FOLLOWERS

YANG LUAR BIASA - Part 2


Yang luar biasa hari itu, penanda minyak sudah rapat ke huruf E tetapi Arissa masih tetap juga memandu keluar.

Serius, semenjak dapat lesen memandu dan dibelikan kereta oleh daddynya, Arissa tak pernah isi minyak kereta. Yang dia tahu, bawa kereta ke hulu ke hilir. Tiba tang isi minyak, orang lain tolong isikan.

"Nanti daddy belikan Risa kereta yang tak payah isi minyak."

"Ada ke daddy?"

"Ada. Kereta tolak."

Huh! Arissa pernah terkena begitu dengan daddynya. Sebabnya, bila minyak kereta  dah surut, driver daddylah yang menjadi mangsa selalu dia suruh tolong isikan minyak.

Tapi sehari dua ni, daddy dan mummy sibuk kalahkan menteri yang masuk calon bertanding pilihan raya kawasan. Makanya, driver yang namanya Pak Mad tu tak boleh diusik.

Bila tengah drive dan tiba-tiba penanda minyak sudah terkelip-kelip, nak tak nak,  dia terpaksa belokkan kereta masuk ke Petronas. Mula tu, salah masuk sebab terlupa tangki minyaknya belah mana. Ingatkan kanan, rupanya kiri.

Orang sebelah dah pandang semacam. Agaknya orang tu ingat dia bawa kereta pinjam. Lantaklah!
Alang-alang  dah berhenti di petronas, baik dia beli mineral water sebotol. Tadi tekak terasa haus tapi sebotol air pun tak ada dalam kereta. Melampau sungguh!

Baru sampai depan pintu kedai serbaneka Petronas, telefon bimbit berbunyi. Sahih panggilan dari Fetty. Sebabnya, dia memang dah lambat. Janji nak jumpa  pukul 10 pagi tapi, sekarang dah dekat pukul 12 tengahari. Meroyanlah minah tu.

Langkah  diteruskan tapi tangannya sibuk menyeluk handbag LV yang besar gedabak tu untuk mencari telefon yang sedang bernyanyi. Mata pula menunduk untuk mengintai ke dalam beg tersebut.
Tiba-tiba...

"Aduhhh!!!" Arissa terus jatuh terduduk. Skirt pendek yang dipakai sudah terselak sampai ke atas.
Oh! Tidakkkkkkk....tangannya cepat-cepat menarik skirt tersebut untuk menutup apa yang boleh ditutup.

"Misss... you okey ke?" lelaki yang tolak pintu kaca dengan kadar kelajuan luar biasa sehingga dia jatuh terjelepuk itu terus mencangkung di depannya.  

‘Okey hotak kau!’

Dia memang rasa nak jerit begitu tapi suara seperti berat untuk keluar. Sebabnya, dia lebih rasa nak menangis. Sebabnya, skirt yang dipakai terselak sehingga menampakkan apa yang tidak sepatutnya.

Arrrrghhhh!!! Stress!

Sungguh memalukan! dah la mamat yang mencangkung ni kacak gila. Mujur juga orang tak berapa ramai. Tapi, yang tak berapa ramai itulah yang sudah terjenguk-jenguk kecoh  ingin tahu.

‘Cuba pakai sopan sikit boleh tak?’ Tiba-tiba Arissa teringatkan pesan Zhariz. Kalaulah dia dengar pesanan tersebut.

"Misss.." panggilan si 'jejaka tolak pintu laju' mengembalikan lamunan Arissa. Rupanya dia masih belunjur di depan kedai serbaneka dan lelaki ‘kacak gila’ itu masih mencangkung di depannya.

"Aduhhhhhh..."  Arissa mula mengaduh sambil menelek siku yang sudah tercalar.

"Sakit ke?" soal si lelaki itu lagi.

"Kalau dah mengaduh tu sakit laaa... ingat sedap ke jatuh. Yang awak pergi tolak pintu laju-laju tu siapa suruh?" Arissa dah membentak. Rasa macam nak ketuk aje kepala lelaki ni dengan high heelnya

"Darlingggg.... what happened?" tiba-tiba kedengaran suara perempuan menegur.
Arissa mendongak. Kelihatan perempuan berambut blond sedang berdiri berhampiran mereka.

Isk!  Berapa ramai lelaki yang dipanggil ‘darling’ dalam dunia ni? Minah ni  mesti girlfriend 'mamat tolak pintu laju' ni.

"I tolak pintu terkena dia. You pergi tunggu kat kereta, nanti I datang." Lelaki tersebut terus memberi arahan sambil menghulurkan kunci kereta pada minah rambut blond tersebut.

"Mari I tolong you bangun."  Tanganya dihulur untuk membantu.

"Tak payah! saya boleh bangun sendiri." Arissa tepis tangan tersebut dan cuba untuk bangkit. Sakit di tangan, sakit di siku dan sakit di lutut tapi dia buat-buat tak ada apa-apa. Perasan jadi superwoman.

“Hah! Dah dia kata boleh bangun sendiri, you tak payahlah susah-susah. Jomlah darling, nanti kita lambat.”

“Kan I cakap tunggu kat kereta.”   Tak pasal-pasal lelaki tersebut tinggikan suara.

Wajah mencuka, minah rambut blond tu berlalu sambil hentak kaki. Ah! Dia peduli apa. Tak ada kena mengena dengan dia pun.

“Boleh tak?” Suara tiba-tiba berubah lembut menyoal dia. Isk! Kalau dia jadi minah tadi, memang sahih meroyan dapat lelaki macam gini.

            “Boleh!”

"Oh! okey, hati-hati... nanti terselak lagi." Lelaki tersebut angkat kening dan senyum senget.
Kurang Asam!! Muka dia yang putih gebu ni rasanya dah bertukar jadi merah. Malu dan marah.

"Skirt merah, yang dalam pun merah juga ya?" 

Arrrgghhhhhh!!!! Dia nak rasa nak cekik orang, nak bunuh orang pun ya juga.

Tapi... lelaki yang dia rasa nak bunuh tu  dah melangkah pergi. Oh! sumpah... dia tak akan pakai pendek-pendek lagi. Mungkin ini satu peringatan. Walau daddy dan mummynya tak pernah tegur tapi, Zhariz dah banyak kali tegur.

Oh Tuhan, jangan temukan lagi dia dengan lelaki itu. Dah la tolak pintu laju-laju, kurang asam pulak tu!
           

            TAK JADI keluar! Arissa halakan pemanduan pulang ke rumah sambil menghubungi Fetty membatalkan pertemuan. Bukan penting pun, nak berjimba kat Pavi sambil cuci mata.

            Masuk ke rumah, Arissa terus melangkah ke dapur. Sebelah tangan meraba siku yang masih terasa pedih dengan mulut berdesis.

            “Bibik!...Oooo bibik!”

            “Bibik kat belakang Risa. Ada apa tu, boleh Kak Ton bantu?” Kak Ton, pembantu rumah agam itu menjawab bagi pihak bibik.

            “Kak Ton, tolong ambil kotak first aid kejap.” Arissa terus duduk di kerusi. Siku yang tercalar menampakkan kesan darah ditelek.

            “Ya Allah! Rissa kena apa ni?”

            “Fist Aid Kit Kak Ton, Pleaseeeee…” Arissa sudah seperti memberi arahan. Dia tengah kepedihan, nak cerita panjang lebar lepas sapu ubat nanti.

            Mendengar suara Arissa yang begitu, Kak Ton cepat-cepat mendapatkan kotak ubatan dan diletakkan di atas meja berhampiran.

            “Sakit tak?” soal Kak Ton.

            “Tak Kak Ton, sedapppp…” Arissa ketap bibir. Orang tengah berdesis sakit, boleh lagi tanya soalan begitu. Sebiji macam ‘mamat tolak pintu laju’ tadi.          

            Kak Ton menyengih.

            “Kenapa yang boleh jadi begini?” soal Kak Ton lagi.

            “Jatuh. Kak Ton jangan sesekali buka mulut beritahu Mummy ya! Nanti dari siang sampai ke malam bebelanya….”   

            “Kenapa ni?” tiba-tiba ada suara menegur.

            Alamak! Arissa pantas bangkit berdiri. Kapas yang sudah dibasahkan dengan Dettol dan digunakan untuk membersihkan luka segera disembunyikan ke belakang.

            “Tak ada apa-apa. Kan, Kak Ton?” Arissa umpan Kak Ton untuk membantunya menutup apa yang sedang berlaku.

            “Errr.. Ha’ah.” Kak Ton terus berlalu. Agaknya tak mahu terlibat lebih jauh.

