FOLLOWERS

YANG BERNAMA CINTA - Bab 1

            H
ANI SURAYA termenung di tangga rumah yang berkunci. Inilah akibatnya pulang ke kampung secara tiba-tiba tanpa memberitahu terlebih dahulu. Dia lupa yang mak dan ayahnya memang jarang lekat di rumah.

        Kalau tak di kebun, mesti ke pekan. Kalau tidak ke dua tempat itu, mesti ke rumah jiran yang ada kenduri kendara.

        Tiba-tiba matanya terarah ke laman rumah penghulu Haji Kassim yang letaknya selang tiga rumah dari situ. Kelihatan ada ramai orang berkumpul di sana. Ada kenduri atau kematian? Kalau kematian, siapa yang meninggal? Penghulu Hj Kassim atau Makcik Habibah?

        Tak mungkin kot, sebab mak tak cakap apa-apa pun. Tapi… kalau kenduri, siapa yang kahwin? Hazril????
        Menyebut nama itu, hatinya tiba-tiba jadi berdebar. Tak mungkin Hazril sebab setahu dia, lelaki itu masih di luar negara.

        Tapi kalau bukan Hazril, siapa lagi? Penghulu Haji Kassim hanya ada dua orang anak, Hazril Redza dan kakaknya, Sofea Nabila. 
        Tapi, Kak Sofea memang sudah berkahwin. Yang tinggal hanyalah anak bujang Haji Kassim, si Hazril itu.

        “Kak!”
        “Mak kau tergolek!!!!” Hani terlompat sambil melatah disergah dari belakang oleh Azrul, adiknya.
        “Kurang asam betollah kau ni. Suka buat orang terperanjat.” Tangannya cepat saja memukul bahu Azrul yang sudah terkekek ketawa.

        “Dah lama akak sampai? Mak tak cakap pun akak nak balik.”
        “Mak dengan ayah mana?” Hani menyoal balik tanpa menjawab soalan basa basi adiknya.
        “Tuuu...” panjang muncung Azrul menunjuk ke arah rumah penghulu Haji Kassim sambil membuka mangga di pintu.
        “Ada apa tu? Orang meninggal ke?” Lancang mulut Hani menyoal.

        “Isk! Akak ni. Akak tak tahu ke Abang Hazril dah balik dari US? Kenduri sambut dia la tu.”

        Langkah Hani terus terhenti mendengar penjelasan Azrul. Hazril dah balik? Kenapa tiba-tiba? Rasanya baru saja dia mendengar Makcik Bibah mengadu yang anak bujang kesayangannya itu tidak mahu balik-balik ke Malaysia kerana seronok tinggal dan bekerja di negara orang selepas habis belajar.

        “Akak pergilah cari mak kat sana. Boleh jumpa boyfriend lama akak tu sekali.”
        “Eh! mulutttt...... Kalau belum beli insuran, baik jangan cakap yang bukan-bukan ya!” Amaran keras terus Hani berikan pada Azrul. Matanya mencerlung memandang adiknya itu yang sudah pun mendahului langkah masuk ke rumah.

        “Alaaa... semua orang tahulah kak. Satu sekolah cerita yang akak suka Abang Hazril. Satu sekolah tahu akak simpan gambar Abang Hazril dalam buku latihan dan Abang Hazril...”

        “Sudahhhh!!!!!!” Jerkahan kuat Hani terus menghentikan bicara Azrul. Pantas dia berpaling memandang kakaknya.
        Pertama kali dia mendengar kakaknya yang sentiasa berlembut itu meninggikan suara membuatkan dia tergamam tidak percaya. Takkanlah kerana usikan itu, kakak kesayangannya boleh marah sampai begitu sekali?

        Hani gamam. Hilang kata untuk bersuara. Dia sendiri tidak tahu kenapa anginnya tiba-tiba naik mendadak seperti di pam tatkala kisah lama itu disebut-sebut. Mungkin juga dia tidak menyangka adiknya itu tahu tentang kisah tersebut kerana selama ini, cerita itu tidak pernah sekali pun keluar dari mulut Azrul. Pantas, kenangan lalu yang memalukan itu datang menerjah minda.

