FOLLOWERS

HSC : Trailer...

Ikutkan hati aku memang tak mahu pergi tetapi Zura paksa sungguh-sungguh. Lagi pun, terasa tidak manis pula jika tidak menghadirkan diri kerana aku adalah salah seorang daripada warga Mega Jaya.

Namun begitu, aku betul-betul jadi geram apabila Zura tiba-tiba mengubah rancangan meminta aku menaiki kereta abangnya manakala dia pula akan pergi menjemput Arman terlebih dahulu. Katanya, lelaki itu masih baru di sini dan masih tidak tahu selok belok jalannya. Ah! mengada-ngada betul.

Oleh kerana tiada pilihan lain yang aku ada dan waktu itu kami sudah sama-sama melangkah keluar dari rumah, aku turutkan saja langkah Zhafir ke kereta mewahnya, BMW 7-Series warna hitam metalic. Huh! Baru mula kerja, kereta sudah tahap busines juta-juta. Anak orang kaya, apa saja pun boleh. Tetapi, aku jadi hairan juga kenapa dia ke majlis tersebut sendirian saja. Mana pergi teman wanitanya?

Sepanjang jalan, aku bisukan mulut. Kalau boleh, aku memang tidak ingin menumpang lelaki kerek ini. Tetapi, jika bersama Zura akan menjadikan hatiku luka berdarah, apa lagi pilihan yang aku ada? Rasanya lebih baik duduk di dalam kereta ini dan jadi bisu daripada duduk di dalam kereta Zura dan menyaksikan kemesraannya bersama Arman.

“Dah lama kenal Zura?” Tiba-tiba telingaku menangkap suara bertanya dari ‘orang sebelah’. Sekilas aku menolah pandang.

“Lebih kurang empat tahun.” Jawabku perlahan.

“Ikmal?” soalnya lagi dan sekali lagi aku menoleh ke arahnya.

“Baru lagi.” Balasku juga perlahan.

“Arman?” lagi dia menyoal memanggil aku untuk menoleh kali ketiga. Isk! Soalan berangkai ke ni?

“Baru juga.” Bohongku.

“Tapi.. rasanya, Arman tu dah lama kenal you.”

Terkejut! Itulah yang aku alami tatkala mendengar ayat penyata yang keluar dari bibirnya namun, aku buat-buat muka bersahaja.

“Silap orang kot.” Balasku tanpa mahu berfikir lebih lanjut tentang kenyataannya itu.

“Tak mungkin akan ada nama yang sama dengan wajah yang sama untuk orang yang berbeza.”

Isk! Ayat apa ni, aku tak faham. Aku kembali membisu dan membiarkan kenyataannya itu ditelan gelap malam. Buat waktu ini, aku tidak ingin berbicara sesuatu yang berkaitan dengan Arman kerana ia akan menjadikan perasaan dan fikiranku bercelaru tanpa punca dan penghujungnya.

Selepas itu, kami saling membisu sehingga tiba di tempat yang dituju. Keluar dari kereta saja, aku segera mengatur langkah mendahuluinya kerana tidak ingin dilihat datang bersama-sama. Dia tetamu kehormat, tidak layak untuk berganding denganku.

Beberapa langkah bergerak, tiba-tiba lenganku di tarik dari belakang. Terkejut, aku hampir ingin menjerit tetapi tatkala melihat senyuman di bibir Zhafir, aku bulatkan mata sambil meleraikan pegangannya di lenganku.

“Oleh kerana datang dengan I, you perlu jadi teman I.” ujarnya sambil menghulurkan jemarinya untuk aku sambut namun, aku cepat saja menyilang tangan ke belakang sambil memandang saja huluran tangannya.

“Rasanya, I tak pernah sign apa-apa kontrak untuk jadi teman you.” Balasku sambil merenungnya dengan kening yang berkerut.

“Kalau dah sign kontrak tu, maknanya you kena jadi teman I untuk seumur hidup.” Selamba wajahnya dengan senyuman mekar di bibir.

Sungguh.. aku tidak faham dengan maksudnya tetapi lebih baik aku terus tidak mamahaminya.

********************************

Baru saja melabuhkan punggung ke kerusi, Zhafir tiba-tiba muncul memeranjatkan aku. Langkahnya perlahan menuju ke peti ais dan mengeluarkan jus Feel fresh dari dalam peti tersebut sebelum bergerak mengambil gelas di atas rak.

Dia sekali lagi mengejutkan aku apabila datang ke arahku membawa dua biji gelas yang penuh berisi jus tersebut dan satunya diletakkan di depanku. Tanpa suara, dia duduk di depanku dan tanpa suara juga dia terus meneguk jus dari gelas yang terpegang di tangannya.

“Apa sebenarnya yang sedang berlaku antara you dengan Ikmal?” dia tiba-tiba bersuara menyoal dan aku yang tidak menduga soalannya itu hanya mampu memandang wajahnya tanpa sepatah kata. Buat seketika kami saling berpandangan.

Aku mengambil jalan selamat untuk mendiamkan diri. Bercerita perkara sebenar tidak akan mengubah keadaan malah mungkin akan memburukkan lagi apa yang sudah sedia buruk.

“I tahu you dengar apa yang berlaku di luar sana dan pastinya you tahu apa yang akan berlaku sekiranya Ikmal ingkar dan tetap memilih you.” Suaranya kedengaran bersahaja tetapi ayatnya penuh dengan pelbagai makna.

“Saya tidak pernah memilih sesiapa dan tidak pernah ingin dipilih oleh sesiapa.” Ujarku sebelum bangkit dan mencapai gelas yang sudah kosong di tanganya sebelum berlalu menuju ke sinki membersihkannya.

Dia terus diam sehinggalah aku melangkah keluar dari ruang tersebut. Sungguh… kalau begini keadaannya, lamaran Ikmal tidak perlu aku pertimbangkan.

“Ikut kata hati kau Fea, jangan peduli apa yang sedang dan akan terjadi.” Zura bersuara ketika kami sudah berada di atas katil malam itu. Dia bagai menyokong penuh keputusan angahnya memilih aku.

“Yang pasti, aku tahu angah suka sangat dengan kau.” Sambungnya lagi.

“Suka saja tak cukup Zura.” Balasku perlahan.

Memang benar, apalah yang ada pada sebuah rasa suka sedang di sekelilingnya terlalu banyak yang menentang? Aku tidak mahu sejarah lama berulang kembali.

"Angah yang aku kenal, dia suka buat keputusan ikut kata hati dan aku percaya, dia memilih kau kerana hatinya yang memilih."

Benarkah begitu? Benarkan Ikmal melamarku kerana mengikut gerak hatinya? Jika benar, kenapa hatinya memilih aku sedang dia punya banyak pilihan lain yang lebih segalanya? Apalah yang ada pada seorang manusia sepertiku ini sehingga sekeping hati milik lelaki sempurna seperti Ikmal itu telah memilih aku?

‘Kita tidak dilahirkan kerana kebetulan tetapi ada sebabnya Tuhan temukan kita dalam suasana yang begini’ teringat kembali sebaris kata-katanya. Apa sebabnya? Apa tujuan sebenar Tuhan temukan aku dengan dia dan mereka semua yang sedang berada di sekelilingku ini?

Bolehkah aku pejamkan mata dan berkata ya pada lamaran Ikmal sedangkan aku sendiri tahu bahawa semua ini akan lebih menyulitkan keadaan? Bolehkah aku pejamkan mata dan hanya memikirkan kepentingan diri sendiri tanpa mengambil kira hati-hati yang terluka kerana keputusanku?

Tidak! Sekeping hatiku sudah menjerit mengatakan tidak. Aku tidak boleh mementingkan diri sendiri. Hanya utuk melarikan diri dari Arman, aku tidak mungkin akan sanggup melukakan banyak hati dan menyulitkan banyak keadaan apatah lagi aku sendiri tahu langkah kaki kami tidak akan ke mana.

Jatuh cinta memang sangat mudah tetapi untuk mengubah arahnya tidaklah semudah kita jatuh cinta. Jadi, aku tidak ingin mengambil apa-apa risiko yang akan membuatkan aku tersungkur di kemudian hari.

