TERSEDAR dari lena, Haidar tiada
di sebelah. Mata yang masih kabur Dania tenyeh perlahan sebelum bangkit.
Pijama dilantai diambil dan disarung ke tubuh sebelum
melangkah keluar bilik. Dua pagi, mana pula Haidar pergi? Takkan keluar tanpa
beritahu? Hatinya tertanya sendiri.
Melangkah keluar, rupanya si suami elok berbaring di sofa
sambil tangan memicit-micit remote game
X-Box.
Dania geleng kepala. Hobi Haidar yang satu itu memang tak
boleh nak cakap apa. Tapi, satu yang dia perasan, Haidar hanya akan habiskan
masa dengan permainan tersebut apabila stres. Cuma sekarang ini, dia kurang
pasti Haidar stres sebab apa. Adakah sebab soalan yang dia tanya tadi atau ada
perkara lain?
“Haidar...” Dania menegur. Haidar sedang leka, pastinya
tidak sedar dia wujud di situ.
Haidar toleh sekilas sebelum bangkit bertongkat siku pada
hand rest sofa. Tangannya melambai
mengisyaratkan Dania datang kepadanya.
“Sini...” sebelah kakinya dijatuhkan dan meminta Dania
duduk di ribaannya. Itu perkara biasa berlaku antara mereka.
“Pukul berapa you main game ni?” Seperti biasa, Dania memang tak tahu duduk. Paha Haidar
dijadikan bantal tempat dia baring. Haidar memang suka memanjakannya begitu.
Dan dia akan setia menemani Haidar bermain game
sampai puas.
“Lepas you pejam mata.” Haidar menjawab sambil mata masih
fokus pada skrin TV di depan. Tangan masih galak menekan remote game.
“You streskan apa sebenarnya, Haidar?”
Soalan yang keluar dari bibir Dania buat jemari Haidar
terhenti menekan butang di remote.
Matanya terus jatuh pada wajah Dania yang baring di celah pahanya.
Nafas ditarik panjang sebelum tunduk melekatkan bibirnya
di pipi si isteri. Lama. Haruman yang disedut terasa mengkhayalkan.
Dania pusingkan wajah ke atas, setelah bibir Haidar tidak
lagi melekat di pipinya. Mata Haidar ditentang.
Tanpa amaran, sekali lagi Haidar berikan ciuman ringkas.
Tapi kali ini di bibir pula. Bibir yang sering buat dia tergoda bila
memandangnya.
“You selesa dengan I?” soal Haidar nada berbisik.
Tangan Dania terus memaut leher si suami. Bagaimana dia
nak kata tak selesa sedang Haidar sediakan ruang yang luas untuk dia bersenang
lenang?
Haidar... hati Dania berbisik perlahan. Ada getaran di
situ, tapi getaran sebuah perpisahan. Terasa mahu menjerit, tapi dayanya tidak
ada.
Dania lepaskan pautan dan cuba untuk bangkit.
“Nak ke mana?” Haidar bagai tidak mahu melepaskan. Dua
bulan yang indah. Sejujurnya dia tak pernah mengharap semua ini berlaku. Tapi,
indahnya setiap sentuhan Dania buat dia berada di persimpangan.
“Bilik air.” Tangan Haidar ditolak.
Itu hanyalah alasan. Dia tidak mahu terus hanyut.
Berbantalkan lengan Haidar, tidurnya memang selesa. ‘berselimutkan’ tubuh sasa
Haidar, lenanya lebih selesa.
Tetapi yang tidak selesanya ialah hati yang di dalam.
Rasanya seperti sedang menunggu hukuman mati, cuma tarikhnya yang belum pasti.
Lantas, apa yang dia suka dan selesa selama ini harus
dijauhkan. Dia suka untuk sentiasa dekat dengan Haidar tetapi detik ini, dia
perlu belajar untuk jauhkan diri dari lelaki ini.
Sebelum ini, dia suka bila Haidar ingin bermesra
dengannya tetapi saat ini, dia rasa seperti manusia hipokrit. Berpura-pura!
Tidak ke bilik air sebaliknya hanya masuk ke bilik dan
berdiri di tepi dinding cermin sambil menyelak sedikit langsir. Bilik mereka
separuh dindingnya cermin dan boleh nampak seluruh bandar Kuala Lumpur.
Dania tebarkan
pandangan. Cahaya
bergemerlapan tetapi kenapa hatinya terasa kelam? Dia dongak ke atas. Wajah
Haidar memenuhi ruang mata. Pantas dia menggeleng lemah.
Nafas ditarik
panjang. Kembali mengingati sebuah permulaan. Kerana satu perkataan suka, dia
buat kerja gila. Kerana satu perkataan suka, dia pilih jalan mudah untuk
menyelesaikan masalah. Walau hakikatnya, dia masih ada pilihan lain untuk mengelak.
“Menyesal?” Hati
sendiri bertanya.
Dia geleng
kepala. Cumanya dia risau. Risau jika dia benar-benar tidak mampu bertahan dan
jatuh tersungkur. Hubungan atas dasar saling memerlukan ini tidak dibenarkan
ada rasa cinta. Itu syarat Haidar dan dia bodoh-bodoh setuju. Egonya kata dia
takkan sukakan lelaki itu. Egonya kata dia boleh bertahan.
Tapi hari ini,
dia harus akui yang dia telah melanggar syarat. Dia gagal mempertahankan
egonya.
Nafas disedut.
Perlahan dan panjang sekali. Tiba-tiba lengannya disentuh. Reflek dari sentuhan
tersebut, dia terus berpusing.
“Terkejut?”
Haidar angkat kening.
Dania telan liur.
Macam dejavu. Episod begini pernah berlaku. Di kota London, di hari pertama dia
bergelar isteri pada lelaki ini.
“Bermula malam
ini, you kena biasakan diri dengan setiap sentuhan I.” Telunjuk Haidar
menyentuh lengannya yang terdedah.
Dilarikan atas dan bawah seakan menggoda.
“Kalau yang tadi
tu, namanya sentuhan menyapa.” Haidar berkata-kata lagi.
Kemudian, jemari
milik Haidar naik ke bahunya pula buatkan romanya meremang.
“Kalau yang
sekarang ni, sentuhan menduga.” Haidar senyum senget sedang dia sudah hampir
kejung seluruh badan. Sarafnya bagai mengeras.
“Kejap lagi, I
akan tunjuk you sentuhan menggoda.” Senyum Haidar makin lebar.
“Encik.....”
“I tambah
syarat.” Haidar memintas sebelum sempat dia memulakan ayat.
Diam menanti, dia
dongakkan wajah. Memandang wajah Haidar, dia mati kata. Entah kenapa, sejak
kebelakangan ini, suaranya sangat takut untuk keluar tatkala berdepan dengan
lelaki ini.
Haidar bagai ada
kuasa ghaib yang mampu menelan seluruh keberaniannya. Mampu melenyapkan semua
sikap membantahnya.
“Pada bila-bila
masa dan di mana saja, you kena buang perkataan encik di depan nama I.” Satu
arahan dari Haidar, bukan satu pertanyaan. Jadinya, pilihan lain memang tak ada
untuk dia pilih.
Haidar tiba-tiba
merapat membuatkan dia terpaksa berundur ke belakang. Hanya beberapa langkah,
belakangnya melekat pada dinding.
“Haidar...”
Tangannya terus melekat di dada Haidar apabila dia sudah diperangkap oleh kedua
tangan lelaki itu.
Tiba-tiba jemari
Haidar melekat di pipinya buat dia sekali lagi terkejut dengan tindakan tak
terjangka itu. Sejuk telapak tangan Haidar buat romanya sekali lagi meremang.
“Jangan takut. I
tak boleh telan orang.” Nada sudah berbisik tapi beriring ketawa kecil.
Serentak itu,
sekali lagi bibir Haidar singgah di pipinya sebelum turun ke leher yang
terdedah.
Oh! Jantung, sila
bertahan dengan ujian ini.
“Dania!” Namanya dipanggil. Pipinya ditepuk perlahan.
Berkali-kali
“Hey! You pandang apa?” Suara Haidar bergema buat Dania
tersedar.
Kepala ditoleh kiri dan kanan. Dia di rumah. Bukan di
hotel yang Haidar tempah khas untuk perkahwinan mereka tempoh hari.
“Dania... I baru beberapa hari tak jumpa you tapi kenapa
I rasa you sangat pelik malam ni?”
Tidak menjawab soalan Haidar, Dania rapatkan badannya ke
badan sang suami. Tangan masih di sisi tetapi kepala jatuh ke bahu Haidar.
Minta dipeluk sebenarnya tetapi tangan bagai tidak daya untuk diangkat.
“Dah pukul tiga pagi Dania. Dan....”
“I cuma nak minta peluk saja. Tak lebih dari itu.” Dania
memintas. Tapi, suaranya hanya senada.
Seperti awal tadi, Haidar hanya menurut tapi kepala
digeleng perlahan. Pelik dengan perlakuan si isteri.
Mata Dania pejam rapat. Kalau dia harus berdiri begini sampai
pagi, dia sanggup jika hanya bersama Haidar. Percayalah, yang dia ada sekarang
cuma alasan untuk bahagia. Selebihnya, hanya garis-garis duka.
1 comment:
haha... masih x jumpe buku die. cepat beno abihnye.. haha
Salam... jemput semua review my enovel sblm di hantar kepada editor http://norashaisyasiah.blogspot.my/2015/01/novel-kita-orang-best-friend-lah-sengal.html
Post a Comment