FOLLOWERS

Pergi Tanpa Alasan V2015 - Bab 6

MASIH terbayang di ruang mata Rihana saat jasad Rozi terbaring tidak bergerak. Masih jelas diingatannya saat jasad si teman itu dikafankan di bilik pengurusan jenazah HKL.
        Ya! Dia turut berada di situ, melihat semuanya. Melalui saat getir berperang dengan perasaan sendirian tanpa mampu meluahkan pada sesiapa.
         
        ‘Bila kita mati, yang kita bawa ke sana hanyalah kain putih. Harta dan pangkat semua dah tak bermakna.’
         
        Kata-kata ustazah yang menguruskan jenazah saat mengkafankan jasad Rozi sehingga ke detik ini berputar di tepi telinganya. Rozi disahkan meningggal akibat serangan jantung.
        Pemergian Rozi bagai membawa sekali seluruh semangatnya pergi. Menyedarkan dia bahawa dunia ini hanyalah pinjaman semata-mata.
        “Hana!!!”
        “Hanaaaa!!” Suara yang memanggilnya mengejutkan Rihana yang khayal dalam dunia sendiri.
        “Aku punyalah dari tadi pot pet pot pet. Kau berkhayal rupanya. Mesti tak dengar apa aku cakap.”
        Rihana hulur senyum pada si sahabat di depannya. Yatie, teman sekampung yang sangat akrab dengannya sejak dari zaman kanak-kanak sehinggalah saat ini.
        “Aku nampak kau lain sikit. Banyak termenung. Kau ada masalah ke?”
        Kepala pantas digelengkan menjawab soalan Yatie. Dia memang banyak masalah tapi tak tahu dari mana  mahu dimulakan.
        Sudah seminggu, dia di kampung. Sudah seminggu dia mengambil keputusan untuk meninggalkan semuanya di kota besar Kuala Lumpur dan pulang ke kampung.
        Dia mahu mencari tenang yang sejak akhir-akhir ini sangat payah singgah di hatinya. Dia mahu bermuhasabah diri, merenung masa lalu untuk membaiki masa hadapan.
        Sekarang ni, dia sedang melepak di anjung rumah Yatie, mencari teman untuk bersembang. Rumah keluarga Yatie dan keluarganya hanya berbeza lorong. Kalau merentas ikut semak, tak adalah jauh mana.
        “Aku tahu kau ada masalah.” Yatie meneka.
        Memandang wajah si teman, Rihana tarik nafas panjang. Mahu meluahkan sesak yang menghimpit di dada tapi malu bagai bercermin di muka.
        “Kau mungkin lupa, aku ni pendengar yang baik. Dulu-dulu kan aku bercita-cita nak jadi pakar motivasi macam Dato Dr Fadhilah Kamsah tu.” Yatie gelak di hujung bicaranya.
        Rihana juga turut gelak. Terkenang saat remaja dulu-dulu. Mereka saling berlumba untuk mencapai impian masing-masing. Yatie dengan pakar motivasi dan dia pula bercita-cita mahu menjadi doktor pakar bedah. Sudahnya, semua entah ke mana.
        “Naaa...” Suara Yatie bertukar nada.
        “Aku yakin kau ada masalah. Kalau bukan sekarang, bila kau dah sedia nanti, kau carilah aku. Telinga aku sentiasa ada untuk kau.”
        Mendengar itu, Rihana tiba-tiba jadi syahdu.
        “Tie... aku…sebenarnya..” Suaranya teragak-agak.
        “Ada banyak yang nak aku luahkan tapi aku rasa malu.”
        “Malu?” Yatie berkerut kening.
        “Dengan aku pun nak malu?”
        Rihana angguk sambil sedut nafas. Kali ini lebih panjang
        “Aku dah jauh tersasar dari landasan, Tie. Paling teruk, aku dah lama tak kenal tikar sejadah. Dah lama tak solat lima waktu...”
        “Astaghafirullahalazim...” Panjang istighfar Yatie mendengar luahan si teman.
        Dan bermulalah cerita selanjutnya dari bibir Rihana. Cerita penuh dosa yang dia sendiri tidak tahu akan terampunkah jika dia memohon keampunan. Pemergian Rozi yang secara tiba-tiba menginsafkan dia. Mengingatkan dia yang kematian tidak boleh ditangguhkan.
        Dua hari selepas kematian Rozi, dia didatangi mimpi ngeri. Tubuhnya dijilat api yang marak dan dia nampak kedua ibu bapanya sedang memandang dari jauh.
        Lantas, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung.
        “Taubatlah, Hana. Minta keampunan-Nya. Allah SWT tu maha pengampun jika hamba-Nya mahu berubah ke jalan yang diredai-Nya,” nasihat Yatie satu persatu. Dia tak pernah menyangka sampai sejauh itu Rihana tersasar.
        Dia ingat hanya aurat saja yang tidak dijaga. Masa sekolah dulu, Rihana memang bertudung. Tapi selepas habis belajar dan bekerja, dia nampak tudung si temannya ini telah hilang entah ke mana.
        “Kau takkan berubah kalau kau sendiri tidak berusaha untuk berubah, Hana. Jangan sampai terlewat.”
        “Takkan kau nak salahkan mak ayah kau kalau di akhirat nanti kau dihumban ke neraka sedangkan kau sebenarnya cukup segala ilmu?” Pedas kata-kata Yatie menusuk hingga ke ulu hati. Namun, Rihana akui kebenaran kata-kata tersebut.
Walau menjadi penghuni kampung, dia tahu ilmu di dada Yatie bukan cetek. Graduan dari USM. Mengambil keputusan untuk terus tinggal di kampung apabila ayahnya dijemput Ilahi tahun lepas, bertujuan untuk menemani emaknya yang sudah berusia

No comments: