FOLLOWERS

SELIMUT MALAM bab 3

TERSEDAR dari lena, Haidar tiada di sebelah. Mata yang masih kabur Dania tenyeh perlahan sebelum bangkit.
        Pijama dilantai diambil dan disarung ke tubuh sebelum melangkah keluar bilik. Dua pagi, mana pula Haidar pergi? Takkan keluar tanpa beritahu? Hatinya tertanya sendiri.
        Melangkah keluar, rupanya si suami elok berbaring di sofa sambil tangan memicit-micit remote game X-Box.

        Dania geleng kepala. Hobi Haidar yang satu itu memang tak boleh nak cakap apa. Tapi, satu yang dia perasan, Haidar hanya akan habiskan masa dengan permainan tersebut apabila stres. Cuma sekarang ini, dia kurang pasti Haidar stres sebab apa. Adakah sebab soalan yang dia tanya tadi atau ada perkara lain?

        “Haidar...” Dania menegur. Haidar sedang leka, pastinya tidak sedar dia wujud di situ.
        Haidar toleh sekilas sebelum bangkit bertongkat siku pada hand rest sofa. Tangannya melambai mengisyaratkan Dania datang kepadanya.
        “Sini...” sebelah kakinya dijatuhkan dan meminta Dania duduk di ribaannya. Itu perkara biasa berlaku antara mereka.

        “Pukul berapa you main game ni?” Seperti biasa, Dania memang tak tahu duduk. Paha Haidar dijadikan bantal tempat dia baring. Haidar memang suka memanjakannya begitu. Dan dia akan setia menemani Haidar bermain game sampai puas.
        “Lepas you pejam mata.” Haidar menjawab sambil mata masih fokus pada skrin TV di depan. Tangan masih galak menekan remote game.

        “You streskan apa sebenarnya, Haidar?”
        Soalan yang keluar dari bibir Dania buat jemari Haidar terhenti menekan butang di remote. Matanya terus jatuh pada wajah Dania yang baring di celah pahanya.
        Nafas ditarik panjang sebelum tunduk melekatkan bibirnya di pipi si isteri. Lama. Haruman yang disedut terasa mengkhayalkan.

        Dania pusingkan wajah ke atas, setelah bibir Haidar tidak lagi melekat di pipinya. Mata Haidar ditentang.
        Tanpa amaran, sekali lagi Haidar berikan ciuman ringkas. Tapi kali ini di bibir pula. Bibir yang sering buat dia tergoda bila memandangnya.

        “You selesa dengan I?” soal Haidar nada berbisik.
        Tangan Dania terus memaut leher si suami. Bagaimana dia nak kata tak selesa sedang Haidar sediakan ruang yang luas untuk dia bersenang lenang?
        Haidar... hati Dania berbisik perlahan. Ada getaran di situ, tapi getaran sebuah perpisahan. Terasa mahu menjerit, tapi dayanya tidak ada.

        Dania lepaskan pautan dan cuba untuk bangkit.
        “Nak ke mana?” Haidar bagai tidak mahu melepaskan. Dua bulan yang indah. Sejujurnya dia tak pernah mengharap semua ini berlaku. Tapi, indahnya setiap sentuhan Dania buat dia berada di persimpangan.
        “Bilik air.” Tangan Haidar ditolak.

        Itu hanyalah alasan. Dia tidak mahu terus hanyut. Berbantalkan lengan Haidar, tidurnya memang selesa. ‘berselimutkan’ tubuh sasa Haidar, lenanya lebih selesa.
        Tetapi yang tidak selesanya ialah hati yang di dalam. Rasanya seperti sedang menunggu hukuman mati, cuma tarikhnya yang belum pasti.

        Lantas, apa yang dia suka dan selesa selama ini harus dijauhkan. Dia suka untuk sentiasa dekat dengan Haidar tetapi detik ini, dia perlu belajar untuk jauhkan diri dari lelaki ini.
        Sebelum ini, dia suka bila Haidar ingin bermesra dengannya tetapi saat ini, dia rasa seperti manusia hipokrit. Berpura-pura!

        Tidak ke bilik air sebaliknya hanya masuk ke bilik dan berdiri di tepi dinding cermin sambil menyelak sedikit langsir. Bilik mereka separuh dindingnya cermin dan boleh nampak seluruh bandar Kuala Lumpur.
        Dania tebarkan pandangan. Cahaya bergemerlapan tetapi kenapa hatinya terasa kelam? Dia dongak ke atas. Wajah Haidar memenuhi ruang mata. Pantas dia menggeleng lemah.
        Nafas ditarik panjang. Kembali mengingati sebuah permulaan. Kerana satu perkataan suka, dia buat kerja gila. Kerana satu perkataan suka, dia pilih jalan mudah untuk menyelesaikan masalah. Walau hakikatnya, dia masih ada pilihan lain untuk mengelak.
        “Menyesal?” Hati sendiri bertanya.

