FOLLOWERS

KASIH ITU CINTA BAB 2

RASANYA baru saja dia terlelap, terasa tangannya ditolak kasar. Pantas Zarif membuka mata. Masih mamai, kelopak mata ditenyeh. Kabur tapi dia nampak si isteri sedang duduk bersila di sebelahnya, di atas katil. Perlahan dia bangkit separuh badan.

        “Kenapa ni sayang?” soal Zarif dengan mata yang mengecil. Perkataan sayang itu memang spontan keluar dari bibirnya. Ya! Itu kenyataan. Dia memang sayangkan Dya. Sejak dulu. Cuma Dya saja yang tak tahu.

        “Kenapa sayang?” Dya ulang balik soalan yang ditanya dengan memek dan nada mengejek buat Zarif hampir tergelak. Lawak apakah di pagi hari begini.

        “Awak tanya saya kenapa? Patutnya saya yang tanya awak kenapa.” Suara Dya naik sedikit. Nada marah dan tayang muka tak puas hati.

        “Kenapa awak tidur kat sini? Kenapa tak tidur depan TV sana? Kenapa peluk saya? Kenapa...”

        Huarghhh...” Zarif pura-pura menguap, sengaja mahu mematikan soalan bertubi-tubi si isteri. Dia sudah dapat menangkap apa yang menyebabkan Dya berangin pagi-pagi buta begini. Pasti sebab kena peluk.

        Haih! Baru peluk sikit. Belum buat-apa-apa lagi.

        “Saya mengantuklah. Beri saya masa tidur sekejap. Dah bangun nanti, saya jawab soalan awak.” Bersahaja Zarif menjawab sebelum kembali merebahkan kepalanya ke bantal.

        “Eee... sakitnya hati kita.” Dya mendengus sendiri.
        Zarif yang mendengar sudah tergelak dalam hati.

        “Bangunlah! Subuh dah nak habis, tahu tak?” Tangan Dya sudah menolak kasar bahu si suami. Geramnya jadi berganda. Buka mata, terkejut bila Zarif sedang elok memeluknya. Sekarang ni, Zarif buat drama.

        Terkejut ditolak kasar begitu, Zarif bangkit bersandar ke katil. Langsung rasa kantuknya hilang.

        “Kasarnya kejut suami! Mana awak belajar semua ni?” Wajah si isteri dipandang tepat. Kalaulah mama atau adik-adik yang buat dia begitu, haruslah dah kena marah. Tapi entah kenapa, dengan wanita di depannya ini, dia tidak pandai untuk marah. Bening mata si isteri walau dalam keadaan berangin, sangat menggetarkan hatinya.

        Dya berdecit perlahan sebelum mengensot turun dari katil menuju ke bilik air. Rasa bersalah tiba-tiba hadir di hatinya. Terkesan dengan kata-kata Zarif tentang kekasaran. Entahlah! Berdepan dengan lelaki itu, dia jadi hilang punca. Sabar seorang Zarif buat dia hampir gila.  Kenapalah dia harus terlibat dengan rancangan gila ini?

        Menerima Zarif sebagai suami demi taat pada seorang ibu bukanlah sesuatu yang gila tetapi kenapa dia rasa dia akan jadi gila jika berdepan dengan lelaki itu dalam tempoh yang lama. Jadi, harusnya bagaimana?

        Sementara menunggu Dya di bilik air, Zarif duduk berjuntai kaki di birai katil. Mata tepat merenung pintu bilik air seolah di pintu itu ada terlukis wajah si isteri.

        Terasa dia sedang buat kerja gila. Mengejar dan mengikat Dya dalam ikatan perkahwinan tanpa kerelaan si gadis. Dia sendiri tidak mengerti mengapa hatinya begitu taksub untuk memiliki seorang Ardyana?

