FOLLOWERS

Pergi Tanpa Alasan V2015 - Bab 2

RIHANA berpusing di depan cermin sebelum mencapai beg tangan Gucci di atas meja dan melangkah keluar.
        “Ke mana?” Suara Rozi menyapa. Hari minggu, pagi-pagi memang kerja si teman itu melepak depan TV.
        “Tak tahu lagi.”
        “Dengan Hakim?”
        Rihana angguk mengiyakan soalan si teman. Siapa lagi kalau bukan Hakim. Lelaki yang telah berjaya ‘mengikat’ dia tanpa perlu menandatangani sebarang kontrak.
        Malam detik bersejarah di Zouk tempoh hari adalah permulaan segalanya. Membawa dia terus melekat dengan lelaki yang bernama Hakim itu.
        “Balik tak?” Rozi bangkit dan mengekor dari belakang.
        “Tak tahu lagi. Nanti aku WhatsApp kau.” Kasut disarung sebelum pintu dibuka.
        “Beb, kau dengan Hakim tu...” Soalan Rozi yang mati sekerat jalan memanggil Rihana berpaling.
        “Kau nak tanya apa ni? Aku nak cepat, driver Hakim dah tunggu kat bawah.” Rihana menggesa. Memang pemandu yang Hakim hantar sudah menunggunya.
        “Takpelah, lain kali. Take care.” Rozi senyum sambil melambai isyarat selamat jalan dan membantu menutup pintu. Mereka hanya tinggal berdua di kondo tersebut. Menyewa setelah tamat pengajian di UiTM.
        Turun ke bawah, kereta sudah menunggu di lobi. Memang begitulah setiap kali jika ingin bertemu, Hakim akan menghantar pemandu untuk menjemputnya dan dibawa ke destinasi yang diarahkan. Hakim hanya menunggu di situ. Selalunya tempat-tempat eksklusif dan sulit. Maklum saja, lelaki itu kan terkenal seantero KL. Pastilah takut terserempak dengan orang yang dikenali.
        Rihana tak tahu ke mana destinasi kali ini. Tapi kereta menuju ke lebuh raya karak dan singgah di R & R Genting Sempah di mana Hakim sudah menunggu di situ, di dalam keretanya yang terparkir di tempat tersorok.
        “Nak ke mana ni?” Rihana menyoal sebaik masuk ke dalam kereta.
        Namun, tiada jawapan dari Hakim. Hanya senyuman yang dihulurkan. Selalu pun begitu. Bersama Hakim, penuh dengan kejutan tak terduga.
        Separuh perjalanan, baru Rihana tahu destinasinya adalah Cameron Highland.
        Singgah minum di Bharat Tea, badan Rihana mula menggigil kerana pakaian yang dipakainya bukan untuk lokasi sejuk begitu. Nasib baik lagi Hakim memang sudah bersedia dengan jaket extra dan disarungkan ke tubuhnya. Hilang sikit rasa sejuk yang mencengkam.
        “Hakim, kita kat sini sekejap saja, kan? I tak bawa apa-apa, sehelai sepinggang saja ni.” Rihana pandang Hakim yang sedang menghirup tea di depannya. Di kepalanya mencongak waktu. Sekarang sudah tengah hari. Pukul berapa nak gerak turun dan pukul berapa pula nak sampai KL.
        Dia tak bawa apa-apa sebab Hakim tak cakap apa-apa. Cuma menghantar pesanan melalui WhatsApp mengajak dia minum. Tapi minum di R & R saja. Lepas minum, Hakim terus memandu naik ke sini.
        Nope! Kita turun KL esok. I dah booked Strawberry Park malam ni.”
        “Habis, takkan I nak pakai baju ni sampai esok?”  Rihana terjerit kecil, memandang ke badan sendiri. Bukan hanya baju tetapi semua alat solek dan toiletries langsung tidak dibawa.
        “Macamlah Cameron ni tak ada tempat jual baju. Sekejap lagi I bawa you shopping baju dan...” Hakim rapatkan badannya ke meja.
        Lingerie sekali,” bisik Hakim sambil tersenyum mengusik.
        “Tapi dengan syarat, I yang pilihkan.” Hakim kenyit mata, sengaja ingin mengusik Rihana.
        Rihana memuncung tetapi terpaksa juga mengikut. Dalam membantah, dia rasa bahagia. Entah kenapa, berada dekat dengan Hakim walau di mana saja, rasa bahagia itu akan hadir memenuhi hatinya.
        Selepas minum, Hakim tunaikan janji membawa dia membeli belah dulu sebelum ke hotel.
        Waktu membeli belah juga, Hakim kotakan apa yang dikata. Semua baju yang dia pilih telah ditolak dan lelaki itu sendiri yang membuat pilihan.
        “Yang ni.” Hakim ambil baju tidur kain satin penuh dengan gambar strawberry dan juga set lingerie warna peach bercorak strawberry sehingga Rihana terjerit kecil kerana tidak suka. Macam budak-budak.
        “Yang ni sesuai dengan you la sayang... ” Hakim memujuk sambil melekatkan set lingerie ke tubuh Rihana. Saat itu, Rihana rasa wajahnya memerah. Apa taknya, mata juru jual terarah pada mereka.
        Tak mahu berlama di situ, Rihana ikut juga kemahuan Hakim. Bukan nak buat pertunjukkan fesyen pun.  Sekadar untuk menggantikan yang sudah dipakai untuk esok hari saja.
        Check-in di Strawberry Park Resort, Hakim pesan hot chocolate bersama buah strawberry segar dan juga salad untuk minum petang mereka.
        “Eeee… masam!” Berkerut muka Rihana tatkala memamah strawberry yang dihidang.
        Strawberry ni, ada cara makan dia kalau nak rasa manis.” Hakim bersuara, serius wajahnya buatkan Rihana percaya.
        “Cara? Ada ke? Macam mana tu?” soal Rihana lurus.
        Hakim senyum lucu. Dia main-main pun Rihana percaya. Jemarinya mencapai sebiji strawberry di dalam bekas dan dibuang daun serta tangkainya.
        “Nak tahu ke?” tanya Hakim kembali.
        Rihana mengangguk. Serius dia memang ingin tahu. Dia jarang naik ke Cameron Highlands. Terkadang kalau ingin merasa, dia beli saja di kedai kek atau pasar raya yang ada menjual buah tersebut.
        Namun, seringkali rasanya sangatlah masam. Kata orang, buah strawberry kalau dah turun dari tempat sejuk, akan bertukar rasa. Entah betul entah tidak.
        “Makan cicah hot chocolatelah. Kan banyak jual strawberry coklat kat sini.”
        “Ish! Itu I tahulaa! Ingatkan ada cara lain.” Rihana herotkan bibir. Apa sajalah Hakim ni.
        Hakim angkat kening sebelah. Kemudian, bibirnya mengukir senyum nakal. Matanya jatuh pada bibir Rihana yang seksi. Terus dadanya dilanda debar.
        Haih! Godaan yang sering buat dia kalah.
        “Ada lagi cara lain. Nak tahu ke?” Senyuman Hakim masih di bibir. Sebiji lagi strawberry di dalam mangkuk diambil.
        Rihana pincing mata. Melihat senyum Hakim, dia sudah dapat mengagak apa yang sedang lelaki itu fikirkan. Pantas dia menggeleng.
        “Takpelah, lain kali.” Rihana pula yang menyengih. Cuaca yang sejuk dan suasana yang romantis begini, janganlah nak cari pasal. Kang habis semuanya.
        “Betul tak nak tahu?”
        Rihana senyum sambil menggeleng lagi.
        “Lain kali.”
        “Betul ni? Rugi tau...” Hakim cuba menggoda. Strawberry di tangan dibawa ke mulut dan digigit separuh. Yang separuh lagi disuakan ke mulut Rihana.
        Sekali lagi Rihana menggeleng.
        “Masamlaa…”
        “Tak, yang ni manis. Lagipun, bibir I ada pemanis, buah masam boleh terus jadi manis.” Hakim senyum sambil sekali lagi suakan separuh strawberry yang masih di tangan ke mulut Rihana.
        Percaya cakap Hakim yang buah tersebut manis apatah lagi dengan wajah Hakim yang tanpa sedikitpun kerutan, Rihana terus buka mulutnya. Tatkala buah tersebut dikunyah, wajahnya terus berkerut sejuta.
        “Arrrgghh… masam!” Pantas jemari Rihana mencari sasaran mencubit lengan Hakim yang sedikit berbulu itu. Lepas mencubit, dia tarik  bulu halus di lengan tersebut sehingga Hakim terjerit kecil.
        “Sakitla sayang...” Hakim gosok lengan sendiri namun Rihana buat-buat tak nampak. Walhal dia dah rasa semacam.

        Sejak akhir-akhir ini, memandang lengan kekar dan berotot itu pun sudah cukup untuk mengundang debaran di dadanya. Apatah lagi bila berada dekat begini dalam suasana penuh romantis.

No comments: