FOLLOWERS

Pergi Tanp Alasan V2015 - Bab 5

HARI ini, Rihana rasa berat hati untuk memenuhi permintaan Rozi agar menggantikan temannya itu untuk menemani Datuk Kamal di kelab.
        “Aku rasa macam tak berapa sihat. Nak balik cepat.” Rozi sandarkan badan ke sofa. Wajah pucat si teman buatkan dia angguk tanda setuju. Kesian pula.
        “Aku dah janji malam ni nak ikut dia lepas habis kerja nanti. Kang cancel dia bising pulak. Kau tahulah orang tua tak sedar diri tu.”
        “Okeylah.  Aku ganti. Kau pergilah balik sekarang.” Rihana akur akhirnya. Lagi pun, sekarang ni Hakim tak ada di Malaysia. Ke Jepun selama dua minggu.
        Dia pun bukan tak kenal Datuk Kamal tu. Si tua miang keladi. Kalau datang ke kelab, suka mabuk-mabuk. Dah tu, tangan pula suka meraba sana sini.
        Thanks.” Rozi bangkit dan terus melangkah pergi.
        Rihana lepaskan keluhan. Kalau tak kesiankan si teman, sumpah dia tak sanggup. Pernah sekali dia terkena dengan lelaki tua tersebut. Tangan merayap ke dadanya. Apabila dia mengelak dan cuba untuk menjauh, bajunya pula yang disentap sampai terkoyak. Memang tak bertamadun punya jantan.
        “Aku balik dulu.” Rozi melintas bersama beg tangan di tangan.
        Rihana hanya memandang. Terkadang dia nampak Rozi macam pelik sikit kebelakangan ini. Tak aktif dan sering termenung. Kekadang suka bercakap yang bukan-bukan. Muka selalu nampak pucat dan keletihan.
        Adakah? Hati Rihana terdetik sesuatu.
        Tak mungkin! Tapi tak juga mustahil kerana HIV tak mengenal mangsa. Lebih-lebih lagi bagi yang suka mengamalkan seks bebas. Dia tahu, Rozi selalu cerita, kalau escort mana-mana pelanggan sehingga ke bilik hotel, temannya itu akan berikan perkhidmatan seks sekali.
        Setakat hari ini, dia belum pernah lakukan seperti apa yang Rozi lakukan. Setakat hari ini, lelaki yang berjaya mengheret dia sampai ke bilik hotel hanyalah Hakim. Tapi, setakat hari ini dia masih mampu mengawal lelaki itu.
        Lama juga dia termenung memikirkan hal Rozi sehingga ada yang datang menyampaikan pesan daripada Datuk Kamal. Lelaki itu sudah menunggu dengan pemandunya di depan kelab.
        “Hi, darling!” Datuk Kamal menegur gaya miang tatkala Rihana meloloskan diri masuk ke dalam kereta lelaki itu. Sesaat dia rasa bagai mahu termuntah.
        “Jalan!” Arahan diberi pada pemandu dan kereta terus meluncur laju.
        “I rasa sungguh bertuah malam ni sebab you sudi teman I.” Tanpa amaran tangan Datuk Kamal singgah di paha Rihana.
        Masih diam, Rihana tahan nafas. Mata menjeling tangan lelaki tua di sebelah yang elok saja mendarat di atas pahanya.
        “Awalnya I memang berhajatkan you. Tapi you jual mahal sangat. Asyik mengelak aje bila I dekat.” Datuk Kamal mengensot, makin merapatkan kedudukan.
        Kereta yang dipandu oleh pemandu peribadi Datuk Kamal sangat perlahan walau jalan di Bandaraya Kuala Lumpur ini sudah agak lengang.
        “Kita nak ke mana ni, Datuk?” Rihana mengensot makin ke tepi dan berpusing ke arah Datuk Kamal.
        “Istana Hotel. You teman I jumpa rakan bisnes dari Singapore dulu, lepas tu...” Datuk Kamal condongkan badan ke arah Rihana.
        “Kita masuk bilik. I dah booking satu malam untuk kita...”
        “Datuk…” Rihana memintas.
        “Rasanya sampai habis urusan bisnes Datuk, tolong hantar I balik. I tak buat kerja-kerja sampai ke bilik.”
        “Alaaa, macam tak biasa. Macam I tak tahu you selalu teman Hakim,” balas Datuk Kamal.
        “You nak I bayar lebih dari Hakim bayar you pun I boleh bagi. Takkan satu malam pun nak berkira.”
        Rihana ketap bibir tahan rasa. Kalau agak-agak dia lempang lelaki tua ni, kena saman ke tak?
        Dalam Rihana sedang cuba mengawal diri agar tidak bertindak di luar jangkaan, kereta sudah memasuki kawasan parkir dan berhenti di tempat yang agak tersorok.
        “Jom!” Datuk Kamal paut lengan Rihana, mengajak untuk keluar. Namun, Rihana masih tidak berganjak.
        Pemandu peribadi Datuk Kamal sudah turun dan membukakan pintu untuk bosnya tetapi disebabkan Rihana macam enggan keluar, Datuk Kamal juga masih tidak keluar. Pintu ditarik dan ditutup kembali.
        “Kenapa?” soal Datuk Kamal apabila melihat Rihana masih beku di tempat duduk.
        “Maaf, Datuk. I rasa I tak jadi ikut Datuk. I minta diri. Nanti I cari teksi untuk balik.” Rihana mahu membuka pintu untuk keluar. Entah kenapa dia rasa tak sedap hati.