            “Bak sini abang tengok.” Lengan Arissa sudah disambar Zhariz. Macamlah dia tak nampak dan tak dengar. Nak menipu, tak agak-agak.

            “Kenapa ni?”

            “Jatuh…” Arissa tolak tangan Zhariz. Dia sudah terasa lain apabila ada sentuhan dalam keadaan yang rapat begitu.

Duduk dilabuhkan kembali dan pura-pura sibuk menelek siku yang tercalar tadi. Alang-alang lelaki ini dah tahu, baik tunjuk terus, tak payah sembunyi-sembunyi.

            “Macamana boleh jatuh?” Suara itu kedengaran lagi.

            Arissa mendongak. Wajah Zhariz ditenung tajam.

            “Boleh tak kalau tak banyak tanya? Orang tengah sakit ni.”

            “Mari sini abang tolong.” Zhariz sudah menarik kerusi di sebelah, ditelakkan rapat di depan tempat Arissa sedang duduk.

            “Eh! tak payah! Orang boleh buat sendiri.” Arissa larikan lengannya.
            “Degil macam ni yang abang tak suka.”
            “Kalau abang tak suka, apa orang boleh buat.”
            “Mulut jaga sikit, kang menyesal tak sudah.”
            Arissa kerut kening.

            “Bak sini Dettol tu.”

            “Isk! Orang ada dua tangan laaa…” Arissa masih enggan. Bukan mahu berdegil tetapi dia kurang selesa.

            “Nak bagi atau nak abang paksa.” Zhariz main aci ugut.

            Akhirnya, Arissa mengalah, menyerahkan sikunya untuk diubati Zhariz. Situasi begini bukan tidak pernah berlaku, rasanya sudah acap kali. Apa tidaknya, membesar dan bermain bersama dari kanak-kanak sehingga dewasa.

Zhariz itu sudah dianggap seperti abangnya sendiri. Tapi, semuanya seakan sudah berubah sejak peristiwa tempoh hari. Entah kenapa, tiba-tiba dia jadi canggung tatkala berdepan dengan lelaki ini.

            "Arrrggghh!.. sakitttt...." Arissa menjerit tetapi suaranya seakan merenget.

            “Sikit aje ni. Tahan sekejap.” Zhariz memujuk. Orang jarang dapat sakit, ginilah gayanya. Agaknya, seluruh badan  tak pernah ada calar.

            “Jadi perempuan, kena tahan rasa sakit. Esok-esok kalau beranak, sakitnya berpuluh kali ganda.”

Arissa panggung kepala. Apa kes tetiba timbul soal beranak pulak ni? Wajah Zhariz yang sedang tekun membersihkan luka di sikunya dipandang lama. Dari bibir yang sentiasa tersenyum naik ke hidung yang terletak cantik. Kemudian ke mata yang menggoda dan alis yang indah.

Tiba-tiba, Zhariz angkat wajah dan sinar mata itu buat jantung Arissa seperti gagla berfungsi beberapa saat. Oh! Tidakkkkk…

“Mmm.. kalau.. macam tu, tak mau beranaklah!” ayat tak berapa cerdik itu keluar dari bibir Arissa tanap diduga oleh akalnya.

“Tapi, abang nak anak. Kalau boleh empat orang, dua lelaki dan dua perempuan.”

Eh! apasal pula bercerita tentang anak dengan dia? Cakaplah dengan Ryana.

“Larat ke Kak Yana nak beranak sampai empat orang?” terpasul pula soalan itu dari mulut Arissa. Isk! Mulut ni pun suka menderhaka. Otak fikir lain, mulut cakap lain.

“Risa beranakkan anak abang boleh?” Zhariz sudah bangkit berdiri, mengemas peralatan first aid kit di atas meja.

Mata Arissa terkelip-kelip. Soalan apakah itu? Wajah Zhariz nampak bersahaja, tidak pula menunjukkan dia sedang bergurau.

3 comments:

nurulnajmeen said...

Semakin menarik.. Yg mana satu hero ni? Zhariz or jejaka di stesyen minyak tu?

Unknown said...

tu la kan..sape ek heronya. ikutkan hati, sy jatuh suka pd lelaki bukak pintu laju tu..

Unknown said...

Saya ska dua2,zhariz dgn lelaki kt petronas. Rasanya yg tu hero kot.:-)