        “Weh! Pinjam buku kau kejap.” Tanpa amaran Hazril terus mencapai buku latihan yang terletak di atas meja.
        “Hey! Mana boleh!” Hani terjerit kecil. Buku latihan yang sudah berada di tangan Hazril cuba dirampas tetapi lelaki itu lebih pantas melarikannya.
        Sengaja untuk main-main, Hazril mengibarkan buku tersebut di depan Hani. Selama ini, jika dia ingin meminjam buku, semua rakan di dalam kelas tersebut dengan rela hati akan memberinya tanpa banyak soal.

        Berbeza dengan Hani Suraya. Nak pinjam buku, punyalah susah. Tahulah otak genius. Sejak dari sekolah rendah hinggalah sampai tingkatan lima, dia tidak pernah mampu menandingi gadis tersebut. Dia sering berada di nombor dua di belakang Hani.
        Saat buku di tangan Haazril dikibarkan ke udara, ada sesuatu melurut jatuh dari dalam buku tersebut, beralun-alun turun ke bawah sebelum terdampar di lantai.
      
  Melihat objek tersebut, wajah Hani terus berubah. Hazril pula berkerut kening sambil memandang sekeping gambar yang jatuh berhampiran kakinya.
        Hani bergerak untuk mengutip gambar tersebut tetapi seperti biasa Hazril lebih pantas daripadanya.
      
  Saat mata Hazril merenung gambar tersebut, wajah Hani sudah tidak berdarah. Malah, bukan hanya wajah, rasanya seluruh tubuhnya seolah kehilangan darah.
        Tiba-tiba Hazril gelak kuat. Gelak yang sungguh-sungguh sehingga semua mata pelajar di dalam kelas tersebut menoleh pandang ke arahnya.
         “Masa bila kau curi ambil gambar aku ni?” Hazril menyoal setelah ketawanya reda sambil menayang gambar yang sedang terpegang di tangannya.
  
      “Curi-curi pun dah satu kesalahan. Lepas tu, kau cabul kesucian aku dengan sandingkan bersama gambar kau pulak.” Hazril senyum sambil mengeleng kepala.
        Gambar di tangan direnung lagi. Potret wajahnya yang diambil secara curi-curi, diedit dan digandingkan dengan wajah Hani Suraya. Siapa lagi yang punya kerja kalau bukan gadis itu sendiri. Kemudian, matanya beralih ke arah Hani  yang sedang gelisah.
  
      Waktu itu, Hani seperti sudah hilang upaya untuk berfikir. Usah diceritakan apa yang dia rasa. Hatinya berdoa agar bumi yang dia pijak terbelah dua dan menelan jasadnya.
   
     Namun begitu, beberapa kali berkelip, dia masih di situ. Berdiri kaku memandang lantai. Dia tidak berani lagi memandang Hazril mahupun rakan-rakan lain di dalam kelas itu yang sudah berkerumun mengelilingi lelaki tersebut untuk melihat sendiri apa yang sedang diperkatakan Hazril.
        Hani cuba pejam mata tetapi telinganya pula terdedah pada bunyi-bunyian yang sungguh memalukan. Kedengaran suara lelaki dan perempuan ketawa lucu tak kurang juga yang ketawa mengejek.
      
  Sengaja ingin mengenakan Hani, Hazril bergerak ke arah depan kelas. Sementalah waktu itu guru masih belum masuk, dia gunakan peluang itu sebaik mungkin.
      
  Gambar di tangannya ditampal pada papan hijau menggunakan loytape. Pada papan hijau sebelah atas gambar tersebut ditulis besar-besar pantun dua kerat.
        
    'Sepadan dan secocok,
            bagai pinang diketuk-ketuk.’
         
        Dia ketawa sendiri sebelum disambut gelak ketawa rakan-rakan sekelas yang lain. Kemudian, dia menulis lagi. Kali ini pada bahagian bawah gambar tersebut pula.
         
            P/s: sila telefon ambulan segera, 
            aku nak pengsan melihatnya....
         
        Suasana di dalam kelas 5A1 riuh rendah dengan gelak tawa penghuninya. Kecuali Liza  yang hanya tersenyum menahan tawa. Ikutkan hati, dia juga ingin ketawa tetapi tatkala memikirkan yang dimalukan itu ialah rakan baiknya sendiri, ada rasa simpati menjalar di hati. Dia sendiri tidak pernah tahu rakan baiknya itu ada menyimpan hati terhadap Hazril. Baginya, Hani seorang yang sangat pediam dan suka memendam.
   
