FOLLOWERS

Sakitnya Tuh Di sini - Prolog

       

 JANJI sebuah akad itu janji bersaksi. Janji yang bukan boleh dibuat main-main. Dan kerana rasa percaya, dia terima seorang Zariel Adham, bersetuju menjadi makmum lelaki itu walau perkenalan mereka terlalu singkat.
     
   “Janji... yang Leeya akan jadi isteri abang sampai bila-bila?” Itu yang Zariel bisikkan saat bibir si suami melekat di dahinya.

        Aleeya angguk perlahan. Mempatri janji kerana dia yakin dengan hatinya. Tapi, bolehkah dia yakin dengan hati Zariel?

        Tanpa amaran, sekali lagi bibir si suami melekat di pipinya.

        “Bro.. nak lebih-lebih tunggu malam. Dalam masjid ni.” Satu suara menegur memanggil Aleeya menoleh pandang.

        Mata memaut wajah lelaki yang sedang duduk tidak jauh dari  situ. Cuma sesaat, Aleeya kembali menunduk. Dia kenal dengan lelaki itu tapi lupa namanya. Kawan Zariel, lawyer kacak, itu kata hatinya.

        “Abaikan dia...” Zariel berbisik sebaik melihat wajah si isteri yang sudah memerah.

        Aleeya hanya menunduk malu. Ya! Dia masih segan. Malunya masih menebal. Mereka kenal tak lama. Bercinta pun bukan selalu berjumpa. Cinta mereka cinta jarak jauh. berhubung melalui whatsApp dan bercakap hanya sesekali bila ada hal penting sahaja.

        Lima bulan perkenalan, hati budi pun belum sempat diselusuri sampai ke dasar, Zariel suarakan hasrat mahu menyuntingnya.


        Dan.. kerana dia yakin dengan kata hati sendiri, dia terima Zariel tanpa syarat.