Yang luar biasanya setiap kali berdepan dengan
Zhariz, Arissa seperti hilang daya untuk melawan. Apa saja yang Zhariz buat,
dia hanya mengikut. Seperti sekarang ini, Zhariz bukan terus menghantar dia
pulang.
“Balik rumah abang kejap, nak mandi. Nanti abang
hantar Rissa balik.”
Rumah mereka bukan jauh sangat pun. Berbeza taman
tapi masih dalam kawasan Puchong.
“Siapa ada kat rumah?”
Zhariz senyum. Soalan Arissa seakan memberi peluang
untuk dia mengusik si gadis manis di sebelahnya.
“Tak ada orang. Kita berdua aje.”
“Abang dah gila ke??”Arissa terus terjerit.
Mahu tak menjerit, kang datang musibah, tak
pasal-pasal nak menjawab. Berduaan dengan lelaki seperti Zhariz di dalam rumah,
tiada jaminan untuk dia akan selamat dari tergoda.
Ketawa Zhariz terus meletus. Memang dah agak reaksi
Arissa yang begitu. Seronok tengok. COMEL!
Zhariz tak jawab apa-apa tetapi waktu itu kereta
sudah membelok masuk ke perkarangan rumah agam milik keluarga lelaki itu. Melihat
deretan kereta di laman, Arissa sudah mampu meneka yang Zhariz sebenarnya
menipu.
Tapi… sebiji kereta yang terselit di antara beberapa
kereta mewah di situ buatkan hati Arissa bagai terjatuh ke dalam laut yang
bergelombang. Itu kereta Ryana. Pasti tuannya juga ada di sini.
Tekaan Arissa tepat, apabila kereta Zhariz berhenti di
depan laman rumah, wajah Ryana sudah menjenguk keluar dari pintu utama. Bukan
jenguk saja, dia berdiri berpeluk tubuh di situ. BALA!
Arissa toleh ke kanan.Wajah Zhariz nampak bersahaja,
selamba tanpa riak. Kenapa dia pula yang rasa macam tertangkap main kayu tiga
dengan tunang orang?
“Turunlah. Tengok abang macam tu
kenapa?”
Arissa pusing wajah kembali
memandang ke depan, ke arah Ryana yang masih tercegat di depan pintu.
Zhariz sudahpun melangkah keluar
dari kereta tetapi Arissa masih teragak-agak di situ. Nak turun ke tak nak? Apabila
Zhariz membongkokkan badan menjenguk ke arahnya, barulah Arissa cepat-cepat
membuka pintu kereta. Nak patah balik dah tak boleh, redah ajelah.
“Ooo..I ajak keluar you cakap malas.
Usung perempuan ni ke hulu ke hilir rajin pula?” sinis sekali suara Ryana
‘menyambut’ tunangnya pulang.
“Yana. Kot ya pun nak meroyan,
tunggu I masuk dalam rumah dulu,” balas Zhariz, masih tenang.
“And one more thing….perempuan yang you sebut tu
adalah adik you. Kalau you lupa, nama dia Arissa,” sambung Zhariz lagi seakan
menyindir.
Kemudian, dia toleh ke wajah Arissa yang nampak
takut-takut melangkah di belakangnya.
“Masuklah Rissa.” Jemput Zhariz sambil beralih ke
tepi, memberi ruang agar Arissa masuk ke dalam rumah.
“Heh!” Lengan Arissa yang baru mahu
melangkah masuk ditarik Ryana.
“Aku nak cakap dengan kau sikit.”
“Ryanaaa!!” Suara Zhariz sudah
meninggi. Dia memang tak senang melihat Ryana melayan Arissa sekasar itu.
“You jangan campur Rizzz. Ini urusan
I adik beradik.” Ryana mencerlung pada Zhariz. Haih! Ni kalau dah kahwin , sah
sah jadi queen control.
“Kau perempuan! Dah tak ada jantan
lain ke sampai tunang kakak sendiri pun nak mengendeng?” Bahu Arissa ditolak
kasar sehingga terundur beberapa langkah.
“Ryana!!! You jangan sesekali berani
berkasar dengan dia.” Zhariz sudah berdiri di tengah-tengah, menghalang Ryana dari bertindak lebih kasar lagi terhadap
Arissa. Sejak dulu, dia memang pantang kalau ada yang berkasar dengan Arissa
mahupun adiknya, Zalia.
“Baik you balik sekarang!!” tegas
suara Zhariz ‘menghalau’ si tunang.
Oh! Arissa rasa nak bersorak sambil
berjoget. Rasa nak lompat bintang sebab suka sangat.
“You halau I rizzz?” suara Ryana
berubah nada, seakan mahukan simpati si tunang.
“Sayang sangat you pada dia yer,
sehingga sanggup ketepikan I?” kali ni nadanya berubah lirih. Huh! Drama queen
sungguh!
Zhariz tarik nafas. Kepala mengeleng
beberapa kali. Dia sebenarnya dah tak tahu bagaimana nak tanggani keadaan yang
makin lama seakan makin menghimpit dadanya. Dia dan Ryana, tak pernah ada kata
cinta dan sayang. Bila keluarga kata nak tunangkan mereka, dia cuba untuk
mengenali Ryana dan permulaannya memang mereka boleh sesuaikan diri.
Tapi lama kelamaan, sikap yang
kasar, suka mengawal keadaan dan mahu semua orang mengikut kehendaknya buatkan
dia naik jemu.
“Yanaaa…” Zhariz mula berlembut. Cari
gaduh dengan Ryana, banyak buruk dari baiknya. Yang paling dia tidak suka
apabila pergaduhan itu nanti akan melibatkan keluarga.
“Rizzz… Apa yang bising-bising ni?”
tiba-tiba ada suara menyapa. Wajah Datin Maria muncul di depan pintu.
“Eh! Rissa pun ada. Bila sampai?”
“Mak Uda…Rissa baru aje sampai.” Arissa
hulurkan tangan untuk bersalaman dan seperti biasa mencium tangan emak
saudaranya merangkap mama kepada Zhariz.
Zhariz yang melihat terasa sejuk
hatinya. Ryana? Mana pernah cium tangan mama begitu.
“Kenapa semua tercegat kat sini, tak
masuk ke dalam?” Datin Maria pandang semua wajah satu persatu. Melihat ke wajah
bakal menantu, dia mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.
“Riz.. kot ya pun, masuk bincang kat
dalam.”
“Risssaaaa…” Tiba-tiba terdengar
suara jeritan seseorang.
“Liaaaaa…” Arissa sudah terlompat
gembira tatkala melihat wajah sepupunya itu muncul di belakang Mak Udanya.
Erk? Macamana dia tak tahu yang sahabatnya itu balik
bercuti? Zalia itu sepupunya yang paling rapat. Tua setahun dari dia dan masih
belajar di Rusia dalam bidang kedoktoran.
Mmm..seronok kalau dapat jadi macam Zalia, boleh belajar
apa saja jurusan yang diminati. Bukan macam dia, yang harus mengikut kehendak daddy. Ambil business study sebab nanti kena ganti daddy uruskan syarikat. Huh!
Kata daddy,
dia hanya punya dua anak. Ryana dah tak minat dan harapan daddy hanya pada dirinya.
‘Menggembirakan hati ibubapa itu besar pahalanya dan
keredhaan Allah swt terletak pada keredhaan ibubapa.’Hanya pesanan itu yang
Arissa ingat untuk menjadikan dia akur dan patuh.
Zhariz hanya mampu mengeleng melihat dua wanita
kesayangannya saling terjerit dan berpelukan. Bahagia, itu yang dia rasa. Alangkah
bagusnya kalau dia mampu memutar masa dan mengubah keadaan. Alangkah indahnya
kalau dia mampu membawa Arissa tinggal di dalam rumah ini dan menjadi
sebahagian dari keluarganya.
“Masuklah.” Zhariz akhirnya mempelawa dan pelawaan
itu ditujukan pada Ryana kerana Arissa sudahpun ditarik masuk oleh Zalia.
“Mmm….Takpelah. I nak balik.” Ryana menolak. Ada
nada rajuk dalam suaranya.
“Balik dulu Mak Uda.” Dia menoleh sekilas ke arah
mama Zhariz sebelum berlalu ke kereta.
Datin Maria yang melihat hanya mampu mengeleng. Hati
tuanya sudah mampu meneka anak dan bakal menantunya ini sedang berperang.
Zhariz pula? Dalam kepalanya, markah Ryana semakin
berkurang dan markah untuk Arissa semakin bertambah.
“Beb! Dari mana?” soal Zalia, menjeling abangnya
yang sedang memanjat anak tangga sebelum menelek Arissa dengan pandangan penuh
tandatanya.
“Kenapa kau pandang aku macam tu?”
“Mushkil sebab kau datang dengan abang aku.” Zalia angkat-angkat
kening. Adik beradik perangainya sama.
“Psstt… bakal kakak ipar aku yang kerek tu berangin
sebab apa?” Zalia seperti berbisik pula.
“Weh! Dengar dek abang kau, angin dia kau kata bakal
isteri dia kerek.” Arissa gelak-gelak. Memang sejak dulu, mereka berdua tak
pernah ngam dengan Ryana. Kata Zalia, Ryana tu macam merak yang berlagak
bulunya cantik, walhal tak cantik mana pun.
“Memang kerek pun.” Zalia mencebik.
“Kalau ikut hati aku, lagi suka abang aku tu kahwin
dengan kau.”
Gulp!Arissa rasa nak tercekik. Ikut rasa binasa. Ikut
hati, mati. Jangan ikut hati Zalia, nanti boleh mati. Mereka berdua tu sudah
dipilih keluarga untuk disatukan dan kalau tak saling suka, takkan keduanya
setuju tanpa bantahan.
“Cakap siang pandang-pandang, cakap malam
dengar-dengar. Kang ada yang dengar, leher kau kena pancung.” Arissa sudah
melangkah ke pintu sebelah kiri dan keluar menuju ke taman mini di sudut tersebut.
Rumah ni dah macam rumah dia juga. Waktu remaja, memang banyak dihabiskan di
sini.
“Aku rasa macam nak hasut aje abang aku tu putuskan
pertunangan mereka. Cari orang lain. Kalau Tok Ma nak juga keluarga kita
bersatu, tukar kau jadi calon.” Zalia mengekor dari belakang.
“Isk! Tak baik berniat jahat.”
“Untuk kebaikan takpe,” tukas Zalia.
Sejak dulu, dia memang tak suka Ryana. Dua beradik,
tapi Arissa dan Ryana berbeza macam langit dengan bumi. Arissa lemah lembut dan
mudah mesra tetapi Ryana, lagaknya mengalahkan model terhebat di dunia. Walhal,
tak adalah hebat mana pun. Nak kata cantik, tak cantik mana pun. Kalau tanpa make up, sahih Arissa lagi cantik, 200
KM jauhnya.
“Kata peribahasa
Arab, tiada kejahatan yang boleh dinilai sebagai baik, walau kejahatan itu
dilakukan dengan tujuan kebaikan. So,
kalau dah buat jahat tu, tak adanya nak kata dengan niat yang baik.” Arissa
duduk di kerusi rotan bawah pergola berbumbung yang terdapat di taman mini
tersebut. Dulu-dulu, mereka memang suka melepak di situ.
Zalia ikut duduk. Wajah sepupunya yang putih
gebu itu dipandang seketika, cuba mencari sesuatu yang tersembunyi di sebalik
riak itu. Dia tahu, abangnya sukakan Arissa, bukan Ryana. Cuma dia tak pasti
hati Arissa.
“Kata peribahasa melayu, kalau tak dipecahkan ruyung, mana nak
dapat sagunya.”
“Motif???”Arissa angkat kening. Apa kes tetiba
keluar bab ruyung dan sagu, dia tak faham.
“Kalau nakkan sesuatu, kena usaha.”
Arissa terkebil-kebil, cuba mencerna apa yang
ingin disampaikan Zalia.
“Kalau nakkan abang aku tu, kena usaha,” Provok
Zalia, sengaja mahu melihat reaksi Arissa.
“Bila masa aku nakkan abang kau?” Mata Arissa
sudah membulat.
“Menipulah Rissa, selagi kau boleh menipu.
Jangan nanti, makan hati berulam jantung.” Provok lagi. Tapi Arissa hanya
menyengih. Dia tahu, Zalia sedang cuba menggerudi hatinya.
“Hati aku tak suka, tapi jantung pisang kalau buat
masak lemak, aku suka.” Arissa melawak dan bahunya menjadi sasaran tangan
Zalia.
“Aku serius, kau main-main.”
“Lia.. Rissa, mari minum.” Suara jeritan Datin Maria
membantutkan perbualan mereka.
Arissa dan Zalia bangkit serentak menuju ke anjung
rumah di mana hidangan minum petang sudah tersedia di atas meja bulat yang
terdapat di situ.
Mmm..talam sagu. Kecur liur sekejap. Ni yang dia
suka ke sini, Mak Udanya memang pandai bab bab buat kuih.
“Pssstt..” Tiba-tiba Zalia seperti berbisik dan
mulutnya memuncung ke satu arah.
Pandangan Arissa spontan beralih ke arah yang
ditunjuk. Dan… matanya terus terpaku. Zhariz yang sudah bertukar baju dengan
wajah yang segar sedang melangkah ke arah mereka. T-shirt biru D & G tanpa
kolar itu menampakkan bentuk tubuhnya yang tegap. Rayban Aviator yang melekat
di wajah itu menambah kredit untuk kelihatan lebih bergaya.
Oh! Matanya terpesona. Hatinya seperti
terjatuh. Dadanya dilanda getar. Dia sedang TERGODA!
“Segakkan, abang aku.” Suara Zalia memanggil
Arissa mengalihkan pandangan.
“Euuww! Puji abang sendiri tak agak-agak.”
Arissa cuba menutup malu, tertangkap merenung anak teruna orang dengan
pandangan penuh makna.
“Tapi abang aku selalu puji kau. Katanya, kau
cantik walau dilihat dari sudut mana sekalipun.”
Arissa hilang kata. Benarkah? Atau Zalia
sengaja mereka cerita? Kenapa sekarang ini, hatinya sering dilanda debar tatkala
bercerita tentang lelaki itu?
Zhariz duduk antara Zalia dan Arissa. Haruman Black
Rose yang dipakai lelaki itu menyerbu masuk ke rongga hidung menyentuh deria
rasa, mengkhayalkan. Arissa tahan nafas.
“Wangi semacam aje, nak ke mana ni?” Zalia buka
mulut sambil memadang si abang.
“Ke mana lagi, hantar cik adik sayang ni la.” Wajah
Zhariz berpusing ke kiri memaksudkan cik adik sayang itu adalah Arissa.
“Errr.. Takpelah, orang mintak Lia hantar
nanti.” Arissa sudah gelabah bila dipanggil sayang di depan Zalia. Zhariz ni
pun, tak agak-agak. Kang makin bertambah syak wasangka Zalia.
“Abang hantar. Lagipun, abang nak ke arah
sana,” tegas Zhariz.
Entah kenapa Arisa rasa Zhariz mahu ke sana
untuk memujuk si tunang tersayang. Tiba-tiba dia jadi hilang mood. Hilang
segala rasa untuk bersuara dan bercerita.
“Jomlah!” pantas dia bangkit berdiri.
“Eh! dah nak balik ke?” soal Zhariz.
“Mmm..Lia, aku balik dululah. Nanti bila free aku datang. Tapi, kalau ikutkan aku
menyampah dengan kau sebab balik cuti tak bagitau aku.”
Zalia ketawa mengekek.
“Nak balik dah ke?” Mak Uda yang baru muncul di
situ menegur.
“Ha’ah.” Sekali lagi Arissa hulur tangan
bersalaman dan sekali lagi tangan orang tua itu dicium.
Tangan Datin Maria naik menggosok kepala
Arissa. Entah kenapa dia sangat suka dengan anak saudaranya yang sorang itu.
Kalaulah dia ada anak lelaki lain selain Zhariz.
Arissa terus menonong ke kereta Zhariz. Sebaik lelaki
itu masuk dan menutup pintu kereta, Arissa tadah tangan.
“Kenapa?” soal Zhariz.
“Kunci kereta orang.”
Zhariz senyum. Enjin kereta dihidupkan. Badannya
berpusing mengadap si gadis di sebelahnya.Telapak tangan Arissa yang masih
menadah ke arahnya dipandang.
Kemudian, telapak tangannya dilekatkan ke telapak
tangan Arissa, menyatukan jemari mereka. Kunci kereta yang Arissa minta tetapi
tangan yang dia berikan.
Sesaat..dua saat.. denyut nadi Arissa seperti
terhenti. Sentuhan itu menghantar getaran maha hebat ke hatinya. Apa yang
sedang berlaku sebenarnya? Kenapa saat ini dia rasa Zhariz ini sangat istimewa?
Romantik dengan caranya yang tersendiri.
‘Arissa… sejak dulu Zhariz memang lelaki istimewa
yang diciptakan Tuhan dengan semua kelebihan. Kau tak perasan sebab selama ni
kau pandang dia sebagai seorang abang.’
Tapi, adakah saat ini pandangannya terhadap Zhariz
sudah berubah? Tepuk dada, tanya hati sendiri.
2 comments:
Best!...lagi...lagi...
best..
nak zhariz dgn arissa..
Post a Comment