        Namun, belum sempat bergerak, tangannya direntap sehingga pintu kereta tertutup kembali. Belum sempat berbuat apa-apa, Datuk Kamal sudah menerkamnya membuatkan dia terperosok tepi pintu.
        Sekelip mata Datuk Kamal sudah menindih tubuh Rihana sehingga wanita itu terjerit kuat.
        “Jangan buat hal dengan I, sayang...” Bibir Datuk Kamal pantas saja menggomol wajah Rihana, ganas dan rakus. Sudah terbiasa dengan gadis yang suka menolak pada awalnya tetapi terkulai juga selepas diasak.
        Rihana terjerit meminta tolong. Dengan harapan pemandu peribadi lelaki tersebut membantunya tetapi bayang pun tiada. Agaknya sudah terbiasa dengan tabiat bosnya.
        Jeritan dan penolakan Rihana yang agresif makin menaikkan nafsu Datuk Kamal. Makin rakus tindakannya. Tangan cepat saja merentap dress yang Rihana pakai sehingga terkoyak di bahu.
        Tindakan Datuk Kamal betul-betul menaikkan amarah Rihana. Tiada cara lain melainkan dia terpaksa menggunakan ilmu mempertahan diri yang dipelajarinya. Saat Datuk Kamal makin khayal mahu mencumbui di bahagian dadanya yang sudah terdedah, Rihana kumpul tenaga memberi tendangan padu sehingga lelaki tua itu jatuh tersepit di bawah tempat kaki berpijak.
        Rihana terus bangkit dan melompat turun dari kereta mewah tersebut. Tanpa menoleh ke belakang, dia berlari laju keluar dari kawasan parkir tersebut. Bajunya yang terkoyak di bahagian bahu dipegang kejap.
        Nasibnya baik apabila dia mudah saja mendapatkan teksi walau ketika itu sudah agak lewat.
        Bersandar di dalam teksi, Rihana sedut nafas yang terasa hilang dek perbuatan Datuk Kamal tadi. Sungguh, dia tak menyangka akan melalui situasi seburuk begini.
        Sesampai di kondo, Rihana terus mengetuk pintu bilik Rozi. Mahu mengadu tentang apa yang berlaku. Nampak lampu masih terpasang, pasti temannya itu masih belum tidur.
        “Rozi!” Beberapa kali menjerit nama si teman dan mengetuk pintu bilik namun, tiada sahutan.
        Tombol terus dipusing. Tidak berkunci. Rihana terus melangkah masuk. Tapi, bayang Rozi tidak kelihatan.
        Telinga cuba dipasang kalau-kalau ada kedengaran bunyi air di bilik mandi. Namun, senyap sunyi.
        “Gee!!! Ooo, Rozi!!!” Rihana terjerit lagi.
        Saat itu telinganya terdengar pintu bilik air bagai diketuk dari dalam. Tidak kuat dan tidak perlahan.
        Sedetik, Rihana terkaku. Tiba-tiba saja terlintas perkara yang tidak elok di kepalanya. Terus dia meluru ke arah bilik air tersebut.
        Pintu tidak berkunci tetapi apabila ditolak, terasa berat bagai tersangkut sesuatu.
        “Tolonggg...” Telinga Rihana terdengar suara si teman lemah meminta tolong.
        Dengan sekuat tenaga, dia gunakan tubuh untuk menolak pintu tersebut. Tatkala berjaya meloloskan diri masuk ke dalam, kelihatan Rozi terduduk di lantai bilik air dengan sebelah tangan memegang dada dan sebelah tangan lagi memegang mangkuk tandas.
        “Ya Allah! Rozi!” Rihana terus terjerit dan menerpa ke arah temannya yang sudah tidak ditutupi pakaian. Hanya sehelai tuala melekat di punggungnya. Mungkin terlondeh ketika jatuh terduduk.
        “Tolong aku...” Tangan Rozi yang sedang memegang mangkuk tandas  berpindah memaut lengan Rihana yang sudah bertindak memangku temannya itu. Tuala Rihana tarik menutupi tubuh si teman yang terdedah.
        “Gee, kenapa dengan kau?” Rihana menggigil menahan tangis. Sudahlah tadi dia baru melalui situasi yang menakutkan. Belum habis debar di dada, dia disajikan pula dengan situasi yang mengejutkan begini.
        “Gee!” Rihana  tepuk-tepuk pipi Rozi yang nampak macam orang terkena sawan dengan nafas tercungap .
        Dengan sisa tenaga yang ada, Rihana bangkit sambil memapah dan mengheret si teman  keluar dari bilik air.
        “H..a..n..a....t..o..l..o..n..g....a..k..u...” Perlahan dan payah sekali Rozi bersuara. Saat yang sama matanya terbelalak ke atas.
        “Rozi! Ingat Tuhan, Gee...” Belum habis ayat Rihana, mata si teman tertutup dan tangan jatuh terkulai.
        “Geeee!!!!”  Kuat jeritan Rihana bergema di seluruh ruang.
        “Mengucap Gee...” Tubuh si teman dipaut dan dipeluk erat.
        Dan... tangisnya pecah bersama jasad yang kaku.
        Ingat Tuhan...
        Ingat Tuhan...
        Ingat Tuhan...
        ‘Kenapa dalam keadaan getir begini baru mahu mengingati Tuhan?’  Satu suara bagi menjeritkan soalan tersebut.
Rihana terus kaku

No comments: