FOLLOWERS

Yang Dia Pilih - Bab 5

FATIA berlari anak. Dia sudah terlambat 10 minit. Minta-mintalah orang itu masih menunggu. Buatnya dibatalkan temujanji kerana kelewatannya, mahu berasap telinga nanti dibebel Puan Mariam. Ketua pengarang yang mulutnya cukup berbisa itu paling pantang kalau lewat bila bertemu janji. Katanya, masa itu emas. Kalau tak boleh mendisiplinkan diri dengan masa, banyak perkara lainnya akan terjejas.
Setibanya di depan meja Reception, dia disambut mesra dan ditunjukkan arah ke meja setiausaha bos mereka. Seorang wanita yang mungkin berdarah kacukan tersenyum manis tatkala Fatia datang menghampiri mejanya.
“Selamat petang, ada apa-apa yang boleh saya bantu cik?” Sapa wanita tersebut. Di dadanya tersemat tag nama yang tertulis Tania.
“Selamat petang cik. Saya Fatia, wartawan dari Majalah Seleksi. Boleh saya jumpa dengan Encik….” Bicara Fatia terhenti di situ dek deringan telefon di atas meja yang tiba-tiba berbunyi. Pantas gadis tersebut mengangkat tangan memberi isyarat tunggu sebentar untuk dia menjawab panggilan tersebut.
Fatia mengangguk tanda faham. Sementara wanita tersebut menjawab panggilan, mata Fatia menjelajah persekitaran pejabat itu. Tidak terlalu besar dan nampak kemas teratur.  Syarikat tersebut tidaklah besar sangat tetapi mengikut detail yang Puan Mariam bagi, ia sebuah syarikat persendirian milik bumiputra yang memulakan perniagaan dari bawah.
Sedang otak dan matanya bergerak menganalisis syarikat dan maklumat yang diberi,  pandangan Fatia terpaku pada seraut wajah lelaki yang sedang melangkah masuk ke pejabat tersebut. Bagai tidak percaya, Fatia cuba menenyeh mata tetapi orang yang sama juga yang dia nampak.
Fatia seperti tidak percaya dengan kebetulan ini. Apa yang lelaki itu buat di sini? Mungkinkah lelaki itu sedang mengekorinya? Ah! tak mungkin. Untuk apa lelaki tersebut berbuat begitu? Tak ada motif langsung! Hatinya berbisik sendiri.
“Buat apa datang sini?” soal lelaki tersebut dengan lagak dan gaya bersahaja.
Wah! Mata Fatia terus membulat. Cara lelaki itu bertanya seolah pejabat ini dia yang punya. Menyibuk aje! Dia tu yang patut ditanya buat apa kat sini. Hati Fatia terus membentak.
“Ingat nak beli basikal.” Fatia tayang muka bosan.  Kenapalah dia asyik bertembung dengan lelaki tak siuman ini? Dah la tak betul, gatal semacam pulak tu.
“Ouh! Kat sini memang ada banyak basikal,” ucap si lelaki sambil mengulum senyum. Kemudian, pandangannya beralih ke arah cik setiausaha yang sudahpun selesai berbicara di telefon dan sedang berdiri memandang mereka berdua.
“Wartawan Seleksi,” beritahu cik setiausaha pada lelaki tersebut.
 “Oh!” Si lelaki  terangguk-angguk tanda faham.
Fatia jadi pelik. Kenapa lelaki ini tiba-tiba nak jadi penyibuk pula? Dan kenapa pula cik setiausaha ni baik aje melayan?
Seketika si lelaki itu pandang dia atas dan bawah kemudian, tanpa sepatah kata, terus berlalu pergi.
Fatia jadi kaku. Langkah lelaki tersebut dihantar dengan pandangan penuh kepelikan sehingga hilang dibalik dinding pejabat.
Pandangannya dialihkan ke arah setiausaha yang dipanggil Tania oleh lelaki tadi. Ingin sekali dia bertanya pada Tania tentang lelaki itu tetapi takut pula dikatakan menyibuk.
“Silakan cik, saya tunjuk bilik bos.” Tania bersuara sambil mendahului langkah.
Fatia hanya mengikut. Bilik yang dimaksudkan itu hanya terletak beberapa langkah saja dari tempat duduk Tania. Yerlah, namanya pun setiausaha, pastilah mejanya dekat dengan bilik bos.
“Cik duduk dulu, kejap lagi bos saya datang. Cik nak minum yang sejuk atau panas.” Sopan Tania bersuara.
“Eh! Tak payah susah susah.”
“Takpe, ini memang tugas saya. Yang sejuk boleh yer?” ujar Tania.
Fatia hanya mengangguk. Dia pun tengah haus sekarang ni. Bersua lagi dengan lelaki tadi buat tekaknya kering dengan tiba-tiba.
Tania sudah menghilang di balik pintu tetapi Fatia tidak terus duduk. Kakinya melangkah perlahan sambil matanya galak meneliti suasana bilik yang sederhana besar itu.
Satu set sofa kulit coklat gelap, sebuah meja kerja dilengkapi komputer riba dan kabinet panjang melekat di dinding menempatkan fail-fail yang tersusun rapi. Melihat kemasnya bilik tersebut Fatia percaya penghuninya juga seorang yang kemas dan teratur.
Di sudut penjuru sebelah kanan, terdapat sebuah almari kayu jati berdinding cermin, digunakan untuk mempamer model pelbagai jenis kenderaan seperti kereta, motor dan basikal. Hah! Basikal?  Fatia tekup mulut sendiri. Matanya terus terpaku pada susunan paling bawah sekali.
“Ehem....dah buat pilihan basikal mana yang nak dibeli.” Suara seseorang yang menegur dari arah belakang mengejutkan Fatia. Sebaik menoleh, dia sekali lagi jadi kaku.
Melihat wajah lelaki yang dengan penuh gaya melangkah masuk ke dalam bilik tersebut, nadinya seakan terhenti berdenyut. Kali ini, si lelaki smart bergaya dengan sut biru gelap dipadankan dengan tie corak jalur biru dan putih. Tadi, lelaki ni hanya berkemeja putih tanpa tie. Apakah benar apa yang sedang ditelah oleh mindanya saat ini?
Saat melihat si lelaki dengan bersahaja duduk di kerusi empuk milik tuan punya bilik tersebut, hati Fatia terus dilanda tsunami.
Matanya jatuh pada tanda nama di atas meja…. Hareez Daniel. Ya! Orang yang akan ditemuramah hari ini memang namanya Hareez Daniel. Persoalannya, benarkah lelaki ini ialah Hareez Daniel?
Tak tahu untuk bereaksi bagaimana, Fatia hanya kaku berdiri di situ. Kalau boleh, dia nak telangkupkan sofa kulit berangkai tiga yang ada berhampiran situ dan menyembunyikan diri di bawahnya. Paling tidak pun dia nak minta sehelai kertas dan tebuk dua lubang kemudian tampal di mukanya.
Dia malu. Memang betul-betul malu. Lagi pun, kalau boleh dia tidak ingin berurusan dengan lelaki gatal ini. Tapi, kalau dia ambil keputusan untuk balik sekarang, besar kemungkinan dia akan kehilangan kerjanya.
“Yang duk tercegat kat situ tu kenapa? Kata nak interview I.” si lelaki yang namanya Hareez Daniel itu menegur mengejutkan Fatia. Di bibirnya terukir sebuah senyuman.
“Mari duduk sini.” Hareez memanggil sambil menunjuk kerusi di depannya.
Fatia akur. Langkahnya diatur perlahan dan duduk di kerusi yang ditunjukkan. Dia cuba berlagak selamba sedang hatinya bagai sedang menaiki roller coaster. Kepalanya jadi berpusing, rasa macam nak pitam dan muntah kat situ juga. Di hati dia berdoa agar jurukamera dan teamnya cepat sampai.