**********************************

Tidak cukup dengan itu, kehadiran Zhafir ke ARHA petang itu menambahkan lagi kekusutan di kepalaku. Aku tidak tahu bila masanya dia datang tetapi, ketika aku menghampiri bilik Arman untuk menghantar dokumen yang harus ditandatangani olehnya, telingaku menangkap suara dua orang sedang bercakap-cakap di dalam bilik yang sedikit terbuka pintunya itu.

“Bro, adik aku tu dah separuh mati gilakan kau.” Itu suara Zhafir, aku memang kenal dengan suaranya.

“Fir... kau sendiri tahu, cinta bukan sesuatu yang boleh dipaksa.” Balas Arman kemudiannya.

Teruja dengan perbualan tersebut, aku terus memasang telinga. Nasib baiklah Jenny tiada di tempatnya waktu itu.

“Then?” suara Zhafir kedengaran lagi.

“Sorry to say, aku memang tak boleh paksa hati aku. Kerana itu, aku juga tak pernah ucap kata cinta pada dia.” keluh Arman.

“Sebab Fea ke?” terkejut aku mendengar namaku disebut oleh Zhafir.

“Dia dah lama pegang hati aku. And... I do love her.” mendengar telus luahan Arman, dadaku terus bergetar. Tahukah dia, hatiku juga telah diambil olehnya?

“Ada apa pada Fea sebenarnya?” Zhafir menyoal dan aku jadi tidak sabar untuk mendengar jawapnnya.

“Mmmm...Soalan yang cukup interesting.” Kedengaran Arman tergelak kecil.

“Kalau cantik yang kau lihat, dia memang tak cantik tapi cinta tak perlu pada kecantikan kerana cinta itu sendiri sudah mencantikkan segalanya yang ada pada dia.” Bicara Arman terus membuatkan aku terpaku di situ. Benarkah begitu? Benarkah cinta akan mencantikkan sesuatu yang tidak cantik?

“Kalau kau kata perempuan tu cantik kerana rupanya, itu nafsu semata-mata. Akal dan hati akan kata seseorang perempuan tu cantik atas dasar ilmu dan akhlaknya. Dan.... cantiknya Fea tu ada pada peribadi dia. Senyum dan tawa dia boleh buat kita rasa tenang dan damai." Sambung Arman lagi dan kata-katanya terasa sejuk menyerap ke hatiku.

Kedengaran suara Zhafir ketawa perlahan.

“Hebat sungguh!” ulasnya dalam tawa.

“Dan kau, apa pula alasannya?” Soalan Arman menimbulkan tandatanya di hatiku.

“Meaning?” Ketawa Zhafir terhenti serta merta.

“Jangan ingat aku tak tahu. Kereta dan rumah, tawaran yang langsung tak masuk akal untuk seorang yang berpangkat Assistant Manager dalam sebuah company yang kecil begini.” Kata-kata Zhafir menambahkan lagi rasa curiga di hatiku.

Ya! Memang dari awal menerima tawaran tersebut, akal warasku berkata tidak logik tetapi hatiku yang sering suka bersangka baik memujuk akal agar menerima itu sebagai satu keajaiban yang tidak semua orang boleh mendapatkannya.

“Aku ada alasan tertentu.” Jawapan yang sama untuk soalan yang berbeza pada dua orang yang berbeza dan aku jadi makin tidak mengerti dengan lelaki yang bernama Zhafir ini.

“Dan alasan kau selalunya untuk kepentingan diri sendiri. Am I right?” bidas Arman sekali lagi mengundang gelak Zhafir.



Sedih...

Hari ni mood sedih....

Tak tahu kenapa, air mata asyik nak mengalir jer...

Sensitif? Aku ni sebenarnya bukan manusia yg sensitif tetapi boleh di golongkan dalam manusia berhati kering tpi... entahlah!

Kekadang terfikir, di mana silapnya?
Apa sebenarnya erti sayang?
Adakah jika mulut mengaku sayang maka mulut juga sudah diberi hak untuk meluahkan sesuatu yang menyakitkan?

Kenapa seringkali manusia tidak tahu menghargai setiap pengorbanan dan kesabaran kita?
Adakah harus menunggu apa yg dimiliku itu hilang baru nak sedar betapa berharganya apa yang ada di depan mata?

Aku bimbang sebenarnya....
Bimbang jika suatu hari nanti, sabarku akan hilang semuanya.
Dan waktu itu....Biarlah takdir yang menentukan...

Berapa Harganya?

Ada yang tanya aku, "berapa harganya?"

Aku jawab "Tak sampai RM 20..hehehe.."

Dia kata "Murahnyaaa..."

Aku cakap " Memang la standard macam tu, Alaf21 punya buku kan harganya murah, mampu dibeli untuk semua golongan."(Chewah! promote tu)

Dia cakap "Tak! bukan harga buku tapi Harga Sebuah Cinta?"

"Hah!" aku terdiam sebab aku sendiri pun tak tau berapa harganya

So, siapa yang boleh jawab berapa HARGA SEBUAH CINTA?

Prolog yang sudah bertukar...hehehe

Diatas sebab-sebab tertentu, cerita ini terpaksa aku tukar prolognya. Selain Prolog, tajuknya juga sudah bertukar. Bukan SAC tetapi telah ditetapkan menjadi HSC. Apa itu HSC nanti aku akan ceritakan kemudia. Apa pun, aku suka tajuk tu sebab ianya juga tajuk pilihanku.

Untuk pengetahuan semua, terutama sekali untuk DLa, maaf kerana cerita ni terpaksa saya hentikan pada bab 16 saja kerana ia sedang diedit(hampir siap semuanya) dan akan berada di pasaran tidak lama lagi...

Pun begitu, aku nak cakap awal-awal. Pada sesapa yang rasa cerita ni tak best, tolong jangan beli. Kalau dah 'ter'beli, tak payah baca tapi kalau dah 'ter'baca, tolong jangan kutuk. Kalau terasa nak buka mulut juga, tolong beri pandangan membina agar 'penulis kecilan' seperti aku ini boleh memperbaiki kelemahan diri.

Chewah! buku belum keluar dah siap bersyarat yer Cik Nab, macamlah ko tu Diva siap syarat segala..heheheh..

Apa pun, aku nak pohon maaf kalau nanti cerita ni tak menepati citarasa atau tidak seperti yang diharapkan. Aku memang sedar diri malah sentiasa tahu mana tahap aku berada. Adanya aku atau tidak ada bukan ada orang peduli pun...huhuhu (sambil menenyeh mata yg tiba-tiba terasa gatal.)

Dah, tak mau merepek lagi... ikutilah prolognya



PROLOG


Sakitnya hati! Aku tentang sinar matanya dengan pandangan ‘membunuh’. Wajahnya seperti selalu, nampak bersahaja walau dalam apa jua keadaan sekali pun. Malah, dia masih boleh tersenyum lebar walau aku sedang menunjukkan rasa marah. Mungkinkah dia jenis manusia yang begitu atau aku yang tidak tahu bagaimana untuk melepaskan kemarahan?

“Jika tiada pilihan lain, tidak bermaksud I harus memilih you.” Tegasku penuh rasa geram.

Dia angkat kedua kening seperti menyoalku dalam bisu sama ada benar atau tidak kenyataanku itu. Ya Allah! Aku rasa seperti ingin saja patah-patahkan leher dia.

Tatkala melihat aku hanya diam membisu, dia lemparkan sebuah senyuman. Nampak manis tetapi amat menyakitkan. Apa motif dia sebenarnya? Kenapa tiba-tiba saja aku rasakan semua orang sedang cuba mendapatkan aku untuk tujuan yang berbeza?

“Rasanya, you tak ada pilihan lain.” Mudah sekali ayat yang keluar dari bibirnya dan aku, sudah tidak tahu bagaimana untuk mengawal rasa. Sebelum aku bertindak di luar batasan fikiran, ada baiknya aku pergi meninggalkan dia.

Arrrgggg…. Hatiku menjerit kuat. Aku ingin segera mencari Arman dan mengadu padanya tentang semua ini. Namun, sesaat hatiku tersedar, patutkah aku memberitahu dia sedang aku sendiri tahu ianya pasti makin merumitkan keadaan?

“Arman itu hanya layak untuk Zura. Rasanya, you tak mungkin sanggup mengkhianati sahabat sendirikan?” soalan berupa ugutan itu bagai membunuhku dalam diam.

Sanggupkah aku mengkhianati sahabat sendiri? Jika tidak, bolehkah aku melepaskan Arman pergi dari hati dengan mudah? Jika boleh, itu bermaksud cinta yang wujud di hatiku ini hanyalah sebuah rasa yang tidak mempunyai apa-apa makna.

Ah! Sukarnya meleraikan sebuah perasaan jika pengikatnya adalah cinta. Sukarnya meleraikan sebuah janji jika ia melibatkan soal hati. Janjiku padanya, hatiku tidak pernah mungkin akan berubah dan sehingga detik ini, ia tetap tidak berubah.

"Bila saya kata cinta, ia bermakna selamanya saya akan menyintai awak dan benci tidak mungkin akan wujud untuk menggantikan tempatnya." itulah yang pernah Arman ucapkan padaku tetapi, mungkinkah ianya akan kekal begitu jika aku memilih jalan yang bersimpang?

Zhafir?

Mungkin tidak!

Kalaupun aku harus mati, untuk menerima dia rasanya tidak mungkin. Tapi, itu hanya kata hatiku, bukan lakaran takdir yang tertulis. Bagaimana kalau takdir mengharuskan aku memilih dia?

Akan wujudkah lagi cinta lain setelah semuanya sudah aku serahkan pada Arman? Sebenarnya, berapa banyak cinta yang boleh dimuatkan di ruang hati untuk sepanjang tempoh hayat yang TUHAN pinjamkan pada kita?


Hari ini...

Semalam aku mimpi, kereta WQK 2008 aku tu hilang kena curi..Uwwaaaa... nangis aku dalam mimpi(apa maknanya tu?). Janganlah betul-betul hilang.

Pagi-pagi buta adik aku beritahu motor dia hilang kena curi malam tadi. Hah! terkejut beruk aku. Kalau sesapa yang terambik tu, tolonglah pulangkan. Kesian adik aku tu. Walau pun dia ada kereta, motor tu pun penting gak, banyak jasanya. Kalau memang orang tu niat nak curi, moga-moga dia diberikan hidayah oleh Allah s.w.t agar cepat-cepat insaf.

Masuk kerja hari ni, aku lambat sikit... sikit jer tau (amalkanlah selalu). Masa nak masuk parking, aku hulurkan season pass. Di sebabkan mesin pengimbas tu rosak, budak yang jaga parking tu terpaksa buat manual. Bila dia tengok pass tu, terus dia tanya company aku dengan muka dan suara yang terperanjatnya, macam tak percaya pun ada.

Aku dah cuak tengok dia. Tau laaa... bos bos aje yang boleh pakai season pass, special boleh park kat 3rd floor. Apa muka aku ni takde gaya untuk jadi bos ke? Kalau takde, agaknya layak untuk jadi apa? Secretary?..Ahak!

Sebelum dia buka palang tu, aku senyum gak kat dia walau tak puas hati dia seakan pandang rendah pada aku. Senyum tu kan sedekah....

Tengahari, bila aku keluar dari surau untuk solat zohor, ada dua staff tu terkejut tengok aku dan kemudian dia gelak-gelak. Aku tanya dia kenapa? Dia kata, dia dah betulkan kasut aku, pusing mengadap pintu keluar agar senang untuk aku pakai....alahai! ada juga yang baik hati begitu. Tapi kadang-kadang aku fikir juga, kenapa semua orang macam baik sangat dengan aku?

Ketika berjalan nak masuk ke office, ada pula staff tegur aku. Katanya, tadi dia nampak seseorang yang muka sebiji macam aku....Betul ke?

Kenapa hari ini banyak sangat peristiwa yang pelik berlaku....

Dan hari ni juga, aku dapat tahu novel aku yang terbaru sudah ditetapkan tajuk...lalala... happy sebab tajuk tu pun aku suka...HSC bukan SAC...