        Dia geleng kepala. Cumanya dia risau. Risau jika dia benar-benar tidak mampu bertahan dan jatuh tersungkur. Hubungan atas dasar saling memerlukan ini tidak dibenarkan ada rasa cinta. Itu syarat Haidar dan dia bodoh-bodoh setuju. Egonya kata dia takkan sukakan lelaki itu. Egonya kata dia boleh bertahan.

        Tapi hari ini, dia harus akui yang dia telah melanggar syarat. Dia gagal mempertahankan egonya.
        Nafas disedut. Perlahan dan panjang sekali. Tiba-tiba lengannya disentuh. Reflek dari sentuhan tersebut, dia terus berpusing.
        “Terkejut?” Haidar angkat kening.
        Dania telan liur. Macam dejavu. Episod begini pernah berlaku. Di kota London, di hari pertama dia bergelar isteri pada lelaki ini.

        “Bermula malam ini, you kena biasakan diri dengan setiap sentuhan I.” Telunjuk Haidar menyentuh lengannya yang terdedah.  Dilarikan atas dan bawah seakan menggoda.
        “Kalau yang tadi tu, namanya sentuhan menyapa.” Haidar berkata-kata lagi.
        Kemudian, jemari milik Haidar naik ke bahunya pula buatkan romanya meremang.
        “Kalau yang sekarang ni, sentuhan menduga.” Haidar senyum senget sedang dia sudah hampir kejung seluruh badan. Sarafnya bagai mengeras.

        “Kejap lagi, I akan tunjuk you sentuhan menggoda.” Senyum Haidar makin lebar.
        “Encik.....”
        “I tambah syarat.” Haidar memintas sebelum sempat dia memulakan ayat.
        Diam menanti, dia dongakkan wajah. Memandang wajah Haidar, dia mati kata. Entah kenapa, sejak kebelakangan ini, suaranya sangat takut untuk keluar tatkala berdepan dengan lelaki ini.
        Haidar bagai ada kuasa ghaib yang mampu menelan seluruh keberaniannya. Mampu melenyapkan semua sikap membantahnya.
        “Pada bila-bila masa dan di mana saja, you kena buang perkataan encik di depan nama I.” Satu arahan dari Haidar, bukan satu pertanyaan. Jadinya, pilihan lain memang tak ada untuk dia pilih.

        Haidar tiba-tiba merapat membuatkan dia terpaksa berundur ke belakang. Hanya beberapa langkah, belakangnya melekat pada dinding.
        “Haidar...” Tangannya terus melekat di dada Haidar apabila dia sudah diperangkap oleh kedua tangan lelaki itu.

        Tiba-tiba jemari Haidar melekat di pipinya buat dia sekali lagi terkejut dengan tindakan tak terjangka itu. Sejuk telapak tangan Haidar buat romanya sekali lagi meremang.
        “Jangan takut. I tak boleh telan orang.” Nada sudah berbisik tapi beriring ketawa kecil.
        Serentak itu, sekali lagi bibir Haidar singgah di pipinya sebelum turun ke leher yang terdedah.

        Oh! Jantung, sila bertahan dengan ujian ini.
        “Dania!” Namanya dipanggil. Pipinya ditepuk perlahan. Berkali-kali
        “Hey! You pandang apa?” Suara Haidar bergema buat Dania tersedar.
        Kepala ditoleh kiri dan kanan. Dia di rumah. Bukan di hotel yang Haidar tempah khas untuk perkahwinan mereka tempoh hari.

        “Dania... I baru beberapa hari tak jumpa you tapi kenapa I rasa you sangat pelik malam ni?”
        Tidak menjawab soalan Haidar, Dania rapatkan badannya ke badan sang suami. Tangan masih di sisi tetapi kepala jatuh ke bahu Haidar. Minta dipeluk sebenarnya tetapi tangan bagai tidak daya untuk diangkat.

        “Dah pukul tiga pagi Dania. Dan....”
        “I cuma nak minta peluk saja. Tak lebih dari itu.” Dania memintas. Tapi, suaranya hanya senada.
        Seperti awal tadi, Haidar hanya menurut tapi kepala digeleng perlahan. Pelik dengan perlakuan si isteri.


        Mata Dania pejam rapat. Kalau dia harus berdiri begini sampai pagi, dia sanggup jika hanya bersama Haidar. Percayalah, yang dia ada sekarang cuma alasan untuk bahagia. Selebihnya, hanya garis-garis duka.

1 comment:

Norash Aisy Asiah said...

haha... masih x jumpe buku die. cepat beno abihnye.. haha

Salam... jemput semua review my enovel sblm di hantar kepada editor http://norashaisyasiah.blogspot.my/2015/01/novel-kita-orang-best-friend-lah-sengal.html