FOLLOWERS

SELIMUT MALAM bab 5

SEDANG sibuk dengan sesi lawatan outlet baru di IOI City Mall, iPhonenya bergegar. Panggilan dari Haidar. Pantas Dania melarikan diri keluar dari ‘rombongan lawatan’ mencari sudut yang agak terpencil.

        “You kat mana?” Terus diterjah soalan sebaik panggilan dijawab.
        Haih! teringat lagu Taufik Batisah – Awak Kat Mana yang dia bincang dengan Hijaz di dalam kereta tadi. Terus bibir Dania menarik senyum.

        “IOI City.”
        “Buat apa?” Soalan Haidar kali ini memang buat Dania rasa nak ketuk kepala orang.
        “Haidar... sekarang kan waktu kerja. Haruslah buat kerja.” Dania simpan rasa geram. Kadang-kadang, dia perlu banyak mengumpul sabar bila berdepan dengan Haidar. Bukan sedikit tapi banyak sangat-sangat.

        “Kenapa tak cakap?”
        Ya Allah! Tak habis lagi ke?
        “I ingat you tahu. Kan Tan Sri dah sebut dalam meeting semalam, hari ni dia nak ke sini. Pagi tadi tak nampak you masuk office, I ingat you terus ke sini.”

        Kedengaran Haidar lepaskan keluhan di hujung sana. Entah apa yang difikirkannya. Menghilangkan diri, tak masuk office, lepas tu nak soal siasat orang pula.
        “You pergi dengan siapa? I nampak kereta you ada kat car park.”
        Kali ini, Dania terus terdiam. Nak cakap yang benar atau menipu? Kalau sebut nama Hijaz, dia pasti akan banyak lagi soalan keluar dari mulut Haidar.

        “Dania?”
        “Haidar... you datanglah. Tadi pun Tan Sri tanya kenapa you tak datang.” Dania ubah topik. Tidak mahu diasak dengan soalan yang dia ragu-ragu untuk memberi jawapan. Bukan sebab tak tahu jawapannya tapi mahu menjaga hati Haidar.
        Tengoklah, betapa kalau melibatkan soal hati, Dania masih ingin menjaganya walau hatinya remuk Haidar kerjakan.
        “You naik kereta siapa, Dania?” Makin tegas, Haidar tidak berpuas hati selagi tiada jawapan untuk soalannya. Itulah Haidar yang Dania kenal. Haidar yang akan dapatkan apa yang dimahukannya.

        “Hijaz.” Akhirnya jawapan yang benar Dania berikan. Sejak dulu, menipu dengan Haidar hanya akan membawa padah.
        Diam. Haidar terus terdiam buat beberapa ketika.
        “Kenapa tak call I? Tunggu pergi dengan I?” Tegang suara Haidar di hujung sana.
        Kan dah cakap. Sebut nama Hijaz, akan muncul banyak soalan dari bibir Haidar. Yang Dania tak tahan, soalannya cukup mudah tetapi untuk memberi jawapannya teramatlah payah.

        “Haidar... you lupa ke I tak boleh ganggu kalau you tak ada kat office? Itu syarat you Haidar, bukan syarat I.” Dania pusing alasan.
        Yang benar, dia memang sengaja tidak mahu menghubungi Haidar. Sejak Maya Laila muncul dalam hidup Haidar, dia cuba untuk menjarakkan diri dari lelaki itu. Belajar untuk sendirian sebagai persediaan.

        “Lagi pun, you tak mahu orang tahu kan? Sekarang ni ramai yang syak I ada sugar daddy sebab pakai kereta yang you bagi tu. Jangan sampai orang tahu kebenarannya.” Dania sambung alasan.
        “You tunggu sana sampai I datang.” Hanya itu, sebelum Haidar putuskan talian.
        Dania pandang skrin telefon yang sudah gelap sebelum menggeleng perlahan. Haidar dengan perangainya, dia sudah masak. Sama ada soal kerja atau pun soal peribadi, tetap begitu. Yang Haidar tahu hanyalah hatinya. Hati orang lain belakang cerita.

        Menyertai kumpulan lawatan semula, fokus Dania lari berterabur. Entahlah! Sejak dia terlibat dengan Haidar, rasa prestasi kerja menjunam jatuh. Hijaz pernah sekali menegur dan dia kena beringat supaya tidak ditegur untuk kali kedua.

        Habis sesi lawatan dan setelah Tan Sri beredar, Hijaz mengajak untuk minum. Mulanya, Dania menolak sebab takut Haidar tiba. Tapi setelah didesak, Dania ikut juga.  Tak jauh, masih dalam kompleks yang sama di Lower Ground. Sekadar minum teh.
        “Nampak dari luar kompleks macam tak ada orang. Tapi, dalamnya ramai je.” Hijaz pandang sekeliling.

        Dania turut memandang. Betul kata Hijaz. Orang merata tempat. Makan atau berjalan, shopping dan tak kurang juga yang window shopping.
        “Trip ke Milan bila?”
        “Belum confirm.” Dania picit pelipis. Banyak yang dia plan jadi tergendala. Entah apa yang disibukkan dia sendiri kurang pasti.

        “Ikut plan bila?” Hijaz bersoal lagi. Pelik melihat Dania yang sejak akhir-akhir ini macam agak slow. Selalunya aktif semacam. Kalau jam belum mencecah lapan malam, ada je di pejabat. Tapi sejak kebelakangan ini, sentiasa balik awal. Ada masalah kah dia?
        Next month.”
        ‘Tapi, macam kena tukar plan.’ Dania sambung dalam hati.

        Banyak yang telah berubah. Kalau sebelum ini dia boleh saja ke mana-mana tanpa perlu memikirkan tentang keizinan sesiapa. Setiap tahun ada saja trip company ke oversea dan  dia tak pernah ketinggalan. Sekarang ni, nak gerak ke mana pun kena beritahu dan mintak izin dulu.
        “Kalau dah confirm, please let me know. I ingat nak join tapi kena check jadual dulu.”
        Dania diam. No komen. Lagi pun, itu trip company untuk team merchandising melihat pasaran luar. He’s the boss. Haruslah boleh ikut kalau nak pergi.
        “Ehemmm...” Dehaman seseorang memanggil Dania kalihkan pandangan.
        “Eh! Haidar. Kau muncul dari mana ni? Uncle dari tadi cari kau.” Hijaz menegur. Uncle yang Hijaz maksudnya itu ialah Tan Sri Faris, papa Haidar merangkap bapa saudara Hijaz.
        Tanpa menjawab soalan, tanpa dipelawa, Haidar terus saja tarik kerusi dan duduk.
        Cantik sungguh perangai!

        Dania jeling si suami yang mencuka. Sahih mood tak berapa nak elok.
        “Aku dah call tadi.” Masih dengan wajah kelat, Haidar menjawab.
        “Minum?” Hijaz berbasa basi.
        Thanks. But, no.” Haidar angkat tangan.
        “Aku cari Dania.”

        Hijaz terus pandang Dania. Dan Dania pandang Haidar sebelum gigi dikacip tanda geram dengan sikap terus terang Haidar. Tak agak-agak sungguh!
        “Encik Haidar...”
        “I nak you ikut I jumpa seseorang.” Bicara Dania terus dipotong Haidar. Tahu yang Dania mahu membantah, Haidar terus ambil jalan pintas dan bangkit berdiri.
        Jumpa seseorang itu hanyalah cerita kosong. Yang sebenarnya, dia tidak senang bila melihat tautan mata Dania dan Hijaz. Seolah ada sesuatu yang sedang disembunyikan. Sungguh, dia tak suka.

        “Jom!” Haidar bangkit berdiri.
        Dania serba salah.
        “Nanti aku hantar dia balik ke office.” Kali ini bicara dituju pada Hijaz. Senang sungguh jadi bos, main cakap saja, orang mesti kena ikut.
        Melihat Dania yang masih teragak-agak, Haidar tunjukkan tangan isyarat ‘Ladies first’ agar Dania bangkit dan jalan dulu.

        “Jaz, thanks.” Dania tunjuk pada cawan teh di atas meja, berbasa basi sebelum bangkit berdiri. Rasa bersalah pula meninggalkan lelaki itu minum sendirian.
        Hijaz angguk.
        See you tomorrow.”
        Dania atur langkah. Haidar jalan di sebelah, senyap tanpa suara. Tatkala berdiri di escalator untuk naik ke atas, baru dia berpusing memandang orang sebelah.
        Next time kalau nak minum, jangan berdua dengan dia.” Nada arahan, Haidar mengeluarkan suara dan itulah Haidar yang Dania kenal. Arahan dan amaran, dua perkara yang sudah sebati dengan dirinya.

        Dania diam. Tidak membantah dan tidak juga bersetuju. Mengenali Haidar, kalau makin dijawab arahannya, makin banyak lagi yang akan keluar. Jalan terbaik, diam dan dengar.
        Diamnya Dania buat Haidar tak senang hati. Dia tak suka keadaan ini. Tak suka bila melihat Dania tersenyum mesra bersama Hijaz. Tak suka bila Dania seolah tidak pedulikan dirinya.

        Tapi... kenapa mesti ada rasa itu kalau dia memang sudah tahu antara dia dan Dania hanya untuk sementara waktu?
        Haidar tarik nafas. Terus melangkah memandu arah menuju ke car park. Remote ditekan dan pintu kereta untuk Dania dibuka.

        “Nak pergi mana ni?” Dania akhirnya bersuara setelah kereta bergerak keluar dari kawasan car park.
        Senyap.
        “Haidar?”
        “Tengok wayang.” Sepatah Haidar menjawab. Sebenarnya, dia pun tak tahu nak bawa Dania ke mana. Yang pasti, mahu bawa Dania jauh dari semua orang.
        “You tak takut orang nampak ke?” Dania berpusing badan menghadap si pemandu. Tak terjangka fikiran dengan jawapan Haidar.

        “Dalam panggung tu gelap, orang tak nampak.”
        “Itu I tahu, tapi luar panggung tu terang.”
        Haidar berpaling sekilas.
        “You bercakap sepatah lagi, I buat wayang dengan you tepi jalan ni.” Nada amaran Haidar berikan.
        Dania geleng kepala. Bercakap dengan Haidar memang tak pernah menang. Sudahnya dia hanya diam sehingga kereta Haidar masuk ke Alamanda.

         

5 comments:

shzakiah said...

Best.... dh abis bc :-D

Anonymous said...

Best..menarik. sambung lg sis..

Anonymous said...

Yeah... sambunglah 2/3 bab lagi.
Mmg nak pergi cari kat kedai buku pun....

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Oh ya, di sana anda bisa dengan bebas mendowload music, foto-foto, video dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Anonymous said...

Nak bc novel best ni tp dh hbs d jual... Hu hu