Selepas sesi temubual ini, akan ada pula sesi photo shoot dan Mazlan yang akan mengetuai team tersebut telah memaklumkan yang mereka akan tiba sedikit lewat kerana terperangkap di dalam kesesakan lalulintas.
“Cik sayang, sekarang ni you nak interview I atau you nak I interview you?” Soalan Hareez mencantas lamunan Fatia.
Matanya terus membulat mendengar soalan tersebut. Panggilan cik sayang tu buat anak telinganya berguling-guling.
“Kan dah cakap nama I bukan sayang!”
“Kalau I nak panggil cik sayang juga, you nak buat apa?” Hareez senyum. Entah kenapa dia jadi suka mengusik gadis ini, satu tabiat yang telah lama dia tinggalkan.
Fatia ketap bibir tanda geram. Berdepan dengan lelaki ini buatkan dia jadi bingung. Soalan-soalan yang terangka di mindanya juga sudah berlari laju. Macamana nak interview ni?
“Okey! Cik sayang nak tahu apa tentang I?” Tonasi suara Hareez tiba-tiba berubah lembut seperti sang kekasih bercakap dengan kekasih hati.
Oh! tiba-tiba bulu roma Fatia berdiri tegak. Pantas jemarinya menggosok-gosok lengan sendiri.
“Errrkkk...” Fatia terus jadi gagap. Lelaki ni macam ada ‘saka’ yang boleh buat dia hilang kata-kata.
Hareez senyum. Perlahan dia bangkit dan melangkah ke arah cik sayang yang kelihatan kaku di depannya. Sekali lagi kepalanya tumbuh tanduk. Mood mengusiknya menjunam tinggi.
“Sebenarnya…” Fatia telan liur berkali-kali tatkala melihat si lelaki datang mendekatinya dan melabuh  punggung di birai meja berhampiran dengannya.
Hareez simpan senyum. Nampak sangat si gadis di depannya ini menggelabah.
“Sebenarnya apa sayang?” Hareez bertanya, lembut gaya menggoda.
Eh! Dia jadi pelik dengan diri sendiri. Sudah lama dia hilang skill mengayat perempuan. Entah bagaimana semuanya dengan tiba-tiba muncul kembali. Adakah kerana si gadis ini? Ada apa sebenarnya dengan gadis ini? Sejak pertama kali bersua, soalan tersebut mendatangi mindanya tetapi hatinya bagai bermain teka teki, tidak ingin memberi jawapan yang pasti.
Fatia rasa kerongkongnya jadi kesat. Dia alah dengan lelaki penggoda kerana dia bukan perempuan yang cukup kuat untuk menangkis godaan apatah lagi lelaki di depannya ini bukan lelaki biasa-biasa tetapi nampak sangat luar biasa, kacak bergaya.
“Encik Hareez, boleh tak encik kembali duduk di tempat tadi dan kita mulakan sesi temu bual?” Fatia bersuara selembut mungkin.
Hareez senyum. Masih tidak berganjak dari situ. Matanya terus meneliti wajah masam masam kelat gadis di sebelahnya itu. Walau tanpa senyum di bibir, wajahnya tetap nampak menarik. Raut wajahnya lembut dengan sinar mata yang redup.  Mata hitamnya coklat gelap dengan bulu mata yang lebat melentik menjadikan wajahnya cukup sempurna dan tidak puas dipandang. Cantik!
Eh! kenapa dia beria-ia meneliti gadis ini? Apa yang sedang berlaku pada dirinya saat ini? Hareez tertanya hati sendiri.
“Kalau I tak nak?” Hareez sengaja main-main.
Fatia ketap bibir. Jemarinya dikepal menjadi penumbuk, bersedia andai lelaki di depannya ini bertindak di luar jangkaan. Atau, bersedia andai sabarnya sudah hilang.
Melihat si gadis yang diam dengan wajah yang geram dan jemari yang sudah dikepal-kepal, Hareez melangkah kembali ke tempat duduk. Bimbang juga kalau penumbuk gadis tersebut naik ke mukanya. Nampak macam kecil tapi kalau kena paling tidak pun pasti bertanda.





No comments: