FOLLOWERS

Yang Dia Pilih - Bab 2

Melangkah perlahan ke lif untuk ke lobi utama Hotel Shangri-La tengahari itu, pintu lif hampir tertutup tetapi jemari Hareez masih sempat menekan butang dan pintu terbuka kembali. Di dalamnya hanya ada seorang gadis.
            Masuk ke dalam, matanya menjeling gadis tersebut. Sebenarnya, dia mahu melihat butang lif tetapi disebabkan gadis itu berdiri betul-betul di depan butang tersebut, pandangannya jadi terhalang.
            “Excuse me…” Hareez bersuara.
            Sepantas kilat gadis itu berpaling dan keningnya diangkat tanda menyoal. Sesaat mata Hareez bagai dipaku. Bukan cantik yang dia nampak tetapi kelembutan di wajah itu menarik perhatiannya.
            Hareez hulurkan senyuman sambil memberi isyarat mahu menekan butang lif tetapi gadis tersebut hanya memandang tanpa perasaan. Oh! dia sentap tiba-tiba. Belum pernah lagi dia senyum orang tak balas. Mungkinkah dia tak cukup handsome di mata si gadis?
            Gadis tersebut cuba berundur, namun langkahnya sedikit pincang, mungkin sebab high heels yang dipakai atau terpijak skirt labuh meleret ke lantai yang dipakainya, dia gagal mengimbangi badan dan…
            “Arrgggghh.” Si gadis terus terjerit sambil tangan menggagau untuk berpaut.
            Tidak bersedia, Hareez pula yang hilang imbangan badan apabila tubuh si gadis terdorong ke arahnya.
            Gedebukkk!!!
            “Aduhhhh” Hareez mengaduh sambil menggosok belakang kepala yang terasa sakit. Dia sudah separuh terbaring kerana tersekat dengan dinding lif dan si gadis elok landing di atasnya.
Saat yang sama pintu lif terbuka di lobi hotel dan beberapa pasang mata manusia yang sedang menunggu lif membulat memandang ke arah mereka.
            Hareez senyum dalam usaha untuk menenangkan diri sendiri. Sebenarnya, cuba untuk menenangkan jantung sendiri yang seakan lari tempo rentaknya. Lelaki yang kuat iman pun rasanya boleh menipis imannya jika ditindih begini oleh gadis cantik.
Si gadis yang sedang menindihnya itu pula macam tak tahu nak bangun sendiri. Agaknya dah jadi blur. Wajahnya yang putih gebu dah berubah warna merah.
            “Errkk… Apa yang sedang berlaku?” Tiba-tiba petugas hotel datang dan menahan pintu lif yang hampir tertutup kembali.
            Bagai tersedar dari lamunan, gadis tersebut cepat-cepat bangkit. Saat itu, barulah Hareez boleh bangun dan meluruskan badan yang terasa sedikit sengal.
            “Tak ada apa-apa. Cik adik ni cuba nak cabul I tapi tak sempat.” Hareez buat-buat terbatuk kecil sambil menjeling ke arah si gadis.
            Dan, cik adik manis yang sudah sedia merah wajahnya jadi bertambah merah tatkala mendengar kenyataan dari bibir Hareez. Apatah lagi, orang-orang yang melihat tadi sedang menekup mulut menahan tawa.
            “You!” hanya itu yang sempat keluar dari bibir si gadis sebelum Hareez meloloskan diri dari pintu lif sambil menyimpan tawa. Siapa suruh tak balas senyum dia, kan dah kena.
            Langkahnya terus diatur menuju ke Lemon Garden Café. Pagi ini dia ada pertemuan jejak kasih dengan teman lama di hotel tersebut.
            Baru kaki memasuki pintu Café, Hareez tercari-cari telefon bimbitnya. Cuba mengingati di mana dia tercicir. Kebiasaannya, keluar dari rumah atau dari kereta, telefon akan diselitkan di dalam poket seluar. Kali ni, tak ada pula.
Mungkinkah tercicir sewaktu dia terjatuh di dalam lif tadi? Mindanya berfikir sendiri. Pantas dia berpusing, melencong langkah menuju ke arah lif kembali.
            Namun, langkahnya terhenti tatkala matanya terpandang adegan tarik menarik di tengah lorong menuju ke lif parkir. Seorang lelaki berbadan tegap kemas berkemeja kelabu siap bertali leher sedang menarik tangan seorang wanita manakala wanita itu pula enggan mengikut.
            Sekejap! itukan cik adik manis yang dalam lif tadi. Segera langkahnya melencong ke arah pasangan tersebut.
Excuse me….?” Hareez menegur. Terus adegan tarik-menarik terhenti.
“Abang!” tiba-tiba saja si gadis meluru ke arahnya. Tiba-tiba saja, lengannya dipaut erat.
Eh? Diakah yang diseru oleh si gadis ini sebentar tadi? Kalau betul, sejak bila pula dia ada adik?
Hareez berpaling dan senyuman si gadis menyapa pandangannya. Buat seketika matanya bagai terlupa untuk berkelip sebab senyuman itu manis bergula.
“Sayang… siapa ni?” soalan lelaki berkemeja kelabu memanggil Hareez mengalihkan pandangan. Lama-lama pandang anak gadis orang, takut juga jantungnya buat perangai. Dalam lif tadi pun dia dah rasa lain macam. Sekarang ni pula tubuhnya dah rasa seram sejuk sebab kedudukan dia dengan si gadis teramatlah rapat sehingga badannya terasa membahang.
“Sayang??” suara lelaki itu bergema lagi.
Hareez sekali lagi menoleh memandang si gadis di sebelahnya. Wajah cik sayang nampak mengharap bantuannya.
“Sini!!” lelaki tersebut tiba-tiba saja menarik tangan cik sayang.
“Tak nak!” cik sayang pula terjerit membantah. Pautan tangannya semakin kejap di lengan Hareez.
“Abang cakap ikut abang!”
“Eh, wait! Wait! Saudara, tak elok berkasar dengan perempuan.” Hareez cuba meleraikan. Tarikan kuat lelaki tersebut membuatkan dia tertarik sama. Apa taknya, pautan di lengannya oleh cik sayang kejap sekali.
“Kau ni siapa? Jangan campur urusan aku boleh tak?” lelaki tersebut mula naik angin. Dada Hareez ditolak kasar.
“Dia tunang aku, kau jangan nak sibuk!” sergah lelaki itu lagi.
“Tak! Kita dah putus. Tolong jangan kacau Tia lagi,” balas cik sayang.
Oh! Namanya Tia. Hareez sematkan ke dalam kepala.
“Fatia Alesya! Mengikut adat kita masih belum putus dan abang akan pastikan ianya takkan putus,” tegas lelaki tersebut. Muka dah merah padam.
“Abang… Apa sekalipun, Tia anggap kita dah tak ada apa-apa lagi.” Cik sayang tarik nafas panjang-panjang.
“Ni! Tia akan kahwin dengan dia… soon, very, very soon.”
Hah? Hareez blur sekejap apabila jemari cik sayang yang bernama Fatia Alesya itu menunjuk ke arahnya. Kahwin? Adakah itu yang disebut cik sayang tadi?  Bila masa dia pinang anak dara orang ni? Takkan mama buat kerja gila pergi meminang tanpa pengetahuan dia? Hati Hareez terlompat berkali-kali.
“Tapi kita masih belum putus.”
“Saudara.. baru tunang aje kan? Belum kahwin lagi. Bab putus memutus tu kemudian ceritalah. Kami dah lambat ni.” Hareez cuba mencantas, mahu memendekkan apa jua kisah yang secara tidak langsung sudah melibatkan dirinya. Dia dahlah lambat, telefon pula entah di mana cicirnya.
“Kau jangan nak berkurang ajar dengan aku boleh tak?” lelaki tersebut sekali lagi menolak dada Hareez. Kali ini lebih kuat sehingga menyebabkan dia dan cik sayang terundur ke belakang.
“Abanggg!!!!” cik sayang menjerit. Saat itu sudah ada beberapa pengunjung yang datang menyaksikan drama tersebut. Dah rupa macam sesi penggambaran drama sinetron pula.
“Kalau orang dah tak nak tu, jangan dipaksa-paksa,” sinis Hareez bersama senyuman. Saat ini sabarnya masih menebal dan dia tak mahu jatuhkan martabat lelaki bergaduh di tempat umum.
“Hey! Watch your mouth!” lelaki tersebut memberi amaran dengan jari telunjuk hampir ke muka Hareez.
“Saudara jari tu jaga sikit. Kalau kena muka, I tak jamin jari you akan selamat.” Hareez tenang-tenang saja tapi ayatnya buatkan lelaki tersebut membuntang mata.
Waktu itu, orang sudah ramai datang ke arah mereka termasuklah security guard. Mungkin ada yang memanggil pengawal tersebut apabila melihat keadaan semakin kecoh.
Tanpa lengah, Hareez tarik cik sayang mengikut langkahnya. Dah alang-alang menolong tu, biar terus sampai selamat.
Masuk ke dalam lif, mereka berdiri bertentangan. Saat itulah mata Hareez ternampak Iphonenya di tangan kiri cik sayang.
Dia terus atur langkah mendekati cik sayang. Waktu itu, mata cik sayang sudah lurus memandang ke arahnya, nampak takut-takut tapi berlagak berani.
Turun naik dada cik sayang ditenung penuh minat. Selendang kuning berbunga halus yang dipakainya agak pendek dan blouse kain satin yang dipakainya melekat ke badan menampakkan segala bentuk.
Hareez rasa macam nak cucuk mata sendiri sebab dah tak tahu nak pandang tempat lain. Rasa macam nak hentak kepala sendiri sebab tiba-tiba saja berfikir yang bukan-bukan. Kenapa tiba-tiba dia jadi nakal begini? Walhal selama ni, pandang perempuan pun macam nampak tak nampak. 
“Kenapa pandang I macam tu?” Spontan si gadis angkat kedua tangan bersilang menutup dada sendiri. Ngeri tatkala jejaka kacak di depannya ini memandang di tempat yang tidak sepatutnya. Nampak smart bergaya, takkanlah gila kot?
Hareez ketawa perlahan melihat reaksi spontan cik sayang. Sengaja mahu mengusik, matanya dikenyitkan, gaya kasanova.
“Gatal!” Cik sayang terus terjerit perlahan.

Hareez senyum jahat. Entah kenapa dia tiba-tiba tumbuh tanduk tatkala berdepan dengan si gadis yang tidak dikenali ini. Apa sebenarnya yang ada pada si gadis sehingga dia boleh bertukar seperti transformer?

2 comments:

Hazirah Ahmad said...

really a good idea...harap lepas nie cerita nie terus dibukukan ye....

Hazirah Ahmad said...

really a good idea...harap lepas nie cerita nie terus dibukukan ye....