu tak apa-apa, dia pula yang masuk hospital sakit jiwa.

No comments: