FOLLOWERS

Yang Dia Pilih - Bab 3

SEKALI lagi ditemukan dengan lelaki ini, Fatia rasa semacam. Kacak tetapi seperti orang tak betul. Gatal tahap gaban.
Teringat peristiwa dia dituduh mencabul di dalam lif ketika kali pertama bersua tadi, terasa asap berkepul keluar melalui telinga. Tapi, bila fikir lelaki inilah juga yang telah menyelamatkan dia dari Tengku Badri, nafas panjang ditarik perlahan.
My phone.” Tiba-tiba si lelaki tadah tangan buatkan Fatia makin pelik. Iphone yang terpegang ditangan ditelek. Itu telefon dia, kenapa lelaki ni minta pula?
Mata Fatia kembali ke wajah lelaki yang masih menadah tangan di depannya. Mungkin benar telahannya yang lelaki ini tak betul. Sayang sekali, wajah kacak, grooming smart tapi kurang siuman.
Saat yang sama pintu lif terbuka, Fatia cepat-cepat angkat kaki untuk keluar. Kali ini dia lebih hati-hati, skirt labuh yang dipakainya diangkat sedikit agar tidak terpijak seperti tadi.
“Cik Sayang...."
Langkah Fatia terhenti.
 “You panggil I apa?” soalnya, menoleh ke arah si lelaki yang juga sedang melangkah keluar dari perut lif.
“Sayang,” jawab Si lelaki.
“Nama I bukan sayang!”
Si lelaki senyum senget. Sekali lagi tangan ditadah.
Give back my phone, please.”
Fatia kerut kening.
“Ini phone I.” Dia tunjukkan telefon ke depan agar lelaki tersebut dapat melihat Iphone yang dipegangnya.
Kali ini si lelaki pula berkerut kening sambil merenung Iphone yang ditunjukkan.
Sorry,” ucapnya kemudian dan mahu melangkah pergi.
“Eh! kejap.” Fatia menegah.
“Tadi….dalam lif, kenapa you malukan I dan lepas tu you tolong I pulak?”
 Si lelaki angkat kening.
“Cik sayanggg..”
“Dah cakap dengan you nama I bukan sayang.” Fatia memintas, dengan mata membulat.
“Nama I Fatia,” sambungnya
“Tak tanya pun.” Si lelaki gelak-gelak buatkan mata Fatia membulat.
Mulut Fatia berdecit menahan geram yang jadi berganda. Rasa nak tenyeh mulut orang aje hari ni.
“Bagi alamat.” Tiba-tiba si lelaki bersuara, mengubah topik bicara buat Fatia terdiam berfikir. Sebut tentang alamat, dadanya dilanda debar. Adakah lelaki ini pengintip yang diupah mummynya untuk menjejak dia di sini?
“A…lamat? Nak buat apa?” Fatia jadi gagap tiba-tiba.
“Nak hantar rombongan. Kan tadi you cakap nak kahwin dengan I.”
Fatia terus mati kata. Tak tahu nak cakap apa. Tadi tu, dia terpaksa sebab nak selamatkan diri dari lelaki tak sedar diri itu. Tapi takkanlah dia terperangkap dengan lelaki tak siuman ni pula?
Beberapa detik kemudian, kedengaran si lelaki melepaskan tawa dan tanpa sepatah kata dia melangkah pergi. Gila!
Huh! Fatia pegang dada sendiri. Kenapa ada debaran di dadanya saat mendengar tawa lelaki tak siuman itu? Telinganya seperti suka mendengar tawa itu, bagai irama indah yang menenangkan. Bukan seperti tawa yang selalu dia dengar sebelum ini, tawa lelaki yang bernama Tengku Badri, yang mampu buatkan tenang hatinya berubah kacau.
Langkah diatur menuju ke kereta. Dia ke hotel tersebut untuk menemani Kak Chah yang memenuhi jemputan pelancaran produk kecantikan. Dia dalam proses belajar menyesuaikan diri  dengan kerja barunya dan harus mengikut wartawan lain ke lokasi tugasan.
Tidak disangka kedatangannya ke hotel tersebut menemukan dia dengan dua manusia yang boleh buatkan dia tak cukup udara untuk bernafas.
Masuk ke dalam kereta, tiba-tiba Iphone yang sejak tadi dia setkan ke silent mode bergegar buat kesekian kalinya. Siapa lagi kalau bukan Tengku Badri, lelaki yang cuba dia elak untuk bertemu tetapi hari ini pelariannya seakan hampir berakhir.
“Nak apa?” terus saja dia menyergah tatkala panggilan tersebut dijawab dan telefon dilekatkan ke telinga.
Terdiam seketika, itulah reaksi pemanggil di hujung sana. Mungkin terperanjat dengan apa yang didengar.
“Sejak bila Tia pandai cakap kasar dengan abang ni?” soal si pemanggil.
“Tia memang kasar pun, abang baru tahu ke?”
“Tia…”
“Abang jangan ganggu Tia lagi.” Fatia memintas.
We need to talk Tia.” Ada keluhan di hujung permintaan itu.
“Tak ada apa yang perlu dibincangkan lagi. Antara kita dah selesai.” Fatia tarik nafas panjang.
“Tia jangan degil boleh tak???”
“Tia tak pernah degil sebelum ni. Sebab tu keluarga sendiri buat Tia macam lembu, cucuk hidung dan tarik. Tia harus ikut apa kata semua orang. In the end, apa yang Tia dapat? Agaknya semua orang ingat Tia ni kayu, tak ada hati dan perasaan.” Turun naik dadanya menahan rasa.
Mengingati semua yang berlaku dalam hidupnya selama ini, dia rasa dialah manusia paling bodoh. Dia bukan tak belajar tinggi dan tak boleh berfikir tapi kerana hormatkan keluarga, dia turutkan kehendak semua orang. Sudahnya, maruah dia dipijak seperti sampah.
“Abang minta maaf. Tia baliklah, kita terus kahwin.”
“Kahwin?” Fatia gelak mengejek. Tahukah Tengku Badri yang perkataan kahwin dengan lelaki itu sudah tidak wujud lagi di dalam kamus hidupnya?
“Kahwin dengan abang adalah perkara yang tak mungkin akan berlaku selagi Tia masih hidup,” sambungnya.
Dia cuba menenangkan diri. Tapi, jika ia melibatkan Tengku Badri, rasanya perkataan tenang itu sudah tidak wujud lagi di hatinya. Sejak dulu!
Ya! Sejak lama dulu, hatinya seakan hilang rasa tenang. Sejak lama dulu, dia sudah jadi patung yang ada kuasa bateri, bibir tersenyum apabila disuruh senyum dan ketawa apabila diwajibkan ketawa.
“Tia!” suara si pemanggil mengejutkan Fatia.
“Abang akan buat sampai Tia balik dan melutut di kaki abang.” talian terus ditamatkan.
Itu amaran. Tapi Fatia sematkan ke dalam hati yang dia tak perlu takut. Ketika mengambil keputusan untuk menjadi pelarian, dia sudah buang semua rasa yang mampu membuatkan dia seperti manusia bodoh.

No comments: