FOLLOWERS

SELIMUT MALAM bab 2

LAMA Dania termanggu, duduk bersila di birai katil, sehingga tiba-tiba dia terasa ada percikan air menampar wajahnya.

        Pantas pandangan didongak. Kelihatan Haidar sudah berdiri di depannya bersama senyuman. Badan berbalut bathrobe dan sebelah tangan sibuk mengeringkan rambut.
        Dania buat muka geram. Haidar memang suka bergurau begitu. Memercikkan air di rambutnya dan selalunya dia akan menjerit geram.

        “Menung jauh sangat.” Tuala di tangan Haidar baling ke dalam bakul.
        Dania ketap bibir.
        Haidar henyakkan punggung di sebelah. Tubuh si isteri dipaut. Mahu melepaskan rindu. Tiga hari tidak bertemu, dadanya terasa sesak. Tapi, pergerakannya terhenti apabila tubuhnya ditolak Dania.

        “Haidar...”
        Haidar angkat kening. Isyarat bertanya.
        “You... jumpa... dia?” Teragak-agak soalan tersebut keluar dari bibir Dania. Dia tahu, mengikut syarat, dia tak berhak untuk bertanya. Tapi hatinya ingin sangat pengakuan jujur dari sang suami.

        Beberapa detik Haidar diam sebelum mengangguk perlahan.
        “Dia...”
        “Boleh tak kalau kita tak bercakap tentang orang lain?” Haidar memintas, mematikan bicara Dania.
        Tubuh Dania dipaut sekali lagi dari sisi. Rapat ke tubuhnya.

        “Dania...” Bibir melekat di pipi si isteri. Mata dipejam rapat, mahu menikmati waktu-waktu keemasan bersama orang yang dirindui. Tapi, apabila sekali lagi Dania menolak tubuhnya, Haidar jadi hilang sabar.
        “Kenapa Dania?” Matanya mencari wajah Dania yang nampak gelisah.
        “I... nak tahu...”
        Sekali lagi Haidar angkat kening.
        Dania berjeda. Merangka ayat. Payah untuk dikeluarkan tapi dia ingin sangat tahu.
        “Masa you ‘bersama’ I, you pernah tak bayangkan dia?” Nah! Terkeluar juga soalan tersebut. Sesuatu yang dia ingin tahu sejak nama Maya Laila muncul antara mereka.
        Tapi, tatkala melihat wajah Haidar yang berubah, Dania rasa kerongkongnya tersumbat. Liur terasa sukar untuk ditelan.

        Tanpa menjawab, Haidar bangkit dan melangkah ke meja solek.
        Dania turut berdiri, memandang tingkah Haidar dari jauh. Sikat di atas meja solek Haidar ambil dan rambutnya yang kusut disikat rapi sebelum meletakkan kembali sikat tersebut dengan kasar.
        Marahkah dia?

        Lama. Haidar hanya berdiri di depan meja solek. Mata memandang cermin tapi Dania tahu Haidar sedang memandangnya dari pantulan cermin tersebut.
        Bersama tarikan nafas yang panjang, Dania melangkah menghampiri sang suami yang hanya tegak di situ. Mengenali Haidar, dia tahu kalau diam begitu maknanya si suami sedang marah tetapi tidak terluah.
        “Haidar...” Tubuh Haidar dipeluk dari belakang.
        Entah kenapa, dia sering kalah dengan lelaki ini walau sebenarnya dia tak ingin jadi lemah. Setiap kali ada ketegangan, dialah yang akan mengalah. Sesuatu yang dia sendiri tidak faham kenapa. Padahal, dia bukan orang yang begitu.
        “Kalau you marah pasal soalan tu, I’m sorry.” Dania telan liur.
        “Tapi... I cuma nak tahu yang jujur.”

        “Dania.” Haidar renggangkan pelukan dan berpusing.
        Mata bertentang. Lama. Sebelum tangan Haidar naik singgah di pipi si isteri.
        “Pernah tak I sebut nama perempuan lain waktu atas katil dengan you?” Haidar pulangkan soalan.

        Teragak-agak, Dania menggeleng. Memang kenyataannya dia tak pernah dengar. Tapi, mana dia tahu yang di dalam hati Haidar?
        “Kalau tak pernah, kenapa tiba-tiba malam ni timbulkan soalan begini? Kenapa tidak di hari pertama you serahkan tubuh you pada I dulu?”
        Dania terpana. Kenapa malam ni? Sedang dia tahu apa asasnya hubungan mereka sejak awal lagi. Yang pasti, dia sendiri tiada jawapannya.

        “Mungkin sebab you tak sudi nak layan I malam ni, maka you timbulkan soalan sebegitu.” Haidar buat andaian sendiri.
        Dania pantas menggeleng. Lengan Haidar dipegang.
        “Bukan...” Ayatnya hanya mati di situ. Tidak tahu mahu menyusun kata untuk menafikan tanggapan Haidar.
        “Kalau I nak, I boleh dapatkan kat luar sana, Dania. Tapi I tetap juga pulang cari you.”
        Dania kemam bibir. Tapi suatu hari nanti, I tahu you tak akan datang cari I lagi, Haidar. Itu perjanjiannya dan sekarang I sudah dapat merasakan detik-detik kehilangan itu.
        “Haidar... I nak you peluk I.” Matanya tiba-tiba bergenang.

        “Sekarang!”
        Apa yang disuruh, Haidar lakukan juga walau hati masih terasa. Tubuh Dania ditarik rapat ke tubuhnya. Hangat tubuh itu, hangat rasa yang hadir, buat dia lupa masalah di sekeliling. Masalah yang tiba-tiba muncul, menggangu emosinya.

        ‘Haidar... I nak hati you.’ Bicara itu hanya terluah di hati Dania. Andai boleh dia meminta begitu dan Haidar sanggup berikan, dia tidak ingin minta apa-apa lagi.
        Haidar pejam mata. Jasad yang bersatu buat dia mampu mendengar degup jantung Dania. Detak irama yang sama dengan jantungnya buat dia rasa selesa. Tapi, kenapa harus ada rasa itu jika tiada cinta antara mereka?

        Benarkah cintanya hanya satu dan hanya ada nama itu? Benarkah nama Dania tak pernah wujud dalam hatinya walau hanya untuk sedetik cuma?
        Jika benar, kenapa sejak pertama kali melihat Dania, getaran hatinya makin hari makin lari tempo?

        ‘Ah! Ini ini hanyalah sementara. Mengahwini Dania tidak termaktub dalam diari hidupnya. Hanya secara kebetulan Dania hadir saat ada ruang yang lompong antara dia dan Maya.’
        Haidar pujuk hati sendiri walau hakikatnya dia tahu, hatinya yang satu itu tidak pernah mahu mendengar kata.

        Kerana istilah tidak mendengar kata itulah dia dan Dania bersatu. Yang sebenarnya, dia memang tidak mahu tapi hati yang menggesa. Sudahnya, dia ikutkan juga kata hati yang satu, melamar dan memerangkap Dania dalam perkahwinan ini.

             

3 comments:

Siti Ayu Faridah Ramli said...

Salam hani. saya suka membaca novel hani. saya juga sedang cuba siapkan manuskrip pertama saya. bolehkah minta tips dari hani macamana hani bahagikan masa untuk buat novel. saya taip secara sepauh masa sebab kerja 8-5.

Najwa Jowok said...

Akak, novel nih takde dkt pasaran ke?

nnlpoSuhana Rahmat said...

Assalamualaikum... mcm mana nak dapatkan novel selimut malam