FOLLOWERS

Pergi Tanpa Alasan V2015 - Prolog

                
PUNGGUNG Rihana henyakkan ke sofa. Sengaja larikan diri dari hirup pikuk di luar sana. Kaki disilang atas bawah. Skirt pendek yang dipakai terus terselak menampakkan pahanya yang putih gebu.
        Ada mata yang menjeling. Yang perempuan, hantar jelingan cemburu. Yang lelaki, hantar jelingan bernafsu. Namun, Rihana buat-buat tak nampak. Semuanya pekerja kelab malam tersebut dan kebanyakkannya dia tak kenal. Tiada kepentingan untuk dia beramah mesra dengan mereka.
        Badan dan kepala disandar ke belakang sofa. Mata terus dipejam rapat. Terasa nyaman sesaat.
        Sejak akhir-akhir ini, bunyi muzik terasa sangat membingitkan telinganya dan aksi manusia yang mabuk buat dia rasa mual.
        Tapi kenapa dia masih di sini?
        “Beb!” Bahunya tiba-tiba ditepuk.
        Perlahan Rihana buka mata. Kelihatan Rozi tegak berdiri di depannya.
        “Bos panggil.” Rozi labuhkan duduk di sofa yang sama.
        “Dia nak apa?” Acuh tak acuh Rihana bertanya. Hanya sekilas dia toleh ke arah Rozi sebelum kembali sandarkan kepala dan pejam mata.
        “Hakim Mukhriz  bin Datuk Adam Hakimi.”
        Mendengar nama penuh yang keluar dari bibir Rozi, mata Rihana kembali terbuka dan kepala kembali menegak memandang si teman.
        Rozi atau nama sebenarnya Rozita, asalnya sahabat sekampus, sekolej dan sebilik yang telah bertanggungjawab mengheret dia ke Zouk Club tersebut.
        Asalnya sekadar suka-suka. Lama-lama terus terjebak dan melekat. Tuntutan hidup yang semakin meninggi buat dia jadi teragak-agak untuk menghentikan semuanya. Dari alam belajar, kini sudah meninggalkan alam kampus, dia masih meneruskan aktivi ini.
        Benar, duit bukan boleh dibawa mati tapi tanpa duit juga kita boleh mati.
        “Pergilah cepat.” Rozi menggesa.
        “Apa kena mengena aku dengan lelaki yang kau sebut tu?”
        Siapa yang tak kenal Hakim Mukhriz? Anak tunggal usahawan terkenal. Sangat popular di kalangan pekerja wanita di sini. Hot and spicy kata mereka.
        Tapi, lelaki itu bukannya selalu muncul. Hanya sesekali saja. Dia sendiri pun belum pernah melihat secara dekat. Cuma berpeluang mengintai dari jauh.
        “Kau pergi cari bos kat Imperial, table hujung sekali. Dia tunggu kau kat sana.” Rozi bangkit dan berlenggok pergi.
        Namun, Rihana masih di situ. Terasa malas tetapi sebab bos yang panggil, terpaksa juga angkat punggung.
        Entah apa yang tak kena dengan dirinya, selalu bersemangat saja. Tapi sejak kebelakangan ini, dia macam jemu dan muak. Apatah lagi bila pandang lelaki miang yang sengaja mahu bergesel.
        Kerjanya bukanlah payah sangat. Jadi peneman dan penghibur saja. Tapi kalau terlajak hingga keluar, sangat lumayan. Cumanya, risiko sangat tinggi.

1 comment:

Unknown said...

Mcm mana sy mahu beli novel ini?