B
|
UKA mata, perut sudah berkeroncong. Pandangan melirik ke arah jam, sudah hampir 2 petang. Patutlah!
Malam tadi dia
kerja malam. Tiba di rumah pagi itu, Dya sudah ke tempat kerja. Terus saja dia
rebahkan badan ke tilam. Penat! Siapa kata kerja doktor itu senang memang salah
tafsiran. Berdepan dengan pesakit yang banyak kerenah, belum lagi dengan kes
kecemasan yang memerlukan tindakan segera. Tapi, dia suka dengan tugasnya.
Cuba untuk
bangkit tetapi badan terasa sengal sana-sini. Kepala juga terasa berdenyut. Oh!
Ini petanda dia akan diserang demam bila-bila masa dari sekarang.
Jemari terus meraba
leher. Sah! Panas dan dia memang dah demam pun. Pasti sebab terkena hujan malam
tadi. Hujan gerimis.
Seketika mata
dipejam. Telefon di meja sisi katil dicapai mahu menghubungi seseorang. Dalam
kepalanya mahu menghubungi mama, mahu meminta si ibu memasakkan bubur
kegemaran. Tatkala tekaknya terasa mual, bubur si ibu akan menjadi pembuka
selera paling sedap.
Tapi, entah
kenapa, panggilannya tersasar, suara si isteri pula yang menjawab panggilan.
“Kenapa?” Terus
saja soalan kurang mesra itu menerjah masuk ke telinganya. Suara tanpa nada,
tanpa perisa.
Walau agak
terasa, Zarif pendam saja. Itulah Dya, orang yang dia cinta. Yang kini sudah
sah bergelar isterinya. Apa nak buat, itu yang dia pilih. Bukan dia pilih
sebenarnya, tapi Tuhan yang pilih untuk dia. Kalau bukan jodoh yang ditulis
oleh Dia, mana mungkin mereka boleh bersatu.
“Lembutnya jawab
panggilan suami?” Dalam lembut Zarif menyindir.
Diam.
Zarif juga
begitu, turut diam. Mungkin sakit, mungkin juga perutnya sedang lapar buatkan
hatinya sangat sensitif
“Dya...” Akhirnya
Zarif mengalah.
Masih diam.
Mungkin terasa dengan sindiran sinis tadi. Begitulah selalunya, diam seorang
Dya buat Zarif jadi resah.
“Ardyana...”
sekali lagi Zarif memanggil. Kali ini dengan nama penuh.
“Nak cakap apa
sebenarnya ni?” Dya bersuara juga. Nada tetap dingin seperti tadi. Tawar tanpa
perisa.
“Saya demam.”
Perlahan Zarif leretkan nada. Mahu menagih simpati sebenarnya.
“Dah tu, apa saya
boleh buat?” Tanpa perasaan juga suara di hujung talian membalas buat hati
Zarif makin terasa. Nafas disedut sedalam mungkin.
“Awak baliklah,
tolong rawat saya.” Zarif seakan merengek. Masih sama dengan tujuan mahu
menagih simpati. Sebenarnya, demam masih belum teruk tetapi perasaan ingin
bermanja melebihi rasa demam tersebut. Yalah, dah ada isteri, takkan nak bermanja
dengan mama pula.
“Sekarang ni,
awak ke saya doktor?”
“Memanglah saya
doktor...”
“Dah tu, takkan
saya yang nak merawat awak. Mana saya tahu.”
Zarif hela nafas.
Dya ni, tak faham atau buat-buat tak faham. Susahnya bercakap dengan orang yang
tak ada hati ni.
“Sayang... bukan
semua penyakit doktor boleh rawat tau.”
Dya di hujung
sana sudah berkerut kening. Katanya demam. Takkan doktor tak boleh rawat demam?
Demam apa yang sampai doktor tak boleh merawat?
“Awak demam apa
sebenarnya?” Blur-blur Dya bertanya.
Bibir Zarif sudah
mula menarik senyum. Walau soalannya bernada dingin, ada juga sedikit
keperihatinan di situ.
“Demam rindu.”
Diam terus.
“Dya...” panggil
Zarif setelah lama orang di hujung sana terdiam.
“Awak balik cepat
yer. Tolong picit kepala saya.” Zarif
masih mahu memancing. Mudah-mudahan, ikan akan berlembut memakan umpannya.
“Awak kahwinlah
Rif, dengan sesiapa yang awak nak. Yang mampu jaga awak seperti yang awak nak.
Saya izinkan. Rasanya saya tak mampu...”
“Masalahnya saya
hanya nak awak! Titik.” Zarif memintas. Geram datang tiba-tiba. Kut ya pun tak
mahu layan kerenah dia, takkan sampai suruh kahwin lain.
Baru seminggu lebih
jadi suami isteri, tak pernah dibuat dek orang. Dya ni, kekadang boleh buat dia
demam denggi tanpa perlu ada nyamuk yang menggigit.
Talian terus
Zarif putuskan tanpa ucap salam. Mata dipejam kembali. Niat mahu bermanja sudah
menjadi berbeza. Hatinya pula yang tersakiti.
Seketika melayan
rasa, dia terlelap semula. Entah berapa lama, tiba-tiba terasa dahinya disentuh
perlahan.
“Mama...”
bibirnya terus bergumam. Saat itu dia hanya teringatkan mamanya. Ada isteri,
tapi memang sukar untuk bermanja.
“Zarif...” Suara
itu bukan suara mamanya. Tapi suara…
Zarif buka mata
dan tepat tekaannya, wajah si isteri yang sedang berdiri di sisi katil menyapa
pandangan. Spontan tangan terus dihulur menarik si isteri agar duduk.
Akur, Dya
melabuhkan punggung di birai katil. Tadi, tatkala Zarif menamatkan panggilan
secara tiba-tiba, baru dia tersedar satu perkara, sebagai isteri, dia sudah
berlaku kejam pada suami sendiri. Apa salahnya dia meminta pelepasan untuk
pulang untuk suami yang sakit di rumah?
Memanglah
hubungan mereka tidak seperti pasangan suami isteri yang lain tetapi,
tanggungjawab sebagai isteri tetap terpikul di atas bahunya.
“Dya..” Suara
Zarif kedengaran serak. Kepala yang berdenyut diangkat dan paha si isteri
ditarik untuk dijadikan bantal. Dia sudah tidak peduli kalau Dya mahu marah
sekalipun. Yang penting, dia perlukan sesuatu yang hangat untuk menghilangkan
rasa sejuk yang menyerangnya saat ini.
“Kepala saya
sakit Dya...” Suaranya masih serak, merengek manja. Tangan Dya diangkat dan
diletakkan ke dahinya. Dia perlukan jemari ajaib untuk menghilangkan denyutan
yang menyerang kepalanya.
Kalau dulu, riba
mama tempat dia meletakkan kepala saat ujian sakit ditimpakan ke atasnya. Tapi
hari ini, dia hanya mahukan Dya.
Sakit itu ujian
sabar dan dia sedang bersabar. Bukan hanya bersabar dengan sakit yang menimpa
tetapi bersabar dengan angin isteri yang berubah-ubah tanpa sebarang punca.
Dalam
teragak-agak, Dya turutkan juga. Jemari terus bergerak memicit-micit kepala si
suami. Pahanya yang menjadi alas kepala terasa sudah menggigil. Benar, ada
sesuatu pada lelaki ini yang membuatkan hatinya libang libu jika berada sedekat
begini.
“Awak dah makan
ke belum ni?”
Zarif hanya menggeleng.
“Awak tidur dulu,
saya masakkan bubur. Lepas tu...”
“Saya tak nak
bubur. Saya cuma nak tumpang kepala atas paha awak.” Zarif memintas.
Alahai...Hati Dya
terus jatuh kasihan. Seorang doktor yang berwibawa, tiba-tiba berubah jadi
seperti anak kecil tatkala sakit.
Jemari Dya terus
bekerja. Wajah tenang si suami yang terpejam rapat ditatap lama. Tiba-tiba dia
teringat pesan ibu.
‘Jadi perempuan
harus pandai jaga diri. Jadi isteri harus pandai jaga suami.’
Dia sudah gagal
untuk menjadi perempuan yang pandai jaga diri. Dia sudah gagal mempertahankan
mahkota untuk diserahkan pada sang suami. Dan kini, dia jadi hilang rentak
untuk menjadi isteri yang tahu menjaga suami.
Matanya jatuh
lagi pada wajah Zarif. Kacak dengan dagu yang berlekuk. Terasa diri sangat
kerdil untuk berada di sisi lelaki ini.
‘Zarif... maaf
andai saya tak mampu jadi isteri yang awak inginkan. Jika awak mahu, saya
izinkan untuk awak mencari bahagia yang lain.’
No comments:
Post a Comment