Melangkah
ke ruang lobi bangunan Danau Crystal setelah tiga tahun meninggalkannya, Hareez
seperti hilang daya untuk menarik nafas. Walaupun semua masih sama dan tidak
berubah seperti kali terakhir dia mengambil keputusan untuk ke luar negara dulu,
ianya seperti sudah menjadi asing baginya. Mungkin juga hatinya masih belum
bersedia untuk kembali ke situ.
‘Bang,
aku akan dihantar bertugas ke Dubai selama tiga bulan dan aku akan bawa family
aku sekali.’
Itu
pesanan melalui email yang dihantar Zhafran dua bulan lepas tetapi waktu itu
dia masih teragak-agak untuk pulang.
“Reez, papa admit kat hospital. Baliklah Rezzzzz....” Berita kedua yang
diterima dari suara mamanya yang menangis di talian buatkan dadanya bagai
ditindih batu besar. Lantas, dia ambil keputusan untuk pulang.
“Papa dah tak kuat Reez. Papa
perlukan anak-anak papa untuk membantu. Papa tak mahu Danau Crystal yang papa
usahakan dengan titik peluh sendiri berkubur begitu saja.” Suara lemah papa
bernada rayuan itu telah mengikat kakinya untuk terus berpijak di bumi Malaysia
ini dan sekaligus melupakan hasratnya untuk terus menimba ilmu di bumi Ratu.
Kerana itu juga dia kembali menjejakkan kaki ke bangunan tersebut.
Ikutkan hati, dia masih belum bersedia. Ya! hatinya belum cukup kuat untuk berdepan dengan kenangan lama. Tiga tahun dia tidak pernah pulang ke Malaysia dan tiga tahun itu masih belum cukup untuk dia melupakan seraut wajah bernama Lyana Amira.
“Melarikan diri bukan cara terbaik untuk melupakan seseorang.” Kata nasihat teman serumahnya sewaktu di luar negara itu diakui kebenarannya saat ini.
Menatap
seraut wajah lembut milik Lya, hatinya seperti disimbah asid menjadikan
permukaanya berubah rupa dan bentuk. Melihat kemesraan wanita itu bersama
Zhafran yang tertayang di depan mata, jiwa lelakinya bagai dicarik belati
tajam. Sakitnya, tiada perkataan untuk digambarkan.
Semua itu sudah cukup menjadikan
hatinya tawar tanpa rasa untuk terus menetap di Malaysia. Tetapi, melihatkan
papanya yang tidak sekuat dulu setelah diserang minor stroke, dia terpaksa mengunci kejap pintu hatinya dengan
mangga yang paling besar supaya seluruh rasa yang bertebaran di dalamnya tidak
mampu mengintai keluar.
Melangkah
perlahan ke lif lobi, pintu lif hampir tertutup tetapi jemarinya masih sempat
menekan butang dan pintu terbuka kembali. Di dalamnya hanya ada seorang wanita
muda.
Masuk
ke dalam, matanya menjeling wanita tersebut menghantar isyarat boleh-ke-
belakang-sikit-tak? Sebabnya, dia nak tekan butang lif tapi wanita tersebut
berdiri tegak betul-betul depan butang lif. Dah rupa macam penjaga butang lif
pun ada. Kalau tersentuh, takut nanti dikata meraba di dalam lif.
Namun,
perempuan tersebut buat muka bodoh, masih tidak berganjak dari tempat berdiri
sehingga pintu lif tertutup sendiri. Tak faham bahasa isyarat ke dia ni?
“Excuse me, level four please.” Hareez
bersuara.
Sepantas
kilat perempuan tersebut berpaling dengan jelingan maut menghantar isyarat
ingat-aku-tukang-tekan-butang-lif-ke?
Namun, jemari runcingnya tetap juga bergerak menekan butang nombor empat.
Hareez
senyum. Tiba-tiba matanya gatal saja meneliti belakang wanita tersebut.
Berskirt labuh warna hitam dipadankan dengan blouse paras punggung bercorak
abstrak. Digayakan dengan tudung tiga layer rona warna yang sama. Ukuran badan
boleh tahan, solid!
Dari
atas sampai ke bawah dan dari bawah naik ke atas matanya berlari. Tiba-tiba
pandangannya termati pada bahu kanan.
Gulp! Hareez telan liur. Baju wanita tersebut bagai terlondeh menampakkan bahu yag putih melepak dan tali bra halus berwarna hitam.
Mmm..... inilah yang dikatakan, tidak wajib bertudung tetapi wajib menutup aurat. Mungkin juga leher bajunya agak lebar sehingga terlondeh dari bahu tetapi dek kerana tudung yang dipakai agak pendek, atas dari paras bahu, ia tidak berupaya menutupnya dari pandangan umum.
Nak
tegur atau tak nak? Hati Hareez berkata sendiri. Saat yang sama lif sudah tiba
di tingkat empat dan dia melangkah untuk keluar. Tiba-tiba, langkah kakinya
terhenti di depan pintu lif.
“Cik
adik....maaf, saya ternampak bahu awak.” Mulut Hareez terus bersuara.
Sepantas
kilat mata wanita tersebut beralih ke bahu sendiri. Oh! tidakkkk...Tangannya
bergerak pantas menarik bahu baju naik ke atas.
“And….the
‘blue colour’….” Hareez angkat sebelah kening .
“I
like it.” Dia terus berlalu pergi dengan senyuman nakal. Dah namanya pun
lelaki, mana tak gatalnya bila tengok sesuatu yang tak sepatutnya di depan
mata.
Cis!
Cis! Cis! Rasa malunya berguni-guni. Mahu rasanya dia kejar lelaki tersebut dan
membutakan dua biji mata yang telah melihat sesuatu yang tidak sepatutnya.
Tapi, nasib baik lagi pintu lif sudah
tertutup.
Menyesal!
Memang dia menyesal memilih baju yang berleher lebar tersebut hari ini. Namun,
apakan daya, hanya itu saja baju yang tidak perlu bergosok. Pagi ini dia terlewat
bangun dan perlu berkejar ke situ untuk sesi interview Pengarah Syarikat Danau
Crystal bagi dimuatkan ke dalam ruangan tokoh korporat majalah Seleksi Biru.
No comments:
Post a Comment