     Tetapi,  bukankah Hani sendiri telah tahu bahawa lelaki paling kacak di sekolah mereka itu adalah hak milik Nurlily Dato Hamdan?
        “Aku tak ketawa yer.” Liza bersuara sebaik melihat Hani menoleh ke arahnya.
        Tanpa suara, Hani pantas mengatur langkah keluar melalui pintu belakang kelas menuju ke tandas. Dia cuba menahan tangis tetapi, saat pintu bilik tandas ditutup dan dikunci, air jernih mengalir jua menyentuh pipinya.
    
    Malu! Sungguh-sungguh memalukan. Dia yakin saat ini semua orang sedang mentertawakannya. Walau Liza tidak ketawa seperti rakan-rakan yang lain, dia tahu sahabatnya itu juga sedang ketawa di dalam hati.
        Tidak disangka harga yang sebegini tinggi harus dibayar kerana menyukai seorang lelaki bernama Hazril. Rasa itu, bukan dia yang memintanya tetapi ia datang sendiri dan terus kekal di hati.
        Sejak kecil, sejak mereka bermain pondok-pondok bersama lagi hatinya memang sudah terjatuh suka pada lelaki itu. Walaupun dia sering menjadi bahan ejekan lelaki tersebut, walau dia tahu wanita selekeh sepertinya tidak akan dipandang oleh Hazril yang sentiasa menjaga gensinya, hati tetap ingin memuja. Ah! Degilnya sekeping hati ini.
    
    Hani tarik nafas panjang-panjang. Air mata di pipi diseka perlahan. Walau dia menangis air mata darah sekalipun, apa yang berlaku tidak mungkin akan mampu ditutup dan disembunyikan.
        Kerana itu, dia melangkah kembali ke kelas. Rasa malu itu disimpan kemas. Rasa geram pada Hazril kerana memalukan dia sebegitu kejam juga dibungkus ketat. Semua yang berlaku ini adalah berpunca dari dirinya sendiri. Kalau dia tidak gatal mengambil gambar Hazril secara curi-curi dan mengeditnya, perkara sebegini tidak mungkin akan terjadi.
      
  Kalaulah dia menyimpan gambar tersebut di rumah, pastinya perkara memalukan ini tidak akan terlakar dalam sejarah hidupnya.
        Dalam perjalanan menuju ke kelas, Hani berpapasan dengan Nurlily. Melihat lenggok wanita itu, Hani telan liur. Kalaulah Nurlily and the gang tahu, mahunya dia mati kejung dikerjakan mereka yang sememangnya terkenal dengan kaki buli. Oh! Hatinya jadi makin gundah gelana.
     
   Masuk melalui pintu belakang kelas, sekali lagi Hani telan liru. Nun di depan kelas, Cikgu Wan, guru Bahasa Melayu sedang merenung gambar yang tertampal di papan hijau.
        “Siapa punya kerja ni?” soal Cikgu Wan.
       
“Hazril, cikgu.” Kedengaran beberapa suara menjawab.

"Kamu ni Hazril, macam-macam tau!" ulas Cikgu Wan sambil mengeleng kepala. Gambar tersebut ditanggalkan dari papan hijau dan diselitkan ke dalam buku latihan mengajarnya. Entah apa yang ingin dibuat oleh cingu tersebut  tidak tercapai dek akal Hani.

YANG BERNAMA CINTA - Prolog

Prolog





            L
ANGKAH Hani Suraya terhenti tatkala beberapa orang pelajar wanita menghadang perjalanannya. Hari itu dia sendirian tanpa Liza. Sahabatnya itu tidak hadir ke sekolah kerana demam campak.
        “Ada apa?” Entah pada siapa ditujukan soalan tersebut tetapi satu persatu wajah yang pelbagai reaksi di depannya diteliti dengan kening berkerut.
        Siapa yang tidak kenal dengan Nurlily Dato Hamdan and the gang di sekolah ini? Gangster perempuan yang juga digeruni pelajar lelaki. Tetapi persoalannya, kenapa Nurlily tiba-tiba menghadang langkahnya dengan wajah seribu kebencian.
        “Aku tak nak cerita banyak dan tak minat nak cakap banyak kali. Aku nak kau dengar baik-baik.” Nurlily hentikan bicaranya di situ. Wajahnya didekatkan ke wajah Hani sehingga gadis itu terpaksa melarikan kepalanya ke belakang.
        “Hazril tu hak milik kekal aku dan kau jangan sesekali bermimpi untuk merampasnya. Apa saja yang berkaitan dengan dia tidak layak sama sekali untuk kau puja termasuklah gambarnya.” Nada perlahan tetapi penuh amaran keluar dari bibir mungil Nurlily.
        Saat itu, Hani rasa wajahnya sudah tidak berdarah. Secepat inikah berita tersebar? Rasanya, baru petang semalam dia dimalukan di depan  rakan sekelas 5A1 oleh Hazril Redza dan hari ini, Nurlily and the gang sudah mengetahuinya. Dia percaya, kalau beberapa wajah di depannya ini sudah tahu, bermakna seluruh pelajar sekolah ini juga pastinya sudah tahu. Sungguh memalukan.
        Sekali lagi Hani memanggung kepala, memandang empat lagi wajah lain yang bersama Nurlily itu. Semuanya tersenyum sinis dan berbisik sesama sendiri.
        “Lily, aku rasa baik kau beli cermin besar-besar bagi budak ni. Biar dia cermin diri dia dulu sebelum bermimpi nak ada hati pada Hazril. Mungkin lepas tengok cermin tu dia akan jadi sedar diri.” Saranan salah seorang dari teman Nurlily yang berada di situ disambut oleh semua orang termasuklah Nurlily dengan gelak besar.
        Sungguh! Saat itu dia rasa terhina sekali. Buruk sangatkah dia sehingga harus diberi cermin untuk menilik diri sendiri? Dia seperti ingin mencari Hazril dan memaki lelaki itu cukup-cukup.  Kalau bukan kerana lelaki itu, pastinya semua orang tidak akan tahu.
        Memang Hazril itu sangat kacak dan menjadi pujaan ramai pelajar wanita di sekolah ini. Memang juga Nurlily itu cantik dan  dikatakan sangat sepadan dengan Hazril. Mereka juga sering dilihat sentiasa bersama ke mana-mana saja.
        Tetapi, kalau semua yang cantik pasangannya adalah yang kacak, bagaimana pula dengan yang kurang cantik sepertinya?

        Ah! Memang dia sedar diri. Dia tidak langsung berniat untuk merampas Hazril dari Nurlily. Hatinya saja yang sudah terlanjur jatuh suka dan sering memuja. Namun, mulai saat ini, dia akan cuba menanam benih benci untuk lelaki itu. 

YANG DIA PILIH - BAB 1

Kembali duduk dikerusi empuk itu setelah tiga tahun meninggalkannya, Hareez seperti hilang punca dan tidak tahu dari mana harus dimulakan. Walaupun semua yang ada di bilik pejabat itu masih sama dan tidak berubah seperti kali terakhir dia mengambil keputusan untuk ke luar negara dulu, ianya seperti sudah menjadi asing baginya. Mungkin juga hatinya masih belum bersedia untuk kembali duduk di situ.

 ‘Bang, aku akan dihantar bertugas ke Dubai untuk tiga bulan dan aku akan bawa family aku sekali.’

Email yang dihantar Zhafran membuatkan dia berfikir berkali-kali. Membawa family sekali bermaksud Lya juga akan dibawa pergi dan bermaksud juga tiada lagi orang yang akan membantu papanya di Danau Crystal.

Pada mulanya dia masih teragak-agak untuk pulang tetapi panggilan telefon dari mama yang menangis di talian buatkan dadanya bagai ditindih batu besar. Papa diserang minor stroke dan harus bercuti panjang, memaksa dia untuk pulang memikul tanggungjawab sebagai anak.
           
“Papa dah tak kuat Reez. Papa perlukan anak-anak papa untuk membantu. Papa tak mahu Danau Crystal yang papa usahakan dengan titik peluh sendiri berkubur begitu saja.” Suara lemah papa bernada rayuan itu telah mengikat kakinya untuk terus berpijak di bumi Malaysia ini dan sekaligus melupakan hasratnya untuk terus menimba ilmu di bumi Ratu. Kerana itu juga, dia kembali menjejakkan kaki ke Danau Crystal.

            Ikutkan hati, dia masih belum bersedia. Ya! hatinya belum cukup kuat untuk berdepan dengan kenangan lama. Tiga tahun dia tidak pernah pulang ke Malaysia dan tiga tahun itu masih belum cukup untuk dia melupakan seraut wajah bernama Lyana Amira.

            “Melarikan diri bukan cara terbaik untuk melupakan seseorang.” Kata nasihat teman serumahnya sewaktu di luar negara itu diakui kebenarannya saat ini.

Nafasnya ditarik panjang. Dari duduk, Hareez berdiri berpeluk tubuh memandang ke luar. Dinding kaca yang mengelilingi biliknya itu membolehkan dia melihat pemandangan indah di luar sana.

            Seketika berdiri di situ, dia melangkah perlahan ke arah dinding kaca yang bertentangan. Langsir yang menutupi keseluruhan dinding tersebut diselak sedikit untuk melihat suasana di dalam ruang pejabat pula.

            Saat itulah matanya menangkap bayangan Lya yang melintasi pejabatnya. Lenggok Lya yang nampak indah di mata lelakinya itu menjadikan dadanya sesak dengan pelbagai rasa. Hatinya seperti dicuit dan jiwanya mula terusik. Walau sudah mempunyai seorang anak, badan Lya tetap langsing. Tubuh tinggi lepas itu nampak padan dengan apa saja yang dipakainya. Cantik! Kecantikan yang asli itulah yang membuatkan hatinya terpaut.

            Astaghafirullahalazimmmm....

            Panjang dia beristifar setelah sedar akan khilaf sendiri. Sedar akan dosa yang dicipta kerana mendambakan wanita yang berstatus isteri orang apatah lagi isteri adik sendiri. Pantas langsir yang terselak itu ditutup kembali. Pantas juga kakinya melangkah menuju ke kerusi dan duduk di situ.

            Baru saja nafas yang tersekat tadi kembali berjalan lancar, pintu biliknya diketuk dari luar.

            “Masuk.” Lemah saja suaranya memberi arahan dan serentak itu wajah yang cuba ingin dielaknya muncul di muka pintu.

            Senyuman Lya buatkan Hareez terpaku di kerusinya. Dia hanya mampu memandang langkah Lya yang tersusun masuk menghampiri mejanya.

            “Boleh I duduk?”

            “Hah!” Hareez bagaikan baru tersedar dari lena saat mendengar pemintaan Lya itu. Rupanya Lya sudah berdiri di depan mejanya. Pantas dia menghulurkan senyuman bersama isyarat tangan agar Lya duduk.

            “Papa minta I brief you tentang akaun syarikat.” Lya bersuara sambil meletakkan file yang dibawa ke atas meja. Terasa janggal tetapi dia cuba untuk berlagak biasa. Bermula minggu depan, dia akan bercuti selama tiga bulan kerana mengikut Zhafran yang terpaksa menghabiskan sisa kontraknya di Dubai.

Kembali berurusan dengan Hareez setelah tiga tahun tidak bersua muka, banyak yang sudah berubah. Hareez yang dia kenal dulu jauh bezanya dengan Hareez yang duduk di depannya saat ini. Kalau ditanya kata hati, dia lebih sukakan Hareez yang dulu, yang selalu agresif dalam semua perkara termasuklah tentang soal hati dan perasaan. Melihat Hareez hari ini, hatinya jadi tidak tenteram. Salah diakah yang menjadikan Hareez seorang pendiam?

            Hareez mengangguk perlahan petanda memberi kebenaran untuk Lya memulakan briefingnya. Dia tahu, sepanjang ketiadaannya selama ini, Lyalah yang banyak membantu dalam semua urusan Danau Crystal.         
Seharusnya  Lya sudah layak duduk di kerusinya tetapi sikap rendah diri seorang Lya memang tidak pernah hilang dari dirinya. Lantas, ada rasa bersalah terbit di hatinya. Sebagai anak, seharusnya dia dan Zhafran yang memikul tanggungjawab tersebut tetapi kerana mengikut kata hati, dia begitu tega meninggalkan papanya menguruskan syarikat sendirian. Zhafran pula masih terikat kontraknya dengan syarikat lain.

            Melihat anggukkan Hareez, Lya terus membuka fail akaun syarikat yang sudah terletak di atas meja. Mulutnya terus berkata-kata menjelaskan satu persatu apa yang seharusnya Hareez tahu.

            Cuba untuk fokus, itulah yang Hareez lakukan walau sebenarnya getaran di hatinya lebih kuat dari gelombang dimindanya. Melihat jemari runcing Lya yang berlari-lari di atas helaian kerta menunjukkan angka-angka yang bertaip kemas itu sudah cukup untuk membuatkan nafasnya kembali menjadi sesak.

Dulu... suatu ketika dulu, dia pernah mengimpikan untuk membelai jemari itu tetapi malangnya impiannya itu tidak kesampaian dan dia tahu sampai bila-bila pun impiannya itu tidak mungkin akan kesampaian.

            Sedang minda dan hatinya berperang sesama sendiri, dia dikejutkan dengan deringan telefon bimbit Lya. Serentak itu, bicara Lya terus terhenti dan jemarinya bergerak menarik telefonnya yang diselitkan di poket seluar slack yang dipakai.

            “Sekejap ya.” Sopan Lya memohon untuk menjawab panggilan tersebut setelah melihat nama Zhafran yang tertera di skrin.

            “Assalamualaikum abang... Lya tengah ada discussion, nanti Lya call abang balik yer.” Lembut alunan suara Lya menjawab panggilan tersebut bersama senyuman mekar di bibir.

            Pantas Hareez kalihkan pandangannya ke sisi. Rasa cemburu yang cuba dibungkus kemas sudah mula mengintai keluar. Ah! alangkah bahagianya kalau dia berada di tempat Zhafran.       “Okey, bye!” suara penamat perbualan itu memanggil Hareez kembali berpaling ke arah Lya.

            “I love you too.” Ucapan terakhir Lya sebelum menekan butang merah di telefonnya terus membuatkan mata Hareez terpejam rapat menahan sakit. Ya! sakit yang tidak mungkin mampu dilihat oleh sesiapa pun.

            “Reez...sorry, boleh kita sambung?” Suara Lya memanggil Hareez membuka matanya. Tidak mengangguk dan tidak juga mengeleng, hanya matanya melekat ke wajah Lya.

            Melihat tingkah pelik Hareez, Lya diserang gelisah. Dia bimbang jika sejarah lama berulang kembali. Sejak kepulangan Hareez sebulan yang lalu, rasa bimbangnya tidak pernah surut apatah lagi bila dia harus berdepan lagi dengan lelaki ini setiap hari di pejabat.

            “You bahagia?” soalan Hareez yang tiba-tiba melencong topik itu makin menguatkan rasa bimbang di hati Lya. Dia cuba menafikan yang Hareez masih menyimpan perasaan terhadapnya tetapi sinar mata lelaki ini bagai mnceritakan segalanya.

            “Lya?”

            “Ya, I sangat bahagia.” Spontan jawapan itu keluar dari bibir Lya. 

Benar.. dia cukup bahagia. Jika ada perkataan lain selain dari bahagia, dia ingin meminjam perkataan itu untuk menggabarkan rasa hatinya. Betapa dia cukup bahagia hidup bersama Zhafran.

            Hareez tarik nafas panjang. Entah kenapa dia masih ingin bertanyakan soalan itu sedang hakikat sebenarnya dia telah tahu. Melihat kemesraan dan keceriaan di wajah keduanya sudah cukup untuk memberitahu tentang bahagia yang berada disekeliling mereka.

            Ah! Rasa hati ini perlu dibalut lagi dengan lapisan yang tebal-tebal supaya  getarannya tidak mampu dikesan. Biarlah hanya dia yang merasai betapa dasyatnya getaran yang melanda hatinya.


YANG DIA PILIH - Prolog

Lari dari kenyataan bukan jalan penyelesaian tetapi itu yang Hareez lakukan sekarang. Duduk sendirian di pantai Cherating dengan harapan segala kesakitan yang bermukim di hati mampu dihalau pergi.

Harapannya, ketenangan akan ditemui di situ tetapi perkiraannya nyata silap. Usahkan sebuah ketenangan, hatinya sendiri yang telah hilang itu pun tidak mampu dia cari.
         