        Sebelum mereka ditemukan kembali setelah bertahun Dya hilang jejak, sudah bersusun wanita disarankan oleh si mama, namun dia tetap menolak. Tapi, bila tiba-tiba nama Ardyana di sebut, tanpa melihat orangnya dia terus kata setuju.

        Haih! Hati, kenapa jadi pelik begini?

        Zarif bangkit, serentak itu pintu bilik air terbuka dan si isteri keluar dengan badan yang sudah lengkap berpakaian. Mata saling bertentang.

        “Lepas ni, tolong hantar saya ke rumah sewa. Esok saya dah mula kerja.” Tegas suara Dya sebelum mengalihkan pandangan dan melangkah ke arah ruang yang disediakan khas untuk bersolat di dalam bilik tersebut.

        “Tak boleh ke awak sambung cuti dua atau tiga hari lagi?” Zarif cuba berdiplomasi. Terkejut juga dengan permintaan si isteri. Mana ada pengantin baru yang mula kerja sehari selepas majlis. Kecuali kalau perkahwinan itu memang bermasalah.

        “Awak ingat company tu bapak saya punya? Sesuka hati nak sambung-sambung cuti?” Pedas dan tajam suara Dya mematahkan permintaan Zarif.

        Terkejut mendengar jawapan balas si isteri, pergerakan Zarif terhenti. Hati, sila bersabar. Kepala tergeleng perlahan.

        “Kalau company tu bapak awak punya, awak dah jadi bos kat situ, bukan kuli macam sekarang ni.” Sinis Zarif membalas, sengaja memberi serangan psikologi.

        “Kalau dah tahu saya kuli, kenapa tanya lagi?” tingkah Dya, geram! Mengata dia ‘kuli’ adalah satu penghinaan yang tak boleh diterima akal. Tambah pula wajah bersahaja Zarif telah menyalakan api untuk memanaskan cecair di seluruh tubuhnya. Entah kenapa lelaki ini sering membuatkan darahnya cepat mendidih.

        “Awak kan dah jadi isteri saya. Apa saya nak jawab dengan mama kalau kita duduk berasingan?”  Zarif merendah suara, melencongkan topik perbualan. Tak mahu bertelingkah di subuh hari.

        “Awak tinggallah dengan saya di kondo tu. Saya janji takkan kacau awak,” pintanya penuh mengharap persetujuan si isteri.

        “Tinggal dengan awak? Kat kondo awak?” Dya ajukan soalan. Nada terkejut.

        Dan pantas Zarif angguk kepala, masih mengharap persetujuan. Perkahwinan mereka tanpa perbincangan hati ke hati. Jadinya, perancangan belum lagi dipersetujui. Cuma kepalanya saja yang berfikir itu dan ini. Di pihak Dya, dia belum pasti.

        “Tunggulah bila akal saya dah tak waras nanti.” Jawapan Dya buat Zarif terngadah. Teruk sangat kah dia sehingga Dya perlu menjadi manusia tak waras untuk tinggal bersamanya? Anginnya naik tiba-tiba.

        Tanpa suara, Zarif melangkah menghampiri si isteri, lebih dekat dan dekat hingga Dya terpaksa berundur beberapa tapak. Bila kaki sudah tersekat di dinding, dia segera menghimpit tubuh kecil itu.

        “Zarif! Saya belum solat.” Tidak berupaya lari ke mana-mana, kedua belah tangan Dya bertindak menolak dada si suami yang masih berlapik.
Namun, Zarif peduli apa. Bilik air dekat saja, boleh berwuduk lagi. Pantas saja tangannya bertindak menangkap lengan si isteri dan dilekatkan ke dinding. Tajam renungannya bagai menembusi belakang kepala Dya.

        Wajah Zarif yang memerah buat Dya telan liur. Marah si suami buat dia takut untuk memandang ke mata. Pantas wajahnya dipalingkan ke sisi.

        “Kalau nak, saya boleh saja suntikkan ubat untuk menghilangkan kewarasan awak dan kalau nak, saya boleh saja paksa awak mengikut kehendak saya. Tapi... lafaz akad yang saya ikrarkan di depan kadi dengan nekad memikul tanggungjawab sebagai suami tidak memungkinkan saya berbuat semua itu.” Perlahan, tetapi tegas sekali suara Zarif menusuk ke telinga Dya.

        “Bercakap tu jangan gunakan suara dan perasaan aje, ambil kira akal dan fikiran sekali,” sambungnya lagi masih dalam nada yang sama.

        “Faham maksud saya?” Zarif menyoal, masih tidak bergerak dalam posisi yang sama.

        Rasa takut yang menyelubungi diri membuatkan Dya pantas mengangguk beberapa kali. Serentak dengan anggukan itu, satu ciuman ringkas singgah di pipinya.

        “Upah untuk satu kemaafan.” Saat itu, bibir Zarif sudah mula tersenyum nakal. Marahnya sudah mengendur melihat taat si isteri.

        Dari pegangan di tangan, dia kemudian bertindak memeluk pinggang. Tanpa mempedulikan rontaan, berkali-kali pipi si isteri menjadi sasaran ciumannya.
       
Penat meronta, akhirnya Dya bekukan diri, membiarkan sahaja Zarif memperlakukan sesuka hatinya. Benar... jika mahu, Zarif boleh sahaja memaksa dia menurut kemahuan lelaki itu seperti apa yang sedang berlaku sekarang ini. Entah kenapa, dia rasa mahu menangis. Seperti dejavu, peristiwa ngeri yang berlaku berkali-kali lama dulu datang kembali. Peristiwa dia diperlaku seperti hamba seks oleh darah daging sendiri datang menyesakkan dadanya.

        Sedar si isteri sudah tidak melawan, bibir Zarif terhenti mencari sasaran. Pandangannya tepat dihalakan ke wajah si isteri. Pun begitu, pandangan Dya jauh ke hadapan, tidak sedikit pun menyapa wajahnya.

        “Kenapa berhenti? Tak susah untuk memaksa kan?” Sinis sekali Dya menyoal dengan suara yang berbaur sebak.

        Tiba-tiba Zarif dihurung rasa bersalah. Memang tak susah memaksa tapi dia bukan jenis yang begitu.

        “I’m sorry,” ucapnya ringkas. Beberapa kali dia menelan liur, memandang wajah si isteri yang sudah berubah keruh.

        Dya diam tak berkutik. Pandangannya jauh ke depan menembusi lapisan dinding yang mengelilingi mereka, jauh merentasi sejuta lapisan udara yang memenuhi ruang dunia. Perlahan-lahan kelopak matanya membahang panas. Air jernih sudah mula berkumpul di situ. Detik kekalahan ini terasa begitu memeritkan.

        “Dya... I’m sorry... saya...”

        “Tolong lepas, subuh dah nak habis.” Dya memintas sambil menarik tangan daripada pegangan dan menolak tubuh si suami agar menjauh.

        Air mata yang mula mahu gugur dia sembunyikan dari pandangan Zarif. Dia sudah kalah tatkala terpaksa menerima lelaki ini. Dan dia yakin, kekalahannya akan jadi berganda apabila Zarif tahu segalanya. Segalanya tentang kesucian seorang wanita yang tidak mampu diberikan pada sang suami.

        Di bilik air, air mata Dya tumpah jua. Dunia ini bukan milik kita dan takdir juga bukan hak kita. Yang ada pada kita hanyalah harapan. Dan dia berharap, suatu hari nanti akan ada sinar menyuluh jalannya. Supaya langkah kakinya tidak pincang.

                 

1 comment:

FatinIzrinda said...

Sy sgt suke karya hani fazuha.sgt ringn mdh dfhmi ape y dsmpaikn dan mdlm mksdnye..mst k.hani bnyk pnglmn hdupkn smpai thslnye krya2 y sgt best...truskn bkrya kak sy akn trus mnjd pmnt nvl akk..insyaallah