|
SEKEPING cek di atas meja Dania tenung lama. Travel claim bulan lepas yang baru
diterimanya pagi tadi. Bukan jumlah atau nama yang tertulis menjadi tumpuan
matanya saat ini tetapi tandatangan di bawahnya.
Ya! Itu
tandatangan Haidar Hakim Tan Sri Faris Qadri. Dia kenal sangat-sangat.
Tiba-tiba, apa
yang berlaku berbulan lalu meresap ke minda. Meracun ke hati. Saat di mana dia
begitu tegas menolak Haidar.
Seratus ribu yang
tertulis pada sekeping cek yang dihulur Haidar yang tertulis namanya buat dia
terpinga-pinga.
Untuk apa?
Wajahnya mendongak, memandang orang yang menghulurkan cek tersebut.
Haidar Hakim,
baru enam bulan dilantik menjadi orang penting di syarikat ini. Baru enam bulan
mereka kenal, hanya berhubung atas dasar kerja. Tak lebih dari itu.
Persoalannya, apa
tujuan Haidar tiba-tiba berikan cek tersebut padanya? Kening diangkat sebagai
isyarat bertanya.
“Untuk I dapatkan
you sebagai teman.” Tanpa senyum, Haidar ketuk-ketuk jari pada permukaan meja.
Kali ini
keningnya berkerut pula bersama isyarat reaksi agar Haidar ulang semula ayat
yang disebut kerana kurang jelas. Tapi yang sebenarnya, dia seperti tidak
percaya dengan apa yang didengar.
“I want you.”
Ringkas saja ayat Haidar tapi sudah mampu buat urat di kepalanya berselirat dan
jaluran mindanya tersimpul. Ini pertama kali dia mendengar ayat itu keluar dari
bibir Haidar.
“I nak you.”
Haidar ulang ayat yang sama tapi dalam versi yang berbeza. Apa Haidar ingat dia
ini anak kambing di dalam kandang yang boleh ditunding-tunding jari untuk
memilih?
“You boleh cashkan cek tu bila-bila masa.”
Sekali lagi dia
pandang cek di atas meja. Kali ini, jari telunjuknya ditekan dan cek tersebut
ditolak ke arah Haidar yang sedang duduk berpeluk tubuh di kerusi empuknya. Dia
dipanggil Haidar masuk ke situ atas urusan kerja tetapi lain pula yang Haidar
beri.
“Sorry encik. I tak berminat.” Dia
bangkit berdiri.
“Kerja I cari product yang sesuai untuk company pasarkan. Tapi, I tak jual
orang. Atau lebih tepat lagi, I tak jual diri.” Badan berpusing dan melangkah
untuk keluar.
“Dania Iman.”
Langkahnya
terhenti.
Beberapa detik
saja, tubuh tegap Haidar sudah berdiri tegak di depannya. Berkemeja putih,
lengan baju berlipat hingga ke siku menampakkan lengannya yang sasa.
Haih! tak boleh
tengok. Nanti ada rasa lain pula yang menyelinap. Pandangan terus diangkat.
“I tukar
tawaran.” Mata Haidar tepat ke matanya.
Lama sebelum
Haidar berdeham beberapa kali.
“Jadi isteri I.”
Dia terus hilang
reaksi. Apa yang dia alami itu, macam drama melayu yang tak ada perkataan
logik. Tanpa sebaris ayat cinta, tiba-tiba diajak jadi isteri.
Dia pandang
Haidar dengan mata mengecil.
Nampak waras.
Cuma tawaran Haidar saja yang tak waras. Jadinya, dia perlu buktikan pada
Haidar yang dia adalah perempuan waras.
Tapi... mengenali
Haidar selama enam bulan ini, dia yakin hidupnya takkan tenang selepas ini.
Jadinya, dia kena siap sedia.
Sebabnya :
1. Haidar jenis
yang tak akan undur ke belakang. Kalau mulutnya kata nak, orang lain tak boleh
kata tidak.
2. Magnet Haidar
sangat kuat menarik. Ion dalam tubuh dia memang sentiasa terpedaya.
3. Aura Haidar
sering buat dia goyah. Pertahanan yang kuat pun, kemungkinan akan terkoyak.
4. Iman dia tak
kuat mana pun. Takut nanti dia yang jatuh tersungkur di kaki Haidar.
Okey! Dia perlu
alat kalis dengar supaya suara ‘jantan’ Haidar tidak mampu masuk ke telinganya.
Dia perlukan kanta 6D, supaya wajah tampan Haidar akan bertukar menjadi
sebaliknya. Dan yang penting, dia perlu selimut tebal untuk mengelak godaan
Haidar.
“Tawaran tu juga
I tak berminat.” Dia mengelak ke kiri dan menapak ke pintu meninggalkan Haidar
yang masih berdiri tegak di situ.
Huh! Dania
lepaskan keluhan kasar. Itu cerita beberapa bulan yang lepas. Cerita di mana
dia yakin Haidar takkan mampu menembusi egonya.
Tapi cerita hari
ini, dia sudah jatuh tersungkur. Cerita hari ini, dia sedang tercari-cari dahan
untuk berpaut. Kerana jika dia gagal mendapat sokongan, bimbang dia tak mampu
untuk bangun berdiri.
“Dania?” Suara
seseorang mengejutkan Dania dari lamunan. Pantas dia mendongak.
Mata bertaut
dengan si empunya suara. Ini bukan khayalan tapi ini kenyataan di depan mata.
Sepasang mata hitam bersinar sedang merenungnya dengan pandangan redup.
Hijaz Al-Hadi, sedang berdiri di muka pintu bilik
pejabatnya. Senyum Hijaz melatari pandangan. Kacak! Ada rupa, ada kerjaya yang
bagus dan yang penting ilmu agama yang tinggi.
Tapi sayangnya, hatinya tidak mampu memilih. Yang datang
secara tiba-tiba dan terus membuatkan kakinya terikat ialah Haidar, lelaki yang
di dadanya hanya ada satu keinginan.
“Jangan cakap I
tak ketuk pintu. Banyak kali ketuk you tak menyahut.” Hijaz bersuara.
Jejaka idaman Malaya
yang dia kenal sejak menjejakkan kaki ke syarikat ini. Sepupu Haidar tetapi
perangainya jauh berbeza dari lelaki itu. Berpangkat General Manager tetapi sangat mesra dengan pekerja bawahannya.
“Sorry... tak dengar tadi.” Dania paksa
senyum sambil bangkit berdiri, menghormati ‘tetamu’ yang muncul di bilik
perjabatnya.
“Menungkan apa?”
Hijaz melangkah masuk tanpa dijemput.
Dania menggeleng
dan senyum lagi. Cek di atas meja diambil dan disimpan ke dalam laci.
Nanti-nantilah baru bank in.
“Jom!” Suara
mengajak tapi punggung berlabuh ke kerusi.
Jam di tangan
Dania kilas sesaat. Hari ni harus ke IOI City Mall Putrajaya. Tan Sri Faris
mahu ke sana, untuk lawatan ke outlet
baru.
“Carpool ke? Nanti balik...”
“I hantar you
balik.” Hijaz memintas.
Sebenarnya, itu
satu kerja gila. Dari Putrajaya nak ke pejabat semula di jalan Tun Razak memanglah
satu kerja gila. Apatah lagi rumahnya di
Cheras. Tapi, demi Dania, dia sanggup saja. Hanya alasan beginilah yang
membolehkan dia berduaan dengan Dania. Lainnya, Dania cukup liat.
“Tak menyusahkan
you ke?”
Hijaz senyum.
“I kumpul ‘susah’
tu untuk I redeem kemudian.”
Dania kalih
pandang dan pura-pura sibuk mengemas meja. Pura-pura tidak mendengar apa yang
Hijaz ucapkan. Bicara Hijaz tatkala berdua begini seringkali penuh makna
tersirat. Dia bukan bebal untuk menilai.
Di mata Dania,
Hijaz itu tiada cacat celanya tetapi hatinya saja yang sering main kejar-kejar
lari merata tempat. Sebab itu, sepanjang bekerjasama dengan Hijaz selama tiga
tahun, dia sering mengelak jika lelaki ini mula berbicara soal yang lain selain
kerja.
Tapi
sejak kebelakangan ini, Hijaz nampaknya makin serius dan dia jadi makin
bimbang. Untuk dia, lelaki baik-baik seperti Hijaz pastilah lebih layak dengan
wanita yang lebih baik dari dirinya. Lagi pun, takkan Hijaz mahu menerima
‘sisa’ sepupu sendiri?
No comments:
Post a Comment