   “I minta maaf Reez. Keputusan ini I ambil bukan kerana marah tapi kerana cinta. Ya! I memang cintakan Zhafran.” Itulah pengakuan Lya yang telah berjaya merobek kejam sekeping hatinya.

            “Sejak dulu hinggalah ke saat ini dan insyaalah, kalau you tanya soalan yang sama selepas seribu tahun akan datang, jawapannya tetap sama, I tetap cintakan Zhafran.”     

Apa lagi yang boleh dia katakan selain dari cuba memujuk hati sendiri. Sudah puas dia berharap dan sudah puas juga dia berdoa tetapi Lya tetap jua memilih Zhafran. Dia terfikir sendiri, mungkinkah hatinya tidak cukup ikhlas sewaktu memanjat doa atau mungkin juga dia tidak cukup baik untuk TUHAN memakbulkan doanya?

Tetapi, dia ingin sentiasa bersangka baik terhadap YANG ESA. Siapa tahu kalau doa-doanya sedang dikumpul dan akan dimakbulkan diakhirat nanti? Mana tahu, pasangannya nanti adalah bidadari yang lebih hebat dari Lya?

            Ah! dia mengeluh lagi buat kesekian kalinya dan rasa sakit itu datang lagi mendera hatinya. Hari ini adalah hari di mana Lya akan sah menjadi milik Zhafran, adiknya sendiri dan sekaligus menutup terus peluang dia untuk memiliki Lya.

Lantaran itu, dia menjadikan kerja sebagai alasan untuk lari ke bumi Pahang ini dan saat ini, dia hanya duduk termenung di pantai Cherating menyaksikan ombak biru mencipta buih di tepi pantainya.

            “Bang, aku tak nak bermusuh dengan kau hanya kerana seorang perempuan.” Bicara Zhafran beberapa hari yang lepas berlegar di kepalanya.

            “Bercerita tentang Lya, semua perkara sudah tidak penting buat aku.” Hanya itu yang keluar dari bibirnya sebelum dia meninggalkan Zhafran yang terlopong memandang langkahnya.

            Bagaimana dia ingin memujuk hati sendiri agar melepaskan Lya tanpa sebarang bantahan? Bagaimana dia ingin menanam rasa tidak sukanya pada Lya sedang dari sudut mana sekalipun, hatinya tetap menyukai Lya.

            Sungguh.... dia sendiri tidak mengerti bagaimana Lya itu begitu mudah masuk ke hatinya dan mencipta satu rasa indah yang tidak pernah dia rasai selama ini. Bukan dia tidak pernah bercinta malah pernah juga berkahwin. Tetapi, semua itu tidak sama dengan apa yang dia rasai tatkala mengenali Lya.

            Pada dasarnya, Lya itu bukanlah perempuan yang boleh dikategorikan sebagai cantik bergaya seperti bekas isterinya tetapi cantiknya Lya itu adalah pada hati dan tingkahnya. Lya memang nampak kasar tapi dalam kasarnya ada kelembutan yang tersendiri. Sentiasa spontan dalam berbicara tapi ada kejujuran dari hatinya.


YANG LUAR BIASA - Cover








Yeah! Inilah dia cover Yang Luar Biasa. Tak lama lagi dah boleh peluk YLB

Untuk pengetahuan, YLB ni adalah 4 mini novel yang dimuatkan di dalam satu naskah dengan letebalan 636 muka surat dengan harga RM 27 + postage.

Untuk pengetahuan juga, naskah ini adalah keluaran edisi terhada yang hanya dijual di bookfair 1 Malaysia di PWTC yang akan berlangsung dari 11 Dis hingga 15 Dis 2013. YLB hanya akann berada di booth IKP (098 - Dewan Tun Husain Onn) bermula 13 Dis.

Limited printing hanya 1.5K sahaja dan tiada ulang cetak. 800 naskah untuk jualan online dan 700 naskah untuk bookfair.

Jika berminat untuk membuat pesanan online, boleh berhubung dengan ejen yang dilantik( sarinah aini, liza wati, maslinda zainal abidin, tie tinie, ayu dzulkarnain, Yatie pyan, ida nur asnidar) dan juga pengedar online